Category: Jenayah

  • Reman bapa dera anak kandung disambung

    Reman bapa dera anak kandung disambung

    Oleh BADLISHAH MAT

    REMAN seorang pekerja kilang yang disyaki mendera anak kandungnya di Taman Desa Jaya, Sungai Petani di Kedah yang berusia tujuh tahun disambung selama lima hari bermula esok hingga 2 Oktober ini.

    Perintah sambung reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nur Fadzlina Musa hari ini sebaik lelaki terbabit di bawa ke mahkamah dari lokap polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.

    Suspek berusia 29 tahun sebelum ini telah direman selama enam hari yang berakhir hari ini selepas dia ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, proses sambung reman itu dilakukan bagi membolehkan pihaknya melengkapkan siasatan terhadap kes terbabit.

    Pada Khamis lalu, media melaporkan seorang murid darjah satu cedera di badan, muka, siku, telinga dan bibir disyaki menjadi mangsa dera bapa kandungnya di Taman Desa Jaya, di sini sejak Julai lalu.

    Perkara itu terbongkar apabila disedari oleh guru di sekolahnya termasuk tindakan mangsa memakai jaket ketika dalam kelas.

    Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan pemeriksaan perubatan di badan mangsa mendapati dia menjadi mangsa dera dan kini ditempatkan diwad untuk rawatan susulan.

    Polis kemudian menahan bapa kandung mangsa dan hasil siasatan lelaki itu mengaku memukul anaknya menggunakan rotan, batang penyapu dan senduk plastik sejak dua bulan lalu dengan alasan dia terpaksa bertindak demikian kerana anaknya didakwa degil dan hiperaktif.

    Mangsa yang merupakan anak tunggal itu sebelum ini dijaga neneknya di Tanjung Dawai tetapi dibawa tinggal bersama bapanya dan ibu tiri sejak setahun lalu serta bersekolah di Pekan Lama, di Sungai Petani.

  • Jangan sebar maklumat tidak tepat soal culik kanak-kanak, kata Polis Kelantan

    Jangan sebar maklumat tidak tepat soal culik kanak-kanak, kata Polis Kelantan

    POLIS Kelantan memohon kerjasama rakyat di negeri itu khususnya warga siber, supaya menghentikan perbuatan menyebar dakwaan kes culik sehingga menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat.

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dakwaan cubaan membawa lari atau menculik kanak-kanak di pekarangan sekolah yang berlegar-legar dalam laman media sosial sejak kebelakangan ini, didapati tidak berasas.

    “Beberapa hantaran yang dimuat naik dalam media sosial dan ditularkan telah mendorong Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya di Kelantan menjalankan siasatan.

    “Dakwaan yang mengaitkan indvidu mencurigakan berada di pekarangan sekolah atau tempat tertentu telah disiasat oleh pihak polis, namun kesemua dakwaan berkenaan tidak menjurus kepada situasi cubaan membawa lari atau menculik kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

    Muhamad Zaki berkata, tindakan menyebar bahan atau perkara tidak berasas sehingga boleh menimbulkan kegelisahan awam dan ketakutan dalam masyarakat merupakan satu kesalahan.

    Beliau berkata, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan (mendatangkan kegusaran awam), yang boleh membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga satu tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Polis Kelantan pada 22 dan 26 Sept lepas telah menjalankan siasatan terhadap dakwaan cubaan menculik pelajar sekolah rendah masing-masing di daerah Gua Musang, Kuala Krai dan Pasir Puteh.

    “Hasil siasatan pihak polis mendapati individu yang dikatakan berada di kawasan sekolah berkenaan tidak mempunyai niat untuk menculik sebaliknya mempunyai urusan lain,” katanya.

    Ujar beliau lagi, dakwaan sama turut berlaku di Kuala Krai baru-baru ini sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk di daerah itu.

    “Bila kita jalankan siasatan, individu yang dikatakan cuba menculik itu rupanya kakitangan sebuah syarikat perkhidmatan penapis air yang mempunyai urusan untuk membuat kutipan bulanan daripada pelanggan di situ,” katanya.

    Muhamad Zaki berkata, kejadian seumpama itu turut berlaku di kawasan Masjid Muhammadi, Kota Bharu pada awal September lepas, sehingga seorang lelaki kurang siuman menjadi mangsa keadaan apabila dibelasah oleh orang ramai kerana didakwa cuba menculik kanak-kanak.

