Category: Jenayah

  • Pemandu lori rempuh 11 kenderaan di Tambak Johor direman tiga hari

    Pemandu lori rempuh 11 kenderaan di Tambak Johor direman tiga hari

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PEMANDU lori yang merempuh 11 buah kenderaan lain di Tambak Johor, Johor Bahru, semalam direman tiga hari bermula hari ini.

    Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar, Melody Woon Sze Mun terhadap suspek yang berusia 34 tahun.

    “Hasil semakan mendapati suspek mempunyai 33 rekod saman lampau atas pelbagai kesalahan trafik dan turut mempunyai enam saman yang masih tertunggak,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

    Suspek yang memakai baju t-shirt berwarna hitam dan berseluar jeans biru tiba di pekarangan mahkamah Johor Bahru pada pukul 10 pagi.

    Semalam, media melaporkan lori berkenaan yang dipercayai mengalami masalah kerosakan teknikal merempuh 11 buah kenderaan lain di sempadan antarabangsa Malaysia-Singapura pada pukul 9.25 pagi.

    Raub berkata, kemalangan itu melibatkan 12 buah kenderaan iaitu sebuah lori, sebuah bas, sebuah van dan sembilan buah kereta dengan enam daripadanya merupakan kenderaan berdaftar di Malaysia dan enam yang lain bernombor pendaftaran Singapura.

    “Kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa mahupun kecederaan sebaliknya hanya laporan kerosakan kenderaan diterima.

    “Siasatan lanjut sedang dibuat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya akan menjalankan siasatan Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) berhubung insiden itu.

    “Tindakan tegas akan dikenakan kepada pemandu lori atau syarikat terbabit jika didapati gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan, setelah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melengkapkan audit ICOP termasuklah seperti menggantung lesen GDL pemandu lori, menggantung permit syarikat atau lain-lain hukuman yang termaktub dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333),” ujarnya.

  • Tiga maut, empat parah kereta bertembung di SKVE

    Tiga maut, empat parah kereta bertembung di SKVE

    Tiga lelaki warga asing maut manakala tiga lagi lelaki warga asing dan seorang lelaki tempatan cedera parah dalam kemalangan di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) sekitar Pulau Carey, malam tadi. 

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan pada 10.42 malam dan apabila tiba di lokasi kemalangan, didapati terdapat sebuah kereta Toyota Unser dan sebuah Honda HR-V bertembung yang mengakibatkan tujuh mangsa tersepit. 

    “Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan pada 12.16 tengah malam dengan tiga daripadanya meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Beliau berkata kesemua warga asing itu menaiki Toyota Unser dan didapati mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri manakala lelaki tempatan berkenaan memandu Honda HR-V.

    Katanya tiga mangsa yang cedera parah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, seorang lagi dibawa ke Hospital Banting manakala tiga yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – Bernama

  • Warga emas disyaki bunuh abang, kakak ipar ditahan

    Warga emas disyaki bunuh abang, kakak ipar ditahan

    POLIS berjaya menahan seorang lelaki malam tadi bagi membantu siasatan membunuh sepasang suami isteri di sebuah rumah di Taman Bercham Aman di Ipoh, pagi semalam.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata lelaki berusia 61 tahun itu yang juga adik kepada mangsa lelaki ditahan di Genting Highlands, Pahang kira-kira 7.45 malam.

    “Polis juga menjumpai sebilah kapak yang dipercayai senjata digunakan untuk mendatangkan kematian kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Beliau berkata ujian saringan air kencing mendapati suspek bebas daripada pengaruh dadah dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret di Ipoh pagi ini untuk permohonan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

    Menurut Mior Faridalathrash, kes bunuh itu berjaya diselesaikan dalam tempoh 11 jam selepas laporan diterima dan pihaknya mengucapkan terima kasih kepada polis Pahang, pengurusan Resorts World Genting dan orang awam atas kerjasama sehingga suspek berjaya ditangkap dalam masa singkat.

