Category: Jenayah

  • Siasatan ahli perniagaan diugut ‘mafia korporat’ di peringkat akhir

    Siasatan ahli perniagaan diugut ‘mafia korporat’ di peringkat akhir

    KERTAS siasatan berkaitan kes seorang lelaki bergelar Datuk Seri disyaki melakukan ugutan jenayah terhadap ahli perniagaan di sebuah restoran di Jalan Dutamas, Kuala Lumpur akan diserahkan Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, pihaknya menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

    “Siasatan sudah di peringkat akhir dan akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Sementara itu, sumber berkata, difahamkan dua kejadian berasingan berlaku pada 6 Jun dan 14 Jun lalu.

    Katanya, kejadian berlaku ketika ahli perniagaan berusia 63 tahun mengadakan pertemuan bersama suspek berusia 54 tahun dan seorang lagi rakan.

    Menurutnya, suspek dipercayai tidak puas hati apabila mangsa tidak menunaikan permintaan supaya melantiknya dan seorang lagi rakan sebagai pengarah ayarikat.

    Menurutnya, suspek yang digelar ‘mafia korporat’ itu didakwa menunjukkan sepucuk pistol yang diselit pada seluar sambil mengugut mahu menembak mangsa.

    “Dalam pertemuan kedua pula, suspek sekali lagi mengugut dan menampar mangsa menyebabkan berlaku pertengkaran kecil sebelum dileraikan oleh seorang rakan mereka,” katanya.

    Berikutan kejadian itu, mangsa tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

  • Wanita warga emas maut dipukul selepas tegur anaknya buat bising

    Wanita warga emas maut dipukul selepas tegur anaknya buat bising

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG warga emas maut dipukul menggunakan pisau dan kapak selepas menegur anaknya yang membuat bising di rumah mereka di Taman Temiang, Muar, malam tadi.

    Kejadian tersebut dimaklumkan kepada polis pukul 8.20 malam bahawa terdapat pergaduhan melibatkan senjata tajam antara dua beranak itu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Muhkhliz Azman Aziz, siasatan awal pihak polis mendapati mangsa iaitu wanita warganegara tempatan berumur 73 tahun terbunuh di tempat kejadian.

    “Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta leher.

    “Kejadian berlaku dipercayai akibat tindakan mangsa menegur suspek kerana membuat bising, menyebabkan suspek mengamuk dan memukul kepala mangsa menggunakan senjata tajam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar untuk dibedah siasat.

    Beliau berkata, polis menangkap anak mangsa, 47, di tempat kejadian dan merampas sebilah pisau dapur serta kapak disyaki senjata yang digunakan dalam kejadian tersebut.

    Siasatan awal katanya, pihak polis dapati suspek mempunyai rekod psikiatrik lampau.

    Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan membawa hukuman mati.

    “Polis Daerah Muar menasihati orang ramai, kepekaan dan pemantauan rapi perlu diberikan terhadap individu-individu yang mengalami masalah psikiatri seumpama ini supaya tidak mendatangkan bahaya nyawa dan harta kepada individu lain, ahli keluarga serta keselamatan awam umumnya,” katanya.

  • Pegawai polis ditahan selepas hina lans koperal

    Pegawai polis ditahan selepas hina lans koperal

    POLIS  mengesahkan telah menahan seorang anggota polis wanita yang tular sebelum ini mengeluarkan kata-kata kurang sopan serta menghina anggota bawahan pasukan itu.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar berkata, penjawat awam itu telah ditahan pada jam 1.20 tengah hari hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.

    “Cawangan D9 Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak telah membuat tangkapan terhadap seorang perempuan warga tempatan yang berumur 35 tahun.

    “Polis juga turut merampas telefon bimbit untuk membantu siasatan berkait Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil,” katanya kenyataan lapor Astro Awani.

    Hussein berkata, suspek akan diberi jaminan sebaik sahaja kertas siasatan lengkap berikutan ada beberapa lagi laporan yang dibuat terhadap suspek sama.

    Dalam rakaman yang tutar sebelum ini suspek dipercayai seorang pegawai polis telah meninggikan suara dengan mengatakan anggota polis berkenaan tidak layak menegurnya selain merendahkan jawatannya sebagai lans koperal.

    Sementara itu tular satu lagi rakaman video didakwa membabitkan pegawai polis yang sama, dalam kejadian pertengkaran berbeza di lokasi lain.

  • Wanita dipercayai hina Agong di media sosial ditahan polis

    Wanita dipercayai hina Agong di media sosial ditahan polis

    POLIS Pulau Pinang menahan seorang wanita berusia 32 tahun kerana dipercayai memuat naik kandungan yang berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di media sosial.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, wanita itu ditahan Selasa lalu selepas dipercayai memuat naik kandungan di media sosial berhubung penganugerahan pingat kepada veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang dan mengaitkan figura tersebut sebagai pencetus rusuhan 13 Mei 1969.

