Category: Jenayah

  • Polis tahan teman lelaki wanita hina Islam di kelab komedi

    Polis tahan teman lelaki wanita hina Islam di kelab komedi

    TEMAN lelaki kepada seorang wanita disyaki menghina agama Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi ditahan semalam.

    Lelaki itu ditahan di Kuala Lumpur oleh anggota dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

    Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Saaduddin berkata, lelaki tersebut telah ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga Rabu bagi membantu siasatan.

    “Kita akan buat permohonan untuk menyambung reman suspek wanita yang ditahan pada Sabtu lalu, selepas tempoh remannya tamat pada Selasa.

    “Kertas siasatan akan segera dirujuk ke pejabat Peguam Negara dengan cadangan pertuduhan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Terdahulu, video berdurasi 54 saat memaparkan seorang wanita menanggalkan tudung dan pakaian ketika membuat persembahan stand up comedy (komedi solo) sekali gus menerima kecaman daripada orang ramai.

  • APMM tahan dua nelayan miliki 35 set bubu naga

    APMM tahan dua nelayan miliki 35 set bubu naga

    DUA nelayan tempatan ditahan yang berada dalam keadaan mencurigakan ditahan pada edudukan 1.6 batu nautika barat daya Pulau Sangga Besar, Kuala Kurau, pukul 11.57 pagi, kelmarin.

    Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kurau menahan bot nelayan terbabit dikesan oleh bot Maritim Malaysia semasa rondaan rutin di perairan negeri Perak.

    Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, hasil pemeriksaan pasukan operasi mendapati, dua nelayan warga tempatan termasuk tekong, masing-masing berumur 51 dan 53 tahun berada di atas bot.

    “Pemeriksaan lanjut mendapati, bot mempunyai dokumen vesel yang sah namun, memiliki 35 set bubu naga yang disyaki digunakan sebagai alat menangkap ikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, nelayan, bot, bubu naga serta peralatan yang lain dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia.

    “Nilai rampasan kali ini dianggarkan berjumlah RM3,150 iaitu RM90 setiap satu set bubu naga,” katanya lapor Astro Awani.

    Mohd Sharenliza berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 11(3)(b) Akta Perikanan 1985 kerana memiliki peralatan menangkap ikan yang tidak dibenarkan.

    Ujarnya lagi, penggunaan bubu naga bukan sahaja menyalahi undang-undang, bahkan menjejaskan ekosistem laut dan sumber pendapatan nelayan tradisional pesisir pantai.

    Nelayan diingatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan dan sebarang salah laku jenayah atau kecemasan boleh laporkan kepada Maritim Malaysia di talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05- 7279919.

  • Lima suspek kes tipu pakej haji diserah kepada Polis Selangor

    Lima suspek kes tipu pakej haji diserah kepada Polis Selangor

    KETUA Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah memaklumkan, lima suspek termasuk pemilik sebuah agensi pelancongan yang disyaki terlibat dalam kes penipuan pakej haji diserahkan kepada Polis Selangor untuk siasatan lanjut.

    “Pihak kami sudah selesai menjalankan siasatan terhadap kesemua individu itu, sebelum diserahkan kepada Polis Selangor.

    “Polis selesai proses rakam keterangan kesemua suspek, kini dalam proses melengkapkan kertas siasatan untuk tindakan selanjutnya.

    “Kesemua tangkapan diserah ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor untuk membantu siasatan kes yang dilaporkan di negeri itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Tiada sebarang tangkapan baharu berkaitan kes itu, kata Ashari seperti dilaporkan Sinar Harian.

    Pada Sabtu, Ashari memaklumkan sebanyak 23 laporan polis diterima di Kuala Lumpur daripada mangsa membabitkan kerugian lebih RM760,000 dengan 18 laporan polis diterima pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju.

    Berikutan itu, polis menahan lima individu, kira-kira jam 9 malam di beberapa lokasi sekitar ibu negara untuk membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu melakukan penipuan.

