Category: Jenayah

  • Kastam rampas sekerap aluminium RM819,000

    Kastam rampas sekerap aluminium RM819,000

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CUBAAN menyeludup sekerap aluminium (aluminium scrap) bernilai RM819,000 gagal hasil pemeriksaan yang dilakukan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johordi Pelabuhan Johor, Pasir Gudang, kelmarin.

    Pemeriksaan dilakukan pukul 11.30 pagi hingga 12 tengah hari itu mendapati barangan dagangan berkenaan yang dimuatkan dalam tiga kontena itu turut tidak memiliki sebarang cukai eksport dan keperluan permit daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

    Pengarah JKDM Johor, Misbahudin Parmin berkata, dagangan sekerap aluminium adalah larangan eksport dan tertakluk kepada Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2017 di mana pengeksportan dagangan ini memerlukan permit daripada MITI.

    Namun hasil pemeriksaan, pihaknya mendapati ketiga-tiga kontena berkenaan mengandungi 73,696 kilogram (kg) aluminium scrap yang dipercayai tidak mempunyai permit eksport yang sah.

    “Hasil siasatan, kita juga mendapati modus operandi sindiket penyeludupan yang terlibat adalah membuat pengikraran palsu serta perakuan tidak benar dalam Borang Kastam 2 (BK2) semasa pengeksportan.

    “Tujuannya bagi mengaburi pihak berkuasa serta mengelak daripada dikenakan duti eksport sebanyak 10 peratus dan mengelak mengemukakan permit MITI,” katanya pada sidang akhbar di pelabuhan itu, hari ini.

    Beliau berkata, seorang lelaki warganegara tempatan berusia 28 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan, namun dibebaskan dengan jaminan RM5,000 pada hari yang sama (Isnin).

    Untuk rekod, anggaran barang dagangan yang dirampas (aluminium scrap) yang dirampas bernilai RM745,300 dengan duti eksport berjumlah RM74,500.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 133 (1) (a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135(1)(a) Akta yang sama iaitu membuat kesalahan pengikraran tidak benar dan terlibat dalam cubaan mengeksport barang larangan bersyarat tanpa permit dan jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 133(1)(a), boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

    Bagi kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(a) pula, boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai duti kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai duti kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana nilai yang lebih besar, atau penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    Dalam pada itu, Misbahudin berkata, permintaan tinggi bagi sekerap aluminium di pasaran hari ini, disyaki menjadi punca kepada cubaan mengeksport barang berkenaan.

    Beliau berkata, hasil siasatan pihaknya turut mendapati barangan dagangan itu cuba dieksport ke negara-negara Asia Timur.

    “Kita juga mengesyaki pihak yang bertanggungjawab dalam hal ini juga telah beroperasi sejak sekian lama dan menjadikan pelabuhan di Pasir Gudang ini bagi tujuan eksport.

    “Oleh itu kita menggesa orang ramai untuk membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan ini khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan selain dinasihatkan agar tidak membabitkan diri dengan sebarang aktiviti berkenaan kerana ia bukan sahaja merugikan negara malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

    “Orang ramai boleh memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-88-8855 atau mana-mana pejabat kastam yang terdekat. Identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” ujarnya.

  • Lelaki maut selepas bergaduh kerana baja

    Lelaki maut selepas bergaduh kerana baja

    SEORANG lelaki maut dipercayai selepas bergaduh, gara-gara menuduh seorang individu mencuri baja miliknya dalam kejadian di Bagan Tiang, Tanjung Piandang, Pasir Buntar, petang semalam.

    Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya menahan suspek lelaki berusia 40 tahun di sebuah rumah yang terletak kira-kira 100 meter dari tempat kejadian pada kira-kira pukul 6 petang.

    “Suspek mengaku telah bergaduh dengan mangsa yang berusia 47 tahun. Mangsa telah menahan suspek yang sedang menunggang motosikal di tengah jalan sebelum terus mencekak baju dan menumbuk suspek namun, tumbukan hanya terkena sedikit di bahagian pipi,” katanya dalam kenyataan di Pasir Buntar hari ini.

    Menurutnya suspek kemudian bertindak membalas dengan menumbuk mangsa pada bahagian hidung dan berlaku pergelutan antara mereka yang masing-masing bekerja sendiri sehingga kedua-duanya jatuh ke dalam tali air berhampiran.

    Beliau berkata setelah naik ke darat, beberapa penduduk kampung yang melalui tempat kejadian telah meleraikan pergaduhan tersebut dan suspek beredar pulang ke rumahnya namun mangsa dikatakan secara tiba-tiba rebah dan tidak menyedarkan diri berdekatan motosikal miliknya.

    Mohd Yusri berkata pasukan Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak telah ke tempat kejadian untuk mengumpul barang bukti dan ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati positif dadah jenis Methampethamine.

    Katanya siasatan dijalankan mengikut  Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan permohonan reman terhadap suspek yang mempunyai pelbagai rekod jenayah termasuk kes dadah itu akan dilakukan di Mahkamah Majistret Parit Buntar hari ini.

  • Pencipta ‘tagline’ ‘On Tak On’ maut dalam kemalangan

    Pencipta ‘tagline’ ‘On Tak On’ maut dalam kemalangan

    LELAKI yang dipercayai mencipta ‘tagline’ atau slogan popular ‘On Tak On’ (On X On), Faizi Azmi , 47, maut selepas motosikal ditunggangnya kemalangan dengan dua lagi kenderaan di Telok Kemang, di Port Dickson petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata nahas jam 4.57 petang itu, membabitkan sebuah Perodua Bezza, sebuah Perodua Aruz dan motosikal Honda C100 milik mangsa yang juga dikenali dengan nama Mail atau ‘On X On’.

    “Siasatan awal polis mendapati sebuah kereta Perodua Aruz dipandu anggota tentera dari arah Sua Betong dalam perjalanan ke rumahnya di Kem Gerison, SiRusa, keluar dari simpang tiga Sua Betong ke arah Teluk Kemang lalu terlanggar sebelah kanan motosikal mangsa.

    “Akibatnya, mangsa melambung dan terjatuh lalu terkena bahagian depan sebuah Perodua Bezza yang juga dipandu seorang anggota tentera sebelum dia terjatuh atas jalan,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian.

    Katanya, mangsa yang ketika itu dalam perjalanan dari Port Dickson ke Teluk Kemang, kemudian tidak sedarkan diri dibawa ke Hospital Port Dickson untuk rawatan kecemasan, sebelum disahkan meninggal dunia jam 8.38 malam tadi.

    “Beliau sangat dikenali dengan nama Acek Mail juga sering memuat naik video pendek di media sosial dengan tagline ‘On X On’,” katanya menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Rogol berkumpulan, lapan remaja berdepan 18 pertuduhan

    Rogol berkumpulan, lapan remaja berdepan 18 pertuduhan

    LAPAN remaja yang didakwa terlibat dalam kes rogol berkumpulan melibatkan mangsa seorang gadis berusia 14 tahun pada 16 Oktober lalu bakal berdepan dengan 18 pertuduhan.

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kesemua suspek yang berusia 14 hingga 18 tahun itu akan dituduh bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan pertuduhan secara berasingan.

    Menurutnya, tujuh daripada mereka masih kanak-kanak semasa kejadian dan akan dituduh di Mahkamah Majistret Kota Bharu pada Selasa ini.

    “Seorang lagi yang berusia 18 tahun akan dituduh di Mahkamah Seksyen Kota Bharu pada hari yang sama,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Media pada 18 Oktober lalu melaporkan lapan remaja lelaki ditahan reman tujuh hari di Mahkamah Majistret Bachok, Kelantan bagi membantu siasatan kes rogol berkumpulan ke atas seorang gadis bawah umur.

  • Bekas pekerja kandang lembu bunuh majikan

    Bekas pekerja kandang lembu bunuh majikan

    Oleh ABU UBADILLAH RAHMAN

    SEORANG majikan wanita maut ditetak bekas pekerjanya sendiri di Jalan Ladang Sungai Labis, Segamat, pukul 10 pagi Rabu lalu.

    Wanita berusia 35 tahun itu ditetak dengan parang di leher dan beberapa anggota badan oleh lelaki berusia 45 tahun terbabit.

    Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, kejadian bermula dengan pertengkaran mulut dan pergaduhan dipercayai disebabkan dendam lama.

    “Suspek tidak lagi bekerja selama dua bulan di kandang lembu milik mangsa.

