Category: Jenayah

  • Lelaki ketuk kepala isteri bekas ADUN ditahan

    Lelaki ketuk kepala isteri bekas ADUN ditahan

    SEORANG lelaki yang disyaki menyerang dan mengetuk kepala pemilik kedai runcit di Jalan Datuk Ismail Hashim, Sungai Ara di Bayan Lepas, semalam sudah ditahan.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, suspek berusia 41 tahun itu ditahan polis di rumahnya di Bayan Lepas pada pukul 11.30 malam tadi.

    “Semakan mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai rekod lampau berkait jenayah atau dadah.

    “Suspek yang bekerja sebagai operator kilang itu diperintah reman selama tiga hari sehingga Ahad bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan 506 kanun yang sama.

    Semalam akhbar Kosmo! melaporkan, isteri kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz itu diserang seorang lelaki di sebuah kedai runcit di Bayan Lepas, Balik Pulau petang semalam.

    Kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu berlaku apabila wanita tersebut berada di dalam premis berkenaan lalu didatangi seorang lelaki berbaju-t dan berseluar pendek.

    Azrul berkata, kejadian berlaku selepas isterinya menegur seorang pelajar sekolah yang disyaki mencuri barangan makanan di dalam premis berkenaan.

    “Isteri pada mulanya curiga lihat seorang budak sekolah memasukan barang di dalam beg. Ketika sedang beri nasihat, budak perempuan tersebut sudah melarikan diri.

    “Dalam tempoh 10 minit, seorang lelaki disyaki bapa kepada budak berkenaan masuk ke kedai lalu menyerang isteri.

    “Isteri saya mengadu yang lelaki itu ada mengetuk kepalanya dan perbuatan itu dapat dilihat menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di kedai,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

  • Selepas bidas kerajaan Selangor, pusat khidmat ADUN Bersatu cuba dirobohkan

    Selepas bidas kerajaan Selangor, pusat khidmat ADUN Bersatu cuba dirobohkan

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Hilman Idham mendakwa kerajaan Selangor cuba meroboh pusat khidmatnya selepas gagal melaksanakan perintah pengusiran.

    Beliau mendakwa, kerajaan negeri kini menyedari alasan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak munasabah untuk memaksanya mengosongkan premis itu.

    “Maka, mereka ingin mengambil tindakan meroboh serta memusnahkan premis Pusat Khidmat DUN Gombak Setia yang dibangunkan sejak 2008,” katanya di Facebook.

    Hilman berkata, penguat kuasa dari Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyerahkan notis pendudukan tidak sah atas tanah kerajaan mengikut Seksyen 425 dan 426A(1)(c) Kanun Tanah Negara semalam.

    Seksyen 426A(1)(c) memberi kuasa kepada pihak berkuasa berkaitan merobohkan mana-mana bangunan didirikan atas tanah negeri akibat pendudukan haram.

    Hilman berkata, beliau tidak akan tunduk kepada tekanan sedemikian dan akan terus menyalurkan bantuan kepada pengundinya sehingga hari pengundian.

    Pada 28 Jun lalu, Hilman membidas kerajaan Selangor kerana mengeluarkan perintah pengusiran ke atas pusat khidmatnya yang menuntut premis itu dikosongkan ‘segera’.

    ADUN daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, penguat kuasa dari Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta MPS ke premis tersebut untuk mengusirnya, tetapi gagal berbuat demikian kerana tiada perintah mahkamah.

    Beliau menegaskan alasan pengusiran bahawa tiada kelulusan kerajaan negeri diberikan untuk penggunaan tanah itu sebagai pusat khidmat ‘benar-benar mengarut dan bodoh’.

    Hilman mendakwa pusat khidmat itu beroperasi di tanah itu lebih lima tahun, dengan pengetahuan penuh kerajaan Selangor.

    Katanya, perintah pengusiran itu tidak mematuhi prosedur undang-undang sewajarnya, termasuk tidak ditandatangani pentadbir daerah dan tanah Gombak, sebaliknya oleh timbalannya yang bertanggungjawab terhadap penguatkuasaan.

