Category: Jenayah

  • Anggota polis maut dengan kesan tembakan di kepala

    Anggota polis maut dengan kesan tembakan di kepala

    SEORANG polis ditemukan maut dengan kesan tembakan di kepala di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Rembau, Rembau pukul 6.30 petang semalam.

    Anggota berpangkat sarjan berusia 58 tahun berkenan dipercayai masuk ke salah sebuah bilik dan mengunci pintu.

    Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, anggota yang bertugas di BSJD Rembau itu ditemukan berlumuran darah dalam sebuah bilik di pejabat berkenaan.

    “Ibu Pejabat Daerah (IPD) Rembau menerima maklumat berkaitan seorang anggota polis yang ditemui maut berlumuran darah dengan kesan tembakan di kepala di 6.30 petang semalam.

    “Mayat dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, hari ini, lapor Harian Metro.

    Ahmad Dzaffir berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

    “Polis meminta orang ramai tidak mengeluar apa-apa kenyataan yang boleh mengganggu siasatan dan menghormati keluarga si mati,” katanya.

  • Imigresen buat laporan polis nafi gejala rasuah di KLIA

    Imigresen buat laporan polis nafi gejala rasuah di KLIA

    SATU laporan polis telah dibuat bagi menangkis dakwaan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing bahawa wujud budaya rasuah dalam kalangan kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Khamis lalu.

    Laporan yang dibuat Penolong Penguasa Imigresen, Syahmi Syafie Md Nazmil itu menafikan dakwaan anggota Imigresen meminta wang RM3,000 melalui ejen untuk membebaskan wanita dari China yang dikenali sebagai Wang Xu.

    “Semasa soal siasat, subjek tidak memenuhi syarat kemasukan pelancong kerana tidak memiliki tiket pulang ke negara asal serta gagal menyatakan dengan jelas penginapan semasa berada di Malaysia. Soal siasat serta komunikasi dengan subjek juga agak terbatas kerana subjek hanya boleh berbahasa Cina dan sukar memahami soalan yang diajukan,” kata laporan.

    Dalam pada itu, seorang wanita yang berkomunikasi dengan pegawai penguat kuasa melalui telefon bimbit subjek serta memperkenalkan diri sebagai Emma memberitahu wanita itu datang dengan tujuan menjaga anaknya.

    Sementara itu, laporan memaklumkan kemasukan pelawat yang telah dikemas kini daftar penolakan masuk ke dalam sistem Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) hanya boleh dibatalkan dengan kelulusan pengarah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau Ketua Pengarah Imigresen sahaja.

    Dalam pada itu, Syahmi juga mendakwa pegawai bertugas juga tidak diberikan peluang untuk memberi penjelasan atau membela diri meskipun dituduh meminta wang berjumlah RM3,000 melalui ejen untuk dilepaskan.

    “Datuk Seri Tiong King Sing telah hadir ke pejabat operasi imigresen dan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan penolakan masuk ke atas subjek berkenaan. Beliau juga memarahi pegawai kanan serta penyelia yang menolak kemasukan subjek dan mengatakan “you are the culprit” serta membuat tuduhan yang tidak berasas dengan menyatakan pegawai meminta wang sebanyak RM3,000 melalui ejen untuk membebaskan subjek masuk ke Malaysia.

    “Beliau juga mengugut akan “membuang pangkat” pegawai berkenaan dan pelbagai kata-kata yang menjatuhkan air muka pegawai di hadapan pegawai lain serta orang awam yang berada dalam pejabat pada ketika itu,” tulis laporan itu, lapor Astro Awani.

    Susulan kejadian tersebut, tindakan notis penolakan masuk telah dibatalkan selaras arahan ketua pengarah dan wanita itu dibenarkan masuk sekitar jam 3 petang keesokannya.