    Mengenai penularan satu pekeliling oleh sebuah sekolah di Kelantan yang mengingatkan ibu bapa supaya menjaga dan mengawasi anak mereka berikutan risiko culik, Muhamad Zaki berkata siasatan mendapati dakwaan itu juga tidak berasas. 

    “Pihak polis telah menjalankan siasatan selepas tular dakwaan seumpama itu, namun perkara berkenaan tidak benar dan tidak berasas apatah lagi yang mengaitkan mengenai sindiket mengambil organ kanak-kanak dan sebagainya,” katanya.

    Beliau turut meminta orang ramai supaya merujuk sesuatu kejadian dan dakwaan itu melalui sumber sahih termasuklah daripada pihak polis supaya tidak berlaku kekeliruan.

  • Polis tahan 9 lelaki kes gaduh di pusat hiburan

    Polis tahan 9 lelaki kes gaduh di pusat hiburan

    POLIS Pulau Pinang menahan seramai sembilan lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan kes pergaduhan di sebuah kawasan pusat hiburan di Bukit Tengah, Bukit Mertajam, pada pagi Ahad lalu.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1.43 pagi itu, beberapa lelaki turut cedera akibat dipukul menggunakan objek tajam.

    Menurut beliau, siasatan awal polis mendapati pergaduhan itu disebabkan perselisihan faham yang mengheret kepada kejadian pukul.

    “Mereka yang mengalami kecederaan turut dirawat di Hospital Bukit Mertajam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Cheng San, kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan antara 17 hingga 32 tahun itu kini direman selama empat hari.

    Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan menggunakan senjata.

    “Sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga lima tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

  • Lelaki tertimbus dalam runtuhan bangunan dalam pembinaan

    Lelaki tertimbus dalam runtuhan bangunan dalam pembinaan

    SEORANG lelaki tertimbus dalam kejadian runtuhan bangunan sedang dalam pembinaan di Oxley Towers, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, hari ini.

    Menurut Jurucakap bomba, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 12.23 tengah malam tadi.

    “Jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak dan BBP Keramat segera dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Setibanya di lokasi, bomba mendapati kejadian membabitkan sebuah bangunan dalam pembinaan runtuh di tingkat 51.

    “Terdapat seorang mangsa lelaki dewasa dipercayai sudah tertimbus,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Menurutnya, kerja-kerja mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan oleh pasukan bomba.

  • Murid Tahun Enam ditemui lemas

    Murid Tahun Enam ditemui lemas

    SEORANG kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi di Sungai Dungun berhampiran Kampung Rajawali, semalam ditemukan lemas.

    Mayat Abdul Rafiuddin Abdul Rashid, 12, murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Pulau Serai dijumpai pukul 2.30 pagi tadi.

    Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu, Azman Alias berkata mayat Abdul Rafiuddin ditemukan pada jarak kira-kira 12 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat.

    “Pasukan mencari dan menyelamat menemui mangsa di dasar sungai pada kedalaman 2.5 meter.

    “Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Dalam kejadian petang semalam, keriangan lima sahabat mandi di Sungai Dungun berhampiran Kampung Rajawali bertukar tragedi apabila salah seorang daripadanya dikhuatiri lemas.

    Mangsa Abdul Rafiuddin disedari hilang kira-kira pukul 6 petang.

    Operasi mencari dan menyelamat melibatkan seramai 32 anggota dan pegawai pelbagai agensi termasuk polis, bomba, angkatan pertahanan awam dan orang awam.

  • Kanak-kanak berjaya selamatkan rakan dari diculik

    Kanak-kanak berjaya selamatkan rakan dari diculik

    SEORANG kanak-kanak gagalkan cubaan penculikan terhadap kawannya ketika dalam perjalanan balik ke rumah selepas bermain bola di padang Sekolah Kebangsaan Jeram Landak di Lipis, pukul 7.15 petang kelmarin.

    Kejadian itu didedahkan Ketua Polis Daerah Lipis, Superitendan Azli Mohd. Noor dan insiden berkenaan turut ditularkan dalam media sosial.

    Menurutnya, ibu kepada kanak-kanak yang berjaya membantu menggagalkan cubaan itu telah membuat laporan polis pukul 1.50 petang semalam.

    “Sorotan kejadian itu yang berlaku berhampiran sekolah tersebut dan didakwa suspek dipercayai memandu kereta Proton Wira berwarna merah dan tidak dapat mengecam nombot plat kereta itu.