    “Tindakan desperado ini bermotifkan salah guna kuasa, ugutan dan ‘vendetta’ politik oleh kepimpinan kerajaan Selangor yang jelas takut akan kebangkitan rakyat menjelang PRN Selangor,” katanya lapor FMT.

  • Belasah anak kekasih usia 3 tahun sampai pecah tengkorak, maut

    Belasah anak kekasih usia 3 tahun sampai pecah tengkorak, maut

    SEORANG wanita dan teman lelakinya direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan kematian anak lelakinya yang berusia tiga tahun, semalam.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, wanita berusia 24 tahun dan lelaki berusia 25 tahun itu, ditahan pada 8 malam tadi di Hospital Melaka.

    Beliau berkata, kanak-kanak itu dibawa oleh wanita berkenaan dan teman lelakinya ke hospital tersebut kira-kira 6.50 pagi semalam dalam keadaan tidak sedarkan diri.

    “Sebaik tiba di hospital, kanak-kanak itu diberikan bantuan pernafasan selama satu jam 10 minit, namun mangsa tidak memberi sebarang respons sebelum disahkan meninggal dunia pada 9.15 pagi semalam.

    “Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Perubatan Forensik Hospital Melaka kira-kira 10.30 pagi dan pemeriksaan awal doktor mendapati terdapat kesan cedera di bahagian kepala serta badan mangsa. Punca kematian disebabkan kecederaan di kepala dan bahagian perut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati sebelum kejadian itu, ibu mangsa telah membawa kanak-kanak berkenaan yang mengalami muntah-muntah untuk berubat di rumah teman lelakinya di Cheng, di sini kira-kira 5.30 pagi semalam.

    Katanya, bagaimanapun tidak sampai satu jam kemudian, ibu mangsa telah dihubungi teman lelakinya memaklumkan kanak-kanak tersebut telah terjatuh dan tidak sedarkan diri sebelum pasangan itu membawa mangsa ke Hospital Melaka.

    Menurutnya kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-kanak 2001 kerana pengabaian kanak-kanak dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

    Christopher turut menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita tidak benar supaya tidak mengganggu siasatan selain dikhuatiri menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.

  • Bekas pemain bola sepak Liga Super ditahan terlibat kes samun

    Bekas pemain bola sepak Liga Super ditahan terlibat kes samun

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BEKAS pemain bola sepak yang dipercayai pernah beraksi untuk beberapa pasukan utama Liga Super ditahan selepas terbabit kes pecah rumah dalam kejadian di Benut, Pontian Isnin lalu.

    Suspek, 33, diberkas selepas melakukan jenayah pecah rumah sehingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian puluhan ribu ringgit.

    Menurut sumber, lelaki terbabit diberkas polis selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan sebelum mendapati dia disyaki terbabit dengan kejadian pecah rumah.

    “Apabila polis cuba menahannya, suspek yang enggan memberikan kerjasama cuba bertindak agresif menyebabkan berlaku sedikit pergelutan.

    “Hasil siasatan, suspek mengaku melakukan aktiviti pecah rumah sebelum dia bersama seorang lagi rakannya menunjukkan lokasi di mana hasil rompakan disimpan,” katanya.

    Menurutnya, bekas pemain bola sepak itu bersama rakannya di tahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

    Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Deputi Superintenden Abdul Hamid Abd Rahman mengesahkan kejadian dan memaklumkan kes terbabit masih dalam siasatan.

    Mengikut rekod, bekas pemain bola sepak terbabit pernah beraksi bersama beberapa pasukan gergasi Liga Super di selatan dan utara tanah air.

    Malah juga pernah berkelana ke Liga Thailand selama dua tahun selain turut menjalani pemilihan bersama kelab berpengkalan di Jepun.

