Category: Jenayah

  • 3 lelaki curi kabel RM20,000 dicekup polis

    3 lelaki curi kabel RM20,000 dicekup polis

    POLIS menahan tiga lelaki tempatan disyaki mencuri kabel tembaga bernilai RM20,000 di  sebuah pusat komersial di Pandan Indah, Ampang minggu lepas. 

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata lelaki pertama ditahan di Batu 6 Jalan Gombak, kira-kira jam 10.30 pagi semalam manakala dua lagi rakannya ditahan di Jalan Air Jerneh Setapak pada hari sama.

    “Semakan mendapati suspek pertama memiliki tujuh rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah selain positif dadah jenis syabu, manakala dua lagi tiada rekod jenayah dan negatif dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Mohamad Farouk berkata pihaknya turut merampas pakaian dan sebuah lori yang diguna semasa kejadian dipercayai dilakukan 16 Sept lepas, selain turut menemui satu salinan resit bayaran penjualan kabel.

    Menurutnya modus operandi individu berkenaan adalah dengan menyasarkan gelung kabel yang diletakkan di tangga rumah kedai.

    Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan kesemua lelaki berusia berusia di antara 24 tahun hingga 34 tahun itu direman empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut. – BERNAMA

  • Warga ditemukan mati dengan kecederaan, barang peribadi hilang

    Warga ditemukan mati dengan kecederaan, barang peribadi hilang

    SEORANG wanita warga emas ditemukan meninggal dunia dengan kesan kecederaan pada anggota badan di sebuah rumah di Jalan Kedidi 7, Taman Paroi Jaya, Seremban malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat wanita berusia lingkungan 70-an itu pada 8.25 malam.

    “Siasatan mendapati beberapa barang peribadi milik wanita itu telah tiada dan mayatnya dihantar Hospital Tuanku Ja’afar di sini untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Nanda berkata susulan itu, polis meminta seorang lelaki, Mohd Faizul Mohamad Ali Kamil, 45, beralamat di Kampung Berkat Chembong, Rembau, Negeri Sembilan tampil bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Beliau turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat kejadian kepada Pegawai Penyiasat ASP Fauzan Azima Razak di talian 06-6033 222 dan tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.

    — BERNAMA

  • Serbuan SPRM di MBSA berkaitan tuntutan palsu bernilai hampir RM900,000

    Serbuan SPRM di MBSA berkaitan tuntutan palsu bernilai hampir RM900,000

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu pejabat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Isnin lalu dipercayai berkaitan siasatan kes tuntutan palsu bernilai hampir RM900,000 dalam kerja menaik taraf saliran dan projek tebatan banjir di Selangor.

    Susulan serbuan itu, difahamkan beberapa individu ditahan reman untuk membantu siasatan kes itu.

    Berita Harian melaporkan difahamkan, SPRM memperolehi petunjuk baharu dalam kes itu dan serbuan itu dilakukan susulan penahanan enam individu pada 12 September lalu.

    Sebelum ini, enam individu termasuk empat wanita berusia antara 30 hingga 59 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai hampir RM900,000 sekitar 2016 hingga tahun lalu.

    Sumber berkata tiga suspek adalah ketua pegawai operasi, pengarah dan akauntan sebuah syarikat pembinaan yang mana mereka dipercayai berpakat untuk meluluskan pembayaran kepada dua syarikat yang terbabit dalam kerja menaik taraf saliran dan projek tebatan banjir di Selangor sedangkan kerja berkenaan tidak dilaksanakan.

    Projek pertama adalah kerja-kerja menaik taraf saliran membabitkan nilai lebih RM250,000 manakala projek tebatan banjir bernilai lebih RM600,000.

    Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan itu dan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

  • 208 PATI Filipina diusir pulang

    208 PATI Filipina diusir pulang

    JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Sabah melaksanakan program pengusiran pulang seramai 208 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina, semalam.

    Pengarahnya, SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, semua PATI berusia antara 23 bulan hingga 69 tahun itu melibatkan 97 lelaki, 60 wanita dan 51 kanak-kanak yang ditahan di Depot Tahanan Sandakan.

    Beliau berkata, kesemua PATI itu sebelum ini ditahan melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

    “Hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pengusiran keluar dari negara.

    “Oleh itu semua warga asing diingatkan untuk memastikan mereka memiliki dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja (untuk bekerja di Sabah) terlebih dahulu sebelum masuk ke negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sitti Saleha berkata, semua agensi penguatkuasaan di Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.

    “Operasi pengusiran ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah.

    “JIM Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pengusiran PATI etelah mereka melalui semua tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara,” katanya.