    “Wanita berkenaan memaklumkan kereta itu didakwa datang dari arah bertentangan dan memasang lampu besar, kemudian kereta itu terus berhenti dan cuba menarik pergelangan tangan kanan kanak-kanak tersebut melalui tingkap kereta.

    “Anaknya menolong menarik dan merentap tangan kawannya daripada lelaki tersebut sehingga mereka berdua terjatuh ke dalam semak, kereta itu terus memecut meninggalkan tempat tersebut,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

    Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan iaitu menculik dari penjagaan yang sah dan perlu dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan iaitu cuba melakukan kesalahan yang boleh dihukum dengan penjara.

    Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan melaporkan dengan segera jika ada sebarang maklumat atau individu yang mencurigakan berada di kawasan kejiranan.

    “Sebarang maklumat boleh terus disalurkan kepada Bilik Gerakan Ibupejabat Polid Daerah Lipis di talian 09- 3121999 atau menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Mohd Husin Daud di talian 011-65426136,” katanya, lapor Astro Awani.

  • Minuman keras RM2.1 juta tanpa cukai dirampas, 12 ditahan

    Minuman keras RM2.1 juta tanpa cukai dirampas, 12 ditahan

    SERBUAN polis terhadap sebuah gudang di Klang membawa kepada rampasan minuman keras pelbagai jenama tanpa cukai bernilai kira-kira RM2.1 juta, Rabu dan Khamis lalu.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed memaklumkan, pihaknya telah berjaya merampas sebanyak 48,900 botol dan 480 tin pelbagai jenis minuman keras tidak bercukai dalam serbuan tersebut.

    Menurut beliau, rampasan tersebut dilakukan Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih dibantu anggota Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CPSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman.

    Arjunaidi memaklumkan, serbuan pada pukul 5 petang itu susulan risikan yang dilakukan pihak polis.

    Katanya, polis turut berjaya menahan seorang suspek lelaki warga tempatan berusia 58 tahun dan sembilan pekerja warga asing dalam lingkungan 22 hingga 46 tahun dalam serbuan pertama itu.

    “Serbuan pertama pada 21 September lalu, Bahagian Risik Batalion 4, PGA Semenyih telah menjalankan operasi melibatkan minuman keras tidak bercukai di sebuah premis di Jalan Hulubalang 27, Taman Sentosa, Klang.

    Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian minuman keras pelbagai jenama tanpa cukai bernilai RM2.1 juta yang dirampas selepas menyerbu sebuah premis di kawasan Klang ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Siasatan awal mendapati minuman keras itu telah disimpan di kawasan gudang berpagar dengan warga asing tersebut diupah untuk menguruskan penyusunan minuman keras berkenaan,” katanya dalam sidang media hari ini, lapor Utusan TV.

    Susulan serbuan pertama, Arjunaidi memaklumkan, pihak CPSK JKDNKA dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan kemudiannya menjalankan serbuan kedua di premis berdekatan.

    Hasilnya, beliau berkata, dua suspek wanita warga asing telah ditahan manakala sejumlah minuman keras tidak bercukai serta 270 kotak mengandungi mercun telah dirampas.

    Jelas beliau, dua kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

    Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed GAMBAR: Warta Rakyat

    “Polis masih mengesan pemilik dan pengurus yang dipercayai seorang lelaki tempatan untuk membantu siasatan.

    “Kesemua suspek telah pun direman selama 14 hari sehingga 5 Oktober dengan kita akan melengkapkan kertas siasatan dalam tempoh terdekat,” jelas beliau.

  • Empat anggota Geng Angah samun kenderaan diberkas

    Empat anggota Geng Angah samun kenderaan diberkas

    POLIS menahan empat lelaki disyaki ahli Geng Angah yang terlibat dalam kes samun kenderaan di tepi jalan berhadapan sebuah restoran di Bandar Puchong Jaya pada 20 September lalu.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, dalam kejadian itu, ketiga-tiga suspek yang bersenjatakan parang menaiki sebuah kereta Proton Persona warna merah.

    “Suspek telah mengarahkan mangsa keluar dari kereta jenis Honda City, kemudian melarikan diri. Mangsa mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM80,000.

    “Hasil maklumat dan risikan, kesemua suspek termasuk dalang berusia 27 hingga 37 tahun berjaya diberkas secara berasingan di Dang Wangi dan Petaling Jaya pada Jumaat dan Sabtu lalu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Serdang hari ini.

