Category: Jenayah

  • Tiada notis pemakluman ‘himpunan LCS’ esok

    Tiada notis pemakluman ‘himpunan LCS’ esok

    POLIS tidak menerima sebarang notis pemakluman bagi mengadakan himpunan ‘Protes Mana Kapal LCS?’ yang akan diadakan di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, esok.

    Memetik Harian Metro, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya tidak menerima notis pemakluman seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang iaitu Akta Perhimpunan Aman 2012 setakat ini.

    “Orang ramai dinasihatkan supaya menghormati dan mematuhi undang-undang. Jangan menyertai perhimpunan yang tidak mematuhi peraturan kerana tindakan boleh diambil.

    “Pada masa sama, polis akan memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara,” katanya hari ini.

    Sebelum ini, dua poster mengenai himpunan ‘Protes Mana Kapal LCS?’ tular selepas dimuat naik di media sosial, beberapa hari lalu.

  • Kes pukul guru, pelajar pusat tahfiz selesai, tiga suspek positif dadah ditahan

    Kes pukul guru, pelajar pusat tahfiz selesai, tiga suspek positif dadah ditahan

    KESEMUA suspek kes pukul seorang pelajar dan seorang guru pusat tahfiz di Jalan Cheneras di Lipis Pahang berjaya ditahan dengan tertangkapnya tiga individu termasuk suspek utama pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, dua termasuk suspek utama ditahan di Perhimpunan Yamaha RXZ Member 4.0 di Terengganu pukul 2 pagi tadi manakala seorang lagi di tahan di Felda Lepar Utara 1, Jerantut sekitar pukul 8 pagi.

    Menurutnya, polis membentuk tiga pasukan melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Terengganu, JSJ Kontinjen Pahang dan JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis bagi mengesan ketiga-tiga suspek.

    “Ketiga-tiga suspek berusia 30-an dibawa ke IPD Lipis untuk proses dokumentasi sebelum mendapat perintah tahanan reman dari mahkamah.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan kawasan,” katanya dalam sidang media yang dipetik Astro Awani.

    Menurut Azli, ketiga-tiga suspek yang ditahan didapati positif dadah jenis heroin dan turut disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selain kesemuanys turut memiliki rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

    Beliau berkata, berdasarkan laporan, kejadian dipercayai berpunca akibat suspek tidak berpuas hati terhadap penjaga pusat tahfiz berkenaan berkaitan pembayaran makanan.

    “Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengambil tindakan sendiri selain perlu berbincang terlebih dahulu sekiranya timbul tidak puas hati terhadap pengurusan pusat tahfiz.

    “Tindakan membuat serangan fizikal dan menceroboh pusat tahfiz adalah salah di sisi undang-undang malah kawasan tersebut terdapat pelajar bawah umur yang dilindungi di bawah Akta Kanak-kanak,” katanya.

    Azli dalam pada itu merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat kerana membantu dan berkongsi maklumat sehingga tertangkapnya suspek.

    “Saya menganggap kes ini telah selesai dan berharap orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi selain perlu mendapatkan maklumat sahih dari pihak polis berkaitan perkara yang tular di laman sosial,” katanya.

  • Dakwaan buli sekolah asrama: 5 individu dirakam keterangan

    Dakwaan buli sekolah asrama: 5 individu dirakam keterangan

    POLIS selesai merakam keterangan lima individu berhubung dakwaan kes buli pelajar di sekolah berasrama di Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

    Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada guru warden sekolah berkenaan, 8 Ogos lalu.

    “Kita mengambil keterangan lima individu termasuk individu yang mendakwa dibuli, individu didakwa membuli, pentadbir sekolah serta warden asrama terbabit.

    “Setakat ini, belum ada sebarang tangkapan dibuat, namun siasatan berhubung kes itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaaan.

    “Sebarang perkembangan dalam kes ini akan kita maklum,” katanya hari ini.

    Terdahulu, hantaran wanita yang mendakwa anaknya yang juga pelajar di sekolah terbabit menjadi mangsa buli sejak Jun lalu, tular di media sosial, hari ini.

    Menurut wanita terbabit, pakaian anaknya serta beberapa pelajar lain yang diletakkan di ampaian asrama sekolah diconteng dan digunting selain mereka diugut selepas perkara itu dimaklumkan kepada pihak sekolah.

