Category: Jenayah

  • Rafizi selesai beri keterangan, telefon bimbit dirampas

    Rafizi selesai beri keterangan, telefon bimbit dirampas

    TIMBALAN Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada jam 4.45 petang tadi.

    Kehadiran beliau adalah bagi memberi keterangan berhubung dakwaannya mengenai projek kapal tempur pesisir (LCS) membabitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad.

    “Telefon bimbit saya dirampas pihak polis bagi membantu siasatan dan menurutnya, ini merupakan telefon bimbit saya yang kelima dirampas polis sejak tahun 2009.

    “Polis merampas telefon untuk siasatan, itu proses biasa. Selalunya kalau ada kes bersabit dengan akta MCMC, selaunya polis akan ambil telefon sebagai bahan bukti,” katanya ketika ditemui selepas selesai memberi keterangan.

    Terdahulu, Rafizi berharap proses dilaluinya adalah permulaan kepada siasatan mendalam terhadap isu dibangkitkan beliau.
    Jelasnya, isu siapakah Zainab Mohd Salleh yang hangat dibincangkan akan terbongkar sendiri selepas siasatan daripada pihak berkuasa.

    “Saya berharap proses ini adalah permulaan kepada siasatan mendalam oleh semua pihak berkuasa bukan saja polis tapi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana kita telah melalui proses ini semasa 1MDB, SRC dan lain-lain.

    “Apabila ia mula-mula dikeluarkan, memanglah semua orang menafikan tapi apabila pihak berkuasa, pihak polis, SPRM mula menyiasat, dengan bidang kuasa yang ada, mereka kemudian boleh menjejaki akaun dan sebagainya.

    “Akhirnya, soal siapa Zainab itu akan terjawab sendiri,” ujarnya memetik laporan Astro Awani.

    Dalam pada itu, Rafizi berkata pihaknya memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis yang mengambil masa satu jam setengah merakam keterangan beliau.

    Menurut peguamnya, Hadi Zulkarnain Zulkafli, Rafizi disiasat di bawah dua akta iaitu Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 iaitu menyebarkan kenyataan jelik.

  • Dakwaan dera amah Indonesia, kerajaan jamin berlaku adil, kata Hamzah

    Dakwaan dera amah Indonesia, kerajaan jamin berlaku adil, kata Hamzah

    MENTERI Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin memberi jaminan kerajaan akan berlaku seadilnya dalam kes membabitkan seorang pembantu rumah (amah) Indonesia yang mendakwa didera oleh majikannya Selasa lalu.

    “Sesiapapun yang terlibat dengan kesalahan termasuk kes penderaan terhadap pembantu rumah akan diambil tindakan tanpa kompromi.

    “Ya betul, siapa saja yang melakukan kesalahan kita akan ambil tindakan. Ini adalah satu perkara yang telahpun kita buktikan.

    “Sesiapa sahaja akan kita ambil tindakan. Begitu juga mereka yang menjadi pembantu rumah, kedua-dua juga bertanggungjawab antara majikan dan mereka sendiri kerana supaya semua ini berlaku adil kepada semua pihak,” katanya selepas hadir merasmikan Program Belia Prihatin Negara di Serdang hari ini.

    Menurutnya lagi kedua-dua pihak iaitu majikan dan juga pembantu rumah juga telah menandatangani perjanjian bagi menjamin hak masing-masing.

    Justeru katanya, kerajaan akan sentiasa memastikan keadilan itu dinikmati oleh kedua-dua pihak, lapor Astro Awani.

    Semalam Astro Awani mendedahkan secara eksklusif satu kes yang membabitkan seorang amah wanita berusia 46 tahun yang bukan sahaja ‘dikurung’ dan dipantau ketat, malah ditampar dan dicederakan menggunakan kayu di muka sehingga mengakibatkan lebam.

    Dia juga mendakwa bekerja secara ‘percuma’, tanpa dibayar.

    Mangsa turut mendakwa disimbah air panas sehingga melecur teruk di belakang badannya selain berat badannya menyusut sehingga 30 kilogram akibat kekurangan zat.

    Kes tersebut mendapat perhatian Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono semalam yang mahukan tindakan tegas diambil dan mengenakan hukuman mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migrain (ATIPSOM) 2007.

  • Lima PATI dicekup ketika cuba keluar dari Malaysia

    Lima PATI dicekup ketika cuba keluar dari Malaysia

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    LIMA pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia diberkas dalam satu serbuan di kawasan pinggir hutan di Jalan Teluk Ramunia, Kota Tinggi, hari ini.

    Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan memberitahu, kesemua PATI itu terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 25 hingga 43 tahun.

    “Pada jam 7.45 pagi, tim Quick Reaction Force (QRF) telah mengesan pendaratan PATI tersebut yang sedang bersembunyi di pinggir hutan.

