Category: Jenayah

  • Anak tendang, tampar ibu hingga patah gigi angkara dadah

    Anak tendang, tampar ibu hingga patah gigi angkara dadah

    SEORANG anak sanggup menampar ibu sendiri hingga patah gigi dalam kejadian di sebuah kampung di Padang Terap, 6.30 petang, Khamis lalu.

    Warga emas berusia 68 tahun berkenaan turut ditendang anak lelakinya yang berusia 30-an itu angkara dadah.

    Difahamkan, kejadian berkenaan berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek yang berang selepas dia bertanyakan jumlah anak dimiliki mangsa sebelum wanita terbabit menjawab yang dia mempunyai empat anak.

    Ketua Polis Daerah Padang Terap Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, ketika berada di dapur di rumah mereka, suspek bertanyakan berapa jumlah anak ibunya.

    “Sebaik ibunya menjawab soalan berkenaan, suspek terus menampar pipi kiri wanita terbabit membuatkan mangsa terus ke bilik tidur.

    “Bagaimanapun, suspek yang masih tidak berpuas hati mengekori ibunya hingga ke bilik tidur dan menampar kedua-dua pipi wanita berkenaan hingga patah gigi bawah selain turut menendang mangsa sebanyak dua kali,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Menurutnya, mangsa yang bimbang dengan keselamatan dirinya membuat laporan polis sehari selepas kejadian.

    “Susulan itu, polis berjaya mengesan dan menahan suspek serta mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

    “Siasatan awal mangsa mendakwa dia sering diperlakukan demikian oleh suspek dan mengesyaki anaknya bertindak demikian kerana di bawah pengaruh dadah,” katanya.

  • Jam Rolex Tauke stesen minyak lesap di rumah sendiri

    Jam Rolex Tauke stesen minyak lesap di rumah sendiri

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG tauke stesen minyak dan ladang kelapa sawit kerugian hampir RM50,000 selepas seutas jam tangan jenama Rolex miliknya ‘lesap’ dipercayai dicuri di rumahnya sendiri dekat Bandar Laguna Merbok, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kehilangan jam tersebut disedari oleh lelaki berkenaan kira-kira pukul 10 pagi.

    Katanya, susulan laporan polis dibuat lelaki berusia 65 tahun itu, polis telah menahan dua pekerja kedai perabot bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

    “Mangsa mendakwa jam tangan berwarna emas itu diletakkan di atas piano di tepi tangga rumah. Bagaimanapun kira-kira pukul 10 pagi kelmarin, jam tersebut gagal ditemukan.

    “Siasatan awal mendapati, hanya dua pekerja kedai perabot itu saja individu luar yang berada serta masuk ke rumah tersebut. Difahamkan kedua-dua pekerja kedai perabot berkenaan berada di rumah itu bagi menghantar tilam dibeli pemilik rumah, sehari sebelum itu,” katanya.

    Tambahnya, ketika kedua-dua individu berkenaan menghantar tilam tersebut, isteri tauke berkenaan berada di rumah dengan wanita itu menunggu kedua-dua mereka selesai melakukan kerja.

    “Dua pekerja tersebut terdiri daripada seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun dan seorang warganegara Bangladesh berumur 51 tahun yang memiliki permit kerja sah. Mereka ditahan pada hari sama mangsa membuat laporan polis.

    “Mereka masing-masing sudah bekerja selama 30 dan 10 tahun di kedai perabot tersebut. Pemeriksaan dijalankan di rumah serta asrama tempat suspek tinggal bagaimanapun tidak menemukan jam tangan tersebut,” katanya.

    Tambahnya, sehingga kini siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

  • Anggota polis cedera ditikam bergelut dengan tokan dadah

    Anggota polis cedera ditikam bergelut dengan tokan dadah

    SEORANG anggota polis cedera ditikam di betis dalam pergelutan ketika manangkap seorang tokan dadah di tepi jalan Kampung Paya Mat Insun, Bukit Jenun, semalam.

    Lapor Astro AWANI, Ketua Polis Kedah Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, kejadian berlaku ketika sepasukan empat pegawai serta anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah sedang melakukan operasi di kawasan terbabit pukul 7 petang.

    Beliau berkata, ketika itu anggota polis melihat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan berdiri berhampiran motosikalnya sambil memegang plastik hitam.

    “Anggota menghampiri dan memperkenalkan diri sebagai polis dan ketika cubaan menahannya, suspek terus melepaskan plastik hitam dipegang.

    “Ketika itu suspek secara tiba-tiba bertindak agresif dengan mengeluarkan sebilah pisau yang diselit di pinggang dan menyerang anggota polis.

