Category: Jenayah

  • Segerakan pendakwaan terhadap Sivakumar, pegawai

    Segerakan pendakwaan terhadap Sivakumar, pegawai

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa untuk mendedahkan hasil siasatan skandal rasuah terhadap Menteri Sumber Manusia (KSM), V. Sivakumar dan lima bekas pegawainya.

    Ahli Jawatankuasa Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), K. Vasantha berkata, sekiranya SPRM mempunyai bukti kukuh, pendakwaan di mahkamah perlu disegerakan.

    “Saya yakin SPRM telah melengkapkan siasatan dan boleh meneruskan proses undang-undang seterusnya tanpa mengambil masa yang lama,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan bangunan ibu pejabat SPRM, hari ini.

    Menurutnya, rakyat kini memerhati integriti dan komitmen SPRM dalam membasmi rasuah tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang ada dalam Kerajaan Madani ataupun pengaruh luar.

    “Sudah hampir 90 hari siasatan tetapi kita belum tahu apa hasil,” ujar beliau.

    Vasantha berkata, kelewatan pendakwaan Sivakumar di mahkamah akan menimbulkan ketidakyakinan rakyat terhadap suruhanjaya itu.

    “Kita nampak kalau kes Jana Wibawa laju sahaja membuat pendakwaan tetapi mengapa Tan Sri Azam Baki tidak membuat pendakwaan ke atas kes Sivakumar ini,” katanya.

    Tambah beliau, penglibatan terus Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memberi pandangan berhubung Jana Wibawa melibatkan pembangkang adalah terlalu lantang.

    “Sebaliknya kes rasuah melibatkan prokerajaan khususnya ahli Kabinet memberi gambaran pendakwaan terpilih,” katanya lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini SPRM menahan dua pegawai kanan Sivakumar susulan siasatan suruhanjaya itu membabitkan isu rasuah dalam sebuah agensi pengambilan pekerja asing pada April lalu.

    Susulan penahanan pegawainya ketika itu, Sivakumar dilaporkan menggantung tugas tiga pegawai kanannya termasuk seorang setiausaha sulit dan seorang pegawai tugas-tugas khas (PTTK) yang ditahan SPRM.

    PTTK itu dipercayai bertindak sebagai ‘runner’ bagi mengutip rasuah daripada ejen-ejen tertentu untuk diberikan kuota pengambilan pekerja asing.

    Beberapa hari kemudian, media melaporkan SPRM menggeledah pejabat dan kediaman Sivakumar.

    Sepanjang proses siasatan, Sivakumar yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah hadir dua kali ke SPRM bagi memberi keterangan.

  • Ambil tindakan individu halang tugas penjawat awam -Ronald

    Ambil tindakan individu halang tugas penjawat awam -Ronald

    KERAJAAN perlu mengambil tindakan terhadap Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang didakwa menghalang tugas penjawat awam ekoran insiden berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.

    Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, tindakan menteri berkenaan melanggar Seksyen 56(1)(g) Akta Imigresen iaitu menghalang sama ada secara aktif atau pasif terhadap mana-mana pegawai imigresen yang sedang menjalankan tugasnya meskipun mempunyai pas khas memasuki Terminal 1 KLIA. 

    “Malah tindakan beliau yang dikatakan mengganggu pegawai imigresen daripada melaksanakan tugas dan amanah menahan pelancong negara asing tersebut secara sah adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang seorang penjawat awam melaksanakan tugas. 

    “Saya ingin menegaskan bahawa dalam apa jua keadaan, pegawai awam perlu dibenarkan menjalankan tugas sah mereka tanpa gangguan dan tekanan daripada mana-mana orang, apatah lagi jika membabitkan hal ehwal keselamatan dan kedaulatan negara,” ujar Ahli Parlimen Beluran itu.

    Beliau menegaskan, insiden seperti ini tidak akan berlaku sekiranya kita menghormati tugas penjawat awam.

