Category: Jenayah

  • 3 anggota polis ditahan RM45,000 hilang ketika serbuan

    3 anggota polis ditahan RM45,000 hilang ketika serbuan

    SEORANG anggota polis berpangkat inspektor bersama dua konstabel ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengambil sejumlah wang ketika melakukan serbuan di sebuah rumah di Kampung Pasir Kelang Baru, Kuala Krai dekat sini Selasa lepas (26 Julai).

    Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata tangkapan tiga anggota berusia antara 20-an dan 30-an itu dilakukan pada Sabtu lepas (30 Julai) selepas menerima laporan daripada seorang pengadu wanita.

    Beliau berkata berdasarkan aduan yang diterima, wanita berusia 68 tahun itu memaklumkan pada 4.30 petang Selasa lepas rumahnya didatangi tiga lelaki yang memperkenalkan diri sebagai polis bagi menahan anak lelakinya berhubung kesalahan dadah.

    “Wanita itu mendakwa polis tersebut telah meminta anak kunci almari dan menggeledah almari kayu yang berada di dalam biliknya sebelum mengambil wang hasil jualan tanah dan santan berjumlah kira-kira RM45,000 untuk sitaan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

    Menurutnya pengadu kemudian telah ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai tetapi dimaklumkan hanya wang berjumlah RM4,500 sahaja yang disita

    Muhamad Zaki berkata pegawai dan anggota polis yang ditahan itu kini direman empat hari hingga esok bagi membantu siasatan.

    Katanya sehingga kini tiada pengakuan daripada ketiga-tiga yang ditahan dan siasatan lanjut akan dilakukan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu curi dalam bangunan.

    “Serbuan ke rumah tersebut sebenarnya bagi menahan anak lelaki pengadu berusia 20-an, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.- BERNAMA

  • Penganggur mati ditetak sekumpulan lelaki di kedai makan

    Penganggur mati ditetak sekumpulan lelaki di kedai makan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG penganggur meninggal dunia selepas diserang dan ditetak dengan parang oleh empat lelaki bertopeng di sebuah kedai makan di Taman Tampoi Indah, Johor Bahru, malam tadi.

    Kejadian tersebut kemudian dimaklumkan kepada pihak polis pada pukul 8.10 malam.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, siasatan awal semasa kejadian mangsa yang tidak bekerja dan berusia 29 tahun sedang makan bersama dua rakannya sebelum diserang empat lelaki memakai topeng muka.

    Beliau berkata, mereka yang bersenjatakan parang menaiki kereta jenis Honda Accord warna putih dengan nombor pendaftaran tidak pasti.

    “Mangsa kemudian ditetak dan akibat kejadian tersebut, mangsa cedera parah di bahagian kepala, tangan, kaki dan seluruh badan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, sejurus kejadian mangsa dibawa ke Hospital Pakar Puteri di sini untuk mendapat rawatan namun pegawai kesihatan mengesahkan sudah meninggal dunia sebelum mayat dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat.

    Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika didapati bersalah boleh dihukum mati.

    Pihaknya menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara 07-5563122 atau Pegawai Penyiasat, Asisten Superitendan Zawanah Raimim Mokhtar 012-7744544.

  • Polis serbu rumah teres jadi makmal proses dadah

    Polis serbu rumah teres jadi makmal proses dadah

    POLIS melakukan serbuan di sebuah rumah teres yang dijadikan makmal memproses dadah di Taman Mastiara, off Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada Rabu lalu.

    Operasi dijalankan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, serbuan yang dijalankan pukul 2.45 pagi itu berjaya menahan seorang kontraktor elektrik yang berperanan sebagai tukang memproses dadah jenis ketamin.

    “Suspek merupakan lelaki warga tempatan dan berumur 39 tahun itu merupakan seorang duda anak satu telah dibebaskan daripada penjara pada 2019 atas kesalahan dadah.

    “Suspek dipercayai menyewa rumah tersebut sejak dua bulan lalu bagi menjalankan kegiatan memproses dadah.

    “Satu kilogram dadah jenis ketamin yang siap diproses dipercayai untuk pasaran sekitar Kuala Lumpur dirampas dalam serbuan itu selain pelbagai peralatan dan bahan kimia yang digunakan untuk memproses dadah,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Antara peralatan dipercayai digunakan untuk menghasilkan dadah antara yang dirampas dalam serbuan yang dijalankan.
    Tambah Azmi, ujian saringan yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methapatamine.

