Category: Jenayah

  • Abai 2 anak bermain tepi balkoni, suami isteri disiasat

    Abai 2 anak bermain tepi balkoni, suami isteri disiasat

    POLIS sedang menyiasat sepasang suami isteri kerana disyaki membiarkan dua anak mereka bermain di tepi balkoni tingkap di tingkat 17 sebuah kondominium di Taman Setapak di sini, semalam.

    Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah berkata ibu bapa kepada kanak-kanak itu telah dipanggil untuk diambil keterangan dan dibenarkan pulang malam tadi.

    Beliau berkata satu laporan polis dibuat pegawai polis Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur semalam, susulan tular satu rakaman video kejadian itu di media sosial.

    Beliau berkata video berkenaan dimuat naik pemilik akaun Facebook dikenali sebagai Reff Lia memaparkan dua kanak-kanak masing-masing berusia empat dan dua tahun dibiarkan cuai dan bermain di tepi balkoni tingkap berkenaan yang tidak berpagar.

    “Hasil siasatan mendapati ketika kejadian ibu bapa kanak-kanak berkenaan berada di dalam rumah dan tidak menyedari kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ashari berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak (2001). 

    “Pihak polis menasihatkan ibu bapa agar tidak meninggalkan anak-anak kecil bersendirian tanpa pengawasan kerana perbuatan itu boleh dianggap sebagai satu kecuaian di bawah Akta Kanak-Kanak,” katanya.

    Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu untuk  menyalurkannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju menerusi talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – BERNAMA

  • Lebih separuh projek aktif di Pulau Pinang tidak patuh EIA

    Lebih separuh projek aktif di Pulau Pinang tidak patuh EIA

    LEBIH separuh projek di Pulau Pinang yang tertakluk di bawah aktiviti Perintah Kualiti Alam Sekeliling 2015 di Pulau Pinang dikesan gagal mematuhi laporan penilaian impak alam sekitar (EIA).

    Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, ia melibatkan sebanyak 54 daripada 85 projek aktif yang dikesan hasil pemeriksaan pihaknya sepanjang tahun ini termasuk projek berskala besar seperti kuari.

    Menurutnya, daripada jumlah itu sebanyak 23 kompaun dan 16 Notis Arahan iaitu di bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 telah dikeluarkan manakala satu penahanan operasi kelengkapan serta tujuh tindakan mahkamah turut diambil.

    “Antara kesalahan yang dikesan termasuk pemaju gagal memastikan projek yang dilaksanakan mematuhi peraturan ditetapkan khususnya dari segi pengurusan kualiti udara, air dan buangan terjadual,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Alam Sekitar berkaitan ‘Peranan EIA dalam Pembangunan Mampan’ di Seberang Jaya hari ini.

    Dalam pada itu, Sharifah Zakiah berkata, secara keseluruhan pihaknya telah menjalankan sebanyak 1,265 pemeriksaan ke atas projek aktif yang tertakluk kepada syarat EIA di Pulau Pinang sepanjang tahun ini.

    Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 743 pemeriksaan atau 58 peratus projek aktif didapat mematuhi syarat EIA manakala 522 pemeriksaan atau 42 peratus lagi didapati gagal mematuhi syarat ditetapkan.

    Sepanjang tempoh sama juga tambah beliau, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 426 kompaun bernilai RM852,000 serta 147 Notis Arahan (Seksyen 31 dan 37) kepada pemilik premis manakala 12 penahanan operasi kelengkapan serta 48 tindakan mahkamah turut diambil kerana melanggar peraturan ditetapkan.

    Dalam perkembangan berkaitan, Sharifah Zakiah berkata, JAS Pulau Pinang sepatutnya melakukan pemeriksaan ke atas 8,492 buah projek aktif sepanjang tahun ini berdasarkan jumlah aduan yang diterima.

    “Bagaimanapun disebabkan bilangan kakitangan yang terhad yang mana kita hanya mempunyai 60 kakitangan teknikal, maka JAS Pulau Pinang hanya mampu menjalankan kira-kira 15 peratus pemeriksaan buat masa in.

    “Sedangkan jumlah aduan khususnya berkaitan pencemaran alam sekitar yang diterima di Pulau Pinang ketika ini boleh dianggap antara yang tertinggi selepas Selangor.

    “Jadi situasi ini menyukarkan kita menyiasat segala aduan yang diterima secara terperinci,” katanya.