    Terdahulu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menegaskan, beliau tidak pernah menyalahgunakan kuasa untuk membebaskan wanita asing seperti yang didakwa, sebaliknya mendakwa pelancong dari China itu ditahan Jabatan Imigresen tanpa sebarang sebab.

    Mengulas lanjut, King Sing berkata beliau hadir di pejabat Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada petang kelmarin itu selepas menerima terlalu banyak aduan mengenai halangan untuk pelancong masuk ke negara ini.

    King Sing juga mendakwa wanita

  • Warga emas pandu kereta lawan arus, sesat jalan untuk pulang ke rumah

    Warga emas pandu kereta lawan arus, sesat jalan untuk pulang ke rumah

    GARA-GARA tersesat jalan untuk pulang ke rumah, seorang warga emas nekad memandu secara melawan arus untuk membuat pusingan U dari Plaza Tol Sungai Dua sehingga ke Kilometer 126.3, Lebuh Raya Utara-Selatan, arah Selatan di Butterworth, Pulau Pinang, pada Rabu.

    Ekoran itu, warga emas berusia 80 tahun berkenaan ditahan selepas pasukan Peronda Lebuh Raya Zon Utara, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menerima maklumat daripada orang awam kira-kira pukul 7.43 pagi.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, warga emas itu ditahan di lokasi aduan setelah memberhentikan kereta jenis Proton Persona sebelum dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (IPD SPU) untuk tindakan lanjut.

    Jelasnya, hasil siasatan awal mendapati, pemandu kereta tersebut yang dari rumahnya di Sungai Petani, Kedah mahu ke kedai makan berhampiran dengan tempat tinggalnya.

    “Bagaimanapun, pemandu tersebut telah tersesat jalan dan masuk ke Lebuh Raya Utara- Selatan serta tidak menjumpai laluan keluar untuk membuat pusingan U di tol berhampiran.

    “Dia kemudian mengambil tindakan untuk memandu secara lawan arus. Pemandu tersebut juga dipercayai menunjukkan petanda lupa ingatan sejak kebelakangan ini yang dimaklumkan oleh pihak keluarga,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Dalam pada itu, beliau memberitahu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan tindakan saman juga dikeluarkan terhadap pemandu warga emas terbabit berikutan lesen memandunya tamat tempoh.

    Kelmarin, tular video yang memaparkan seorang warga emas memandu kereta secara lawan arus di laluan kanan lebuh raya dalam media sosial termasuk di Facebook.

  • Polis Johor tumpas sindiket edar dadah guna TikTok, WeChat

    Polis Johor tumpas sindiket edar dadah guna TikTok, WeChat

    POLIS menumpaskan sindiket pengedaran dadah menggunakan aplikasi TikTok dan WeChat selepas menahan lapan individu menerusi empat serbuan berasingan di sekitar bandar raya Johor Bahru, pada Ahad dan Isnin lepas.

    Timbalan Ketua Polis Johor DCP M Kumar berkata kesemua lima lelaki dan dua wanita tempatan serta seorang wanita warga asing yang berusia antara 19 hingga 67 tahun itu ditahan dalam operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor.

    “Kesemua individu termasuk seorang lelaki yang disyaki dalang itu ditahan hasil risikan yang dibuat sejak Mac lepas. Modus operandi mereka adalah menguar-uarkan kepada pembeli menggunakan TikTok dan WeChat sebelum mengedarkannya ke pasaran tempatan.

    “Sindiket akan meninggalkan dadah di suatu tempat sebelum diambil pembeli. Kita dapati sindiket ini menjadikan kondominium berpagar dan berpengawal sebagai tempat pembungkusan dan stor penyimpanan dadah,“ katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di Johor Bahru hari ini.

    Beliau berkata pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM926,644, antaranya 10.65 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 914.20 gram ketamin, 118 biji pil ekstasi dan 100 biji pil erimin 5 selain menyita dua buah kenderaan, wang tunai sebanyak RM11,910 dan 500 dolar Singapura.

    Kumar berkata saringan awal terhadap kesemua individu yang direman tujuh hari mulai Isnin lepas itu mendapati lima orang positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin, manakala empat orang mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah.

    Sementara itu, dalam kes berlainan, beliau berkata pihaknya menahan enam lelaki dan dua wanita tempatan bersama 16.22 kg heroin bernilai RM134,657 dalam serbuan berasingan di sekitar Batu Pahat, Isnin lepas.

    Beliau berkata kesemua individu berusia lingkungan 19 hingga 53 tahun itu dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran yang aktif sejak Mac lepas dan kesemua mereka direman selama tujuh hari mulai Isnin.

    “Modus operandi sindiket adalah menggunakan kenderaan dan rumah sewa sebagai stor penyimpanan sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,“ katanya sambil menambah empat individu didapati positif dadah jenis methamphetamine dan tetrahydrocannabinol (THC), manakala seorang mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

    Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Pelajar tingkatan lima ditahan bersama heroin bernilai RM40,000

    Pelajar tingkatan lima ditahan bersama heroin bernilai RM40,000

    POLIS menahan seorang remaja berusia 17 tahun serta merampas sejumlah dadah disyaki heroin seberat 74.80 gram bernilai RM40,000, di Pasir Puteh semalam.

    Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Supt Zaizul Rizal Zakaria berkata remaja yang juga pelajar Tingkatan Lima sebuah sekolah menengah di Pasir Puteh, ditahan ketika serbuan dilakukan di tepi jalan di Kampung Lembah Semerak pada 5 petang.

    Beliau berkata ketika intipan dilakukan suspek dilihat sedang duduk di atas sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR warna kuning/hitam tanpa nombor pendaftaran di tepi jalan.

    “Suspek bertindak untuk cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah yang membuat serbuan.

    “Hasil pemeriksaan ke atas motosikal suspek telah ditemukan sebanyak 20 botol plastik cerah bertudung kuning yang setiap satu botol berisi serbuk keputihan disyaki dadah jenis heroin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Zaizul Rizal berkata hasil ujian saringan awal polis mendapati suspek juga positif dadah jenis methamphetamine.

    “Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 4 Julai depan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya.

  • Pegawai, dua anggota polis antara ditahan positif dadah

    Pegawai, dua anggota polis antara ditahan positif dadah

    SEORANG pegawai polis berpangkat Asisten Superintenden serta dua anggota berpangkat Sarjan dan Koperal antara 152 individu ditahan kerana positif terhadap dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Sungai Padungan, di Kuching, Ahad lepas.

    Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri pada sidang media di Kuching hari ini berkata, ketiga-tiganya yang berusia antara 45 hingga 49 tahun disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas hasil saringan awal air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

    Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis merampas dadah pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM197,458 selain menyita harta yang dianggarkan bernilai RM1.2 juta.

    Katanya, serbuan pada 1.20 hingga 6 pagi itu memeriksa seramai 204 pengunjung sebelum hasil pemeriksaan mendapati 152 daripadanya positif terhadap dadah.

    “Mereka yang positif dadah ini berusia antara 19 hingga 54 tahun dan disiasat di bawah seksyen sama,” katanya.

  • Lelaki kejam, tanam 7 bayi dakwa ‘diperintah’ dukun kalau nak kaya-raya

    Lelaki kejam, tanam 7 bayi dakwa ‘diperintah’ dukun kalau nak kaya-raya

    SEORANG lelaki yang dikenali sebagai R, 57, dipercayai telah membunuh dan menanam hidup-hidup tujuh mayat bayi di satu kawasan hasil daripada perlakuan sumbang mahram terhadap anak kandungnya sendiri.

    Memetik laporan Kompas, kejadian ini berlaku daripada tahun 2013, 2015, 2016, 2018, 2019, 2020, dan akhir sekali pada tahun 2021 di Banyumas, Jawa Barat, Indonesia.