    “Amaran tegas perlu diberikan kepada mana-mana pihak yang cuba menghalang dan mengganggu tugas pihak berkuasa. Penjawat awam hanya menjalankan tugas mereka mengikut bidang tugas dan fungsi mereka.

    “Tidak wajar mereka dihalang atau dikasari dalam apa jua keadaan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Utusan Malaysia.

    Terdahulu, seorang menteri didakwa menceroboh masuk ke dewan ketibaan antarabangsa KLIA bagi mendesak Jabatan Imigresen membebaskan seorang pelawat dari China sehingga tular dalam media sosial.

    Ia didakwa berlaku petang kelmarin apabila menteri berkenaan dikatakan masuk ke kawasan ketibaan itu tanpa memohon pas.

    Difahamkan, ia bertujuan ‘menyelamatkan’ seorang wanita warga China yang dikatakan dinafikan daripada memasuki negara ini.

    Sebaliknya King Sing menafikan dirinya menyalahgunakan kuasa sebagai seorang menteri sehingga menimbulkan insiden dan menjelaskan beliau tidak mempunyai kuasa untuk melepaskan pelancong asing yang ditahan Jabatan Imigresen dan sekiranya dirinya bertindak demikian sekalipun, ia hanya merosakkan reputasi sahaja.

    Menurut beliau, pelancong berkenaan ditahan tanpa diberikan alasan oleh pihak imigresen sedangkan wanita tersebut mempunyai dokumentasi lengkap. 

  • Lantang kritik kerajaan, portal Malaysia Today pula disekat

    Lantang kritik kerajaan, portal Malaysia Today pula disekat

    SEORANG pengulas politik terkenal Malaysia membidas menteri yang bertanggungjawab ke atas perkhidmatan internet di negara ini selepas laman sesawangnya disekat akses secara senyap, sama seperti sekatan 48 jam yang dikenakan terhadap portal berita MalaysiaNow baru-baru ini yang mendapat bantahan daripada beberapa pihak.

    Raja Petra Kamarudin yang mengendalikan laman Malaysia Today selama lebih sedekad menyifatkan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil sebagai seorang yang hipokrit.

    “Bila jadi pembangkang, menjerit tentang kebebasan bersuara. 

    “Bila jadi kerajaan, sekat Malaysia Today.”

    Ini merupakan siri kritikan terbaru terhadap Fahmi, yang sejak beberapa bulan kebelakangan ini menyerang media serta mengancam tindakan ke atas pengkritik kerajaan.

    Raja Petra, yang melarikan diri bagi mengelakkan daripada ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 2009, memberitahu MalaysiaNow beliau menyedari laman sesawangnya tidak boleh diakses oleh sebahagian besar pembaca pada pertengahan bulan lalu. 

    Ujian di laman sesawang Open Observatory of Network Interference (Ooni) mengesahkan bahawa Malaysia Today disekat akses kepada pengguna sekurang-kurangnya dua penyedia perkhidmatan internet (ISP) utama di Malaysia – Maxis dan Celcom. 

    Sejak laman tersebut disekat akses, Raja Petra memaklumkan pembacanya supaya memasang alat atau tetapan yang boleh memintas sekatan itu. 

    Bagaimanapun seperti apa yang berlaku ke atas MalaysiaNow minggu lalu, katanya tiada sebarang maklum balas daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), agensi pengawal selia di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital yang diberi kuasa untuk menyekat laman sesawang ‘tidak diingini’.

    “Kami tidak dapat memastikan kesahihannya 100%, kerana sekatan itu tidak pernah diumumkan secara rasmi oleh SKMM,” katanya sambil menambah sekatan tersebut mengurangkan jumlah pembaca sebanyak 70%.

    Minggu lalu, akses portal berita MalaysiaNow disekat beberapa penyedia perkhidmatan internet utama, sebelum ia ditarik balik kira-kira 48 jam kemudian berikutan kecaman daripada aktivis, wartawan dan ahli politik.