  • Lelaki larikan rantai emas RM30,000, dicekup sejam selepas jenayah

    Lelaki larikan rantai emas RM30,000, dicekup sejam selepas jenayah

    SEORANG lelaki yang melarikan seutas rantai emas dianggar bernilai hampir RM30,000 sebagaimana video tular di media sosial sebenarnya sudah ditahan kira-kira sejam selepas melakukan jenayah berkenaan.

    Kejadian kira-kira pukul 5 petang Khamis lalu itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) kedai emas di Jalan Putra, Mergong, Alor Setar menunjukkan suspek berpura-pura sebagai pelanggan melihat rantai tangan emas seberat 99.34 gram.

    Klip berdurasi 1 minit 32 saat mengenai kejadian berkenaan tular menerusi aplikasi TikTok sejak pukul 8.30 malam tadi.

    Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, polis menerima laporan kejadian itu pada hari sama, sekitar pukul 6.35 petang.

    “Siasatan awal pihak polis mendapati suspek seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun sebelum itu datang ke premis berkenaan, kononnya mahu membeli barang kemas.

    “Namun dia secara tiba tiba melarikan diri bersama seutas rantai tangan emas anggaran berat 99.34 gram dari premis terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Ahmad Shukri dalam laporan itu berkata, jurujual kedai emas terbabit segera mengejar suspek sebelum menghubungi polis yang kemudian menggerakkan pasukan dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Alor Setar ke lokasi.

    “Orang awam membantu menahan suspek di lampu isyarat Tambang Badak, di sini, sebelum dia diserahkan kepada polis yang melakukan tangkapan semula. Suspek direman empat hari bermula semalam sehingga 26 September untuk membantu siasatan,” katanya.

    Ahmad Shukri berkata, pihaknya turut merampas kenderaan yang dinaiki suspek, iaitu Volkswagen MK7 untuk siasatan lanjut.

    Beliau berkata, rantai emas itu dianggarkan bernilai hampir RM30,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

  • Geng Batam guna tangkal, jampi sebagai pendinding ketika pecah rumah

    Geng Batam guna tangkal, jampi sebagai pendinding ketika pecah rumah

    POLIS menumpaskan kumpulan penjenayah dikenali Geng Batam yang aktif melakukan kegiatan pecah kereta sekitar daerah Melaka Tengah, sejak awal bulan ini.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, empat suspek yang juga warga Indonesia berusia 22 hingga 41 tahun ditahan dalam serbuan berasingan sekitar Senai, Johor, pada 14 September lalu.

    “Suspek dikatakan mensasarkan kenderaan yang didalamnya mempunyai barangan berharga dan ditinggalkan sebelum memecahkan cermin kenderaan dengan menggunakan serpihan seramik daripada palam pencucuh.

    “Siasatan dijalankan mendapati kumpulan ini bergerak menggunakan kenderaan yang disewa dari Johor dan menuju ke Melaka untuk tujuan pecah kereta,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Katanya, dengan tertangkapnya semua suspek, polis berjaya menyelesaikan lapan kes jenayah pecah cermin kereta di daerah Melaka Tengah.

    Menurutnya, semasa tangkapan ke atas suspek polis merampas pakaian digunakan semasa kejadian, beberapa unit telefon bimbit, lampu suluh dan kenderaan.

    Selain itu katanya, polis turut menjumpai barang beserta ayat jampi serapah, tangkal yang dipercayai digunakan setiap suspek sebagai pendinding bagi mengaburi perbuatan jenayah mereka dikesan polis.

    Kesemua suspek kini direman sejak 15 September bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, katanya.

    Selain itu beliau mengingatkan orang awam agar sentiasa berwaspada serta tidak meninggalkan barangan berharga dalam kenderaan.

  • Kes culik ejen kosmetik ada perkembangan positif

    Kes culik ejen kosmetik ada perkembangan positif

    POLIS Kelantan mendedahkan, hasil siasatan kes penculikan seorang ejen kosmetik di Tumpat setakat ini menunjukkan perkembangan positif.

    Namun Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, tidak mendedahkan secara lebih lanjut berhubung perkembangan positif siasatan membabitkan mangsa culik, Rosnazirah Mohd Naim, 36.

    “Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kelantan terus berhubung dengan pihak berkuasa Thailand dalam menjalankan siasatan kes berkenaan.

    “Pihak polis masih berusaha dan yakin terhadap perkembangan kes ini termasuk Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang sangat mengambil berat serta sering bertanya mengenai perkembangan kes.

    “Polis Kelantan meneruskan hubungan dengan pihak berkuasa di negara jiran dan perkembangan kes amat positif,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas solat Jumaat pada Program Komuniti Kepolisan dan Penyampaian Sumbangan kepada Asnaf di Masjid As-Syakirin di Kelewek di Tanah Merah, hari ini.

