Category: Jenayah

  • SPRM tegur lafaz IBR tapi ambil rasuah… ibarat wayang pertunjukan!

    SPRM tegur lafaz IBR tapi ambil rasuah… ibarat wayang pertunjukan!

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan terdapat kes individu yang telah menyatakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR), tetapi memungkiri janji dan ditahan disebabkan perbuatan itu.

    Ketua Pesurujayanya Tan Sri Azam Baki berkata perkara berkenaan sesuatu yang memalukan dan seolah-olah IBR hanya ‘wayang’ untuk pertunjukan sahaja.

    “Walaupun telah melafazkan IBR, individu terbabit ditangkap SPRM kerana melakukan rasuah. Janji untuk mencegah rasuah hanya di mulut, tidak sampai ke hati sanubari. Saya amat berharap, program IBR pada hari ini bukan bersifat one-off atau kosmetik semata-mata,” katanya.

    Beliau berkata kepada pemberita selepas hadir majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di Kuala Lumpur hari ini.

    Mengenai penglibatan WTCKL dalam IBR, Azam berkata program IBR ini merupakan satu langkah yang baik dalam menerapkan nilai-nilai integriti dalam kalangan warga kerja WTCKL.

    “IBR ialah janji yang dibuat oleh kempimpinan organisasi bagi meningkatkan integriti, tadbir urus baik dan mencegah rasuah dalam organisasi,” katanya.

    Azam berkata penzahiran komitmen Pengurusan WTCKL melalui IBR adalah amat penting, bagi menunjukkan pendirian pengurusan tertinggi organisasi berkaitan pencegahan rasuah.

    Mengenai perkembangan siasatan berhubung penglibatan ahli politik dalam judi dalam talian, Azam berkata SPRM sedang mengumpul maklumat berkaitan ahli politik yang mendalangi dan melindungi kegiatan judi dalam talian.

    Beliau berkata maklumat berkenaan bagaimanapun tidak boleh didedahkan kerana masih dalam siasatan.

    “Saya hanya boleh sahkan bahawa siasatan sedang dibuat dan tidak boleh mendedahkan mereka (ahli politik) yang terlibat. Saya juga tidak boleh dedahkan sama ada ahli politik itu di sebelah kerajaan atau di sebelah pembangkang,” katanya.

    Baru-baru ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan kepada Dewan Rakyat bahawa wujud elemen naungan politik dalam kegiatan perjudian dalam talian di negara ini.

    Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata elemen berkenaan, menjadi kekangan terbesar kepada KDN dan Polis Diraja Malaysia (PRDM) serta kerajaan secara keseluruhannya, dalam usaha membanteras kegiatan itu.

  • Lelaki OKU bunuh bapa direman seminggu

    Lelaki OKU bunuh bapa direman seminggu

    LELAKI berusia 22 tahun ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes seorang warga emas berusia 64 tahun yang ditemui mati di sebuah flat di Bentong pada Ahad lalu.

    Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd. Kahar memberitahu, suspek tersebut adalah anak bongsu mangsa dan semakan awal mendapati suspek memiliki kad orang kurang upaya (OKU) lembam pembelajaran.

    “Pada Ahad lalu, kira-kira pukul 11 pagi, pihak polis telah menerima satu laporan polis mengenai seorang lelaki warganegara tempatan berusia 64 tahun tahun ditemui terbaring di atas lantai di sebuah rumah flat di Bentong.

    “Siasatan awal mendapati mangsa mengalami beberapa kecederaan di bahagian badan termasuk kesan terbakar,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, isteri mangsa bersama anak kedua mangsa iaitu seorang lelaki berusia 28 tahun berada di Kuala Lumpur atas urusan perubatan di sebuah hospital di ibu kota sejak 19 Jun lalu.

    Mangsa ujarnya, telah ditinggalkan bersama anak bongsunya berusia 22 tahun di rumah tersebut.

    Ujar Zaiham, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    “Kita memohon kerjasama mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Bentong di talian 09-2222222,” tambah beliau, lapor Sinar Harian.

  • Lagi kes buli pelajar sekolah tersebar

    Lagi kes buli pelajar sekolah tersebar

    AKSI seorang pelajar sekolah ditindih, ditumbuk dan ditendang oleh pelajar lain tular di laman Twitter sejak kelmarin.

