Category: Jenayah

  • Sindiket bawa masuk PATI tumpas, dua Pegawai Imigresen ditahan

    Sindiket bawa masuk PATI tumpas, dua Pegawai Imigresen ditahan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MEMBAWA masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia yang telah disenaraihitamkan menerusi Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri, Johor.

    Dua Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang bersubahat dengan sindiket membawa PATI berkenaan akan melepaskan mereka tanpa sebarang pemeriksaan sebelum dibawa ke Larkin Sentral, Johor Bahru menggunakan bas.

    Selepas itu semua PATI berkenaan yang masuk dari Singapura akan dibawa menaiki bas ke Terminal Bersepadu Selatan di Kuala Lumpur.

    Itu modus operandi dilakukan sindiket Ah Chong yang membawa masuk PATI Indonesia yang sudah disenarai hitam pihak JIM ke negara ini.

    Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, kegiatan mereka tumpas selepas pihaknya menerusi satu operasi khas dijalankan sepasukan pegawai dan anggota imigresen Putrajaya bermula pukul 1.30 petang tadi.

    “Seramai 25 PATI warganegara Indonesia ditahan yang melibatkan 13 lelaki dan 12 wanita. Turut ditahan dua tekong warganegara tempatan berusia 34 dan 49 tahun.

    Khairul Dzaimee bertanyakan soalan kepada PATI yang ditahan dalam operasi dijalankan JIM di KSAB, Iskandar Puteri, hari ini

    “Selain itu dua Pegawai Imigresen yang berusia 20 dan 27 tahun yang bertugas di KSAB turut ditahan petang tadi,” katanya dalam sidang akhbar di Laluan Keluar Bas dan Lori di KSAB, hari ini.

    Beliau berkata, sindiket itu didapati telah bergiat aktif sejak sempadan antarabangsa Malaysia dibuka pada April lalu dengan mensasarkan PATI yang telah disenarai hitam daripada memasuki negara ini oleh pihak imigresen.

    Sindiket itu katanya, mengenakan bayaran antara RM5,000 hingga RM8,000 seorang dan dianggarkan mereka telah membawa masuk sekurang-kurangnya 600 PATI sejak April lalu dengan mengaut keuntungan lebih RM2.5 juta sejak beroperasi.

    “Kesemua PATI yang dibawa masuk sindiket ini adalah mereka yang telah disenarai hitam imigresen atas pelbagai kesalahan antaranya masuk melalui laluan salah, tinggal lebih masa dan juga menjalankan perniagaan tanpa lesen,” katanya.

    Beliau memberitahu, semua 25 PATI yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Imigresen 1959/63, manakala dua tekong warga tempatan akan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

    “Pihak Imigresen tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang didapati terlibat dengan kegiatan penyeludupan migran,” ujar beliau lagi.

  • Bapa dipercayai bunuh bayi tiga bulan ada lapan rekod jenayah

    Bapa dipercayai bunuh bayi tiga bulan ada lapan rekod jenayah

    LELAKI yang dipercayai membunuh bayi lelakinya berusia tiga bulan di sebuah rumah di Kampung Teluk Jawa, Padang Hang, Alor Setar pada Isnin lepas, mempunyai lapan rekod jenayah lampau termasuk kes dadah.

    Ketua Polis Kedah Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata suspek berumur 28 tahun itu sedang ditahan reman selama tujuh hari hingga 17 Okt ini.

    “Kita percaya suspek telah terlibat dengan penagihan dadah ini sejak dua, tiga tahun lepas dan dia mempunyai lapan rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah dan lain-lain,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes penemuan mayat bayi itu.

    Semalam, Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir dalam satu kenyataan media memaklumkan polis menerima panggilan telefon berhubung penemuan mayat bayi lelaki berusia tiga bulan di dalam sebuah rumah di Kampung Teluk Jawa, Padang Hang pada Isnin.

    Hasil siasatan membawa kepada tangkapan seorang lelaki yang juga bapa kepada bayi itu di belakang sebuah rumah di Kampung Sungai Lintang dekat Padang Hang pada hari yang sama.