    Anbalagan berkata, hasil soal siasat pihaknya berjaya menemui pelbagai barangan disyaki hasil daripada kegiatan samun seperti lapan buah telefon bimbit pelbagai jenama, tiga buah kereta jenis Proton Persona, Honda City dan Hyundai Sonata.

    “Kita turut merampas empat beg silang, komputer riba dan tab mini, seutas rantai leher dan senjata parang yang dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan samun,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, suspek mengenakan topi dan pelitup muka dengan menggunakan kereta sewa yang bercermin gelap ketika menjalankan kegiatan terbabit.

    Jelasnya, suspek turut bersenjatakan parang dan menyasarkan mangsa yang meletakkan kenderaan di kawasan parkir, sebelum melarikan kenderaan serta barang-berharga.

    Anbalagan berkata, kesemua suspek didapati bergiat aktif dalam kegiatan samun kenderaan di sekitar Serdang, Kajang dan Kuala Lumpur sejak dua bulan lalu.

    “Kesemua suspek baru selesai menjalani hukuman penjara dan dipercayai berkenalan ketika dalam penjara,” katanya.

    Menurutnya, hasil pemeriksaan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan semakan rekod turut mendapati kesemua terbabit mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

    Anbalagan berkata, kejayaan tangkapan kesemua suspek, pihak polis berjaya menyelesaikan tiga kes samun dan melarikan kenderaan di kawasan Lembah Klang.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

  • SPRM tahan tiga lagi pegawai MBSA

    SPRM tahan tiga lagi pegawai MBSA

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah (SPRM) menahan tiga lagi pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berhubung siasatan tender projek ‘Shah Alam Sustainable Urban Drainage Masterplan’ (SASUD).

    Tangkapan terbaharu semalam menjadikan seramai tujuh pegawai MBSA dan seorang kontraktor ditahan agensi penguat kuasa, setakat hari ini, lapor Berita Harian.

    Media sebelum ini melaporkan lima individu ditahan SPRM setakat semalam susulan serbuan ke pejabat MBSA pada Isnin lalu bagi membantu siasatan tender projek tebatan banjir berkenaan.

    Empat daripada mereka dilaporkan berkhidmat dengan MBSA, iaitu dua jurutera dan masing-masing seorang pembantu jurutera serta penolong pegawai tadbir. Seorang daripada jurutera itu dipercayai menyediakan dokumen berkaitan dan senarai kontraktor untuk projek SASUD.

    Media hari ini mendedahkan, SPRM mengesan 68 syarikat kontraktor dalam senarai dipercayai disediakan jurutera MBSA yang didakwa ditawarkan tender projek pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

    Semalam Berita Harian melaporkan SPRM mengesan kewujudan kartel dalam MBSA yang dipercayai memonopoli tender projek mega di bandar raya berkenaan.

  • Polis siasat kes cubaan culik murid di Ipoh

    Polis siasat kes cubaan culik murid di Ipoh

    POLIS sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan cubaan culik seorang murid di hadapan Sekolah Kebangsaan Pengkalan, Taman Pinji Mewah, Ipoh, Jumaat lepas, yang tular menerusi media sosial.

    Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut daripada ibu kanak-kanak itu pada pukul 9 malam hari sama.

    “Polis telah menubuhkan satu pasukan siasatan khas bagi menyiasat kes ini dari pelbagai sudut di samping bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan negeri serta pihak sekolah dalam mempertingkatkan langkah pencegahan dan keselamatan di sekolah.

    “Ibu bapa diminta menghantar dan mengambil murid mengikut waktu ditetapkan dan memaklumkan kepada pihak sekolah jika mempunyai sebarang masalah mengenai urusan mengambil dan menghantar murid ke sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Yusri berkata pihak sekolah juga diingatkan supaya memastikan urusan menghantar dan mengambil murid hanya dilakukan oleh ibu bapa dan penjaga yang sah sahaja.

    “Selain itu, kami telah menempatkan pegawai polis sebagai pegawai perhubungan sekolah (PPS) di seluruh Perak,” katanya.

    Kes berkenaan tular menerusi Facebook selepas bapa kanak-kanak berkenaan memuat naik satu hantaran mendakwa anaknya hampir menjadi mangsa penculikan namun berjaya menyelamatkan diri ketika berada di hadapan sekolah tersebut. Bernama