Category: Jenayah

  • Sindiket pelacuran wanita Afrika tumpas

    Sindiket pelacuran wanita Afrika tumpas

    SINDIKET pelacuran melibatkan wanita dari benua Afrika yang beroperasi di sebuah kondominium di Cyberjaya, ditumpaskan dalam serbuan pukul 4 petang semalam.

    Serbuan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya berjaya memberkas 10 wanita terdiri daripada tujuh wanita Tanzania dan tiga wanita Uganda.

    Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya merampas sembilan pasport, 13 buah telefon bimbit, satu kad akses, satu kad pelajar, empat set kondom dan sembilan buah buku nota yang merekodkan bukti langganan seks.

    “Siasatan awal mendapati sembilan wanita ini masuk ke Malaysia secara sah sebagai pelancong dan seorang lagi masuk sebagai pelajar antarabangsa di sebuah pusat bahasa di Kuala Lumpur.

    “Daripada kesemua tangkapan ini, dua wanita Tanzania dan Uganda telah dikenal pasti merupakan ‘mummy’ iaitu orang tengah dalam aktiviti pelacuran ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, sindiket ini menyasarkan pelanggan daripada kalangan pelajar antarabangsa dan lelaki benua Afrika terutamanya dari Nigeria dengan kadar bayaran RM200 hingga RM500.

    Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan dalang sebenar di sebalik kegiatan pelacuran serta rangkaian sindiket ini.

    “Kesemua wanita berusia 23 hingga 37 tahun itu telah dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Tambahnya, orang ramai diminta untuk terus bekerjasama dan menyalurkan aduan berkaitan aktiviti warga asing yang tidak bermoral dan melanggar undang-undang supaya tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan.

  • SPRM dalam tindakan selesaikan kes LCS, kata Azam Baki

    SPRM dalam tindakan selesaikan kes LCS, kata Azam Baki

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih dalam tindakan untuk menyelesaikan siasatan berhubung skandal perolehan kapal tempur pesisir (LCS), kata Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki.

    “Pihak SPRM telah membuka beberapa kertas siasatan berkenaan kes itu.

    “Siasatan masih dijalankan dan kita ada buka beberapa kertas siasatan di mana salah satu kertas siasatan telah dilengkapkan dan individu berkenaan telah dituduh di mahkamah.

    “Setiap kertas siasatan yang telah dilengkapkan akan diserahkan kepada pihak Pejabat Peguam Negara untuk kajian sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Azam bagaimanapun tidak mendedahkan siapa individu terlibat sama ada ia mengaitkan orang politik mahupun orang awam.

    Pada Selasa, bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Noor, 78, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan pecah amanah projek LCS membabitkan dana syarikat bernilai lebih RM21 juta.

    Pada 11 Ogos lalu, SPRM telah mencadangkan beberapa nama kepada Pejabat Peguam Negara untuk didakwa.

    Sebelum itu, pada 4 Ogos, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengumumkan sembilan rumusannya sebagai punca kepincangan projek LCS bernilai RM9 bilion.

    Melalui laporan berkenaan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

  • Bapa pukul, pijak kepala anak perempuan ditahan

    Bapa pukul, pijak kepala anak perempuan ditahan

    POLIS hari ini menahan seorang lelaki selepas memijak kepala anak perempuannya yang berusia 16 tahun gara-gara enggan mengikut arahan untuk meminjam wang daripada saudara mereka.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, sebelum kejadian, berlaku pertengkaran antara suspek dan isterinya di kediaman mereka di Pansapuri Sagaria, Taman Saga, di Ampang, semalam.

    Menurutnya, suspek telah menyuruh ibu mangsa meminta duit dari ahli keluarga lain namun dia enggan menyebabkan suspek marah dan menarik rambut isterinya.

    “Kemudiannya, suspek telah meminta mangsa menemani ibunya namun mangsa enggan menemani ibunya ke rumah ahli keluarga lain untuk meminta wang menyebabkan suspek berang.