    Menerusi perkongsian di laman Twitter @MALAYSIAVIRALL, kejadian tersebut dipercayai berlaku di sebuah sekolah di Sabah, namun tidak dapat dipastikan lokasi sebenarnya dan tarikh insiden tersebut.

    Berdasarkan klip video berdurasi 1 minit 21 saat itu, kelihatan pembuli menindih, menumbuk dan menendang mangsa bertalu-talu sambil dirakam oleh beberapa rakan yang lain.

    Perkongsian itu juga kini meraih lebih 1 juta tontonan sehingga hari ini.

    Susulan tersebarnya rakaman tersebut, rata-rata pengguna Twitter berang dengan kejadian itu menggesa pihak berkuasa seperti Kementerian Pelajaran (KPM) dan Polis Diraja Malaysia menyiasat perkara terbabit segera.

    “PDRM, KPM, apa lagi? Siasat nak tangkap pembuli. Makin hari makin ramai gengster sekolah,” seru @Jacknenas.

    “Bagus budak zaman sekarang. Buli terus rakam, lepas itu muat naik di media sosial, senang bagi polis buat kerja. Otak separuh sangat,” ciap @aiyysie.

    “Kes buli makin menjadi-jadi. Rasanya KPM boleh buat satu video tutorial khas tunjuk lepas buki masuk penjara, kena hukum. Biar ada insaf mereka ini,” cadang seorang pengguna Twitter, lapor Kosmo!.

  • 261,000 kg baja bernilai lebih RM100,000 dirampas disyaki cuba diseleweng

    261,000 kg baja bernilai lebih RM100,000 dirampas disyaki cuba diseleweng

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEJUMLAH 261,060 kilogram (kg) baja bernilai RM104,424 dirampas dari sebuah gudang di Jalan Padang Hang, Alor Setar, Kedah semalam kerana disyaki cuba diseleweng pihak tertentu bagi meraih keuntungan mudah.

    Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sarah Hidup (KPDN) Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, pihaknya menerima serahan kes tersebut daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Langkawi yang membuat serbuan di lokasi tersebut kira-kira pukul 11 pagi semalam.

    Katanya, seramai lapan individu terdiri daripada enam warganegara tempatan dan dua warga asing berusia antara 18 hingga 57 tahun, ditahan bagi tujuan siasatan lanjut.

    “Hasil soal siasat mendapati premis berkenaan tidak memiliki sebarang kebenaran bertulis daripada pengawal bekalan berkaitan pemilikan barang kawalan berkenaan.

    “Susulan itu sebanyak 261,060 kg baja, sebuah lori, sebuah mesin jahit, sebuah alat timbang, empat jentera pengangkut, dan satu ikatan plastik baja yang disyaki digunakan untuk tujuan penyelewengan barang kawalan itu turut dirampas dengan nilai rampasan keseluruhan bernilai RM269,174,” katanya.

    Tambahnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

    “Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama. Bagi kesalahan kedua, individu berkenaan boleh didenda tidak lebih RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Bagi pertubuhan perbadanan pula boleh didenda tidak lebih RM2 juta untuk kesalahan pertama dan RM5 juta untuk pertuduhan kedua,” katanya.

    Menurutnya, pihak kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti penyelewengan barang-barang kawalan sedemikian.

    “Tindakan tegas akan diambil termasuklah mendakwa mereka di mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan
    1961 (Akta 122) dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) (Akta 613).

    “Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613, mereka yang terlibat boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan tersebut dilakukan, atau RM5 juta, bergantung mana yang lebih tinggi,” katanya.

  • Siasatan kes rasuah lima bekas pegawai menteri di peringkat akhir – Azam Baki

    Siasatan kes rasuah lima bekas pegawai menteri di peringkat akhir – Azam Baki

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini di peringkat akhir menyelesaikan kertas siasatan berkaitan skandal rasuah isu pengambilan pekerja asing membabitkan pegawai Kementerian Sumber Manusia (KSM).

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan dijangka diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh dua minggu.

    “Kes sudah di peringkat akhir siasatan. Di peringkat kami apabila sudah selesai dalam tempoh terdekat mungkin dalam tempoh dua minggu,” katanya ditemui pada Majlis Pelancaran Hari Integriti 2023, di Dewan Tun Hussien Onn World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Kuala Lumpur, hari ini.

    Beliau berkata, apa yang penting SPRM tidak melengahkan siasatan kepada mana-mana pihak pun.