    “Berlaku pertelingkahan antara mereka. Suspek yang menaiki sebuah motosikal menetak mangsa dengan sebilah parang dan terus melarikan diri dari lokasi kejadian.

    “Bagaimanapun, motif sebenar kejadian itu masih dalam siasatan lanjut,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat di Segamat, hari ini.

    Antara barang yang dirampas pihak polis selepas menahan suspek pada malam kelmarin

    Beliau berkata, suspek ditahan di sebuah kafe di sekitar Labis kira-kira 10 malam kelmarin lalu, manakala seorang lagi lelaki berusia 37 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    “Parang dipercayai digunakan ketika kejadian, seutas rantai emas, seutas tali warna kekuningan, telefon bimbit dan dua unit kamera litar tertutup (CCTV) antara bukti ketika kejadian itu juga sudah ditemukan,” katanya.

    Menurutnya, suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap serta miliki satu rekod jenayah juga dua rekod lampau berkaitan dadah, selain pernah menggunakan motosikal Honda dilaporkan hilang pada 23 Mac 2020 lalu di Labis.

    Katanya, kedua-dua suspek direman enam hari sehingga 27 Oktober depan.

    Beliau memberitahu, mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Daerah Segamat untuk bedah siasat.

    “Polis turut menyeru hentikan menyebar maklumat tular yang boleh mengganggu siasatan dan dakwaan mangsa dibunuh kerana kes samun tidak tepat,” katanya.

  • Buli dekat ladang kelapa sawit: Polis rakam keterangan pelajar

    Buli dekat ladang kelapa sawit: Polis rakam keterangan pelajar

    KESEMUA pelajar yang terlibat dalam kejadian buli berhampiran ladang kelapa sawit di Banting, Selangor telah dipanggil polis untuk dirakam keterangan mereka, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, polis menerima satu laporan daripada seorang wanita yang mengatakan anak lelakinya dibuli oleh tiga pelajar lelaki lain semasa berada di sekitar ladang kelapa sawit berkenaan.

    “Semasa kejadian, mangsa turut mengalami kecederaan ringan iaitu kesakitan pada pipi akibat dipukul.

    “Kesemua pelajar yang terlibat telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat untuk dirakamkan keterangan berhubung kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini lapor Astro Awani.

    Mengulas lanjut, Ahmad Ridhwan berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

    Semalam, tular video berdurasi 55 saat memaparkan seorang pelajar dalam keadaan menangis telah ditampar, ditarik dan ditendang beberapa kali oleh sekumpulan pelajar lain disyaki dari sekolah yang sama berhampiran ladang kelapa sawit di Banting.

  • Warga emas lesap RM426,450 diperdaya ‘Sarjan Ong’

    Warga emas lesap RM426,450 diperdaya ‘Sarjan Ong’

    SEORANG warga emas di Batu Pahat kerugian sebanyak RM426,450 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam.

    Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kejadian bermula Ogos lalu apabila mangsa wanita, 73, menerima panggilan telefon daripada individu.

    “Individu berkenaan mengaku dan memperkenalkan dirinya sebagai ‘Sarjan Ong’ iaitu pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

    “Dalam panggilan telefon berkenaan, individu itu menyatakan bahawa mangsa mempunyai hutang dengan seorang Datuk Seri dan mangsa didapati terlibat dengan jenayah dadah,” katanya dalam kenyataan, lapor Metro Harian.

    Ismail berkata, suspek menawarkan mangsa bantuan untuk menyelesaikan kes dengan membuat pembayaran ke akaun yang diberikan oleh suspek.

    Menurutnya, mangsa yang percaya dengan kata-kata suspek membuat pembayaran berjumlah RM420,450.00.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan dan juga denda.

  • Polis tahan pengawal keselamatan dera anak angkat

    Polis tahan pengawal keselamatan dera anak angkat

    POLIS menahan seorang pengawal keselamatan kerana mendera anak angkatnya dalam kejadian di Pangsapuri Seri Mutiara semalam .

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek merupakan lelaki warga tempatan berumur 30 tahun.

    “Siasatan dijalankan mendapati pengadu iaitu seorang wanita tempatan berumur 19 tahun bertengkar dengan kakaknya selepas menegur perbuatan pasangan suami isteri itu yang memarahi anak angkat mereka pukul 7 petang kelmarin.