    “Akibat berang, suspek mengeluarkan kata-kata kesat terhadap mangsa dan bertindak memukul, menampar serta memijak kepala anaknya itu dalam kejadian sekitar pukul 7.55 malam di kediaman mereka.

    “Pada pukul 4 pagi tadi sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ampang Jaya telah membuat serbuan di tepi Jalan Saga 6A, Taman Saga dan menangkap suspek yang disyaki terlibat kejadian itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, semakan mendapati suspek yang berusia lingkungan 50-an tersebut mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan narkotik.

    Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan dan motif kejadian dipercayai akibat salah faham berkenaan masalah kewangan.

    Suspek telah dibawa ke Mahkamah Ampang pagi ini bagi permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, katanya.

    “Kes disiasat bawah Seksyen 323 Kanun keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 yang merujuk kepada sengaja menyebabkan kecederaan,” ujarnya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

  • Jelajah Kedah, Pulau Pinang untuk ‘kaut’ diesel subsidi

    Jelajah Kedah, Pulau Pinang untuk ‘kaut’ diesel subsidi

    Oleh BADLISHAH MAT

    PERBUATAN seorang pemandu lori yang sering membeli minyak diesel di stesen-stesen minyak sehingga ke Seberang Perai Utara di Pulau Pinang akhirnya terbongkar apabila dia dicekup di Padang Serai, Kulim di Kedah, semalam.

    Lelaki berusia 40 tahun itu juga memandu kenderaan seberat 16 tan itu yang turut memuatkan tangki tambahan berkapasiti sehingga 4,000 liter untuk sekali isian.

    Ketika diperiksa di sebuah stesen minyak di Taman Mahsuri, Padang Serai, pemandu terbabit sudah berjaya mengepam sebanyak 2,719 liter diesel dengan nilai RM5,573.

    Pengarah Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah, Affendi Rajini Kanth memaklumkan, minyak yang diisi melalui tangki asal kenderaan itu akan disedut naik menggunakan pam ke tangki tambahan tersebut.

    “Hasil pemeriksaan mendapati pemandu kenderaan gagal mengemukakan permit khas iaitu satu surat kebenaran bertulis yang dikeluarkan oleh Pengawal Bekalan KPDNHEP.

    Minyak yang diisi melalui tangki asal kenderaan itu akan disedut naik menggunakan pam ke tangki tambahan tersebut

    “Siasatan lanjut mendapati minyak tersebut dibeli daripada stesen-stesen minyak sekitar Seberang Perai Utara di Pulau Pinang dan Padang Serai di sini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Affendi, minyak diesel tersebut dipercayai akan dijual semula dengan harga industri kepada pembeli daripada sektor industri atau diseludup ke negara jiran untuk mendapatkan hasil yang lebih lumayan.

    Katanya, kesemua minyak tersebut dirampas termasuk lori terbabit yang membabitkan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM30,573.

    “Kes akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan.

    “Kes turut dibaca bersama di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 iaitu tiada siapa boleh berniaga dengan cara jual borong atau jual runcit apa-apa barang berjadual atau mengilang kecuali di bawah satu lesen yang dikeluarkan di bawah Peraturan 4,” ujarnya.

  • Pemandu e-hailing dakwa direman tanpa sebab, diminta bayar duit ‘kawtim’ RM20,000

    Pemandu e-hailing dakwa direman tanpa sebab, diminta bayar duit ‘kawtim’ RM20,000

    SEORANG pemandu e-hailing mendakwa direman 10 hari dan diminta membayar wang ‘kautim’ RM20,000 selepas ditahan polis kerana didakwa membawa dua penumpang pendatang asing tanpa izin (PATI) secara salah pada Mei lalu.

    Kamarul Ariffin Basirun, 49, yang menjadi pemandu e-hailing sejak 2019, mendakwa kenderaannya serta telefon bimbitnya turut disita pihak polis selama 41 hari sehingga menyebabkan beliau hilang punca pendapatan sepanjang tempoh itu.

