Category: Jenayah

  • KDN serah nama pegawai JPN didakwa minta sogokan kepada SPRM

    KDN serah nama pegawai JPN didakwa minta sogokan kepada SPRM

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) akan menyerahkan nama seorang pegawai Jabatan Perdaftaran Negara (JPN) yang dipercayai terlibat meminta sejumlah wang yang besar untuk kelulusan permohonan warganegara.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, aduan berhubung salah laku itu dilaporkan terus kepada beliau.

    “Nama pegawai JPN yang meminta sogokan itu akan diserahkan kepada SPRM hari ini.

    “Sekarang ini ada aduan yang spesifik meminta wang daripada orang yang memohon warganegara yang apabila diketahui telah diluluskan maka diminta sejumlah wang dan itu perbuatan yang salah.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengadakan sidang media di Kementerian Dalam Negeri Putrajaya, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Jadi bila ada aduan spesifik begitu dengan nama dan sebagainya, saya serah supaya berlaku adil, biar prosesnya mengambil tempat, SPRM siasat.

    “Kita tak boleh buat spekulasi bahawa ini satu-satu aduan, adakah seorang, tak bolehlah begitu.

    “Saya cuma sebut bahawa ini adalah aduan spesifik yang sampai kepada saya, segera saya adu kepada SPRM,” katanya pada sidang media khas di KDN, Putrajaya hari ini.

    Saifuddin menjelaskan, tidak ada sebarang pembayaran dikenakan dalam urusan permohonan kewarganegaraan dan pemohon tidak perlu melayan sebarang bentuk permintaan pembayaran.

    “Bagi permohonan kewarganegaraan ini ada satu ‘committee’ yang akan membuat pertimbangan dan akan mengesyorkan sama ada ia lulus atau tidak.

    “Pemohon akan dimaklumkan tentang kelulusan permohonannya dan tidak ada sebarang bayaran dikenakan,” katanya, lapor Astro Awani.

    Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan wujudnya amalan salah laku dalam kalangan pegawai JPN berhubung permohonan kewarganegaraan.

  • Empat ditahan babit penemuan mayat lelaki Indonesia dalam bonet City

    Empat ditahan babit penemuan mayat lelaki Indonesia dalam bonet City

    TIGA lelaki bersama seorang wanita warga Indonesia ditahan bagi membantu siasatan penemuan mayat di dalam bonet Honda City.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol berkata, mayat tersebut ditemui di tepi jalan Taman Sri Orkid, Seksyen 30 dalam keadaan berbungkus plastik hitam dan terikat.

    Beliau berkata, kejadian disedari oleh orang awam yang terhidu bau busuk dari kereta tersebut pada pukul 3.25 petang semalam.

    “Kereta tersebut telah diparkir di tempat kejadian selama dua ke tiga hari.

    “Siasatan polis mendapati mangsa merupakan seorang lelaki warga Indonesia berusia 47 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Jelasnya, semakan mendapati kenderaan terbabit didaftarkan atas nama mangsa.

    Ramsay berkata, empat suspek masing-masing berusia lingkungan 40-an itu direman bermula hari ini sehingga Isnin.

    “Kejadian disyaki bermotifkan cemburu, bagaimanapun polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian,” ujarnya, lapor Utusan TV.

    Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Shah Alam bagi bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Mohammad Khairi di talian 012-2666025.

  • Pembantu Sivarraajh buat laporan polis selepas diugut ahli MIC

    Pembantu Sivarraajh buat laporan polis selepas diugut ahli MIC

    PEMBANTU Senator Datuk C. Sivarraajh membuat laporan polis berhubung ugutan yang didakwa dibuat oleh seorang ahli MIC.

    Menurut S. Mathiswarman, dakwaan ugutan itu diterima selepas beliau membalas komen di Instagram yang menghina Sivarraajh keluar MIC minggu lalu.

    “Saya terjumpa catatan Instagram satu portal berita mengenai bos saya yang keluar MIC dan komen lelaki itu, yang merupakan bekas ketua Pemuda MIC Wilayah Persekutuan.

    “Komen itu membawa maksud Sivarraajh sebagai seorang yang tidak mengenang budi yang telah melupakan segala bantuan yang diberikan oleh Datuk Seri (timbalan presiden MIC M Saravanan) semasa dalam MIC,” kata Mathiswarman dalam laporan yang dibuat di balai polis Bayan Baru di Pulau Pinang, semalam.

    Lelaki itu akan dirujuk sebagai ‘Aru’ memandangkan suspek jenayah tidak boleh dinamakan sebelum dia didakwa di mahkamah.

    Mathiswarman mendakwa Aru seterusnya menggesa Sivarraajh yang juga bekas Naib Presiden MIC supaya tidak gila kuasa dan insaf.

    S Mathiswarman

    Mathiswarman berkata, beliau kemudian membalas komen tersebut, membayangkan Aru tidak layak untuk memberi nasihat berkenaan sikap mengenang budi kerana dia juga pernah mendapat manfaat secara peribadi daripada Sivarraajh sebelum ini.

    “Selang beberapa minit, saya menerima panggilan daripada nombor Aru, tetapi tidak dapat menjawab kerana sibuk dengan tugasan lain.

    “Bagaimanapun, apabila saya menghubunginya kemudian, Aru mengugut untuk memukul dan mencincang saya jika dia melihat saya selepas ini,” kata Mathiswarman ketika dihubungi, lapor Malaysiakini.

    Mathiswarman yang sentiasa berulang alik antara Pulau Pinang dan Kuala Lumpur atas urusan kerja, membuat laporan polis itu kerana bimbang akan keselamatan dirinya.

    Beliau turut menerima beberapa panggilan daripada seorang lagi ahli MIC yang dikenalinya sebagai penyokong Saravanan tetapi tidak menjawab panggilan itu kerana bimbang ia akan memburukkan keadaan.

    Mathiswarman memadamkan komen balasan yang dibuatnya di Instagram tetapi kawan-kawannya tetap menasihatinya untuk berhati-hati.

    “Saya membuat laporan ini kerana bimbang keselamatan saya dan menggesa polis mengambil tindakan segera,” katanya dalam laporan itu.

    Difahamkan, suspek yang didakwa membuat ugutan terhadapnya telah ditahan di Kuala Lumpur oleh pasukan polis Pulau Pinang, hari ini.

  • Polis serbu pusat panggilan ‘phone scam’ antarabangsa, tahan 50 warga asing

    Polis serbu pusat panggilan ‘phone scam’ antarabangsa, tahan 50 warga asing

    POLIS menumpaskan sindiket penipuan ‘phone scam’ dengan penahanan 54 individu yang sebahagian besar warga asing dalam serbuan di pusat panggilannya di kawasan Perusahaan Mergong 2, di Alor Setar.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata ,serbuan dilakukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah yang turut dibantu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, Kuala Muda dan Langkawi pukul 6 petang kelmarin.

    “Premis itu dipercayai telah disewa dan dijadikan sebagai pusat panggilan untuk kegiatan penipuan dan dipercayai telah menjalankan operasi selama empat bulan.

    “Suspek adalah seorang wanita warga Taiwan, dua lelaki warga Bangladesh, 19 lelaki warga Taiwan, 29 lelaki warga China serta tiga lelaki tempatan yang berumur antara 20 hingga 50 tahun.

    “Sindiket ini menggunakan modus operandi menyamar sebagai pegawai daripada agensi penguat kuasa sebelum memaklumkan bahawa akaun bank mangsa sedang disiasat dan wang mereka akan dibekukan atau hilang.

    “Mangsa kemudian diminta untuk memindahkan wang ke dalam akaun yang diberikan oleh pihak sindiket dan mereka ini menyasarkan mangsa dari negara China dan Taiwan,” katanya lapor Astro Awani.

    Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Alor Setar hari ini.

    Menurut Fisol, dalam serbuan itu polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Exora, sebuah lori jenis Isuzu, komputer riba, telefon bimbit, router, mesin pencetak, kertas skrip serta kertas yang mengandungi nombor akaun bank negara China.

    Katanya, polis sedang mengesan dua lagi individu iaitu pemilik premis dan pemilik syarikat kenderaan yang dipercayai dapat membantu siasatan kes.

    Kesemua suspek ditahan telah direman selama empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 55B(1) akta yang sama.

  • Bekas ADUN Terengganu disiasat tangkap ikan guna elektrik

    Bekas ADUN Terengganu disiasat tangkap ikan guna elektrik

    SEORANG bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu dipanggil memberi keterangan semalam selepas tular video beliau menangkap ikan menggunakan alat terlarang.

    Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, siasatan dijalankan selepas pihaknya menerima laporan berhubung video tular itu pada 3 Julai lalu.

    “Kini, pihak jabatan sedang melengkapkan siasatan sebelum kita rujuk kepada penasihat undang-undang negeri,” katanya menurut Sinar Harian.

    Terdahulu, tular video 24 saat dalam media sosial memaparkan bekas Adun itu menangkap ikan menggunakan renjatan elektrik di sebuah lokasi tidak dikenal pasti.

    Ruzaidi berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 3 Kaedah-kaedah Perikanan Darat Terengganu 1988, iaitu menangkap ikan menggunakan peralatan terlarang.

    Katanya, peralatan terlarang termasuk menggunakan racun, bahan letupan dan peralatan mekanikal atau elektrik.

    “Jika sabit kesalahan, pelaku berdepan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya,” katanya.

  • Pekerja kilang berputih mata rugi RM87,400 diperdaya ‘scammer’

    Pekerja kilang berputih mata rugi RM87,400 diperdaya ‘scammer’

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pekerja kilang kerugian RM87,400 selepas tertarik dengan tawaran pulangan pelaburan yang tinggi dalam tempoh masa singkat menerusi skim pelaburan saham yang tidak wujud, bulan lalu.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, pihaknya menerima suatu laporan berkaitan kes pelaburan tidak wujud itu berkenaan daripada mangsa berusia 40-an yang merupakan pekerja kilang.

    “Pengadu mendakwa menyertai suatu skim pelaburan saham menerusi kumpulan WhatsApp yang dikenali sebagai Kem Latihan Amali Untung Stabil Pasaran Saham pada 4 Mei lalu.

    “Mangsa mula membuat pelaburan pada 12 Jun lalu. Dalam tempoh sebulan menyertai pelaburan berkenaan, pengadu dimaklum bahawa keuntungan pelaburan dilakukan bertambah sebanyak RM180,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, apabila pengadu mahu mendapatkan keseluruhan keuntungan pelaburan, dia diarahkan untuk membayar cukai sebanyak RM24,000.

    “Selepas membuat bayaran cukai bagi mendapatkan keuntungan dijanjikan, pengadu tidak dapat berhubung dengan suspek menerusi WhatsApp dan pengadu terkilan apabila disingkir daripada kumpulan berkenaan.

    “Pengadu menyedari tertipu semalam dan mendakwa mengalami kerugian sejumlah RM87,400 termasuk nilai pelaburan yang dilakukan.

    Rahmat berkata, setakat ini, itu merupakan laporan kes pertama yang diterima berkaitan skim pelaburan berkenaan.

    Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    “Orang awam dinasihatkan berhati-hati dalam membuat pelaburan. Jangan mudah gelap mata dan tamak dengan tawaran dijanjikan dan mengambil mudah dalam meraih keuntungan lumayan. Rujuk ke balai polis berhampiran sekiranya berdepan sebarang kekeliruan atau dapatkan nasihat lanjut dari bank negara berhubung skim pelaburan,” katanya.

  • Banduan dakwa didera warden, diarah berbogel ‘kopek durian’

    Banduan dakwa didera warden, diarah berbogel ‘kopek durian’

    SEKUMPULAN 125 banduan di sebuah penjara dekat utara Semenanjung yang mendakwa didera warden, menandatangani petisyen bagi menggesa kerajaan menyiasat dan mengambil tindakan.

    Memetik laporan FMT hari ini, ini kali kedua petisyen seumpama itu dihantar berikutan timbul dakwaan penderaan di satu lagi fasiliti itu di negeri sama.

    Banduan terbabit menulis draf petisyen itu lalu menyerahkan kepada peguam mereka, Husaini Abdul Rashid, menerusi dua rakan yang dibebaskan dari penjara baru-baru ini.

    Tahun lalu, Husaini pernah membuat laporan berhubung dakwaan berlaku penderaan terhadap banduan tetapi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Penjara sampai ke hari ini belum memberi sebarang maklum balas.

    Menurut dua banduan yang dibebaskan, mereka mendakwa didera dengan dipukul menggunakan paip polivinil klorida (PVC) dan objek tumpul kerana berbual serta kononnya ingkar ketika hadir sesi perhimpunan.

    Banduan terbabit turut mendakwa pihak warden bertindak menyembunyi paip berkenaan sewaktu lawatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) ke fasiliti itu.

    “Jika mereka mendengar Suhakam atau orang lain mahu datang membuat pemeriksaan, mereka menyorok paip-paip itu,” dakwanya.

    Selain dikenakan hukuman kerana berbual, mereka juga mendakwa tahanan reman sering kali dilayan dengan diperiksa di bahagian rongga badan apabila pulang dari mahkamah kerana disyaki cuba menyeludup dadah.

    “Kami diarahkan baring secara berbogel di atas lantai untuk ‘kopek durian’ (mengepak punggung),” dakwanya sambil menjelaskan layanan buruk itu dialami mereka yang dalam tahanan reman.

    Bekas banduan itu turut mendakwa bekalan air terhad dalam penjara menyebabkan mereka tidak dapat mandi selama lapan hari, termasuk sukar membersihkan diri selepas membuang air besar dan mengambil wuduk.

    Mereka mendakwa makanan dihidangkan atas pinggan berkulat dan diberikan nasi basi dan sepotong kecil ikan kukus.

    Jika ada tahanan yang mengadu, mereka mendakwa akan dihukum oleh warden penjara sama ada dipukul atau dikurung seorang diri.

    Dakwaan lain adalah mereka dinafikan waktu rehat untuk bersenam atau membaca, selain tidak diberi rawatan sewajarnya jika sakit.

    Ketika artikel ini disiarkan, FMT telah menghubungi pengarah penjara negeri terbabit termasuk Ketua Pengarah Penjara, Datuk Nordin Muhamad untuk mendapatkan maklum balas.

  • Mayat lelaki dengan tangkal ditemukan terapung

    Mayat lelaki dengan tangkal ditemukan terapung

    MAYAT seorang lelaki ditemui orang awam terapung di kawasan Buwan Dive Resort, Kampung Tampi Tampi, Semporna pada Khamis lepas.

    Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada 7.41 pagi sebelum menghantar sepasukan pegawai dan anggota polis ke lokasi kejadian.

    “Siasatan awal mendapat lelaki tersebut berketinggian kira-kira 167 sentimeter, manakala wajahnya sudah mereput dan tidak dapat dikenali serta perut mangsa sudah mengembung.

    “Polis juga tidak menemui sebarang pengenalan diri pada mayat yang memakai seluar panjang berwarna hitam serta baju memakai baju hitam bercorak biru.

    “Mayat turut tersebut turut memakai gelang getah hitam serta memakai tali berupa tangkal berwarna kuning,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Mayat seterusnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Semporna untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian tersebut diminta menghubungi Ketua Balai Polis Semporna, Inspektor Mustapha Majid ditalian 010-551 7617 atau 089-782020.

  • 60 peratus kes profil tinggi rasuah babit ahli politik-SPRM

    60 peratus kes profil tinggi rasuah babit ahli politik-SPRM

    LEBIH 60 peratus daripada 156 kertas siasatan kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam yang dibuka oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari 2020 hingga 8 Jun 2023, adalah melibatkan ahli politik.

    Pengarah Kanan BOK Tan Kang Sai berkata daripada jumlah itu, seramai 211 individu telah ditahan dengan 91 orang daripadanya dituduh di mahkamah membabitkan 454 pertuduhan.

    “Dalam tempoh sama, SPRM turut menyita wang tunai sebanyak RM51,132,539, melucut hak harta dan wang tunai berjumlah RM10,465,873.39 serta mengeluarkan kompaun berjumlah RM128,968,750,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    Menurutnya mengendalikan siasatan melibatkan golongan berprofil tinggi dan kes berkepentingan awam mempunyai cabarannya tersendiri terutamanya dalam menyiasat transaksi kewangan membabitkan bank dan institusi kewangan luar negara.

    Beliau berkata tugas menyiasat jejak kewangan menjadi sukar apabila wang berkenaan dipindahkan ke akaun di luar negara kerana setiap negara mempunyai undang-undang berlainan bagi melindungi sistem perbankan mereka.

    Menurutnya, bank dan institusi kewangan terlibat mempunyai hak untuk tidak bekerjasama dan tidak menyerahkan maklumat mengenai akaun yang disiasat.

    “Berikutan itu, kita dapat lihat kebanyakan bukti berkaitan jejak kewangan yang dibawa ke mahkamah hanya melibatkan bank dan institusi kewangan tempatan sahaja,” katanya.

    Tan berkata antara kes berprofil tinggi berjaya disiasat oleh BOK termasuk Op Mitra, Op Hire dan Op Marii melibatkan penyalahgunaan dana berjumlah ratusan juta ringgit yang disediakan oleh kerajaan bagi pembangunan masyarakat India, pekerja dan industri automotif negara.

    Selain itu, katanya antara cabaran lain turut dihadapi oleh BOK ialah apabila sesuatu kes disensasikan oleh pihak media dan ahli politik sebelum penyiasatan berjalan atau selesai menyebabkan pihak terlibat mengambil kesempatan menghapuskan dokumen-dokumen penting seperti transaksi kewangan, malah ada yang melarikan diri.

    “Kecanggihan teknologi masa kini juga memberi cabarannya tersendiri iaitu transaksi kewangan boleh dilakukan dengan hanya menggunakan telefon bimbit melibatkan bank dan institusi kewangan tempatan malah institusi kewangan luar negara.

    “Berikutan cabaran ini, SPRM telah mengorak langkah untuk menggunakan tenaga pakar dalam bidang perakaunan, kejuruteraan dan undang-undang sebagai sebahagian daripada pasukan siasatan BOK untuk memastikan kertas siasatan yang dihasilkan lengkap dan kukuh untuk dihantar ke Pejabat Peguam Negara,” katanya.

    Menurut Tan, selain menggunakan khidmat pakar, pihaknya juga menggunakan kaedah Model Pengurusan Penyiasatan Berpasukan (MTI) bagi memastikan kertas siasatan dapat dilengkapkan dengan berkualiti dan efisyen.

    Katanya, MTI mempunyai lapan peringkat iaitu yang pertama melibatkan menganalisis aduan dan hala tuju siasatan, siasatan awal, penyediaan perintah operasi dan pelaksanaan operasi.

    “Seterusnya ia melibatkan proses semakan dan kolaborasi keterangan, penilaian dan pengukuhan keterangan, tindakan lanjut siasatan dan pengurusan akhir kertas siasatan,” katanya.

    BOK merupakan bahagian siasatan khas SPRM yang ditubuhkan bagi menyiasat kes-kes berprofil tinggi, kes berkepentingan awam dan keselamatan negara.

    Ia ditubuhkan pada 2010 dan merupakan sebahagian daripada inisiatif transformasi SPRM bagi mencapai objektif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) berkaitan kes-kes rasuah berskala besar, perolehan dan penguatkuasaan.

  • JIM serah siasatan kakitangan terbabit rasuah di KLIA kepada SPRM

    JIM serah siasatan kakitangan terbabit rasuah di KLIA kepada SPRM

    JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menyerahkan sepenuhnya siasatan dakwaan segelintir kakitangannya terbabit rasuah serta pelanggaran integriti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya merujuk beberapa laporan berita diterbitkan hari ini, yang mengaitkan dakwaan itu.

    Jelasnya, JIM sentiasa berhubung, berbincang dan berkongsi maklumat dengan SPRM untuk membantu proses siasatan lebih telus tanpa sebarang gangguan daripada pihak luar.

    “Dalam konteks ini, JIM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai yang didapati terbabit dengan salah laku rasuah sama ada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau mana-mana pejabat imigresen seluruh negara.

    “Jika terdapat pegawai Imigresen didapati bersalah dengan dakwaan berkenaan, JIM tidak akan melindungi mereka.

    “Malah, kami akan mengambil tindakan di peringkat jabatan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

    “JIM komited dalam menambah baik prosedur operasi standard (SOP) untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan pelawat warga asing yang memasuki Malaysia,” katanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Terdahulu, media melaporkan SPRM memandang serius isu rasuah yang dikatakan berlaku dalam insiden membabitkan seorang warga China di KLIA, baru-baru ini.

    Menurut sumber yang dipetik berkata, satu siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengesahkan perkara itu dengan tiga keterangan saksi termasuk Menteri yang terbabit dan dua orang saksi utama warga China sudah diambil pihak SPRM.

    Katanya, beberapa pegawai Imigresen yang terbabit juga akan dipanggil untuk diambil keterangan berhubung perkara itu.

    Malah, SPRM sudah mengenal pasti seorang individu disyaki menjadi orang tengah dalam urusan ‘menyelesaikan’ kes membabitkan seorang pelancong asing yang dikatakan tidak memenuhi syarat kemasukan ke negara ini sebagaimana ditetapkan JIM.

    Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, menerusi kenyataan, menyifatkan tindakan beliau ke KLIA bagi membongkar ‘peristiwa’ memalukan selain mendakwa wujudnya budaya rasuah dilakukan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa kronik di pintu masuk negara.

    Malah, King Sing mengakui gambar tular di media sosial berhubung isu itu adalah dirinya dan beliau mengatakan ada menerima aduan daripada pelancong sebelum ke KLIA bagi memahami situasi pelancong asing itu selain ia pemantauan biasa bagi seorang menteri untuk turun padang.