Category: Jenayah

  • SPRM tahan penguat kuasa minta ‘hadiah’ 5 cermin mata

    SPRM tahan penguat kuasa minta ‘hadiah’ 5 cermin mata

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan menahan seorang pembantu penguat kuasa dari sebuah agensi pihak berkuasa tempatan (PBT) di Seremban, petang semalam.

    Suspek dikatakan menerima cermin mata yang berharga lebih RM1,000 itu sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap sebuah premis kerana melanggar peraturan Akta Kerajaan Tempatan 1976, pada Ogos 2020.

    Sumber berkata, suspek yang berusia 49 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan, di Seremban pukul 2.50 petang semalam sebelum direman selama tujuh hari sehingga 31 Ogos depan bagi membantu siasatan.

    “SPRM menahan seorang pembantu penguatkuasa kerana disyaki menerima lima pasang cermin mata bernilai lebih RM1,000 daripada kedai cermin mata di sebuah daerah di Negeri Sembilan supaya premis itu tidak dikenakan tindakan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.

    “Majistret Intan Syafinaz Ros’lin membenarkan perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 31 Ogos terhadap lelaki berusia 49 tahun itu di Mahkamah Majistret Seremban, pagi tadi,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Tambahnya, suspek yang diwakili peguam Mohd. Redzuan Hakiim dipercayai melakukan perbuatan itu sekitar Ogos 2020 ketika berkhidmat di sebuah majlis daerah.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awangkok Ahmad Taufik Putra Awang Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki tersebut berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) ASPRM 2009.

  • Polis KL tumpas sindiket dadah bernilai lebih RM700,000

    Polis KL tumpas sindiket dadah bernilai lebih RM700,000

    POLIS Kuala Lumpur menumpaskan sindiket pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang dengan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM708,900 menerusi Ops Otto.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik berjaya memberkas seorang lelaki warga tempatan dipercayai dalang dalam sindiket tersebut.

    Beliau berkata, suspek berusia 48 tahun ditangkap dalam dua serbuan di Kuala Lumpur pada Isnin dan kelmarin dari pukul 10 malam hingga 12.35 tengah malam.

    Jelasnya, dalam serbuan pertama di Jalan Vista Mutiara, suspek ditahan dengan sejumlah dadah jenis ekstasi dan syabu.

    “Sebanyak 1,000 biji ekstasi bernilai RM18,000 dan 123.87 gram syabu bernilai RM12,300 dirampas dalam serbuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.

    Saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai satu rekod lampau di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

    Mengulas lanjut, serbuan kedua dijalankan berpandukan arahan suspek di Jalan Perkasa 3, Bukit Jalil.

    “Sebanyak 35,700 pil ekstasi bernilai RM642,600 dan 1.04 kg syabu bernilai RM36,000 ditemui,” ujarnya.

    Azmi berkata, sindiket ini telah bergiat aktif sejak empat bulan lalu dengan menjadikan kondominium yang dikawal oleh pengawal keselamatan sebagai tempat penyimpanan dadah bagi mengaburi pihak berkuasa.

    Siasatan mendapati suspek tidak memiliki pekerjaan tetap dan menjadikan kegiatan pengedaran dadah sebagai punca utama pendapatan.

    Katanya, suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Isnin di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Azmi berkata, keseluruhan rampasan dadah ini mampu menampung seramai 39,028 pengguna.

  • Dalang samun pemegang cip lebih RM4 juta diburu polis

    Dalang samun pemegang cip lebih RM4 juta diburu polis

    POLIS sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai dalang utama kes samun sejumlah pemegang cip bernilai lebih RM4 juta di sebuah stor sebuah kilang di Bukit Tengah, di Bukit Mertajam, 5 Julai lalu.

    Lelaki berusia 30-an itu dipercayai memecah masuk stor tersebut bersama sekumpulan lelaki sebelum melarikan 16 kotak mengandungi pemegang cip tersebut menggunakan sebuah lori.

    Kejadian berlaku kira-kira 11 malam dengan mereka dipercayai mengikat dua pengawal keselamatan yang bertugas sebelum memecah masuk stor tersebut.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, susulan kejadian itu, polis menahan tujuh lelaki berusia 24 hingga 60 tahun termasuk dua pengawal keselamatan berkenaan dan seorang pekerja kilang itu dalam beberapa serbuan.