    “Ketika itu berlaku pergelutan dan anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 20-an mengalami kecederaan di kedua-dua betis akibat ditikam suspek serta bengkak pada tangan kiri,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

    Wan Hassan berkata, suspek akhirnya berjaya ditahan dan siasatan lanjut mendapati plastik hitam dibawanya mengandungi dadah disyaki heroin dan ganja.

    Katanya, suspek kini ditahan dan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pendang untuk siasatan lanjut.
    Kes disiasat mengikut Seskyen 307 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 186 KK.

  • Suami isteri disyaki hisap gam sudah dipanggil polis

    Suami isteri disyaki hisap gam sudah dipanggil polis

    LELAKI disyaki memandu kereta sambil menghisap gam di Lebuh Ayer Keroh menghala ke Banda Hilir, baru-baru ini, sudah dipanggil polis untuk tindakan lanjut.

    Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit, tindakan pemandu berusia 33 tahun itu dikesan pihaknya kira-kira 4 petang, Jumaat lalu, menerusi video 17 saat yang dimuat naik di Instagram.

    Bagaimanapun katanya, masa dan tarikh sebenar kejadian tidak dapat dipastikan, sebelum risikan dibuat Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

    “Kira-kira 11 malam keesokan harinya, pihak polis kemudian pergi ke rumah di Kampung Bukit Pegoh, Pernu, dan berjumpa dengan pemilik kereta yang tular bagi membuat pemeriksaan.

    “Susulan daripada itu, polis berjaya mengesan pemandu yang juga menantu kepada pemilik kereta dan dua penumpang iaitu isteri berusia 23 serta kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, lalu dibawa ke IPD Melaka Tengah untuk tindakan lanjut,” katanya dalam laporan Harian Metro.

    Beliau berkata, isteri pemandu itu menafikan mereka menghisap gam selain ujian saringan air kencing yang dijalankan keatas kedua-dua mereka, didapati negatif.

    “Kedua-dua mereka kemudian dibebaskan sejurus soal siasat selesai dijalankan,” katanya.

    Mengulas lanjut, Christopher berkata, susulan itu satu kertas siasatan dibuka mengikut Peraturan 17 LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalulintas1959.

    “Kertas siasatan ini akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

  • Didakwa seludup hidupan liar: Rakyat Malaysia diekstradisi ke AS

    Didakwa seludup hidupan liar: Rakyat Malaysia diekstradisi ke AS

    AMERIKA Syarikat (AS) mengekstradisi seorang rakyat Malaysia, Teo Boon Ching yang didakwa terlibat dalam kegiatan penyeludupan hidupan liar dan pengubahan wang haram.

    Teo (bergelar Datuk Seri) 57, didakwa terlibat dengan konspirasi menyeludup lebih 70 kilogram tanduk badak sumbu bernilai lebih US$725,000, menurut kenyataan Jabatan Kehakiman AS.

    “Teo didakwa atas satu pertuduhan bersubahat melakukan penyeludupan hidupan liar yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan dua pertuduhan pengubahan wang haram yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun.

    “Teo telah ditahan di Thailand pada 29 Jun atas permintaan AS menurut perjanjian ekstradisi dua hala,” menurut kenyataan itu.

    Dia diekstradisi ke AS pada Jumaat (7 Okt) untuk didakwa. 

    Terdahulu, pada Jumaat Teo dan entitinya telah dikenakan sekatan oleh Pejabat Kawalan Aset Asing (OFAC) Jabatan Perbendaharaan AS.

    Kenyataan itu turut mendedahkan bahawa Teo ialah peneraju perusahaan jenayah transnasional yang berpangkalan di Asia serta menjalankan operasi penyeludupan tanduk badak sumbu berskala besar di Malaysia dan Thailand.

    “Ching (Teo) bertindak sebagai penyeludup khusus yang mengangkut tanduk badak sumbu dari pusat operasi pemburuan badak sumbu dari Afrika kepada pelanggan terutamanya di Asia. 

    “Dia juga mendakwa boleh membuat penghantaran tanduk badak sumbu ke AS,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

  • Pemandu bot pelancong edar dadah ditahan polis

    Pemandu bot pelancong edar dadah ditahan polis

    POLIS menahan seorang pemandu bot pelancong dan dua nelayan serta merampas pelbagai jenis dadah seberat lebih satu kilogram bernilai RM160,705 melalui tiga serbuan di Langkawi, Kedah, semalam.

    Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, dalam serbuan pertama pukul 6 pagi di Kampung Baru Sungai Menghulu, pihaknya menahan suspek berusia 42 tahun.

    “Pemeriksaan menemukan dadah disyaki syabu seberat 78.70 gram (g) dan heroin seberat 19.60g dalam bekas berzip dipegang suspek yang juga nelayan.