    Kali terakhir dia beraksi bersama pasukan Liga Super adalah pada 2018 bersama kelab berpengkalan di utara tanah air sebelum bekas pemain itu dikatakan menukar haluan dengan bermain bersama skuad Liga M3.

  • Pasangan suami isteri cedera disimbah asid

    Pasangan suami isteri cedera disimbah asid

    SEPASANG suami isteri cedera manakala anak lelaki mereka terselamat apabila disimbah asid oleh seorang wanita semasa memasuki lif di sebuah pangsapuri di Batu Caves, Gombak, Kuala Lumpur, kelmarin.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Supt Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian berkenaan pukul 3.10 pagi, selepas insiden itu berlaku pada pukul 1.27 pagi.

    Katanya, mangsa adalah seorang wanita tempatan berusia 60 tahun dan suaminya warganegara asing berusia 37 tahun dan anak lelaki mereka berusia 14 tahun.

    Menurutnya, suspek wanita bertindak menyimbah cecair dipercayai asid ke arah kedua-dua mangsa dari luar lif sebelum melarikan diri.

    “Mangsa telah meminta bantuan orang awam untuk menghantar ke Hospital Selayang bagi menerima rawatan selepas cedera di beberapa bahagian badan dan telah dibenarkan pulang manakala anaknya tidak mengalami kecederaan,” katanya, dalam satu kenyataan, hari ini.

    Kejadian itu yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) turut tular selepas dikongsi di media sosial.

    Noor Ariffin berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan pihaknya kini sedang mengesan suspek berkenaan.

    Beliau turut meminta orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp Mohd Nizar Adnan di talian 013-9661892 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak 03- 61262222.

  • CEO koperasi bergelar ‘Datuk’ ditahan terima suapan RM250,000

    CEO koperasi bergelar ‘Datuk’ ditahan terima suapan RM250,000

    SEORANG  Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah koperasi bergelar Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menerima suapan lebih RM250,000.

    Sumber berkata, suspek disyaki menerima ‘duit kopi’ berjumlah ratusan ribu itu daripada pemilik syarikat pembekal makanan dan minuman.

    Kata sumber, lelaki berusia lingkungan 40-an itu dipercayai ditahan ketika diminta hadir di SPRM Kuala Lumpur jam 5 petang Rabu.

    “Suspek telah meminta dan menerima wang suapan dengan menggunakan kad mesin juruwang automatik (ATM) pemilik syarikat pembekal makanan dan minuman tersebut.

    “Ia sebagai balasan membantu mendapatkan kerja-kerja pembekalan bagi sebuah agensi penguat kuasa sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu,” kata sumber lapor Sinar Harian.

    Tambah sumber, kad ATM tersebut dipercayai telah ditemui dalam kawalan orang kena tuduh (OKT), selain suspek mengakui mengeluarkan wang beberapa kali menggunakan kad berkenaan.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

  • PRN: Kumpulan kongsi gelap, NGO berisiko cetus kekacauan dalam radar polis

    PRN: Kumpulan kongsi gelap, NGO berisiko cetus kekacauan dalam radar polis

    POLIS Pulau Pinang telah mengenal pasti kumpulan kongsi gelap serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang disokong oleh kongsi gelap yang mungkin boleh mengganggu serta mendatangkan kegusaran awam ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu kelak.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, pihaknya sudah mempunyai data dan senarai kumpulan terbabit dan kegiatan mereka sentiasa dalam radar pemantauan polis.

    Jelas beliau, polis juga sudah mengenal pasti lokasi di mana kumpulan terbabit berisiko untuk mempengaruhi dan mengganggu perjalanan PRN terutama ketika sepanjang tempoh berkempen.

    “Sekarang kita memerhati serta menjalankan tindakan risikan supaya mereka tidak menjadi orang tengah atau menimbulkan kacau-bilau,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di George Town hari ini.

    Menurut Kok Chin, polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan segera terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu perjalanan PRN kelak.

    Jelas beliau, pihaknya akan segera bertindak dan mengambil langkah pencegahan sekiranya mengesan sebarant unsur yang boleh mencetuskan gangguan oleh kumpulan terbabit.