    Tangkapan terdiri daripada pemilik sebuah agensi pelancongan dan isterinya, seorang ejen serta dua pekerja di pejabat agensi pelancongan terbabit di Danau Kota, Setapak.

    Pada Khamis lalu, kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai menjadi mangsa penipuan pakej ibadah haji oleh agensi pelancongan swasta.

  • Jumpa mayat reput dalam sungai

    Jumpa mayat reput dalam sungai

    SATU mayat reput dengan sebahagian badan dipercayai dimakan haiwan ditemukan terapung di sungai Kampung Lubuk Kawah, Pulau Teluk Rejuna, Tumpat, Kelantan, semalam.

    Mayat dipercayai lelaki tersebut ditemukan pada pukul 11 pagi.

    Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dollah berkata, anggota balai Palekbang menerima satu panggilan daripada orang awam menyatakan terdapat satu mayat terapung di sungai Kampung Lubuk Kawah, Pulau Teluk Rejuna, Palekbang, Tumpat.

    “Ketua Polis Balai Palekbang bersama empat anggota pergi ke tempat mayat dijumpai dan mendapati terdapat satu mayat terapung di sungai kampung tersebut.

    “Mayat dibawa naik oleh anggota polis dan dibawa ke Hospital Tumpat untuk dibedah siasat,” katanya lapor Sinar Harian.

    Katanya, tiada sebarang pengenalan diri pada mayat tersebut dan bedah siasat dijalankan oleh doktor mendapati mayat dalam keadaan mereput.

    “Sebahagian badan dipercayai dimakan haiwan dan dianggarkan mati dalam jangka masa 36 jam.

    “Punca kematian lelaki tersebut tidak dapat dipastikan kerana mayat yang mereput,” katanya.

    Beliau berkata, pemeriksaan laporan orang hilang menerusi Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat dalam tempoh terdekat mendapati tidak ada sebarang laporan diterima.

    “Sampel yang diterima daripada pihak hospital akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis bagi mengenal pasti identiti mayat,” katanya

  • Pesara lapor polis ditipu pakej haji RM38,000

    Pesara lapor polis ditipu pakej haji RM38,000

    SEORANG pesara membuat laporan polis terhadap sebuah agensi pelancongan yang didakwa gagal menguruskan pakej haji menyebabkannya kerugian kira-kira RM38,000.

    Laporan berhubung penipuan tawaran pakej haji yang tidak wujud itu dibuat oleh mangsa yang berusia 62 tahun pada 7 Julai lalu, lapor Sinar Harian.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Terengganu, Superintendan M. Zambri Mahmud, siasatan awal mendapati mangsa membuat bayaran pertama sebanyak RM3,000 pada 2 Jun lalu.

    Katanya, mangsa kemudian membuat bayaran penuh pada transaksi kedua sebanyak RM35,000 ke dalam akaun atas nama agensi pelancongan tersebut menjadikan jumlah kerugian sebanyak RM38,000.

    “Namun, pemilik agensi tersebut memberikan pelbagai alasan dan gagal menempah tiket penerbangan pengadu sehingga menyebabkan mangsa terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Julai lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, satu kertas siasatan dibuka di bawah kesalahan Seksyen 420 Kanun Keseksaan pada 7 Julai lalu kerana menipu.

    Minggu lalu, kira-kira 380 bakal jemaah Malaysia terkandas di KLIA dipercayai menjadi mangsa penipuan agensi pelancongan swasta.

  • Polis Terengganu siasat agensi pelancongan gagal urus pakej haji

    Polis Terengganu siasat agensi pelancongan gagal urus pakej haji

    POLIS Terengganu kini sedang menjalankan siasatan ke atas sebuah agensi pelancongan yang didakwa gagal menguruskan pakej haji. 

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil negeri Supt M. Zambri Mahmud berkata pihaknya menerima laporan berhubung kes itu pada 7 Julai lepas daripada seorang mangsa warga emas yang mendakwa ditipu agensi berkenaan.