    Mengimbas kejadian itu, Kamarul Ariffin yang menetap di Semenyih, Selangor, berkata kejadian berlaku pada 18 Mei lalu ketika beliau menghantar dua penumpang terbabit ke Long Beach Resort, Banting.

    “Saya menerima pesanan menerusi aplikasi dikendalikan pengendali e-hailing (EHO) untuk mengambil penumpang di Seksyen 9, Bangi pada pukul 1.40 pagi, tanpa saya mengetahui status mereka PATI atau sebaliknya.

    “Apabila saya sampai ke Long Beach Resort kira-kira jam 2.50 pagi, salah seorang penumpang beritahu mereka tidak cukup wang untuk bayar tambang kerana mereka tidak gunakan kemudahan e-wallet (e-dompet) dan perlu menunggu isterinya datang bersama wang tambang.

    “Kami menunggu dalam kereta kira-kira 10 minit sebelum isterinya sampai dan masuk ke dalam kereta untuk buat bayaran. Bagaimanapun, sepasukan anggota polis menyerbu kenderaan saya, seterusnya menahan saya serta dua penumpang dan wanita terbabit,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Biro Pergerakan Masyarakat Sivil dan Koordinasi MCA di Wisma MCA di Kuala Lumpur, hari ini.

    Kamarul Ariffin mendakwa, walaupun sudah menjelaskan dan menunjukkan bukti bahawa beliau seorang pemandu e-hailing dan menerima pesanan penumpang menerusi aplikasi EHO, pihak polis tetap menangkapnya.

    Seterusnya beliau direman selama 10 hari dan kesnya disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007

    “Bagaimanapun, saya dibebaskan selepas tamat direman dan pada 9 Jun lalu, pegawai penyiasat menelefon dan meminta saya datang ke balai untuk berbincang mengenai kes itu dan saya pergi berjumpanya bersama isteri.

    “Pegawai terbabit membuat tawaran sekiranya saya membayar RM20,000, kes berkenaan tidak akan dibawa ke mahkamah dan menyatakan wang itu untuk dibayar kepada Ketua Balai, Bukit Aman, pendakwaraya dan majistret iaitu RM5,000 setiap seorang.

    “Kami beritahu tidak cukup wang dan pegawai itu ‘kurangkan’ bayaran kepada RM12,000 pakej bermain golf, namun saya menolak tawarannya itu dan beritahu saya bersedia dihadapkan ke mahkamah kerana tahu saya tidak membuat apa-apa kesalahan,” katanya memetik laporan BH Online.

    Kamarul Ariffin berkata, pihaknya dimaklumkan kes itu tidak akan dibawa ke mahkamah dan sudah mendapat kembali kenderaan serta telefon bimbitnya setelah disita selama 41 hari.

    Beliau berkata kejadian itu memberi kesan trauma kepada diri serta isterinya dan berasa dirinya teraniaya.

    “Saya tidak mahu kejadian ini berulang dan menimpa kepada pemandu e-hailing yang lain, justeru saya tampil membuat aduan kepada Biro Aduan MCA agar perkara ini menjadi tauladan kepada orang lain.

    “Ada yang menuduh saya mencari ‘wang tepi’ dengan bersekongkol dengan penyeludup PATI, sedangkan perkara itu tidak benar,” katanya.

    Sementara itu, jurucakap Biro Pergerakan Masyarakat Sivil dan Koordinasi MCA, Ng Kian Nam, berkata tangkapan dan reman dibuat polis ke atas Kamarul Ariffin adalah tidak munasabah dan keterlaluan, walaupun sudah jelas dia hanya menerima pesanan penumpang menerusi aplikasi disediakan EHO.

    “Pemandu e-hailing tiada kuasa untuk memeriksa dokumen pengenalan penumpang yang menaiki kenderaan mereka, mereka tidak sewajarnya dibebankan dengan perkara itu kerana sepatutnya yang perlu meneliti pendaftaran penumpang adalah EHO.

