Category: Jenayah

  • Suami isteri antara 5 ditahan terlibat pengedaran dadah

    Suami isteri antara 5 ditahan terlibat pengedaran dadah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI lima individu termasuk pasangan suami isteri ditahan kerana terlibat aktiviti pembekalan dadah selepas polis melalukan empat serbuan berasingan sekitar Johor Bahru dan Iskandar Puteri, Jumaat lalu.

    Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, menerusi operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor dan JSJN Bukit Aman, mereka yang ditahan itu berusia 22 hingga 32 tahun.

    “Pada 23 September lalu, sekumpulan pegawai dan anggota polis menjalankan empat serbuan berasingan bermula pukul 9 malam dan menahan lima suspek terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita.

    “Ini termasuk pasangan suami isteri itu yanh berusia 23 dan 22 tahun dan mempunyai seorang anak berusia lapan bulan.

    “Menerusi serbuan berkenaan, polis turut merampas 21.16 kilogram (kg) ganja dan 784 gram syabu dengan nilai RM67,027. Jumlah dadah berkenaan dianggarkan mencukupi untuk kegunaan seramai lebih 21,000 penagih,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di Johor Bahru, hari ini.

    Katanya, modus operandi yang digunakan kumpulan itu adalah menjadikan premis perumahan di kawasan ‘gated and guarded’ sebagai lokasi simpanan dan pembekal dadah yang diperoleh dari negara jiran.

    “Kumpulan ini dipercayai bertindak selaku pembekal, di mana mereka menyimpan dadah berkenaan sebelum menjual dengan mengagihkannya kepada kumpulan pengedar kecil-kecilan di pasaran tempatan,” ujar beliau.

    Dalam serbuan berkenaan katanya, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM30,650, pelbagai barangan kemas bernilai RM44,413, tiga buah motosikal dan dua buah kereta bernilai RM113,000, rampasan keseluruhan bernilai RM188,063.

    Tambahnya, sindiket itu dipercayai telah beroperasi sejak bulan Mac lalu, semua suspek kini direman selama enam hari bermula Sabtu 24 untuk siasatan dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Polis Johor lupus dadah RM6.11 juta

    Polis Johor lupus dadah RM6.11 juta

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Johor melakukan pelupusan dadah bernilai RM6.11 juta yang melibatkan kes-kes sudah selesai bicara dan dijatuhkan hukuman bagi tempoh 2002 hingga 2021.

    Pelupusan itu melibatkan pelbagai jenis dadah berjumlah 301.54 kilogram (kg) dan 642.37 liter yang akan dilakukan di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.

    Ketua Polis Johor, Datuk kamarul Zaman Mamat berkata, antara dadah dilupuskan heroin seberat 41.79 kg; kanabis (20.21kg); ketamin (2.49kg); metamfetamin (9.90kg); methylenedioxy methamphetamine (25.45kg) dan daun ketum (192.03kg) selain pelbagai jenis dadah (9.65kg dan 642.37 liter).

    “Jumlah itu berkurang sedikit berbanding tahun lalu apabila JSJN Johor telah berjaya melupuskan pelbagai jenis dadah yang dirampas iaitu 1,765kg dan 3,717 liter yang dianggarkan bernilai RM28.91 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahry, hari ini.

    Beliau berkata, bagi tempoh dari 1 Januari hingga kelmarin, JSJN Johor telah berjaya membuat tangkapan seramai 10,556 orang atas pelbagai kesalahan dadah dan bagi tempoh berkenaan juga 4,956 kes telah selesai.

    Menurutnya, secara keseluruhan sebanyak 2.72 tan dadah berjaya dirampas dengan nilai keseluruhan RM12.26 juta.

    “Polis Johor berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka. Maklumat boleh disalurkan melalui hotline JSJN 012-2087222,” katanya.

    Mengenai persiapan banjir, beliau berkata, sebanyak 15 bot polis dan beberapa aset serta jentera lain disediakan untuk membantu agensi lain dalam menghadapi bencana alam tersebut.