    “Tim QRF berjaya menahan dua PATI yang tidak memiliki dokumen yang sah. Semasa penggeledahan, tim QRF menahan tiga lagi individu di lokasi berhampiran.

    “Tim QRF mendapati ketiga-tiga individu tersebut merupakan warganegara Indonesia yang ingin kembali pulang ke Indonesia tanpa memiliki dokumen yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Ujian Covid-19 dilakukan ke atas semua PATI di Klinik Kesihatan Sungai Rengit, Batu Pahat pada pukul 11.30 pagi dan hasil ujian saringan mendapati kesemua PATI berkenaan negatif

    Menurut beliau, ujian Covid-19 dilakukan ke atas mereka di Klinik Kesihatan Sungai Rengit, Batu Pahat pada jam 11.30 pagi dan hasil ujian saringan mendapati kesemua PATI berkenaan negatif.

    Katanya, laporan kemudian dibuat di Balai Polis Bayu Damai dekat sini sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia di Setia Tropika, Kempas, Johor Bahru pada jam 2 petang.

    Nilai keseluruhan rampasan katanya, dianggarkan berjumlah RM9,380 selain melibatkan mata wang Indonesia, Singapura dan China.

    Pihaknya turut merampas tiga utas jam tangan termasuk tujuh buah telefon bimbit daripada pelbagai jenama.

    “Pasukan meneruskan atur gerak pasukan QRF dan pasukan Dron ATM serta dibantu pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan,” ujarnya.

  • Majikan ditahan dera amah warga Indonesia

    Majikan ditahan dera amah warga Indonesia

    SEORANG wanita tempatan ditahan bagi kerana terlibat dera pembantu rumah warga Indonesia di sebuah rumah di Batu Caves, Gombak, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, suspek, 35, yang juga majikan wanita itu ditahan selepas pihaknya menerima laporan mangsa, 46, yang mendakwa didera majikannya iaitu pasangan suami isteri sejak bekerja pada Oktober 2019.

    “Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak kira-kira pukul 5 petang, pada 31 Ogos lalu selepas berjaya melarikan diri dari rumah majikannya itu.

    “Mangsa sedang menerima rawatan di Hospital Selayang untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, suspek direman lima hari bermula kelmarin sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Atipsom 2007).

    Tambahnya, polis akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi memastikan siasatan lengkap dari pelbagai sudut bagi tujuan pendakwaan terhadap suspek.

    Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Asisten Superintendan Mohd Reezal Mohammad@Mohd Zain di talian 03-61262222 atau 013-3479809.

    Terdahulu, media melaporkan seorang wanita warga Indonesia berhijrah ke Malaysia untuk mencari rezeki demi mengubah nasib keluarga di kampung, namun diperlakukan dengan kejam dan dipercayai akibat didera majikan sejak tiga tahun lalu.

    Wanita itu bukan saja ‘dikurung’ dan dipantau ketat, malah ditampar dan dicederakan menggunakan kayu di muka sehingga mengakibatkan lebam selain bekerja secara ‘percuma’ tanpa bayaran.

    Mangsa turut didakwa disimbah air panas sehingga melecur di belakang badannya mengakibatkan berat badannya menyusut sehingga 30 kilogram (kg) akibat kekurangan zat.

    Susulan itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan dilaporkan berkata, beliau sudah mengarahkan JTKSM untuk menyiasat perkara itu.

    Beliau dilaporkan berkata, hasil siasatan dilakukan mendapati mangsa tidak dibayar gaji oleh majikannya sejak mula bekerja dari 2019 dengan nilai tunggakan hampir RM32,000.

    Justeru, katanya, kementerian tidak akan melindungi identiti mana-mana majikan yang didapati bertindak di luar batas kemanusiaan meskipun masih di dalam peringkat siasatan.

  • Dua lelaki didenda RM5,000 selepas provokasi pegawai imigresen

    Dua lelaki didenda RM5,000 selepas provokasi pegawai imigresen

    DUA lelaki tempatan didenda RM5,000 setiap seorang selepas didapati bersalah melakukan provokasi terhadap pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selasa lalu, kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

    “Tertuduh, Mior Abdul Maheer Mior Muhammad, 32, dan Jason Soo Kai Soon, 26, mengaku salah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Emelia Keswati Mohamad di Mahkamah Sesyen Jenayah 12 Kuala Lumpur.

    “Dua individu itu telah dihukum denda RM5,000 setiap seorang kerana melakukan provokasi dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pegawai imigresen yang sedang menjalankan tugas semasa operasi di Pantai Dalam, Kuala Lumpur pada 10 Ogos lalu.

    “Seorang tertuduh juga telah meludah kepada pegawai imigresen selain kedua-dua turut merakam provokasi yang dilakukan dengan niat untuk mengaibkan petugas operasi,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, sekiranya mereka gagal membayar denda terbabit, mereka akan dikenakan hukuman lima bulan penjara.