    “Suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

    Sementara itu, Azmi berkata, JSJN KL bekerjasama dengan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) KL, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) seluruh Kuala Lumpur dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan Wilayah Persekutuan (AADKWP) melaksanakan Op Tapis di seluruh Kuala Lumpur.

    Menurutnya, operasi menyasarkan kawasan perumahan awam dan juga kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Kuala Lumpur.

    “Seramai 209 orang berjaya ditangkap di bawah pelbagai kesalahan dadah dan daripada jumlah itu, seramai 12 orang telah diambil tindakan di bawah undang-undang pencegahan dadah (Akta Dadah Berbahaya Langkah Langkah Pencegahan Khas(LLPK) 1985.

    “Selain itu, 24 individu diambil tindakan di bawah kesalahan mengambil dadah berulang (Sek 39c Akta Dadah Berbahaya 1952) dan lapan individu diambil tindakan kerana dikehendaki (wanted) di bawah pelbagai kesalahan dadah,” katanya.

    Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan melibatkan jumlah RM 374,829.40.

    “Antara dirampas melibatkan 15 liter cecair pelbagai jenis dadah, 1.6 kilogram pelbagai jenis dadah, sitaan harta melibatkan wang tunai RM340 dan sebuah kereta jenis Honda Accord dianggarkan bernilai RM40,000,” katanya.

  • Tan Sri Apandi tidak hadir beri keterangan di Bukit Aman

    Tan Sri Apandi tidak hadir beri keterangan di Bukit Aman

    BEKAS Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali tidak memberi keterangan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman seperti dijadualkan hari ini.

    Belau sepatutnya hadir ke Bukit Aman hari ini pada pukul 2.30 petang bagi menjalani proses tersebut.

    Petugas media yang awal-awal lagi berkumpul bagi merakamkan kelibat Apandi di pekarangan lokasi terbabit bagaimanapun hampa selepas dimaklumkan beliau tidak akan memberi keterangan di Bukit Aman oleh pihak PDRM.

    Bagaimanapun, tiada sebarang maklumat setakat ini tentang di mana dan bila beliau akan merekodkan keterangan kepada pihak USJT.

    Apandi dipanggil oleh USJT untuk dirakam keterangan berkaitan kes melibatkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), lapor Astro Awani.

    Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 217 Kanun Keseksaan.

    Ia susulan laporan Polis yang dibuat oleh Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago terhadap Apandi pada 27 Julai lalu di Balai Polis Klang Selatan.

    PDRM kemudianya mengesahkan telah membuka kertas siasatan terhadap Apandi berhubung laporan berkenaan.

    Dalam laporan yang dibuat, Charles meminta polis agar menyiasat Apandi Ali atas dakwaan menyalahgunakan kuasanya untuk menutup siasatan pihak berkuasa terhadap 1MDB.

    Ini berikutan keputusan penolakan Mahkamah Tinggi sebelum itu terhadap saman fitnah yang difailkan Apandi terhadap veteran DAP, Lim Kit Siang.

    Apandi sebelum ini mengambil tindakan menyaman Kit Siang yang mendakwa beliau menyalahgunakan kuasanya untuk menutup siasatan ke atas 1MDB dan wang yang dipindahkan ke akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

    Najib sebelum ini disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi dalam kes SRC International dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

    Ahli Parlimen Pekan itu sedang menunggu rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan.

  • Warga emas 70 tahun antara individu ditahan ketika leka berjudi

    Warga emas 70 tahun antara individu ditahan ketika leka berjudi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    EMPAT warga emas merupakan antara tujuh individu yang ditahan polis ketika mereka asyik bermain judi belangkas menggunakan aplikasi dalam talian, di depan sebuah kedai makan dekat Pekan Sungai Korok, Jitra, Kedah, awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Suprintenden Rodzi Abu Hassan berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 1.30 pagi itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 48 tahun yang bertindak sebagai penganjur perjudian tersebut.

    Menurutnya, lelaki yang menganjurkan individu berkenaan mengaku bertindak sebagai ‘banker’ dengan kegiatan berkenaan dipercayai mula aktif sejak dua minggu lalu.

    “Kalangan pemain judi itu pula termasuk warga emas terlibat terdiri daripada kalangan rakan-rakannya serta penduduk tempatan.

    “Difahamkan nilai pertaruhan yang dilakukan adalah antara RM10 hingga RM200,” katanya.

    Empat warga emas tersebut masing-masing berusia 70, 63, 61 dan 60 tahun manakala tiga lagi individu yang turut serta membuat pertaruhan berusia 35, 48 dan 56 tahun.

    Rodzi menambah, susulan serbuan dijalankan itu, pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM4,951 daripada kesemua mereka yang ditahan.

    “Beberapa barangan terlibat turut dirampas antaranya sebuah meja plastik, sehelai kertas putih tercatat nombor tertentu dipercayai angka judi belangkas serta dua helai kertas putih mencatatkan kiraan hasil pertaruhan perjudian.

    “Selain itu pihak kami turut merampas sebuah tablet Samsung Tab berwarna perak yang mengandungi aplikasi judi belangkas di dalamnya serta memiliki baki kredit sebanyak RM485,” katanya.

    Menurutnya, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

  • Stor arak seludup diserbu, warga emas ditahan

    Stor arak seludup diserbu, warga emas ditahan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS menahan seorang warga emas berusia 63 tahun dan merampas minuman keras seludup selepas menyerbu stor di belakang kedai runcit miliknya di Taman Daya Johor Bahru malam tadi.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, turut ditahan seorang pembantu kedai warga asing berusia 30 tahun dalam serbuan yang dilakukan pukul 12.35 tengah malam.

    “Hasil pemeriksaan menemukan 24 botol arak dan 1,274 karton arak pelbagai jenama. Kedudukan stor tidak sampai 100 meter di belakang kedai dijadikan tempat simpanan arak seludup yang dijual kepada pelanggan tetap dikenali sahaja bagi mengelak perbuatannnya terbongkar.

    “Lelaki itu mengaut untung dua kali ganda apabila menjual arak seludup itu pada harga biasa,” katanya pada sidang akhbar di Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Tampoi di Johor Bahru hari ini.

    Kamarul Zaman berkata, kedua-dua suspek itu ditahan reman empat hari bermula Isnin bagi membantu siasatan dijalankan.

    “Suspek warga asing tersebut akan turut disiasat kerana menyalahgunakan dokumen perjalanannya.

    Sementara itu, dalam perkembangan lain, polis berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan barang kawalan bersubsidi iaitu minyak diesel dan rokok seludup dalam tiga serbuan berasingan di Kulai, Iskandar Puteri dan Batu Pahat.

    Katanya, operasi dijalankan antara 28 Julai hingga awal pagi Isnin berjaya menahan 15 individu termasuk seorang wanita berusia 28 hingga 53 tahun.

    “Semakan rekod ke atas kesemua suspek mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah,” katanya.

    Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis merampas 117,600 liter minyak diesel bernilai RM191,240, 15 lori, sebuah lori tangki, 18 tangki minyak, enam pam minyak dan hos dengan nilai rampasan keseluruhan lebih RM1.5 juta

    Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 35(1)(c) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

  • Polis tahan lelaki ragut gelang emas

    Polis tahan lelaki ragut gelang emas

    POLIS menahan seorang lelaki selepas tidak sampai 24 jam meragut gelang emas seorang wanita di Lorong Pulau Pinang, Taman Melawati di Ampang Jaya, pukul 2.30 petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 20 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai berhubung kejadian itu.

    “Dalam kejadian, mangsa yang menunggang motosikal di lokasi kejadian dihampiri sebuah motosikal dipercayai ditunggang suspek berusia 30 tahun.

    “Suspek kemudiannya bertindak meragut gelang emas dipakai mangsa pada tangan kiri sebelum melarikan diri menyebabkan wanita terbabit kerugian RM2,000.

    “Namun, mangsa tidak mengalami kecederaan dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Mohamad Farouk berkata, susulan laporan itu, pihaknya menahan suspek yang juga penganggur di Pandan Jaya pada 12.30 tengah malam tadi.

    “Kami turut merampas sebuah motosikal yang dipercayai digunakan suspek untuk melakukan kejadian ragut berkenaan selain satu resit pajak gadai serta sejumlah wang tunai.

    “Modus operandi suspek adalah mensasarkan mangsa yang memakai gelang emas dan menunggang motosikal bersendirian di jalan sunyi,” katanya.

