Category: Jenayah

  • Tiga kali rumah Zalina diperiksa polis, tiada petunjuk baharu

    Tiga kali rumah Zalina diperiksa polis, tiada petunjuk baharu

    POLIS belum menemukan sebarang petunjuk baharu berhubung kes kehilangan bekas pembaca berita sebuah stesen televisyen, Zalina Shaharah Azman.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata sehingga kini pihaknya telah melakukan tiga kali pemeriksaan ke atas rumah wanita tersebut.

    “Pemeriksaan terakhir dilakukan di rumah orang hilang (OH) pada 28 Julai lalu namun tiada petunjuk dan penemuan baharu,” katanya yang dihubungi hari ini. 

    Beliau berkata pemeriksaan dilakukan dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) dan Bahagian Forensik (D10) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. 

    Dilaporkan, polis menerima laporan mengenai kehilangan Zalina Shaharah, 58, atau dikenali sebagai Zalina Azman daripada anak lelakinya, Mikhael Norman, 33, pada 29 Nov tahun lepas yang cuba menghubunginya sejak 24 Nov 2021 bagi memaklumkan datuk pengadu telah dimasukkan ke hospital, namun wanita itu tidak dapat dihubungi.

    Polis mempercayai Zalina Shaharah masih berada di dalam negara susulan tiada pergerakan keluar membabitkan wanita itu yang dikesan pihak berkuasa setakat ini.- BERNAMA

  • PDRM kaji semula pemindahan anggota terlibat salah laku ke Sabah, Sarawak

    PDRM kaji semula pemindahan anggota terlibat salah laku ke Sabah, Sarawak

    KEPUTUSAN berhubung pertukaran sembilan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dipercayai terlibat dalam kes peras ugut di Gombak baru-baru ini, ke Sabah dan Sarawak akan dikaji semula.

    Pejabat Setiausaha Kerajaan Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya telah membuat semakan dengan pejabat Pesuruhjaya Polis Sarawak, dan dimaklumkan bahawa belum ada anggota yang dimaksudkan melaporkan diri di Kontinjen Polis Sarawak setakat ini.

    Menurut kenyataan itu Kerajaan Sarawak menyambut baik usaha PDRM bagi menambah bilangan anggota untuk memantapkan lagi kawalan keselamatan demi kesejahteraan rakyat Sarawak, namun berharap PDRM menempatkan pegawai dan anggota yang berintegriti tinggi serta bebas dari sebarang siasatan jenayah.

    “PDRM menyambut baik saranan kerajaan Sarawak dan memaklumkan bahawa keputusan pertukaran itu akan dikaji semula oleh pucuk pimpinan PDRM,” menurut kenyataan itu.

    Sementara itu dalam kenyataan berasingan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata pihaknya akan mendapatkan penjelasan daripada PDRM berhubung perkara itu. 

    Beliau juga meminta supaya pihak polis memaklumkan dan berbincang dengan beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri sebelum tindakan seumpama itu dilaksanakan.

    “Kerajaan Negeri Sabah memandang serius tindakan polis memindahkan sembilan anggotanya yang dipercayai terlibat kes peras ugut ke Sabah dan Sarawak, tanpa mendapat pandangan dari Kerajaan Negeri terlebih dahulu.

    “Saya memandang serius perkara ini walaupun tindakan itu mungkin sebagai satu prosedur atau tindakan disiplin yang diambil jabatan berkenaan terhadap anggota mereka,” katanya.

    Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S.Sasikala Devi sebelum ini dilaporkan berkata sembilan anggota polis yang disiasat selepas dipercayai terlibat kes pemerasan seorang ahli perniagaan di Gombak, Selangor mengenai pemilikan dadah baru-baru ini telah ditempatkan untuk bertugas di Sabah dan Sarawak. – Bernama

  • Vellfire ‘tin sardin’, seludup 25 PATI dari Rantau Panjang ke KL

    Vellfire ‘tin sardin’, seludup 25 PATI dari Rantau Panjang ke KL

    HASRAT 25 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk enam wanita mencari pekerjaan di ibu negara tidak kesampaian apabila kenderaan dinaiki mereka ditahan polis dalam kejadian tengah hari semalam di Jalan Selinsing Kuala Lumpur.

    Dalam kejadian itu, pemandu kenderaan berusia 17 tahun berjaya ditahan manakala penumpang hadapan berjaya melarikan diri semasa kenderaan itu terbabit kemalangan.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kejadian kira-kira pukul 12.05 tengah hari ketika polis sedang membuat rondaan di sekitar Jalan Manjoi 3, Taman Sri Kuching dan mendapati sebuah Toyota Vellfire warna Hitam dipandu dalam keadaan mencurigakan.

