Category: Jenayah

  • Mayat warga asing ditemukan berbungkus permaidani

    Mayat warga asing ditemukan berbungkus permaidani

    MAYAT lelaki yang ditemukan berbungkus dengan permaidani dan diikat dengan tali berdekatan kolam air panas di Gua Musang-Lojing di Gua Musang, kelmarin dipercayai warga asing.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, ini berdasarkan hasil bedah siasat yang dijalankan selama tiga jam mendapati tiada tanda suntikan imunisasi BCG (Bacillus Calmette Guerin) ditemukan pada mayat berkenaan.

    “Mangsa dipercayai mati di tempat lain sebelum mayatnya ditinggalkan di lokasi mayatnya ditemui. Setakat ini kita belum mengetahui usia mangsa.

    “Mangsa dipercayai meninggal dunia lebih daripada 36 jam kerana sudah reput dan berulat.

    “Mangsa ditemui memakai baju biru lengan panjang dan kain sarung serta terdapat tatu burung pada lengan kanan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Beliau berkata, hasil bedah siasat juga menunjukkan tiada sebarang kecederaan dan perbuatan jenayah dikesan pada mayat mangsa.

    Lokasi mayat dijumpai katanya, adalah kawasan jauh dari kawasan kejiranan dan setakat ini tiada dokumen pengenalan diri ditemui bersama mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

    Kata beliau, mayat ditemui seorang lelaki yang kemudiannya menghubungi Balai Polis Lojing pukul 8.30 malam kelmarin.

    Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 29 saat di aplikasi Tik Tok mengenai penemuan mayat dalam keadaan berbungkus dan dipercayai sudah berulat berdekatan kolam air panas laluan Gua Musang-Lojing.

  • Polis tahan pemandu lori ugut, acu pisau

    Polis tahan pemandu lori ugut, acu pisau

    POLIS hari ini menahan seorang pemandu lori yang mengacu pisau terhadap pemandu lori lain di Jalan Parang, Bandar Sultan Suleiman.

    Lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan pukul 12.25 tengah malam di Klang.

    Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, penahanan itu susulan laporan polis dibuat seorang pemandu lori berusia 30-an pada pukul 5.15 petang semalam, mendakwa lori dipandunya telah dipintas dan ditahan suspek yang memandu sebuah lori.

    “Suspek dikatakan telah turun dari lori dengan membawa sebilah pisau dan terus mengugut mangsa dengan kata-kata ‘u tak kenal lagi siapa aku, kau tunggu aku cari kau’.

    “Siasatan awal mendapati motif kejadian lebih kepada buli jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapo Sinar Harian.

    Beliau berkata, suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan curi motosikal namun ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah.

    Katanya, suspek kini direman selama tiga hari untuk siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

    hari ini tular satu video berdurasi 31 saat memaparkan tindakan seorang lelaki mengacukan senjata dipercayai pisau terhadap pemandu lori.

  • Pesakit mental parah dibelasah rakan meninggal dunia

    Pesakit mental parah dibelasah rakan meninggal dunia

    Oleh BADLISHAH MAT

    PESAKIT mental yang sebelum ini cedera parah dipercayai akibat dipukul dan dipijak dua rakan sebiliknya di sebuah pusat penjagaan mental di Sungai Petani pada 11 Julai lalu telah meninggal dunia awal pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, mangsa yang merupakan lelaki berusia 49 tahun itu disahkan meninggal dunia pada pukul 4.02 pagi di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di Sungai Petani.

    Beliau berkata, sejak dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama 15 hari lalu, mangsa berada dalam keadaan koma.

    “Awal pagi semalam mangsa dilaporkan meninggal dunia dan laporan perubatan mendapati lelaki itu mengalami kecederaan parah di bahagian pinggul selain tulang tapak kaki kanannya yang patah,” katanya, hari ini.

    Zaidy berkata, kes terbabit yang sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan akan dipinda ke Seksyen 302 kanun sama kerana membunuh.

    “Kita masih menjalankan siasatan lanjut berkaitan kes ini dan suspek dijangka ditahan dalam masa terdekat untuk membantu siasatan,” katanya.

    Dalam kejadian pada pukul 12.40 tengah hari itu, mangsa didapati tidak sedarkan diri akibat cedera parah dibelasah dua rakan sebiliknya yang berumur 33 dan 21 tahun.

    Siasatan awal polis mendapati, kejadian itu berpunca daripada tindakan mangsa yang sengaja memijak dua penghuni terbabit semasa mereka sedang tidur di atas lantai salah sebuah asrama di situ.

    Kedua-dua penghuni itu yang berang kemudiannya dikatakan membalas perbuatan mangsa dengan memukul dan memijaknya kembali menyebabkan dia mengalami kecederaan.

    Sementara itu, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk proses bedah siasat.

