Category: Jenayah

  • 40 set bubu naga dirampas di perairan Pulau Pinang

    40 set bubu naga dirampas di perairan Pulau Pinang

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang merampas sebanyak 40 set bubu naga di tiga lokasi berbeza di kedudukan kira-kira 1.4 batu nautika barat perairan Pulau Burung, Seberang Perai Selatan (SPS) antara pukul 2.40 hingga 3 petang semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, semasa bot ronda KILAT 26 melaksanakan rondaan rutin, anggota penguat kuasa telah menemukan beberapa pelampung yang mencurigakan di tiga lokasi berbeza.

    Jelasnya, pemeriksaan lanjut kemudiannya berjaya menemukan 40 set bubu naga tersebut yang dipasang oleh individu tidak bertanggungjawab.

    “Kesemua bubu naga dengan anggaran nilai RM4,800 itu dirampas dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pemeriksaan lanjut pihak maritim kemudiannya berjaya menemukan 40 set bubu naga tersebut yang dipasang individu tidak bertanggungjawab

    Tegas beliau, penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain.

    Jelasnya, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.
     
    “Sehubungan itu, nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan,” katanya.

    Dalam pada itu tambah beliau, Maritim Malaysia akan terus memantau aktiviti haram tersebut dari semasa ke semasa dan meminta kerjasama orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.

    “Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya.

  • RM118,691 minuman keras tidak bercukai dirampas

    RM118,691 minuman keras tidak bercukai dirampas

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pulau Pinang merampas sebanyak 554 liter minuman keras disyaki tidak bercukai bernilai RM118,691 dalam dua serbuan di Butterworth, semalam.

    Komander PPM Wilayah Satu Pulau Pinang, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, serbuan di bawah Op Kontraban itu dibuat di Taman Nagasari, Perai, Butterworth kira-kira pukul 11 pagi hasil maklumat awam.

    Dalam serbuan itu juga jelas beliau, dua warga asing berumur antara 30 hingga 40 tahun turut ditahan.

    “Tangkapan dan rampasan kemudian dibawa ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Seberang Perai Tengah untuk tindakan lanjut.

    Serbuan di bawah Op Kontraban itu dibuat di Taman Nagasari, Perai kira-kira pukul 11 pagi

    “Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu, beliau turut menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah termasuk penyeludupan rokok, dadah, PATI (pendatang asing tanpa izin) dan sebagainya kepada PPM Wilayah Satu Pulau Pinang supaya tindakan segera dapat diambil.

    “Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan terus melalui talian telefon 04-6558222,” ujar beliau.

  • 700 karton bir tanpa cukai dirampas

    700 karton bir tanpa cukai dirampas

    PASUKAN Polis Marin Wilayah 5 (PPMW5) Bintulu merampas sejumlah 700 karton bir pelbagai jenama tanpa cukai kastam di sebuah kafe muzik di Jalan Orang Kaya Setia Raja, Sarawak, petang Rabu.

    Komander PPMW5 Sarawak, Asisten Komisioner Zulfikar Mohd. Ghazali dalam kenyataan hari ini berkata, hasil risikan dijalankan, Unit Risikan Marin (URM) PPMW5 Bintulu melakukan serbuan dan pemeriksaan ke atas premis terbabit.

    “Tiba di lokasi, anggota URM dan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah memperkenalkan diri kepada seorang lelaki berusia 59 tahun yang dipercayai penjaga premis itu,” katanya, lapor Satu Berita.

    Beliau berkata, pasukan penguatkuasaan kemudiannya menjalankan pemeriksaan dan menemukan 700 karton bir dianggarkan bernilai RM114, 984 yang disimpan dalam premis berkenaan.

    Zulfikar berkata, semakan yang dijalankan turut mendapati penjaga premis terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan pemilikan minuman keras itu.

    Tangkapan serta barangan yang dirampas kemudiannya diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah untuk siasatan lanjut.