    Pada 9 Mei lalu, Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar mengesahkan bahawa lima pegawainya yang disiasat SPRM sudah ditamatkan kontrak.

    Sivakumar dilaporkan berkata, pemecatan lima pegawainya yang terpalit dalam skandal rasuah membabitkan pengambilan pekerja asing itu dilakukan bagi memastikan kementerian dapat berfungsi dengan lancar.

    Sementara itu, dalam perkembangan lain mengenai ada ahli politik menaungi kegiatan judi di negara ini, Azam berkata, perkara itu masih dalam siasatan awal.

    “Kita sedang menyiasat perkara ini dan laporan baru dibuat dalam bulan lalu. Kita masih lagi mengumpul maklumat.

    “Jadi saya tak boleh dedahkan siapa-siapa ahli politik yang berkenaan tetapi saya boleh sahkan siasatan memang sedang dijalankan. Jika terbukti, ia adalah satu kesalahan,” katanya.

    Ditanya adakah pembabitan itu membabitkan ramai ahli politik, Azam tidak memberikan jumlah inndividu.

    “Adalah dalam beberapa kalangan mereka. Tak boleh kata ramai atau tidak. Nanti akan jadi satu spin off dari banyak pihak pula,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Wanita hampir dirogol lelaki kurang siuman, positif dadah

    Wanita hampir dirogol lelaki kurang siuman, positif dadah

    SEORANG wanita melalui detik cemas apabila diserang oleh seorang lelaki kurang siuman yang dipercayai mahu merogolnya di kawasan tangga sebuah bangunan di Tuaran, semalam.

    Menerusi rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial, wanita terbabit dilihat bergelut sebelum suspek melarikan diri apabila menyedari kehadiran orang lain di kawasan itu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Noraidin Awang Maidin, suspek berusia 29 tahun dipercayai kurang siuman itu telah ditahan pukul 3 pagi semalam dan saringan air kencing mendapati dia positif dadah.

    “Hasil siasatan mendapati suspek merupakan seorang lelaki berusia 29 tahun berasal dari daerah Tuaran. Suspek tidak siuman dan merupakan pesakit yang berdaftar di Hospital Mesra Bukit Padang, Kota Kinabalu.

    “Suspek baru sahaja hari hari keluar dari wad hospital berkenaan dan menerima rawatan susulan setiap minggu.

    “Siasatan juga turut mendapati suspek merupakan seorang penagih dadah,” ujar Noraidin dalam satu kenyataan media di Tuaran, hari ini.

    Beliau berkata, secara keseluruhan polis menerima tiga laporan polis yang dibuat oleh tiga mangsa berbeza berusia dalam lingkungan 15 hingga 31 tahun yang mendakwa telah dicabul oleh suspek.

    “Kesemua mangsa membuat laporan dicabul oleh lelaki tidak dikenali antara pukul 1 tengah hari hingga 4 petang Ahad.

    “Mangsa mengatakan suspek telah datang secara tiba-tiba memeluk dan mencabul mangsa,” katanya, lapor Astro Awani.

    Selain mencabul, suspek turut dipercayai merampas beg tangan dan melarikan wang tunai salah seorang mangsa.

    Katanya, suspek yang ditangkap dirujuk ke Hospital Mesra Bukit Padang.

  • Penyanyi wanita dakwa dicabul ketika swafoto

    Penyanyi wanita dakwa dicabul ketika swafoto

    SEORANG penyanyi wanita mendakwa dicabul ketika bergambar dengan seorang lelaki selepas selesai membuat persembahan di satu festival di Dataran Nilai, Nilai malam tadi.

    Kejadian pukul 11.05 malam itu berlaku ketika mangsa yang berusia 26 tahun berada di bilik tetamu khas di belakang pentas dataran berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malek Hasim berkata, mangsa telah didatangi suspek yang meminta kebenaran untuk berswafoto dengannya.

    “Mangsa telah memberi kebenaran dan setelah selesai swafoto, lelaki tersebut telah menarik serta menggenggam tangan dan seterusnya mencium tangannya.

    “Terkejut dengan tindakan lelaki itu, mangsa terus menjerit dan suspek kemudiannya melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Bagaimanapun katanya, suspek berjaya ditangkap oleh pihak penganjur dan telah diserahkan kepada anggota polis yang bertugas di festival terbabit.

    Menurutnya, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatan.

    Katanya, suspek yang merupakan warga tempatan telah direman tiga hari bermula pada Isnin sehingga Jumaat untuk siasatan lanjut.