    Beliau turut berharap kerjasama masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes berkenaan.

    “Kadang-kadang ada perkara yang kita tak boleh kongsi tetapi Insya-Allah kita akan mendapat berita yang baik. Sama-sama kita berdoa,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Pada Selasa minggu lalu, Rosnazirah diculik oleh sekumpulan lelaki yang menaiki kereta Toyota Vios dalam kejadian di hadapan sebuah rumah di Kampung Semat Jal, Tumpat pada pukul 5.10 petang.

    Mangsa dipercayai dibawa ke Thailand. Siasatan polis terhadap suami mangsa mendapati lelaki itu dipercayai terbabit dengan aktiviti penyeludupan dadah.

  • Serbu bengkel motosikal; Polis Pulau Pinang ingatkan jangan kaitkan sentimen perkauman

    Serbu bengkel motosikal; Polis Pulau Pinang ingatkan jangan kaitkan sentimen perkauman

    POLIS Pulau Pinang mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak memainkan sentimen perkauman dalam operasi pihak berkuasa berkenaan membanteras bengkel motosikal yang didapati terlibat dengan pengubahsuaian motosikal bagi aktiviti mat rempit.

    Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, tindakan penguatkuasan dan pencegahan itu termasuk dalam memerangi aktiviti lumba haram dijalankan berdasarkan risikan dan siasatan pihak polis.

    Sehubungan itu, beliau menafikan dakwaan kononnya tindakan dan serbuan pihak polis berkenaan hanya melibatkan pengusaha bengkel motosikal Melayu.

    “Tindakan terhadap mat rempit dan bengkel-bengkel ini bukannya satu tindakan penguatkuasaan secara terpilih, sebaliknya berdasarkan maklumat dan risikan yang dikeluarkan oleh pelumba sendiri,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Georgetown hari ini.

    Terdahulu beliau turut mengadakan mesyuarat mengenai perancangan strategi bagi memerangi lumba haram peringkat Kontinjen Pulau Pinang bersama 13 jabatan dan agensi termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ); pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sebagainya di IPD Timur Laut berkenaa.

    Menurut Mohd. Shuhaily, semua pihak juga harus menerima hakikat yang mana majoriti mereka yang terlibat dalam aktiviti merempit atau lumba haram itu adalah remaja Melayu.

    Begitu pun jelasnya, statistik dari Januari hingga Ogos lalu juga mendapati terdapat empat orang Cina turut ditahan kerana terlibat dengan aktiviti ini yang mana jumlah mereka dianggap kecil.

    “Sehubungan itu, mana-mana pemilik bengkel yang tidak terlibat dengan pengubahsuaian motosikal untuk aktiviti lumba haram ini tidak perlu bimbang dengan operasi yang dijalankan pihak polis,” katanya.

    Tambah Mohd. Shuhaily, bagi mengekang aktiviti lumba haram di Pulau Pinang juga, sebuah jawatankuasa kerja pencegahan dan penguatkuasaan bersama jabatan dan agensi lain turut ditubuhkan.

    Jawatankuasa kerja itu jelas beliau, dipengerusikan oleh PDRM serta JPJ manakala bagi jawatankuasa kerja pencegahan pula dianggotai oleh agensi serta jabatan antaranya Jabatan Pendidikan dan Jabatan Perpaduan Negeri, Universiti Sains Malaysia (USM), Pejabat Mufti dan sebagainya.

    Bagi jawatankuasa penguatkuasaan pula jelas beliau, ia dianggotai oleh JPJ, PBT, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan sebagainya yang mana penubuhannya bertujuan memastikan aktiviti lumba haram di negeri itu dapat dibanteras sepenuhnya.

  • Gambar baharu Jho Low diambil penyiasat persendirian didedahkan

    Gambar baharu Jho Low diambil penyiasat persendirian didedahkan

    PENYIASAT persendirian berjaya merakam gambar terbaharu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low di sebuah pusat beli- belah di Macau, China.

    Jho Low dikehendaki pihak berkuasa selepas rakannya, Datuk Seri Najib Razak yang kini bergelar banduan disabitkan dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tetapi rakan jenayahnya itu masih bebas di luar negara.

    Gambar terbaharu Jho Low itu didedahkan wartawan Tom Wright dan Bradley Hope yang sebelum ini turut mendedahkan lokasi sama, bagaimanapun tiada tindakan susulan diambil pihak berkuasa.

    Menurut Bradley, foto tersebut diterima daripada penyiasat persendirian yang merakam gambar Jho Low memakai baju berwarna oren yang membelakangkan kamera.

