Category: Jenayah

  • Cuci dadah di apartment mewah, rampasan RM1.107 juta

    Cuci dadah di apartment mewah, rampasan RM1.107 juta

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SATU sindiket mengedar dan mencuci dadah berjaya ditumpaskan polis Johor dalam dua sebuah di apartment mewah di Johor Bahru dan Iskandar Puteri manakala satu serbuan lagi di Pekan Nanas, Pontian kelmarin.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam serbuan tersebut pihaknya merampas dadah jenis syabu seberat 11.13 kilogram (kg), ketamin seberat 4.23 kg dan 440 biji pil erimin five.

    “Turut dirampas enam kenderaan berjumlah 346,000, wang tunai RM109,840, pelbagai jenis barang kemas berjumlah RM7,758.

    “Jumlah keseluruhan nilai dadah dan sitaan bagi operasi khas ini berjumlah RM1.107 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Belau berkata, dalam serbuan tersebut, tiga suspek berusia 32 hingga 49 tahun termasuk seorang wanita dan lelaki warganegara asing ditahan.

    Katanya, sindiket tersebut yang sudah beroperasi sejak Mac lalu menggunakan modus operandi menyewa apartment mewah bagi mengelak aktiviti mereka disyaki pihak berkuasa.

    “Mereka menyewa kondominium atau apartmen mewah yang ada ‘guard gated’ siap pada awal tahun ini dan jadikan rumah proses bersihkan dadah.

    “Kita dapati ‘chemical’ yang ada menunjukkan ada proses pencucian berdasarkan pengalaman kita ada proses pencucian dadah mungkin dadah lama nak ke dibaharukan iaitu dadah jenis ‘ice’ atau syabu ,” katanya.

    Beliau berkata, dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran tempatan tetapi tidak menolak kemungkinan jika mempunyai peluang akan membawanya ke luar negara yang boleh digunakan seramai 77,280 penagih dadah.

    Menurutnya, semua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula pada Khamis bagi siasatan lanjut yang dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Suspek warga asing pula katanya, disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 25(1)(n) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara kerana memiliki passport dan kad pengenalan yang disyaki palsu.

    “Semakan rekod kita juga mendapati suspek warga asing pernah ditangkap dua kali di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 2020,” katanya.

    Tambah beliau, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dua suspek positif methamphetamine dan hasil semakan juga mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

  • Tiga lelaki aktif pecah masuk kedai sekitar Lembah Klang, Melaka ditahan

    Tiga lelaki aktif pecah masuk kedai sekitar Lembah Klang, Melaka ditahan

    POLIS menahan tiga lelaki disyaki terbabit dalam empat kes pecah masuk kedai di sekitar Lembah Klang dan Melaka menerusi dua serbuan di Shah Alam, semalam.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata tiga individu berusia lingkungan 30-an ditahan selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pecah masuk sebuah pusat servis kereta di Jalan AWF Waterfront, dekat sini pada 5 Ogos lepas membabitkan kerugian RM30,000.

    Beliau berkata susulan penahanan tiga individu, polis menyelesaikan empat kes pecah kedai di daerah Ampang Jaya, Subang, Sungai Buloh, di sini dan Alor Gajah, Melaka.

    “Polis turut merampas beberapa barangan yang dilaporkan hilang dan semua individu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohamad Farouk berkata semakan mendapati dua daripada individu ditahan mempunyai sembilan rekod jenayah lampau.

    Menurutnya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun keseksaan kerana melakukan kesalahan pecah rumah atau premis dengan melakukan pencerobohan dalam bangunan bagi tujuan melakukan curi.- BERNAMA

  • Polis selamatkan enam mangsa buruh paksa

    Polis selamatkan enam mangsa buruh paksa

    POLIS menyelamatkan enam warga asing yang disyaki menjadi buruh paksa oleh sekumpulan ejen pekerjaan yang aktif di sekitar Klang, dalam satu serbuan di kawasan Kampung Sungai Udang, di Klang pukul 6.30 petang, Selasa lalu.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, serbuan itu membongkar kegiatan tersebut susulan risikan operasi membabitkan eksploitasi buruh paksa oleh Bahagian D3 Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, di kawasan terbabit.

    “Siasatan mendapati, pasport mangsa ditahan oleh ejen dan tiada permit kerja sah sebagaimana dijanjikan oleh pihak ejen semasa di negara asal.

