Category: Jenayah

  • 2 penagih dadah ditahan babit samun berparang pekerja hotel

    2 penagih dadah ditahan babit samun berparang pekerja hotel

    DUA penagih dadah ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kejadian samun bersenjata parang di sebuah hotel dekat Sungai Jarom pada 15 Jun lalu.

    Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian samun daripada pekerja hotel.

    Beliau berkata, pengadu yang merupakan seorang lelaki berusia 19 tahun mendakwa telah disamun dua lelaki tempatan dan kehilangan sebuah telefon bimbit jenis Samsung.

    Bertindak atas maklumat, dua lelaki tempatan berusia 28 dan 30 tahun ditahan pada pukul 2.30 petang, Khamis di sebuah rumah kosong dekat Taman Sentosa, Klang yang merupakan lokasi menagih dadah.

    “Turut dirampas dua buah telefon bimbit jenis Samsung dan Vivo serta sebilah parang berhulu hijau yang digunakan ketika samun.

    “Semakan mendapati kedua-dua suspek ini mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Jelasnya, suspek dipercayai aktif melakukan jenayah sejak tiga bulan lalu dan kini direman selama lima hari bagi membantu siasatan.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaaan, lapor Utusan TV.

  • Misteri bau busuk terungkai, mayat dijumpai terikat dalam stor

    Misteri bau busuk terungkai, mayat dijumpai terikat dalam stor

    MISTERI bau busuk dari sebuah rumah dalam proses ubah suai di Taman Kota Kubang Labu, Bandar Baharu Pasir Pekan, Tumpat, rupanya bau mayat seorang lelaki.

    Mangsa tanpa identiti yang berusia dalam lingkungan 40-an ditemukan kira-kira pukul 3 petang tadi dalam keadaan kedua kaki dan tangan terikat serta ada kesan darah di lantai selain sudah dihurung lalat.

    Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, berdasarkan keadaan mayat, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia tidak lebih daripada tiga hari.

    “Mayat ditemukan pekerja yang membuat kerja ubah suai rumah itu berikutan bau busuk sebelum memaklumkan kepada pemilik seterusnya pihak polis dihubungi.

    “Mayat dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK),” katanya.

    Sementara itu, pemilik rumah, Ho Wei Jiat, 34, berkata, dia ke rumahnya kira-kira pukul 3 petang tadi berikutan pekerja mengadu mengenai bau busuk yang datang dari tingkat atas.

    “Sebenarnya bau itu dihidu sejak semalam lagi dan kami menyangkakan ia bangkai binatang tapi sebaik diberitahu sekali lagi oleh pekerja, saya memberanikan diri naik ke tingkat atas menuju ke stor.

    “Saya membuka pintu dan ternampak kotoran berwarna coklat di lantai sebelum kelihatan sepasang kaki manusia dan merasakan ada sesuatu yang tidak kena, saya segera menghubungi polis,” katanya kepada pemberita di Tumpat.

    Wei Jiat berkata, baik pulih rumahnya sudah dimulakan sejak setahun lalu dan dia juga ingin membersihkan bahagian stor kerana mahu menempatkan beberapa lagi pekerja untuk kerja ubah suai kediamannya itu.

    Katanya, walaupun terkejut dengan penemuan mayat itu, dia tetap akan meneruskan kerja ubah suai rumah namun belum memutuskan sama ada untuk menetap di situ atau tidak.

    “Memang terkejut dengan kejadian ini tapi proses ubahsuai rumah tetap akan diteruskan cuma kami masih berkira-kira untuk menetap atau tidak kerana bimbang ibu bapa akan takut,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Wanita Vietnam ditahan tetak buruh

    Wanita Vietnam ditahan tetak buruh

    SEORANG suri rumah warga Vietnam ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kejadian bunuh seorang buruh di sebuah ladang kelapa sawit di Ayer Tawar, Manjung semalam.

    Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, maklumat awal kejadian diterima sekitar pukul 5.15 petang yang memaklumkan terdapat seorang lelaki ditemui terbaring tidak sedarkan diri.

    Beliau berkata, siasatan polis di tempat kejadian mendapati mangsa berusia 38 tahun ditemui terbaring dengan beberapa kesan tetakan pada tubuh badannya.

    “Polis turut menjumpai dua batang besi cangkuk tandan kelapa sawit, sebatang besi, satu jaring kutip buah lerai sawit, sehelai tuala serta sebuah motosikal berada berdekatan dengan mangsa.

    “Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan pendarahan yang banyak akibat luka-luka kesan tetakan senjata tajam,” katanya dalam satu kenyataan di Lumut hari ini.

    Katannya, luka tetakan pada bahagian kepala telah membelah tengkorak mengenai otak.

    “Siasatan polis berjaya menghasilkan tangkapan terhadap suspek berusia 38 tahun sekitar pukul 3.30 pagi di Ayer Tawar. Suspek merupakan kenalan mangsa,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Mohd. Yusri berkata, suspek direman selama tujuh hari sehingga 1 Julai untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintenden Mohd Azalan Ab Karim di talian 019-3927837 bagi membantu siasatan.