    Menurut beliau, polis menerima laporan daripada orang awam pada 7 Jun lalu mengenai beberapa kandungan di media sosial yang berupaya menjejaskan ketenteraman awam.

    ”Susulan itu, pada 13 Jun pihak Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman telah menahan seorang wanita berusia 32 tahun di pekarangan ibu pejabat polis daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU) kerana dipercayai memuat naik kandungan di media sosial yang berbaur penghinaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, bahan bukti berupa komputer riba, telefon bimbit dan kad sim telah diambil daripada suspek bagi membantu siasatan.

    Tambah beliau, suspek telah diberikan jaminan polis pada hari yang sama kerana mengadu sedang mengandung enam bulan.

    “Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan kes disiasat oleh USJT Bukit Aman,” katanya.

  • Pegawai polis ditahan disyaki memandu melawan arus, mabuk

    Pegawai polis ditahan disyaki memandu melawan arus, mabuk

    SEORANG pegawai polis ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dan melawan arus di Jalan Cheras dekat Kuala Lumpur pukul 4.10 pagi semalam.

    Dalam kejadian itu, sepasukan anggota polis ternampak sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki secara melawan arus.

    “Anggota polis berkenaan bertindak mengejar dan berjaya menahan kenderaan terbabit berhampiran lampu isyarat di persimpangan menghala ke Flat Sri Sabah.

    “Lelaki itu enggan memberikan kerjasama dan telah menghalang anggota polis untuk membuat pemeriksaan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Menurutnya, lelaki terbabit turut menunjukkan isyarat lucah terhadap anggota polis yang memeriksanya.

    “Semasa proses tangkapan telah berlaku pergelutan, akibatnya lelaki itu mengalami luka dibahagian atas kening sebelah kiri, dia telah dibawa Ke Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan seorang pegawai polis berusia 35 tahun telah ditahan.

    Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • SPRM teliti isu Telekom minta rundingan terus dengan Opcom – Azam Baki

    SPRM teliti isu Telekom minta rundingan terus dengan Opcom – Azam Baki

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneliti dakwaan isu Telekom Malaysia Berhad (Telekom) mengeluarkan surat untuk meminta kebenaran mengadakan rundingan terus dengan Opcom Sdn Bhd (Opcom) bagi pembekalan kabel fiber optik bernilai RM214.2 juta.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan sekiranya ada aduan dan mempunyai asas di bawah kesalahan rasuah.

    “Sekiranya terdapat maklumat dan aduan yang mempunyai asas di bawah kesalahan rasuah, maka SPRM mempunyai asas untuk jalankan siasatan,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kali Ketiga Pemerhati Rasuah Malaysia di Universiti Putra Malaysia, di Shah Alam hari ini.

    Kelmarin, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Telekom mengeluarkan surat untuk meminta kebenaran mengadakan rundingan terus dengan Opcom bagi pembekalan kabel fiber optik bernilai RM214.2 juta.

    Surat berkenaan dikeluarkan kepada Kementerian Kewangan pada 15 September 2003, yang mana Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu adalah Tun Dr. Mahathir Mohamad, manakala anak ketiganya, Datuk Seri Mukhriz adalah Pengarah Opcom.

    Menerusi pembelaan terhadap saman difailkan Mahathir, Perdana Menteri berkata, Telekom adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mana Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) memegang satu saham khas yang memberikan MKD kuasa untuk menolak keputusan lembaga dan pemegang saham lain.

    Beliau berkata, MKD pada masa itu berada di bawah kawalan dan arahan Mahathir yang juga Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

    Katanya, Kementerian Kewangan pada 7 Oktober 2003 mengeluarkan surat untuk meluluskan permohonan Telekom untuk rundingan terus berkenaan.

  • Bunuh teman wanita, warga asing mengaku salah

    Bunuh teman wanita, warga asing mengaku salah

    SEORANG lelaki mengaku salah membunuh teman wanitanya di sebuah kondominium di Kelana Jaya selepas didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

    Ketua Polis Petaling Jaya Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, lelaki warga asing berusia 30 tahun itu membuat pengakuan itu susulan didakwa kelmarin.

    “Suspek direman selama 13 hari untuk siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    “Kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Selangor dan mendapat arahan tuduh pada Khamis (kelmarin). Suspek mengaku membunuh teman wanitanya,” katanya menurut Harian Metro.

    Pada 9 Jun, dilaporkan seorang lelaki warga India dipercayai menikam teman wanitanya sehingga 18 kali menggunakan pisau pemotong buah.

    Tindakan suspek terbongkar selepas ditahan sepasukan Polis Bantuan Express Rail Link (ERL) Salak Selatan dipercayai untuk membunuh diri.

    Suspek kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut dan hasil soal siasat dijalankan, suspek mengaku membunuh teman wanitanya berumur 40 tahun yang juga warga India antara 4 hingga 6 petang, 2 Jun lalu.