    “Salah laku pegawai penyiasat yang meminta sogokan untuk tidak membawa kes ke mahkamah juga jelas menjejaskan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Peguam Negara dan badan kehakiman kita,” katanya.

    Kian Nam berkata, pihaknya akan menghantar satu surat kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM mengenai perkara ini dan meminta pegawai penyiasat terbabit disiasat.

    “Kita juga akan bantu Kamarul Ariffin membuat tindakan sivil terhadap PDRM serta syarikat EHO terbabit bagi menuntut pampasan atas kehilangan pendapatan serta trauma yang dihadapinya.

    “Kita juga akan meminta pihak EHO terbabit memberi satu kenyataan rasmi mengenai kejadian itu,” katanya.

  • Dua beradik bergaduh ditemukan maut

    Dua beradik bergaduh ditemukan maut

    DUA beradik ditemukan maut selepas dipercayai bertengkar dalam satu kejadian di Jalan Mohamed Naseh, di Ipoh pada pagi tadi.

    Pemangku Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira 10 pagi berhubung kejadian tersebut dan bergegas ke lokasi kejadian.

    “Setibanya di sebuah rumah, didapati seorang lelaki terbaring berlumuran darah di dapur dengan kesan tikaman manakala seorang lagi lelaki berada di luar rumah (dalam keadaan tergantung). Siasatan awal mendapati, kedua-duanya merupakan adik-beradik yang telah bertengkar di rumah itu.

    “Isteri kepada lelaki pertama (adik) dipercayai cuba menenteramkan keadaan sehingga luka pada ibu jari tangan kanannya. Kami masih melakukan siasatan untuk mengetahui punca insiden pergaduhan. Menurut saksi, mereka kerap dengar kejadian pergaduhan di rumah ini,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian.

    Beliau berkata siasatan juga mendapati suspek, 70, yang bekerja sebagai pemandu teksi dipercayai bertengkar dan kemudian menikam adiknya, 67, seorang pesara, sebelum menggantung diri di luar rumah dan pihaknya turut menjumpai pisau kecil yang berada berdekatannya.

    “Sewaktu kejadian, ada beberapa ahli keluarga. Keterangan akan direkodkan untuk tujuan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dan menambah mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat. –Bernama

  • Sindiket dadah tumpas, pasangan kekasih dicekup

    Sindiket dadah tumpas, pasangan kekasih dicekup

    SATU sindiket pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang tumpas selepas polis menahan pasangan kekasih berusia 20 tahun dalam serbuan di sebuan hotel di Pusat Perdagangan One Puchong, di Serdang 10 Ogos lalu.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalangan berkata, menerusi penahanan itu polis menemui 6 kilogram (kg) dadah jenis syabu yang dipercayai untuk diedarkan oleh suspek lelaki tempatan dan wanita warga Vietnam berkenaan.

    Menurutnya, hasil penahanan suspek, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor kemudian menyerbu sebuah kondominium yang disewa sindiket berkenaan sejak Januari di Kepong, Kuala Lumpur.

    “Pasukan serbuan berjaya menemui dan merampas dadah jenis syabu seberat 21kg, 9,600 biji pil erimin 5, dan 6,000 biji pil ekstasi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, Serdang, hari ini.

    Anbalangan berkata, polis percaya kedua-dua suspek berkenaan berperanan sebagai pengedar untuk pasaran di Lembah Klang dan usaha mengesan saki baki serta dalang sindiket sedang dijalankan.

    Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti sumber semua bahan narkotik berkenaan dibawa masuk sama ada produk buatan tempatan atau dari luar.

    “Sumber dadah ini kita sedang siasat sama ada dari dalam atau luar negara dan kita juga sedang siasat dengan lebih lanjut peranan kedua-dua suspek ini.

