Category: Jenayah

  • Maritim patahkan cubaan seludup rokok RM105,000 di muara sungai

    Maritim patahkan cubaan seludup rokok RM105,000 di muara sungai

    CUBAAN satu sindiket menyeludup rokok bernilai RM105,000 berjaya dipatahkan selepas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang menahan sebuah bot gentian kaca di muara Sungai Kuantan, di Kuantan, semalam.

    Bot dinaiki dua lelaki itu dikesan pihak maritim berada dalam keadaan mencurigakan pada lokasi 2.6 batu nautika barat daya muara Sungai Kuantan pada pukul 1.35 pagi.

    Menurut Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim, Kamal Ariffin Jusoh berkata, bot samaran dinaiki tiga anggota maritim itu sedang melaksanakan rondaan Operasi Makmur di sekitar perairan Kuala Kuantan.

    “Pihak maritim mengesan bot terbabit bergerak di persisiran pantai menuju ke Sungai Kuantan.

    “Menyedari kehadiran anggota maritim, suspek memecut bot dinaiki ke arah hulu Sungai Kuantan.

    “Suspek kemudian meninggalkan bot dan berjaya meloloskan diri ke dalam hutan bakau berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Kamal Ariffin berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas bot yang ditinggalkan, pihaknya menemui 35 kotak berisi rokok dipercayai tidak bercukai disyaki cuba diseludup untuk dipasarkan di pasaran tempatan.

    “Semua rokok yang dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Pahang untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.

    “Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967,” katanya.

  • Tiga lelaki termasuk penjawat awam buat tuntutan palsu

    Tiga lelaki termasuk penjawat awam buat tuntutan palsu

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor hari ini menahan tiga lelaki termasuk seorang penjawat awam bagi membantu siasatan berkaitan tuntutan palsu yang dilakukan sekitar tahun lepas.

    Kesemua lelaki berusia 22 hingga 37 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Selangor petang tadi.

    Menurut sumber, mereka disyaki terlibat dalam urusan mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu berkaitan tuntutan insurans kemalangan kereta atas seorang penama sedangkan tiada tuntutan insurans dibuat oleh penama tersebut.

    Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini esok untuk permohonan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

    — BERNAMA

  • Suami isteri ditahan ceroboh e-mel perniagaan libat kerugian RM3.9 juta

    Suami isteri ditahan ceroboh e-mel perniagaan libat kerugian RM3.9 juta

    SEPASANG  suami isteri ditahan kerana disyaki terlibat pencerobohan e-mel perniagaan atau ‘business email compromise’ (BEC) berjumlah RM3.9 juta melibatkan mangsa di sebuah syarikat berpangkalan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Kamarudin Md Din berkata suspek wanita warga tempatan berusia 41 dan pasangannya warga Nigeria, 43 tahun, ditahan di kediaman mereka di Eco Majestic, Semenyih, , semalam.

    “Suspek telah melakukan penipuan terhadap seorang lelaki warga UAE di Dubai melibatkan kerugian berjumlah RM3,907,308.86, yang sebelum itu mangsa telah berurusan dengan  syarikat Oyak Cimento Fabrikalari di Amerika Syarikat melalui e-mel, untuk pembelian simen.

    “Bagaimanapun, polis percaya suspek telah menggodam e-mel syarikat mangsa untuk melihat urusan perniagaan yang dibuat, terutamanya yang membabitkan transaksi,” katanya dalam sidang media khas di Kuala Lumpur hari ini.

    Beliau berkata mangsa kemudian menerima e-mel daripada [email protected] oleh suspek yang mempunyai sedikit perbezaan daripada alamat e-mel syarikat di AS, sewaktu perbincangan bersama mangsa.

    “Suspek menghantar e-mel kepada mangsa mengarahkan transaksi dibuat ke akaun milik syarikat Oyak Cement Fabrikalari Trading di Malaysia. Bagaimanapun, pengadu tidak menerima sebarang barangan selepas transaksi dibuat,” katanya.

    Mohd Kamarudin berkata pengadu melalui wakil di Malaysia telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, pada 8 Jun lepas.

    Menurutnya, polis merampas sebuah kereta jenis Mercedes Benz S300L, Proton Exora, enam buah telefon bimbit, dua utas jam tangan, dua buah komputer riba, 10 unit cop, sejumlah barang kemas, dokumen dan pelbagai barangan lain dipercayai berkait dengan penipuan yang dijalankan.