    “Hukuman ini dijatuhkan selepas mereka mengaku salah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 56 (1) (g) Akta Imigresen 1959/63 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 56 (1) (aa) akta yang sama,” katanya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

    Beliau berkata, sebarang tindakan provokasi dan ancaman kepada mana-mana anggota dan pegawainya yang sedang menjalankan tugas akan diambil tindakan tegas mengikut lunas undang-undang sedia ada.

  • Polis tahan dua beranak disyaki edar dadah

    Polis tahan dua beranak disyaki edar dadah

    POLIS menahan tiga lelaki termasuk dua beranak ditahan bersama dadah bernilai RM52,500 dalam serbuan di sebuah rumah kampung di Pinang Tunggal, Sungai Petani, dalam serbuan pukul 4.30 petang kelmarin.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, seorang pemandu van berstatus duda anak dua, berusia 33 tahun disyaki dalang dalam pengedaran dadah terbabit, ditahan bersama ayahnya, seorang pekerja kilang berusia 59 tahun.

    “Seorang lagi pekerja kilang berusia 22 tahun yang berada di lokasi serbuan merupakan sepupu suspek pertama, turut ditahan.

    “Hasil pemeriksaan dalam rumah menemui 21 ketulan mampat daun kering disyaki dadah jenis ganja anggaran berat keseluruhan 21.9 kilogram (kg) bernilai RM52,500 disembunyikan dalam sebuah beg hitam atas lantai dalam sebuah bilik.

    “Ujian saringan air kencing ke atas suspek utama yang merupakan pemandu van dikesan positif dadah jenis ganja,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, Sungai Petani, hari ini.

    Katanya, suspek utama itu mempunyai empat rekod lampau berkaitan kes narkotik, enam rekod jenayah dan satu kes dikehendaki polis mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    “Sepupunya dikesan positif dadah jenis methamphetamine mempunyai empat rekod jenayah termasuk dua kes dikehendaki polis mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan manakala ayah suspek utama dikesan negatif dadah serta tidak mempunyai sebarang rekod lampau,” katanya.

    Jelasnya, suspek utama yang disyaki dalang itu berperanan sebagai ‘stor keeper’ manakala penglibatan ayah dan sepupunya masih disiasat.

    Difahamkan, kesemua dadah yang dirampas disyaki untuk edaran sekitar Kedah dan Pulau Pinang, boleh digunakan kira-kira 43,770 orang penagih dadah.

    Suspek utama disyak aktif sejak dua bulan lalu dalam aktiviti pengedaran dadah dan kesemua direman enam hari bermula 2 hingga 7 September 2022.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

  • Kastam rampas minuman keras lebih RM1.5 juta termasuk cukai

    Kastam rampas minuman keras lebih RM1.5 juta termasuk cukai

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah merampas dua kontena berisi minuman keras yang dianggarkan bernilai lebih RM1.5 juta termasuk cukai dalam dua serbuan di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, 23 Ogos lepas.

    Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Mohammad Sabri Saad berkata pemeriksaan ke atas kedua-dua kontena dalam serbuan pada 5 hingga 6.30 petang itu menemukan keseluruhan 42,630.66 liter minuman keras jenama Knight General, Tsingtao dan China Liquor dianggar bernilai RM334,810.

    Beliau berkata berdasarkan maklumat yang diisytiharkan dalam borang kastam, dagangan itu dinyatakan sebagai ‘Nut and Washer’ dan ‘Bolt Washer’ dari negara jiran.

    “Kedua-dua kes sedang disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967. Ejen atau wakil penghantaran bagi sebuah kontena telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Jabatan Kastam Zon Tengah di Kelana Jaya di sini hari ini.

    Beliau berkata pihaknya percaya minuman keras itu dibawa dari Timur Tengah selain tidak menolak penglibatan sindiket atau kongsi gelap dalam kes berkenaan.

    Menurut Mohammad Sabri, pihaknya berjaya merampas pelbagai barangan elak cukai bernilai lebih RM210 juta melibatkan 911 kes sejak Januari hingga 26 Ogos lepas dengan 75 peratus daripadanya adalah rokok dan minuman keras.

    Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tampil membantu membanteras penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan.- BERNAMA

  • Jumpa peluru ketika tangkap 76 PATI Myanmar

    Jumpa peluru ketika tangkap 76 PATI Myanmar

    CUBAAN 76 pendatang asing tanpa izin (Pati) Myanmar memasuki negara pada awal pagi dikesan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) di pangkalan haram Guchil, Jeram Perdah, di Pasir Mas, hari ini.

    Memetik laporan Harian Metro, Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, penahanan pada pukul 1.30 pagi itu membabitkan 62 lelaki dan 14 wanita yang masuk secara haram untuk bekerja dalam pelbagai sektor.

    Katanya, anggota bertugas membuat intipan sebelum mendapati ada pergerakan secara berkumpulan melalui tebing Sungai Golok selama kira-kira 20 minit.

    “Anggota kemudian mendekati kumpulan Pati berkenaan dan memperkenalkan diri sebagai pihak berkuasa sebelum mengarahkan mereka mengemukakan dokumen pengenalan diri.

    “Hasil pemeriksaan, mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, manakala sebahagian daripadanya mengemukakan pasport tanpa butir perjalanan lengkap.

    “Selain itu, pemeriksaan di sekitar kawasan kejadian turut menemui sebutir peluru kaliber sembilan milimeter (mm) yang bertulis ‘Thai Arms 9 mm’,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

    Muhamad Zaki berkata, peluru itu dirampas dan semua Pati kemudian dibawa balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut.

    Beliau berkata, kes disiasat disiasat mengikut Seksyen 55E/ 6(1)(c) Akta Imigresen 1963 serta Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

    Menurutnya, Pati menyeberangi sungai dari negara jiran pada awal pagi bagi mengelak pihak berkuasa, namun anggota sentiasa peka dan bersiap siaga selama 24 jam.

  • Polis tahan 2 lelaki samun pelajar di kedai dobi

    Polis tahan 2 lelaki samun pelajar di kedai dobi

    POLIS menahan dua lelaki selepas menyamun seorang pelajar perempuan di sebuah kedai dobi di Taman Mawar, Sandalan pada Isnin lalu.

    Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, kedua-dua suspek ditahan kurang 24 jam selepas melakukan jenayah tersebut pada pukul 10.30 malam Selasa lalu selepas mangsa melaporkan kejadian itu kepada polis.

    Beliau berkata, laporan dibuat mangsa iaitu pelajar perempuan berusia 16 tahun terhadap suspek masing-masing berusia 24 dan 25 tahun.

    “Dalam kejadian samun itu, telefon bimbit mangsa telah dilarikan oleh dua suspek yang menaiki motosikal.

    “Kejadian itu turut dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dan video berdurasi 71 saat itu turut tersebar di media sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Berikutan kejadian itu, beliau berkata, kedua-dua suspek berjaya dikesan dan ditahan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sandakan di perkampungan setinggan Kampung Sundang Laut di Sandakan.

    “Ketika tangkapan dilakukan, turut dirampas sebuah motosikal yang dipercayai digunakan ketika melakukan jenayah samun berkenaan.

    “Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Sebelum itu, dalam rakaman video CCTV memaparkan seorang suspek lelaki yang memakai helmet dilihat berlegar-legar di hadapan kedai dobi layan diri sebelum bertindak melakukan samun terhadap seorang remaja perempuan yang sedang menggunakan telefon bimbitnya ketika itu.

  • Pasangan penuntut IPT ditahan khalwat di hotel bajet

    Pasangan penuntut IPT ditahan khalwat di hotel bajet

    PENUNTUT institusi pengajian tinggi (IPT) antara dua pasangan yang dicekup kerana disyaki berkhalwat di hotel bajet di Bukit Beruang dan Bachang, Melaka.

    Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat berkata, penuntut masing-masing berusia 19 tahun itu ditangkap dalam operasi Ambang Merdeka yang bermula pukul 11.30 malam kelmarin hingga 3 pagi semalam.

    Menurutnya, mereka ditahan dalam serbuan pertama pada jam 12.30 tengah malam selepas gagal menunjukkan sebarang bukti hubungan mahram atau suami isteri ketika disoal siasat pegawai JAIM.

    Katanya, ketika serbuan, lelaki terbabit tidak memakai baju manakala kekasihnya berbaju tidur.

    “Mereka mengaku menginap bersama dengan si lelaki mendakwa mahu berehat selepas penat bermain futsal sambil menemani teman wanitanya itu menyelesaikan tugasan universiti.

    “Namun, tiada pakaian sukan ditemui ketika pemeriksaan di bilik hotel terbabit sebelum kedua-dua mereka dibawa ke pejabat JAIM untuk tindakan lanjut kerana disyaki berkhalwat,” katanya, lapor Harian Metro.

    Che Sukri berkata, dalam serbuan kedua di sebuah hotel bajet di Bachang, pihaknya menahan lelaki berusia 25 tahun dan pasangannya berumur 22 tahun pada pukul 2.45 pagi.

    Menurut beliau, pasangan itu memberi alasan berehat di situ selepas kepenatan walaupun lelaki terbabit hanya tinggal di Cheng manakala teman wanitanya menetap di Jasin.

    “Kedua-dua pasangan disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 iaitu bersekediaman atau berkurung (khalwat) yang mendatangkan syak melakukan maksiat sebelum dibebaskan dengan jaminan.

    “Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.