    “Sindiket ini dipercayai bergiat aktif sejak enam bulan lalu dengan mengisi dadah berkenaan dalam peket lebih kecil untuk dijual di sekitar Lembah Klang termasuk di pusat-pusat hiburan,” katanya sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

    Beliau berkata, nilai rampasan dadah dalam serbuan pertama dianggarkan berjumlah RM 215,000 manakala rampasan kedua RM992,000.

    “Kedua-dua suspek direman bermula 10 hingga 24 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

  • Lelaki diikat kerana ganggu remaja perempuan, bukan ragut

    Lelaki diikat kerana ganggu remaja perempuan, bukan ragut

    SEORANG lelaki yang menganggu seorang remaja perempuan menerima padah apabila diikat oleh abang gadis itu dalam kejadian di Gombak.

    Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya mengesan kejadian memaparkan seorang lelaki sedang terduduk dengan tangan diikat ke belakang di tepi sebuah kereta peronda polis pada pukul 9.30 malam Isnin.

    “Suspek berusia 21 tahun itu diikat oleh abang gadis terbabit kerana tidak puas hati akan tindakan suspek.

    “Bapa remaja terbabit tidak mahu membuat laporan polis kerana mengenali suspek dan keluarganya.

    “Kedua-dua belah pihak bersetuju untuk menyelesaikan salah faham secara baik,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

    Sehubungan itu, polis menafikan dakwaan klip video terbabit adalah berkenaan kes peragut yang ditangkap.

    “Polis tidak menerima sebarang lapran berkaitan ragut di kawasan berkenaan pada masa itu,” katanya sebagaimana dilaporkan Utusan TV.

    Zainal Mohamed menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

  • Menyamar Raja Muda Perak di Pejabat Sultan Kedah

    Menyamar Raja Muda Perak di Pejabat Sultan Kedah

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG individu ditangkap polis selepas dia menyamar sebagai Raja Muda Perak ketika berurusan di Pejabat Sultan Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar di sini pada hujung Jun lalu.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, suspek ditangkap semalam di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, kira-kira pukul 5.30 petang.

    Katanya, kejadian terbabit berlaku pada pukul 11.30 pagi, 28 Jun lalu, semasa suspek hadir dengan dua lagi wanita sambil memperkenalkan diri menggunakan sekeping kad berwarna kuning.

    “Pengadu telah ambil kad tersebut untuk membuat pemeriksaan dan mendapati butiran yang tertera adalah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Muda Perak Tuanku Tun Mamat Fadhil Duke Of Royal Malaysia British Bin Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Sheikh Tengku Lope Salleh Of Royal Irish Fusiller Princess Victoria.

    “Pengadu telah membuat semakan dengan Bahagian Protokol dan Istiadat Negeri Perak dan telah disahkan bahawa tiada kerabat Diraja Perak Darul Ridzuan dengan nama, gelaran dan nombor kad pengenalan sedemikian,” katanya.

    Ahmad Shukri berkata, suspek kini ditahan reman selama empat hari mulai hari ini hingga 21 Ogos bagi membantu siasatan termasuk mengetahui motif kejadian.

  • Polis marin patahkan cubaan seleweng diesel RM378,155

    Polis marin patahkan cubaan seleweng diesel RM378,155

    PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah 5 menahan tiga lelaki disyaki menjalankan kegiatan penyelewengan diesel dianggarkan bernilai RM378,155 dalam tiga serbuan Op Kontraban, di Sibu, semalam.

    Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, serbuan dilakukan antara pukul 6 pagi hingga 8.30 pagi selepas menerima maklumat.

    “Tiga suspek berusia 28 hingga 42 tahun ditahan kerana didapati membawa bahan api berkenaan menggunakan kenderaan masing-masing dalam keadaan mencurigakan.

    “Hasil pemeriksaan mendapati semua kenderaan yang digunakan suspek iaitu sebuah van, lori dan lori tangki didapati membawa diesel dengan kapasiti keseluruhan sebanyak 31,700 liter,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Menurutnya, ketiga-tiga suspek mengaku membawa muatan diesel berkenaan tanpa permit yang sah.

    Katanya, tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.