    Wanita itu mendakwa tiada tindakan diambil oleh pihak pengurusan sekolah asrama berkenaan selepas aduan dibuat sebelum beliau membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

  • Pelajar dan guru pusat tahfiz dibenar pulang

    Pelajar dan guru pusat tahfiz dibenar pulang

    PUSAT tahfiz di Jalan Cheneras di Lipis, Pahang yang tular di media sosial semalam ekoran lima lelaki memukul seorang pelajar dan seorang guru hingga cedera ditutup sementara waktu.

    Memetik laporan Astro Awani, difahamkan 25 pelajar yang majoriti dari daerah Lipis dan Gua Musang berserta tiga tenaga pengajar dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

    Menurut sumber, pusat tahfiz yang beroperasi sejak 2016 itu ditutup sehingga siasatan polis selesai dan dijangka dibuka semula sekitar bulan hadapan.

    Semalam, media melaporkan seorang ustaz menerima empat jahitan di mata kanan dan tangan serta badan lebam selepas diserang lima lelaki di sebuah pusat tahfiz di Jalan Cheneras, di Lipis.

    Kejadian pada pukul 5.10 petang Khamis lalu dipercayai berlaku ekoran tidak berpuas hati soal pembayaran makanan di pusat tahfiz terbabit.

    Suspek berusia 30-an bersama seorang pelajar tahfiz pergi ke pusat itu yang mana tiga orang menyerang mangsa berusia 30-an yang ditugaskan menjaga pusat terbabit.

    Kejadian tersebut tular di media sosial apabila satu video berdurasi 2.51 minit menunjukkan seorang lelaki yang memakai seluar pendek memarahi seorang mangsa sebelum bertindak memukulnya.

    Berdasarkan rakaman lelaki yang memakai kasut berkenaan menyatakan tidak berpuas hati apabila anak saudaranya dan pelajar lain dipukul.

    Lelaki tersebut berkenaan kemudiannya memukul mangsa sebelum mengajaknya bergaduh.

    Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, bertindak atas laporan, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis menjalankan beberapa serbuan pada awal pagi tadi di kawasan Damak, Jerantut dan menahan dua suspek.

    Katanya, semakan mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau jenayah dadah dan mereka berdua juga positif methamphetamine.

    Pusat tahfiz di Jalan Cheneras itu ditutup sementara waktu sehingga siasatan polis selesai.

    Video rakaman insiden seorang ustaz dan pelajar tahfiz diserang tular di media sosial semalam dan mencetus perbincangan dalam kalangan warga maya.

  • Mayat dengan kesan tembakan ditemukan di deretan rumah kedai

    Mayat dengan kesan tembakan ditemukan di deretan rumah kedai

    SEORANG lelaki ditemukan maut dengan beberapa kesan tembakan pada badan di Taman Alam Jaya, Puncak Alam, Kuala Selangor, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pukul 11.40 pagi.

    “Semasa kejadian, mangsa berusia 29 tahun ditemukan dalam keadaan tertiarap. Turut ditemukan, sebuah motosikal Yamaha LC 135 dipercayai ditunggang mangsa

    “Pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hadir ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan dan menemui beberapa kelongsong peluru.

    “Hasil pemeriksaan pada tubuh mangsa mendapati terdapat beberapa kesan tembakan,” katanya menerusi kenyataan, malam ini, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah deretan rumah kedai satu tingkat Pusat Industri Alam Jaya.

    Sehubungan itu katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

  • Polis serbu pusat tipu tawaran kerja, 22 ditahan 

    Polis serbu pusat tipu tawaran kerja, 22 ditahan 

    POLIS menyerbu sebuah pusat panggilan penipuan tawaran kerja di Jalan Bangkong, Taman Bandaraya, Kuala Lumpur dan menahan 22 orang semalam.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, hasil maklumat diterima pihaknya melakukan serbuan pukul 7.45 petang di premis terbabit.

    Menurutnya, dalam serbuan itu, polis menahan 22 orang terdiri 21 tempatan dan seorang warga asing membabitkan 18 lelaki serta empat wanita berusia 19 hingga 37 tahun.

    “Mereka yang ditahan dipercayai terbabit dalam kegiatan penipuan tawaran kerja dalam talian di mana premis itu dijadikan tempat operasi pusat panggilan.

    “Turut dirampas 96 unit telefon telefon bimbit pelbagai jenama dan 20 set komputer pelbagaijenama,” katanya dalam kenyataan memetik laporan BH Online.