    ”Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) juga menjalankan Op Cantas iaitu sebelum, semasa dan selepas PRN nanti,” katanya.

    Dalam kata itu, Kok Chin berkata, polis turut mengenal pasti sekurang-kurangnya dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang yang berisiko menjadi kawasan panas (hotspot) sepanjang kempen PRN kelak.

    Jelasnya, dua kawasan ‘hotspot’ terbabit adalah di DUN Permatang Pasir di kawasan Seberang Perai serta DUN Bayan Lepas di bahagian pulau.

    Sehubungan itu, tambahnya, polis akan memberi tumpuan di dua kawasan terbabit berdasarkan kepada maklumat yang diperoleh polis dari semasa ke semasa, namun keadaan setakat ini adalah terkawal.

    Dalam perkembangan berkaitan, beliau menambah, seramai 5,776 anggota dan pegawai polis akan bertugas sepanjang PRN Pulau Pinang bagi memastikan perjalanan PRN lancar.

    “Secara keseluruhannya di Pulau Pinang terdapat 23 pusat penamaan calon iaitu masing-masing 14 di kawasan pulau serta sembilan di bahagian Seberang Perai,” katanya.

  • Suspek sindiket dadah ditemui mati di lokap, gantung diri guna baju

    Suspek sindiket dadah ditemui mati di lokap, gantung diri guna baju

    SEORANG lelaki yang ditahan selepas disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran pelbagai jenis dadah ditemui maut di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan (SPS), Pulau Pinang awal pagi hari ini.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, suspek warga tempatan berusia 40 tahun itu ditemui maut oleh pegawai polis yang bertugas kira-kira pukul 10 pagi selepas dipercayai menggantung diri di jeriji besi lokap berkenaan.

    Menurut beliau, suspek merupakan salah seorang daripada lima suspek warga tempatan berusia 35 hingga 58 tahun yang ditahan polis dalam operasi terancang yang dijalankan di kawasan SPS dan Seberang Perai Tengah (SPT), Pulau Pinang dan di Kulim, Kedah.

    Katanya, suspek yang berasal dari Lunas, Kulim itu ditahan semalam dalam operasi yang dijalankan bermula pukul 12 tengah hari semalam hingga pukul 7 pagi hari ini.

    ”Menerusi siasatan terdapat tiga tahanan di dalam lokap yang sama dengan suspek dan mereka didapati tidur ketika kejadian,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di George Town hari ini.

    Menurut Kok Chin, siasatan mendapati tidak ada kesan kecederaan jenayah pada suspek dan rakaman menerusi kamera litar tertutup (CCTV) juga menunjukkan suspek menggantung diri menggunakan baju di jeriji besi lokap.

    Ujar beliau, pihak koroner juga telah dipanggil untuk mengesahkan kematian suspek yang turut didapati positif dadah itu dan kes tersebut disiasat sebagai mati mengejut.

    Mengulas mengenai kejayaan polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang turut dianggotai oleh suspek terbabit, Kok Chin berkata, polis menjalankan empat serbuan dan merampas pelbagai jenis dadah termasuk seberat 12.72 kilogram bernilai RM116,000.

    Jelasnya, hasil risikan mendapati sindiket itu telah bergiat aktif mengedar dadah sejak awal tahun ini untuk pasaran tempatan dan kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 12 Julai untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • SPRM buru ejen minta rasuah RM18,000 di KLIA

    SPRM buru ejen minta rasuah RM18,000 di KLIA

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengenal pasti individu yang dipercayai menjadi ejen membawa masuk warga China semasa insiden kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.

    Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, beliau tidak menolak ejen yang meminta suapan sebanyak RM18,000 itu masih berada di dalam negara.

    Beliau berkata, pihaknya sedang giat memburunya dan suspek juga dipercayai bekerja dengan sebuah syarikat menguruskan kemasukan pelancong yang bertempat dalam premis KLIA.

