Category: Jenayah

  • Duda 65 tahun kantoi berkhalwat dengan isteri orang

    Duda 65 tahun kantoi berkhalwat dengan isteri orang

    SEORANG duda berusia 65 tahun dicekup semasa berkhalwat dengan wanita berusia 56 tahun yang masih berstatus isteri orang di sebuah hotel bajet di Kota Bharu, malam tadi.

    Anggota Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah (BPUS) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik) menahan pasangan berkenaan pada pukul 11.30 malam tadi.

    Ketua Penolong Pengarah BPUS Jaheaik, Mohd. Fadzuli Mohd. Zain berkata, pasangan berkenaan datang dari Selangor dengan menaiki bas ke bandar ini sebelum ditahan ketika berdua-duaan dalam bilik di hotel terbabit.

    “Lelaki warga emas itu memberi alasan mahu membeli emas di Kelantan, manakala pasangannya mendakwa mahu menghadiri kelas senam aerobik di Terengganu.

    “Kami menahan mereka untuk siasatan lanjut dan dilepaskan dengan bon jamin sebelum diminta hadir ke Mahkamah Syariah mengikut tarikh yang ditetapkan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Dalam pada itu, menerusi operasi berkenaan sempena cuti sekolah yang diadakan antara 5 petang semalam sehingga 1 pagi tadi, Mohd. Fadzuli berkata, pasangan kekasih berusia 20-an turut ditahan di sebuah hotel bajet di Kota Bharu.

    “Dua pasangan ini akan disiasat mengikut Seksyen 50, Undang-undang Islam, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019.

    “Kami turut memberi notis kepada tiga pasangan kekasih kerana melakukan perbuatan tidak sopan di tepi Sungai Kelantan di Lembah Sireh, kira-kira 5 petang semalam,’ katanya.

    Katanya, pasangan yang diberi notis diminta hadir mendapatkan perkhidmatan kaunseling dalam tempoh dua minggu, jika gagal hadir mereka boleh didenda.

  • Polis rampas 142.1 kg ganja dari MPV mewah

    Polis rampas 142.1 kg ganja dari MPV mewah

    POLIS melakukan serbuan dan merampas 142.1 kilogram (kg) ketulan mampat disyaki ganja di tempat letak kenderaan bawah tanah pasar raya di Bangsar, Kuala Lumpur, Selasa lalu.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah, tiga lelaki ditahan dalam serbuan pada pukul 2 petang itu.

    “Mereka ditahan sejurus selesai memindahkan ketulan mampat itu dari kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah ke kereta lebih kecil.

    “Serbuan itu dilakukan dengan kerjasama JSJN Kuala Lumpur, selepas risikan empat bulan terhadap semua suspek yang dipercayai berperanan sebagai penghantar dadah.

    “Polis menemui 145 ketulan mampat disyaki ganja bernilai kira-kira RM355,250,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Pihaknya juga merampas tiga kenderaan yang digunakan suspek yang berusia 23 hingga 49 tahun dan nilai rampasan keseluruhan termasuk dadah hampir RM500,000.

    “Kumpulan berkenaan mula aktif sejak empat bulan lalu dan dadah yang dirampas untuk pasaran Lembah Klang,” katanya lagi.

    Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan THC.

    Katanya, semua suspek berkenaan dipercayai mendapat upah RM2,500 bagi penghantaran dadah itu.

    “Siasatan masih dijalankan untuk mengesan dalang di sebalik kegiatan pengedaran ini,” katanya.

    Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Tubuh jawatankuasa khas banteras kes penipuan wang online

    Tubuh jawatankuasa khas banteras kes penipuan wang online

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SATU jawatankuasa khas bagi membanteras penipuan dalam talian perlu ditubuhkan segera bagi mengelakkan rakyat dan pelabur hilang keyakinan terhadap keselamatan sistem kewangan negara.

    Timbalan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Oh Tong Keong berkata, kerajaan serta pihak berkuasa berkaitan seperti Bank Negara Malaysia (BNM); polis; Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu mengambil serius dan menggandakan usaha dalam membanteras sindiket penipuan dalam talian yang semakin meningkat ketika ini.

    Jelas beliau, trend kes penipuan dalam talian yang berlaku kebelakangan ini bukan disebabkan mangsa kehilangan kad bank atau mendedahkan maklumat OTP mereka kepada pihak ketiga, sebaliknya duit simpanan mereka didapati hilang begitu sahaja.

    “Selain duit di dalam akaun simpanan semasa, pengguna turut kehilangan wang mereka di dalam akaun simpanan tetap.