  • Tiga negeri rekod kes seksual tertinggi

    Tiga negeri rekod kes seksual tertinggi

    TIGA negeri mencatatkan, kes seksual tertinggi iaitu Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.

    Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff berkata, tiga negeri berkenaan merekodkan kes tertinggi berikutan jumlah penduduk yang padat.

    Oleh sebab itu, pihaknya memohon kepada kerajaan supaya menambah peluang pekerjaan membabitkan tenaga kerja di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam membantu menangani masalah terbabit.

    “Setakat ini, kerajaan meluluskan secara berperingkat sebanyak lebih 2,000 peluang pekerjaan melalui Short-Term Employment Programme (MySTEP) bagi memenuhi jawatan yang diperlukan di JKM,” katanya lapor Berita Harian, hari ini.

    Beliau menegaskan, ibu bapa serta ahli keluarga perlu memainkan peranan penting dengan mengambil berat atau memberi perhatian kepada anak-anak, mengambil tahu aktiviti seharian mereka selain memeriksa telefon bimbit jika perlu terutama bagi yang berusia 18 tahun ke bawah.

    “Begitu juga dengan jiran tetangga yang harus peka dengan keadaan sekeliling supaya dapat sama-sama membantu mengurangkan kes membabitkam seksual dalam kalangan masyarakat,” katanya selepas memberi sumbangan tilam kepada mangsa banjir di Kampung Bendang Perol, Gual To’Deh, hari ini.

    Siti Zailah berkata, ilmu agama juga amat penting untuk diterapkan dalam diri setiap individu selain kawalan terhadap aktiviti di sosial media dalam kalangan anak muda bagi mengurangkan kes seksual berkenaan.

    “Selain isu seksual, kes jenayah membabitkan penyalahgunaan dadah juga dilihat semakin membimbangkan kerana membuatkan individu hilang pertimbangan sekali gus menyumbang kepada jumlah kes pembunuhan, tembakan dan sebagainya.

    “Saya berharap semua pihak memainkan peranan dalam mengawal dan mengenal pasti ahli keluarga yang bermasalah, selain membantu mereka pulih supaya tidak berlaku sebarang perkara tidak diingini,” katanya.

  • Perancang perkahwinan lesap RM60,000 ditahan polis

    Perancang perkahwinan lesap RM60,000 ditahan polis

    PERANCANG perkahwinan yang dipercayai memperdaya beberapa pengantin di Johor dengan pakej perkahwinan bajet, namun gagal menyediakan perkhidmatan termasuk katering pada saat akhir ditahan polis semalam.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata wanita berusia 50 tahun itu ditahan di bandar raya ini dan disiasat susulan 10 laporan yang diterima hingga 8 Jun lalu.

    Kerugian dialami mangsa mencecah RM60,000. Mangsa hanya menyedari ditipu apabila tidak menerima makanan atau menerima makanan kurang daripada ditempah mahupun sudah basi.

    Siasatan awal mendapati mangsa tertarik dengan pakej bajet atau murah ditawarkan perancang perkahwinan menerusi Facebook.

    “Pakej ditawarkan serendah RM8 bagi setiap jemputan, berbanding harga biasa antara RM10 hingga RM12. Semua transaksi bayaran dilakukan dalam talian dan semua kes berlaku antara Mei hingga awal Jun, malah kita yakin akan menerima beberapa laporan polis lagi serta menggesa mangsa untuk tampil membuat laporan.

    “Kami menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan pakej perkahwinan yang murah dan tidak masuk akal serta fikir dua kali sebelum membuat pembayaran,” katanya menurut laporan BH Online.

    Kamarul Zaman berkata, pihaknya akan memohon untuk perintah reman suspek hari ini bagi membantu siasatan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Antara kes dikaitkan suspek diterima pada 5 Jun lalu apabila mangsa membayar deposit RM1,000 pada 18 Mei dan baki bayaran RM3,400 pada 27 Mei, namun menerima makanan tidak mencukupi serta basi (pada 4 Jun).