    Bradley berkata, penyiasat persendirian itu turut menunjukkan sebuah foto yang mendedahkan wajah Jho Low pada ketika itu namun beliau tidak dibenarkan untuk berkongsikan gambar berkenaan atas sebab tertentu.

    “Jelas sekali terdapat masa yang berbeza apabila Jho Low menjadi individu yang sangat dicari kerana usaha ingin mendapatkan semula wang (telah diseleweng daripada 1MDB.

    “Tidak jelas siapa yang mengupah penyiasat persendirian ini tetapi ia mungkin kerajaan Malaysia atau perantara kerajaan Malaysia. Tetapi bagaimanapun ia telah dikesan,” ujar Bradley menerusi perkongsian di YouTube bersama Tom pada Jumaat menurut laporan Sinar Harian.

    Bradley berkata, turut kelihatan di dalam gambar tersebut ialah isteri kepada Jho Low iaitu Jesselynn Chuan Teik Ying yang memakai gaun hitam bersama seorang pembantu dan seorang individu dipercayai merupakan penjaga kepada ahli perniagaan tersebut.

    Bagaimanapun, kedua-dua wartawan tersebut tidak mendedahkan mengenai tarikh ketika foto tersebut diambil.

    Dalam pada itu, Bradley berkata, dengan mengambil kira nilai AS$8.5 bilion atau RM38.8 bilion diselewengkan daripada 1MDB berbanding jumlah berjaya dipulihkan oleh beberapa kerajaan termasuk Malaysia, Jho Low dilihat masih mempunyai kekayaan yang besar.

    Beliau berkata, kerajaan AS dan United Kingdom (UK) ketika ini dilaporkan berjaya memulihkan aset berjumlah kira-kira 1.4 bilion dolar AS atau RM64 bilion merangkumi aset seperti rumah mewah, kapal terbang dan pemilikan saham syarikat.

    Tambah beliau, tidak semua wang yang diselewengkan daripada 1MDB berjaya dikesan dan diketahui keberadaannya.

    Tom berkata, dengan mengambil kira situasi tersebut, beliau percaya Jho Low masih mempunyai pegangan terhadap berbilion ringgit wang yang diselewengkan daripada 1MDB dan perkara itu juga dilihat menjadi sebab mengapa ahli perniagaan itu mampu kekal bebas.

    “Adalah menjadi satu di luar kebiasaan untuk orang yang dalam pelarian (ada kekayaan yang besar).

    “Ini adalah satu lagi sebab kenapa rakyat Malaysia dan kerajaan Malaysia perlu sangat marah terhadap fakta bahawa tiada sebarang tindakan diambil (untuk menangkap Jho Low),” ujarnya.

    Setakat November tahun lepas, Kementerian Kewangan mengumumkan sebanyak RM20.53 bilion aset 1MDB telah dipulangkan semula kepada kerajaan Malaysia.

  • ‘Scammer’ berkebolehan intip, baca kod TAC

    ‘Scammer’ berkebolehan intip, baca kod TAC

    PERSATUAAN Pengguna Siber Malaysia (MCCA) mendakwa ada sindiket penipuan boleh mengintip dan membaca kod pengesahan transaksi (TAC) melalui sistem pesanan ringkas (SMS).

    Memetik laporan Sinar Harian, Presiden MCCA, Siraj Jalil berkata, sindiket berkenaan dipercayai menggunakan perisian hasad untuk menceroboh peranti sehingga mengakibatkan mangsa kehilangan wang dari akaun bank mereka.

    “Sindiket penipuan itu menggunakan kaedah phishing dengan menghantar perisian hasad melalui pautan yang diberikan kepada mangsa,” katanya semalam.

    Siraj mengikut laporan itu berkata, pihaknya juga menerima aduan daripada mangsa yang mendakwa duit dari akaun bank hilang walaupun tidak memberikan TAC kepada individu lain.

    “MCCA menyarankan pihak perbankan agar memperketatkan lagi dengan mewujudkan lapisan keselamatan akaun pengguna.

    “Orang ramai pula perlu sentiasa berwaspada dengan tidak berkongsi butiran peribadi mereka dengan mana-mana pihak bagi meminimumkan penipuan atau menekan sebarang pautan mencurigakan,” tegasnya.

    Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia dalam kenyataan melalui Facebook menasihatkan orang ramai tidak menyerahkan kod TAC atau berkongsi kepada pihak lain sekiranya tidak membuat sebarang transaksi di mana-mana perbankan internet.

    Orang ramai diminta menghubungi pihak bank dengan segera jika menerima sebarang nombor TAC bagi transaksi yang tidak dilakukan.