    Beliau berkata, syarikat ejen pelancongan tersebut dipercayai telah beroperasi di dalam premis KLIA sejak 2017 bagi menguruskan tiket kapal terbang dan makan minum kepada kumpulan pelancong yang hadir ke Malaysia.

    “SPRM mengesyaki ejen yang menguruskan kemasukan warga China tersebut juga adalah dari negara China kerana menggunakan bahasa mereka sendiri dan berhubung secara WeChat.

    “Sehubungan itu, SPRM sedang berusaha keras untuk memburu ejen tersebut yang dipercayai masih berada di dalam negara. Namun pelancong wanita China yang menimbulkan kekecohan semasa ingin masuk ke negara ini telah pulang kembali ke negaranya bersama seorang rakan senegara,” katanya lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian selepas Program Pemantapan Rakan Strategik Media SPRM 2023 dan majlis pelancaran aplikasi TikTok SPRM, di Putrajaya.

    Mengulas lanjut, Azam berkata, SPRM tidak mempunyai kuasa untuk menahan kepulangan pelancong wanita China tersebut ke negaranya kerana dia bukan suspek untuk kes yang berlaku.

    Namun begitu kata beliau, wanita China itu telah diambil keterangan sebagai saksi berhubung kejadian tersebut sebelum berlepas pulang.

    Menurut beliau, selain wanita itu yang dipercayai mahu masuk ke negara ini sebagai pelancong, sekurang-kurangnya 14 orang termasuk seorang menteri telah diambil keterangan oleh SPRM.

    Selain itu tegas beliau, SPRM akan meneliti semua prosedur dan tatacara daripada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berhubung kelulusan masuk ke Malaysia.

    Jelas beliau, semua perkara perlu diambil kira dan disiasat berhubung insiden yang berlaku di KLIA itu.

    “SPRM juga akan menyiasat syarikat ejen pelancongan yang beroperasi di dalam premis KLIA. Kita tidak boleh membuat andaian terlalu awal berhubung kejadian ini kerana SPRM perlu melakukan siasatan secara adil dan profesional. Selain isu governance, SPRM juga perlu melihat jika terdapat pelanggaran peraturan atau tidak semasa insiden tersebut,” ujarnya.

  • 2 nelayan Vietnam ditembak, seorang pegawai APMM parah ditetak di perairan Terengganu

    2 nelayan Vietnam ditembak, seorang pegawai APMM parah ditetak di perairan Terengganu

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu terpaksa melepaskan tembakan susulan diserang kru bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negeri.

    Dalam serangan itu pada 11.30 pagi itu, seorang pegawai, Shakir Zufayri Azizul, 27, parah di kepala selepas ditetak dengan parang.

    Pengarah APMM Terengganu, Khairulanuar Abd Majid, berkata tekong dan dua awak-awak cedera di bahagian lengan kiri dan dua belah paha akibat terkena tembakan.

    Katanya, bot nelayan Vietnam yang dinaiki seorang tekong dan 15 awak-awak ditahan ketika operasi dijalankan melibatkan 18 lagi pegawai serta anggota APMM di lokasi 148 batu nautika dari Kuala Terengganu.

    “Semua kru bot telah mengambil tindakan nekad dengan menyerang pegawai serta anggota APMM Terengganu yang berada dalam bot mereka. Turut cedera dalam kejadian itu ialah tekong dan dua lagi awak-awak nelayan Vietnam. Kedua-duanya cedera di bahagian lengan kiri dan kedua-dua belah paha akibat terkena tembakan,” katanya lapor Bernama.

    Khairulanuar berkata, mangsa termasuk nelayan Vietnam cedera kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dengan menaiki helikopter bagi mendapatkan rawatan segera.

    Beliau berkata, hasil siasatan mendapati bot berkenaan tidak memiliki permit, lesen sah serta dokumen pengenalan diri.

    “Semua nelayan asing telah ditangkap di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa pas yang sah,” katanya.