    Semalam, mayat suri rumah Ooi Tin Lu, 59, dan suaminya Ng Chun Hon, 64, seorang mekanik ditemukan berlumuran darah di ruang tamu rumah berkenaan oleh abang Chun Hon yang balik ke rumah selepas bekerja lalu melaporkan kepada polis kira-kira 8.50 pagi.

    Pasukan polis bersama pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun yang tiba di tempat kejadian mendapati kedua-dua mayat ditempatkan berdekatan dengan satu daripadanya tertiarap manakala satu lagi tersandar pada dinding dipercayai mati akibat kecederaan di kepala disebabkan senjata tajam dan objek tumpul namun tiada senjata ditemukan.

    Susulan itu, polis memburu suspek yang juga adik lelaki Chun Hon yang menghilangkan diri bersama kereta jenis Proton Saga milik Ooi.—Bernama

  • Kastam rampas 3,370kg daun ketum dalam lori dua tan

    Kastam rampas 3,370kg daun ketum dalam lori dua tan

    SEBANYAK 3,370 kilogram daun ketum bernilai RM33,700 dirampas dari sebuah lori dua tan di Lebuh Raya Timur-Barat, Kampung Batu Melintang, Jeli itu dipercayai dari Perak menuju ke Rantau Panjang semalam.

    Jabatan Kastam Diraja Malaysia Kelantan sebelum itu mengekori lori berkenaan sejauh 50 kilometer sebelum menahan pada pukul 4.30 pagi.

    Pengarah Kastam negeri, Mohd Nasir Deraman berkata, pemeriksaan di dalam lori mendapati jeriji yang diubah suai dipasang bagi mengaburi mata pihak penguat kuasa.

    “Siasatan lanjut mendapati sebanyak 337 bungkus daun ketum memenuhi lori dua tan itu,” katanya kepada pemberita di Jabatan Kastam Padang Bongor, Kota Bharu, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Hadir sama, Timbalan Pengarah Kastam Negeri (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Aladi Riping dan Timbalan Pengarah Kastam Negeri (Perkastaman dan CDN), Koh Joo Kai.

    Mohd. Nasir memberitahu, pegawai kastam turut menahan seorang pemandu lori berusia lingkungan 40-an bagi membantu siasatan.

    Katanya, modus operandi yang digunakan ialah mengangkut daun ketum dari negeri di utara itu sebelum diedar kepada pelanggan tempatan.

    Tambahnya, Kastam Kelantan turut melaksanakan dua serbuan di Machang dan Pengkalan Chepa masing-masing pada 15 Mei dan 1 Jun lalu.

  • Rakan mangsa tembak di Hulu Langat direman – Polis

    Rakan mangsa tembak di Hulu Langat direman – Polis

    TIGA rakan kepada lelaki yang maut akibat terkena tembakan daripada selaras senapang patah di kebun durian berhampiran Sungai Gabai, Hulu Langat, di Kuala Lumpur, semalam, direman selama lima hari.

    Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata kesemua suspek yang berusia 36 hingga 43 tahun itu, direman sehingga 11 Julai depan.

    “Ia adalah untuk membantu siasatan kes ini,” katanya ringkas kepada Bernama hari ini.

    Semalam, seorang lelaki tempatan maut dipercayai terkena tembakan daripada selaras senapang patah yang dibawa rakannya di kebun durian berhampiran Sungai Gabai di Hulu Langat.- Bernama

  • Dakwaan polis tidak ambil tindakan terhadap pemandu lori asing tidak benar

    Dakwaan polis tidak ambil tindakan terhadap pemandu lori asing tidak benar

    POLIS hari ini menolak dakwaan bahawa anggota cawangan trafiknya tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pemandu lori warga asing yang ditahan dalam operasi di Jalan Taman Mas, Sepang dekat sini pada Selasa lepas (5 Julai).

    Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata ketika melaksanakan Op Motosikal Perintah Gerakan, anggota trafik telah menahan sebuah lori berwarna merah pada pukul 12.40 tengah hari dan mendapati pemandunya yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), tidak memiliki lesen memandu yang sah.

    “Anggota telah mengeluarkan saman Pol 257 no AG875372 kepada pemandu lori tersebut atas kesalahan tiada lesen memandu,” katanya dalam kenyataan hari ini merujuk video tular kononnya polis tidak mengambil sebarang tindakan selepas menahan lori dipandu warga asing itu.