    Mengikut siasatan, polis mendakwa tujuh daripada bayi yang dibunuh terdiri dari empat bayi perempuan dan tiga bayi lelaki.

    Kata Ketua Polis Banyumas, Agus Supriadi Siswanto, R terkenal dalam kalangan penduduk setempat sebagai dukun.

    “Aktiviti sehariannya adalah memancing selain mengubat orang,” katanya kepada media tempatan.

    R difahamkan memiliki tiga isteri, bagaimanapun isteri pertama dan keduanya telah diceraikan. Sementara E merupakan anak pertama daripada isteri ketiga R.

    Hubungan sumbang mahram antara R dan E pula diketahui oleh isteri ketiga R namun tidak berani melaporkan kepada pihak berkuasa kerana diancam bunuh.

    Menurut laporan media tempatan lagi, R dikatakan melakukan ritual (pembunuhan) itu atas perintah dari seorang pengamal paranormal yang ditemuinya ketika bekerja sebagai buruh binaan pada 2011.

    “Jika kamu ingin kaya, anak kamu ‘digauli’ sampai tujuh kali,” kata R yang meniru ucapan dukun terbabit.

    Ditanya adakah sudah kaya, jawab R ringkas; “Belum.”

    R tidak mempunyai rumah dan tinggal bersama-sama anaknya, E di sebuah pondok berdekatan tempat mayat-mayat bayinya ditanam.

    Kes ini bermula apabila dua pekerja pembersihan tanah telah menemui objek yang disyaki sebagai tulang manusia pada 15 Jun lalu sewaktu pembersihan kawasan di lakukan.

    Sehingga kini, pihak polis masih lagi menjalankan operasi untuk mengesan saki baki peninggalan tulang daripada tujuh rangka bayi manusia yang dikatakan di tanam di sebuah lokasi di Jawa Tengah, Indonesia.

    Pihak polis juga percaya bahawa pelaku tidak bertindak keseorangan dalam melakukan perkara terkutuk itu.

    Pihak polis masih lagi menjalankan siasatan sama ada itu adalah motif pelaku atau hanya sekadar alasan semata-mata.

  • Suami isteri ditahan edar dadah lebih 10kg, nilai setengah juta ringgit

    Suami isteri ditahan edar dadah lebih 10kg, nilai setengah juta ringgit

    SEPASANG suami isteri ditahan kerana terlibat dengan sindiket pengedaran dadah dan polis merampas pelbagai jenis bahan itu yang dianggarkan seberat lebih 10 kilogram (kg) dengan nilai setengah juta ringgit di Ipoh, pada Isnin.

    Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, suami warga tempatan yang berusia 39 tahun sementara isterinya, warganegara China berusia 37 tahun masing-masing ditahan di sebuah rumah di Jalan Medan Ipoh, pada pukul 7.45 malam.

    “Hasil serbuan pertama pihaknya menemukan dadah disyaki jenis ketamin anggaran berat 8.5 gram (g), lapan biji pil disyaki pil ecstacy anggaran berat 3.3g; lima biji pil disyaki pil erimin 5 anggaran berat 1.35g; dan serbuk dadah disyaki serbuk ecstacy anggaran berat 22.4g,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di Ipoh, hari in.

    Katanya susulan itu Jabatan Siasat Jenayah Narkotik Kontinjen Perak menyerbu sebuah lagi rumah pada hari sama di Jalan Medan Ipoh yang dipercayai menjadi tempat penyimpanan dan membungkus dadah pada pukul 10.25 malam.

    Katanya, hasil serbuan pihak polis menemukan dadah disyaki dadah jenis ketamin 757g; 2,765 biji pil disyaki pil ecstacy anggaran berat 1,088g; 15,250 biji pil disyaki pil erimin 5 anggaran berat 4.33kg; serbuk dadah disyaki serbuk ecstacy anggaran berat 1.02kg; 141 paket serbuk minumam disyaki serbuk ecstacy anggaran berat 3.43kg.

    Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM538,646 selain turut dirampas adalah sejumlah peralatan yang dipercayai digunakan untuk membungkus dadah.

    Tambahnya lagi, sebuah kereta jenis Nissan Almera dan wang tunai turut disita di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan jumlah keseluruhan bernilai RM41,200.

    Mohd. Yusri berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek suami positif dadah jenis Ketamin, sementara hasil semakan mendapati kedua-dua mereka tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

    Berdasarkan siasatan yang dijalankan katanya, kedua-dua suspek mula aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak dua tahun lalu.

    “Dadah yang dirampas, disyaki untuk diedarkan di pasaran tempatan di Perak. Dianggarkan jumlah dadah yang dirampas ini boleh digunakan seramai 40,000 orang penagih dadah.

    “Suami isteri itu yang juga penganggur berperanan membungkus dadah berkenaan yang dipercayai diperoleh dari selatan tanah air untuk diedarkan,” jelasnya lagi, lapor Astro Awani.

    Tambahnya kes disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua saspek direman selama tujuh hari mulai 27 Jun bagi membantu siasatan.

  • Polis tahan 3 lelaki simpan pelbagai senjata api

    Polis tahan 3 lelaki simpan pelbagai senjata api

    POLIS menahan tiga lelaki kerana menyimpan pelbagai senjata api, peluru, bom asap, bom ikan, gari dan peralatan membuat senjata di Kampung Gemencheh Ulu, Kuala Pilah.

    Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd. Gani berkata, pada 6.30 pagi Isnin lalu sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD )Kuala Pilah melakukan serbuan di sebuah rumah di kampung berkenaan susulan maklumat dadah.

    “Menerusi serbuan itu seorang lelaki berusia 30-an berjaya ditangkap.

    “Susulan daripada serbuan pertama itu, pada pukul lebih kurang 7.30 petang sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuala Pilah membuat serbuan di dua lokasi berbeza di Johol dan membuat tangkapan dua lelaki lingkungan usia 40-an.

    “Pemeriksaan ke atas kesemua tangkapan berkenaan menjumpai pelbagai senjata api turutan, peralatan membuat senapang angin serta peluru hidup yang disimpan dengan menyalahi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.

    Amran berkata, hasil pemeriksaan dan rampasan membabitkan dua laras senapang angin, satu laras senapang patah buatan sendiri, satu pucuk pistol angin , 116 butir peluru hidup jenis penabur, dua butir peluru hidup saiz .0.38 special, satu pasang gari, satu butir bom asap, satu butir bom ikan buatan sendiri dan pelbagai peralatan untuk membuat senjata.

    Menurutnya, semua rampasan dan tangkapan dibawa balik ke IPD Kuala Pilah untuk tindakan selanjutnya dan kesemua suspek direman selama empat hari bermula Selasa hingga Jumaat ini.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Mayat lelaki tertiarap dengan kesan luka ditemukan di jalan raya

    Mayat lelaki tertiarap dengan kesan luka ditemukan di jalan raya

    SATU mayat lelaki ditemui dengan kesan luka pada beberapa bahagian badan di Jalan Toman 8, Seremban berhampiran sebuah hospital swasta.

    Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam menyatakan terdapat seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan kecederaan pada pukul 11.45 malam.

    “Hasil siasatan mendapati mangsa berumur 39 tahun dijumpai tertiarap di jalan raya dalam keadaan tidak bernyawa.

    “Pemeriksaan awal pada anggota badan mangsa terdapat kesan kecederaan pada muka dan badan.

    “Pemeriksaan pada pakaian mangsa mendapati barang peribadi masih berada dalam milikan mangsa,” katanya dalam kenyataan, lapor FMT.

    Katanya, mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk bedah siasat dan setakat ini punca kematian masih belum dapat disahkan lagi, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).

    Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Adi Khusaini Saripudin di talian 0127702282 atau IPD Seremban 066033222.