Category: Jenayah

  • Kapal tangki Rusia ditahan berlabuh tanpa kebenaran

    Kapal tangki Rusia ditahan berlabuh tanpa kebenaran

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBUAH kapal tangki dari Rusia ditahan kerana menceroboh peraiaran dan bersauh tanpa kebenaran pada kedudukan 23.6 batu nautika timur laut Tanjung Siang, dekat Kota Tinggi, pukul 3 petang semalam.

    Kapal tangki tersebut ditahan kapal ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang sedang melaksanakan penguatkuasaan di perairan Johor timur itu.

    Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, kapal tangki tersebut dikendalikan 19 kru lelaki dan dua wanita termasuk nakhoda berumur lingkungan 32 hingga 62 tahun.

    “Pemeriksaan mendapati semuanya warga Rusia serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

    “Nakhoda kapal tangki terbabit telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh di perairan Malaysia ketika diperiksa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

    Sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidakmelebihiRM 100 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanyasekali.

    Maritim Johor katanya, akan terus memantau dan memastikan perairan negeri Johor bebas dari sebarang cubaan bersauh secara haram.

    Justeru, pemilik atau pengusaha perkapalan dinasihatkan untuk mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Laut Malaysia serta mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

  • Taktik ubah suai tangki, isi diesel bersubsidi untuk seludup

    Taktik ubah suai tangki, isi diesel bersubsidi untuk seludup

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menahan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan sedang membuat pengisian minyak dari satu stesen ke stesen secara berterusan di Tumpat, kelmarin.

    Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, siasatan dan serbuan dilakukan pada pukul 12.30 tengah hari di sebuah stesen minyak di Chabang Empat Tok Mek Ngah, kemudian berjaya membongkar kegiatan seleweng diesel subsidi.

    Katanya, serbuan dilakukan dalam Operasi Bersepadu yang turut disertai Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor dan Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa.

    “Pemeriksaan lanjut terhadap sebuah lori jenis Isuzu telah menjumpai minyak diesel 274 liter bernilai RM589 di dalam tangki yang dipercayai diubah suai.

    “Taktik penyeludup adalah dengan mengubah suai tangki serta membuat pembelian minyak diesel dari stesen ke stesen berjaya digagalkan.
    Minyak diesel tersebut dipercayai akan diseludup ke negara jiran melalui pangkalan haram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, seorang lelaki turut ditahan dan kes tersebut akan disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki memiliki barang kawalan tanpa lesen dengan niat melakukan kesalahan.

    Aswadi berkata, siasatan lanjut akan dijalankan ke atas pemilik asal kenderaan dan punca barang kawalan yang diperolehi.

    Beliau berkata, KPDNHEP tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau peniaga yang melanggar undang-undang dan tindakan tegas akan diambil.

    “Kerjasama bersepadu bersama agensi penguatkuasaan sempadan sentiasa giat dijalankan dari masa ke masa bagi membanteras kegiatan tersebut,” jelasnya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

  • Serangan ‘ala mafia’ di Klang, polis buru tiga individu

    Serangan ‘ala mafia’ di Klang, polis buru tiga individu

    *Mangsa ditembak tiga hingga lapan das dari jarak dekat

    POLIS  memburu tiga lelaki disyaki terlibat dalam satu kes bunuh membabitkan seorang individu di tepi Jalan Bawal Tambak, Taman Sri Gadong, Klang tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata bertindak atas maklumat orang awam pada 12.22 tengah malam tadi, pihaknya telah ke tempat kejadian dan menemukan seorang lelaki warga tempatan dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah manakala pasukan perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

    “Hasil siasatan mendapati mangsa yang berusia 41 tahun itu mempunyai 10 rekod kesalahan jenayah lampau termasuk kes jenayah berat melibatkan culik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Cha berkata hasil siasatan lanjut berdasarkan rakaman kamera tertutup di tempat kejadian mendapati mangsa telah didatangi sebuah kereta Nissan Almera yang berhenti di tepi jalan berdekatan sebuah rumah.

    “Selepas itu keluar tiga lelaki meluru ke arah mangsa lalu melepaskan lima hingga lapan das tembakan dari jarak dekat menggunakan pistol malah menetaknya menggunakan parang sebelum melarikan diri dengan menggunakan kereta yang sama.

    “Unit forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor turut menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian dan menjumpai beberapa barang yang boleh membantu siasatan,” katanya.

    Beliau berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh orang dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat ASP Mohamed Syahrir Zabidi di talian 012-26650895 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di nombor 03-33762222.  

    — BERNAMA

  • Bapa, kekasih ditahan dera anak OKU

    Bapa, kekasih ditahan dera anak OKU

    SEPASANG kekasih ditahan selepas disyaki mendera  wanita Orang Kurang Upaya (OKU) masalah saraf di sebuah rumah di Lembah Jaya Selatan, Taman Sri Intan Ampang dekat sini, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Ampang ACP Mohamad Farouk Eshak berkata wanita OKU berusia 31 tahun itu merupakan anak kepada seorang lelaki berumur 60 tahun yang ditahan bersama kekasihnya berumur 47 tahun pada 8.30 malam.