    Sekatan terhadap MalaysiaNow dipercayai pertama kali dilakukan sejak 2016 membabitkan portal berita yang mempunyai akreditasi media dari Jabatan Penerangan.

    Pada Februari 2016, portal berita The Malaysian Insider disekat oleh SKMM beberapa minggu sebelum akhirnya ditutup.

    Fahmi, yang menafikan terlibat dalam mengeluarkan arahan sekatan itu masih belum memberikan penjelasan berhubung perkara berkenaan yang menyebabkan beberapa ISP menyekat akses kepada MalaysiaNow.

    Raja Petra berkata laman sesawang Malaysia Today disekat di bawah pentadbiran beberapa perdana menteri seperti Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Katanya, beliau tidak berdepan sebarang sekatan akses semasa zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin dan sewaktu pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad dari 2018 hingga 2020, walaupun lantang mengkritik pemimpin veteran tersebut.

    “Nampaknya kerajaan sekarang lebih-lebih lagi tidak menghormati kebebasan, terutama sekali kebebasan bersuara. 

    “Dan orang yang bermusuh sangat dengan kebebasan bersuara ialah Fahmi,” katanya, sambil menambah kebebasan media ‘sudah mati di Malaysia’, lapor MalaysiaNow.

  • Tiada diskaun saman sepanjang saya jadi Ketua Polis KL, kata Shuhaily

    Tiada diskaun saman sepanjang saya jadi Ketua Polis KL, kata Shuhaily

    PENGGUNA jalan raya yang disaman ekoran melakukan kesalahan lalu lintas di sekitar ibu negara tidak akan diberikan diskaun bayaran saman, itu ketegasan yang disuarakan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd Zain.

    Beliau berkata, perkara itu perlu bagi tujuan mendidik pengguna jalan raya di ibu kota.

    “Sepanjang saya menjadi Ketua Polis Kuala Lumpur, tidak akan ada sebarang diskaun atau pengurangan.

    “Dalam mendidik, kita harus konsisten dalam apa yang kita nak laksanakan,” katanya selepas mengetuai Operasi Hormat Undang-undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur di sekitar ibu negara, pagi ini.

    Walau bagaimanapun, Mohd. Shuhaily mengatakan apa jua keputusannya nanti, beliau akur, namun secara perbadi tiada diskaun akan diberikan.

    Polis Kuala Lumpur hari ini menjayakan operasi itu yang bermula sejak Sabtu lalu sehingga 31 Julai ini yang melibatkan 16 kawasan di sekitar Kuala Lumpur.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain. GAMBAR: Warta Rakyat

    Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSJPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh.

    Menurut Mohd. Shuhaily, operasi itu adalah satu usaha bagi meningkatkan kesedaran dan mendidik pengguna jalan raya agar mematuhi undang-undang trafik.

    “Saya tegaskan operasi ini dijalankan bagi meningkatkan kesedaran dan mendidik pengguna jalan raya supaya kita sama-sama memartabatkan Kuala Lumpur sebagai kota yang patuh undang-undang jalan raya.

    “Jika kita dapat wujudkan satu contoh pemanduan yang baik, saya harap budaya ini dapat dipanjangkan ke negeri-negeri lain,” ujarnya.

    Tambahnya, antara tiga kesalahan yang sering dilakukan oleh pengguna jalan raya adalah, melanggar lampu isyarat merah, membuat pusingan-U di kawasan tidak sepatutnya, dan memberhentikan kenderaan dalam petak kuning.

    Anggota Polis trafik mengeluarkan saman terhadap pemandu yang melakukan kesalahan dengan berhenti di garisan melintas pejalan kaki dalam operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya di persimpangan lampu isyarat, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Seperti yang berlaku tadi, seorang pengguna menekan hon kepada seorang lagi pengguna untuk terus jalan sedangkan lampu isyarat merah dengan alasan sebelum ini boleh berbuat demikian.