    Beliau berkata hasil tangkapan, polis telah membeku RM1.8 juta dari akaun suspek dipercayai hasil penipuan ke atas mangsa di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

    Beliau berkata pihaknya kini sedang mengesan baki wang yang dilesapkan suspek.

    Mohd Kamarudin mengingatkan kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila menerima e-mel daripada mana-mana pihak, yang mendakwa pernah berurus niaga dengan mereka.

    “Jika ada e-mel yang meminta untuk membuat transaksi ke akaun lain daripada yang lazim diguna pakai, sila buat pengesahan melalui medium lain seperti panggilan telefon dan lain-lain,” katanya.

    Mohd Kamarudin berkata suspek direman selama empat hari bermula hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban sehingga 17 Jun, di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Sementara itu, beliau berkata 57 kes penipuan BEC telah dicatatkan melibatkan jumlah kerugian RM49 juta pada tahun 2021 dan bagi tempoh Januari hingga 13 Jun, 23 kes telah dicatatkan dengan jumlah kerugian RM15.1 juta.

    — BERNAMA

  • Juruteknik ditahan terlibat pergaduhan dengan lelaki warga asing

    Juruteknik ditahan terlibat pergaduhan dengan lelaki warga asing

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEORANG juruteknik berusia 29 tahun ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam pergaduhan sehingga mencederakan seorang lelaki warga asing di Lebuh Chulia, Georgetown, Pulau Pinang awal pagi kelmarin.

    Suspek berusia 29 tahun itu ditahan pukul 10.30 malam semalam oleh polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Timur Laut selepas video pergaduhan tersebut tular di media sosial sejak.

    Video berdurasi 38 saat yang dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter ‘nanmanjoi8715’ itu memaparkan dua lelaki sedang bergaduh di hadapan sebuah restoran.

    Menerusi video tular itu, dua lelaki dilihat bertumbuk dan bergaduh di hadapan sebuah restoran sambil cuba dileraikan oleh beberapa orang awam.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Assisten Komissioner Soffian Santong berkata, hasil semakan mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 12.30 pagi kelmarin di kawasan Lebuh Chulia,

    Ujar beliau, pihaknya menerima satu laporan polis oleh seorang lelaki warganegara asing berumur 40 tahun di Balai Polis Central, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut Pulau Pinang berkaitan insiden tersebut.

    ”Mangsa mendakwa telah diserang oleh seorang lelaki menggunakan botol minuman hingga menyebabkannya cedera luka di bahagian muka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Soffian, suspek berasal dari Negeri Sembilan dan bekerja sebagai juruteknik di Pulau Pinang.

    Katanya, lelaki berkenaan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan hasil ujian awal polis ke atasnya juga mendapati dia negatif sebarang jenis dadah.

    “Hasil siasatan yang dijalankan mendapati punca kejadian adalah disebabkan mabuk dan berlaku pertengkaran mulut setelah suspek menegur pengadu secara kasar,” katanya.

    Tambahnya, suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 17 Jun ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

  • 99.67% aset RM5.1 bilion dilucuthak berkaitan 1MDB

    99.67% aset RM5.1 bilion dilucuthak berkaitan 1MDB

    JUMLAH aset yang dilucuthak dan dipulangkan kepada kerajaan Malaysia pada tahun lepas adalah kira-kira RM5.1 bilion, dengan 99.57 peratus daripadanya berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

    Beliau berkata, siasatan SPRM juga telah membawa 152 kes pelucuthakan aset dikendalikan di mahkamah dengan 121 daripadanya telah selesai.

    “117 kes atau 96.7 peratus memihak kepada pendakwa raya dan empat kes, atau 2.2 peratus tidak memihak kepada pendakwa raya,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Media SPRM 2021 di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.

    Azam berkata, SPRM bertanggungjawab meneliti dan menyiasat sebarang aduan, meskipun dakwaan rasuah hanya membabitkan jumlah yang kecil.

    Beliau berkata, sekiranya didapati ada sebab yang munasabah menunjukkan berlakunya kesalahan di bawah bidang kuasa SPRM, kertas siasatan akan dibuka dan setelah selesai siasatan, ia akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

    “Meskipun pemberian izin untuk mendakwa adalah bergantung kepada budi bicara mutlak Peguam Negara, kekuatan bukti hasil siasatan SPRM membantu dalam keputusan tersebut,” katanya.