    “Tangkapan dibuat selepas menerima laporan daripada pegawai perubatan Hospital Ampang yang menerima pesakit iaitu mangsa yang dibawa oleh ambulans dari tempat kejadian selepas dilaporkan terjatuh oleh ahli keluarganya pada 12 tengah hari.

    “Hasil rawatan mendapati ada beberapa kesan kecederaan yang mencurigakan seperti lebam di bahagian mata kanan mangsa disyaki dipukul dan ditumbuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohamad Farouk berkata beberapa objek seperti kayu penyapu, penyangkut baju dan kayu mop disyaki digunakan untuk mendera mangsa turut dirampas.

    Beliau berkata bapa mangsa yang bekerja sebagai buruh dan teman wanitanya yang tidak bekerja itu tiada rekod jenayah serta saringan ujian air kencing terhadap mereka didapati negatif.

    “Kedua-dua individu direman empat hari bermula hari ini hingga 24 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.- BERNAMA

  • Bayi perempuan ditinggalkan depan kedai makan

    Bayi perempuan ditinggalkan depan kedai makan

    SEORANG peniaga menemui bayi perempuan yang ditinggalkan di atas sofa di hadapan sebuah kedai makan Taman Bahtera, Ulu Bernam di sini pada Sabtu.

    Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 33 tahun memaklumkan menemui bayi itu pada pukul 9.30 pagi.

    “Hasil siasatan polis mendapati bayi itu masih hidup dan pemeriksaan oleh pegawai perubatan bertugas mendapati bayi tersebut dalam keadaan sihat serta tiada kesan luka atau kesan gigitan binatang,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

    Arsad berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengesan suspek yang terlibat.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi,” tambahnya

  • Warga emas rugi lebih RM1.34 juta ditipu ‘pegawai polis’

    Warga emas rugi lebih RM1.34 juta ditipu ‘pegawai polis’

    SEORANG wanita warga emas kerugian lebih RM1.34 juta akibat terpedaya dengan penipuan sindiket ‘Macau Scam’ selepas menerima panggilan kononnya dia terbabit dalam jenayah penipuan dan kegiatan haram, kelmarin.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Muar, Supt. Muhammad Aidil Roneh Abdullah, berkata ia bermula apabila pesara perkhidmatan awam berusia 74 tahun itu dihubungi anggota sindiket berkenaan yang memperkenalkan diri sebagai petugas perkhidmatan pos.

    “ Dia mendakwa terdapat penghantaran kepada mangsa yang mengandungi kad pengenalan, kad juruwang automatik (ATM) dan buku cek milik individu lain, yang menyalahi undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada individu lain yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis.

    “Seterusnya, mangsa diarah untuk memberikan butiran perbankan termasuk akses dua perbankan dalam talian miliknya dengan alasan untuk diaudit, dan dia telah mengikut kesemua arahan kerana takut diambil ‘tindakan’.

    “Selain itu, mangsa turut diarahkan untuk memindahkan wang simpanan dan bayaran tunai kepada kedua-dua akaun yang didedahkan (butirannya) itu, atas alasan yang sama,” katanya..

    Muhammad Aidil Roneh berkata pada Khamis lepas, mangsa telah membuat semakan terhadap kedua-dua akaun bank miliknya yang telah didedahkan kepada individu berkenaan, pada akhir Mei lalu.

    “Bagaimanapun, mangsa mendapati wang berjumlahRM1,342,459.70 telah dipindahkan kepada pihak lain tanpa pengetahuannya sebelum sedar dia ditipu dan kemudiannya membuat laporan polis, semalam.

    “Hasil siasatan awal polis mendapati nombor telefon untuk menghubungi mangsa pernah digunakan dan terbabit dengan beberapa kes lain yang dilaporkan, tahun ini, ” katanya.

    Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dan secara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan.

    — BERNAMA

  • Lelaki ancam, ugut Ketua Hakim Negara ditahan – PDRM

    Lelaki ancam, ugut Ketua Hakim Negara ditahan – PDRM

    POLIS telah menahan seorang lelaki berusia 30 tahun berhubung ancaman dan ugutan yang dibuat menerusi media sosial terhadap Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, baru baru ini.

    PDRM hari ini menerusi kenyataan Ketua Komunikasi Korporat PDRM Bukit Aman, Asisten Komisioner Skandarguru Ananda mengesahkan perkara itu.

    “Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima laporan polis mengenai ancaman dan ugutan di media sosial terhadap Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook ‘Apiez Bond’.

    “Hasil daripada laporan tersebut, tangkapan telah dibuat ke atas seorang lelaki berusia 30 tahun di sebuah rumah di Puchong, Selangor pada 19 Ogos 2022 sekitarnya jam 11.15 malam.

    “Turut dirampas daripada suspek satu unit telefon bimbit berserta kad sim yang dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran ugutan tersebut,” jelasnya memetik laporan Astro Awani.

    Suspek kini direman selama empat hari sehingga 23 Ogos depan bagi siasatan lanjut. Siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah.

    Kes disiasat dibawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan berkencenderungan menghasut, Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimerdia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

    “PDRM memandang serius perkara ini dan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang tindakan membabitkan isu salah laku jenayah dan isu ketenteraman awam yang boleh menganggu gugat keamanan.

    “Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan platform media sosial untuk mengancam keselamatan,” katanya.

    Terdahulu, tular di media sosial tindakan lelaki terbabit yang mengeluarkan komen di laman sosial berbaur ugutan dan ancaman terhadap Ketua Hakim Negara.

    Tindakan terbabit mendapat reaksi pelbagai pihak terutamanya netizen yang mengecam tindakan lelaki terbabit.

  • Remaja 17 tahun tunggang motosikal curi tanpa lesen dari Perak ke Pulau Pinang

    Remaja 17 tahun tunggang motosikal curi tanpa lesen dari Perak ke Pulau Pinang

    TINDAKAN berani seorang remaja berusia 17 tahun menunggang motosikal curi dari Batu Gajah, Perak pulang ke rumahnya di Balik Pulau, Pulau Pinang semalam memakan diri selepas dia ditahan polis semalam.

    Malah, ketika ditahan di atas Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, remaja berkenaan yang tidak mempunyai lesen turut membonceng seorang lagi remaja lelaki berusia 13 tahun manakala seorang lagi rakan mereka berusia 16 tahun menunggang sebuah motosikal lain.

    Kedua-dua buah motosikal itu ditahan polis selepas ditunggang dalam keadaan mencurigakan selain tidak mengikut lorong motosikal di jambatan kedua Pulau Pinang terbabit.

    Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh berkata, siasatan lanjut mendapati motosikal yang ditunggang remaja berusia 17 tahun itu merupakan motosikal curi dan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

    “Semakan mendapati motosikal itu dilaporkan hilang di Teluk Kumbar bulan lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya hari ini.

    Menurut Fisol, dua remaja iaitu berusia 13 dan 17 tahun didapati masih bersekolah manakala remaja berusia 16 tahun tidak bersekolah.

    Bagaimanapun tambahnya, remaja berusia 16 tahun memiliki lesen dan motosikal yang digunakan didaftarkan atas namanya sendiri.

    “Polis mengeluarkan empat saman ke atas remaja terbabit tersebut kerana beberapa kesalahan termasuk mengubah suai motosikal yang tidak mengikut spesifikasi dibenarkan,” katanya.

    Tambahnya, ujian air kencing terhadap ketiga-tiga suspek didapati negatif dadah dan polis turut menyita kedua-dua motosikal untuk siasatan lanjut.

    Ujar beliau, remaja berusia 17 tahun ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan manakala dua lagi remaja dibebaskan dengan jaminan polis.

  • Remaja lelaki curi wang majikan buat beli aksesori motosikal

    Remaja lelaki curi wang majikan buat beli aksesori motosikal

    SEORANG remaja lelaki ditahan kerana disyaki mencuri wang majikannya di sebuah premis cuci kereta di Ampang Waterfront, Kuala Lumpur, pada Selasa lalu.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek berusia 17 tahun itu ditahan di Lembah Permai pada pukul 9.50 malam Khamis.

    “Kita menahan suspek susulan laporan yang dibuat oleh pengurus premis cuci kereta itu mendakwa wang hasil perniagaan sebanyak RM815 yang disimpan dalam bekas kotak berzip telah hilang,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Mohamad Farouk berkata, pihaknya turut merampas pakaian yang digunakan semasa kejadian serta sebuah motosikal jenis Modenas.

    “Suspek dipercayai bekerja di premis cuci kereta itu sejak dua bulan lalu. Wang curi berkenaan telah digunakan suspek untuk membeli aksesori motosikal,” katanya.

    Menurutnya, suspek telah direman selama empat hari bermula semalam hingga Isnin bagi membantu siasatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

  • Polis Johor tumpas sindiket seludup rokok, rampasan RM1.8 juta

    Polis Johor tumpas sindiket seludup rokok, rampasan RM1.8 juta

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SATU sindiket penyeludupan rokok putih tumpas selepas polis menahan dua lelaki dan sebuah lori di Taman Fasa Indah, Jalan Kota Tinggi-Sungai Rengit, Kota Tinggi, pukul 3.20 pagi tadi.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sebelum ditahan dua lelaki tempatan yang ditahan itu berusia 31 dan 47 tahun berada dalam keadaan mencurigakan.

    “Seorang daripadanya cuba menghalang pihaknya semasa menjalankan pemeriksaan.

    “Hasil pemeriksaan dalam lori tersebut menemukan kotak-kotak berisi rokok seludup yang tidak dibayar cukai. Dalam serbuan itu pihak polis merampas lori berkenaan, 244 kotak mengandungi 12,200 karton rokok jenama Conept Blend.

    “Jumlah keseluruhan rampasan dalam operasi tersebut berjumlah RM1,830,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, kes disiasat di bawah 135(1) (d) Akta Kastam 1967, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM100,000, yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    Tambahnya, kes juga disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

    Polis Johor berharap agar masyarakat terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan menerusi Urusetia Task Force Kontinjen

    Johor, Superitendan Nur Azlan M Kudus iaitu 019-2396318 atau mana-mana balai berdekatan.