  • Warga emas ditemui mati dipercayai dibunuh

    Warga emas ditemui mati dipercayai dibunuh

    SATU mayat seorang lelaki warga emas ditemui dengan kesan kebakaran di Batu 1,Flat Purnama di Bentong hari ini.

    Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, terdapat kesan kebakaran pada kain yang menutupi mayat mangsa yang dikenali Kan Kok Chong, 64.

    “Pihak bomba menerima panggilan pada pukul 4.10 petang daripada pihak polis untuk membantu mengambil mayat tersebut dalam rumah terbabit.

    “Dalam laporan polis, mayat disyaki telah dibunuh dan seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong bersama sebuah jentera dikerahkan ke tempat kejadian.

    “Pasukan bomba memohon bantuan pasukan penyiasatan kebakaran untuk menjalankan siasatan ke atas insiden tersebut,” kata beliau dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

  • Wanita maut dipercayai dibunuh teman lelaki

    Wanita maut dipercayai dibunuh teman lelaki

    SEORANG lelaki ditahan selepas dipercayai membunuh teman wanitanya dengan memukul mangsa menggunakan batang penyapu di sebuah rumah kedai di Taman Song Choon, Ipoh pagi tadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, maklumat awal kejadian itu diterima daripada seorang wanita pada pukul 4.34 pagi yang memaklumkan terdapat pergaduhan suami isteri di mana isteri mengalami kecederaan parah.

    “Setibanya di lokasi kejadian, didapati terdapat seorang wanita dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terbaring di atas katil.

    “Mangsa berusia 24 tahun itu disahkan telah meninggal dunia oleh petugas ambulans dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

    “Seorang lelaki berusia 23 tahun yang juga teman lelaki mangsa mengaku memukul wanita itu dan dia ditangkap bersama tiga individu lain yang berada di lokasi kejadian,” katanya hari ini.

    Beliau berkata, tiga individu berusia 29 hingga 65 tahun yang ditahan itu adalah ahli keluarga suspek termasuk ibunya yang datang ke lokasi kejadian selepas dihubungi lelaki terbabit.

    Katanya, siasatan mendapati pasangan kekasih tersebut tinggal di tingkat atas rumah kedai itu bersama bayi lelaki mereka berusia lapan bulan.

    “Hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas keempat-empat suspek mendapati teman lelaki mangsa positif dadah jenis methamphetamine.

    “Tangkapan terhadap kesemua suspek membawa kepada rampasan barang kes berupa empat unit telefon bimbit dan batang penyapu yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu,” katanya.

    Tambah beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    “Keempat-empat suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Sabtu depan untuk siasatan lanjut. Bayi lelaki mangsa telah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk jagaan,” katanya lapor Utusan Malaysia.

  • 54 motosikal disita, 290 saman dikeluarkan dalam Op Samseng Jalanan

    54 motosikal disita, 290 saman dikeluarkan dalam Op Samseng Jalanan

    SEBANYAK 54 buah motosikal disita manakala 290 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan polis Pulau Pinang dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan di Lingkaran Luar Butterworth (BORR), Bagan Ajam, Butterwoth lewat malam tadi hingga pagi ini.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, operasi itu dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD SPU bermula pukul 11.45 malam sehingga 10 pagi.

    Jelasnya, terdahulu pihaknya menahan pemilik motosikal terbabit yang berusia antara 18 sehingga 30-an untuk pemeriksaan kerana didapati melepak dan membuat bising di kawasan terbabit.

    “Selain itu, antara kesalahan lain yang dikesan ialah motosikal turut diubah suai selain penunggang tidak memiliki lesen yang sah,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Dalam pada itu, Mohd. Radzi menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti tidak bermoral.

    Tambah beliau, operasi seumpama itu juga akan giat dilakukan dari semasa ke semasa bagi membendung kegiatan yang menjurus kepada budaya samseng jalanan daripada terus menular.

  • Lelaki ditahan tipu tawar bantuan kewangan ‘Tengku Zafrul’

    Lelaki ditahan tipu tawar bantuan kewangan ‘Tengku Zafrul’

    POLIS menahan seorang lelaki tempatan semalam kerana memperdaya dua wanita warga emas dengan menawarkan bantuan kewangan yang tidak wujud.

    Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Ramli Kasa berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 70 tahun dari Kampung Asahan, Kuala Selangor yang mendakwa beliau didatangi suspek lelaki yang menaiki kereta dan memperkenalkan dirinya sebagai wakil pemberi bantuan daripada ‘Tengku Zafrul’.

    Katanya, mangsa bersama jirannya berumur 72 tahun diperdaya untuk menaiki kereta suspek bagi mengambil kupon pendaftaran di balai raya, namun kedua-dua warga emas itu telah dibawa ke pekan Bestari Jaya dan diminta menyerahkan barang kemas mereka untuk ditukarkan kepada wang tunai.

