Category: Jenayah

  • Kes rasuah: 59 kakitangan universiti awam, swasta ditahan SPRM

    Kes rasuah: 59 kakitangan universiti awam, swasta ditahan SPRM

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 59 kakitangan universiti awam dan swasta dengan 49 daripadanya didakwa di Mahkamah antara 2017 dan Ogos tahun ini, atas kesalahan rasuah.

    Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Norazlan Mohd Razali berkata kes itu melibatkan sejumlah RM1,323,203.68 wang haram iaitu RM1,311,403.68 daripada universiti awam dan RM11,800 universiti swasta.

    Beliau berkata antara kes itu melibatkan seorang pengarah universiti awam yang ditahan baru-baru ini, didakwa menerima sebuah kereta sebagai dorongan untuk membantu sebuah syarikat mendapatkan tender bernilai RM1.6 juta dan seorang profesor universiti yang turut ditahan berhubung dakwaan tuntutan palsu melibatkan dana penyelidikan RM66,000.

    “Insiden rasuah seperti sogokan, penyalahgunaan kuasa, tuntutan palsu dan lain-lain kesalahan kewangan berlaku di universiti awam dan swasta kita,” katanya dalam ucaptama pada majlis pelancaran Rangka Kerja Pencegahan Rasuah di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Gombak di sini, hari ini.

    Beliau berkata segala bentuk amalan rasuah seperti penyalahgunaan kuasa dan penipuan akreditasi dalam pendidikan tinggi memberi implikasi besar terhadap reputasi institusi dan mengurangkan nilai teras yang cuba diajar kepada penuntut iaitu kejujuran.

    Mengenai UIAM, Norazlan berkata ia dinilai sebagai agensi berisiko sederhana pada 2020 tetapi ia tidak bermakna universiti awam itu bebas daripada sebarang amalan rasuah.

    “Sejak 2017 hingga Ogos 2022, kami hanya mempunyai dua kes terhadap kakitangan UIAM. Berdasarkan rekod, saya percaya UIAM telah dikendalikan dengan rejim tadbir urus yang agak ketat dan tidak hairanlah jika ia bertujuan untuk memastikan sifar rasuah dengan pengenalan Rangka Kerja Pencegahan Rasuah bagi tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

    Rangka Kerja tersebut menggariskan prinsip dan tatacara universiti terhadap amalan rasuah dalam menjalankan perniagaannya bagi memastikan ahli lembaga pengarah, pihak berkuasa universiti dan semua kakitangan menjunjung nilai-nilai murni dan integriti ke arah mencapai visi dan misinya.- BERNAMA

  • Dadah bernilai RM20.56 juta dirampas, lima lelaki ditahan

    Dadah bernilai RM20.56 juta dirampas, lima lelaki ditahan

    POLIS berjaya merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM20.56 juta selain menumpaskan dua sindiket pengedaran dan pemprosesan dadah dengan penahanan lima lelaki tempatan dalam beberapa serbuan berasingan di Ampang Jaya, Serdang dan Petaling Jaya, minggu lalu.

    Dadah seberat 299.33 kilogram (kg) yang dirampas itu membabitkan heroin base, pil erimin 5, methamphetamine, ganja, pil ecstasy dan caffein.

    Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed GAMBAR: Warta Rakyat

    Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kejayaan menumpaskan sindiket pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang itu adalah dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, JSJN Bukit Aman, Johor serta Negeri Sembilan.

    Menurutnya, bagi sindiket pertama, JSJN Selangor bersama JSJN Bukit Aman menjalankan operasi pada pukul 6.45 petang, 13 September lalu, sebelum menahan dua lelaki berumur 32 dan 35 tahun di tempat letak kereta berdekatan sebuah pasar raya di Ampang.

    Dengan tangkapan itu katanya, polis berjaya merampas empat ketulan mampat bahan disyaki dadah jenis heroin base dianggarkan 1.54 kilogram.

    “Kemudian, seorang lelaki berumur 35 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes ini ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Kinrara, Puchong,” katanya dalam sidang media sebagaimana lapor Harian Metro.

    Kata laporan itu lagi, Arjunaidi berkata, pada pukul 9.15 malam hari sama, dengan dipandu arah dua suspek, polis menyerbu sebuah rumah di kawasan Sri Damansara.