  • 14 PATI ditahan cuba sembunyi dalam laluan sungai

    14 PATI ditahan cuba sembunyi dalam laluan sungai

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KECEKAPAN sepasukan anggota tentera mengesan jejak membawa kepada penahanan 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Myanmar yang cuba bersembunyi dalam laluan Sungai berhampiran Felda Bukit Tangga dekat Bukit Kayu Hitam, Kedah, semalam.

    Menurut kenyataan dikeluarkan Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen), kira-kira pukul 10.30 pagi semalam, tim ronda yang sedang melaksanakan tugas dalam Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia berjaya mengesan pergerakan sekumpulan individu dalam keadaan mencurigakan.

    “Tim ronda tersebut lalu bertindak menjejaki dan menahan kesemua mereka. Pemeriksaan mendapati 14 individu tersebut merupakan warganegara Myanmar yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah untuk ke negara ini. Mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 39 tahun terdiri daripada 12 lelaki dan dua wanita. Kumpulan itu disyaki memasuki Malaysia tanpa melalui laluan yang sah,” katanya.

    Tambah beliau, barangan yang dirampas daripada PATI tersebut adalah tiga telefon bimbit, 10 kad pengenalan warganegara Myanmar, wang tunai dalam mata wang Myanmar dan tujuh beg pakaian dengan nilai keseluruhan kira-kira RM1,500.

    “Kesemua PATI tersebut diserahkan ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut,” katanya.

  • Skim piramid: 7 ditahan, kenderaan mewah dan wang hampir RM1 juta disita

    Skim piramid: 7 ditahan, kenderaan mewah dan wang hampir RM1 juta disita

    SERAMAI tujuh individu termasuk seorang warga Taiwan yang disyaki terlibat dalam aktiviti skim piramid, ditahan menerusi serbuan operasi bersepadu ‘Op Reward’ di sebuah pusat perdagangan di Jelutong, Pulau Pinang, Rabu lepas.

    Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam, berkata dalam operasi itu pasukan serbuan turut menyerbu empat premis kediaman yang didiami suspek di sekitar Pulau Pinang dan Kedah.

    Beliau berkata siasatan awal mendapati, syarikat terbabit menjalankan dan mempromosi skim itu kepada orang awam menerusi aplikasi dalam talian dan penjualan pakej tertentu, sejak beberapa tahun lalu.

    “Hasil pemeriksaan, pasukan serbuan menyita pelbagai dokumen, komputer riba dan telefon bimbit yang berkaitan, bagi membantu siasatan bersama ini.

    “Selain itu, sembilan kenderaan mewah serta pelbagai beg tangan berjenama milik suspek turut disita, selain sebanyak 38 akaun di tujuh bank dibekukan serta wang tunai keseluruhan berjumlah RM967,720.29 disita,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Operasi itu dijalankan Pasukan Tindakan Khas Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP dan disertai Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia serta Cyber Security Malaysia.

    Azman berkata syarikat terbabit disyaki aktif melakukan aktiviti tersebut di beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Sarawak, selain dikesan menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan lain.

    Kes disiasat di bawah subseksyen 4 (1) Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid (AJLSAP 1993) iaitu menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen dan Seksyen 27B Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid (AJLSAP 1993) iaitu mempromosikan atau menjalankan skim piramid.

    Semua suspek turut disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, kerana disyaki melakukan aktiviti pengubahan wang haram. – BERNAMA

  • Video pembuli jalanan: Hanya lakonan, raih jumlah tontonan tinggi

    Video pembuli jalanan: Hanya lakonan, raih jumlah tontonan tinggi

    DUA video mengenai insiden pembuli jalanan yang tular menerusi media sosial yang berlaku di Jalan Putatan, Penampang semalam didapati hanya lakonan semata-mata untuk meraih jumlah tontonan yang tinggi.

    Ketua Polis Daerah Penampang DSP Mohd Haris Ibrahim berkata video masing-masing berdurasi tiga minit 35 saat dan empat minit tiga saat itu menunjukkan perilaku pemandu sebuah kenderaan yang sedang membuli pemandu kenderaan lain dengan cara kekerasan.

    “Bahagian Siasatan Jenayah IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Penampang telah memanggil pemilik akaun media sosial terbabit ke balai polis untuk mendapatkan keterangan lanjut.