    “Pengadu turut mendakwa pernah melihat mangsa dipukul oleh suspek,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Katanya, mangsa merupakan kanak-kanak lelaki berumur empat tahun yang dijaga oleh pasangan terbabit.

    “Mangsa dijaga pasangan itu sejak berumur lima bulan selepas diserahkan oleh seseorang yang tidak dikenali secara suka rela.

    “Mangsa mengalami kecederaan di bahagian badan dan kaki serta kesan luka di bahagian kemaluan dipercayai didera dengan menggunakan tangan oleh suspek,” katanya.

    Menurutnya, mangsa kini mendapatkan rawatan di Hospital Ampang.

    “Siasatan dijalankan membawa kepada penangkapan seorang lelaki yang merupakan ayah angkat kepada mangsa dan suspek direman lima hari bagi siasatan lanjut.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

  • Kes maut ditusuk pisau, polis segerakan siasatan

    Kes maut ditusuk pisau, polis segerakan siasatan

    POLIS akan menyegerakan siasatan kes kematian seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang dipercayai tertusuk pisau pemotong sayur dibaling kakaknya.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata suspek berusia 18 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan dan memberi kerjasama penuh.

    Katanya, polis masih menunggu arahan lanjut daripada timbalan pendakwa raya.

    “Kita faham mereka adik-beradik, kita tunggu arahan timbalan pendakwa raya.

    “Laporan bedah siasat sudah ada, siasatan akan disegerakan dan jika sesuai dituduh, ia akan disegerakan.

    “Remaja perempuan berkenaan akan dirujuk menjalani kaunseling bagi tujuan pemulihan,” katanya ketika dihubungi, hari ini lapor BH Online.

    Dalam kejadian petang kelmarin, seorang pelajar lelaki tingkatan empat maut akibat tertusuk pisau dipercayai dibaling kakaknya yang belajar di tingkatan enam di Kampung Ulu Pulai di Ulu Choh, Iskandar Puteri.

    Proses bedah siasat dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) sebelum jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Ulu Pulai, Iskandar Puteri semalam.

    Suspek direman enam hari sehingga 25 Oktober depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • Rokok, arak dan mercun seludup diisytihar sebagai kotak tisu

    Rokok, arak dan mercun seludup diisytihar sebagai kotak tisu

    ISYTIHAR barang seludup seperti rokok, arak dan mercun sebagai kotak tisu untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

    Namun, taktik licik satu sindiket penyeludupan itu yang cuba membawa barang seludup menggunakan kontena tersebut berjaya dihidu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang.

    Barangan dagangan dari Vietnam itu kemudian berjaya dirampas dalam serbuan serta pemeriksaan oleh Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan dan Cawangan Siasatan Khas Zon Utara di sebuah gudang di Seberang Perai Tengah (SPT) pukul 6.30 petang, 4 Oktober lalu.

    Pengarah JKDM Pulau Pinang, Hamisan Kalip berkata, ketika serbuan lima individu didapati sedang memunggah barang dagangan itu dari sebuah kontena.

    Menurut beliau, pemeriksaan lanjut menjumpai dua buah lori ‘bonded’ yang di dalamnya disorokkan 13.58 juta batang rokok dianggarkan bernilai RM1,086,400 dengan nilai cukai berjumlah RM9,071,440.

    Turut dijumpai ujar beliau, sebanyak 21,000 tin atau bersamaan 8,361.60 liter minuman keras dianggarkan bernilai RM41,808 (cukai RM195,466.75) manakala tujuh karton atau 280 peket mercun yang bernilai RM1,120 (nilai cukai RM728).

    “Semua barangan ini dirampas dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976 atas cubaan mengelakkan dengan fraudan duti eksais,” katanya dalam sidang akhbar di Butterworth hari ini.

    Tambah beliau, sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang atau 10 kali ganda amaun duti eksais atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau amaun duti eksais atau RM500,000 yang mana lebih besar.

    Selain itu katanya, pesalah juga boleh dipenjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali untuk kedua-dua pertuduhan tersebut.

    Dalam pasa itu, beliau menggesa orang ramai terus membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan sebagainya dengan tidak melibatkan diri dalam aktiviti tersebut.

    “Sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan boleh dibuat dengan menghubungi talian bebas tol JKDM di nombor 1-800-88-8855 atau datang ke mana-mana pejabat JKDM yang terdekat di semua negeri,” katanya.