    “Bagi sebilangan pengguna di Kuala Lumpur, lampu isyarat merah ibarat lampu hijau. Jadi itu apa yang kita mahu martabatkan kembali,” katanya lagi.

    Mohd. Shuhaily menegaskan, bahawa operasi yang dijalankan pada waktu puncak pagi tadi bukan untuk menyusahkan pengguna jalan raya yang sedang berpusu ke tempat kerja masing-masing.

    “Ini kali pertama pihak polis trafik Kuala Lumpur menjalankan operasi pada waktu puncak. Namun, pada saya kesalahan yang dilakukan pada waktu puncak adalah begitu kerap sekali.

    Sebahagian daripada motosikal yang ditahan anggota polis selepas melakukan kesalahan dengan berhenti di garisan melintas pejalan kaki dalam operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya di persimpangan lampu isyarat, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Kita juga faham dan tidak mahu menyusahkan orang ramai pada masa yang sama. Kita perlu korbankan sedikit demi mengembalikan martabat undang-undang kita,” ujarnya.

    Menurut beliau, bagi memastikan kelancaran lalu lintas ketika operasi dijalankan pada waktu puncak, pihaknya menyediakan dua pasukan iaitu pasukan penguatkuasa dan pasukan mengawal lalu lintas.

    Antara 16 kawasan itu ialah Jalan Tun Razak, Jalan Semarak, Jalan Ampang, Persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Sultan Ismail, Persimpangan Dang Wangi, Persimpangan Jalan Raja Laut, dan Persimpangan Jalan P. Ramlee.

    Anggota Polis trafik mengeluarkan saman terhadap pemandu yang melakukan kesalahan dengan berhenti di garisan melintas pejalan kaki dalam operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya di persimpangan lampu isyarat, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Selain itu, Jalan Raja Chulan, Persimpangan Jalan Bukit Bintang, Jalan Imbi, Jalan Tun Tan Cheng Lock, Jalan Hang Tuan, Jalan Pudu , Jalan Yap Kuan Seng dan Jalan Dewan Bahasa.

    Operasi itu berkonsepkan penguatkuasaan yang lebih tegas dan tersusun membabitkan tujuh jenis operasi iaitu Op Parkir Haram, Op Halangan, Op Lampu Merah, Op Nombor Pendaftaran, Op Cermin Gelap, Op Motosikal dan Op Didik.

  • Wanita cedera dilibas parang lelaki bertopeng

    Wanita cedera dilibas parang lelaki bertopeng

    SEORANG wanita cedera di dagu selepas dilibas dengan parang oleh seorang lelaki bertopeng yang memecah masuk kediamannya di Felda Air Tawar 4, Kota Tinggi pukul 12.50 tengah hari semalam.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, semasa kejadian mangsa berusia 50-an sedang tidur di bilik.

    Katanya, anggota Balai Polis Teluk Sengat, Kota Tinggi menerima laporan berkaitan kejadian samun pada pukul 3.31 petang semalam.

    “Seorang suspek bertopeng memasuki kediaman dengan bersenjatakan parang dan cuba menekup mangsa.

    “Mangsa terjatuh ke lantai sebelum berlaku pergelutan hingga suspek bertindak melibas parang dan terkena di bahagian dagu mangsa serta mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan di dagu.

    “Ketika kejadian suspek sempat merentap seutas rantai tangan emas yang dipakai mangsa sebelum melarikan diri,” katanya menerusi siaran media, hari ini.

    Hussin berkata, mangsa mengalami kerugian kira-kira RM3,000.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dikenakan denda atau sebatan, lapor Berita Harian.

    Orang awam yang memiliki sebarang maklumat berkaitan suspek diminta menyalurkan maklumat kepada polis dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Esmal Fhahmie Abd Malek menerusi talian 017-7183778 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, talian 07-8831222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

  • Guru rugi RM30,000 rantai emas diragut

    Guru rugi RM30,000 rantai emas diragut

    SEORANG guru kerugian RM30,000 selepas rantai emasnya diragut lelaki bermotosikal dalam kejadian di hadapan sebuah pasar raya di Jalan Mok Hee Kiang, Mentakab.