    “Siasatan lanjut mendapati, polis menjumpai 112 ketulan mampat disyaki heroin base dengan anggaran berat 43.48 kg serta 89,500 biji pil erimin 5 anggaran berat 27.2 kg di dalam sebuah Mercedes,” katanya.

    Bagi serbuan sindiket kedua pada 15 September pula katanya, polis menangkap dua lelaki berumur 23 dan 27 tahun di sebuah rumah dipercayai dijadikan makmal memproses dadah di Damansara Perdana, Petaling Jaya jam 6.10 petang.

    “Pemeriksaan di rumah terbabit, polis menemui 355 bungkusan disyaki heroin (anggaran berat 134.19 kg), 54 bungkusan disyaki methamphetamine (anggaran berat 59.04 kg) dan 20 ketulan mampat daun kering disyaki ganja (anggaran berat 20 kg).

    “Polis turut menemui 15,830 biji pil erimin 5 (anggaran berat 4.56 kg), tujuh bungkusan disyaki pil ecstasy (anggaran berat 3.19 kg) dan enam bungkusan disyaki caffeine (anggaran berat 6.12 kg)

    “Selain itu, polis turut menjumpai bahan dan peralatan memproses dadah seperti empat botol plastik ‘accetone’, satu botol plastik ‘ethanol’, mesin memproses dadah, corong besi serta pelbagai peralatan menghasilkan dadah,” katanya.

    Beliau berkata, dadah bernilai RM20.56 juta itu dipercayai untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang dan selatan tanah air.

    Menurutnya, tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 yang mana polis turut menyita aset sindiket bernilai RM152,001.

    “Aset yang disita termasuk dua kereta iaitu Nissan Impul dan Audi, lima motosikal iaitu Ducati, Honda ADV, Yamaha RXZ, Yamaha Y15ZR dan SYM juga topi keledar Shoei.

    “Polis turut menyita tiga jam tangan bernilai RM5,000 serta wang tunai RM5,001,” katanya.

    Katanya, kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula sehari selepas ditangkap dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Jika sabit kesalahan, akan dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan,” katanya.

  • Upah RM10,000 bunuh suami, lakon aksi rompakan jayakan rancangan

    Upah RM10,000 bunuh suami, lakon aksi rompakan jayakan rancangan

    SEORANG wanita dipercayai sanggup membayar upah sebanyak RM10,000 kepada kumpulan pembunuh upahan untuk menyamar sebagai perompak untuk ‘melakonkan’ aksi rompakan sebelum membunuh suaminya.

    Ia rancangan jahat wanita berusia 37 tahun itu yang dipercayai melakukan adegan rompakan palsu bagi tujuan menuntut pampasan insurans bernilai jutaan ringgit.

    Memetik laporan Harian Metro, plot pembunuhan dirancang rapi suspek wanita berkenaan di kediamannya di Taman Aneka Baru, Sungai Udang di Klang, Khamis lalu.

    Sumber berkata, isteri mangsa sebelum itu melaporkan kepada polis kediaman mereka dirompak sekumpulan lelaki yang turut menikam mati suaminya.

    Bagaimanapun, soal siasat polis terhadap wanita terbabit membongkar rancangan licik dilakukannya.

    Sumber berkata, terdapat percanggahan keterangan direkodkan daripada wanita terbabit menyebabkan dia akhirnya mengaku merancang pembunuhan itu.

    “Wanita itu yang disoal siasat mengaku mencari khidmat pembunuh upahan itu menerusi kenalan lelaki dan membayar wang pendahuluan kepada pembunuh upahan terbabit.

    “Pada mulanya dia memberi alasan melakukannya (rancangan membunuh suami) kerana tertekan sering dipukul mangsa. Namun siasatan mendapati wanita itu sudah menaik taraf jumlah insurans sebelum kejadian (bunuh) berlaku,” katanya, semalam.

    Kelmarin, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam berhubung satu pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki yang menyebabkan seorang daripadanya terbaring berlumuran darah di kawasan rumah berkenaan jam 2.14 pagi Khamis lalu.

    “Pasukan perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan seorang lelaki berusia 41 tahun sudah meninggal dunia akibat 14 kesan tikaman,” katanya.

    Arjunaidi berkata, isteri mangsa memaklumkan, dua lelaki berpakaian serba hitam dan memakai topeng serta bersenjatakan pisau masuk ke rumahnya melalui pintu hadapan sebelum menikam suaminya hingga menyebabkan kematian.