    Sementara itu, Wan Hassan berkata dua lagi anak suspek yang berusia lima dan satu tahun yang dijaga ahli keluarga lain kini berada di bawah pengawasan polis serta sedang menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

    “Kita bimbang ada elemen gangguan seksual, sebab itu mereka dihantar ke hospital untuk pemeriksaan dan setakat ini masih belum dapat keputusan lagi. Bayi lelaki itu maut dipercayai akibat kecederaan di bahagian kepala disebabkan oleh hentakan benda tumpul.

    “Dipercayai terdapat kamera litar tertutup (CCTV) di dalam rumah suspek, sekiranya benar polis akan buat rampasan bagi membantu siasatan kes,” katanya.

  • SPRM tahan wanita sogok pegawai PGA RM800

    SPRM tahan wanita sogok pegawai PGA RM800

    SEORANG wanita yang cuba menyogok wang sebanyak RM800 kepada pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA) supaya tidak diambil tindakan undang-undang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pukul 5.40 petang semalam.

    Wanita tempatan berusia lingkungan 50-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah Cawangan Tawau.

    Menurut sumber, suspek cuba mengelak daripada dikenakan tindakan kerana cuba membawa keluar barang kawalan ke Filipina.

    Suspek dipercayai memberi wang rasuah berjumlah kira-kira RM800 kepada pegawai PGA yang sedang bertugas di Pulau Mataking, Semporna.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu berkata, kes disiasat mengikut seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

    “Tiada permohonan reman dibuat dan suspek dilepaskan dengan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin pada hari yang sama.

    “Hasil tangkapan ini adalah kerjasama antara PGA dan SPRM Sabah Cawangan Tawau dalam usaha membanteras rasuah di kawasan berkenaan,” ujarnya memetik laporan Sinar Harian.

    Sehubungan itu, Karunanithy mengingatkan orang ramai supaya tidak menawarkan atau memberi sebarang bentuk sogokan kepada pejawat awam khususnya pegawai penguat kuasa kerana ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.

    “Penjawat awam juga wajib membuat laporan kepada SPRM sekiranya timbul sebarang aktiviti sogokan kerana kegagalan untuk berbuat demikian juga akan dikenakan tindakan mengikut Akta SPRM 2009,” katanya.

  • Polis jumpa mayat reput ketika siasat lokasi kereta terbabas elak kelibat

    Polis jumpa mayat reput ketika siasat lokasi kereta terbabas elak kelibat

    POLIS menemukan satu mayat reput ketika menjalankan siasatan terhadap kemalangan kereta yang terbabas berhampiran persimpangan lampu isyarat Pekan Tambun di Ipoh, pagi ini.

    Mayat dipercayai perempuan yang sudah reput sejak beberapa hari itu, ditemui hanya pada kira-kira tiga meter dari kereta Proton Satria Aeroback yang terbabas ke dalam longkang berdekatan.

    Difahamkan sebelum penemuan mayat, pada kira-kira pukul 5 pagi sebuah kereta yang dipandu oleh seorang anggota tentera dari arah Hulu Kinta terbabas ke dalam longkang berkenaan.

    Anggota tentera berkenaan dikatakan cuba mengelak suatu kelibat yang melintas di hadapan keretanya sebelum terbabas ke dalam longkang di sebelah kiri jalan.

    Bagaimanapun, dalam kejadian itu anggota tentera itu hanya cedera ringan, lapor Berita Harian.

    Anggota polis trafik yang kemudiannya datang ke lokasi kira-kira 5.30 pagi untuk menjalankan siasatan sebelum turut menemui mayat reput di sekitar kawasan kemalangan.

    Ketika menjalankan siasatan berkenaan, anggota polis dikatakan terhidu bau busuk sebelum menemukan mayat reput berhampiran kenderaan yang terbabas.

    Maklumat penemuan itu dilaporkan kepada Balai Polis Tambun berhampiran dan mayat kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk proses bedah siasat.

    Difahamkan, proses bedah siasat akan dijalankan pada sebelah petang bagi mengenal pasti identiti mayat dan punca kematian.