    Azam berkata, SPRM mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dalam menjalankan siasatan dan tidak boleh membuka kertas siasatan hanya daripada maklumat seorang blogger atau pengguna media sosial, terutama sekali mereka yang disyaki mempunyai agenda politik tertentu.

    “Jika siasatan kami atas tuduhan atau dakwaan yang sedemikian, kertas siasatan kami tidak akan berjaya berdiri di atas landasan bukti yang teguh.

    “Nescaya ia akan dibuang sebelum ia mendapat izin untuk mendakwa oleh Pejabat Peguam Negara dan sudah tentu ia tidak akan sampai ke ruang perbicaraan mahkamah sekalipun,” katanya.

    Beliau berkata, SPRM sentiasa mengikuti SOP yang diperuntukkan berhubung siasatan kes dan akan meneliti mana-mana dakwaan dan aduan sebelum membuka sesuatu kertas siasatan.

    “Sekiranya, tidak ada atau tidak cukup bukti kertas siasatan akan ditutup. Amalan ini adalah untuk memastikan seseorang yang tidak bersalah tidak dianiayai dan yang tertuduh mendapat ruang dan peluang pembelaannya di mahkamah,” katanya.

    Dalam pada itu, Azam berkata, bermula tahun 2000, SPRM mula bergerak ke arah kaedah risikan dan penyiasatan proaktif iaitu kaedah ‘Penyiasatan Bedasarkan Risikan ke atas Kes Berprofil Tinggi’ dalam siasatan.

    “Proses ini memerlukan analisis mendalam terhadap suspek-suspek tertentu, sebelum kita membuat penyiasatan sebenar. Walaupun kaedah ini memakan masa, namun impaknya adalah tinggi,” katanya.

    Antara kes yang berjaya didedahkan SPRM hasil kaedah risikan dan penyiasatan proaktif itu adalah kes terjumpanya wang dalam sekitar RM53 juta tunai daripada seorang pegawai kerajaan, dalam satu operasi dikenali ‘OPS Water’ pada 2016. – BERNAMA

  • SPRM tak gugur kes salah guna kuasa pegawai Mara Corp

    SPRM tak gugur kes salah guna kuasa pegawai Mara Corp

    DAKWAAN sebuah portal kononnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menggugurkan kes salah guna kuasa melibatkan tiga pegawai Mara Corp adalah tidak benar.

    Memetik laporan Astro Awani, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menegaskan, siasatan telah dijalankan oleh pihaknya dan beberapa individu dicadangkan untuk dituduh.

    “Kita telah hantar ke Jabatan Peguam Negara untuk dikaji dan seperti yang lepas kita mencadangkan untuk dituduh beberapa pihak dalam kes ini.

    “Jadi setakat ini tidak ada sebarang maklumat dari Jabatan Peguam Negara mengenai tiada pihak dituduh, jadi saya tiada komen mengenai kes ini tidak dituduh,” katanya ketika ditemui media dalam Majlis Anugerah SPRM 2021 di Putrajaya hari ini.

    Beliau menambah, siasatan yang dijalankan sebelum ini mendapati terdapat keterangan yang memadai untuk pertuduhan dibuat terhadap beberapa individu.

    “Dari pihak kami telah menyiasat dan pada pandangan kami ada keterangan memadai dan mencukupi untuk pertuduhan terdahadap beberapa pihak,” katanya lagi.

    Pada 5 Februari lalu, SPRM mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Mara, yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi itu sebelum menyerbu dan merampas beberapa dokumen daripada Mara, Mara Corp dan sebuah syarikat setiausaha korporat pada 7 Februari.

  • SPRM Johor tahan CEO syarikat telekomunikasi minta,terima rasuah RM200,000

    SPRM Johor tahan CEO syarikat telekomunikasi minta,terima rasuah RM200,000

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor telah menahan seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat rangkaian telekomunikasi bagi membantu siasatan kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah lebih RM200,000 menerusi satu operasi yang dijalankan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

    Menurut sumber, suspek lelaki yang berusia 43 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Selangor, kira-kira pada jam 8.00 malam semalam selepas hadir memberikan keterangan.

    Difahamkan, sekitar April tahun lalu, suspek telah meminta dan menerima wang rasuah tersebut daripada sebuah syarikat lain sebagai dorongan memberikan kerja berkaitan projek kejuruteraan pembinaan dan pembaikian menara telekomunikasi yang berjumlah hampir RM50 juta.

    Susulan itu, Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini membenarkan suspek direman selama empat hari selepas SPRM Johor membuat permohonan reman pagi tadi.

