Category: Jenayah

  • Wanita ditahan rosakkan dinding balai bomba

    Wanita ditahan rosakkan dinding balai bomba

    SEORANG wanita tempatan berusia 53 tahun ditahan reman selama tiga hari sehingga esok selepas disyaki memasuki kawasan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal, George Town, Pulau Pinang serta memecahkan logo agensi tersebut di balai itu semalam.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 12.43 pagi tadi oleh seorang pegawai bomba dari sebuah balai bomba di dalam daerah Timur Laut.

    Jelasnya, laporan itu menyatakan pihak bomba menahan seorang wanita tempatan kerana telah memecahkan logo agensi tersebut di dalam kawasan balai bomba.

    “Suspek tidak mempunyai rekod lampau dan hasil ujian saringan awal polis mendapati dia juga bebas daripada pengambilan sebarang jenis dadah,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Sebelum ini, tular klip video di media sosial yang memaparkan seorang wanita merosakkan bahagian dinding di BBP Bagan Jermal menggunakan penukul.

    Menurut Soffian, suspek yang disyaki mengalami masalah mental itu telah dirujuk dan ditahan di Wad Psikiatrik Jalan Perak untuk rawatan lanjut.

    Jelas beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    “Pihak polis menasihati orang ramai tidak menularkan sebarang gambar dan rakaman video berkenaan kejadian tersebut untuk mengelakkan sebarang spekulasi,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Saadon Mokhtar berkata, wanita tersebut datang ke balai itu pukul 11.45 malam semalam.

    Jelasnya, berdasarkan keterangan pegawai dan anggota bomba yang bertugas di BBP Bagan Jermal, mereka tidak mengenali wanita terbabit dan telah cuba menghalangnya daripada merosakkan sudut ‘wow faktor’ di balai tersebut, namun suspek tidak mengendahkannya.

    “Pegawai bomba yang bertugas terus menghubungi pihak polis sebelum datang dan menahan wanita tersebut untuk siasatan lanjut,” katanya.

  • Mekanik rugi RM200,000 diugut sebar video bogel

    Mekanik rugi RM200,000 diugut sebar video bogel

    SEORANG mekanik kerugian RM200,000 selepas menerima ugutan penyebaran video bogelnya oleh seorang wanita yang dikenali sebagai ‘Yaya’ di Kuala Kangsar semalam.

    Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, mangsa yang berusia 30 tahun mengenali suspek menerusi laman sosial Facebook.

    Beliau berkata, suspek meminta mangsa menerima panggilan video dengan alasan ingin menunjukkan sesuatu ‘istimewa’.

    “Setelah menerima panggilan itu, mangsa melihat suspek berada dalam keadaan bogel dan melakukan aksi ghairah.

    “Mangsa yang terpengaruh turut sama berbogel dan melakukan aksi tidak senonoh bersama suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, mangsa tidak menyedari perbuatannya itu dirakam hinggalah suspek menghantar rakaman itu sebelum menamatkan panggilan.

    “Mangsa diugut supaya memberikan wang dan sekiranya enggan, suspek akan menyebarkan video rakaman itu di media sosial.

    “Mangsa kemudiannya memindahkan wang sebanyak 38 kali secara perbankan atas talian ke lima akaun berbeza,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Mohd. Yusri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

    Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan individu yang baharu dikenali di media sosial dan seterusnya menjadi mangsa jenayah pemerasan.

  • Tuduhan melampau, macam saya bunuh isteri saya-Shuib

    Tuduhan melampau, macam saya bunuh isteri saya-Shuib

    PELAWAK dan penyampai radio Shuib menyifatkan tuduhan mengenai isterinya Allahyarham Siti Sarah yang ditidurkan sebagai salah satu agenda Freemason adalah fitnah melampau sehingga memberi kesan terhadap anak-anak dan keluarganya.

    Shuib atau Shahmira Muhammad, 39, bagaimanapun bertindak memaafkan salah seorang individu yang memfitnah iaitu Zulhairi Othman, 35, yang mencetuskan isu tersebut pada sidang media tergempar di Cheras, hari ini.

    Jelas Shuib, dakwaan yang mengatakan dia memaksa Siti Sarah ‘ditidurkan’ atas arahan dakyah organisasi tertutup Freemason adalah satu tuduhan bersifat dangkal.

    Pelakon dan Pelawak terkenal, Shuib mengadakan sidang media bersama pengguna media sosial, Zulhairi Abu Osman berkenaan isu kematian Allahyarhamah Siti Sarah yang dikaitkan dengan agenda Freemason di Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Saya masih boleh terima bila dituduh ahli Freemason walaupun tuduhan itu tak betul 100 peratus.

    “Bila pemfitnah itu libatkan pula arwah isterinya ‘ditidurkan’ atas arahan pertubuhan itu, ia tuduhan sangat bodoh dan melampau.

    “Tuduhan itu akan mendatangkan kekeliruan kepada orang ramai sedangkan saya yang menghantar arwah ke hospital dan saya jugalah yang menjadi orang terakhir melihat arwah sebelum ditutup dengan pembungkus plastik mayat.

    Pelakon dan Pelawak terkenal, Shuib mengadakan sidang media bersama pengguna media sosial, Zulhairi Abu Osman berkenaan isu kematian Allahyarhamah Siti Sarah yang dikaitkan dengan agenda Freemason di Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Arwah dia dijaga baik oleh doktor dan jururawat. Jadi macam mana pula boleh timbul isu saya bunuh Sarah?,” katanya lapor Utusan TV.

    Sidang media yang berlangsung hampir sejam itu pada awalnya sedikit tegang dan Shuib dilihat agak beremosi namun mampu dikawal selepas melihat Zulhairi yang menunjukkan kekesalan atas khilaf yang dilakukan.

    Pelakon dan Pelawak terkenal, Shuib mengadakan sidang media berkenaan isu kematian Allahyarhamah Siti Sarah yang dikaitkan dengan agenda Freemason di Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Tambah Shuib, beliau membuat keputusan untuk menerima permohonan maaf Zulhairi disebabkan sifat ikhlas pemuda itu.

    “Saya maafkan dia kerana dia berani, ‘gentle’ dan ada usaha untuk mencari saya serta mengaku kesalahan dia.

    “Semalam dia pun mahu mencari saya. Lepas saya hubungi dia, saya nampak dia seorang yang naif.

    “Kalau ikutkan memang saya marah tapi saya ada sifat perikemanusiaan. Saya pun fikir dia ada anak-anak dan isteri serta kerjaya.

    “Saya maafkan dia dan beri peluang untuk dia jelaskan apa tujuan di sebalik hantaran yang dia lakukan itu,” katanya.

  • Sangka budak main mercun, rupanya rumah ditembak

    Sangka budak main mercun, rupanya rumah ditembak

    SEORANG wanita terkejut dan tidak menyangka bunyi kuat yang disangkanya daripada budak bermain mercun rupanya beberapa das tembakan yang dilepaskan ke rumahnya di kediamannya di Bagan Serai, awal pagi tadi.

    “Saya sangkakan budak nakal main mercun tapi takkan pada waktu pagi,” kata pemilik rumah berusia 50-an itu yang enggan dikenali.

    Dalam kejadian 2.50 pagi itu, mangsa baru keluar dari bilik air sebelum terdengar bunyi letupan di pekarangan rumah yang sangkanya ada orang bermain mercun.

    Dia berkata, sebaik melihat keluar tingkap, mendapati seorang lelaki bertopeng dan memegang senjata dipercayai pistol melepaskan tembakan rambang.

    “Saya segera mengejutkan suami yang tidur dan menghubungi polis memaklumkan kejadian,” katanya ditemui pagi tadi, lapor Harian Metro.

    Menurutnya, suaminya juga berusia 50-an adalah pengusaha kerang dan tidak mempunyai sebarang musuh.

    Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pemeriksaan mendapati terdapat kesan tembakan pada kereta, motosikal serta pintu cermin rumah mangsa.

    “Turut ditemukan lima kelongsong peluru kaliber 9mm. Dalam kejadian itu, mangsa tinggal bersama suami dan empat anak,” katanya.

    Beliau berkata, suspek yang menunggang motosikal melepaskan beberapa das tembakan ke arah rumah mangsa dan polis masih menyiasat motif kejadian.

    “Polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Zulhilmi Dahon di nombor talian 0132604403 atau balai polis berhampiran,” katanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

  • Polis cari lelaki lepaskan tembakan di kawasan perumahan

    Polis cari lelaki lepaskan tembakan di kawasan perumahan

    POLIS sedang menjejaki seorang lelaki tidak dikenali, yang dipercayai melepaskan beberapa das tembakan ke arah sebuah rumah di kawasan perumahan Kuala Gula, dekat Kerian, awal pagi ini.

    Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pemilik rumah berkenaan mengenai kejadian tersebut, kira-kira pukul 3 pagi.

    Menurutnya, hasil siasatan di lokasi, mendapati pengadu, seorang peniaga kerang yang berusia 56 tahun, tinggal di rumah itu bersama isteri dan empat anaknya.

    “Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan tembakan pada kereta, motosikal serta pintu cermin rumah mangsa.

    “Mangsa dan keluarga bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan di Kerian, Perak, hari ini, lapor Astro Awani.

    Mohd. Yusri berkata, pemeriksaan yang dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Forensik (D10) Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah mendapati beberapa kesan tembakan dan menjumpai lima kelongsong peluru kaliber 9mm.

    Menurutnya, siasatan juga mendapati suspek adalah seorang lelaki yang menaiki sebuah motosikal, telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah rumah mangsa.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971.

    Beliau berkata, pihak polis masih menjalankan siasatan mendalam mengenai motif kejadian itu dan usaha menjejaki suspek sedang giat dilakukan.

    Justeru itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut supaya menghubungi Pegawai Penyiasat IPD Kerian, Inspektor Mohd Zulhimi Dohan di talian 013-260 4403 atau balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

  • Kes kekecohan di KLIA, 22 saksi diambil keterangan

    Kes kekecohan di KLIA, 22 saksi diambil keterangan

    SERAMAI 22 saksi dirakam keterangan berkaitan satu insiden kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membabitkan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, baru-baru ini.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, daripada 22 saksi tersebut, empat adalah pengadu manakala yang lain adalah 12 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), empat pegawai Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) serta dua pekerja syarikat agensi pelancongan.

    “Setakat ini, sebanyak empat laporan polis yang telah diterima pihak polis Selangor.

    “Kesemua aduan tersebut dibuat oleh orang awam membabitkan kejadian ini,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Katanya, Kertas Enkuiri Polis (KEP) berhubung kejadian tersebut akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada Selasa bagi mendapatkan pandangan perundangan dan keputusan.

    Jelas beliau, berdasarkan KEP, polis mempunyai kuasa untuk memanggil mana-mana pihak untuk diambil keterangan.

    Pada Khamis media melaporkan berita tular dalam media sosial mengenai Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Tiong King Sing yang didakwa menceroboh masuk ke balai ketibaan antarabangsa KLIA bagi membebaskan seorang pelawat China yang ditahan pihak JIM.

    Bagaimanapun King Sing menafikan dakwaan bahawa beliau cuba melepaskan pelawat tersebut.

    Menerusi kenyataan media, beliau mempersoal siapa sebenarnya menyalah guna kuasa dalam kejadian itu, sama ada beliau atau pun pegawai JIM yang bertugas.

    Selain itu, beliau turut mendakwa kehadirannya ke KLIA bertujuan membongkar budaya rasuah dalam kalangan pegawai di pintu masuk negara.

  • Polis nafi anak ahli politik PH ditahan kes dadah di Langkawi

    Polis nafi anak ahli politik PH ditahan kes dadah di Langkawi

    POLIS menafikan terdapat anak seorang ahli politik kanan ditahan dalam serbuan di pusat hiburan di Langkawi, minggu lepas.

    Ketika dihubungi Malaysiakini, Ketua Polis Daerah Langkawi Shariman Ashari mengesahkan terdapat serbuan dibuat.

    Bagaimanapun, katanya, hanya dua individu ditahan.

    “Dalam pemeriksaan tersebut dua orang lelaki tempatan ditahan kerana positif dadah dan dua lelaki tempatan ini tiada hubungan keluarga dengan mana-mana ahli politik di Malaysia.

    “Saringan air kencing ke atas lain-lain pengunjung adalah negatif dan mereka tidak ditahan di lokap,” katanya.

    Beliau tidak mengulas soalan sama ada anak menteri turut terlibat.

    Penjelasan itu dibuat selepas media sosial Edisi Siasat memuat naik dakwaan laporan polis mendakwa anak seorang menteri antara yang ditahan.

    Edisi Siasat mendakwa ia adalah platform pembocor maklumat berkaitan hal ehwal pasukan polis.

    Dakwaan itu antaranya menyebut anak lelaki menteri berumur 34 tahun dan tiga individu lagi berada dalam bilik orang kenamaan (VIP), tempat polis menjumpai ganja dan kokain.

    Malaysiakini telah menghubungi ahli politik Pakatan Harapan (PH) itu dan sedang menunggu maklum balasnya.

  • Polis rampas dadah, ketum RM286 juta

    Polis rampas dadah, ketum RM286 juta

    POLIS merampas pelbagai jenis dadah dan ketum bernilai RM286 juta bagi tempoh enam bulan setakat Jun tahun ini, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Kamarudin Md. Din,

    “Rampasan dibuat membabitkan 10,016 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah dan 1,604 liter pelbagai jenis cecair dadah,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Menurutnya, JSJN juga telah berjaya merampas sebanyak 41,431 kg daun ketum, 27,213 liter air ketum serta 20 batang pokok ganja.

    “Sepanjang tempoh itu juga, JSJN telah menangkap seramai 92,257 orang di bawah pelbagai seksyen kesalahan yang termaktub di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Penagih Dadah 1983.

    “Daripada jumlah tersebut seramai 298 individu ditahan di bawah Seksyen 3(1) ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985,” katanya.

    Sementara itu, Mohd. Kamarudin berkata, polis berjaya menumpaskan 185 sindiket dengan 572 orang diberkas selain membongkar lapan buah makmal dadah dengan enam tangkapan ke atas ahli kimia.

    “Bagi melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di Malaysia, pelbagai aset sindiket dadah yang bernilai RM55.9 juta telah disita manakala sebanyak RM5.3 juta nilai harta telah dilucut hak,” ujar beliau.

    Selain itu katanya, seramai 4,024 penagih dadah tegar yang mempunyai rekod kesalahan dadah berulang bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 telah dituduh di bawah Seksyen 39C ADB 1952.

    Katanya, daripada jumlah tersebut, seramai 2,318 individu telah disabitkan kesalahan bawah seksyen yang sama.

    Tegas beliau, JSJN tidak akan berkompromi dengan mana-mana penjawat awam yang terlibat dengan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah apabila seramai 287 orang penjawat awam telah ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah.

    Jelasnya, empat daripadanya ditahan bawah Seksyen 3(1) ADB LLPK 1985.

    Katanya lagi, sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 38,064 kertas siasatan dibuka dan daripada jumlah tersebut sebanyak 35,058 kertas siasatan berjaya dituduh dengan peratus pertuduhan adalah 92.10 peratus.

    Justeru, JSJN menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah untuk salurkan ke Hotline JSJN di talian 012-208 7222.

  • SPRM kesan ejen minta rasuah RM18,000 di KLIA

    SPRM kesan ejen minta rasuah RM18,000 di KLIA

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan seorang ejen yang meminta rasuah RM18,000 untuk ‘menyelesaikan’ kes seorang pelancong asing tidak memenuhi syarat kemasukan ke negara ini.

    Sumber suruhanjaya itu berkata, pihaknya telah mengenal pasti orang tengah terbabit untuk membantu siasatan dakwaan rasuah membabitkan pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

    “Satu siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengesahkan perkara ini. Setakat ini tiga keterangan saksi termasuk menteri terlibat dan dua orang saksi utama warga China telah diambil.

    “Beberapa orang pegawai imigresen terlibat akan dipanggil untuk diambil keterangan hari ini,” katanya, lapor FMT.

    Jumaat lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing mengakui beliau ialah menteri dikaitkan dengan kejadian kekecohan di balai ketibaan antarabangsa KLIA bagi membantu seorang warga China yang ditahan daripada memasuki Malaysia.

    Beliau mendakwa wujud budaya rasuah membabitkan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa ‘kronik’ di pintu masuk negara.

    Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan siasatan dibuat mengikut seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

    Beliau menggesa semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi dan memberikan masa bagi SPRM melengkapkan siasatan.

  • Tikam bekas isteri hingga maut, lelaki direman tujuh hari

    Tikam bekas isteri hingga maut, lelaki direman tujuh hari

    SEORANG lelaki direman tujuh hari bermula semalam selepas disyaki menikam bekas isterinya Rokiah Ayub, 42, sehingga maut di sebuah rumah di Taman Desa Darul Naim, Pasir Tumboh di Kota Bharu semalam.

    Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata lelaki berusia 51 tahun itu direman untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    “Lelaki tersebut direman hingga Sabtu ini dan hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah,“ katanya ketika dihubungi hari ini.

    Semalam, Bernama melaporkan seorang wanita berusia 42 tahun yang juga ibu tunggal kepada tiga anak berusia antara 14 hingga 24 tahun maut disyaki ditikam bekas suaminya di sebuah rumah sewa di Taman Desa Darul Naim.

    Dalam insiden itu, suspek yang juga bekas suami mangsa turut cedera parah selepas dipercayai menikam dirinya sendiri dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu.