Category: Jenayah

  • Lebih 79,000 tandatangan petisyen supaya Najib tidak diampunkan Agong

    Lebih 79,000 tandatangan petisyen supaya Najib tidak diampunkan Agong

    SETAKAT 11 pagi hari ini, lebih 79,000 tandatangan tidak memperkenan pengampunan diraja terhadap Dato’ Sri Najib Razak berhubung pemenjaraan kes penyelewengan dana SRC International.

    Petisyen itu dilancarkan dalam talian pada semalam ditujukan kepada Istana Negara memohon Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menolak sebarang kemungkinan untuk mengampuni jenayah Najib Razak.

    Petisyen di laman Change.org menjadi taruhan kumpulan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) demi menidakkan Najib menerima pengampunan diraja seperti gesaan penyokong Najib.

    “Najib Razak baru sahaja didapati bersalah oleh mahkamah tertinggi negara tetapi ada pihak yang sudah mula memikirkan untuk memohon pengampunan kepada DYMM YDP Agong. Kita tak boleh biarkan ini berlaku. Tandatangan petisyen ini untuk diserahkan kepada YDP Agong.

    “Daulat Tuanku. Ampun Tuanku beribu-ribu ampun. Patik-patik sekalian rakyat memohon limpah perkenan Tuanku agar tidak menggunakan kuasa Tuanku untuk mengurniakan keampunan kepada mantan Perdana Menteri Najib Abdul Razak kerana jenayah terhadap kepentingan rakyat Malaysia sekalian,” memetik petisyen tersebut.

    Turut dinyatakan bahawa Ahli Parlimen Pekan yang dikenakan hukuman penjara 12 tahun itu telah merosakkan imej negara.

    “Sebagai rakyat, patik-patik sekalian berasa sengsara dengan kesan korupsi oleh mereka yang diberi mandat membangun negara ini tetapi sebaliknya memenuhkan tembolok sendiri dengan kekayaan negara.

    “Walaupun mungkin Najib tidak malu dengan perbuatannya, patik-patik sekalian rakyat terpaksa hidup menahan malu kerana negara terpalit sebagai kes kleptokrasi terbesar di dunia.

    “Ampun Tuanku, bimbinglah patik-patik sekalian agar dapat mengangkat semula kepala dan bangga sebagai rakyat Malaysia yang melawan rasuah dan salah guna kuasa,” demikian antara petikan dalam petisyen berkenaan.

  • Insiden tikam, simbah minyak masak hanya simulasi

    Insiden tikam, simbah minyak masak hanya simulasi

    INSIDEN ngeri melibatkan dua tukang masak di Hospital Taiping, Perak yang bergaduh antara satu sama lain hanya simulasi kebakaran semata-mata.

    Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, simulasi itu telah dilakukan pihak hospital pada semalam dan hari ini.

    Kenyataan itu sekaligus menafikan dakwaan yang tular dalam media sosial mengatakan seorang tukang masak parah ditusuk pisau di dada sebelah kiri, lapor Utusan TV.

    Dakwaan itu turut mengatakan seorang lagi tukang masak disimbah denga minyak panas sehingga melecur teruk di anggota badan.

    Video berdurasi 34 saat itu juga dikongsi ramai warganet di pelbagai platform media sosial seperti Facebook, TikTok dan WhatsApp.

  • Isu pecah amanah, salah guna kuasa:SPRM serbu pejabat KLFA

    Isu pecah amanah, salah guna kuasa:SPRM serbu pejabat KLFA

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan serbuan ke pejabat Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Kuala Lumpur, minggu lalu.

    Difahamkan serbuan itu berkaitan isu pecah amanah dan salah guna kuasa membabitkan wang tajaan Kuala Lumpur City FC (KL City) dan tanah Akademi KLFA di Desa Melawati, dengan anggaran jutaan ringgit.

    Menurut sumber, serbuan dilakukan bagi mengumpul dokumen yang diambil di pejabat KLFA serta KL City untuk disiasat badan pencegahan rasuah itu.

    Beliau berkata, tindak tanduk pengurusan KLFA cukup diragui termasuk proses keluar masuk kewangan selain tindakan pegawai atasan KLFA yang melakukan perjanjian kerjasama dengan mencagarkan tanah akademi tanpa pengetahuan exco KLFA bagi tujuan tertentu.

    “SPRM ada datang ke pejabat KLFA untuk ambil dokumen, minggu lalu. Jika wujudnya kesalahan dalam siasatan itu, mungkin ini antara skandal bola sepak terbesar sebab ia babitkan nilai jutaan ringgit.

    “Perkara ini pernah kecoh dalam mesyuarat Exco yang meminta pegawai atasan KLFA menjelaskan mengenai dana tajaan dan tanah akademi, tapi tidak dapat jawapan memuaskan,” kata sumber, memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Difahamkan, tanah Akademi KLFA sudah diserahkan kepada pihak swasta, Suede Realty iaitu anak syarikat kepada Jakel.

    Untuk tujuan itu, Suede Reality mengeluarkan dana jutaan ringgit kepada KLFA sebagai hasil kerjasama itu.

    Namun, masalah tunggakan gaji membabitkan pemain KL City pada awal musim ini, menyaksikan pegawai atasan mengubah perjanjian dengan pihak lain tanpa proses yang betul.

    Difahamkan tanah itu kemudiannya diberikan kepada Sinmah Properties Sdn Bhd dengan nilai RM3 juta.

    Sementara itu, Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa, mengesahkan SPRM ada hadir ke pejabat persatuan itu serta mengambil beberapa dokumen bagi membantu siasatan.

    Beliau menyatakan sedia bekerjasama dengan SPRM dan tidak akan menyorokkan apa-apa maklumat.

    “Ya betul, memang mereka (SPRM) ada datang dan mengambil dokumen di pejabat. Ini adalah prosedur biasa dan saya beri kerjasama yang baik dengan mereka.

    “Tak ada apa yang nak disembunyikan, malah tak ada apa yang masuk ‘kocek’ sesiapa mengenai dana tajaan atau isu tanah,” kata Nokman.

    Untuk rekod, bola sepak negara pernah digemparkan dengan skandal rasuah membabitkan pemain dalam Liga Malaysia pada 1994 yang akhirnya memberi kesan buruk kepada imej dan prestasi skuad kebangsaan

  • Polis kesan wanita tipu pelaburan RM1.2 juta

    Polis kesan wanita tipu pelaburan RM1.2 juta

    SEORANG wanita yang disyaki terlibat dalam penipuan pelaburan wang tidak wujud dikenali ‘Savingbywaniey’ atau ‘Free Cash’ membabitkan kerugian mencecah RM1.2 juta, kini diburu polis.

    Ketua Polis Daerah Baling Superintenden Shamsudin Mamat berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling menerima sebanyak 33 laporan polis dari mangsa yang mengalami kerugian selepas terpedaya dengan pelaburan tersebut.

    “Setakat ini, 33 laporan polis telah dibuat membabitkan kerugian berjumlah RM1.2 juta,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Sinar Harian, hari ini.

    Shamsudin berkata, pada 24 Ogos lalu, dua wanita telah ditahan berusia 30 tahun termasuk seorang daripadanya sarat mengandung, bagi membantu siasatan.

    Dalam perkembangan sama, katanya, dalam kejadian awal Jun lalu, seorang pembantu kedai berusia 30 tahun telah tertarik dengan satu iklan dalam laman sosial Facebook menggunakan nama Eypolwaniey yang mengiklankan tentang Savingbywaniey yang didakwa diwujudkan bagi tujuan pelaburan atau simpanan.

    “Mangsa tanpa berfikir panjang bersetuju untuk menyertai pelaburan dengan modal sebanyak RM6,000 yang didakwa dijanjikan akan mendapat pulangan sebanyak RM12,000 dalam tempoh dua bulan iaitu pada 15 Ogos 2022.

    Mangsa katanya, telah membuat transaksi secara dalam talian sebanyak RM6,000 ke akaun yang diberikan suspek.

    “Mangsa turut bersetuju menambah modal pelaburan sebanyak RM4,000 dan RM2,000 dan mendakwa dijanjikan bakal menerima keuntungan sebanyak RM8,000 pada 25 Ogos dan RM5,000 pada 25 Oktober depan,” katanya.

    Mangsa kemudian menambah modal lagi sebanyak RM4,000 pada 9 Ogos dan RM2,000 pada 14 Ogos lalu, ujarnya.

    “Bagaimanapun, pada 15 Ogos lalu, wang keuntungan yang dijanjikan tidak diperolehi selain menyedari suspek telah menghilangkan diri,” katanya.

    Laporan polis dibuat 19 Ogos lalu dan kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    “Polis ingin menasihati orang ramai agar jangan mudah terpedaya dengan sindiket berkenaan dan membuat laporan polis jika menjadi mangsa penipuan.

    “Pastikan sentiasa membuat semakan dengan pihak berkaitan sebelum melakukan sebarang transaksi,” katanya.

  • Pemilik kedai kopi sudah ditemukan

    Pemilik kedai kopi sudah ditemukan

    SEORANG pemilik kedai kopi terkenal di Ipoh yang dilaporkan hilang selepas keluar dari kedainya di Jalan Sultan Iskandar di Ipoh Ahad lepas, ditemukan berhampiran lokasi itu semalam.

    Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata Kamarudin Daud, 58, ditemukan anak angkatnya yang kemudian menghubungi pengadu iaitu menantu lelakinya kira-kira 5 petang.

    Beliau berkata pada hari kejadian, Kamarudin telah berjalan kaki ke tepi Sungai Kinta kerana tiada arah tujuan, mula terfikir untuk mencari ketenangan dengan beribadat dan mendapat idea untuk pergi ke Pulau Pinang.

    “Beliau kemudian pergi ke Pulau Pinang dengan menaiki tren dari stesen Ipoh pada 4.08 petang ke Butterworth lalu ke Georgetown dan menginap di hotel.

    “Pada hari Isnin hingga semalam, beliau menginap di hotel yang sama dan pada siang harinya hanya berada di masjid sekitar kawasan hotel sebelum menaiki feri dari Georgetown ke Butterworth untuk mendapatkan tren bagi perjalanan balik ke Ipoh,” katanya dalam kenyataan di Ipoh hari ini.

    Yahaya berkata sebaik tiba di Ipoh kira-kira 2.30 petang, Kamarudin terus pergi ke Masjid Panglima Kinta untuk mendirikan solat zuhur dan berjalan serta duduk di kerusi hadapan sebuah hotel di Jalan Sultan Iskandar sebelum ditemukan.

    Katanya, hasil temu bual bersama lelaki itu mendapati tiada motif khusus beliau menghilangkan diri dan hanya ingin mencari ketenangan dengan cara bersendirian.

    Kamarudin sebelum ini dilaporkan kali terakhir dilihat ketika keluar dari kedai kopi miliknya kira-kira 9.20 pagi Ahad.

    Menurut laporan polis daripada menantu lelakinya berusia 26 tahun, bapa mentuanya keluar dengan membawa barang peribadi dan sebuah beg dan tidak balik ke kedai serta rumah.

    • Bernama
  • Lelaki langgar kereta, samun wanita diburu polis

    Lelaki langgar kereta, samun wanita diburu polis

    POLIS memburu seorang lelaki selepas didakwa terlibat kejadian langgar dan samun seorang wanita di Lorong Stampin, Kuching, Sarawak hari ini.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, kejadian berlaku apabila suspek melanggar belakang kenderaan dipandu mangsa sebelum melakukan samun.

    Katanya, susulan itu polis membuka tiga kertas siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

    “Hari ini, polis mengesan satu rakaman video tular berdurasi 27 saat yang dimuat naik di media sosial dengan memaparkan seorang wanita diragut,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, gerakan memburu suspek giat dijalankan dan sehingga kini belum ada tangkapan dibuat.

    “Polis mengalu-alukan kerjasama orang awam menyalurkan maklumat berkenaan kejadian itu,” katanya.

    Terdahulu, tular di media sosial seorang lelaki yang juga penunggang motosikal dipercayai merempuh kereta dipandu seorang wanita.

    Suspek dilihat berhenti di hadapan kereta mangsa sebelum menghampirinya konon untuk memeriksa kenderaan dilanggar.

    Bagaimanapun, suspek merampas beg tangan lalu melarikan diri. Mangsa cuba mengejar namun gagal.

  • Pesara kerajaan kerugian RM350,000 diperdaya ‘pegawai bank’

    Pesara kerajaan kerugian RM350,000 diperdaya ‘pegawai bank’

    SEORANG pesara kerajaan kerugian lebih RM350,000 akibat diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai bank.

    Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka, berkata wanita berusia 62 tahun itu dikatakan menerima mesej pesanan ringkas (SMS) pada pukul 9.07 pagi 17 Ogos lalu yang mendakwa mangsa ada membuat pembelian dalam talian.

    Susulan itu, beliau berkata, mangsa menghubungi nombor telefon yang disertakan dalam pesanan SMS berkenaan, sebelum suspek yang menyamar sebagai pegawai bank meminta semua maklumat akaun bank wanita terbabit.

    “Mangsa kemudian kongsikan semua maklumat akaun banknya bersama nombor kod pengesahan transaksi (TAC).

    “Pada 20 Ogos lalu, mangsa menyedari wang dalam akaun bank berjumlah RM352,050 telah dipindahkan ke dalam akaun pihak ketiga, disyaki dilakukan oleh ‘scammer’ tanpa pengetahuan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Berikutan itu, beliau berkata, mangsa yang menyedari tertipu membuat laporan polis, semalam.

    “Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

    Beliau sekali gus menasihati orang ramai supaya mengelak daripada menjawab panggilan telefon dan melayan sebarang bentuk SMS daripada pihak tidak dikenali yang mendakwa dari mana-mana jabatan kerajaan atau organisasi.

    “Sekiranya menerima panggilan sedemikian, sila hubungi balai polis berdekatan untuk pengesahan sebelum membuat apa-apa transaksi pindahan wang.

    “Orang awam juga dinasihatkan sentiasa peka dengan modus operandi terkini ‘scammer’ bagi mengelak kejadian serupa berulang,” katanya.

  • 17 individu termasuk 8 wanita leka berjudi belangkas ditahan

    17 individu termasuk 8 wanita leka berjudi belangkas ditahan

    SERAMAI 17 individu termasuk lapan wanita yang sedang leka bermain judi belangkas ditahan polis dalam serbuan di sebuah premis di Air Itam, Georgetown, Pulau Pinang kelmarin.

    Dalam serbuan menerusi Op Dadu kira-kira pukul 5.30 petang itu, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM30,316 dan pelbagai peralatan yang digunakan untuk bermain judi jenis belangkas.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santung berkata, kesemua suspek yang ditahan termasuk seorang individu yabg dipercayai penganjur perjudian itu berusia antara 34 hingga 77 tahun.

    “Suspek itu dipercayai baru sahaja menjadikan premis tersebut sebagai tempat berjudi.

    “Kesemua suspek direman selama dua hari bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 6 ( 1 ) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah beliau, pemeriksaan juga mendapati seorang wanita warga asing yang turut ditahan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri dan dia turut disiasat menurut Seksyen 6 ( 3 ) Akta Imigresen 1959/63.

  • 500,000 batang rokok seludup dilonggok di tepi sungai dirampas

    500,000 batang rokok seludup dilonggok di tepi sungai dirampas

    SEBANYAK 500,000 batang rokok putih bernilai RM350,000 ditemukan di tebing sungai di Kampung Pasir Pekan Hilir di Tumpat, Kelantan pada pukul 4.15 pagi ini.

    Kejayaan itu hasil operasi dijalankan 10 agensi penguatkuasaan sempadan bagi membanteras aktiviti penyeludupan.

    Ketua Polis Daerah Tumpat Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, pemantauan pasukan menemukan longgokan 50 kotak berisi rokok seludup dan ia dipercayai baru dipunggah berdasarkan keadaan kotak yang masih elok.

    “Kita percaya, lokasi itu adalah lokasi transit sementara menunggu kenderaan tiba untuk mengangkut rokok seludup terbabit sebelum diedar.

    “Tiada tangkapan dibuat dan kita syak, rokok itu untuk pasaran tempatan,” katanya sebagaimana lapor Harian Metro.

    Amran berkata, operasi bersepadu yang dijalankan bermula tengah hari semalam sehingga pukul 12 tengah hari tadi membabitkan 104 pegawai serta anggota 10 agensi penguatkuasaan.

    Ia antaranya membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Daerah Tumpat

    Amran berkata, operasi itu membabitkan penggunaan logistik darat dan air yang dipecahkan kepada pasukan pemeriksaan dan serbuan, sekatan jalan raya, rondaan air serta pasukan khas.

    “Selain rokok putih, kami turut merampas 120 liter petrol dan 840 liter diesel di Pengkalan Kubor, petang semalam.

    “Sebanyak 32 pangkalan sepanjang Sungai Golok turut diperiksa. Sebanyak 48 notis serta satu kompaun dikeluarkan MDT untuk kesalahan pembinaan tidak mengikut spesifikasi di bawah Seksyen 70 (13) (C) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133),” katanya.

  • Lelaki ‘larikan’ 13 tong roro majikan ditahan

    Lelaki ‘larikan’ 13 tong roro majikan ditahan

    SEORANG lelaki sanggup mencuri tong sampah pukal (roro) milik majikannya sebelum menjualnya pada harga serendah RM2,500 setiap satu.

    Namun perbuatan lelaki berusia 29 tahun itu terbongkar apabila dia ditahan polis dalam serbuan di Taman Jasmin, di Kajang, pada 10 Ogos lalu.

    Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pengurus syarikat sewa tong sampah roro itu yang mendakwa 13 tong berkenaan hilang dari simpanan di Balakong.

    Katanya, sebanyak lima tong bersaiz 60 sentimeter dan lapan tong bersaiz 121 sentimeter bernilai RM58,500 dilaporkan dicuri dalam kejadian itu.

    “Susulan itu, kami menahan seorang lelaki yang juga pekerja di premis berkenaan di sekitar daerah ini pada 10 Ogos lalu bagi membantu siasatan.

    “Turut ditahan adalah empat lelaki tempatan yang mengaku membeli tong roro terbabit secara dalam talian menerusi beberapa serbuan berasingan di sekitar daerah ini pada 12 hingga 14 Ogos lalu,” katanya.

    Mohd Zaid berkata, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek adalah pekerja syarikat itu sendiri dan disyaki bertindak mengeluarkan tong roro terbabit dari tempat simpanan.

    “Suspek juga mengaku mengiklankan penjualan tong roro berkenaan menerusi aplikasi mymudah.com sejak Mei hingga Julai lalu dan sudah menjual 13 tong di sekitar Selangor dan Perak.

    “Lelaki terbabit dipercayai menjual tong terbabit dengan pada harga antara RM2,500 hingga RM5,000 bergantung kepada jenis dan saiz,” katanya.

    Katanya, pihak polis masih mengesan beberapa individu yang dipercayai terbabit dengan sindiket berkenaan.

    “Kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.