    “Polis bersiap sedia hadapi banjir dan semua pihak perlu patuhi arahan diberikan pihak penguatkuasaan. Mereka dinasihatkan dapatkan maklumat daripada jabatan kaji cuaca, polis bersama agensi lain bersiap sedia untuk beri bantuan,” ujar beliau.

  • Culik murid: Sekolah di Kelantan keluar peringatan

    Culik murid: Sekolah di Kelantan keluar peringatan

    SUSULAN kejadian culik dalam kalangan murid sekolah yang sering terjadi sejak kebelakangan ini, sebuah sekolah di Kelantan mengeluarkan surat peringatan kepada ibu bapa berkaitan jenayah itu.

    Lapor Sinar Harian, surat yang dikeluarkan semalam tersebut memaklumkan risiko kejadian culik dan meminta ibu bapa dapat mengambil tindakan sewajarnya.

    “Sehubungan dengan itu, pihak sekolah berharap ibu bapa atau penjaga dapat mengambil tindakan sepatutnya.

    “Menghantar dan mengambil anak-anak mengikut ketetapan waktu, sentiasa memberi ingatan dan pesanan kepada anak-anak serta selalu bekerjasama dengan pihak sekolah untuk menangani sesuatu kes yang berlaku,” kata kenyataan tersebut.

    Sementara itu seorang bapa yang enggan dikenali ketika ditemui Sinar Harian mengakui terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh sekolah terbabit.

    Katanya, situasi itu menimbul ketakutan dalam kalangan ibu bapa termasuk anak-anak.

    Dia berkata, disebabkan surat peringatan itu tular, kecoh di WhatsApp sehingga menimbulkan perdebatan dalam kalangan ibu bapa.

    “Setakat ini, kami belum mendengar sebarang kes melibatkan penculikan kanak-kanak selain daripada peniaga kosmetik di Tumpat.

    “Pada saya, peringatan itu perlu tetapi harus disampaikan dalam bentuk berhemah terutama kepada ibu bapa supaya dapat memberikan penerangan jelas kepada anak-anak.

    “Bila penerangan tidak jelas, saya bimbang timbul masalah sehingga boleh menjejaskan semangat anak-anak untuk ke sekolah,” katanya.

    Media pada Khamis lalu melaporkan polis Kelantan menyiasat dua kes tular melibatkan dakwaan cubaan culik dua murid di sebuah sekolah di daerah Gua Musang pada Isnin dan Selasa.

  • Tidak rela berpisah, lelaki ugut culik dan pukul bekas kekasih

    Tidak rela berpisah, lelaki ugut culik dan pukul bekas kekasih

    TIDAK rela hubungan dengan teman wanita putus dan dihalang oleh bapa saudara, seorang lelaki bertindak mengugut mahu menculik dan memukul bekas kekasihnya.

    Ugutan didakwa dibuat oleh suspek berusia 22 tahun yang menghubungi bapa saudara bekas teman wanitanya berusia 35 tahun yang menetap di sebuah pangsapuri di Lembah Jaya Selatan, Ampang Jaya pada 15 September lalu.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, bertindak atas laporan polis itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menahan suspek di sebuah restoran di Taman Larkin Perdana, Johor Bahru kelmarin.

    “Mereka berpisah sejak Disember 2020, namun suspek sering mengganggu dan mengugut bekas teman wanitanya yang berusia 20 tahun serta bapa saudara mangsa.

    “Bapa saudara wanita terbabit membuat laporan polis di Balai Polis Pandan Indah kerana bimbang dengan keselamatan dirinya serta anak saudaranya,” katanya seperti dilaporkkan Satu Berita.

    Hasil siasatan mendapati, punca kejadian adalah perselisihan faham antara suspek dengan bekas teman wanitanya.

    “Semakan rekod jenayah juga mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah yang dikehendaki.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau dengan kedua-duanya,” jelasnya.