    “Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah kesalahan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya siasatan awal mendapati, mangsa berusia 62 tahun yang juga merupakan seorang pesara telah membuat bayaran pertama sebanyak RM3,000 pada 2 Jun lepas.

     “Bayaran penuh pada transaksi kedua sebanyak RM35,000 dibuat ke dalam akaun atas nama agensi pelancongan tersebut menjadikan jumlah kerugian sebanyak RM38,000,” katanya.

    M. Zambri berkata pemilik agensi tersebut kemudiannya memberikan pelbagai alasan dan gagal menempah tiket penerbangan pengadu sehingga menyebabkan mangsa terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 7 Julai lepas.

    “Tangkapan ke atas suspek akan dibuat dalam masa terdekat selepas siasatan di kontinjen lain yang terlibat selesai.

    “Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dalam pemilihan pakej haji dan memilih agensi pelancongan yang berkeupayaan untuk melaksanakannya,” katanya. – Bernama

  • Wanita buat persembahan komedi hina Islam ditahan

    Wanita buat persembahan komedi hina Islam ditahan

    SEORANG wanita yang didakwa menghina Islam dengan menanggalkan tudung dan pakaian ketika membuat persembahan komedi di sebuah kelab ditahan polis, hari ini.

    Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dalam kenyataan berkata, suspek kini direman tiga hari bermula hari ini.

    “Suspek wanita itu ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields buat masa sekarang dan siasatan masih diteruskan,” katanya seperti dilaporkan FMT.

    Video berdurasi 54 saat itu tular di media sosial dan mendapat pelbagai komen dalam kalangan netizen apabila seorang wanita yang bertudung dan memakai baju kurung mendakwa dirinya telah menghafaz 15 juzuk Al-Quran sebelum menanggalkan pakaian yang menutup aurat itu dan hanya meninggalkan pakaian yang mencolok mata.

    Terdahulu, Bernama melaporkan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggantung sementara operasi sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur susulan satu klip video tular dipercayai menghina agama Islam.

    Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, tindakan itu sebagai mesej jelas bahawa pihaknya dan DBKL tidak akan sama sekali bertoleransi dengan apa jua aktiviti yang melanggar mana-mana sensitiviti melibatkan agama, bangsa dan kedaulatan negara.

    “Isu ini juga turut mendapat kecaman daripada penduduk berhampiran dan netizen di media sosial yang berpendapat bahawa, video tular tersebut jelas dan terang merupakan perbuatan yang bertujuan menghina serta mencemarkan imej agama Islam.

    “Justeru, sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kuala Lumpur, DBKL tidak akan sama sekali berkompromi dalam isu-isu sebegini.

    “DBKL telah membuat siasatan lanjut terhadap lesen premis berkenaan dan tindakan menggantung sementara pengoperasian premis berkenaan telah dilakukan secara serta-merta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Jalaluddin berkata, operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa, selain berharap orang awam melaporkan sebarang insiden bagi memastikan perkara sedemikian tidak berulang.

    Sementara itu, kelab komedi tersebut, ‘Crackhouse Comedy Club House’ dalam catatan Facebooknya mengecam sekeras-kerasnya kandungan video tular itu dan telah membuat laporan polis mengenai perkara itu di balai polis TTDI.

    “Individu terbabit dan pasangannya telah dilarang berada di venue berkenaan sebaik sahaja selesai persembahan,” katanya.

  • Video hina Islam: Operasi kelab komedi TTDI digantung sementara

    Video hina Islam: Operasi kelab komedi TTDI digantung sementara

    DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggantung sementara operasi sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur susulan satu klip video tular dipercayai menghina agama Islam.

    Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, tindakan itu sebagai mesej jelas bahawa pihaknya dan DBKL tidak akan sama sekali bertoleransi dengan apa jua aktiviti yang melanggar mana-mana sensitiviti melibatkan agama, bangsa dan kedaulatan negara.