    Tinjauan wartawan di lokasi mendapati siasatan dijalankan oleh pihak polis dan forensik PDRM di lokasi kejadian dan mayat reput sudah dibawa keluar daripada lokasi.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

  • Kapal tunda dinaiki 16 kru warga China ditahan ceroboh perairan negara

    Kapal tunda dinaiki 16 kru warga China ditahan ceroboh perairan negara

    SEBUAH kapal tunda yang bersauh tanpa kebenaran di perairan Sekinchan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor pada pukul 1.30 petang semalam.

    Pengarah Maritimnya, Kepten V. Siva Kumar berkata, penahanan itu hasil maklumat Area Control Centre (ACC) SWASLA Klang yang mengesan kedudukan kapal dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 16.7 batu nautika barat daya Sekinchan pukul 11.01 pagi.

    “Hasil siasatan pihak Jabatan Laut Wilayah Tengah (JLWT) memaklumkan, bot tunda itu tidak mempunyai kebenaran bersauh daripada Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

    “Bot Maritim Malaysia BENTENG 01 yang sedang melaksanakan rondaan telah diatur gerak ke lokasi seterusnya menahan kapal tunda berkenaan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Siva Kumar memberitahu, hasil pemeriksaan awal mendapati kapal tunda itu dikendalikan oleh 16 kru warga China yang kesemuanya mempunyai dokumen pengenalan diri sah.

    Bagaimanapun katanya, nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh.

    “Pemeriksaan mendapati kapal tunda itu melakukan kesalahan melanggar peraturan di bawah Seksyen 491B (1) (L) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

    “Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama,” ujar beliau.

    Tambahnya, perintah penahanan ke atas kapal tersebut dikeluarkan dan kapten serta seorang kru kapal dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut.

    “Maritim Malaysia memandang serius sebarang pelanggaran undang-undang dan tindakan tegas akan diambil bagi memastikan kesejahteraan perairan negara sentiasa terpelihara,” jelas beliau.

    Jika terdapat aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah Maritim serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau talian kecemasan MERS 999 untuk maklum balas segera

  • Bayi tiga bulan maut disyaki didera bapa

    Bayi tiga bulan maut disyaki didera bapa

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG bayi lelaki berusia bulan maut disyaki akibat didera ayah kandungnya sendiri di sebuah rumah di Kampung Teluk Jawa, Padang Hang dekat Alor Setar, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kematian mangsa kira-kira pukul 1.50 petang semalam.

    “Sehubungan itu, pihak polis menahan bapa kandung mangsa berusia 28 tahun di belakang rumah keluarga itu yang dipercayai merupakan suspek utama dalam kes ini.

    “Ujian urin terhadap suspek mendapati mangsa positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

    Difahamkan bayi tersebut ditemukan sudah tidak bernyawa di atas katil.

    Mangsa merupakan anak bongsu daripada tiga beradik dengan dua kakaknya kini berusia setahun dan enam tahun.

    Sementara itu Ahmad Shukri berkata, pemeriksaan dijalankan mendapati mangsa maut akibat hentakan benda tumpul di kepala.

    Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 17 Oktober depan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • Pukul anggota Rela sampai mati, seorang lagi individu diberkas

    Pukul anggota Rela sampai mati, seorang lagi individu diberkas

    SEORANG lagi suspek diberkas bagi membantu siasatan kes seorang anggota Jabatan Sukarelawan Rela (Rela) dipukul sehingga maut dalam kejadian di sebuah flat di Damansara di Pelaling Jaya, pada 8 September lalu.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek yang merupakan lelaki warga tempatan berumur 24 tahun itu diberkas pukul 10.30 malam pada tadi.

    Menurut beliau, suspek ditahan dalam serbuan yang dijalankan di sekitar kawasan Penchala.

    “Suspek yang didapati positif dadah jenis methapatamine itu direman tujuh hari untuk siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Ahad lalu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun di sekitar Kota Damansara berhubung kes berkenaan.

    Susulan tangkapan itu, polis turut merampas baju-T warna hitam, sehelai seluar jean pendek warna kelabu, seutas tali pinggang dan sepasang kasut dipercayai dipakai suspek semasa kejadian.