    “Pada serbuan kedua di sebuah rumah di Taman Nilam, kira-kira dua jam selepas itu, kami menahan seorang nelayan berusia 46 tahun dan merampas heroin seberat 6.50g, syabu seberat 12.20g dan 1.24g ganja,” katanya pada kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Ketiga-tiga suspek berusia 37, 42 dan 46 tahun.

    Shariman berkata, pada serbuan ketiga di sebuah rumah di Kampung Padang Mengkuang pada jam 9.45 pagi, kami menahan pemandu bot pelancong berusia 37 tahun dan merampas syabu seberat 975.70g serta 2.10g heroin.

    “Jumlah keseluruhan dadah dirampas ialah RM160,705. Hasil ujian air kencing ke atas ketiga-tiga suspek mendapati mereka positif Methamphetamine.

    Kes antaranya disiasat mengikut Seksyen 39B dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

  • Geng Ali Kuantao samun guna parang akhirnya tumpas

    Geng Ali Kuantao samun guna parang akhirnya tumpas

    ‘GENG Ali Kuantao’ yang melakukan samun berkawan menggunakan parang di kedai serbaneka 24 jam di Bandaraya Kuching, tumpas, selepas penahanan enam lelaki semalam dan kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, pihaknya menubuhkan pasukan khas bagi mengesan suspek sebelum berjaya menahan mereka yang berusia 20 hingga 26 tahun.

    “Siasatan awal suspek turut mempunyai 10 rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah dan jenayah harta benda.

    “Polis turut merampas kenderaan, pakaian, senjata dan mesin daftar wang untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

    Menurutnya, suspek menggunakan modus operandi dengan memakai topeng dan mengacukan parang untuk menakutkan mangsa.

    Katanya, penahanan kesemua suspek dipercayai berjaya menyelesaikan lima kes samun.

    “Kesemua suspek warga tempatan direman sehingga 13 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan,” katanya memetik laporan Harian Metro.

  • Pekerja kilang diculik, dibunuh selepas wang tebusan dibayar

    Pekerja kilang diculik, dibunuh selepas wang tebusan dibayar

    MAYAT pekerja kilang warga Bangladesh dipercayai mangsa culik ditemukan di kawasan semak di Jalan Taming Jaya 10, Seri Kembangan di Kajang, malam tadi.

    Keadaan mayat itu ditemukan dalam keadaan separuh reput dengan tangan dan mukanya diikat menggunakan pita pelekat serta kain sarung 

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan memberitahu, perkara itu terbongkar selepas polis menahan empat lelaki Bangladesh dalam dua serbuan berasingan semalam dan kelmarin.

    “Polis menerima laporan daripada seorang lelaki Bangladesh yang menyatakan anak saudaranya yang keluar rumah pada 25 September lalu gagal dihubungi.

    “Pada keesokan harinya, ibu kepada mangsa yang berada di Bangladesh mendakwa menerima panggilan daripada suspek disyaki warganegara sama menyatakan mangsa berada di bawah tahanan mereka dan mereka dikehendaki membayar 500,000 Taka Bangladesh (RM24,000) sebagai wang tebusan untuk membebaskannya.

    “Pada 27 September, ibu mangsa yang telah memindahkan wang yang diminta suspek melalui akaun bank di Bangladesh dan suspek berjanji untuk melepaskan mangsa dalam tempoh masa dua hari.

    “Memandangkan ibu mangsa tidak menerima sebarang berita berkenaan mangsa, ibunya meminta abang kandungnya untuk membuat laporan pada 30 September lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohd. Zaid memberitahu, bertindak atas laporan itu, polis menahan dua lelaki warga Bangladesh di sekitar Beranang petang kelmarin dan dua lagi suspek juga warga Bangladesh petang semalam di sekitar Semenyih.

    Beliau berkata, penahanan empat suspek itu, akhirnya membawa kepada penemuan mayat mangsa di kawasan semak berkenaan.

    “Hasil siasatan awal, mangsa yang berusia 39 tahun itu dibunuh kerana mangsa mengenali suspek,” katanya, lapor Astro Awani.

    Tambahnya lagi, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat.

    Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu diminta menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Vekram Sinnaiah di talian 019-4737108 dengan segera.

  • Penjawat awam rugi hampir setengah juta ringgit akibat Macau scam

    Penjawat awam rugi hampir setengah juta ringgit akibat Macau scam

    SEORANG penjawat awam terpaksa berputih mata selepas kerugian RM468,000 akibat diperdaya sindiket Macau Scam, di Batu Pahat, Johor sejak Ogos lepas.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata wanita berusia 38 tahun itu terpedaya setelah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah pada 4 Ogos lepas.