    Beliau berkata, kesemua mereka bagaimanapun sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

    Tan berkata, berdasarkan siasatan, lelaki yang diburu itu dipercayai telah melarikan semua pemegang cip tersebut dan tidak menolak kemungkinan ia dijual untuk pasaran luar negara.

    Katanya kes itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. – Bernama

  • Kastam tumpas penyeludupan RM38.58 juta

    Kastam tumpas penyeludupan RM38.58 juta

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia merampas rokok putih, minuman keras, daging haiwan sejuk beku yang diseludup bernilai RM38.58 juta menerusi beberapa serbuan di tiga negeri, baru-baru ini.

    Penolong Ketua Pengarah Kastam, Zon Tengah, Mohammad Sabri Saad berkata, serbuan itu membabitkan beberapa lokasi di Pelabuhan Klang, Selangor dan Seremban, Negeri Sembilan.

    “Keseluruhan rampasan membabitkan anggaran nilai RM5,002.565.60 serta duti/cukai sebanyak RM33,587,357.90.

    “Bagi kes rokok putih, pasukan JKDM Unit II, Zon Tengah membuat serbuan di Pelabuhan Klang dan Taman Ideal Township, Seremban.

    “Kes pertama pada 14 Julai dan 28 Julai membabitkan empat kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang yang dikesan melalui mesin pengimbas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kontena itu bermuatan rokok putih yang disyaki tidak mempunyai lesen import sah semasa dagangan diimport.

    “Kes kedua pada 8 Ogos, berdasarkan maklumat awam, pasukan menahan lori yang diparkir kerana disyaki memuatkan barang larangan.

    “Pemeriksaan fizikal ke atas lori mendapati, sejumlah rokok putih disyaki barang larangan. Lori dan muatan dibawa balik ke Pejabat Kastam Pelabuhan Utara untuk siasatan lanjut,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Beliau berkata, rokok putih yang dirampas adalah barang larangan di bawah Butiran 1, Jadual Ketiga, Bahagian II, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

    “Kuantiti rampasan sebanyak 42,060,000 batang rokok bernilai RM3,364,800 dan jumlah duti/cukai sebanyak RM28,733,520,” katanya.

    Sementara itu katanya, kuantiti minuman keras yang dirampas sebanyak 113,698.92 liter dengan nilai RM941,265.60 dan jumlah duti/cukai sebanyak RM4,853,837.90.

    “Minuman keras yang ditahan merupakan barang larangan di bawah Butiran 3, Bahagian 1, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017,” katanya.

    Bagi kes daging sejuk beku pula, pasukannya melakukan pemeriksaan ke atas treler yang ditinggalkan di Kawasan Perindustrian PKNS Pandamaran, Pelabuhan Klang.

    “Lori terbabit bermuatan ‘frozen beef lungs’ (daging paru-paru sejuk beku) dan lori itu gagal mengemukakan apa-apa dokumen pengimportan bagi menunjukkan dagangan dibawa masuk secara sah ke Malaysia.

    “Lori dengan muatan organ haiwan sejuk beku ditahan untuk siasatan lanjut, dagangan yang dirampas dianggarkan sebanyak 27,860 kilogram dan bernilai RM696,500.

    “Rampasan adalah barang larangan di bawah Butiran 3, Jadual Ketiga, Bahagian 1, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017,” katanya.

    Mohammad Sabri berkata, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

  • Lelaki tunggang motosikal parah terkena dua das tembakan

    Lelaki tunggang motosikal parah terkena dua das tembakan

    SEORANG lelaki parah akibat terkena sekurang-kurangnya dua das tembakan ketika menunggang motosikal di Kota Damansara, Petaling Jaya, Kuala Lumpur, pukul 8.40 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, pihak polis kemudian bergegas ke lokasi untuk menjalankan siasatan, namun hanya menemui motosikal mangsa yang dipercayai terbabas selepas ditembak suspek.

    “Hasil siasatan mendapati mangsa berusia 40-an berjaya melarikan diri dan meminta bantuan seorang pengawal keselamatan di sebuah kawasan perumahan berhampiran.