  • Tumbuk adik hingga retak tulang marah disindir

    Tumbuk adik hingga retak tulang marah disindir

    GARA-GARA tidak berpuas hati disindir, seorang lelaki tergamak menumbuk muka adiknya itu sehingga retak tulang di bawah mata pada 5 September lalu.

    Kejadian itu berlaku semasa suspek, 27, sedang berbincang dengan ibunya sebelum berselisih faham dengan adiknya, 20, di kediaman mereka di Pandan Perdana di Ampang Jaya.

    Mangsa dipukul sehingga rebah dan pitam sebelum dihantar ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan selepas mengalami kecederaan teruk di muka.

    Doktor yang merawatnya kemudian membuat laporan polis selepas melihat kecederaan teruk dialami mangsa.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, susulan itu, polis mengesan suspek dan menahannya di Skudai, Johor kelmarin.

    “Siasatan mendapati punca kejadian akibat berlaku perselisihan faham antara adik beradik dan suspek direman bagi membantu siasatan.

    “Semakan juga mendapati memiliki tujuh rekod jenayah lampau tidak dikehendaki berkaitan dadah,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda.

  • Bayi baru lahir cukup sifat ditinggalkan di atas jalan raya

    Bayi baru lahir cukup sifat ditinggalkan di atas jalan raya

    SEORANG bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui ditinggalkan di atas jalan raya di Jalan Kampung Korikot, Tambunan, Sabah hari ini.

    Lapor Berita Harian, bayi cukup sifat itu ditemui orang awam kira-kira pukul 1.05 pagi sebelum melaporkannya kepada pihak polis.

    Menurut Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan bayi itu pada pukul 2.38 pagi.

    Katanya, siasatan awal mendapati bayi perempuan itu dijumpai orang awam ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

    “Bayi itu ditemukan cukup sifat di atas jalan raya dalam keadaan dibalut dengan kain putih bercorak bunga.

    “Orang awam yang terkejut dan terus mengangkat bayi itu masuk ke dalam kereta,” katanya hari ini.

    Beliau tambah laporan itu berkata, bayi berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Tambunan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

    “Bayi itu dalam keadaan stabil dan masih mendapatkan rawatan di Hospital Tambunan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan siasatan masih diteruskan,” katanya.

    Nor Rafidah meminta orang ramai yang ada maklumat berkaitan kes itu segera menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Damsa Dahlan di talian 016-4486747.

  • Lelaki pecah kereta larikan sekotak tepung gandum diberkas

    Lelaki pecah kereta larikan sekotak tepung gandum diberkas

    SEORANG lelaki ditahan selepas memecah cermin sebuah kereta sebelum mencuri sekotak tepung gandum dalam kejadian di Taman Kota Masai dekat Pasir Gudang, hari ini.

    Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian kira-kira pukul 1.15 pagi tadi berlaku di hadapan rumah pemilik kereta terbabit yang berusia 30 tahun.

    Suspek katanya seorang lelaki dewasa berusia 31 tahun yangmemecahkan cermin kereta pada bahagian tempat duduk pemandu dan melarikan sekotak tepung gandum.

    “Kejadian disedari jiran mangsa sebelum suspek melarikan diri. Mangsa dengan bantuan jiran kemudian mengejar suspek sebelum berjaya menahannya di Jalan Pulasan, Taman Kota Masai.

    “Sebatang spanar boleh laras yang digunakan untuk mencuri dan sekotak tepung gandum ditemukan ketika suspek ditahan,” katanya hari ini.

    Mohd Sohaimi dalam laporan itu berkata, mangsa kemudian menghubungi pihak polis dan menyerahkan suspek serta barang-barang yang dirampas untuk tindakan lanjut.

    “Pihak polis merakamkan penghargaan atas kerjasama dan maklumat orang ramai hingga tertangkapnya suspek.

    “Suspek direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 26 September depan, sementara kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Lelaki bertindak kejam bunuh anjing terbiar dengan panah

    Lelaki bertindak kejam bunuh anjing terbiar dengan panah

    SEORANG lelaki bertindak kejam apabila tergamak membunuh anjing terbiar dengan menggunakan anak panah dalam kejadian yang dipercayai berlaku di sekitar ibu negara.