    “Isu ini juga turut mendapat kecaman daripada penduduk berhampiran dan netizen di media sosial yang berpendapat bahawa, video tular tersebut jelas dan terang merupakan perbuatan yang bertujuan menghina serta mencemarkan imej agama Islam.

    “Justeru, sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kuala Lumpur, DBKL tidak akan sama sekali berkompromi dalam isu-isu sebegini.

    “DBKL telah membuat siasatan lanjut terhadap lesen premis berkenaan dan tindakan menggantung sementara pengoperasian premis berkenaan telah dilakukan secara serta-merta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Jalaluddin berkata, operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa, selain berharap orang awam melaporkan sebarang insiden bagi memastikan perkara sedemikian tidak berulang.

    Video berdurasi 54 saat itu tular di media sosial dan mendapat pelbagai komen dalam kalangan netizen apabila seorang wanita yang bertudung dan memakai baju kurung mendakwa dirinya telah menghafaz 15 juzuk Al-Quran sebelum menanggalkan pakaian yang menutup aurat itu dan hanya meninggalkan pakaian yang mencolok mata.

    Sementara itu, kelab komedi tersebut, ‘Crackhouse Comedy Club House’ dalam catatan Facebooknya mengecam sekeras-kerasnya kandungan video tular itu dan telah membuat laporan polis mengenai perkara itu di balai polis TTDI.

    “Individu terbabit dan pasangannya telah dilarang berada di venue berkenaan sebaik sahaja selesai persembahan,” katanya. – BERNAMA

  • Warga asing ditahan bawa senjata ketika solat Aidiladha

    Warga asing ditahan bawa senjata ketika solat Aidiladha

    POLIS menahan seorang lelaki warga asing kerana memiliki senjata berbahaya ketika mengadakan kawalan keselamatan sewaktu solat sunat Aidiladha di Masjid Sultan Abu Bakar di sini pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat berkata, warga asing berusia 57 tahun itu ditahan pada pukul 8.45 pagi selepas didapati memiliki sebilah pisau bersarung berukuran lebih kurang 33 sentimeter termasuk hulu yang terselit di tali pinggangnya.

    “Hasil siasatan polis mendapati senjata yang dirampas itu merupakan salah satu hiasan pemakaian perayaan di negara individu itu, namun dari segi undang-undang di Malaysia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

    Raub berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1) akta tersebut yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun dan sebat. – BERNAMA

  • Pakej tipu haji furada: Lima individu direman 3 hari

    Pakej tipu haji furada: Lima individu direman 3 hari

    LIMA individu termasuk pemilik agensi pelancongan swasta direman selama tiga hari bermula hari ini hingga Selasa bagi membantu siasatan kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kesemua suspek yang berumur antara 30 hingga 60 tahun itu ditahan di sekitar ibu negara, kira-kira pukul 9 malam, Jumaat lepas oleh polis Kuala Lumpur.

    Beliau berkata, kesemua suspek itu diserahkan kepada pihaknya hari ini kerana kes itu dilaporkan berlaku di negeri itu (Selangor).

    “Kesemua suspek yang ditahan termasuk pemilik agensi pelancongan itu dan juga isterinya direman hingga 12 Julai mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Semalam, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Ashari Abu Samah menerusi kenyataan berkata, pihaknya menahan lima individu berhubung kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji terhadap dua agensi pelancongan swasta melibatkan kerugian lebih RM2.37 juta.

    Katanya, selain pasangan suami isteri pemilik syarikat berkenaan, mereka yang ditahan dipercayai pekerja dan ejen syarikat pelancongan berkenaan.

    Khamis lepas, kira-kira 380 bakal jemaah haji dilaporkan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan swasta.

    Mereka dipercayai menggunakan visa furada, iaitu visa yang diuruskan sendiri tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh Lembaga Tabung Haji (TH). – BERNAMA