    Bagaimanapun, mangsa wanita berusia 49 tahun tidak mengalami kecederaan, dalam kejadian kira-kira 1.40 tengah hari semalam.

    Timbalan Ketua Polis Temerloh, Superintendan Roslee Omar berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berjalan bersama anaknya menuju ke kereta diletakkan di tepi jalan sebaik selesai membeli barang.

    Katanya, mangsa kemudian dihampiri lelaki tidak dikenali menaiki motosikal jenis Yamaha Y16 sebelum meragut rantai emas dipakainya.

    “Selepas meragut barang kemas mangsa, suspek yang berpakaian jaket hitam dan bertopi keledar kelabu segera melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari premis berdekatan, suspek menggunakan motosikal Yamaha Y16 warna perak namun nombor pendaftaran tidak dapat dilihat dengan jelas.

    “Kita masih menjalankan siasatan bagi mengesan suspek dan kes disiasat bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Lelaki kelar leher, tikam perut, tarik usus sendiri

    Lelaki kelar leher, tikam perut, tarik usus sendiri

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki mengelar leher, menikam perut dan menarik ususnya sendiri dalam kejadian di hadapan sebuah restoran di Taman Suria, Johor Bahru pada 10.53 malam Khamis lalu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, lelaki berusia 32 tahun yang melakukan perbuatan itu dipercayai mengalami masalah mental.

    Beliau berkata, pihak polis menerima maklumat berhubung video kejadian berdurasi 52 saat yang tular dalam media sosial pada pukul 9.02 pagi tadi.

    “Siasatan mendapati lelaki warga tempatan itu cuba membunuh diri dengan menikam perutnya dan mengelar lehernya menggunakan pisau.

    “Lelaki ini kemudian dirujuk ke doktor psikiatrik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

    Berdasarkan video yang tular itu, kelihatan lelaki berkenaan menarik keluar ususnya dalam keadaan lemah dan sudah terbaring di dalam sebatang parit di tepi jalan tersebut.

    Mengulas lanjut, Raub berkata, hasil siasatan polis dan pemeriksaan doktor HSA yang merawat lelaki berkenaan mengesyaki kejadian berlaku kerana dia dalam keadaan tidak stabil.

    Beliau turut mengingatkan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian jenayah boleh terus menghubungi talian Hotline Ibu Pejabat Polis (IPD) Johor Bahru Selatan, 07-2182323.

  • Penarik kereta ditahan ugut isteri, tampar, tumbuk muka anak

    Penarik kereta ditahan ugut isteri, tampar, tumbuk muka anak

    SEORANG pekerja penunda kenderaan ditahan kerana disyaki memukul dua anak dan mengugut isterinya di sebuah rumah di Taman Cheras Indah di Ampang kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan kejadian daripada seorang suri rumah berusia 37 tahun, pada Rabu lalu.

    Beliau berkata, mangsa mendakwa berselisih faham dengan suaminya semasa berada di rumah pada pukul 11.45 pagi.

    “Wanita itu meminta pasport miliknya dan anak mereka daripada suami selain bertanya kasut milik siapa yang berada di pejabat suaminya itu.

    “Lelaki itu berang lalu terus menumbuk muka anak perempuan berusia 11 tahun sebanyak dua kali.

    “Sebelum kejadian itu, suaminya didakwa pernah menampar muka anak lelaki berusia tiga tahun sehingga meninggalkan kesan lebam, malah pengadu turut diugut kerana mahu membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd. Azam berkata, sepasukan anggota polis telah menahan suspek di sebuah premis di Kampung Ampang Indah, Ampang pada 6.45 petang Jumaat.

    Katanya, semakan mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau dan negatif ujian saringan air kencing.