    Katanya, semasa menghampiri kenderaan itu, pemandu nya bertindak memecut laju dan enggan menghentikan kereta tersebut memaksa polis mengejarnya.

    Beliau berkata, sampai di Jalan Selinsing, ia telah melanggar empat motosikal termasuk ditunggang seorang anggota polis yang sedang bertugas sehingga menyebabkan ianya terbabas.

    “Hasil siasatan mendapati pemandu motokar tersebut merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 17 tahun manakala di bahagian tempat duduk belakang terdapat 19 orang lelaki dan enam orang perempuan warga asing lingkungan 15 tahun hingga 39 tahun.

    “Semakan identiti kesemua penumpang mendapati kesemuanya adalah pendatang asing tanpa izin dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Eng Lai berkata, suspek dan seorang lagi rakannya yang melarikan diri bertolak dari Rantau Panjang menuju ke Kuala Lumpur pada pagi Selasa pukul 3 pagi untuk menghantar kesemua warga asing mencari pekerjaan.

    Menurutnya, bayaran yang dikenakan kepada setiap individu PATI oleh penghantar atau tekong
    adalah sebanyak RM6,000.

    “Kesemua suspek direman bermula hari ini untuk membantu siasatan. Kes disiasat dibawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 186 Kanun keseksaan,” katanya.

  • Lapan ditahan termasuk CEO disyaki terima suapan urusan pekerja asing

    Lapan ditahan termasuk CEO disyaki terima suapan urusan pekerja asing

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah (SPRM) menahan lapan individu termasuk seorang ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat teknologi maklumat kerana disyaki menerima rasuah berjumlah RM800 hingga RM1,500.

    Free Malaysia Today (FMT) melaporkan, wang itu sebagai balasan membantu majikan atau ejen dalam proses mendapatkan kuota pekerja asing.

    Daripada jumlah itu, seramai enam suspek termasuk dua wanita direman tiga hari manakala dua lagi suspek masing-masing seorang lelaki dan wanita dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan diambil.

  • Bapa campak 3 anak dari jejambat alami masalah mental

    Bapa campak 3 anak dari jejambat alami masalah mental

    POLIS percaya masalah mental merupakan punca seorang lelaki Myanmar tergamak mencampak tiga anaknya dari jejambat setinggi 20 meter di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) sebelum terjun di tempat sama, semalam.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dua anaknya yang berusia enam dan tujuh tahun maut di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa yang dianggarkan berusia lima tahun kritikal.

    Susulan itu katanya, ibu kanak-kanak berkenaan, warga Myanmar juga pemegang kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) telah dirakam keterangan semalam.

    “Hasil siasatan awal kita percaya suspek mengalami masalah mental menyebabkan dia melakukan perkara itu.

    “Mangsa yang terselamat berada dalam keadaan kritikal dan diberikan ubat pelali oleh pasukan perubatan di Hospital Selayang,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Semalam Warta Rakyat melaporkan, dua kanak-kanak warga Myanmar maut akibat dicampak bapa mereka dari jejambat di Jalan MRR2 di Kuala Lumpur.

    Berdasarkan kenyataan saksi, lelaki berusia 38 tahun itu dilihat berjalan sambil menggendong seorang kanak-kanak manakala dua lagi kanak-kanak dipegang di tangan kanan dan kirinya.

    Polis dalam kenyataan berkata, kesemua kanak-kanak dan suspek terbabit ditemui berhampiran lampu isyarat di Desa Jaya di Kuala Lumpur.

    Kesemua mangsa dipercayai warga Myanmar kerana pemeriksaan di lokasi menemui dua kad UNHCR untuk orang pelarian milik suspek dan kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • Angkara bunyikan hon, pemandu kancil tetak pacuan empat roda dengan parang

    Angkara bunyikan hon, pemandu kancil tetak pacuan empat roda dengan parang

    HANYA kerana membunyikan hon, seorang lelaki bertindak di luar dugaan apabila menetak sebuah kenderaan menggunakan parang dalam kejadian di Jalan Upper Lanang, Sibu, pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, pihaknya menerima aduan daripada mangsa berusia 37 tahun pada pukul 10.09 pagi.

    “Suspek berjaya ditahan bersama barang rampasan pada pukul 1 petang, hari yang sama.

    “Suspek berusia 27 tahun direman hari ini di Mahkamah Sibu bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, lapor Utusan TV.

    Jelasnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

    Terdahulu, tular satu klip video memaparkan pemandu kereta Perodua Kancil merah bertindak memandu secara melulu sebelum berhenti di hadapan pacuan empat roda mangsa.

    Suspek kemudian bertindak agresif dengan mengeluarkan sebilah parang dari tingkap kereta dan menetak kenderaan dipandu mangsa.