    “Perancang perkahwinan berjanji untuk menghantar makanan kali kedua di majlis perkahwinan itu yang diadakan di sini, namun gagal berbuat demikian,” katanya.

    Sebelum ini media melaporkan luahan pasangan pengantin di Taman Putri, Kulai yang majlisnya terganggu disebabkan pihak katering gagal menyiapkan makanan.

    Lebih malang apabila perkara itu dimaklumkan pada 7 pagi hari kenduri, memaksa keluarganya bergotong-royong memasak pada saat akhir.

  • Polis minta mangsa penipuan tempahan ‘homestay’ buat laporan

    Polis minta mangsa penipuan tempahan ‘homestay’ buat laporan

    POLIS sedang menyiasat kes penipuan tempahan rumah inap seperti yang dilaporkan berlaku di negeri itu baru-baru ini.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu M Zambri Mahmud berkata, setakat ini pihaknya menerima laporan daripada seorang mangsa yang baru-baru ini menerima pesanan ringkas daripada satu nombor telefon yang mengaku sebagai pemilik rumah inap di Jalan Pasir Panjang, di Kuala Terengganu.

    “Pada hari yang sama mangsa membuat pembayaran secara dalam talian ke satu akaun berjumlah RM221.50. Mangsa pergi ke ‘homestay’ (rumah inap) berkenaan dan mendapati ia tidak wujud.

    “Mangsa membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang menjadi mangsa penipuan tempahan rumah inap berkenaan supaya segera membuat laporan polis.

    Dilaporkan semalam, hasrat beberapa pelancong untuk bercuti ke negeri itu terbantut selepas mendapati lokasi rumah inap yang ditempah sebenarnya tidak wujud.

    Mangsa dilaporkan cuba menghubungi ‘pemilik’ rumah inap itu namun gagal dan penduduk yang tinggal berdekatan lokasi berkenaan memaklumkan bahawa rumah inap tersebut tidak wujud.

  • 3 termasuk remaja ditahan seleweng petrol bersubsidi, rampasan RM109,020

    3 termasuk remaja ditahan seleweng petrol bersubsidi, rampasan RM109,020

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) menahan tiga individu termasuk seorang remaja warga asing selepas terbabit dalam aktiviti menyeludup minyak petrol bersubsidi di sebuah stesen minyak di Batu 32, Sandakan, semalam.

    Menerusi operasi pada jam 1.30 pagi itu, anggota Tiger Platon Batalion 15 Pasukan Gerakan Am (PGA) dibantu anggota Task Force Perisikan batalion tersebut.

    Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, bertindak atas maklumat orang awam, pasukan operasi mengesan terdapat kegiatan pengisian minyak petrol bersubsidi secara tidak sah.

    “Pasukan operasi kemudiannya membuat pemerhatian selama tempoh 30 minit di stesen minyak berkenaan.

    “Hasil pemerhatian membawa kepada penahanan tiga lelaki berusia 19 hingga 36 tahun, membabitkan dua warga tempatan dan seorang warga Indonesia.

    “Pasukan operasi terus merampas dua lori yang dipercayai terbabit dalam kegiatan mengendalikan minyak petrol bersubsidi secara tidak sah,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Abdul Rani berkata, semua tangkapan kemudiannya dibawa ke Balai Polis Sandakan untuk laporan polis.

    Katanya, semua suspek seterusnya diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk tindakan selanjutnya.

    “Semua rampasan membabitkan dua lori tiga bersama 58 tong biru membabitkan 4,400 liter minyak petrol.

    “Anggaran nilai keseluruhan barang rampasan dianggarkan sebanyak RM109,020 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

  • Siasatan punca dua remaja maut dalam MPV ambil masa dua bulan

    Siasatan punca dua remaja maut dalam MPV ambil masa dua bulan

    SIASATAN punca kematian dua remaja yang meninggal dunia di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua bulan kerana melibatkan pakar dari agensi lain, kata Ketua Polis Daerah Cheras ACP Muhammad Idzam Jaafar.

    Beliau berkata pasukan perubatan sudah melakukan proses bedah siasat terhadap dua remaja iaitu  lelaki dan perempuan masing-masing berusia 19 tahun tetapi masih belum mengetahui punca sebenar kematian mereka.

    “Kami sedia maklum, dua mayat itu ditemukan selepas lima hari. Banyak organ sudah dalam keadaan tidak sempurna yang memerlukan kepakaran daripada jabatan lain seperti Jabatan Kimia,” katanya pada sidang media di IPD Cheras, Kuala Lumpur hari ini.

    Muhammad Idzam berkata selagi laporan pakar daripada jabatan berkenaan tidak dikeluarkan, polis tidak dapat memberi sebarang kenyataan berhubung punca kematian dua remaja terbabit.

    “Selain itu, polis turut merakam keterangan daripada kawan, keluarga dan mereka yang mengenali si mati. Lebih 10 orang telah dipanggil untuk membantu siasatan dan sehingga kini tiada unsur jenayah ditemui,” katanya.

    Sebelum ini polis telah mengenal pasti dua remaja terbabit dikenali sebagai Ahmad Danish Hakeem Hanafiah dan Akmalharith Damia Zainul.

    Kedua-dua mereka yang dilaporkan hilang oleh keluarga masing-masing ditemukan di dalam sebuah MPV di ruang parkir bawah tanah sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras di Kuala Lumpur, 29 Mei lepas. – Bernama

  • Pekerja pembekal makanan dipenjara pukul isteri guna kerusi

    Pekerja pembekal makanan dipenjara pukul isteri guna kerusi

    SEORANG pekerja pembekal makanan dipenjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini atas kesalahan memukul kepala isterinya menggunakan kerusi.

    Tertuduh, A. Ramasamy, 48, dikenakan hukuman itu bermula tarikh tangkapan pada Sabtu lalu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.

    Sinar Harian melaporkan, mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya yang berusia 44 tahun dengan memukul menggunakan kerusi di bahagian kepala.

    Kesalahan dilakukan di sebuah rumah flat projek perumahan rakyat (PPR) di Kepong, Kuala Lumpur pada pukul 6 petang, 4 Jun lalu.

    Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau dengan kedua-duanya.

    Semasa prosiding, tertuduh dalam rayuannya memohon agar dikenakan hukuman pemenjaraan pada kadar minimum kerana perlu menjaga keluarga termasuk empat anaknya yang berusia 23 hingga enam tahun.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Amalina Johar mencadangkan mahkamah menjatuhi hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

  • Bayi lapan bulan patah tangan kiri disyaki didera di Taska

    Bayi lapan bulan patah tangan kiri disyaki didera di Taska

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Seorang bayi lelaki patah tulang tangan kiri disyaki akibat didera di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Alor Setar, minggu lepas.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner (ACP) Ahmad Shukri Mat Akhir, kejadian menimpa bayi tersebut yang difahamkan baru beberapa hari dipindahkan ke taska tersebut, berlaku pada 2 Jun lalu.

    Katanya, keluarga bayi tersebut membuat laporan polis sehari kemudian sebelum bayi itu dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

    “Pada awalnya doktor mendapati terdapat bengka pada lengan kiri namun tiada kesan luka. Setelah dirujuk ke pakar tulang Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), bayi tersebut disahkan patah tulang di bahagian atas lengan kiri.

    “Berikutan itu pihak polis menahan seorang wanita berusia 20 tahun yang merupakan pengasuh di taska terlibat, untuk membantu siasatan,” katanya.

    Tambahnya, setakat ini pihak polis masih menyiasat punca kejadian itu serta beberapa perkara berkaitan.

    “Wanita yang ditahan itu direman selama enam hari hingga 9 Jun depan.

    “Siasatan lanjut kini masih dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.