    Beliau berkata, hasil siasatan awal sindiket beroperasi selama hampir tiga bulan dan kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959,” katanya.

  • Pukul pelajar tahfiz: Dua daripada lima suspek ditahan, positif dadah

    Pukul pelajar tahfiz: Dua daripada lima suspek ditahan, positif dadah

    POLIS menahan dua daripada lima lelaki yang disyaki menyerang seorang pelajar tahfiz dan seorang ustaz di sebuah pusat tahfiz di Jalan Cheneras dekat Lipis, Pahang.

    Memetik laporan Astro Awani, Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, dua lelaki yang berusia 30-an itu ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis.

    Menurutnya, pihak polis melakukan beberapa serbuan awal pagi tadi di sekitar kawasan Damak, Jerantut sebelum menahan dua suspek.

    “Baki tiga lagi suspek masih dikesan termasuk seorang suspek utama yang telah dikenal pasti butiran peribadi dan usaha menangkap suspek sedang dipergiatkan.

    “Kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan kawasan,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, kedua-dua suspek yang ditahan didapati positif dadah jenis methamphetamine dan turut disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Dalam pada itu, Azli berkata, berdasarkan laporan kejadian dipercayai berpunca akibat suspek tidak berpuas hati terhadap penjaga pusat tahfiz berkenaan berkaitan pembayaran makanan di pusat tahfiz itu.

    Menurutnya, berdasarkan maklumat awal pada pukul 5.10 petang semalam lima lelaki bersama seorang pelajar tahfiz pergi ke pusat tahfiz berkenaan menaiki sebuah pacuan empat roda sebelum tiga suspek bertindak menyerang mangsa.

    “Dalam kejadian itu penjaga tahfiz mengalami kecederaan di bahagian mata sebelah kanan dan menerima empat jahitan, cedera di tangan dan lebam di badan, manakala pelajar tersebut sakit di bahagian badan,” katanya.

    Tular di media sosial hari ini beberapa orang lelaki membuat kecoh di hadapan pelajar dipercayai berlaku di sebuah pusat tahfiz di daerah ini.

    Menerusi video yang dikongsikan oleh pemilik akaun Facebook menggunakan nama Shah Ahmad, kelihatan seorang lelaki berseluar pendek dan memakai kasut telah masuk ke madrasah sebelum memanggil beberapa orang pelajar tahfiz berkenaan.

    Lelaki terbabit dalam keadaan marah kemudiannya dilihat bertindak memukul pelajar tahfiz sebelum seorang tenaga pengajar cuba masuk campur bagi meleraikan pergaduhan itu.

    Namun begitu, malang menimpa tenaga pengajar berkenaan apabila dia turut di pegang oleh beberapa orang lelaki lain sebelum dipukul.

    Berdasarkan rakaman lelaki yang memakai kasut berkenaan menyatakan tidak berpuas hati apabila anak saudaranya dan pelajar lain dipukul.

    Lelaki tersebut berkenaan kemudiannya memukul mangsa sebelum mengajaknya bergaduh.

  • Video pelajar tahfiz ditampar, ditendang tular

    Video pelajar tahfiz ditampar, ditendang tular

    SATU rakaman insiden beberapa pelajar tahfiz dipukul sekumpulan lelaki tular menerusi satu hantaran di Instagram, hari ini.

    Memetik laporan Sinar Harian, rakaman berdurasi pendek itu di muat naik oleh pemilik akaun Instagram dikenali act431_775.

    Video itu menunjukkan seorang lelaki berpakaian separuh bogel telah berteriak memanggil pelajar berkenaan sebelum bertindak menampar, menendang dan memukul mereka bersama rakannya.

    act431_775 berkata, tindakan tersebut tidak sepatutnya berlaku.

    Video dan entri yang dimuat naik itu menerima banyak tontonan dan pelbagai reaksi serta komen dari warganet terutama artis tanah air.

    Pelakon, Sharnaaz Ahmad berkata, “Gangster kampung, selamat bermalam dan menjadi lauk pari masak dalam lokap ya sayang”.

    Tidak ketinggalan di ruang komentar, pelakon Wak Doyok turut mempersoalkan tindakan lelaki itu terhadap pelajar tahfiz yang disifatkan keterlaluan.

    “Kejap je ni dapat cari, apa salah anak- anak tahfiz sampai diperlakukan sedemikian rupa,” tulisnya.