  • Lelaki Indonesia cedera ditikam dalam pergaduhan

    Lelaki Indonesia cedera ditikam dalam pergaduhan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki warga Indonesia cedera selepas ditikam dalam pergaduhan yang berlaku di hadapan sebuah kilang di kawasan perindustrian Senai Fasa 3 di Kulai pada Khamis lalu.

    Ketua Polis Daerah Kulai, Suprintendan Tok Beng Yeow berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 8.30 malam.

    “Sepasukan anggota dan pegawai menjalankan serbuan bermula pada pukul 12.05 pagi pada Jumaat dan menangkap 11 warga Pakistan dan Indonesia.

    “Kesemua suspek berusia 22 hingga 33 tahun ditahan untuk siasatan lanjut. Polis turut merampas sebilah pisau di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Klip video berdurasi 1 minit 26 saat memaparkan kejadian pergaduhan itu tular dalam media sosial.

    Katanya, mangsa, 27, yang cedera selepas ditikam di belakang badan berada dalam keadaan stabil selepas dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

    “Kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ditahan reman selama tujuh hari bermula Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Orang ramai yang melihat kejadian itu diminta tampil memberikan maklumat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai atau hubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohamad Nazirul Azri di talian 017017-7078577, katanya.

  • Kastam rampas syabu RM1.88 juta dalam peralatan elektrik

    Kastam rampas syabu RM1.88 juta dalam peralatan elektrik

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas dadah sebanyak 52 kilogram (kg) syabu dalam satu operasi ke atas sebuah rumah di Kota Kinabalu pada pukul 12.12 tengah hari Ahad lalu.

    Ketua Pengarah Kastam, Datuk Zazuli Johan berkata, menerusi Operasi Khas Mekong Dragon Siri IV itu, seorang lelaki tempatan, 37, turut ditahan bersama dadah bernilai kira-kira RM1.88 juta.

    “Serbuan dibuat hasil maklumat risikan selama dua bulan oleh Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) terhadap aktiviti pembungkusan dadah di sebuah kediaman di daerah tersebut.

    “Hasil serbuan menemui bahan terlarang disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan berat lebih kurang 52.463 kg dan dianggarkan bernilai sebanyak RM1,888,668.

    “Dalam serbuan kita menahan seorang lelaki berada di dalam rumah dan sedang melakukan kerja pembungkusan dadah berkenaan. Dadah itu untuk diedarkan di sekitar Sabah dan luar negeri terbabit,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Kastam Sabahm hari ini.

    Zazuli berkata, modus operandi kes itu adalah menjadikan rumah berkenaan sebagai tempat untuk melakukan proses pembungkusan dadah itu.

    “Pembungkusan dilakukan dengan memasukkan dadah ke dalam plastik teh.

    “Dadah yang siap dibungkus disembunyikan di dalam peralatan elektrik dapur dan disimpan dalam kotak,” katanya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

    Zazuli berkata, siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi mengesan individu lain yang terlibat.

  • KPDNHEP rampas diesel bersubsidi, dua lelaki ditahan

    KPDNHEP rampas diesel bersubsidi, dua lelaki ditahan

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang menumpaskan satu sindiket penyelewengan diesel bersubsidi selepas menyerbu sebuah premis stesen minyak di Indera Mahkota, Kuantan, semalam.

    Menurut Pengarahnya, Datuk Mark Ujin, serbuan berkenaan membawa kepada penahanan dua individu yang merupakan pemandu lori dan kelindan di lokasi kejadian.

    “Kedua-dua lelaki terbabit merupakan warga tempatan berusia dalam lingkungan umur 51 dan 21 tahun.

    “Kita menjumpai lapan tangki petak yang dianggarkan berkapasiti 1,000 liter setiap satu dan telah diubah suai di dalam lori muatan tujuh tan.

    “Malah, sebuah pam minyak yang digunakan bagi tujuan memindahkan diesel dari ‘steen’ minyak ke tangki petak berkenaan.

    “Susulan penahanan itu, KPDNHEP Pahang berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel di kawasan Indera Mahkota,” ketika mengadakan sidang akhbar di Pejabat KPDNHEP di Kuantan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beliau menjelaskan, kedua-kedua lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 18 (1), PPKB (pindaan) 2021 Akta Kawalan Bekalan 1961.

    Hasil siasatan awal katanya, mendapati kedua-duanya merupakan warganegara Malaysia yang tidak mempunyai pekerjaan tetap selain mendapati minyak diseleweng adalah untuk dibawa keluar dari negeri ini.

    “Kesemua nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM59,000. Pemilik boleh didenda sehingga RM1,000,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

    Mark memaklumkan KPDNHEP Pahang telah mengambil tindakan proaktif dengan menggerakkan 127 anggota penguat kuasa melibatkan enam pejabat cawangan di seluruh negeri Pahang.