    “Mangsa mengalami kecederaan di bahagian dada sebelah kiri serta lengan sebelah kiri dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana mencuba membunuh orang.

    “Polis meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Asisten Superintendan Mohd Maliki Bin Ariffin di talian 013-8308485,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

  • Selangor catat 4,608 kes ‘scammer’

    Selangor catat 4,608 kes ‘scammer’

    PENIPUAN dalam talian atau scammer mencatatkan peningkatan di Selangor apabila sebanyak 4,608 kes direkodkan sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini.

    Statistik itu diperoleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerusi aduan dan laporan mangsa dalam tempoh berkenaan.

    Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni berkata, jumlah itu meliputi sebanyak 1,136 kes yang melibatkan transaksi dalam talian.

    Menurut beliau, menunjukkan kes scammer semakin meningkat berbanding tahun sebelumnya berdasarkan rekod KPDNHEP Selangor

    “Aktiviti penipuan itu kini menjadi ancaman serius kerana mengakibatkan mangsa kehilangan sehingga ratusan ribuan ringgit.

    “Keadaan itu mula berlaku sejak pandemik Covid-19 melanda terutama melibatkan transaksi wang tunai secara dalam talian,” katanya selepas merasmikan Forum Kesedaran Penipuan Dalam Talian dan Pelancaran Aplikasi Whoscall di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

    Terdahulu, media melaporkan Polis Selangor mendedahkan sebanyak 1,354 kes penipuan dengan mencatatkan kerugian RM59.6 juta dalam tempoh enam bulan tahun ini.

    Kata Mohd. Zawawi, orang ramai dinasihatkan terus peka dan berwaspada bagi mengelak menjadi mangsa penipuan itu.

    “Sebagai contoh, kita jangan terlalu obses untuk mempamerkan kemewahan atau harta di media sosial.

    “Ia berikutan perkara seumpama itu akan dipantau scammer untuk dijadikan sebagai sasaran dan mangsa mereka,” ujarnya.

    Dalam pada itu, beliau berkata, kerjasama kerajaan negeri dan Whoscall melibatkan penganjuran seminar atau kempen kesedaran mengenai aktiviti penipuan di negara ini.

    “Whoscall merupakan aplikasi yang diperkenalkan sejak 2018 bagi membantu mengesan panggilan telefon dan dapat mengesan identiti pihak tertentu terutama scammer,” ujarnya sebagaimana dilaporkan Satu Berita.

  • Doktor rugi RM1.3 juta diperdaya Macau Scam

    Doktor rugi RM1.3 juta diperdaya Macau Scam

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG doktor berputih mata apabila mengalami kerugian RM1.3 juta selepas diperdaya sindiket penipuan dalam talian yang menawarkan perkhidmatan menjual kereta potong dari Singapura tetapu sebenarnya tidak wujud.

    Mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 34 itu mula tertarik dengan iklan dalam Facebook pada hujung bulan lalu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mangsa kemudiannya menekan pautan iklan tersebut sebelum berinteraksi dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp untuk mengetahui lebih lanjut tawaran diberikan

    “Mangsa mungkin mahu mulakan bisnes alat ganti kenderaan, jadi dia nak beli kereta skrap dari Singapura. Dia tidak pernah jumpa secara fizikal dengan suspek, mereka berhubung secara dalam talian,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru, hari ini.

    Kamarul Zaman berkata, mangsa melakukan beberapa transaksi memindahkan wang RM1.3 juta tersebut ke akaun disyaki milik suspek bermula 1 hingga 19 Ogos lalu.

    Mangsa katanya, mula menyedari tertipu setelah suspek gagal dihubungi sebelum dia tampil membuat laporan polis pada 20 Ogos lalu.

    Dalam kes berasingan, beliau berkata, seorang mekanik kerugian kira-kira RM240,000 setelah terpedaya sindiket tiket loteri yang menjanjikan pulangan hadiah setengah juta ringgit.

    Mangsa berusia 55 tahun ujar beliau, didatangi seorang lelaki pada bulan Mei lalu menawarkan tiket loteri toto yang sudah menang hadiah RM500,000.

    “Bagi mendapatkan hadiah tersebut, suspek memaklumkan mangsa perlu membayar duit pendahuluan. Mangsa melakukan beberapa transaksi menerusi akaun bank melibatkan wang RM240,000,” katanya.

    Katanya, mangsa menyedari tertipu selepas suspek menyekat talian telefon bimbit dan gagal dihubungi sebelum mangsa membuat laporan polis pada 23 Ogos lalu.

  • Lapan ditahan termasuk empat berstatus Datuk terlibat kes penipuan tanah milik Kejora

    Lapan ditahan termasuk empat berstatus Datuk terlibat kes penipuan tanah milik Kejora

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI tujuh ahli lembaga pengarah (BOD) sebuah koperasi dan seorang pegawai pejabat tanah ditahan kerana dipercayai terlibat kes penipuan pindah milik tanah Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) di Kluang.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, semua suspek yang ditahan dalam Op Pekaka itu merupakan lelaki tempatan berusia 46 hingga 75 tahun termasuk berstatus Datuk.

    “Ada antara mereka yang ditahan adalah Ahli Lembaga Pengarah koperasi tersebut dan seorang pegawai pejabat tanah yang bertanggungjawab ketika transaksi pindah milik dilakukan.

    “Mereka ditahan antara jam 3 petang hingga 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan kepada polis masing-masing di Johor, Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor di Johor Bahru, hari ini.

    Kamarul Zaman berkata, pihak polis mula menjalankan siasatan kes itu selepas menerima satu laporan polis pada Januari lalu daripada seorang penolong pegawai tanah sebuah agensi badan berkanun milik sebuah kementerian yang mendakwa tiga lot tanah berkeluasan lebih 1,699 hektar milik Kejora dipindah milik tanpa kebenaran.

    Katanya, tanah bernilai pasaran lebih RM100 juta di daerah Kluang itu dipindah milik kepada sebuah syarikat persendirian tanpa pengetahuan dan kebenaran agensi berkenaan.

    “Tiga lot tanah yang terbabit dalam kes ini adalah tanah yang dianugerahkan kerajaan negeri kepada Kejora pada 1987 dengan nilai RM1.47 juta,” katanya.

    Tanah itu ujar beliau, kemudian dipajak kepada sebuah koperasi pada 1994 dan koperasi tersebut kini sudah dibubarkan.

    “Kita percaya dalam tempoh pembubaran itu, berlakunya perkara yang menyebabkan tanah dipindah milik kepada individu lain dengan nilai melebihi RM100 juta,” katanya.

    Urusan pindah milik itu katanya, hanya dikesan berlaku pada pertengahan tahun lalu dan semakan mendapati tanah itu kini diusahakan sebagai ladang kelapa sawit.

    Menurut beliau, sepanjang tempoh siasatan dijalankan, seramai 28 saksi terdiri daripada pengarah syarikat, setiausaha, peguam, pelikuidasi, pegawai Pejabat Tanah dan Galian negeri serta pegawai agensi badan berkanun turur dipanggil memberi keterangan.

    Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Bagaimanapun, Kamarul Zaman berkata, semua suspek diberikan jaminan polis selama sebulan sementara pihaknya menyiapkan kertas siasatan dan kemudian menunggu arahan selanjutnya dari pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

  • Remaja 14 tahun culik bayi perempuan kerana comel

    Remaja 14 tahun culik bayi perempuan kerana comel

    CULIK bayi perempuan kerana comel selain mendakwa bayi itu ialah anaknya dengan teman lelaki.

    Itu alasan diberikan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang bertindak melarikan bayi berkenaan dari rumah pengasuhnya dalam kejadian di Bukit Tengah, Pulau Pinang pukul 5.30 petang kelmarin.

    Ekoran itu polis yang melancarkan gerakan mencari dan menyelamat berjaya menjumpai semula bayi berkenaan dan memberkas lima suspek dalam beberapa serbuan di Pulau Pinang dan Kulim, Kedah.

    Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San, suspek utama iaitu remaja perempuan berusia 14 tahun ditahan di sebuah pondok di Machang Bubok kira-kira pukul 11.50 malam pada hari kejadian.

    Katanya, turut ditahan ialah teman lelaki remaja berkenaan berusia 18 tahun dan ibu serta bapa tiri lelaki berkenaan berusia 30 dan 43 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Kulim, Kedah serta seorang lagi lelaki yang merupakan rakan kepada remaja berkenaan.

    “Siasatan awal polis mendapati suspek menculik bayi perempuan itu kerana tertarik dengan kecomelannya.

    “Selain itu, dia juga mendakwa bayi berkenaan ialah anaknya dengan teman lelaki sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah (IPD) Seberang Perai Tengah hari ini.

    Dalam kejadian yang turut viral di media sosial itu, remaja perempuan terbabit yang tidak bersekolah dikatakan telah melarikan bayi berkenaan daripada jagaan neneknya yang juga pengasuh kepada bayi tersebut di sebuah pangsapuri di Bukit Tengah.

    Kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan suspek terbabit mendukung mangsa dengan berjalan kaki sebelum menunggang sebuah motosikal tanpa memakai topi keledar.

    Sehubungan itu, pengasuh bayi berkenaan yang juga neneknya memaklumkan kepada ibu mangsa yang berusia 24 tahun sebelum satu laporan polis dibuat oleh bapa bayi berkenaan.

    Dalam pada itu, Cheng San berkata, kesemua suspek kini direman selama empat hari bermula semalam di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan.

    Jelasnya, kesemua suspek juga tidak memiliki rekod jenayah lampau selain tidak berada dalam pengaruh dadah ketika ditahan.

    “Kita juga masih menyiasat sama ada terdapat motif lain penculikan tersebut termasuk untuk dijual kepada sindiket atau tidak.

    “Sehubungan itu, kita menggesa orang ramai tidak terus menularkan kejadian ini kerana siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

  • Pek jus minuman mengandungi syabu, ketamin terbongkar

    Pek jus minuman mengandungi syabu, ketamin terbongkar

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEGIATAN satu sindiket dadah berselindung di sebalik pek jus minuman untuk mengaburi pihak berkuasa terbongkar selepas polis melakukan dua serbuan sekitar Bandaraya Johor Bahru, semalam.

    Serbuan pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor itu dilakukan pada pukul 2.30 hingga 5 pagi.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, menerusi serbuan itu seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun ditahan.
    Hasil saringan air kencing mendapati suspek negatif daripada sebarang jenis dadah. Hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

    “Modus operandi kegiatan pengedaran dadah ini adalah dengan menyewa apartment mewah yang berpagar dan mempunyai pengawal keselamatan untuk dijadikan tempat penyimpanan dadah,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Katanya, pek-pek mengandungi dadah jenis syabu dan ketamin itu kemudian akan dijual di pusat-pusat hiburan di sekitar bandar raya ini.

    Beliau berkata, siasatan mendapati kegiatan sudah dilalukan sejak Mei lalu dan pihaknya sedang mengesan sekiranya terdapat dalang atau individu lain terlibat.

    Menurut Kamarul Zaman, menerusi tangkapan itu pihaknya merampas 3.91 kilogram (kg) serbuk ekstasi bernilai RM195,900; 153 gram (g) syabu (15,300); 276g ketamin (RM41,400); 759 biji pil Eramin 5 seberat 159g (RM11,925) dan 123 biji pil ektasi seberat 37g (RM1,850).

    Beliau memberitahu, dadah yang dirampas itu boleh digunakan seramai 22,653 penagih sekiranya berada dalam pasaran sementara keseluruhan rampasan bernilai RM266,375.

    Pihaknya turut melakukan sitaan terhadap dua kereta bernilai RM111,000, wang tunai RM4,100 dan satu loket emas dengan sitaan RM1,200 manakala keseluruhan nilai sitaan berjumlah RM116,300.

    “Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 30 Ogos untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup.

    Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, sejak Januari hingga 24 Ogos lalu, pihak JSJN berjaya membuat tangkapan seramai 9,366 individu atas kesalahan dadah.

    “Dalam tempoh yang sama JSJN berjaya membuat rampasan dadah sebanyak 2.59 tan. Keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM16.62 juta. Turut disita adalah harta bernai RM6.82 juta,” katanya.

    Pihak JSJN katanya, akan meneruskan usaha memerangi penyalahgunaan dadah secara berterusan di negeri ini.