    Beliau berkata, semakan dilakukan mendapati suspek terbabit mempunyai lima rekod jenayah dan hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan lelaki itu juga positif dadah jenis methaphetamin.

    “Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat pada hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392 Kanun keseksaan kerana melakukan samun ragut.

    “Pihak polis memberikan amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terbabit dalam apa apa perbuatan merompak harta milik orang lain,” katanya.

  • Lelaki laung azan di tokong Cina ada masalah mental

    Lelaki laung azan di tokong Cina ada masalah mental

    POLIS mengesahkan lelaki yang dirakam melaungkan azan di hadapan sebuah patung di tokong Cina dalam kejadian di Butterworth, Pulau Pinang merupakan individu kurang siuman dan mempunyai masalah mental.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, perkara itu disahkan selepas pihaknya mengambil keterangan beberapa saksi kejadian.

    Menurut Cheng San, kejadian itu juga merupakan kali kedua melibatkan suspek warga tempatan berusia 40-an yang tinggal di Jalan Kilang Ubi berkenaan selepas dilaporkan melakukan perbuatan sama pada 2017.

    “Siasatan lanjut juga mendapati masyarakat di sekitar kawasan itu kebanyakannya mengenali suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu, video rakaman tindakan lelaki berkenaan yang melaungkan azan di hadapan patung di sebuah tokong tular di laman sosial selepas dimuat naik ke dalam laman Facebook ‘Akademi Penyelidikan Agama Dunia’ kira-kira pukul 2.30 petang semalam.

    Ia mengundang pelbagai reaksi daripada warga maya apatah lagi lelaki berkenaan dilihat terus melaungkan azan tanpa mempedulikan orang sekeliling serta meskipun ketika perbuatannya itu dirakam.

    Kejadian itu dipercayai berlaku antara 26 hingga 27 Julai lalu di sebuah premis Pertubuhan Yulan di Butterworth sempena Festival Sambutan Perayaan Hantu Lapar yang disambut pada Julai setiap tahun

    Dalam pada itu, Cheng San turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan apa-apa perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti serta memecahbelahkan keamanan antara kaum serta agama dalam masyarakat di negara ini.

  • Penganggur dengan 14 rekod jenayah ditahan bawa pistol

    Penganggur dengan 14 rekod jenayah ditahan bawa pistol

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MESKIPUN memiliki 14 rekod jenayah, seorang penganggur masih belum menunjukkan tanda-tanda untuk insaf apabila dia sekali lagi ditahan polis kerana memiliki pistol dan peluru di Sungai Petani, Kedah, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, tangkapan terhadap lelaki berusia 40 tahun itu dibuat di Taman Ria Jaya.

    Menurutnya, sepasukan anggota polis pada mulanya terlihat individu berkenaan berada dalam keadaan mencurigakan di salah sebuah lorong dalam taman perumahan itu.

    “Pihak polis mendekatinya namun dia melarikan diri. Tindakannya itu bagaimanapun sia-sia apabila dia berjaya dikejar dan diberkas.

    “Pemeriksaan dijalankan mendapati terdapat sepucuk piatol jenis Colt-PT.F.A buatan Amerika Syarikat padanya bersama enam butir peluru jenis PMC. 38 SPL,” katanya.

    Tambahnya, lelaki itu kemudiannya dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk siasatan lanjut.

    “Ujian urin ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis MOP.

    “Semakan lanjut mendapati dia memiliki 14 rekod lampau membabitkan termasuk melibatkan kes dadah,” katanya.

    Tambahnya, lelaki tersebut yang beralamat di Taman Sejati direman selama lima hari bermula hari ini hingga 4 Ogos depan.

  • Isu siasatan 1MDB: PDRM panggil Apandi esok

    Isu siasatan 1MDB: PDRM panggil Apandi esok

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) telah memanggil bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali bagi memberi keterangan berhubung kes tidak puas hati seorang Ahli Parlimen terhadap siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, pihaknya akan merekod keterangan bekas Peguam Negara itu pada 2.30 petang esok (1 Ogos).

    β€œKes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 217 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Jumaat lepas, media melaporkan, PDRM menerima laporan polis dibuat Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang tidak berpuas hati terhadap siasatan 1MDB oleh Apandi ketika beliau menjadi Peguam Negara dan mendakwa Apandi menyalahgunakan kuasa melibatkan kes itu. – BERNAMA