    “Dakwa wanita itu, perompak menggeledah bilik dan rumah sebelum mengambil pelbagai beg tangan berjenama, barang kemas serta wang tunai sekitar RM40,000 dan melarikan diri menggunakan kereta BMW. Dianggarkan jumlah kerugian dialami kira-kira RM100,000,” katanya.

    Bagaimanapun, polis menahan wanita itu sekitar pukul 10 malam, tidak sampai 24 jam selepas polis menerima laporan berhubung insiden kejadian rompakan itu.

    Beliau berkata, suspek dipercayai membuat perancangan untuk membunuh suaminya sendiri kerana dendam.

    “Dia berkomplot bersama empat lelaki berumur 20 hingga 36 tahun yang ditahan polis antara Jumaat lalu hingga kelmarin di sekitar daerah ini serta Senawang, Negeri Sembilan,” katanya.

    Beliau berkata, wanita terbabit dan empat suspek direman sehingga 22 September ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh serta Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu rompakan berkumpulan dengan senjata.

  • Dua ditahan bergaduh dipercayai angkara burung RM10,000

    Dua ditahan bergaduh dipercayai angkara burung RM10,000

    POLIS menahan dua individu susulan pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki yang didakwa berkaitan kecurian burung di Kampung Pantai Kundor di Kota Bharu, semalam.

    Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, kedua-duanya berusia 38 dan 44 tahun diberkas selepas pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 8.33 malam.

    Katanya, pihaknya juga sudah mengenal pasti individu lain yang terbabit dan tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat.

    “Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan satu video berdurasi 24 saat yang tular di aplikasi WhatsApp pada 8 malam tadi, memaparkan pergaduhan sekumpulan individu di Kampung Pantai Kundor.

    “Setakat ini dua orang ditangkap bagi membantu siasatan. Usaha mengesan dan menangkap suspek lain sedang giat dijalankan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Terdahulu, video tular itu menunjukkan sekumpulan individu bergaduh termasuk menggunakan kayu kerana didakwa seorang lelaki mencuri burung yang bernilai hampir RM10,000.

    Orang ramai diminta tidak membuat spekulasi berkaitan kejadian dan mereka yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Ismail di talian 019-2454124 atau 09-7752200.

  • KPDNHEP bendung jual minyak masak dalam talian, kerjasama platform e-dagang

    KPDNHEP bendung jual minyak masak dalam talian, kerjasama platform e-dagang

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bekerjasama dengan beberapa penyedia platform e-dagang tempatan dalam usaha membendung aktiviti penjualan minyak masak secara dalam talian.

    Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Azman Adam berkata hasil kerjasama dengan penyedia platform seperti Shopee, Lazada dan Mudah.my, sebanyak 121 iklan penjualan minyak masak secara dalam talian telah dinyahturun sejak awal tahun ini hingga Isnin lepas. 

    Selain itu, beliau berkata bagi tempoh sama, 55 pemeriksaan dilakukan KPDNHEP di seluruh negara berhubung aktiviti penjualan minyak masak secara dalam talian.

    Menurutnya, tiga tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 diambil ke atas pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan kesalahan berkaitan penjualan minyak masak secara dalam talian melibatkan nilai rampasan berjumlah RM1,564.90.

    “Antara kesalahan yang dikesan ialah berurus niaga secara borong dan runcit barang kawalan berjadual iaitu minyak masak tanpa lesen yang sah dan menyimpan minyak masak di tempat yang tidak dilesenkan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Azman turut meminta masyarakat untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan menyalurkan sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan berjadual.- BERNAMA

  • Lelaki himpit, halang kenderaan di lampu isyarat diburu polis

    Lelaki himpit, halang kenderaan di lampu isyarat diburu polis

    SEORANG lelaki bersama keluarganya berdepan detik cemas apabila secara tiba-tiba kenderaan dinaiki mereka dihalang sebuah kereta lain dari arah bertentangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Suakasih, Bandar Tun Hussein Onn, Cheras Ahad lalu.

    Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, risau diapa-apakan, mangsa bertindak mengundurkan kenderaan lalu memecut laju melarikan diri namun suspek terus mengejarnya.

    “Siasatan awal mendapati mangsa tidak mengenali lelaki yang cuba menghalang dan menakutkan secara jenayah.

    “Suspek bertindak menghimpit dan mengejar kereta mangsa supaya berhenti hingga mendatangkan bahaya kepada keluarga mangsa. Tidak dapat dipastikan motif suspek terbabit,” katanya dalam kenyataan pada semalam.

