Category: Jenayah

  • Kastam Kelantan rampas lebih satu tan daun ketum

    Kastam Kelantan rampas lebih satu tan daun ketum

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan lebih satu tan daun ketum bernilai RM14,500 yang dibawa menggunakan lori dari Kedah ke Kelantan.

    Menerusi serbuan pada pukul 4 pagi, JKDM Kelantan turut menahan seorang suspek iaitu lelaki berusia 22 tahun yang juga pemandu lori.

    Pengarah JKDM Kelantan, Mohd. Nasir Deraman berkata, pasukan operasi dari Cawangan Penguat kuasa Rantau Panjang, JKDM Kelantan menerima maklumat penyeludupan ketum dan melakukan intipan serta mengekori lori berkenaan dari Tanah Merah.

    “Suspek diarah memberhentikan lori dipandunya ketika sampai di Ketereh.

    “Pemeriksaan lanjut di ruangan belakang lori menjumpai 145 bungkusan plastik berwarna hitam mengandungi daun ketum dianggarkan seberat 1.45 tan bernilai RM14,500.

    “Suspek dipercayai memandu lori dengan membawa muatan ketum diperoleh dari Kedah dan dibawa masuk ke Kelantan untuk dipasarkan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Cawangan Penguatkuasaan JKDM, hari ini.

    Beliau berkata, kegiatan penyeludupan ketum tersebut dipercayai membabitkan sindiket dan pihaknya giat menjejaki individu lain terlibat.

    Katanya, suspek yang berasal dari Tumpat direman empat hari bermula Selasa lalu sehingga Jumaat bagi membantu siasatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Dalam perkembangan sama, pihak berkuasa itu mengesan taktik penyeludup yang bertukar pemandu kenderaan ketika dalam perjalanan membawa barangan termasuk rokok, minuman keras, mercun dan dadah.

    “Pada tahun ini, kes terbaharu, sejumlah 5.81 tan daun ketum dirampas membabitkan empat kes dan jumlah itu meningkat daripada 343 kilogram daun ketum yang dirampas melibatkan dua kes pada tahun lalu,” katanya.

  • Polis siasat cubaan samun rumah guna parang

    Polis siasat cubaan samun rumah guna parang

    POLIS sedang menjalankan siasatan terhadap insiden cubaan samun oleh seorang lelaki di sebuah rumah sebagaimana yang dipaparkan dalam satu video di sebuah akaun TikTok.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan yang mengesahkan perkara itu berkata, kejadian berkenaan berlaku di sebuah rumah di Taman Tasek Indra di Ipoh, pada pukul 6.40 petang, 5 Ogos lalu.

    Katanya, siasatan lanjut ke atas kes berkenaan sedang dijalankan di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun.

    “Polis Daerah Ipoh ingin menyeru kepada mana-mana saksi yang telah menyaksikan kejadian tersebut supaya berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, ASP Fadli Ahmad di talian 019-2500019 untuk membantu siasatan lanjut pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis, lapor Astro Awani.

    Sebelum itu, sebuah akaun TikTok pada Khamis telah memuat naik video pendek dipercayai daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan cubaan samun oleh seorang lelaki di sebuah rumah.

    Kapsyen pada video berdurasi 12 saat itu mendakwa kejadian berlaku di sebuah taman perumahan di Sungai Siput Utara.

    Dalam video berkenaan memaparkan seorang lelaki memakai topi keledar dengan memegang dipercayai parang cuba untuk masuk ke sebuah rumah.

    Bagaimanapun, kehadiran lelaki itu disedari individu dalam rumah berkenaan sebelum bertindak menutup pintu menyebabkan suspek pantas beredar.

  • Polis berjaya berkas peragut bersiri

    Polis berjaya berkas peragut bersiri

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS semalam berjaya memberkas seorang lelaki yang aktif melakukan ragut di sekitar kawasan Johor Jaya dan Taman Pelangi, Johor Bahru.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, dalam kejadian terbaharu suspek meragut beg tangan seorang wanita warga emas yang sedang berjalan kaki di Jalan Dedap, Taman Johor Jaya.

    Terdahulu pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut daripada mangsa yang berusia 62 tahun.

    “Siasatan mendapati kejadian berlaku pada pukul 2 petang, 4 Ogos lalu, suspek yang menaiki motosikal meragut mangsa dari arah belakang semasa wanita itu sedang berjalan kaki untuk pulang ke rumah.