    Video berdurasi satu minit 27 saat itu memaparkan seorang individu mendakwa polis membiarkan warga asing yang ditahan itu pergi tanpa sebarang tindakan, selain menuduh polis mengambil suapan RM300 daripada pemandu lori.

    Wan Kamarul Azran berkata Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang akan menjalankan siasatan lanjut berkenaan dakwaan individu dalam video tersebut. – Bernama

  • Kemalangan 12 kenderaan di Tambak Johor, pemandu lori ditahan

    Kemalangan 12 kenderaan di Tambak Johor, pemandu lori ditahan

    POLIS menahan seorang pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan melibatkan 12 kenderaan di Tambak Johor menghala ke Singapura, di Johor Bahru hari ini.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Polis (ACP), Raub Selamat berkata, lelaki tempatan berumur 34 tahun itu ditahan pada 1.15 tengah hari tadi.

    Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan yang berlaku pukul 9.25 pagi tadi adalah berpunca daripada masalah teknikal yang dialami lori membawa muatan habuk batu itu.

    “Lori dipandu individu itu telah hilang kawalan lalu melanggar 11 kenderaan di hadapannya.

    “Hasil siasatan awal mendapati lori yang dipandu telah hilang kawalan kerana mengalami kerosakan teknikal di bahagian brek, lalu melanggar kenderaan lain di tempat kejadian,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, dalam kemalangan itu, enam kenderaan merupakan kenderaan tempatan, manakala enam lagi merupakan kenderaan asing.

    Katanya, selain lori berkenaan, sembilan daripadanya adalah kereta, dan masing-masing satu van dan bas.

    Bagaimanapun, Raub berkata, tiada kecederaan dilaporkan dalam kemalangan itu dan hasil ujian air kencing terhadap pemandu lori itu pula adalah negatif.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama

  • Polis berkas 4 ahli kongsi gelap edar dadah

    Polis berkas 4 ahli kongsi gelap edar dadah

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang didalangi ahli kumpulan kongsi gelap 36 dan 24 selepas memberkas empat lelaki di sekitar Lembah Klang kelmarin dan semalam.

    Pihak polis turut merampas dadah jenis ganja, syabu, pil ekstasi dan heroin base yang dianggarkan bernilai RM1.06 juta.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, dalam serbuan pertama, seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan di kawasan parkir sebuah kondominium dan 3,000 biji pil ekstasi dan wang tunai RM500 dirampas.

    “Hasil soal siasat, kita menahan seorang lagi lelaki berusia 27 tahun di kawasan parkir di sebuah kompleks beli belah di Dutamas, kita turut merampas 10.14 kilogram (kg) dadah jenis heroin.

    Sebahagian daripada dadah yang dirampas selepas polis berjaya menumpaskan Geng 24 dan Geng 36 yang dipercayai menjadi sindiket pengedaran dadah sekitar lembah klang pada sidang media Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Dalam serbuan terakhir, polis memberkas dua lelaki berusia 29 dan 31 tahun di sebuah unit kondominium di Ampang.

    “Kita merampas 142.02 kg ganja, 15.12 kg syabu dan heroin base seberat 785 gram serta sepucuk pistol revolver bersama sembilan butir peluru hidup,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Kuala Lumpur, hari ini.

    Azmi berkata, sindiket yang aktif sejak lima bulan lalu menjadikan kondominium yang dikawal oleh pengawal keselamatan sebagai lokasi penyimpanan dadah bagi mengaburi pihak berkuasa.

    “Semakan lanjut mendapati tiga daripada empat suspek itu memiliki rekod jenayah. Mereka direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

    Katanya, senario pengedaran dadah dilihat membimbangkan apabila Polis Kuala Lumpur berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah bersama rampasan senjata api.

    “Sejak awal tahun sehingga hari ini, sebanyak lima laras senjata api pelbagai jenis telah dirampas,” katanya.