    Menurutnya, dua anak mangsa kini menerima rawatan di Hospital Ampang dan pemeriksaan oleh pegawai perubatan mendapati anak perempuan mengalami kecederaan lebam di pipi kiri manakala anak lelaki mengalami kecederaan pada mata.

    “Suspek direman tujuh hari bermula semalam sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Perlu siasat penjual, pembeli patung seks berupa kanak-kanak

    Perlu siasat penjual, pembeli patung seks berupa kanak-kanak

    MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menggesa polis menyiasat pembeli anak patung seks menyerupai kanak-kanak di sebuah platform dalam talian.

    “Pihak berkuasa bukan saja perlu mengambil tindakan terhadap penjual anak patung itu, tetapi juga pembeli.

    “Polis perlu lihat siapa yang membeli alat mainan seks ini. Mereka bukan saja perlu bertindak terhadap penjual, tetapi juga pembeli,” katanya dalam sebuah majlis di Kuala Lumpur.

    Yeoh berkata, pembeli anak patung itu memerlukan kaunseling kerana ia ‘bukan tingkah laku biasa’, lapor FMT.

    Beliau turut berterima kasih kepada orang ramai kerana membangkitkan perkara itu dan menjaga kebajikan kanak-kanak.

    Jumaat lalu, pengguna media sosial membangkitkan penjualan anak patung seks menyerupai kanak-kanak di platform e-dagang Shopee.

    Seorang warganet berkongsi pautan penjualan anak patung seks menyerupai kanak-kanak itu oleh ‘sexymarina’ pada harga RM1,400 hingga RM1,500 setiap satu.

    Shopee kemudiannya berkata, ia akan mengambil tindakan susulan laporan anak patung itu dijual di platformnya.

    Jurucakap Shopee berkata, platform itu segera mengeluarkan produk itu daripada senarainya dan mengharamkan akaun penjual terbabit secara kekal, selain menyiasat penjual berkenaan.

  • Lelaki tikam perut sendiri lepas bunuh bekas isteri

    Lelaki tikam perut sendiri lepas bunuh bekas isteri

    SEORANG peniaga air balang maut selepas dipercayai ditikam oleh bekas suaminya dalam kejadian di rumah sewanya di Taman Desa, Pasir Tumboh di Kota Bharu awal pagi tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi, mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an itu meninggal dunia di lokasi kejadian manakala bekas suaminya parah pada bahagian perut selepas dipercayai menikam dirinya sendiri.

    Jiran mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Husin, 34, berkata, dia terdengar bunyi muzik yang terlalu kuat dari rumah wanita terbabit kira-kira pukul 11 malam.

    Menurutnya, sebelum ini, rumah terbabit ada membuka muzik, namun keadaan pada malam tadi terlalu bising sehingga mengganggu jiran sekeliling.

    “Saya tahu, penghuni rumah itu gemar berkaraoke. Ada juga rakan-rakannya yang datang untuk menyanyi di situ.

    “Tetapi, bunyi muzik pada malam tadi amat kuat dan tidak pernah berlaku keadaan seperti itu sebelum ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di tempat kejadian.

    Menurut Husin, difahamkan, mangsa menyewa di rumah terbabit sejak dua bulan lalu selepas berpisah dengan bekas suaminya yang berusia dalam lingkungan 30-an.

    Katanya, ada beberapa individu lain termasuk saudara terdekatnya mendengar bunyi bising yang kedengaran dari rumah mangsa.

    Seorang lagi jiran mangsa yang dikenali Hani, 34, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas dihubungi oleh rakannya yang terdengar bunyi ambulans dan kenderaan polis di hadapan rumah.

    Menurutnya, dia bergegas ke pintu rumah dan mendapati ambulans dan trak polis sudah berada di hadapan rumahnya.

    “Beberapa jiran saya yang menyedari kejadian itu terkejut selepas mendapati ada seorang wanita mati ditikam manakala seorang lelaki cedera,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian itu.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh