Category: Jenayah

  • Samun stesen minyak guna penyembur pemedih mata, pen

    Samun stesen minyak guna penyembur pemedih mata, pen

    POLIS memberkas seorang lelaki disyaki terlibat dalam kes samun di sebuah stesen minyak di Pandan Jaya, di Ampang pukul 2 petang semalam.

    Dalam kejadian tersebut seorang juruwang di stesen minyak tersebut didatangi seorang lelaki yang memakai topi serta pelitup muka.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek meluru masuk ke arah kaunter sebelum menyembur pemedih mata ke arah mangsa dan mengambil beberapa kotak rokok.

    “Suspek juga mengarahkan mangsa membuka peti wang kaunter sambil mengacukan sebatang pen ke arahnya.

    “Mangsa yang ketakutan kemudian menurut arahan suspek lalu mengambil wang tunai kira-kira RM600 sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Mohamad Farouk berkata, menurut mangsa, suspek pernah datang untuk meminta pekerjaan di stesen minyak terbabit sebelum ini.

    “Susulan itu, kami menahan suspek berusia 27 tahun di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pukul 10.30 malam tadi

    “Berdasarkan pandu arah suspek, kami membuat serbuan di sebuah kediaman di Taman Bakti di Ampang dan merampas pakaian serta penyembur pemedih mata digunakan suspek dalam kejadian itu,” katanya.

    Beliau berkata, siasatan dilakukan mendapati dua hari sebelum kejadian, suspek pergi memohon kerja di stesen minyak yang disamun berkenaan.

    “Semakan mendapati suspek mempunyai sembilan rekod jenayah dan dadah termasuk dua kes samun berkawan dengan senjata.

    “Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap suspek didapati positif dadah jenis ganja,” katanya.

    Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan atas kesalahan rompakan.

  • Kepala air: Lelaki lemas selepas tergelincir dalam sungai

    Kepala air: Lelaki lemas selepas tergelincir dalam sungai

    SEORANG lelaki ditemukan lemas hari ini, selepas dikatakan tergelincir dan dihanyutkan kepala air di Burmese Pool Bukit Larut, dekat Taiping, semalam.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab. Hamid berkata, mayat S. Jeremy Anthony, 28, ditemukan pukul 10.10 pagi ini di kawasan Sungai Bukit Teguh, kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.

    “Mangsa yang beralamat di Bagan Ajam, Butterworth, Pulau Pinang ditemukan dalam air dengan keadaan tertiarap serta muka terlungkup di dalam air dan hanya berseluar pendek.

    “Pemeriksaan fizikal ke atas tubuh badan si mati dapati terdapat kecederaan di hidung dan tiada tanda unsur-unsur jenayah ditemui,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, sebelum kejadian, mangsa bersama empat lagi rakannya, termasuk seorang wanita datang ke Burmese Pool pukul 4.50 petang semalam, untuk beriadah.

    Bagaimanapun, katanya, cuaca bertukar hujan dan kesemua mereka telah bersiap sedia untuk meninggalkan lokasi kejadian.

    Mangsa dikatakan menyeberangi sungai untuk mengambil beg galasnya yang diletakkan di seberang sungai.

    “Ketika mangsa hendak berpatah balik ke seberang sungai untuk bergerak balik, mangsa telah tergelincir ke dalam sungai dan waktu yang sama berlaku kejadian kepala air yang deras dari arah hulu sungai dan mangsa telah dibawa arus yang laju,” ujarnya.

    Razlam berkata, usaha mencari dan menyelamatkan diberhentikan buat sementara pada pukul 8 malam tadi kerana keadaan hujan lebat dan arus sungai laju.

    Beliau menambah, operasi telah disambung semula jam 8.05 pagi ini sehingga mayat mangsa ditemui.

    “Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Taiping untuk bedah siasat,” katanya memetik laporan Astro Awani.

  • Polis serbu makmal dadah dalam hutan

    Polis serbu makmal dadah dalam hutan

    POLIS melakukan serbuan di sebuan makmal memproses dadah disyaki methamphetamine dalam hutan berhampiran Chenderiang, Tapah, Jumaat lalu.

    Serbuan itu dilakukan pukul 9.45 pagi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, lima lelaki termasuk dua beradik berusia berusia antara 29 hingga 33 tahun berjaya ditahan.

    “Hasil serbuan, polis merampas sejumlah dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 110.453 kilogram (kg) bernilai lebih RM6.62 juta.

    “Ujian saringan air kencing ke atas kelima-lima suspek mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine.

    “Semakan rekod mendapati empat suspek yang juga penganggur itu memiliki rekod lampau bersabit kes jenayah termasuk pecah rumah secara berkumpulan,” katanya pada sidang akhbar di IPK Perak di Ipoh, hari ini.

    Beliau berkata, kumpulan terbabit dikesan aktif memproses dan mengedar dadah sejak Jun lalu untuk pasaran luar Perak.

    “Kita turut menyita sebuah kereta Honda City dan Mitsubishi Triton bersama empat utas rantai, sebentuk loket, dua cincin dan sepasang subang dianggarkan keseluruhan nilai harta yang disita RM161,375,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Katanya, kelima-lima suspek direman selama seminggu mulai Sabtu hingga 2 September depan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Akta Dadah Berbahaya 1952 jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mandatori iaitu gantung sampai mati,” katanya.

  • Laporan polis terhadap Ahmad Zahid, Abd Latiff

    Laporan polis terhadap Ahmad Zahid, Abd Latiff

    PARTI Amanah Negara (Amanah) membuat laporan polis, berhubung kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap semasa Taklimat Khas UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

    Memetik laporan Harian Metro, Pengarah Biro Mobilisasi Amanah, Mohd Sany Hamzan berkata, klip video dan teks ucapan Zahid di majlis itu tersebar luas di media sosial.

    “Dalam ucapan itu, Zahid secara terbuka dengan niat yang jelas mencaci, menghina dan memfitnah Badan Kehakiman Negara, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Yang di-Pertuan Agong berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Datuk Seri Najib Razak, minggu lalu.

    “Susulan itu, kami membuat laporan polis supaya siasatan dilakukan termasuk terhadap beberapa individu lain yang turut berucap dalam majlis sama selain menyiasat pihak yang memuat naik ucapan berkenaan serta pihak menganjurkan majlis berkenaan,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat laporan polis berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, pada pukul 11 pagi hari ini.

    Dalam perkembangan berasingan, Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Akmal Nasir turut membuat laporan polis di IPD Dang Wangi, hari ini, terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkaitan isu perolehan kapal tempur pesisir (LCS).

    Akmal berkata, laporan polis yang dibuat itu bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan di bawah Kanun Keseksaan sekiranya berlaku sebarang unsur salah guna kuasa, pecah amanah atau rasuah dalam skandal berkenaan.

    “Pendedahan sudah dibuat oleh Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli serta laporan juru audit dalaman menamakan Latiff yang disyaki terbabit dalam skandal LCS.

    “Namun, penafian Menteri berkenaan sehinggalah saat ini hanya melalui kenyataan di Facebook (FB) tanpa mengemukakan apa-apa bukti yang kukuh,” katanya ketika ditemui di hadapan IPD Dang Wangi, hari ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi memaklumkan pihaknya menerima laporan polis bagi kedua-dua isu berkenaan.

    “Bagi laporan dibuat Amanah, kes dirujuk kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    “Satu lagi laporan diterima berkaitan Laporan Audit LCS pula dirujuk ke Balai Polis Damansara untuk siasatan lanjut,” katanya.

  • Lelaki warga Myanmar diberkas curi kereta

    Lelaki warga Myanmar diberkas curi kereta

    SEORANG lelaki warga Myanmar ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes curi kenderaan di Pandan Perdana, pukul 9 pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, sebelum itu mangsa mendapati kereta jenis Proton Iswara yang di parkir di tepi jalan telah hilang.

    “Susulan laporan dibuat, kita berjaya memberkas suspek berusia 24 tahun itu di Taman Seri Taming, Kajang pada pukul 1.30 pagi tadi.

    “Kita turut menjumpai kereta yang dilaporkan hilang dan beberapa kunci kenderaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohamad Farouk berkata, modus operandi suspek adalah mensasarkan kereta model lama di parkir di kawasan sunyi.

    “Suspek memiliki empat rekod lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik. Ujian air kencing ke atas suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.

    “Suspek akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

  • Polis rampas syabu bernilai RM10.89 juta

    Polis rampas syabu bernilai RM10.89 juta

    DUA pengedar dadah ditahan dan syabu dianggarkan bernilai RM10.89 juta dirampas selepas ditemui dalam sebuah pacuan empat roda menerusi satu serbuan di sebuah premis di Kampung Baru Ampang, Ampang, 20 Jun lalu.

    Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, seorang suspek memandu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux tersebut manakala rakannya bertindak sebagai tonto.

    “Sekitar pukul 5.20 petang, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya menangkap seorang lelaki tempatan berumur 23 tahun di sebuah premis di sekitar Kampung Baru Ampang dan merampas 349 bungkusan kuning mengandungi bahan disyaki methamphetamin seberat 363 kilogram (kg).

    “Lanjutan daripada tangkapan tersebut polis berjaya menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia 51 tahun di lokasi berhampiran dipercayai berperanan sebagai pemerhati,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Kuala Lumpur, hari ini.

    Arjunaidi berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif mengedar dadah yang diperoleh dari negara jiran untuk pasaran di sekitar Lembah Klang dan kawasan sekitar sejak dua bulan lalu.

    “Kita jalankan risikan dalam satu bulan dan dipercayai dadah ini dari negara jiran dan ketika serbuan suspek dalam proses untuk agih,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Beliau berkata, pihak polis dalam proses mengesan dalang sindiket dan aset-aset milik kumpulan terbabit untuk tindakan sitaan.

    Setakat ini katanya, polis masih di peringkat awal proses sitaan aset dan telah merampas lebih RM100,000 serta akan terus mengesan harta-harta yang mereka miliki.

    “Polis telah menyita sebuah kereta Hyundai Sonata dan Proton Exora serta wang tunai berjumlah RM1,373,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau berkata, semakan rekod lampau mendapati suspek kedua mempunyai tiga rekod jenayah lampau manakala ujian urin mendapati kedua-duanya negatif dadah.

    Katanya, kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula 21 hingga 27 Ogos lalu dan telah disambung selama enam hari bermula Ahad hingga 2 September.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 jika sabit kesalahan akan dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebaran tidak kurang daripada 15 kali,” ujarnya.

  • 19 PATI termasuk tiga tekong darat diberkas

    19 PATI termasuk tiga tekong darat diberkas

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CUBAAN 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan tiga tekong diberkas dalam Op Pintas selepas melakukan serbuan di kawasan semak Jalan Pengerang, Kota Tinggi, tengah malam kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora berkata, semua tekong darat dan migran itu diberkas selepas pihak polis menahan sebuah kereta dipandu seorang lelaki warga asing.

    Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Polis Pengerang menahan sebuah kereta Honda CR-V di tepi jalan itu yang dipandu seorang lelaki warga asing pukul 12.30 tengah malam.

    “Hasil soal siasat awal, pemandu tersebut menunjukkan sekumpulan 16 lelaki warga asing berumur lingkungan 21 hingga 46 tahun di kawasan berdekatan disyaki cuba keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Susulan itu pada pukul 6 pagi semalam, pihak polis menahan sebuah kereta Proton Waja dipandu lelaki warga asing berumur 30-an yang disyaki terlibat dalam menguruskan perjalanan semua PATI tersebut.

    Ujarnya, pihak polis kemudian dibawa ke sebuah rumah penampungan di kawasan Kulai dan menahan seorang wanita warga tempatan disyaki menjadi penjaga rumah itu yang menyediakan tempat sebagai transit kepada kesemua migran berkenaan.

    Hussin berkata, semua tekong darat dan migran itu ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

    Jelasnya, Seksyen 26A itu jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara hingga 15 tahun dan denda atau kedua-duanya.

    Seksyen 6 (1) (c) itu pula katanya, jika sabit kesalahan boleh dipenjara tiga bulan hingga dua tahun dan tiga kali sebatan manakala Seksyen 186 itu pula boleh dipenjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

    “Polis Kota Tinggi memberi amaran keras dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran ini,” katanya.

  • Data 46 juta nombor telefon bocor: Komputer riba jadi tumpuan siasatan

    Data 46 juta nombor telefon bocor: Komputer riba jadi tumpuan siasatan

    POLIS sedang menyiasat bukti baharu dikaitkan dengan kebocoran data kira-kira lima tahun lalu yang dilapor membabitkan 46 juta nombor telefon bimbit rakyat Malaysia.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, bukti baharu itu dipercayai berkisar tentang penggunaan sebuah komputer riba sangat selamat dari premis Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengakses pelayan yang mengandungi data semua pelanggan telefon bimbit di negara ini.

    FMT difahamkan penemuan pasukan forensik digital yang memeriksa komputer itu buat julung kali bercanggah dengan kenyataan saksi berhubung penggunaan komputer terbabit.

    Difahamkan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial sudah meminta dokumen berkaitan diserahkan untuk semakan.

    Timbalan pendakwa raya dipercayai bersetuju satu kertas siasatan dibuka, dengan lebih ramai individu mungkin dipanggil untuk disoal siasat.

    Siasatan baharu itu menyusul laporan polis yang dibuat berhubung aduan sumpah bohong oleh seorang saksi, kemungkinan penyalahgunaan rangkaian komputer, potensi kecurian data membabitkan lebih 46 juta nombor telefon bimbit dan cubaan menutup tindakan jenayah.

    Bukti baharu itu dipercayai timbul ketika prosiding timbang tara yang dikemukakan kontraktor SKMM, Nuemera (M) Sdn Bhd dan suruhanjaya itu.

    Kontrak syarikat itu ditamatkan selepas kebocoran data yang membawa kepada syak wasangka berhubung sistem sekatan perkhidmatan selular awam yang dibina dan dikendalikan Neumera untuk SKMM. Sistem ini mengandungi pangkalan data pusat semua pelanggan telefon bimbit di negara ini.

    SKMM berkata, kontrak itu ditamatkan kerana melanggar perkhidmatan. Tetapi, Neumera berkata, selepas siasatan selama enam bulan pada 2018, polis tidak menemui bukti syarikat atau kakitangan itu terbabit dalam kebocoran atau penjualan data di internet.

    Syarikat itu mengambil tindakan timbang tara, menuntut ganti rugi daripada SKMM kerana penamatan salah kontraknya dan relif lain.

    Dalam prosiding itu, penggunaan komputer riba yang selamat dipersoalkan buat julung kali, menurut sumber yang rapat dengan siasatan berkenaan.

    Ia tidak diserahkan kepada polis ketika siasatan awal dan Neumera meminta panel timbang tara memerintahkan ia diperiksa secara profesional.

    Hasil penemuan pakar forensik digital yang memeriksa komputer itu bercanggah dengan kenyataan saksi yang mengatakan ia disimpan dengan selamat, tidak diakses oleh saksi atau sesiapa pun di SKMM dan ia tidak pernah keluar dari premis suruhanjaya itu.

    Ketika dihubungi FMT, wakil Nuemera enggan mengulas mengenai kes itu.

  • Bukit Aman panggil Presiden PAS berkait ‘ucapan kebencian’

    Bukit Aman panggil Presiden PAS berkait ‘ucapan kebencian’

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang ke Bukit Aman bagi membantu siasatan berhubung kenyataan yang dibuatnya, majoriti perosak politik dan ekonomi adalah golongan bukan Islam dan Bumiputera.

    Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Asisten Komisioner A Skandaguru dalam satu kenyataan mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap Ahli Parlimen Marang berhubung laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris mengenai perkara itu.

    Menurut beliau, pihaknya telah menerima sebanyak 28 laporan polis ke atas Abdul Hadi berhubung isu tersebut.

    Katanya, siasatan dijalankan oleh unit siasatan jenayah terkelas, bahagian pendakwaan/undang-undang Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

    “Kes disiasat di bawah seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum.

    “Selain itu, siasatan dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya malam ini.

    Mengulas lanjut, Skandaguru berkata, Abdul Hadi akan dipanggil ke Bukit Aman bagi membantu siasatan berhubung kenyataan yang dibuat.

    Katanya, siasatan masih dijalankan dan PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi dan kenyataan yang boleh mengganggu siasatan.

    “PDRM juga menyeru orang ramai agar cakna dan prihatin terhadap isu-isu yang boleh menggugat keharmonian dalam kalangan masyarakat.

    “Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak dalam apa jua cara sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya.

  • Suspek tumbuk, tekup muka wanita hingga pengsan sebelum samun

    Suspek tumbuk, tekup muka wanita hingga pengsan sebelum samun

    SEORANG lelaki yang bertindak ganas menyerang seorang wanita dengan menekup muka dan menariknya sebelum melakukan samun di hadapan lif disebuah pangsapuri di Jalan Metro Perdana Kepong, Kuala Lumpur, semalam, sudah diberkas polis.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam kejadian pada jam 12.45 tengah malam, suspek, 35, menunggu di hadapan pintu lif, sebelum bertindak menekup muka dan menarik mangsa sehingga ke tepi tangga.

    “Suspek telah menumbuk muka mangsa berusia 28 tahun itu sehingga menyebabkan pendarahan di hidung dan bengkak di muka.

    “Suspek kemudian bertindak menekup mulut mangsa sehingga pengsan dan telah membawa lari wang tunai sebanyak RM150.

    “Selepas kejadian itu, mangsa telah mendapatkan rawatan di wad Hospital Kuala Lumpur. Pemeriksaan pegawai perubatan mengesahkan mangsa mengalami kesan bengkak di muka dan pendarahan dalam kedua-dua belah mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Eng Lai berkata, sepasukan anggota polis berjaya memberkas suspek terbabit pada pukul 4 petang pada hari sama.

    “Suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencingnya mendapati negatif,” jelasnya.

    Katanya, suspek direman lima hari bermula Ahad hingga Khamis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

    “Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh menyalurkannya dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482222,” katanya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.