    “Hasil siasatan polis terhadap pemilik akaun media sosial terbabit, tujuan video tersebut dimuat naik adalah untuk kandungan media sosial dan sekadar lakonan untuk meraih jumlah tontonan yang tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata sehubungan itu polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    Mohd Haris menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam memuat naik dan berkongsi bahan di media sosial yang boleh menimbulkan kekeliruan serta kegusaran dalam kalangan masyarakat. – BERNAMA

  • JPN lapor polis dakwaan palsu warga Bangladesh diberi MyKad

    JPN lapor polis dakwaan palsu warga Bangladesh diberi MyKad

    JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) membuat laporan polis, kelmarin, berhubung dakwaan palsu yang tular di media sosial dan WhatsApp kononnya ramai warga Bangladesh diberikan MyKad menjelang pilihan raya.

    JPN dalam kenyataan, memaklumkan gambar sekeping MyKad yang turut dimuat naik menerusi dakwaan palsu mengatakan ia milik seorang warga Bangladesh juga tidak benar.

    “Sebaliknya beliau adalah seorang warga negara Malaysia yang sah yang diambil sebagai anak angkat secara sah dari sudut undang-undang dan dibesarkan satu keluarga berbangsa Cina sejak lahir lagi.

    “Isu ini sudah dilaporkan pihak media yang menjelaskan bahawa individu terbabit adalah warga negara Malaysia,” katanya hari ini memetik laporan BH Online.

    Susulan itu, katanya, satu laporan polis dibuat JPN berkaitan perkara itu kerana tindakan terbabit bukan saja boleh menjatuhkan imej dan menjejaskan kredibiliti JPN, malah boleh mencetuskan kebimbangan awam.

    “Laporan itu dibuat supaya polis boleh menjalankan siasatan terhadap mana-mana pihak didapati menyebarkan dakwaan palsu berkenaan,” katanya.

    Justeru, katanya, orang ramai diingatkan sentiasa menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi kerana tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka yang didapati menyebarkan maklumat palsu.

    JPN turut menegaskan MyKad hanya dikeluarkan kepada individu warga negara Malaysia yang layak berdasarkan peruntukan perundangan.

    Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan, boleh menghubungi Unit Komunikasi Korporat JPN di talian 03-88807077 atau e-mel ke [email protected].

  • 6 warga asing ditahan terlibat aktiviti pelacuran

    6 warga asing ditahan terlibat aktiviti pelacuran

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS menahan enam warga asing hasil serbuan di sebuah premis yang dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran di Jalan Air Hitam, Saleng, Senai, Kulai, hari ini.

    Mereka yang ditahan melibatkan seorang lelaki dan lima wanita berusia dalam lingkungan 37 hingga 46 tahun.

    Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, kesemua individu berkenaan yang berusia dalam lingkungan 37 hingga 46 tahun itu ditahan hasil pemeriksaan di setiap bilik termasuk ruang rehat di premis berkenaan.

    “Hasil pemeriksaan juga mendapati bahawa premis berkenaan tidak mempunyai lesan perniagaan yang sah untuk beroperasi.

    “Hasil pemeriksaan, didapati terdapat seorang lelaki dan empat perempuan warga asing berada di setiap bilik dan kawasan ruang rehat dalam premis tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, selain itu hasil pemeriksaan juga mendapati seorang perempuan warga asing berumur 39 tahun yang mengaku bekerja sebagai penjaga kaunter di premis berkenaan.

    Kesemua suspek katanya, ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai bagi siasatan lanjut dan polis turut merampas barang-barang urut dan sejumlah wang tunai campur-campur.

    Untuk rekod, polis juga telah mendapat kelulusan reman selama empat hari mulai 25 Oktober hingga 29 Oktober 2022 terhadap semua suspek.

    Jelasanya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 107 Akta Kerajaan Tempatan 1976. Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500 atau penjara tidak lebih dari enam bulan atau kedua-duanya sekali.

    Kes itu juga akan disiasat di bawah Seksyen 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya, ujarnya.

    Kes berkenaan juga boleh disiasat di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali dan boleh dikenakan sebat tidak lebih dari enam kali sebatan.

    Sementara itu, Beng Yeow tangkapan berkenaan merupakan kedua sejak pandemik Covid-19 lalu.

    Katanya, polis pernah melakukan tangkapan di premis sama sebelum pandemik Covid-19 lalu dan premis berkenaan juga baru beroperasi semula selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

  • Hina institusi Diraja Pahang: NGO buat laporan terhadap Tengku Zulpuri

    Hina institusi Diraja Pahang: NGO buat laporan terhadap Tengku Zulpuri

    SEBELAS badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis terhadap Timbalan Setiausaha Agung DAP Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, yang didakwa menghina institusi Diraja Pahang semasa berceramah baru-baru ini.

    Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Dearah (IPD) Kuantan di sini hari ini. Antara NGO itu ialah Badan Kebajikan Kerabat-Kerabat Negeri Pahang.

    Bendaharinya Datuk Setia Penggawa Tengku Datuk Abdul Manan Tengku Temenggung Aziz menyifatkan tindakan ahli politik itu sebagai melampau batas. 

    “Saya memohon pihak berkuasa mengambil tindakan tegas bagi memberi pengajaran bahawa ada had dan batasan dalam berpolitik,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu.

    Abdul Manan berkata pihaknya juga kesal dengan tindakan Tengku Zulpuri Shah yang didakwa turut menyebut nama Yang di-Pertuan Agong dalam ceramah itu, seperti yang ditontonnya menerusi klip video berdurasi 1.53 minit yang diterimanya menerusi aplikasi WhatsApp. – BERNAMA

  • Tommy Thomas dipercayai lakukan empat kesalahan

    Tommy Thomas dipercayai lakukan empat kesalahan

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas, dipercayai melakukan empat kesalahan berdasarkan siasatan terhadap kandungan buku memoir ‘My Story: Justice In the Wildernes’, yang ditulisnya.

    Beliau berkata kesalahan itu melibatkan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

    “Untuk tindakan, kita ada empat kesalahan yang dijangka dia melakukan kesalahan…ini kita serah kepada pihak berkuasa berkaitan, kalau kes SPRM, SPRM akan siasat, kalau Kanun Keseksaan, pihak polis akan siasat,” katanya ketika ditanya mengenai perkembangan siasatan terhadap bekas peguam negara itu.

    Ismail Sabri berkata laporan siasatan ke atas memoir Thomas yang disediakan pasukan petugas khas, telah dinyahklasifikasikan dan sesiapa sahaja boleh melihat laporan tersebut, melalui laman sesawang Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.

    Ismail Sabri berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri taklimat khas sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Monsun Timur Laut 2022, di Bukit Aman di sini hari ini.

    Ditanya tindakan Pakatan Harapan yang tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan isu Thomas itu, Ismail Sabri berkata beliau tidak pasti mengapa mereka ‘berdiam diri’.

    “Saya tak tahu kenapa diam. Biasanya kalau dia rasa bersalah dia diam, tetapi saya pun tak tahu dalam kes ini kenapa (diam),” katanya.

    Buku yang diterbitkan pada Januari 2021, telah menimbulkan kekecohan pelbagai pihak hingga mengakibatkan kira-kira 244 laporan dibuat oleh individu mahupun kumpulan terhadap Thomas dan buku itu.- BERNAMA

  • Seludup kokain dalam bungkusan kurier

    Seludup kokain dalam bungkusan kurier

    HELAH sindiket menyeludup dadah dalam kuantiti sedikit dengan menyorokkan ke dalam bungkusan kurier mengandungi peralatan elektrik terbongkar selepas berjaya dihidu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak, 20 Oktober lalu.

    Taktik sindiket penyeludup dadah itu membawa masuk dadah jenis kokain dari Vancouver, Kanada dengan menggunakan cara berkenaan.

    Pengarah Kastam Perak, Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata, hasil risikan pihak berkuasa antarabangsa, dua lelaki tempatan berusia 30 dan 37 tahun ditahan di Taman Antek Avenue, Teluk Intan, pada 2.40 petang.

    “Kami turut merampas bungkusan kurier yang disyaki mengandungi dadah jenis kokain dianggarkan seberat 207.24 gram bernilai RM41,000.

    “Bungkusan itu beralamat dari Vancouver, Kanada dihantar ke Malaysia menggunakan perkhidmatan kurier ke alamat di Teluk Intan,” katanya dalam sidang media di JKDM Teluk Intan, Teluk Intan, hari ini.

    Dalam serbuan ini juga, Abdul Ghafar berkata, JKDM Perak turut merampas sebuah Toyota Vios dianggarkan bernilai RM80,000.

    Beliau berkata, kedua-dua suspek direman selama 14 hari bermula 21 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Jika didapati bersalah dan disabitkan, dihukum mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah sekiranya tidak dihukum mati dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan,” katanya.