    Suspek membunuh kekasihnya itu gara-gara cemburu kerana percaya wanita berkenaan mempunyai hubungan sulit dengan lelaki yang tinggal serumah dengan mereka.

  • Remaja dibelasah rakan akibat kata-kata kesat

    Remaja dibelasah rakan akibat kata-kata kesat

    SEORANG remaja cedera dibelasah rakan akibat mengeluarkan kata-kata kesat dalam kejadian di Jalan Langsat, Kluang, kira-kira 12 tengah malam semalam.

    Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, mangsa berusia 18 tahun cedera di kepala dan tangan selepas diserkup dalam karung guni sebelum dipukul enam suspek berusia 15 hingga 18 tahun.

    “Siasatan awal mendapati mangsa menjadi punca pergaduhan kerana mengeluarkan kata-kata kesat sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakan-rakannya.

    “Mangsa mengenali beberapa suspek terlibat kerana merupakan rakan-rakannya di mana ketika itu mereka sedang makan di sebuah restoran dekat pusat bandar.

    “Senjata yang digunakan dalam pergaduhan itu, iaitu kerusi plastik, selain iPhone 12 Pro Max dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, semua tangkapan tiada rekod jenayah lampau dan pemeriksaan urin menunjukkan mereka negatif dadah.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya memetik laporan Harian Metro.

  • Lelaki tunggang motosikal lawan arus di Lebuh Raya SUKE dikenal pasti

    Lelaki tunggang motosikal lawan arus di Lebuh Raya SUKE dikenal pasti

    POLIS telah mengenal pasti individu yang menunggang motosikal melawan arus di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) pada Rabu lepas yang menyebabkan seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata lelaki tempatan berumur 41 tahun yang bekerja sebagai peniaga makanan itu telah tampil membuat laporan polis mengenai kemalangan berkenaan di Balai Trafik Kajang, semalam.

    “Siasatan mendapati suspek dalam perjalanan dari Ampang untuk pulang ke rumah di Kajang tapi telah tersesat dan buat keputusan untuk memasuki jejambat Lebuhraya SUKE dengan melawan arus sehingga menyebabkan kemalangan berkenaan.

    “Akibat kemalangan, suspek juga terjatuh dari motosikalnya dan mengalami kecederaan patah di bahagian bahu kanan, patah jari kelingking, luka di bahu kiri dan kaki kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata suspek bertindak pulang ke rumah selepas insiden itu dan hanya mengetahui kes (kemalangan maut) berlaku setelah menonton berita di televisyen dan hebahan menerusi media sosial.

    Mohd Azam berkata untuk tujuan siasatan, pihak polis telah merampas motosikal jenis Yamaha miliknya dan beberapa barangan lain serta merakam percakapan suspek serta lima individu lain.

    “Bagaimanapun suspek tidak ditahan kerana masih lemah akibat kecederaannya,” katanya.

    Mohd Azam berkata kedua-dua motosikal terlibat dalam kemalangan berkenaan akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan Jabatan Kimia untuk pemeriksaan lanjut.

    Dalam kejadian tengah hari Rabu lepas, mangsa Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64, meninggal dunia selepas terjatuh dari jejambat Lebuhraya SUKE dengan ketinggian 30 meter akibat mengelak daripada melanggar sebuah motosikal yang melawan arus.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan menyebabkan kematian. 

  • SPRM terima laporan ‘naungan politik’ lindungi judi dalam talian-Azam

    SPRM terima laporan ‘naungan politik’ lindungi judi dalam talian-Azam

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menerima laporan berkaitan dakwaan mengenai ‘naungan politik’ yang melindungi pengendali platform perjudian dalam talian di negara ini.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya ada menerima laporan dan maklumat tertentu berkaitan isu berkenaan.

    “Kita juga bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menyiasat dakwaan berkenaan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kali Ketiga Pemerhati Rasuah Malaysia di Universiti Putra Malaysia, di Serdang hari ini, lapor Sinar Harian.

    Semalam, media melaporkan PDRM telah menerima maklumat terdapat penglibatan pihak politik dalam aktiviti judi dalam talian.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata, PDRM dan SPRM sedang berkongsi maklumat siasatan bagi menentu sahkan dan menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara tersebut.

    Kelmarin media melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan terdapat ‘naungan politik’ yang melindungi pengendali platform perjudian dalam talian di negara ini.

    Justeru, Saifuddin menjelaskan, hal demikian menjadi kekangan terbesar dihadapi Kementerian Dalam Negeri (KDN), PDRM dan kerajaan untuk membanteras kegiatan berkenaan daripada terus berleluasa.

    Saiffuddin berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk R. Ramanan (PH-Sungai Buloh) yang ingin mengetahui jika benar wujud naungan politik dalam kegiatan perjudian dalam talian haram.

    Dalam pada itu Saifuddin memaklumkan, Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Pertaruhan 1953 perlu dipinda segera agar pengendali platform berkenaan boleh dihadapkan ke muka pengadilan