Category: Jenayah

  • PDRM nafi ada keluar amaran van putih, penjualan organ

    PDRM nafi ada keluar amaran van putih, penjualan organ

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menafikan pihaknya pernah mengeluarkan amaran kepada orang ramai berhubung penjualan organ di Malaysia.

    Ketua Komunikasi Korporat PDRM Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata, mesej bertajuk ‘Amaran kepada semua ibu bapa atau penjaga harga organ di Malaysia’ itu tular di media sosial.

    Katanya,  ia turut menyenaraikan harga jualan jantung, buah pinggang, mata, paru-paru dan hati.

    Menurut beliau, mesej terbabit mendakwa kononnya pihak Bukit Aman (PDRM) mengeluarkan amaran kepada ibu bapa supaya berhati-hati dengan dua kenderaan berwarna putih.

    “Kenderaan itu dikatakan terbabit dengan kegiatan penculikan serta penjualan organ terutamanya bagi kanak-kanak berusia bawah 15 tahun, sedangkan PDRM tidak pernah mengeluarkan sebarang amaran seperti mana mesej tular itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Sehingga kini katanya, tiada laporan polis diterima khusus, membabitkan dua kenderaan seperti dinyatakan dalam mesej tular berkenaan.

    “Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah percaya dan terpengaruh serta tidak membuat perkongsian sebarang hantaran atau mesej di aplikasi media sosial tanpa menyemak kesahihannya,” katanya.

  • Polis siasat 2 lelaki lepaskan tembakan di hadapan rumah di Sitiawan

    Polis siasat 2 lelaki lepaskan tembakan di hadapan rumah di Sitiawan

    POLIS sedang menyiasat kes dua lelaki yang dipercayai melepaskan tembakan di hadapan sebuah rumah di Sitiawan, Manjung semalam.

    Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 1.07 tengah hari semalam daripada seorang lelaki mengenai kejadian di hadapan rumah rakannya, disyaki dilakukan oleh dua lelaki tidak dikenali yang menaiki motosikal.

    Beliau berkata hasil siasatan, polis mendapati pemilik rumah terbabit tinggal bersama isteri dan dua anak.

    “Mangsa memaklumkan bahawa isterinya telah terdengar bunyi letupan di luar rumah pada pagi semalam namun tidak mengendahkan perkara tersebut.

    “Pada kira-kira 12.45 tengah hari, pengadu keluar dari rumah untuk mengambil barang lalu menyedari terdapat kerosakan pada cermin belakang kereta mangsa dan menjumpai kelongsong peluru di bawah kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Yusri berkata pemeriksaan oleh Bahagian Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak mendapati terdapat kesan lubang pada cermin belakang kereta mangsa dipercayai akibat tembakan dan menemukan kelongsong peluru di bawah kenderaan selain kepala peluru di kawasan but kenderaan itu.

    Beliau berkata siasatan rakaman kamera litar tertutup mendapati terdapat dua lelaki menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 tanpa nombor pendaftaran dan melepaskan sedas tembakan lalu terkena kenderaan mangsa.

    “Suspek kemudiannya cuba melepaskan tembakan ke arah hadapan rumah namun dipercayai pistol suspek gagal berfungsi sebelum melarikan diri,” katanya.

    Beliau berkata kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung ASP Mohd Azalan Ab Karim di talian 019-392 7837 atau balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.- BERNAMA

  • Bayi ditinggalkan depan rumah warga emas

    Bayi ditinggalkan depan rumah warga emas

    Oleh ABU UBADILLAH RAHMAN

    SEORANG bayi lelaki yang baru dilahirkan ditinggalkan depan rumah seorang warga emas di Kampung Tawakal, Kempas, Johor Bahru pada 20 Ogos lalu.

    Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Adnan Md Yassin berkata, bayi itu ditinggalkan dalam keadaan masih bertali pusat dengan tubuhnya dibaluti kain batik diletakkan dalam kotak.