    “Ini adalah sangat mengejutkan dan mengecewakan kerana orang ramai menyimpan duit di bank kerana yakin dengan sistem keselamatan bank, namun apa yang berlaku ada sebaliknya,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Tambah beliau, walaupun ramai mangsa sudah membuat laporan polis, namun dalam kebanyakan kes mereka tidak mendapat maklum balas.

    “Bukankah ini satu insiden yang menakutkan dan menunjukkan terdapat kelemahan dalam sistem keselamatan bank negara?

    “Mengapa boleh berlakunya transaksi kewangan tanpa perkongsian maklumat OTP? Adakah ini disebabkan kecuaian pihak bank?” katanya.

    Tambah beliau, pihak berkuasa khususnya polis dan BNM perlu menjalankan siasatan dengan segera sebaik sahaja menerima aduan atau laporan daripada mangsa termasuk membekukan akaun yang telah menerima duit daripada mangsa dengan segera.

    Dalam masa sama ujar beliau, BNM juga perlu mengarahkan semua bank mengukuhkan kembali sistem keselamatan mereka bagi mengelakkan jenayah dalam talian daripada berterusan.

    “Isu ini jika tidak ditangani dengan baik boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat termasuk pelabur terhadap keselamatan sistem kewangan negara,” katanya.

  • Warga emas diperdaya ‘anggota polis’ hampir RM700,000

    Warga emas diperdaya ‘anggota polis’ hampir RM700,000

    SEORANG warga emas kerugian kerugian hampir RM700,000 apabila diperdaya seorang lelaki yang menyamar sebagai anggota polis dari Sabah.

    Mangsa yang merupakan kerani wanita sebuah syarikat kontraktor menerima satu pangggilan ‘polis’ pada pukul 8.45 pagi, 15 Mei lalu.

    Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, mangsa, 77, menerima panggilan daripada lelaki yang memperkenalkan diri sebagai seorang anggota polis bernama Ah Seng yang mendakwa bertugas di Sabah.

    “Dalam perbualan itu, suspek memaklumkan bahawa kad pengenalan milik mangsa digunakan dalam satu kes penipuan.

    “Menerusi perbualan tersebut juga, suspek menggertak mangsa dengan mengatakan mangsa akan dimasukkan ke penjara atas kesalahan itu.

    “Susulan itu, suspek menawarkan diri untuk menyelesaikan perkara itu dan mengarahkan mangsa untuk membayar wang sebanyak RM600,000 hingga RM700,000.,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Katanya, akibat terlalu takut akan dipenjarakan, mangsa bersetuju dengan apa yang dipinta oleh suspek dengan membuat deposit cek sebanyak dua kali di sebuah bank di Taiping.

    Menurutnya, deposit cek pertama berjumlah sebanyak RM320,000 dan kali kedua, sebanyak RM350,000.

    Osman berkata, suspek turut mengarahkan supaya memberitahu bank bahawa deposit itu bertujuan untuk membeli rumah supaya pihak bank tidak mempertikaikannya.

    Tambahnya, menyedari dirinya ditipu, mangsa datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping semalam.

    “Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Lelaki positif ganja disyaki punca kemalangan babit lima kenderaan ditahan

    Lelaki positif ganja disyaki punca kemalangan babit lima kenderaan ditahan

    POLIS menahan seorang lelaki positif dadah jenis ganja yang disyaki menyebabkan nahas membabitkan lima kenderaan di Kilometer 243.3 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Selatan, di sini semalam.

    Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata lelaki berusia 28 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Myvi itu ditahan di lokasi kejadian sejurus kemalangan.

    “Ketika ditahan dia berada dalam keadaan khayal dan pemeriksaan ke atas keretanya menemukan sepaket plastik lut sinar berisi tumbuhan kering yang disyaki dadah jenis ganja seberat 3.39 gram.

    “Lelaki itu yang merupakan penganggur kemudian direman empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) akta yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam insiden pada pukul 10.40 pagi semalam, Perodua Myvi yang dipandu lelaki tersebut dipercayai hilang kawalan dan melanggar sebuah Toyota Avanza yang berada di hadapan keretanya.

    Nanda berkata akibat rempuhan itu, Toyota Avanza dipandu lelaki berusia 44 tahun itu berpusing beberapa kali dan melanggar dua kereta lain, selain tayar belakang kiri kereta itu tercabut lalu terpelanting masuk ke laluan arah bertentangan dan mengenai sebuah lagi Perodua Myvi.

    Bagaimanapun, beliau berkata kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Peraturan 10 LN 166/69.

    Terdahulu, rakaman kemalangan itu turut tular di laman sosial Facebook sejak semalam.

    — BERNAMA

  • Polis tumpas ‘Geng Fahmi’ aktif pecah rumah di Hulu Terengganu

    Polis tumpas ‘Geng Fahmi’ aktif pecah rumah di Hulu Terengganu

    POLIS  berjaya menyelesaikan tujuh kes pecah rumah di sekitar daerah Hulu Terengganu susulan penangkapan tiga sekeluarga yang dikenali sebagai ‘Geng Fahmi’.

    Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu DSP Mohd Adli Mat Daud berkata kesemua suspek ditahan dalam dua serbuan berasingan di kawasan Pudu, Kuala Lumpur dan Kampung Temala di Marang pada Sabtu dan semalam.

    Katanya dua suspek yang merupakan pasangan suami isteri ditahan di sebuah hotel di Kuala Lumpur selepas selesai menjalankan urusan jual beli barang kemas kepada seorang ejen.

     “Pasangan suami isteri itu masing-masing berusia 28 dan 38 tahun. Mereka bekerja sendiri dengan membuka pusat mencuci kereta dan butik kecantikan.

    “Suspek utama lelaki yang ditahan di kediamannya di Kampung Temala di Marang berusia 28 tahun dan dia merupakan adik kepada suspek perempuan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu.

    Menurut Mohd Adli, susulan kedua-dua serbuan tersebut polis turut merampas pelbagai barangan kemas, telefon bimbit dan wang tunai yang keseluruhannya dianggarkan berjumlah RM100,000.

    Beliau berkata hasil siasatan mendapati suspek utama kes tersebut mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan baru sahaja dibebaskan dari penjara Januari lepas atas kesalahan kes dadah.

    “Suspek pasangan suami isteri tersebut pula tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya menambah ketiga-tiga suspek kini direman empat hari bermula Sabtu.

    — BERNAMA

  • Mekanik rugi RM70,000 diperdaya ‘wakil klinik kesihatan’, ‘Sarjan Lee’

    Mekanik rugi RM70,000 diperdaya ‘wakil klinik kesihatan’, ‘Sarjan Lee’

    SEORANG mekanik di Jempol mendakwa kerugian RM70,000 setelah diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai wakil dari klinik kesihatan dan pegawai polis pada 25 Mei lepas.

    Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata lelaki berusia 56 tahun itu mendakwa menerima panggilan memaklumkan mangsa melakukan kesalahan di bawah undang-undang Jabatan Kesihatan Malaysia kerana mengambil ubat sebanyak lapan kali di Klinik Kesihatan Ampang Baru, Ipoh, Perak.

    Beliau berkata panggilan mangsa kemudian disambungkan kepada seorang individu kononnya pegawai polis bernama Sarjan Lee dari Balai Polis Ipoh yang memberitahu lelaki itu terlibat dengan kes pengubahan wang haram.

    “Mangsa diminta memindahkan wang dalam akaunnya untuk siasatan polis dan akan ditangkap jika tidak berbuat demikian. Lelaki itu turut dimaklumkan bahawa wang miliknya akan dipulangkan semula jika tidak terlibat dengan pengubahan wang haram.

    “Percaya dengan perkara itu, mangsa kemudian membuat pindahan ke dua akaun berlainan dengan jumlah keseluruhan RM70,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Hoo berkata mangsa yang menyedari diperdaya membuat laporan polis pada 3 Jun lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Dalam kes berasingan, Hoo berkata seorang pekerja kilang berusia 36 tahun di Bahau mendakwa kerugian RM11,300 selepas terpedaya dengan perkhidmatan pelacuran secara dalam talian yang ditawarkan menerusi aplikasi WhatsApp pada 4 Jun lepas.

    “Pada hari sama mangsa diminta memasukkan wang dan membuat 22 kali tambah nilai ke aplikasi aplikasi ‘Razer Gold & Silver’ berjumlah RM11,300,” katanya.

    Menurutnya selepas membuat pembayaran, lelaki itu diminta menghantarkan gambar kad pengenalan sebagai bukti pembayaran tersebut.

    Hoo berkata mangsa yang berasa ditipu setelah dimaklumkan rakannya itu kemudian membuat laporan polis semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    — BERNAMA

  • Exco Terengganu lapor polis dakwaan video kurang sopan

    Exco Terengganu lapor polis dakwaan video kurang sopan

    PENGERUSI Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat membuat laporan di Balai Polis Chukai, Kemaman pada pukul 11.42 malam tadi.

    Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai membuat laporan itu meminta polis menyiasat individu yang bertanggungjawab menyebarkan video kurang sopan membabitkan beliau dan ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said.

    Menurutnya, penyebaran video berdurasi empat saat itu diambil dan disebarkan individu tidak dikenali di Facebook dan WhatsApp dengan niat mengaib dan menjatuhkan maruahnya.

    “Saya menyedari penyebaran video itu ketika berada di dalam khemah perasmian program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di pekarangan Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus pukul 1.30 tengah hari kelmarin.

    “Video kurang sopan itu menunjukkan seolah-olah ADUN Kijal ingin memegang kemaluan saya dan penyebaran video ini bertujuan mengaibkan dan menjatuhkan maruah saya.

    “Ia diambil dan disebarkan tanpa persetujuan saya dan saya mohon polis melakukan siasatan lanjut bagi mengesan individu yang terbabit,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

  • Cemburu mungkin motif wanita hamil ditembak

    Cemburu mungkin motif wanita hamil ditembak

    POLIS  mengesyaki cemburu antara motif seorang wanita hamil ditemukan mati dengan kesan tembakan pada perut di dalam sebuah kereta di tepi jalan Kampung Repek, Pasir Mas, dekat sini petang semalam.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata bagaimanapun polis akan melakukan siasatan menyeluruh dalam kes tersebut bagi menentukan motif sebenar.

    Muhamad Zaki berkata mangsa kemungkinan ditembak menggunakan pistol separa automatik .38 berikutan penemuan kelongsong peluru.

    “Polis akan melakukan siasatan secara menyeluruh walaupun ada pelbagai motif yang diperkatakan. Selain itu polis juga akan mendapatkan keterangan daripada saksi-saksi agar apa yang kita jangkakan itu adalah tepat. Pada masa sama polis juga meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga selesai siasatan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Machang di IPD Machang di Machang, hari ini yang menyaksikan Ketua Polis Daerah Machang Supt Mohd Rosli Mat menyerahkan jawatan kepada pemangkunya DSP Mohd Zahir Abdullah.

    Semalam, Emirah Mazlan, 26, ibu kepada tiga orang anak berusia antara tiga hingga 10 tahun ditemukan mati dengan kesan tembakan di bahagian perut dan akibat tembakan tersebut, bayi di dalam kandungan mangsa yang berusia tujuh bulan turut meninggal dunia.

    Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata polis juga sedang menyiasat kemungkinan mangsa ditembak di lokasi lain sebelum memandu kereta ke lokasi mayatnya ditemukan kerana jarak rumahnya adalah sejauh 15 kilometer.

    Beliau berkata susulan kejadian itu seorang lelaki berusia 40 tahun yang mempunyai hubungan dengan mangsa ditahan reman sehingga 9 Jun bagi membantu siasatan.

    — BERNAMA

  • SPRM tahan eksekutif kanan syarikat GLC dan isteri terlibat rasuah lebih RM600,000

    SPRM tahan eksekutif kanan syarikat GLC dan isteri terlibat rasuah lebih RM600,000

    SEORANG  eksekutif kanan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan isterinya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai meminta dan menerima rasuah lebih RM600,000 bagi kerja-kerja pelantikan syarikat pengangkutan.

    Menurut sumber SPRM, suami isteri yang masing-masing berusia 50-an dan 40-an itu ditahan pada kira-kira 7 malam di kediaman mereka di Petaling Jaya, Selangor semalam.

    Sumber SPRM itu berkata lelaki berkenaan disyaki meminta ‘habuan bulanan’ kira-kira RM20,000 sebagai balasan melantik sebuah syarikat pengangkutan bagi penghantaran produk berasaskan minyak ke seluruh negara untuk tempoh antara Julai 2019 hingga April tahun ini.

     Isterinya pula dipercayai bersubahat untuk meminta dan menerima bagi pihak suaminya.

    Menurut sumber SPRM itu, isteri eksekutif kanan itu juga dipercayai mempunyai kawalan ke atas kad debit milik syarikat pengangkutan terbabit di mana pemilik syarikat tersebut terlibat dalam urusan rasmi dengan suaminya.

    Pasangan itu direman enam hari bermula hari ini sehingga 10 Jun selepas perintah reman terhadap mereka dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas mendengar permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

    Pengarah Kanan Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan pasangan suami isteri tersebut bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

    — BERNAMA