    Detik-detik cemas itu tular selepas video rakaman kamera papan pemuka dari kenderaan dinaiki mangsa dimuat naik seorang pengguna Facebook pada Isnin.

    Video berdurasi tiga minit itu memaparkan sebuah kenderaan berwarna merah secara tiba-tiba menghalang mangsa dan keluarganya di sebuah lampu isyarat sebelum berlaku kejar mengejar antara mereka.

    Dalam pada itu, Mohd Zaid berkata, mangsa yang ketakutan terus memandu melarikan diri sehingga berjaya meninggal suspek di belakang.

    Katanya, polis telah mengenal pasti suspek dan sedang mengesan lelaki terbabit untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

    “Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh tampil ke mana-mana balai berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Muhammad Fudhail Zikri di taluan 01156566511,”ujar beliau

  • Polis rakam keterangan dua beradik mangsa dera

    Polis rakam keterangan dua beradik mangsa dera

    POLIS merakam keterangan dua kanak-kanak disyaki didera sepasang suami isteri di sebuah kondominium di Taman Cahaya di Ampang pada Jumaat lalu.

    Dua kanak-kanak berusia enam dan lapan tahun itu telah dirakam keterangan di Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC), Bahagian Siasatan Seksual, Wanita & Kanak-Kanak (D11) di Ampang semalam.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan pihaknya juga telah merekod keterangan beberapa individu lain berhubung kes itu.

    “Kertas siasatan dijangka akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada minggu ini,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Pada Jumaat, media melaporkan polis menahan kedua-dua suspek kira-kira pukul 6 petang selepas disyaki mendera dua beradik terbabit.

    Suspek wanita adalah adik kepada ibu mangsa yang menjaga dua beradik itu sejak dua tahun lalu selepas bapa kanak-kanak itu meninggal dunia.

    Sepasang suami isteri itu direman seminggu bagi membantu siasatan selepas disyaki mendera dua anak saudara mereka.

    Sebelum ini, seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang berada seorang diri di rumah cuba terjun dan melarikan diri dari tingkap sebuah unit kondominium di tingkat empat.

  • Syabu bernilai RM8.53 juta dirampas

    Syabu bernilai RM8.53 juta dirampas

    POLIS menahan seorang lelaki tempatan dan merampas dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM8.53 juta dalam satu serbuan Op Mohave di sebuah rumah di Segambut Dalam, di Kuala Lumpur, kelmarin.

    Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur bersama JSJN Bukit Aman berjaya merampas 236 kilogram (kg) dadah dibungkus dalam bungkusan minuman teh cina.

    “Hasil soal siasat, polis menjalankan empat serbuan berasingan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Batu Gajah dan Tapah, Perak serta di Ulu Bernam, Selangor.

    “Di Bukit Mertajam seorang lelaki ditahan dalam serbuan ke atas sebuah kereta di hentian rehat, manakala serbuan di sebuah rumah di Batu Gajah berjaya menahan seorang lagi lelaki tempatan.

    Sebahagian dadah jenis syabu bernilai RM8.53 juta yang dirampas selepas polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dalam Ops Mojave ketika Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Polis menahan dua lelaki tempatan dalam satu serbuan di sebuah hentian rehat di sekitar Tapah dan seorang lelaki ditahan di Ulu Bernam dalam serbuan di sebuah kereta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

    Yahaya berkata, siasatan awal mendapati dadah terbabit diseludup masuk dari utara sebelum diedarkan untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

    “Suspek ditahan dipercayai berperanan sebagai penerima dan pengedar. Kita percaya sindiket ini aktif sejak bulan Julai tahun ini.

    “Kebanyakan suspek ini menganggur, tetapi ada antara mereka bekerja sebagai pembantu kedai, dan bekerja sendiri untuk selindung kegiatan sebenar mereka,” jelas beliau.

    Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Beliau berkata, semakan mendapati empat daripada suspek terbabit mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan narkotik dan lima daripada mereka didapati positif dadah.

    Katanya, polis turut menyita empat buah kenderaan jenis Toyota Alphard, Ford Ranger, Perodua Axia dan Perodua Bezza serta merampas barang kemas.

    “Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta dianggarkan RM8.96 juta.