    “Akibat kejadian tersebut mangsa telah mengalami lebam di bahagian bahu sebelah kanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, bertindak atas maklumat pada pukul 3.37 petang semalam, sepasukan anggota dari Cawangan Risikan dan Operasi (D9) Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam menjejaki suspek.

    Menurutnya, suspek yang berusia 26 tahun berjaya ditahan di sebuah bilik sewa sekitar Taman Molek di Johor Bahru.

    “Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah termasuk dua rekod orang yang dikehendaki,” katanya.

    Pihaknya turut merampas antaranya sebuah motosikal Honda Dash; empat telefon bimbit pelbagai jenama, beg silang warna hitam; dua resit tukaran wang asing; seutas rantai tangan emas dan dua pasang anting-anting emas.

    “Menerusi tangkapan ini kita berjaya menyelesaikan tiga kes ragut tepi jalan yang berlaku sekitar Johor Jaya dan Taman Pelangi,” katanya.

    Beliau berkata, kes kini disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan manakala suspek direman enam hari mulai Jumaat hingga 16 Ogos ini.

  • Datuk Seri antara 25 ditahan berparti liar dadah

    Datuk Seri antara 25 ditahan berparti liar dadah

    POLIS menahan seramai 25 individu termasuk seorang bergelar Datuk Seri yang menyertai parti liar di sebuah rumah banglo di Janda Baik, Bukit Tinggi, Bentong Pahang awal pagi tadi.

    Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap kesemua suspek terdiri daripada 15 lelaki dan 10 wanita itu mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

    Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata, serbuan kira-kira pukul 1 pagi itu hasil maklumat orang awam.

    Katanya, dalam serbuan dan pemeriksaan itu, polis menjumpai dadah jenis ketamin seberat 2.18 gram serta 1.43 gram pil ekstasi dianggarkan bernilai RM800.

    “Semua suspek yang ditahan terdiri daripada 17 rakyat tempatan dan lapan warga asing berusia antara 18 hingga 64 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Zaiham berkata, kesemua suspek kini direman empat hari bermula hari ini hingga 14 Ogos.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

    Tegas beliau, polis tidak akan berkompromi dalam menangani isu dadah di daerah Bentong dan akan mengambil tindakan tegas.

    Tambahnya, beiau turut mengucapkan terima kasih khususnya kepada penduduk sekitar yang membantu menyalurkan maklumat kepada polis.

  • Polis belum terima notis himpunan Protes Mana Kapal LCS

    Polis belum terima notis himpunan Protes Mana Kapal LCS

    POLIS belum menerima sebarang notis berhubung penganjuran himpunan berhubung isu skandal kapal tempur pesisir (LCS) yang akan diadakan di hadapan sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur, Ahad ini.

    Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, pihaknya ada menerima maklumat berkaitan himpunan tersebut tetapi polis tidak terima notis dari mana-mana pihak berhubung penganjurannya setakat ini.

    “Sehubungan itu, kita menasihati mana-mana pihak atau orang ramai patuhi peraturan dan undang-undang,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Pada Khamis, Jawatankuasa Protes Mana Kapal LCS? dalam kenyataan berkata, protes yang berlangsung pada pukul 2 petang itu akan mengemukakan tiga tuntutan kepada kerajaan.

    Menurut kenyataan itu, antara tuntutan yang dibuat ialah Suruhanjaya Siasatan Diraja harus ditubuhkan bagi menyiasat dan mengheret pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan dengan segera.

    Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein harus mengambil tanggungjawab penuh dalam skandal itu.

  • Penganggur jadi tokan dadah ditahan

    Penganggur jadi tokan dadah ditahan

    POLIS menahan seorang penganggur yang dipercayai menjadi tokan dadah dan merampas pelbagai jenis dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Sempang Pantai di Jasin awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, lelaki berusia 48 tahun yang juga penagih dadah tegar itu diberkas hasil serbuan yang dilakukan pada pukul 1.50 pagi tadi menerusi Op Tapis.

    Katanya, hasil pemeriksaan polis ke atas lelaki itu menjumpai 30 paket plastik lut sinar disyaki heroin dengan anggaran berat 207 gram, 22 paket plastik lut sinar disyaki syabu (52 gram), satu paket lut sinar disyaki pil erimin 5 (lapan gram) dan satu paket lut sinar berisi ketulan mampat serta cebisan daun kering disyaki ganja (dua gram).

    “Kesemua dadah tersebut ditemukan dalam beg silang berzip berwarna hijau yang disilang pada badan lelaki itu ketika serbuan dilakukan di premis berkenaan dan ujian saringan mendapati suspek positif dadah jenis MOP.

    “Siasatan awal mendapati lelaki itu terlibat dalam penyalahgunaan dan pengedaran dadah sejak kira-kira 30 tahun lepas serta mempunyai sembilan rekod jenayah lampau berkaitan bahan terlarang itu,” katanya dalam kenyataan di Jasin, hari ini.

    Mispani berkata, siasatan awal juga mendapati suspek mengaku memperoleh bekalan dadah itu daripada seorang lelaki di Muar, Johor dan dijual secara kecil-kecilan di sekitar kawasan Merlimau dan Sungai Rambai di sini.

    Menurutnya, lelaki tersebut direman tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12 (2) serta Seksyen 6 akta sama. – Bernama

  • 3 PATI wanita harung perjalanan 400km sembunyi dalam bonet kereta

    3 PATI wanita harung perjalanan 400km sembunyi dalam bonet kereta

    TIGA wanita warga Myanmar terpaksa menahan azab perjalanan lebih 400 kilometer dari Kota Bharu, Kelantan dalam bonet kereta kerana mahu diseludup ke Klang, tetapi berakhir dengan mereka ditahan polis dalam satu sekatan jalan raya.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, semua Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) itu ditahan bersama-sama tiga lelaki yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah di Persiaran Tun Teja Alam Impian, Shah Alam, semalam.

    “Sesemua mereka ‘diangkut’ seorang lelaki warga tempatan menggunakan sebuah kereta jenis Nissan Teana dengan bayaran RM300 sekepala.

    “Ketika ditahan tiga lelaki warga Myanmar berada di tempat duduk penumpang manakala tiga wanita itu diletakkan di dalam bonet kereta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.

    Ujarnya, kesemua suspek berusia antara 18 hingga 36 tahun tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

    “Siasatan awal mendapati lelaki Melayu yang bertindak sebagai pemandu itu mengakui menerima upah daripada ‘Pok Sey’ bagi membawa kesemua mereka dari Kota Bharu ke Klang,” katanya.

    Tambahnya, hasil pemeriksaan beg milik pemandu, polis turut menemukan peralatan menghisap dadah dan plastik yang mengandungi 50 biji pil disyaki pil kuda.

    Kes kini disiasat di bawah Seksyen 26A Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1(c) Akta Imigresen 1959/63.

    “Kesemua warga Myanmar direman selama 14 hari sehingga 24 Ogos ini manakala pemandu terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta ditahan reman selama 28 hari sehingga 7 September di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012,” katanya.

  • Polis kesan taktik penasihat jualan syarikat kereta tipu pelanggan

    Polis kesan taktik penasihat jualan syarikat kereta tipu pelanggan

    POLIS mengesan taktik terbaru penipuan melibatkan penasihat jualan sebuah syarikat kereta yang memerangkap pelanggan untuk membeli kereta dengan meminta bayaran pendahuluan tetapi kereta dijanjikan tidak diterima.

    Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata tindakan licik penasihat jualan berumur 44 tahun itu berakhir apabila polis menahannya di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh, pada Jumaat lepas.

    Beliau berkata suspek akan meminta pelanggannya untuk membuat bayaran pendahuluan dan yuran tempahan ke akaun peribadinya atau membuat bayaran tunai tanpa melalui akaun syarikat.

    “Setakat ini sebanyak tujuh kes telah dilaporkan di bawah kawasan pentadbiran daerah Sentul dengan nilai kerugian berjumlah RM122,868.

    “Lelaki itu telah direman selama enam hari bermula Jumaat lepas hingga semalam dan akan diserahkan kepada daerah lain yang terbabit hari ini iaitu Nilai, Negeri Sembilan dan Sepang bagi kes penipuan sama tetapi melibatkan pelanggan berbeza,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Beh berkata selepas selesai siasatan di daerah berkenaan polis akan mengambilnya semula untuk dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur.

    Menurut sumber polis, suspek ditahan semasa dia datang dipercayai untuk mengambil wang pendahuluan daripada pelanggannya juga anggota polis yang sudah mengetahui penipuannya.

    Sementara itu, seorang mangsa penipuan pembelian kereta terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 30, berkata dia hanya menyedari ditipu apabila pusat jualan syarikat berkenaan menghubunginya baru-baru ini dan memaklumkan suspek telah ditahan polis kerana penipuan dan pecah amanah.

    “Saya panik selepas mendengar berita tersebut kerana jika diikutkan apa diberitahu oleh penasihat jualan itu, kereta yang saya tempah akan tiba pada pertenghan bulan ini.

    “Saya telah melakukan sebanyak tiga kali bayaran iaitu dua kali menerusi transaksi dalam talian dan  ketiga secara tunai kepada suspek yang kesemuanya berjumlah hampir RM7,000,” katanya yang sudah membuat laporan polis semalam.

    Beh berkata kes disiasat mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan kerana menipu. – Bernama

  • Malaysia catat kerugian RM560 juta akibat jenayah siber

    Malaysia catat kerugian RM560 juta akibat jenayah siber

    MALAYSIA mencatat lebih 20,000 kes jenayah siber yang menyebabkan kerugian sebanyak RM560 juta pada tahun lepas, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

    Beliau berkata kes yang direkodkan itu antara lain membabitkan buli siber, pemalsuan, pencerobohan, memancing data dan penipuan e-mel yang dilihat semakin meningkat saban tahun.

    Katanya untuk rekod kira-kira 13,000 kes jenayah siber dengan kerugian RM539 juta dicatatkan pada 2019, namun tidak memberikan angka untuk 2020.

    “Menjelang 2025, ekonomi digital dijangka menyumbang kira-kira 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

    “Oleh itu dalam usaha membangunkan diri sebagai sebuah negara yang dipacu ekonomi digital, kita perlu mengenal pasti ancaman yang berpotensi mendatangkan gangguan kepada sasaran penting dan sektor ekonomi secara amnya,” katanya di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Sasaran Penting Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 di sini mewakili Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

    Sasaran penting merujuk kepada pemasangan yang hasil keluaran atau perkhidmatannya sangat penting dan sekiranya musnah atau rosak akan menyebabkan kerugian amat besar kepada ekonomi serta pertahanan negara atau menjejaskan fungsi kerajaan dan imej negara.

    Abdul Halim berkata keperluan untuk memperoleh ruang siber yang selamat dan terjamin pada hari ini amat penting untuk meningkatkan agenda keselamatan siber bagi kepentingan sasaran penting di negara ini.

    “Adalah penting bagi pemilik atau penghuni sasaran penting untuk sentiasa memberi tumpuan dan perhatian agar keselamatan maklumat sentiasa terjaga selain diberi kawalan keselamatan sewajarnya agar tidak berlaku sebarang kebocoran maklumat lebih-lebih dari dalam instalasi itu sendiri,” katanya.

    Menurutnya keselamatan siber yang kukuh juga penting ketika Malaysia menuju Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) kerana era itu bergantung sepenuhnya kepada teknologi digital dan sebarang isu melibatkan keselamatannya bakal memberi kesan terhadap kerajaan, ekonomi, sosial dan masyarakat.

    “Ketika kita bergerak ke hadapan serta hidup dengan teknologi dengan bandar pintar sedang dibina dan misi data kritikal dihantar ke pangkalan data menggunakan internet, isu keselamatan siber perlu diletakkan di barisan hadapan di keseluruhan ekosistem digital,” katanya.- BERNAMA

  • Siasatan kes penyelewengan babit Exco Kedah hampir selesai

    Siasatan kes penyelewengan babit Exco Kedah hampir selesai

    Oleh BADLISHAH MAT

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah hampir melengkapkan siasatan kes penyelewengan dana bantuan pakej rangsangan ekonomi yang dikaitkan dengan seorang Exco kerajaan negeri itu.

    Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap berkata, hasil siasatan tersebut berkemungkinan akan dihantar ke Jabatan Peguam Negara (AGC), minggu depan.

    “Sehingga kini seramai 161 saksi termasuk Exco berkenaan sudah diambil keterangan, beliau dipanggil untuk memberi keterangan pada 18 Julai lalu.

    “Mungkin hasil siasatan itu akan diserahkan kepada AGC minggu depan. Sama ada wujud kes atau tidak, perkara itu akan ditentukan oleh pihak AGC,” katanya.

    Pada 9 Jun lalu, media melaporkan mengenai siasatan dijalankan SPRM berkaitan kes tersebut yang didakwa berlaku pada 2020.

    Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor ketika diminta mengulas perkara itu pada 16 Jun lalu menegaskan, semua pihak sewajarnya membiarkan agensi terlibat terutamanya SPRM untuk melaksanakan tugas mereka.