    “Bayi ini semasa ditinggalkan berusia dua atau tiga hari. Diselamatkan penduduk kampung itu yang menyedarinya pada pukul 12.40 tengahari.

    “Bayi berkenaan kemudian dirawat di Bahagian Kecemasan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru. Pada ketika itu keadaan bayi ini agak membimbangkan kerana ketika itu diserang sawan dan mengalami masalah pernafasan.

    “Bagaimanapun selepas menjalani rawatan, keadaan bayi berkenaan beransur baik dan disahkan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan yang kronik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Adnan berkata, buat sementara bayi berkenaan yang dinamakan sebagai Ayden ditempatkan di Yayasan Orphan Care Johor Bahru mulai 26 September lalu hingga 24 Oktober ini.

    “Pelindung kanak-kanak akan mengurus pendaftaran kelahiran bayi berkenaan dan membincangkan penempatannya pada masa depan,” ujar beliau.

    Bagi tujuan itu katanya, JKM meminta bantuan orang ramai bagi mengesan waris bayi itu bagi membincangkan kebajikan dan keperluannya.

    Orang ramai boleh menghubungi Pelindung Kanak-kanak, Zaid Ikhwan Lim di talian 07-2232606 atau 07-2232607 bagi menyalurkan maklumat.

  • Polis buru 5 lelaki rosakkan kereta guna batang besi

    Polis buru 5 lelaki rosakkan kereta guna batang besi

    POLIS kini mengesan lima lelaki warga tempatan yang bertindak merosakkan sebuah kereta dengan menggunakan batang besi.

    Kejadian berlaku di hadapan sebuah pasar raya di Taman Setia Indah, Johor Bahru, 12 tengah hari tadi.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian terbabit dipercayai berpunca kerana salah faham ketika mangsa membunyikan hon tanpa sengaja.

    Beliau berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 24 tahun pada pukul 1.55 petang.

    “Suspek telah menyemburkan serbuk pemedih mata ke arah mata mangsa dan memukul kepala menggunakan topi keledar serta memecahkan cermin kereta hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Jelasnya, empat lelaki yang tidak dikenali disyaki rakan suspek telah datang dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

    “Rakan suspek kemudian memecahkan cermin kereta belakang, cermin kanan dan kiri serta bonet hadapan dengan menggunakan dua batang besi panjang,” ujarnya.

    Akibat daripada insiden tersebut, mangsa mengalami cedera bengkak di bibir, lebam di tangan kanan, sakit pada leher dan belakang badan.

    Sehubungan itu, kes kini disiasat di bawah Seksyen 324 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Salaihudin Azual Razali di talian 013-7290763.

  • Mayat wanita mangsa culik ditemukan dalam gaung

    Mayat wanita mangsa culik ditemukan dalam gaung

    MAYAT wanita dipercayai menjadi mangsa culik pada Ahad ditemukan dalam gaung di Bukit Tekali, Hulu Langat, Selangor pada 27 Sept lepas.

    Ketua Polis Negeri Sembilan DCP Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata mangsa berusia 27 tahun yang disyaki dibunuh itu ditemukan orang awam kira-kira 3.30 petang.

    “Pemeriksaan lanjut ke atas mayat berkenaan mendapati mangsa merupakan kes culik sedang disiasat berdasarkan kad pengenalan dan dokumen yang ditemukan bersamanya serta pengecaman ahli keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ahmad Dzaffir berkata terdahulu, pihaknya menerima laporan daripada sepupu mangsa sehari selepas wanita itu dilarikan di kawasan rumahnya di Broga, Lenggeng di Seremban selain mendakwa turut menerima WhatsApp meminta sejumlah wang tebusan.

    Beliau berkata susulan penemuan mayat wanita itu, seorang lelaki yang juga pekerja swasta berusia lingkungan 20-an ditahan di Ampang, Selangor pada Selasa lepas bagi membantu siasatan.

    Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dan lelaki itu dipercayai pasangan kekasih yang berkenalan melalui laman sosial sejak awal tahun ini dan motif pembunuhan disyaki ada kaitan dengan hutang.

    Ahmad Dzaffir berkata lelaki yang negatif dadah hasil ujian saringan air kencing itu ditahan reman selama 15 hari bermula 28 Sept untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 12 Akta Penculikan 1961.

  • Polis siasat dakwaan penculikan di Johor Bahru

    Polis siasat dakwaan penculikan di Johor Bahru

    POLIS menyiasat dakwaan berlakunya kes penculikan di dua kawasan di Bandaraya Johor Bahru seperti yang tular di aplikasi WhatsApp, semalam. 

    Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Supt Fariz Ammar Abdullah berkata pihaknya mengesan satu mesej yang mendakwa berlaku kes cubaan menculik seorang pelajar sekolah tadika di Bandar Baru Uda di Johor Bahru.

    Katanya, hantaran itu turut menyatakan bahawa kes penculikan sering berlaku di Taman Perling dan Bandar Baru Uda yang terletak di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara.

    “Polis telah mengenal pasti individu yang memuat naik hantaran berkenaan dalam satu kumpulan WhatsApp yang dipercayai disertai oleh sekumpulan individu dan komuniti setempat, polis telah melawat tempat kejadian dan beberapa individu telah ditemu bual. 

    “Hasil siasatan mendapati tiada sebarang aduan tentang berlakunya kejadian tersebut dan tiada individu yang tampil ke hadapan bagi mengesahkan adanya cubaan menculik atau kehilangan anak seperti didakwa kumpulan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan dan menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya mesej tular yang boleh menggugat ketenteraman awam. 

    Fariz Ammar berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan berita tidak sahih.

    “Mana-mana individu yang didapati menyebarkan berita palsu boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” tambahnya.  

  • Ejen jualan kosmetik nyaris diseludup ke Laos

    Ejen jualan kosmetik nyaris diseludup ke Laos

    EJEN jualan produk kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim yang berjaya diselamatkan selepas diculik sekumpulan lelaki dari kediamannya di Tumpat, Kelantan pada 13 September lalu, ditemui ketika cuba diseludup ke Laos.

    Lapor Berita Harian yang memetik sumber berkata, kedudukan mangsa dapat dikesan berdasarkan maklumat yang diperoleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum maklumat itu disalurkan kepada Polis Diraja Thailand.

    Susulan itu, polis negara berkenaan membuat sekatan jalan raya di kawasan sempadan Thailand-Laos dan berjaya menyelamatkan mangsa.

    Menurut sumber, mangsa kini berada di bawah pemantauan pihak polis di Kuala Lumpur selepas selamat tiba ke negara ini, semalam, untuk pemantauan tahap kesihatannya.

    “Buat masa ini, polis sedang memantau perkembangan kesihatan fizikal dan psikologi mangsa sebelum dibenarkan pulang untuk bertemu keluarganya,” katanya.

    Bagaimanapun, sumber enggan mendedahkan lokasi sebenar keberadaan wanita itu bagi mengelakkan mangsa diganggu buat masa ini.

    Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, dalam kenyataan memaklumkan Rosnazirah, atau Azi, 36, berjaya diselamatkan Polis Diraja Thailand dan dihantar pulang ke tanah air.

    Katanya, lokasi kedudukan mangsa berjaya dikesan hasil bantuan dan kerjasama erat antara pihak berkuasa Thailand dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

    “Siasatan dan kerjasama erat antara PDRM dengan Polis Diraja Thailand serta perkongsian maklumat dan perisikan berjaya menjejaki dan mengenal pasti lokasi keberadaan mangsa di Thailand.

    “Mangsa akhirnya berjaya diselamatkan dengan hasil bantuan pihak berkuasa negara itu dan dibawa pulang ke Malaysia hari ini,” katanya.

    Acryl Sani dilaporkan berkata, seramai tujuh lelaki tempatan ditahan di sekitar Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur berhubung kes itu.

