Category: Jenayah

  • PKR lapor SPRM esok penglibatan Abd. Latiff dalam isu LCS

    PKR lapor SPRM esok penglibatan Abd. Latiff dalam isu LCS

    ESOK Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan membuat satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai dakwaan penglibatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad dalam isu skandal kapal tempur pesisir (LCS).

    Menurut Pengarah Strategi PKR, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir, laporan tersebut akan dibuat di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

    “Laporan ini kerana nama Ahli Parlimen Mersing itu dinyatakan terkait menerusi Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan juga Laporan Pengauditan Forensik baru-baru ini.

    “Laporan SPRM yang akan dibuat itu tertumpu kepada kesalahan-kesalahan rasuah berdasarkan Seksyen 16, Seksyen 17(a), Seksyen 17(b), Seksyen 18 serta Seksyen 23 di bawah Akta SPRM 2009 yang membolehkan pihak suruhanjaya itu menjalankan siasatan.

    “Laporan SPRM esok juga akan mendesak supaya pihak SPRM mendedahkan pengiystiharan harta yang dibuat oleh Abd. Latiff sebelum beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya, hari ini.

    Ahli Parlimen Johor Bahru itu menjelaskan laporan yang dibuat itu adalah sangat penting sebagai langkah melawan isu penyelewengan tersebut.

    “Apa yang akan terjadi seterusnya jika kita tidak melawan penyelewengan #skandalLCS?.

    “Pemberi dan pendedah maklumat akan terus mendapat tekanan, yang buat jahat terlepas. Sebab itu kita semua kena terus desak pihak berkuasa untuk siasat pesalah yang sebenarnya.

    “Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli sendiri tawarkan kepada Menteri Perikatan Nasional (PN) tersebut untuk saman beliau namun sehingga kini masih mengelak. Adakah kes skandal LCS akan berlalu begitu sahaja tanpa ada jerung yang dapat ditangkap,” soalnya.

    Rafizi pada Sabtu lalu diarahkan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul bagi memberi keterangan.

    Ia susulan laporan polis yang dibuat Abd Latiff yang didakwa memfitnahnya berkaitan isu LCS tersebut.

    Dalam masa yang sama, Akmal Nasrullah menambah, beliau akan memastikan kes tersebut disiasat sepenuhnya bagi membongkar hal sebenar yang berlaku di sebalik isu kapal LCS itu.

    “Saya juga akan mengadakan satu sidang akhbar di hadapan Ibu Pejabat SPRM itu pada pukul 11 pagi esok susulan selepas laporan tersebut dibuat,” katanya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

  • Bapa pelakon remaja popular buat laporan polis dituduh meraba, pukul anak

    Bapa pelakon remaja popular buat laporan polis dituduh meraba, pukul anak

    POLIS mengesahkan bapa kepada seorang pelakon remaja perempuan membuat laporan polis berhubung pendedahan anaknya di media sosial, baru-baru ini, mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual dan dipukul lelaki itu.

    Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, bapa pelakon itu membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Baharu, Kedah, semalam, untuk menafikan dakwaan itu.

    Bagaimanapun, beliau berkata, Polis Kuala Lumpur belum menerima sebarang laporan polis daripada pelakon remaja terbabit atau daripada mana-mana pihak berkaitan perkara itu.

    “Setakat ini, tiada laporan diterima berkaitan perkara itu di Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Baru-baru ini, pelakon berusia 15 tahun menerusi satu temubual di YouTube ‘Bros Gang TV’ membuat pendedahan mengejutkan mengenai sikap sebenar bapa kandungnya yang didakwa suka menonton filem lucah.

    Menerusi temubual itu, pelakon itu turut mendakwa dia sering diraba dan dicium bapa kandungnya, ketika dia berusia lima hingga enam tahun.

    Lelaki itu juga didakwa melakukan gangguan seksual terhadap pelakon remaja itu termasuk melakukan onani di hadapannya.

    Malah dia dikatakan mengajak anak perempuannya itu menonton video lucah bersama-sama.

    Sementara itu, semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dilaporkan berkata, pihaknya bersedia memanggil pelakon remaja itu jika ada laporan dibuat.

    Katanya, setakat ini belum ada laporan rasmi diterima pihaknya dan beliau juga baru mengetahui perkara itu menerusi laporan media.

  • Lelaki ditahan ganggu, ekori remaja 17 tahun

    Lelaki ditahan ganggu, ekori remaja 17 tahun

    POLIS menahan seorang lelaki kerana mengganggu seorang remaja perempuan dengan mengekorinya sehingga ke rumah di Taman Dagang, Ampang, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, mangsa berusia 17 tahun memaklumkan dia diekori suspek berusia 32 tahun dari tempat letak kereta sehingga ke rumahnya pada 3.45 petang.

    “Semasa menaiki tangga di blok rumahnya, suspek mengekori mangsa secara rapat dan cuba untuk memegang remaja berkenaan sebelum dia terus melarikan diri dengan memanggil kakaknya.

    “Suspek kemudian membuat kacau di hadapan rumah mangsa dan turun ke bawah blok semula. Mangsa kemudian meminta bantuan tunang kakaknya yang menahan suspek sebelum menghubungi pihak polis untuk tindakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Pihaknya menahan semula suspek di lokasi terbabit pada 4.20 petang dan semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod kesalahan dadah.

    “Suspek direman empat hari bermula semalam hingga 7 September ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

  • Polis masih kesan pemandu Proton Wira Aeroback langgar pegawai Imigresen

    Polis masih kesan pemandu Proton Wira Aeroback langgar pegawai Imigresen

    Oleh BADLISHAH MAT

    POLIS masih mengesan pemandu kereta yang terbabit kejadian langgar lari sehingga menyebabkan kematian seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Kilometer 83.4 PLUS, Gurun di Kedah pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pemandu kereta jenis Proton Wira Aeroback itu melarikan diri dari lokasi kejadian dan tidak tampil untuk membuat laporan sehingga kini.

    Katanya, kereta berwarna perak terbabit dengan nombor pendaftaran TAC 6688 itu berjaya dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Plaza Tol Gurun ketika suspek melaluinya selepas kejadian.

    “Kita sedang meneliti dan menyemak nombor pendaftaran kereta untuk mengetahui sama ada pemiliknya sendiri yang memandu atau individu lain menggunakan kenderaan itu semasa kejadian,” katanya.

    Tambah beliau, orang ramai yang mengetahui maklumat pemandu dan kenderaan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Juzaili Ismail di talian 019-5586668 atau Pejabat Pertanyaan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuala Muda di talian 04-4232222 untuk membantu siasatan.

    Kejadian pada 9.23 pagi semalam, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen di Depot Tahanan Sementara Sungai Bakap, Muhammad Nizam Shamsudin, 46 maut di tempat kejadian apabila motosikal jenis Kawasaki KLE650 yang ditunggang di lorong kiri dilanggar dari belakang.

    Rempuhan kuat itu menyebabkan Muhamad Nizam hilang kawalan lalu terjatuh di lorong kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia akibat kecederaan serius di kepala.

    Rakan setugas mangsa, Zaili Nizam Muhammad, 43, yang juga Tmbalan Penolong Pengarah Kanan Imigresen di depot sama sedang menunggang sebuah lagi motosikal jenis sama di belakang mangsa.

    Zaili Nizam mengalami patah kaki kanan selepas motosikalnya merempuh motosikal milik Muhammad Nizam.

    Sementara itu, Zaidy berkata, kedua-dua pegawai Imigresen dan suspek terbabit dipercayai dalam perjalanan ke Gurun ketika kejadian.

    6)

  • Simpan telefon bimbit Rafizi untuk tujuan forensik digital – KPN

    Simpan telefon bimbit Rafizi untuk tujuan forensik digital – KPN

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menafikan tindakan menyimpan telefon bimbit milik Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli sebagai satu bentuk intimidasi.

    Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata tindakan tersebut adalah sebahagian proses siasatan bagi kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bagi membolehkan analisis forensik digital dijalankan.

    “Peranti berkenaan akan dipulangkan kelak setelah proses analisis dan siasatan selesai,” kata Acryl Sani dalam kenyataan malam ini. 

    Beliau berkata Rafizi telah dipanggil dan dirakam percakapan pada 3 Sept lepas bagi membantu siasatan setelah laporan polis diterima berhubung kenyataan tular di aplikasi media sosial yang didakwa berunsur fitnah terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

    Katanya bagi membantu siasatan, sebuah telefon bimbit bersama kad sim dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran yang disiasat, telah diambil dan disimpan oleh pihak polis bagi proses analisis forensik digital.  

    Selain itu, beliau berkata pihaknya juga sedang menyiasat laporan yang dibuat terhadap Dr Abdul Latiff dan sesi rakaman keterangannya telah dijalankan, selain turut memaklumkan proses siasatan bagi kedua-dua laporan polis adalah secara profesional tanpa sebarang bentuk tekanan seperti didakwa oleh pihak tertentu.

    “Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan dan memberikan ruang kepada PDRM untuk menyiapkan kertas siasatan,” katanya.

    Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan media hari ini menggesa  Acryl Sani menghentikan tekanan dan gangguan terhadap Rafizi susulan tindakan polis merampas telefon bimbit timbalan presiden PKR itu ketika beliau memberi keterangan berhubung dakwaan terhadap Dr Abdul Latiff semalam. – BERNAMA 

  • Ibu biarkan anak OKU seorang diri hingga terjun tingkat satu rumah dicekup

    Ibu biarkan anak OKU seorang diri hingga terjun tingkat satu rumah dicekup

    POLIS hari ini menahan seorang wanita yang juga ibu kepada seorang remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) setelah disyaki membiarkan anaknya seorang diri di rumahnya di Taman Melawati dekat ibu negara dan menginap di sebuah hotel.

    Ini setelah tindakan wanita berusia 43 tahun yang bekerja di bahagian kewangan itu mengakibatkan anaknya yang baru berusia 13 tahun terjun dari tingkat satu pangsapuri mereka sebelum terjatuh di atas kereta, semalam.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, wanita itu dimaklumkan kejadian menimpa anaknya oleh bekas suaminya pada pukul 8.32 pagi.

    Beliau berkata, mangsa yang juga seorang austisme terjun dari tingkat satu dan jatuh ke atas kereta.

    “Mangsa mengalami kecederaan iaitu lima jahitan di bahagian kepala, tangan sebelah kanan retak dan cedera di muka.

    “Mangsa kini sedang dirawat di Hospital Ampang,” katanya dalam kenyataan malam ini.

    Megulas lanjut, Mohamad Farouk berkata, dipercayai semasa kejadian ibunya meninggalkan mangsa seorang diri di kediaman sejak pukul 9.15 malam kelmarin kerana membawa anak perempuan yang berusia lima tahun pergi latihan renang dan bermalam di hotel di Damansara.

    Berikutan itu katanya, kira-kira pukul 2 petang tadi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah membuat tangkapan terhadap wanita terbabit.

    “Suspek akan direman di Mahkamah Ampang esok dan kes disiasat mengikut Seksyen31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang merujuk kepada kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak,” katanya.

  • Suami isteri edar dadah diberkas polis

    Suami isteri edar dadah diberkas polis

    POLIS menahan suami isteri selepas disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah berikutan penemuan pelbagai jenis dadah di pangsapuri sewa mereka di bandar raya ini, Khamis lalu.

    Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, serbuan dilakukan pada 5 petang berjaya menahan pasangan warga tempatan berusia 42 dan 36 tahun itu di tempat letak kereta sebuah pasar raya besar di Taman Suria, di Johor Bahru.

    Katanya, polis kemudian pergi ke pangsapuri mereka di Larkin pada 8 malam sebelum merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM214,287.

    “Susulan penahanan suami isteri itu, polis menyerbu sebuah pangsapuri berpagar dan berpengawal sebelum merampas 14.32 kilogram (kg) heroin, 158 gram serbuk ekstasi, 38.23 gram syabu serta 71 gram ketamin dalam kediaman itu.

    Katanya, polis kemudian pergi ke pangsapuri mereka di Larkin pada 8 malam sebelum merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM214,287.

    “Susulan penahanan suami isteri itu, polis menyerbu sebuah pangsapuri berpagar dan berpengawal sebelum merampas 14.32 kilogram (kg) heroin, 158 gram serbuk ekstasi, 38.23 gram syabu serta 71 gram ketamin dalam kediaman itu.

    “Turut disita ialah wang tunai RM530,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

    Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Khaw Kok Chin.

    Menurut Kamarul Zaman, pasangan itu dipercayai aktif mengedar dadah sejak Mei lalu dengan menjadi orang tengah antara pembekal dan pembeli.

    “Suspek akan membungkus semula dadah yang diperolehi di kediaman mereka sebelum menjualnya,” katanya.

    Menurutnya, saringan ujian air kencing mendapati mereka negatif bahan terlarang.

    Katanya, semakan mendapati suspek wanita mempunyai rekod lampau berkaitan Akta Kanak-kanak 2001, manakala suspek lelaki mempunyai rekod berkaitan dadah.

    “Kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga 8 September ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • SPRM siasat individu terbabit skandal 1MDB di Kuwait

    SPRM siasat individu terbabit skandal 1MDB di Kuwait

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat pembabitan individu di Kuwait berkaitan isu penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    SPRM menerusi kenyataan berkata, pihaknya merujuk kepada dakwaan laporan sebuah portal berita berhubung siasatan membabitkan individu berkenaan.

    “SPRM sebagai salah satu peneraju utama dalam usaha pemulihan aset menitikberatkan tindakan mendapat kembali aset dan wang yang hilang hasil penyelewengan 1MDB dan beberapa syarikat lain yang terbabit.

    “Setiap tindakan diteruskan dengan kerjasama agensi penguatkuasa luar negara melibatkan aliran wang yang amat kompleks dan rumit,” katanya dalam kenyataan itu.

    Mengulas lanjut, kenyataan itu memberitahu, sejak dua tahun lalu, SPRM sudah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama Agensi Penguatkuasa Kuwait.

    Ketika ini katanya, SPRM masih menunggu keterangan daripada pihak di Kuwait yang dimohon menerusi Bantuan Perundangan Bersama. Perkara itu masih lagi dalam kajian pihak Kuwait.

    “Dalam pada itu, seperti kenyataan Pejabat Peguam Negara pada 16 Julai 2022, beberapa tawaran penyelesaian oleh Jho Low melalui wakilnya kepada kerajaan Malaysia telah ditolak sepenuhnya oleh Pejabat Peguam Negara,” katanya.

    Tambahnya, semua pihak dimohon tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu ini bagi mengelakkan kekeliruan kepada masyarakat umum serta boleh menjejaskan siasatan.

  • Angkara anak meminjam along, keluarga pula diganggu

    Angkara anak meminjam along, keluarga pula diganggu

    SEORANG pemborong sayur menempuh detik hitam selepas diburu ceti haram sejak tiga bulan lalu.

    Memetik laporan Harian Metro, masalah itu tercetus setelah anak bongsu lelakinya berusia 29 tahun terperangkap menerusi aktiviti perjudian dalam talian dan meminjam along.

    Berkongsi pengalaman buruk ditempuhi ahli keluarganya Wong Thiam Siew, 60, berkata mereka menjalani kehidupan disebabkan masalah itu.

    “Anak saya mendakwa dia terbabit dalam aktiviti berkenaan selepas salah seorang individu dikenali menawarkan peluang berjudi dalam talian tanpa membelanjakan wang

    “Mungkin pada peringkat awal anak saya diberikan habuan tertentu hingga dia menjadi gian untuk berjudi serta tidak menyedari ia sebenarnya perangkap sindiket berkenaan.

    “Selepas tempoh tertentu, anak saya didakwa kalah dalam perjudian hingga mengalami kerugian dan perlu membuat pembayaran atau hutang berlipat kali ganda keseluruhannya bernilai RM4 juta,” katanya.

    Kata laporan itu, Wong berkata, along berkenaan menggunakan pelbagai strategi bagi mengutip hutang berkenaan termasuk mengganggu operasi kedai memborong sayur di Jalan Syahbandar, Taman Tun Aminah selain selain gerai menjual sayur di Pasar Borong Pandan di Johor Bahru.

    Menurutnya, kejadian seumpama itu berulang hampir enam hingga tujuh kali walaupun anaknya sudah melangsaikan bayaran sejumlah RM675,000 kepada sindiket berkenaan.

    Katanya, pada 5 Ogos lalu, sekumpulan lelaki yang memegang sepanduk mengandungi gambarnya dan dicatat ‘hutang wang bayar wang’ dan sengaja menimbulkan gangguan operasi kedainya di Pasar Borong Pandan.

    “Mereka mempamerkan sepanduk berkenaan dan memainkan peralatan muzik Cina bagi menarik perhatian ramai.

    “Malah sekumpulan lelaki juga menceroboh kedai memborong sayur milik keluarga kami pada 16 Ogos hingga dia terpaksa menyembur alat pemadam api bagi mengusir mereka.

    “Mereka ugut mahu menghukum kami sekeluarga sekiranya gagal melunaskan tunggakan hutang. Along itu juga mengugut mahu bunuh anak bongsu saya sehingga dia menghilangkan diri dan kini kami menjadi mangsa walaupun tidak pernah meminjam satu sen pun,” katanya yang membuat beberapa laporan polis berhubung kejadian itu.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU) Asisten Komisioner Rupeah Abd Wahid berkata, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

    “Siasatan masih dijalankan untuk kesan saspek,” katanya ketika dihubungi.

  • Dua PATI ditahan miliki senapang guli buatan sendiri

    Dua PATI ditahan miliki senapang guli buatan sendiri

    DUA lelaki warga asing ditahan kerana memiliki selaras senapang guli buatan sendiri dalam satu serbuan di sebuah rumah di ladang Binuang Benta Wawasan Kalabakan, pada Sabtu.

    Memetik laporan Astro Awani, kedua-dua suspek, masing-masing berusia dalam lingkungan 30-an, ditahan sepasukan polis dari Balai Kalabakan dengan bantuan anggota keselamatan Benta Wawasan Sdn Bhd pada kira-kira pukul 2 petang.

    Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata, hasil pemeriksaan ke atas rumah didiami suspek menemui satu laras senapang guli disembunyikan di dalamnya.

    “Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, kedua-dua suspek turut gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI).

    “Suspek seterusnya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama barang rampasan untuk tindakan dan siasatan lanjut.”

    Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.