    “Kesemua suspek merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 24 hingga 47 tahun direman tujuh hari bermula Ahad untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB),” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Ketua Geng Alif Buntal lakukan 13 jenayah ketika lolos parol

    Ketua Geng Alif Buntal lakukan 13 jenayah ketika lolos parol

    KETUA ‘Geng Alif Buntal’ yang melarikan diri daripada perintah pengawasan parol pada bulan lepas, sempat melakukan 13 kes jenayah termasuk mencuri enam buah motosikal, sebelum dia berjaya diberkas semula Ahad lepas.

    Lelaki berusia 22 tahun berasal dari Kuala Besut itu, sebelum ini menjalani proses parol di Damansara, Kuala Lumpur, namun melarikan diri pada 10 Ogos lalu.

    Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata suspek kemudiannya berjaya ditahan semula di tapak Pasar Borong Kampung Lampu, Kuala Besut pada 2 pagi.

    “Suspek dipercayai melakukan kes curi enam motosikal dan enam kes pecah rumah dengan nilai kerugian kira-kira RM59,000, serta satu kes kekerasan jenayah sepanjang tempoh kurang dua bulan dia diburu kerana melarikan diri dari parol.

    “Siasatan awal mendapati suspek melakukan kegiatan tersebut bersama dua lagi rakannya yang masih bebas di sekitar daerah Besut dan Setiu,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, Besut hari ini.

    Abdul Rozak berkata susulan penangkapan suspek beberapa siri serbuan dan rampasan telah dilakukan termasuk di sekitar Pasir Putih, Kelantan dan pihaknya juga sudah mengenal pasti dua rakan suspek dikenali sebagai Mat Chah dan Mat Daha.

    “Dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menemui dan merampas semula enam buah motosikal jenis Honda EX5, termasuk sebuah motosikal yang kali terakhir dicurinya di rumah seorang guru di Taman Alor Lintang pada 14 Sept.

    “Polis turut merampas tiga unit komputer riba dan dua telefon bimbit yang dipercayai dicuri dari rumah mangsa,” katanya yang memberitahu suspek mempunyai 11 rekod jenayah lampau.

    Abdul Rozak berkata modus operandi suspek ialah memecah masuk rumah atau mencuri motosikal ketika penghuni tiada di rumah dan menggunakan pemutar skru untuk menghidupkan motosikal.

    Beliau berkata polis akan memohon sambungan reman terhadap suspek yang akan tamat hari ini, bagi melengkapkan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan Seksyen 379A kanun sama kerana curi kenderaan.

  • IPD Bentong siasat dakwaan sindiket culik di Genting Highland

    IPD Bentong siasat dakwaan sindiket culik di Genting Highland

    IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang kanak-kanak hampir menjadi mangsa culik di Genting Highland.

    Ketua Polis Daerah Bentong, Supritendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, siasatan itu dibuat selepas dakwaan sindiket penculikan itu tular dalam media sosial sejak semalam.

    “Pihak keselamatan Genting Highlands telah membuat laporan polis pukul 8.16 malam semalam berhubung video tular tersebut.

    “Tular sebuah video berdurasi satu minit 20 saat melalui akaun TikTok @Alfitry_Azmi52 yang dimuat naik di Facebook daily traffic report.

    “Video itu memaklumkan seorang kanak-kanak perempuan hampir menjadi mangsa culik oleh seorang perempuan wargangera asing di Genting Highlands,” katanya dalam kenyataan, lapor Utusan TV.

    Mengulas lanjut, Zaiham berkata, pihaknya telah mengesahkan tidak menerima sebarang laporan polis daripada pihak yang terlibat.

    Jelas beliau, IPD Bentong akan menghubungi pemilik akuan TikTok berkenaan bagi mendapatkan makumat lanjut berhubung kejadian tersebut.

    “Kita memohon kerjasama daripada semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

    Sementara itu, dalam satu lagi klip video di TikTok, seorang lelaki yang mendakwa diri bapa kepada anak yang hampir diculik tampil menjelaskan cerita sebenar.

    Menerusi akaun bernama Jaffrule Zaffrule, mendakwa isterinya didatangi dua warga asing ketika dia bersama rakan ingin bermain permainan.

    Katanya, sangkaan awal kedua-dua mereka mungkin ingin mencuri barang yang dijaga isterinya, tetapi sebaliknya wanita warga Pakistan bertindak menarik dan mendukung anaknya.

    Dia tidak membuat laporan polis dan menyerahkan kepada polis bantuan untuk tindakan selanjutnya.