    Perintah reman yang bermula hari ini sehingga 17 Jun depan itu keluarkan oleh Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali

    Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Dato’ Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.

  • Polis Kelantan tumpas pengedaran rokok tidak bercukai

    Polis Kelantan tumpas pengedaran rokok tidak bercukai

    POLIS Kelantan berjaya menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai jenis rokok tidak bercukai bernilai RM277,000 dalam serbuan di sebuah rumah dekat Kampung Telok Kitang, Pengkalan Chepa, di Kota Bharu, Ahad lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan, Datuk Mohd Nor Yhazid Idris berkata, dalam serbuan Op Kontraban pada 10 malam itu, pasukannya telah menjumpai rokok-rokok berkenaan tersimpan dalam beberapa kotak rokok berwarna coklat.

    “Terdapat 2,474 karton pelbagai jenis rokok pelbagai jenama dengan anggaran nilai rampasan termasuk cukai RM277,000 ditemukan, dan suspek berumur dalam lingkungan 30-an itu mengaku terlibat dalam kegiatan penyeludupan rokok tanpa cukai sejak Mac lepas,” katanya.

    Bercakap kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan, di Kota Bharu hari ini beliau berkata, suspek direman hingga 16 Jun depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – BERNAMA

  • Pesara wanita rugi RM220,500 angkara ‘Love Scam’

    Pesara wanita rugi RM220,500 angkara ‘Love Scam’

    SEORANG pesara mengalami kerugian berjumlah RM220,500 selepas dipercayai terpedaya dengan sindiket ‘Love Scam’ pada November tahun lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah Supt Elias Omar berkata ia bermula apabila wanita berumur 60 tahun dari Pendang itu berkenalan dengan suspek menerusi Facebook yang kemudian memperkenalkan dirinya sebagai ‘Amran Mohammad Ali’.

    “Mangsa yang telah kematian suami sejak 2008 kemudian berhubung dengan suspek yang memaklumkan bahawa dia bekerja sebagai seorang doktor di Syria, menggunakan aplikasi WhatsApp.

    “Suspek telah meminta bantuan daripada mangsa untuk memasukkan beberapa transaksi wang ke dalam akaun suspek bagi membantunya kerana sering berada dalam kesusahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Elias berkata mangsa yang mempercayai suspek, telah membuat kemasukan wang secara berperingkat melalui mesin juruwang automatik (ATM) ke dalam tujuh akaun bank berbeza yang diberikan suspek.

    “Mangsa telah membuat 51 transaksi berjumlah RM220,500 ke dalam kesemua akaun yang diberikan bermula Disember 2021 hingga Mei lepas dan duit berkenaan adalah daripada simpanannya sendiri. Mangsa sedar dirinya ditipu dan telah membuat laporan polis semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah Pendang.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Polis juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan sindiket penipuan dan membuat semakan nombor telefon atau nombor akaun bank menerusi laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ terlebih dahulu,” katanya.

    — BERNAMA

  • Polis gagalkan cubaan seludup 23 pendatang Myanmar guna kenderaan mewah

    Polis gagalkan cubaan seludup 23 pendatang Myanmar guna kenderaan mewah

    CUBAAN  seorang lelaki warga tempatan menyeludup 23 orang pendatang tanpa izin warga Myanmar menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah digagalkan anggota polis dalam kejadian di sini, 9.30 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Tanah Merah Supt Wan Zulfikri Wan Othman berkata terdahulu anggota Unit Kereta Peronda (MPV) yang melakukan rondaan mengesan sebuah Toyota Vellfire dipandu seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun dalam kenderaan mencurigakan di Bukit Bunga.

    Beliau berkata selepas dikejar, kenderaan itu dan ia berjaya ditahan di Batu 11 Jalan Jeli-Tanah Merah, dan pemandunya ditahan dalam kawasan semak berhampiran semasa cuba melarikan diri.

    “Pemeriksaan lanjut di bahagian penumpang menemukan 18 lelaki dan lima wanita warga Myanmar berusia 19 hingga 44 tahun yang didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya pemandu kenderaan yang didapati positif methamphetamine serta mempunyai tiga rekod jenayah dan 16 rekod jenayah narkotik itu mengaku menerima upah RM300 bagi tiap seorang warga Myanmar untuk dibawa ke Kuala Lumpur.

    “Pemandu itu akan disiasat dibawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, manakala warga Myanmar yang ditahan akan disiasat dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/69,” katanya.

    — BERNAMA