    “Allahuakbar, kau rasa besar sangat ‘lepuk’ budak-budak tahfiz ya. Tak mengapa, kau tunggu nasib kau nanti. Ingat kau boleh lepas,” kata pelakon, Zulhuzaimy yang turut berkongsi reaksi sama pada komentar berkenaan.

    Berkongsi pandangan yang sama Pencetus Ummah (PU), Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim atau lebih dikenali PU Amin menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pelaku dalam video tersebut.

  • Pukul dengan getah paip, batang buluh sebelum kurung isteri

    Pukul dengan getah paip, batang buluh sebelum kurung isteri

    SEORANG wanita disimbah dengan air di muka, dipukul dengan getah paip, batang buluh dan wayar telefon sebelum dikurung dalam bilik dalam kejadian di sebuah rumah di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur, semalam.

    Perbuatan itu dilakukan suami wanita berkenaan selepas membelasahnya di hadapan dua anak perempuan mereka di rumah mereka pada pukul 12 tengah hari.

    Difahamkan suspek yang hilang pekerjaan ketika pandemik Covid-19 sering bergaduh dan memukul isterinya sebelum ini.

    Sebelum kejadian wanita berusia 29 tahun itu berselisih faham dengan suaminya berumur 20-an.

    Menurut sumber, dalam pertengkaran itu, lelaki terbabit menyimbah muka mangsa dengan air suam dan terus memukulnya.

    “Lelaki itu yang gagal mengawal kemarahan bertindak memukul mangsa dengan getah paip, batang buluh dan wayar telefon.

    “Selepas memukulnya, lelaki itu mengurung isterinya bersama dua anak perempuan di dalam bilik tidur.

    “Anaknya kemudian menghubungi ahli keluarga lain sebelum memaklumkan kepada polis yang datang tidak lama kemudian menyelamatkan mereka,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, suspek sudah ditahan semalam.

    “Kejadian berlaku akibat perselisihan faham dan suspek tidak bekerja sejak pandemik Covid-19.

    “Mereka sering bergaduh dan dipukul suaminya namun tidak membuat laporan polis sebelum ini,” katanya.

    Ashari berkata, suspek direman sehingga 14 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Keganasan Rumah Tangga.

  • Kastam rampas minuman keras bernilai RM1.2 juta

    Kastam rampas minuman keras bernilai RM1.2 juta

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan  penyeludupan minuman keras belum lulus kastam di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang baru-baru ini melibatkan rampasan hampir 66,000 botol dan tin berisi bir bernilai kira-kira RM1.2 juta termasuk cukai dan nilai sitaan kenderaan.

    Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) (Menanggung Tugas-Tugas) Fazilah Ariff berkata dalam serbuan di sebuah gudang pada 2 Ogos lepas,  bir pelbagai jenama yang disyaki diimport dan bir yang bertanda Malaysian Duty Not Paid (MDNP) ditemukan.

    Ketika serbuan dilakukan, katanya dianggarkan terdapat tujuh individu berada di kawasan premis berkenaan sedang memindahkan bir dari lori ‘bonded’ ke dalam lori kecil serta van dan kesemua mereka melarikan diri sebaik menghidu kehadiran pihak kastam.

     Fazilah berkata siasatan sedang dijalankan untuk mengesan mereka yang terlibat termasuk pekerja, pemilik premis dan pemilik kenderaan iaitu sebuah lori ‘bonded’, dua lori tiga tan, sebuah lori satu tan dan satu van.

    “Tiada sebarang dokumen pengimportan ditemui bersama barangan yang disita,” katanya dalam sidang media, hari ini.

    Fazilah berkata sindiket itu dipercayai memasarkan produk bir bertanda MNDP dan bir import yang disyaki diseludup dari Belanda dan India untuk pasaran tempatan.

    Menurutnya, bir bertanda MDNP hanya boleh dijual di kedai bebas cukai atau di pulau bebas cukai.

    Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(a) Akta Eksais 1976.

    Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu memiliki barang tidak berkastam atau bahan larangan  memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

    Bagi kesalahan memiliki barang yang duti eksais belum dibayar di bawah Seksyen 74(1)(a) Akta Eksais 1976, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali amaun duti eksais atau RM50,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar, dan tidak lebih daripada 20 kali amaun duti eksais atau RM500,000 yang mana lebih besar atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.- Bernama