    “Mangsa juga disyaki dipaksa kerja lebih masa. Semasa di negara asal, mangsa dijanjikan pekerjaan di kilang dengan tawaran gaji lumayan, namun sebaik tiba di Malaysia, kos perjalanan dan pasport dipotong dari gaji, setiap bulan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Hoong Fong berkata, bertindak atas maklumat, Bahagian D3 bersama Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan membuat serbuan di kawasan kampung tersebut.

    “Semasa serbuan, polis menangkap empat suspek terdiri daripada satu lelaki dan satu perempuan warga tempatan, serta satu lelaki dan satu perempuan warga asing, berusia antara 38 hingga 43 tahun, yang juga ejen pekerjaan.

    “Polis turut merampas 20 pasport dan wang tunai sebanyak RM 13,600 yang dipercayai gaji pekerja,” katanya.

    Dalam operasi sama katanya, enam mangsa warga asing terdiri daripada tiga lelaki dan tiga perempuan, berusia antara 24 hingga 44 tahun, diselamatkan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.

  • Empat individu ditahan terlibat eksploitasi pekerja asing di Klang

    Empat individu ditahan terlibat eksploitasi pekerja asing di Klang

    POLIS menahan empat individu termasuk dua warga asing yang disyaki terlibat dengan eksploitasi buruh paksa kalangan pekerja asing, kelmarin lepas dalam satu operasi di kawasan Kampung Sungai Udang, Klang.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata dalam operasi pada 6.30 petang itu, polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan serta seorang lelaki dan seorang wanita warga asing lingkungan umur 38 hingga 43 tahun yang merupakan ejen pekerjaan.

    Dalam operasi itu, Cha berkata mangsa seramai enam individu termasuk tiga wanita warganegara asing berumur dalam lingkungan 24 hingga 44 tahun telah diselamatkan di bawah Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan merampas 20 pasport dan wang tunai sebanyak RM13,600 yang dipercayai gaji pekerja.

    “Siasatan menunjukkan kesemua mangsa terdedah eksploitasi kerja paksa di sebuah kilang simen oleh pihak ejen pekerjaan.

    “Pihak ejen disyaki telah menguruskan pekerjaan dan mengawal pembayaran gaji kepada kesemua mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, kesemua mangsa telah dijanjikan pekerjaan di kilang dengan tawaran gaji yang lumayan semasa berada di negara asal dan apabila tiba di Malaysia, kos perjalanan dan pasport telah dipotong dari gaji setiap bulan.

    Cha berkata pasport kesemua mangsa ditahan oleh pihak ejen dan tiada permit kerja sah sebagaimana yang dijanjikan oleh pihak ejen semasa di negara asal selain mangsa juga disyaki telah dipaksa kerja lebih masa untuk membayar balik segala kos perjalanan dan pasport.

    Beliau berkata Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Klang Selatan telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 12 ATIPSOM 2007 dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.

    “Majistret Mahkamah Klang meluluskan reman ke atas semua suspek selama enam hari, sehingga 15 Ogos ini dan pihak polis masih menjalankan siasatan dan akan melengkapkan kertas siasatan dalam tempoh terdekat,” katanya

    Operasi tersebut dijalankan oleh Bahagian D3 ATIPSOM, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman yang diketuai Ketua Penolong Pengarah D3 SAC Fadil Marsus bersama Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan. – Bernama

  • Penyelewengan diesel bersubsidi tumpas

    Penyelewengan diesel bersubsidi tumpas

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan menumpaskan kegiatan penyelewengan melibatkan 17,000 liter diesel bersubsidi bernilai RM36,550 di Kampung Sri Parit, Lukut, semalam.

    Serbuan bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan itu melibatkan penahanan dua lelaki tempatan masing-masing berumur 36 dan 53 tahun.

    Ketua Pengawai Penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan, Abd Muis Samsudin berkata, ketika serbuan pukul 7.55 malam itu, pasukan operasi mendapati terdapat dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.

    “Mereka sedang menjalankan kerja-kerja pemindahan minyak yang dipercayai diesel dari sebuah lori tangki ke sebuah lori tangki lain menggunakan hos penyambung di sebuah kawasan lot terpencil.

    “Pemeriksaan lanjut ke atas sebuah lori tangki pertama mendapati terdapat kira-kira 9,000 liter cecair yang dipercayai adalah diesel dan lori tangki kedua mengandungi kira-kira 8,000 liter diesel,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurut Abd. Muis, hasil siasatan awal mendapati suspek yang ditemui di lokasi kejadian tidak mempunyai sebarang lesen atau permit atau Permit Khas atau Surat Kebenaran daripada Pengawal Bekalan bagi berurusan dengan Barangan Kawalan Berjadual.