    Dalam kejadian Sabtu lalu, seorang lelaki yang juga merupakan anggora Rela maut selepas dikejar dan dipukul dua beradik dipercayai mabuk di hadapan rumah mangsa di sebuah flat di Damansara.

  • Terima upah RM1,000 bawa daun ketum dari Kedah ke Kelantan

    Terima upah RM1,000 bawa daun ketum dari Kedah ke Kelantan

    SEORANG pekerja kilang sanggup menerima upah RM1,000 untuk membawa sebanyak 450 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM4,500 dari Kedah ke Kota Bharu, Kelantan.

    Namun, usahanya itu sia-sia apabila suspek yang berusia 30 tahun berkenaan ditahan polis ketika sedang memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Bukit Mertajam, Pulau Pinang Jumaat lalu.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, lelaki itu ditahan selepas polis mengesan kenderaan MPV itu dipandu dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 5.30 pagi.

    Hasil pemeriksaan tambah beliau, pihaknya menjumpai sebanyak 45 beg plastik warna hitam berisi daun ketum dengan anggaran berat 45 kg yang diletakkan di bahagian belakang MPV terbabit.

    “Bekalan ketum itu diperolehi dari Kedah dan suspek dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum meneruskan pemanduan ke Kota Bharu, Kelantan.

    “MPV terbabit turut disita untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah SPT hari ini.

    Tambah beliau, siasatan juga mendapati suspek menggunakan MPV yang disewa untuk membawa ketum itu dan sindiket terbabit aktif dalam kegiatan pengederan ketum sejak Ogos lalu bagi pasaran negeri Pantai Timur.

    Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif sebarang bahan terlarang, namun mempunyai tiga rekod kesalahan lampau melibatkan penyalahgunaan dadah.

    “Suspek direman selama enam hari bermula 7 Oktober lalu sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

  • Suami isteri ditahan bersama 29 ketulan mampat ganja

    Suami isteri ditahan bersama 29 ketulan mampat ganja

    SEPASANG suami isteri yang aktif mengedar dadah jenis ganja ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Malwira, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, kira-kira pukul 11 malam, Rabu lalu.

    Ketika ditahan, polis turut merampas sebanyak 29 ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja seberat 30 kilogram (kg) bernilai RM75,000.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, suspek masing-masing merupakan lelaki tempatan dan wanita warga asing berusia 32 dan 36 tahun itu didapati aktif mengedar dadah berkenaan sejak Mei tahun lalu.

    Jelas beliau, dalam serbuan itu, polis turut menyita sebuah kereta jenis Hyundai Santa Fe, dua utas gelang tangan, seutas rantai leher dan sebentuk cincin menjadikan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan sebanyak RM103,270.

    “Saringan air kencing kedua-dua suspek bagaimanapun negatif dadah, namun salah seorang daripadanya memiliki satu rekod kesalahan lampau,” katanya dalam sidang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPT hari ini.

    Tambah beliau, kedua-dua suspek direman selama seminggu bermula 5 Oktober lalu sehingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1951.

  • Dua termasuk warga emas ditahan seludup arak

    Dua termasuk warga emas ditahan seludup arak

    DUA lelaki termasuk seorang warga emas ditahan dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan minuman keras pelbagai jenama tanpa cukai melibatkan rampasan bernilai RM112,218.60 di sebuah premis di kawasan Bukit Pasir, Muar, semalam.

    Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, suspek masing-masing berusia 47 dan 62 tahun itu ditahan Pasukan Task Force Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Muar serta Pasukan Risik Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 6 Bakri menerusi Op Kontraban kira-kira pukul 4 petang.

    “Kita telah merampas 137 karton arak mengandungi 3,288 tin dan 55 karton mengandungi 1,120 botol bernilai kira-kira RM104,218.60, selain sebuah kereta Proton Waja bernilai RM8,000.

    “Jumlah nilai rampasan keseluruhan adalah RM112,218.60,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, kedua-dua lelaki tempatan itu ditahan reman selama lima hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967.