  • SPRM nafi dakwaan ugutan, pegawainya buat laporan polis

    SPRM nafi dakwaan ugutan, pegawainya buat laporan polis

    PEGAWAI Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa melakukan ugutan terhadap seorang lelaki dalam bilik siasatan tampil membuat laporan polis berhubung dakwaan itu.

    Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, laporan berkenaan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.

    “Berdasarkan laporan dibuat pegawai itu menyatakan dakwaan lelaki terbabit tidak benar dan berniat menjatuhkan imej serta reputasi agensi terbabit yang menjalankan siasatan.

    “SPRM menggesa pihak polis melakukan siasatan terperinci terhadap laporan berkenaan kerana dakwaan terhadap pegawai SPRM itu adalah tuduhan serius,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Katanya, SPRM sentiasa memberi kerjasama kepada polis untuk menjalankan siasatan terhadap pegawainya dan dalam masa sama akan terus menjalankan siasatan berkaitan isu rasuah membabitkan pihak yang terbabit dalam isu berkenaan.

    Terdahulu, Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz mengesahkan menerima laporan daripada pengarah sebuah syarikat yang mendakwa dua pegawai SPRM memaksanya menulis surat pengisytiharan memindahkan wang RM1.7 juta kepada individu lain.

    Sebelum itu, tular di media sosial perkongsian laporan polis berhubung kes berkenaan yang dikongsi oleh seorang pemilik akaun di mana pengadu mendakwa dikelilingi tiga pegawai SPRM dan seorang orang awam sebelum dua daripada mereka memaksanya menandatangani satu surat.

  • Kes bunuh suami isteri: Polis buru adik mangsa

    Kes bunuh suami isteri: Polis buru adik mangsa

    POLIS sedang memburu adik kepada lelaki yang ditemukan meninggal dunia bersama-sama isteri dipercayai dibunuh di kediaman mereka di Taman Bercham Aman di Ipoh hari ini.

    Mangsa, Ng Chun Hon, 64, dan isterinya Ooi Tin Lu, 59, ditemukan meninggal dunia dalam keadaan berlumuran darah.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, abang mangsa lelaki hadir di Balai Polis Bercham pada pukul 8.50 pagi.

    “Dia memaklumkan menemukan adik dan isterinya dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah sebelum anggota bergegas ke lokasi kejadian.

    “Setibanya pasukan polis tiba bersama paramedik dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati dua mangsa lelaki dan wanita yang tidak sedarkan diri dan berlumuran darah.

    “Kedua-dua mangsa ditemukan berdekatan di ruang tamu dengan lelaki dalam keadaan tertiarap manakala wanita tersandar pada dinding yang disahkan sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di Ipoh, hari ini.

    Yahaya berkata, siasatan polis mendapati kedua-dua mangsa maut akibat cedera parah pada bahagian kepala kerana senjata tajam dan objek tumpul.

    “Pihak polis masih menjalankan siasatan punca kematian, kita mempercayai mangsa meninggal dunia malam tadi. Sehingga kini kita masih belum menemui senjata yang digunakan suspek.

    “Kes ini akan disiasat sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mandatori. Mangsa lelaki merupakan seorang mekanik dan manakala isterinya suri rumah,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

    Beliau berkata, susulan kes ini polis juga sedang memburu Ng Chun Ming, 61, yang juga adik kepada mangsa lelaki yang maut.

    “Pihak polis memburu suspek yang juga ahli keluarga mangsa, yang mana sudah menghilangkan diri bersama kenderaan jenis Proton Saga milik mangsa wanita.

    “Kita berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek dapat berhubung terus dengan balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.

    Katanya, siasatan mendapati suspek yang tidak bekerja mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan mendatangkan cedera parah.

    Menurutnya, ibu mangsa lelaki berusia 90 tahun yang sudah uzur dan berkerusi roda yang juga tinggal bersama-sama berada di rumah berkenaan ketika kejadian.

    “Siasatan mendapati ada terdengar bunyi pergaduhan tetapi setakat ini tidak ada sesiapa yang melaporkan berkenaan perkara terbabit kepada pihak polis.

    “Bedah siasat akan dijalankan dan kita masih lagi menyiasat motif kes pembunuhan ini,” katanya.