    “Melalui panggilan yang dibuat oleh individu berkenaan, dia menyatakan mangsa terlibat dalam jenayah pengubahan wang haram dan dalam masa yang sama menawarkan bantuan untuk menyelesaikan kes terbabit

    “Antara syarat untuk menyelesaikan kes itu, mangsa perlu membuat pembayaran ke dalam akaun bank yang diberikan dan mangsa percaya dengan membuat pembayaran sejumlah RM70,000, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


    Jelas Ismail lagi, lelaki berkenaan juga meminta mangsa menyerahkan maklumat perbankan dalam talian milik mangsa kepadanya kononnya untuk tujuan siasatan.

    Beliau berkata mangsa hanya menyedari dirinya ditipu apabila dia mendapati terdapat wang berjumlah RM398,000 dipindahkan menerusi dalam talian.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan dan juga denda.

    “Kami nasihatkan orang ramai lebih berhati-hati apabila menerima panggilan dari nombor yang tidak dikenali, selain membuat semakan dengan pihak berkuasa terlebih dahulu,” kata Ismail.

  • Nyaris ‘dijual’ sindiket, orang Laos korek terowong tolong rakyat Malaysia lari

    Nyaris ‘dijual’ sindiket, orang Laos korek terowong tolong rakyat Malaysia lari

    BERDEPAN antara hidup dan mati dalam sebuah bangunan dikawal sindiket, lapan rakyat Malaysia di Laos berpakat siapa dalam kalangan mereka yang patut melepaskan diri, dengan harapan rayuan mereka yang terselamat akan menggerakkan lagi banyak usaha menyelamat.

    Selesai berbincang, tanpa tahu nasib menanti mereka yang ditinggalkan, empat orang terpilih untuk melarikan diri menerusi sebuah terowong yang dikorek penduduk tempatan.

    Keputusan yang sukar harus dan telah dibuat, kerana dalam dua hari lagi, mereka ini akan dijual ke Myanmar umpama ternakan. Khoo (bukan nama sebenar), 34, salah seorang yang terpilih untuk melarikan diri daripada sindiket penipuan tawaran kerja itu.

    Dia masih ingat amaran keras daripada sindiket akan nasib mereka yang gagal melepaskan diri daripada kerja menipu duit orang lain itu.

    “Seorang rakyat China dipukul depan mata kami berempat. Kaki patah, tangan patah, kepala koyak. Dia cakap kalau kami cuba lari, nasib kami akan sama macam ini,” katanya, lapor FMT.

    Tidak dapat dipastikan bagaimana orang tempatan itu dapat tahu tentang nasib mereka, namun sebuah kereta menanti rakyat kita di luar terowong.

    “Dia korek terowong itu, kasi kita masuk, bawa keluar cepat-cepat ke dalam kereta yang menunggu,” ceritanya.

    Seorang lagi mangsa terselamat, Danny (bukan nama sebenar), 35, tekad akan lawan sekiranya cubaan gagal. Danny hanya boleh terima dua pengakhiran – peluk anak isterinya di Malaysia atau mati melawan di Laos.

    “Tak lari pun tetap mati. Jadi kita lawan sahaja lah. Mati sekali (dengan penyangak). Tidak apa, cuma mati sahaja,” katanya.

    Lee (bukan nama sebenar), 28, bukan salah seorang daripada terpilih hari itu, badannya yang besar menyebabkan dia tidak muat melalui terowong itu.

    Beliau enggan menyerah dan merencana cubaan tersendiri apabila dia dimasukkan ke hospital atas alasan sakit. Dengan bantuan penduduk tempatan yang sama, dia berjaya melarikan diri malah hampir dicekau samseng yang mengawalnya.

    “Ini satu-satunya peluang saya untuk lari. Kalau tidak dapat lari, saya pasti mati. Saya badan paling besar dalam kumpulan (lapan orang rakyat Malaysia itu). Mereka pun tak percaya saya dapat lari.

    “Memang nasib saya baik,” katanya.

    Kepulangan mereka di KLIA pada Selasa disambut keluarga yang menanti selepas lapan bulan mereka diculik sindiket. Tidak ada kata-kata yang mampu menggambarkan perasaan Danny dengan sempurna, dengan anaknya dalam dakapan.

    “Nampak anak isteri, semua ahli keluarga saya, saya betul-betul gembira. Kalau tiada orang tolong kami, kami mungkin sudah mati di sana,” katanya.

    Keluarga mereka ketika ditemui amat berterima kasih kepada Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), kerajaan, dan pihak berkuasa Laos yang berusaha membawa anak-anak mereka pulang.

    “Saya tidak boleh cakap sekarang, tapi hati saya seronok anak saya sudah balik. Terima kasih!” kata seorang bapa mangsa, Tham, 62.