  • Banduan maut:Polis rakam keterangan 12 individu

    Banduan maut:Polis rakam keterangan 12 individu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 12 individu sudah dirakam percakapan mereka bagi membantu siasatan susulan kematian banduan Penjara Kluang pada 28 Jun lalu.

    Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, mereka yang dipanggil polis itu terdiri daripada ahli keluarga, banduan dalam sel sama dengan mangsa dan empat kakitangan penjara terbabit.

    “Seramai 12 orang saksi telah kita panggil untuk rakam percakapan. Mereka ini adalah tiga orang ahli keluarga, ‘cell mate’ mangsa seramai lima orang dan empat orang kakitangan penjara.

    “Keterangan mereka dirakam bagi membolehkan kita menjuruskan sebarang unsur yang menjadi sebab kematian mangsa,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Pada 28 Jun lalu, Kim Shih Keat, 36, dijadualkan dibebaskan dari Penjara Kluang pada 28 Jun lalu, selepas menjalani hukuman penjara tujuh hari dan denda sebanyak RM15,000 kerana didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 22 Jun lalu.

    Difahamkan, pada hari dibebaskan, mangsa terlebih dahulu dikejarkan ke hospital selepas didapati pengsan sebelum disahkan meninggal dunia.

    Kamarul Zaman berkata, pihaknya belum dapat menyimpulkan punca kematian mangsa memandangkan masih menunggu laporan penuh bedah siasat.

    “Bedah siasat sudah dijalankan, tetapi, buat masa ini, kita tidak boleh menyimpulkan lagi punca kematian kerana ada beberapa perkara di pihak makmal hospital yang tidak dapat keputusan lagi.

    “Kita akan maklumkan apabila semua laporan dan keputusan ini diperolehi. Kita tidak dapat jangka bila (laporan siap), tetapi kita sudah meminta pegawai penyiasat sentiasa berhubung dengan pihak hospital bagi menyegerakannya kerana kita juga tidak mahu siasatan kes ini berlanjutan lebih lama,” katanya.

  • ‘Jho Low 2’ mungkin dihantar ke China hari ini

    ‘Jho Low 2’ mungkin dihantar ke China hari ini

    AHLI perniagaan Malaysia, Teow Wooi Huat masih berada di bawah tahanan pihak imigresen Thailand dan menunggu untuk dihantar ke China.

    “Beliau dijangka dihantar ke China tidak lama lagi,” kata sumber polis kepada Bernama tanpa mahu menyatakan butiran bila Teow akan dihantar ke negara itu.

    Bagaimanapun, media tempatan di Thailand melaporkan yang Teow akan dihantar ke China hari ini.

    Jumaat lepas, Teow yang berada dalam senarai merah Interpol, dipanggil pihak polis untuk diberitahu yang visa beliau telah dibatalkan.

    Beliau kemudian diserahkan kepada polis imigresen di Songkhla dan kemudian dipindahkan ke Pejabat Imigresen Suan Plu di Bangkok.

    Teow, 55, yang juga digelar Jho Low 2, merujuk kepada seorang lagi ahli perniagaan Malaysia yang sedang diburu Low Taek Jho yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, telah melarikan diri ke Dannok di Sadao pada 2020.

    Teow membina empayar perniagaan daripada skim pelaburan haram dalam talian yang memikat pelabur dari China, Thailand, Malaysia, Indonesia dan Macau.

    Pada 2017, Teow ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia atas tuduhan dadah tetapi berjaya melarikan diri ke Thailand dan terlepas daripada hukuman gantung.

    Pada 2019, pihak berkuasa Malaysia membekukan 91 akaun bank berjumlah RM177 juta yang dikaitkan dengan MBI Group International ketika itu. Bank Negara telah menyenaraikan syarikat itu sebagai syarikat yang menjalankan skim kewangan meragukan.

    Beliau juga dihendaki berhubung pelaburan wang haram berjumlah 336-juta-ringgit (US$83 juta) di Macau.

    Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan ahli perniagaan yang menjadi buruan Teow Wooi Huat kini ditahan pihak berkuasa Thailand.

    Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, suspek merupakan individu yang disiasat oleh PDRM di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    “PDRM kini sedang dalam proses permohonan untuk penama dihantar pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan malam ini. – Bernama

  • Berpura-pura beli makanan sebelum samun gerai makan

    Berpura-pura beli makanan sebelum samun gerai makan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS sedang memburu seorang lelaki yang melakukan samun di sebuah gerai makan di Jalan Arung Tampoi, Johor Bahru selepas video kejadian itu tular dalam media sosial.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, kejadian pada kira-kira pukul 6 petang Khamis lalu itu telah dirakam oleh orang awam.