    Jelasnya, anggota ini digerakkan bagi melakukan pemeriksaan dan pemantauan ke atas premis-premis perniagaan yang menjalankan aktiviti membabitkan penggunaan petrol dan diesel.

    “Kita memandang serius isu penyelewengan barangan bersubsidi khususnya petrol dan diesel. Penyelewengan yang berlaku tersebut merugikan pihak kerajaan sekali gus menggagalkan usaha kerajaan dalam menyalurkan bantuan kepada golongan yang disasarkan,” ujarnya.

    Sementara itu, pihaknya mengambil tindakan proaktif dengan menguatkuasakan perundangan berdasarkan polisi sedia ada di mana kesalahan berat seperti penjualan barang kawalan bersubsidi akan dikenakan tindakan tegas

    “Sepanjang tempoh 1 Januari lalu sehingga setakat ini, KPDNHEP Pahang telah membuat pemeriksaan ke atas 39,583 premis yang melibatkan pelbagai peringkat perniagaan.

    Tambahnya, daripada jumlah itu sebanyak 455 kes telah dihasilkan melibatkan nilai rampasan sebanyak RM189,960 dan kompaun sebanyak RM297,300.

    “Pihak kementerian juga menyeru agar pengguna untuk turut sama membantu menjadi mata dan telinga dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan oleh peniaga melalui pelbagai medium penyaluran aduan yang telah disediakan,” katanya.

  • Kastam Johor rampas rokok RM3.8 juta rokok seludup

    Kastam Johor rampas rokok RM3.8 juta rokok seludup

    Oleh ABU UBAIDILAH RAHMAN

    KEGIATAN satu sindiket menjadikan sebuah gudang di Kulai, Johor sebagai tempat penyimpanan rokok seludup dari Indonesia terbongkar selepas diserbu
    Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor pada 23 Julai lalu.

    Serbuan hasil risikan dan siasatan selama dua bulan itu berjaya merampas lebih lapan juta batang rokok putih dan roko kretek seludup dianggarkan bernilai RM3.8 juta.

    Pengarah JKDM Johor, Sazali Mohamad berkata, rampasan rokok tersebut yang merupakan terbesar dalam tahun ini di negeri ini namun tiada tangkapan dibuat kerana semasa serbuan tiada suspek dalam gudang tersebut.

    “Hasil pemeriksaan rapi ke atas gudang yang mencurigakan itu, JKDM Johor berjaya menemukan 8,017,600 batang rokok yang disembunyikan dalam bungkusan ditutup dengan kain kanvas.

    “Nilai rokok tersebut RM3.8 juta manakala duti serta cukai yang terlibat pula dianggarkan RM5.7 juta. Nilai keseluruhan dagangan yang dirampas termasuk cukai berjumlah RM9.45 juta. Tiada tangkapan dibuat semasa serbuan,” katanya dalam sidang akhbar di Menara JKDM Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Katanya, modus operandi sindiket tersebut adalah dengan menyembunyikan rokok seludup dalam gudang sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.

    Beliau percaya rokok putih dan kretek tidak bercukai dipercayai dibawa masuk dari negara jiran secara tidak sah dengan menggunakan jalan laut.

    Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 mengikut mana-mana lebih besar.

    Jelasnya, kesalahan itu jug boleh juga didenda tidak melebihi 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar atau penjara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    Sementara itu, Sazali berkata, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Sungau Pulai berjaya merampas 3,840 minuman keras bersamaan 1,790.40 liter selepas menahan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima Aeras di Kilometer 2.7 Jalan Sultan Ismail, Lebuhraya Persisir Pantai Iskandar, Iskandar Puteri pada 22 Julai lalu.

    “Minuman keras tersebut disembunyikan di bahagian belakang kenderaan tersebut dan di kerusi pemandu. Minuman keras yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM10,700 manakala jumlah duti dan cukai terlibat adalah RM37,300.

    “Nilai keseluruhan dagangan yang disita termasuk cukai dan kenderaan berjumlah RM88,100. Pemandu MPV berkenaan gagal mengemukakan kelulusan seperti invois, Borang Kastam 1 atau permit import,” katanya.

    Tambah Sazali, suspek melakukan kegiatan tersebut sejak dua atau tiga bulan lalu dan modus operandinya adalah dengan menggunakan MPV untuk mengambil minuman keras yang diseludup sebelum diedarkan di pasaran tempatan.

    Kes tersebut katanya, disiasat di bawah Seksyen 74(1)(d) Akta Eksais 1976, jika sabit kesalahan pertama boleh dihukum tidak kurang dari 10 kali amaun duti eksais atau RM100,000 mengkut mana-mana yang lebih besar.

    Jelasnya, kesalahan itu juga boleh didenda tidak lebih 20 kali amaun duti eksais atau RM500,000 memgikut mana-mana amaun yang lebih besar atau penjara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya.