SEBUAH bot yang membawa 60 migran disyaki etnik Rohingya dan warga Myanmar yang cuba menyeludup masuk ke negara ini diusir keluar pada kedudukan kira-kira 3.0 batu nautika barat Sungai Pinang, dekat sini pada 1 September lalu.
Operasi itu antara kejayaan dicapai sepanjang Operasi REDBACK XVII 2022 yang dilaksanakan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan kerjasama Australian Border Force (ABF) bermula 26 Ogos hingga semalam di sini.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Hamid Mohd. Amin, sepanjang operasi sama seramai lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ditahan di sekitar perairan Pulau Pinang atas kesalahan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Selain itu katanya, sebanyak 13 bot nelayan asing Indonesia juga berjaya diusir keluar dari perairan negara dengan bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Kejayaan itu tambahnya, hasil pengesanan yang dilakukan oleh pesawat Maritim Malaysia CL 415MP di kedudukan kira-kira 67 batu nautika Barat Daya Pulau Kendi pada 5 September lalu.
“Secara keseluruhannya Operasi REDBACK ini telah melaksanakan sebanyak 178 pemeriksaan dan penggeladahan ke atas vesel-vesel di laut melibatkan tiga tangkapan serta dua pengusiran.
“Operasi di laut turut dilaksanakan dengan melibatkan tiga aset laut serta 60 anggota operasi.
“Rondaan rutin, pemeriksaan serta pemantauan sempadan perairan dan titik panas terus dilaksanakan sepanjang tempoh itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, Operasi REDBACK itu merupakan satu inisiatif kerjasama antara Maritim Malaysia dan ABF dalam usaha mengekang, membanteras dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan melalui perairan.
Kerjasama itu jelas beliau, berteraskan memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia dan Australia berkaitan bantuan serta kerjasama melibatkan operasi dan penguatkuasaan maritim yang ditandatangani bersama pada 12 Julai 2011.
“Secara keseluruhannya kerjasama ini berfokus kepada persetujuan bersama dalam membanteras jenayah penyeludupan dan pemerdagangan manusia termasuklah dadah serta aktiviti jenayah rentas sempadan melalui perairan,” katanya.
Tambah beliau, sepanjang dua minggu Operasi REDBACK itu juga, Maritim Malaysia dan ABF telah melaksanakan program ‘Inisiatif Bertanya Khabar’ atau ‘community outreach’ dengan meyampaikan penjelasan secara santai, mengedarkan risalah dan poster, menyantuni komuniti maritim setempat di beberapa lokasi iaitu Kuala Sungai Juru, Telok Kumbar dan Kuala Sungai Pinang.
“Di samping itu, mesej-mesej positif dan peringatan berkaitan jenayah rentas sempadan turut dipaparkan melalui billboards’, ‘banners’ serta poster di lokasi-lokasi strategik di sekitar Pulau Pinang,” katanya.
Dalam masa sama tambah beliau, ABF juga melaksanakan program perkongsian ilmu kepada pegawai dan anggota Maritim Malaysia melalui bengkel penguatkuasaan yang dihadiri seramai 28 orang.
Jelasnya, bengkel itu turut melibatkan peserta daripada agensi sahabat seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM); Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM); Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Jabatan Laut Malaysia (JLM).