    Azi dilarikan pada pukul 5.10 petang, 13 September lalu dengan menaiki kereta Toyota Vios dan terdapat penduduk mendakwa melihat mangsa menaiki bot ke Thailand.

    Kereta sama kemudian ditemui pukul 10 malam hari sama di Kampung Kuala Jambu, Pengkalan Kubor.

    Penculikan mangsa dipercayai ada kaitan dengan sindiket dadah dan susulan itu polis menahan tiga individu termasuk suami mangsa dan seorang wanita berusia antara 35 hingga 47 tahun bagi membantu siasatan.

  • 110 mangsa sindiket penipuan bekerja di luar negara berjaya diselamatkan

    110 mangsa sindiket penipuan bekerja di luar negara berjaya diselamatkan

    SERAMAI 110 mangsa yang diperdayakan sindiket penipuan bekerja di luar negara berjaya diselamatkan dan dibawa pulang, kata Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Saaduddin.

    Beliau berkata berdasarkan laporan yang diterima dari 2021 sehingga hari ini, masih terdapat 174 mangsa sindiket berkenaan yang terkandas di luar negara.

    “Bagi tempoh yang sama PDRM telah menerima 224 laporan melibatkan 284 mangsa daripada ahli keluarga dan rakan-rakan mangsa berkaitan rakyat tempatan yang diperdayakan oleh sindiket penipuan untuk bekerja di luar negara.

    “PDRM akan terus menggunakan semua platform untuk bekerjasama dengan pelbagai agensi terutama Interpol (Organisasi Polis Jenayah Antarabangsa), Aseanapol (Polis ASEAN) untuk menangani penipuan tawaran kerja kepada rakyat Malaysia di luar negara, selain turut terlibat dalam jawatankuasa khas yang diterajui oleh Kementerian Luar Negeri,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

    Sementara itu Noorsiah berkata PDRM menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati ketika menerima tawaran-tawaran pekerjaan di luar negara melalui media sosial, dan membuat semakan terlebih dahulu mengenai kesahihan atau ketulenan maklumat majikan dengan Kementerian Luar Negeri.

    “PDRM juga mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat untuk melaporkan sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah sindiket penipuan pekerjaan agar tindakan lanjut dapat diambil,” katanya.

    Pada 20 Sept lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan kerajaan akan memastikan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di beberapa negara dibawa pulang dengan selamat dan usaha sedang dilaksanakan melalui saluran yang ada.

    Ismail Sabri juga menegaskan kerajaan amat prihatin dan mengambil serius mengenai nasib rakyat Malaysia yang terkandas di Laos, Myanmar, Thailand dan Kemboja kerana menjadi mangsa sindiket penipuan kerja.

  • Polis rampas dua senapang, tahan lapan individu

    Polis rampas dua senapang, tahan lapan individu

    POLIS Kelantan merampas selaras senapang patah serta selaras senapang angin, dan menahan lapan individu termasuk seorang lelaki warga Thailand dalam dua serbuan Ops Tapis Khas, Rabu lepas.


    Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata dalam serbuan di sebuah bangsal dekat kelapa sawit di Felda Ciku 2, Gua Musang, polis menahan lima lelaki termasuk seorang warga Thailand berusia 22 hingga 39 tahun.


    Beliau berkata pemeriksaan lanjut di bangsal itu membawa kepada penemuan satu plastik hitam yang mengandungi bahagian-bahagian daging dipercayai kijang dan selaras senapang patah serta 15 butir peluru hidup bore 12 dalam balutan kanvas.

    “Kesemua suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan ditahan reman selama enam hari untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Kota Bharu hari ini.

    Katanya kes disiasat di bawah Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 60(1)(b) Akta Perlindungan Hidupan Liar 2010.


    Muhamad Zaki berkata dalam satu lagi serbuan pada kira-kira pukul 10.40 malam hari yang sama, polis merampas selaras senapang angin dipercayal buatan sendiri sepanjang 113 sentimeter dan sebiji bebola besi disyaki digunakan sebagai peluru, di sebuah rumah di Kampung Air Limau dekat Gual Ipoh, Tanah Merah.

    “Kita telah menahan reman tiga lagi individu selama empat hari, dan kes disiasat di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 2010. Muhamad Zaki berkata dalam satu lagi serbuan pada kira-kira pukul 10.40 malam hari yang sama, polis merampas selaras senapang angin dipercayai buatan sendiri sepanjang 113 sentimeter dan sebiji bebola besi disyaki digunakan sebagai peluru, di sebuah rumah di Kampung Air Limau dekat Gual Ipoh, Tanah Merah.


    “Kita telah menahan reman tiga lagi individu selama empat hari, dan kes disiasat di bawah Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Belajar hasilkan senapang angin, pistol tiruan daripada YouTube

    Belajar hasilkan senapang angin, pistol tiruan daripada YouTube

    POLIS menahan kerana menghasilkan tiga laras senapang angin dan sepucuk pistol tiruan dalam serbuan di rumahnya di Taman Mewah Jaya, Sitiawan, pada Isnin.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hasan Basri berkata, lelaki berusia 39 tahun itu mendakwa senjata tiruan itu adalah untuk kegunaan sendiri selepas mempelajari cara pembuatannya menerusi laman penstriman video YouTube.

    “Penahanan lelaki berkenaan dilakukan susulan Op Tapis Khas Polis Kontinjen Perak yang dilaksanakan selama tiga hari bermula Isnin di seluruh negeri.

    “Hasil pemeriksaan di rumah itu pukul 12.30 tengah malam, polis menjumpai tiga laras senapang angin, sepucuk pistol tiruan, balang gas yang diubah suai dan gari bersama dua anak kunci,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh hari ini.

    Selain itu katanya, pihak polis juga berjaya menemukan bungkusan plastik lutsinar dalam beg suspek yang mengandungi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 6.34 gram.

    Beliau memberitahu, nilai keseluruhan dadah yang dirampas berjumlah RM350, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah selain mempunyai satu rekod kesalahan lampau membabitkan dadah.

    Tambahnya, lelaki tersebut direman tiga hari bermula Isnin dan kes disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960.

    Dalam perkembangan sama, seorang lelaki berusia 22 tahun ditahan di Terminal Bas Meru di Ipoh pada petang Isnin selepas polis menemukan 10 bungkusan plastik dipercayai mengandungi dadah jenis heroin.

    Menurut Mohd. Yusri, dadah yang disyaki untuk diedarkan kepada pasaran tempatan itu dianggarkan seberat 4.53 kilogram dengan nilai RM158,730.

    “Hasil ujian saringan air kencing suspek negatif dadah, namun mempunyai satu rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

    “Justeru, lelaki itu direman tujuh hari bermula Selasa dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya, lapor Astro Awani.

    Mohd. Yusri berkata, kedua-dua mereka antara 408 orang yang ditahan dalam Op Tapis Khas yang menyasarkan sarang-sarang penagihan dadah seperti di kawasan perumahan dan penempatan, ladang serta jeti nelayan di seluruh Perak.

    Katanya, semua mereka yang ditangkap berumur dalam lingkungan 16 sehingga 63 tahun, termasuk tiga warga asing dari Myanmar, Vietnam dan Thailand.

    Menurutnya pelbagai jenis dadah dirampas termasuk methamphetamine, heroin, syabu, ganja, ketum, ketamin yang kesemuanya berjumlah hampir RM200,000.

    “Daripada kesemua yang ditahan, 34 orang membabitkan kesalahan pengedaran dadah, memiliki dadah (165 orang), disiasat di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 (188 orang).

    “Dalam operasi ini juga, tujuh individu ditahan di bawah Akta Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 serta 14 yang dikategorikan sebagai individu yang dikehendaki atas kesalahan dadah,” jelas beliau.