  • Lapan nelayan Vietnam ditahan, rampasan hampir RM1.5 juta

    Lapan nelayan Vietnam ditahan, rampasan hampir RM1.5 juta

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu menahan sebuah bot nelayan asing Vietnam yang dikesan menceroboh perairan negara pada kedudukan 60 batu nautika dari muara Pulau Redang, kira-kira pukul 2.30 petang kelmarin.

    Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Khairulanuar Abd. Majid berkata, menerusi
    operasi Op Kuda Laut dan Op Naga Barat itu pihaknya menahan lapan kru termasuk seorang tekong dengan hasil rampasan bernilai hampir RM1.5 juta.

    “Bot bersama semua kru berusia antara 23 hingga 55 tahun itu dibawa ke jeti Maritim Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963.

    “Kesemua mereka ditahan bersama hasil tangkapan, bot dan peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai hampir RM1.5 juta,” katanya dalam kenyataan, di Kuala Terengganu hari ini.

    Pihaknya tidak akan berkompromi sekiranya terdapat nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut tanpa kebenaran.

    “Kita akan meningkatkan rondaan dan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mengekang sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim.

    “Sebarang maklumat berkaitan salah laku yang berlaku di perairan negara boleh disalurkan ke talian MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) Maritim Negeri Terengganu,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • Wanita diperdaya RM3.5 juta bebaskan anak ditahan bawah SOSMA

    Wanita diperdaya RM3.5 juta bebaskan anak ditahan bawah SOSMA

    SEORANG lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan menipu seorang wanita bagi urusan pembebasan anak perempuannya yang kini berada dalam tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sejak 2019, ditahan polis.

    Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M Kumar, lelaki warga tempatan berusia 35 tahun itu ditahan di sekitar bandar raya ini oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dengan dibantu oleh pihak JSJ Bukit Aman hasil maklumat yang diterima.

    “Polis Johor menerima aduan daripada seorang wanita warga tempatan mendakwa telah ditipu dalam urusan untuk membebaskan anak perempuannya yang sedang dalam tahanan di Penjara Kajang atas kesalahan ATIPSOM/SOSMA sejak 2019.

    “Suspek mengatakan boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes bagi membebaskan anak perempuannya itu, selain menyelesaikan kes tersebut secepat mungkin dengan syarat wanita berkenaan menyerahkan sejumlah wang tunai kepadanya.

    “Percaya dengan kata-kata suspek, wanita berkenaan telah menyerahkan wang tunai secara berperingkat kepada suspek antara Mac 2020 hingga Jun 2023 sehingga berjumlah RM3.5 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah beliau, wanita berkenaan tampil membuat laporan polis selepas menyedari ditipu oleh suspek.

    “Suspek kemudiannya telah ditahan untuk siasatan lanjut dan kes akan disiasat di bawah Kesalahan Tipu Kesalahan Tipu menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan sebatan dan juga boleh didenda,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Tular: Kad akses punca maki pengawal keselamatan

    Tular: Kad akses punca maki pengawal keselamatan

    HANYA kerana kad akses tidak dapat digunakan, pemandu BMW bertindak memaki hamun pengawal keselamatan di sebuah kawasan kediaman di Taman Sri Sentosa di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, siasatan mendapati kejadian tersebut telah dilaporkan kepada pihaknya oleh seorang individu berusia 46 tahun.

    “Siasatan berdasarkan laporan tersebut mendapati kejadian melibatkan seorang lelaki dipercayai penghuni kediaman tersebut yang memandu sebuah kereta jenis BMW.

    “Suspek dikatakan telah membuat kekecohan beberapa kali dan enggan memberikan kerjasama terhadap pengawal keselamatan ketika kejadian.

    “Selain itu, suspek turut dilihat memarahi dan memaki pengawal keselamatan bertugas dengan perkataan yang kesat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, siasatan mendapati punca pertengkaran disebabkan kad akses masuk suspek dipercayai tidak dapat digunakan.

    Kejadian tersebut sekali gus mengakibatkan berlakunya pertengkaran antara suspek dan pengawal keselamatan di kawasan kediaman tersebut.

    “Perkara tersebut kemudiannya diselesaikan secara baik antara suspek dan pengawal keselamatan terlibat dan laporan polis yang dibuat sebelum ini turut ditarik balik,” katanya, lapor Kosmo!