    “Turut disita dua lori tangki serta peralatan-peralatan yang digunakan di tempat serbuan seperti hos. Anggaran jumlah keseluruhan nilai rampasan bagi kes ini adalah RM116,550,” katanya.

    Katanya, kes akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan serta menyimpan iaitu apa-apa barang kawalan yang disimpan di mana-mana premis selain dari premis dilesenkan atau dibenarkan oleh Pengawal Bekalan.

    Kejayaan kes itu katanya, adalah hasil perkongsian maklumat risikan yang telah dijalankan oleh pasukan polis IPK Negeri Sembilan.

  • Polis tahan lelaki ragut beg tangan wanita

    Polis tahan lelaki ragut beg tangan wanita

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS menahan seorang lelaki yang meragut beg tangan seorang wanita semasa berjalan seorang diri di Lorong Songkit 3, Taman Sentosa di Johor Bahru kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa, 47, membuat laporan polis berkenaan kejadian itu pada hari yang sama pukul 12.33 tengah hari.

    “Kejadian ini berlaku pada pukul 9.10 pagi ketika mangsa berjalan di lokasi kejadian sebelum didatangi suspek tersebut dengan menaiki sebuah motosikal.

    “Menerus rakaman video berdurasi 30 saat yang tular dalam media sosial memaparkan seorang lelaki sedang menaiki motosikal telah meragut beg tangan mangsa.

    “Siasatan awal mendapati suspek seorang lelaki berpakaian jaket berwarna kuning menaiki sebuah motosikal berwarna jingga meragut bag tangan pengadu dan terus melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, bertindak atas maklumat pada pukul 1.30 petang, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam dan IPD Johor Bahru Selatan telah berjaya menangkap suspek yang merulakan lelaki warga tempatan berusia 27 tahun di sebuah rumah dalam kawasan Taman Molek.

    Pihaknya turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan suspek serta barang-barang disyaki hasil ragut antaranya empat buah telefon bimbit, beg silang, topi keledar berwarna hitam, baju jaket lengan panjang warna kuning dan sebuah motosikal jenis Honda Dash 125 berwarna jingga.

    Raub berkata, hasil semakan rekod jenayah mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau (samun dan pecah rumah) dan dua rekod jenayah (samun) yang telah disenarai hitam (orang dikehendaki).

    “Susulan penangkapan suspek ini, telah berjaya menyelesaikan tiga kes ragut yang berlaku di sekitar kawasan Johor Bahru.

    “Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi talian hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323 atau pegawai penyiasat Inspektor S.Sivakumaran di talian 019-5127410,” katanya.

    Kes ini disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

  • Polis tahan warga emas nyanyuk pandu kereta lawan arus

    Polis tahan warga emas nyanyuk pandu kereta lawan arus

    POLIS mengeluarkan saman terhadap seorang lelaki warga emas yang didapati memandu kereta secara melawan arus di Kilometer 211, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah utara di Lumut semalam.

    Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, tindakan diambil terhadap lelaki berusia 83 tahun itu mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung berjaya mengesan pemilik kereta jenis Mercedes-Benz itu selepas video cara pemanduannya itu tular dalam laman sosial kelmarin.

    “Polis menahan warga emas terbabit dan tindakan saman telah diambil atas kesalahan memandu melawan arus (abaikan isyarat lalu-lintas),” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurutnya, hasil siasatan mendapati lelaki terbabit mempunyai penyakit Alzheimer dan simptom nyanyuk.

  • 84 PATI ditahan: Penempatan dalam kontena, parti persendirian diserbu JIM

    84 PATI ditahan: Penempatan dalam kontena, parti persendirian diserbu JIM

    SEBUAH penempatan pendatang tanpa izin (PATI) di dalam kontena tiga tingkat di Brickfields, diserbu Jabatan Imigresen (JIM), Sabtu lepas.

    Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata seramai 294 warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Pakistan dan Nepal diperiksa dalam serbuan pada 11.30 malam itu dengan 59 daripadanya ditahan.

    “Antara kesalahan dilakukan adalah tinggal lebih masa, tiada dokumen atau pas yang sah serta peserta Program Rekalibrasi yang ditolak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Khairul Dzaimee berkata dalam serbuan ke atas satu parti persendirian di Bukit Bintang pada 9.30 malam hari sama pula, pihaknya menahan 25 warga asing kerana tidak memiliki dokumen yang sah, pas tamat tempoh dan salah guna pas, hasil pemeriksaan terhadap 171 warga asing.

    Beliau berkata parti itu dianjurkan oleh warga tempatan dengan petugas majlis, artis persembahan, pelayan dan tetamu terdiri dalam kalangan warga asing.

    “Siasatan mendapati setiap tetamu dikenakan yuran masuk sebanyak RM150 secara dalam talian dan lokasi parti hanya akan dimaklumkan pada hari terakhir kepada tetamu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

    “Parti ini menghidangkan minuman keras dan persembahan yang mencolok mata serta mereka yang membuat persembahan dan tetamu terdiri daripada warga asing yang memegang pas pelajar asing,” katanya.

    Menurutnya, beberapa individu warga tempatan termasuk penganjur majlis dan majikan turut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan.

    Katanya, kesemua 84 pendatang tanpa izin berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun yang ditahan dalam dua serbuan itu dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.- BERNAMA

  • Seleweng 3,000 liter diesel bersubsidi, pemandu lori ditahan

    Seleweng 3,000 liter diesel bersubsidi, pemandu lori ditahan

    POLIS menumpaskan kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi setelah menahan seorang pemandu lori di sebuah stesen minyak di Ulu Tiram di Johor Bahru, semalam.

    Ini setelah gerak geri mencurigakan lelaki berkenaan semasa mengisi minyak ke dalam lori dipandunya disedari anggota polis dari cawangan kereta peronda (MPV) Bahagian Pecegahan Jenayah Keselamatan dan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, aktiviti pemandu lori berusia 31 tahun itu disedari semasa anggota berkenaan melakukan rondaan pada pukul 8.45 malam.

    Menurutnya, anggota berkenaan melihat seorang lelaki tempatan sedang mengisi minyak dalam sebuah lori dalam keadaan mencurigakan.

    “Hasil siasatan mendapati terdapat enam tong minyak diesel yang dianggarkan 500 liter setiap tong dan polis menahan lelaki itu yang meupakan pemandu lori tersebut,” katanya yang dipetik SinarHarian sebagai berkata.

    Mengulas lanjut Mohd Suhami berkata, polis turut merampas enam tong tersebut yang kesemuanya berisi 3,000 liter diesel, lori berkenaan dan dua resit belian minyak berkenaan berjumlah RM1,000.

    Katanya, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM66,450.

    Hasil semakan rekod lampau katanya mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah dan tiga rekod berkaitan dadah.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta sama yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

    Beliau menambah, polis akan terus membanteras dan kegiatan penyelewengan serta kitirisan diesel yang menyebabkan kerugian kepada negara.

  • Cuba seludup RM7.35 juta rokok dengan isytihar produk cendawan dalam tin

    Cuba seludup RM7.35 juta rokok dengan isytihar produk cendawan dalam tin

    TAKTIK sindiket yang cuba menyeludup masuk rokok dipercayai dari negara Asia Timur dengan mengisytiharkannya produk cendawan di dalam tin gagal mengaburi mata pihak berkuasa selepas berjaya ditumpaskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang.

    Dalam operasi di Pelabuhan Klang, Selangor pada1 Ogos lalu itu, sebanyak 10.2 juta batang rokok putih tidak berkastam dianggarkan bernilai lebih RM7.35 juta termasuk nilai cukai yang dimuatkan di dalam kontena berjaya dirampas.

    Pengarah JKDM Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Ramli berkata, kontena itu ditahan di pelabuhan terbabit dalam operasi kira-kira pukul 1.10 petang.

    Ujar beliau, pemeriksaan lanjut mendapati rokok putih terbabit dimuatkan di dalam sebanyak 1,021 ‘MasterCase’ melibatkan nilai anggaran RM816,000 dan cukai berjumlah RM6,542.568.

    “Modus operandi yang digunakan penyeludup adalah dengan mengisytiharkan kontena terbabit sebagai kargo cendawan tin untuk mengelak daripada dikenakan duti cukai yang tinggi,” katanya dalam sidang akhbar di Stor Penguatkuasaan Kastam Bagan Jermal, Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

    Menurut beliau, siasatan awal mendapati kontena terbabit dikendalikan sebuah syarikat perkapalan yang mempunyai cawangan di Pelabuhan Klang dan diimport syarikat berstatus sendirian berhad beralamat di Kuala Lumpur.

    Ujarnya, sindiket penyeludupan itu juga cuba mengelirukan pihak berkuasa berhubung maklumat pengirim (consignor) dan penerima sebenar.

    “Malah, kewujudan syarikat turut diragui kerana semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan syarikat itu adalah nomad,” katanya.

    Tambah beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967, Seksyen 135(1) (g) akta sama serta Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976.