    “Mangsa kemudian diminta untuk menunggu di kedai makan. Setelah menunggu beberapa jam, mangsa dan jirannya mendapati kereta lelaki tersebut telah tiada dan mengesyaki mereka telah ditipu dengan jumlah kerugian lebih kurang RM8,100,” katanya.

    Bertindak atas maklumat, suspek yang berumur lingkungan 30-an itu berjaya ditahan petang semalam dan turut dirampas sebuah kereta, dua utas gelang tangan, tiga bentuk cincin serta sekeping resit pajak gadai.

    Lelaki itu kini direman hingga 25 Jun dan hasil siasatan lanjut mendapati terdapat tiga laporan polis yang dibuat berkaitan modus operandi sama dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

  • Inspektor Sheila digantung tugas, polis buka 8 kertas siasatan

    Inspektor Sheila digantung tugas, polis buka 8 kertas siasatan

    SEORANG pegawai polis wanita yang dikenali sebagai Inspektor Sheila disahkan telah digantung tugas sejak minggu lalu.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setakat ini sebanyak dua kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

    “Rakaman percakapan juga sudah diambil pada 18 Jun lalu dan kedua-kedua kertas siasatan sudah dirujuk kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

    “Pada masa sama, enam kertas siasatan tatatertib dibuka oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis serah terima tugas dan pemakaian lencana Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, hari ini.

    Jelas Saifuddin lagi, polis mempunyai kaedah yang jelas bagi menghadapi perilaku ketidaktenteraman persepsi.

    “Jadi kita biarkan pasukan polis mengguna pakai undang-undang,” katanya.

    UtusanTV sebelum ini melaporkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan membuka dua kertas siasatan berhubung kejadian seorang penjawat awam memarahi dua anggotanya di Taman Sri Gombak, Batu Caves.

    Kemudian, tular lagi sebuah video memaparkan perselisihan faham di antara penjawat awam berkenaan dengan orang awam di tempat letak kenderaan di sebuah pasar raya di Brickfields, Kuala Lumpur.

    Susulan itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

  • Polis terima empat laporan penipuan culik murid sekolah sekitar Lembah Klang

    Polis terima empat laporan penipuan culik murid sekolah sekitar Lembah Klang

    POLIS menerima empat laporan berhubung modus operandi terkini penipuan penculikan melibatkan murid sekolah di sekitar Lembah Klang, pada 13 hingga 15 Jun lalu.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, satu pesanan ringkas turut tular melalui aplikasi Whatsapp berhubung kejadian tersebut.

    Jelas beliau, siasatan awal kes tersebut mendapati, seorang wanita tempatan telah menerima panggilan telefon daripada seorang individu tidak dikenali yang mendakwa telah menahan anaknya dan meminta wang tebusan.

    “Wanita itu dengan segera bertindak memeriksa keadaan anaknya dan mendapati anaknya
    dalam keadaan selamat.

    “Wanita itu serta-merta memutuskan panggilan dengan suspek tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Amihizam berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan iaitu Cubaan Penipuan.

    Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi berkaitan kes tersebut.

    “Jangan mudah percaya dengan sebarang panggilan telefon daripada individu yang tidak dikenali serta buat semakan dengan menghubungi pihak sekolah atau dapatkan pengesahan guru sekolah sekirannya anda mengalami situasi tersebut.

    “Hubungi balai terdekat sekirannya anda mengalami masalah dan berhadapan dengan situasi ini serta jangan mendedahkan data peribadi atau maklumat perbankan kepada mana-mana individu yang tidak dikenali.

    “Buat semakan nombor telefon dan nombor akaun di laman web htpp://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,” jelas beliau.

    Amihizam berkata, orang ramai juga boleh melaporkan kepada National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 jika mempunyai maklumat berkenaan sindiket penipuan.

    “Sebarang jenayah atau aktiviti yang mencurigakan, hubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • Bekas teman wanita pemain bola sepak Sabah ditahan

    Bekas teman wanita pemain bola sepak Sabah ditahan

    SEORANG wanita ditahan polis selepas dipercayai merosakkan pintu rumah bekas teman lelakinya yang juga pemain bola sepak Sabah.

    Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, wanita berkenaanditahan pada pukul 8 malam tadi bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

    “Tangkapan dibuat susulan laporan polis yang dibuat pemain bola sepak berkenaan pada 17 Jun lalu. Pengadu mengatakan bahawa pintu rumahnya telah dirosakkan oleh bekas teman wanitanya.

    “Suspek kemudian berjaya ditahan dan dengan tertangkapnya suspek, kita percaya dapat menyelesaikan kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi, perkongsian dan menyebarkan sesuatu berita daripada sumber yang tidak sahih berhubung kes ini yang telah dimuat naik dan tular di platform media sosial.

    “Tangkapan dibuat bersabit dengan kes melakukan khianat dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Sinar Harian.