    Menurut Harian Metro, kejadian itu dikatakan berlaku di sebuah kawasan di Setapak, Wangsa Maju Rabu lalu.

    Perbuatan kejam itu dirakam seorang individu dan turut dikongsi oleh Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) di media sosial.

    Menerusi rakaman berdurasi 23 saat itu, kelihatan seorang lelaki memegang panah sebelum beberapa kali melepaskan anak panah ke arah anjing.

    SAFM dalam kenyataan bersama video yang dikongsi di Facebook memaklumkan pihaknya menerima aduan mengenai kejadian itu.

    “Menurut video yang dihantar, suspek kelihatan mengambil busur dan anak panah sambil mengekori seekor anjing terbiar.

    “Suspek tanpa membuang masa menembak anjing malang itu apabila dia mempunyai peluang. Anjing ini didapati mati dengan anak panah masih tertanam dalam mukanya,” kata SAFM.

    Tambah laporan itu lagi, SAFM meminta saksi kejadian untuk tampil supaya pesalah yang melakukan perbuatan zalim itu boleh ditangkap dan didakwa.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, tiada laporan polis diterima setakat ini.

    Bagaimanapun, beliau berkata, polis kini sedang berusaha mengesan suspek.

  • Remaja palsukan nombor plat elak bayar hutang

    Remaja palsukan nombor plat elak bayar hutang

    TINDAKAN dua remaja lelaki memalsukan nombor pendaftaran motosikal mereka mengundang padah apabila ditahan dalam OP Motosikal di Kuala Lumpur, awal pagi ini.

    Memetik laporan Harian Metro, seorang remaja terbabit memberi alasan sekadar untuk suka-suka menggunakan nombor pendaftaran 4Y1E (Ayie) namun perbuatannya itu menyalahi undang-undang.

    Seorang lagi remaja yang ditahan memalsukan nombor pendaftaran kenderaannya bagi mengelak membayar hutang motosikal.

    Menurut Facebook Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, operasi dijalankan bermula pukul 2 pagi hingga 4 pagi di sekitar pusat bandar menahan remaja terbabit berusia 18 dan 19 tahun.

    “Mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan akan dituduh mengikut Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan memalsukan nombor pendaftaran kenderaan.

    “Selain itu enam remaja lelaki berusia 16 hingga 21 tahun ditahan selepas terbabit dalam samseng jalanan,” katanya.

    Katanya, mereka dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur dan akan dituduh mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

    “Tiga motosikal turut disita dan 106 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik,” katanya.

  • Tiga termasuk dua pegawai MBSA ditahan SPRM

    Tiga termasuk dua pegawai MBSA ditahan SPRM

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu termasuk dua pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dipercayai berhubung projek kerajaan negeri.

    Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi berkata satu lagi individu yang ditahan ialah seorang kontraktor.

    Sementara itu, Datuk Bandar Shah Alam Datuk Zamani Ahmad Mansor berkata pihaknya masih menunggu laporan SPRM dan tidak dapat mengesahkan sama ada penahanan itu berkait  projek tebatan banjir sebagaimana dilapor sebuah portal.

    Menurut Zamani, projek itu ketika ini masih di peringkat perbincangan dengan kerajaan negeri dan belum dimulakan.

    Beliau juga tidak dapat memastikan sama ada SPRM membawa keluar beberapa fail dari premis berkenaan ketika serbuan dipercayai dibuat SPRM di Wisma MBSA, di sini, Isnin lepas.

    “Pada ketika itu, semua pegawai kanan berada di luar menghadiri dialog bajet, ada yang kata serbuan tapi saya tak dapat mengesahkan perkara itu kerana tidak berada di sana dan tidak mendapat apa-apa maklumat daripada SPRM lagi,” katanya ketika dihubungi Bernama.- BERNAMA