    Menurutnya, semasa kejadian mangsa, seorang wanita berusia 18 tahun sedang berseorangan membantu menguruskan gerai makan kerana ibunya sedang berehat.

    “Suspek seorang lelaki dipercayai warga tempatan berpura-pura ingin membeli makanan di gerai mangsa namun telah melarikan wang jualan milik mangsa.

    “Suspek telah melarikan diri bersama dua lagi rakannya dengan menaiki sebuah kereta Perodua Axia yang dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, ketika kejadian orang awam membantu mangsa dengan mengejar suspek namun tidak berjaya menahannya.

    Akibat kejadian itu katanya, mangsa mengalami kerugian wang tunai sebanyak RM300.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh salurkan maklumat ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara di talian 07-5563122.

  • Polis Perak siasat individu hina agama, nabi

    Polis Perak siasat individu hina agama, nabi

    POLIS akan melakukan siasatan terperinci berhubung satu kenyataan yang didakwa menghina agama dan nabi dalam satu hantaran tular dalam Facebook sejak kelmarin.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan di bawah Akta 506 dan Akta Hasutan 1948 boleh dijalankan sekiranya terdapat kesalahan seperti dinyatakan.

    “Setakat ini kita belum terima laporan secara rasmi lagi, tetapi saya akan semak sama ada laporan itu ada dibuat di negeri lain.

    “Kesalahan dilakukan akan disiasat sama ada di bawah Akta 506, atau jika sampai menghina agama, siasatan boleh dibuat di bawah Akta Hasutan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam Program High Profile Policing (HPP) di Pulau Pangkor di Lumut, hari ini.

    Sinar Harian melaporkan, hantaran berkenaan dipercayai dilakukan seorang lelaki berwatakan wanita dari Sitiawan.

    Hantaran itu turut menarik perhatian warganet yang meminta pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas individu berkenaan.

  • Lelaki tumbuk suami kepada sepupu akibat perselisihan faham

    Lelaki tumbuk suami kepada sepupu akibat perselisihan faham

    BERANG dituduh menggoda isteri orang, seorang lelaki bertindak menumbuk suami kepada sepupunya.

    Dalam kejadian pada pukul 6 petang di Tanah Merah, Kelantan, semalam, mangsa yang berusia 35 tahun mengalami bengkak pada pipi kanan, lapor Berita Harian.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata sebelum kejadian, mangsa pergi ke stesen teksi di bandar untuk berjumpa dengan suspek sebelum berlaku perselisihan faham.

    “Perselisihan faham itu berpunca daripada tuduhan kepada suspek yang dikatakan menggoda isteri mangsa, namun suspek tidak mengaku berbuat demikian.

    “Suspek bagaimanapun mengaku rapat dengan isteri mangsa disebabkan hubungan sepupu antara suspek dengan wanita terbabit,” katanya.

    Muhamad Zaki berkata, suspek yang berusia 42 tahun hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk diambil keterangan untuk bagi siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK).

  • 66 syarikat buat tuntutan palsu PenjanaKerjaya, kata Saravanan

    66 syarikat buat tuntutan palsu PenjanaKerjaya, kata Saravanan

    PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) mendapati 66 syarikat menyalah guna tuntutan Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya).

    Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, Perkeso menggunakan kaedah siasatan forensik dalaman bagi mengesan salah laku berkenaan.

    “Sehingga kini, 45,379 syarikat sudah mendapat manfaat tuntutan insentif program itu yang juga sebahagian usaha untuk mengurangkan pengangguran.

    “Sehingga hari ini, lebih RM2 bilion sudah dibelanjakan. Namun, tidak dinafikan ada yang terlepas pandang dengan 66 syarikat dikenal pasti ambil kesempatan dan salah guna.

    “Perkeso membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk mengambil tindakan tanpa mengira kedudukan dan ideologi politik,” katanya ketika berucap pada Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 hari ini.

    Majlis disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kuala Lumpur, hari ini, lapor Berita Harian.

  • Polis tahan lelaki duduk atas bumbung Vellfire

    Polis tahan lelaki duduk atas bumbung Vellfire

    LELAKI yang duduk di atas bumbung kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dipandu ketika bersiar-siar di pulau ini minggu lalu ditahan polis kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata suspek warga tempatan berusia 25 tahun itu ditahan ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) di Langkawi, pada pukul 7 malam.

    “Siasatan awal mendapati, lelaki itu menetap di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya, Selangor dan kumpulan rakannya adalah pelancong tempatan yang datang bercuti ke pulau ini.

    “Suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana mabuk dan berkelakuan tidak senonoh di tempat awam,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

    Sebelum ini, tular rakaman video dan beberapa gambar memaparkan seorang lelaki keluar melalui bumbung kenderaan sebelum duduk di atas MPV mewah berkenaan ketika bersiar di pulau ini.