Category: Jenayah

  • Tiada rekod wanita China punca kecoh KLIA pulang

    Tiada rekod wanita China punca kecoh KLIA pulang

    WANITA warga China dikenali sebagai Wang Xu yang dikaitkan dengan kekecohan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) minggu lalu dilaporkan masih belum pulang ke negara asal.

    Sumber berkata, berdasarkan rekod keluar dan masuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mendapati wanita itu masih berada dalam negara ini.

    Jelasnya, rekod menunjukkan tarikh masuk adalah pada 29 Jun lalu dan pas masuk akan tamat pada 28 Julai ini.

    “Berdasarkan rekod memang didapati individu terbabit masih belum keluar dari negara ini.

    “Untuk pengetahuan, mana-mana individu bukan warganegara boleh keluar melalui mana-mana pintu sempadan di negara ini, namun sistem akan menunjukkan pintu individu terbabit keluar,” katanya, memetik laporan Harian Metro.

    Menurutnya, memandangkan notis penolakan masuk untuk individu terbabit sudah dibatalkan dan individu berkenaan dibenarkan ke negara ini.

    “Buat masa ini memang tidak ada rekod keluar, kecuali individu terbabit menggunakan laluan tikus,” katanya.

    Pada 5 Julai lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memaklumkan wanita berkenaan sudah pulang ke negaranya.

    Azam memaklumkan, keterangan daripada wanita terbabit sudah diambil pihaknya dan tidak boleh melarang mereka untuk balik ke negara asal.

    Sebelum ini, tular dalam media sosial mengenai kekecohan di KLIA membabitkan seorang menteri yang didakwa menceroboh masuk ke balai ketibaan lapangan terbang itu bagi melepaskan seorang pelawat China yang ditahan JIM.

    Susulan itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing mengakui dirinya adalah menteri yang dikaitkan dengan kejadian tersebut dan mendakwa kehadirannya bagi membongkar kewujudan budaya rasuah dilakukan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa kronik di pintu masuk negara.

  • 6 anggota polis ditahan di pusat hiburan, 1 positif dadah

    6 anggota polis ditahan di pusat hiburan, 1 positif dadah

    ENAM anggota polis yang sedang berhibur di sebuah pusat hiburan di Setiawan, Perak, ditahan dalam serbuan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, pukul 11.30 Sabtu lalu.

    Menerusi serbuan tersebut, pihak polis turut menemui sepeket serbuk putih disyaki dadah jenis ketamin.

    Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, operasi dijalankan bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) bagi mengesan pelanggaran dan salah laku yang dilakukan warga Polis Diraja Malaysia.

    “Siasatan lanjut akan dijalankan JIPS Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, siasatan dari sudut tatatertib sedang dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, terdapat situasi yang membenarkan anggota berada dalam premis berkenaan berdasarkan arahan dalaman.

    Katanya, siasatan akan dibuat apabila ada anggota terbabit dikesan positif dadah dan minum minuman keras.

    Sementara itu, sumber berkata, kesemua enam anggota terbabit bertugas di salah sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Perak.

    “Hasil pemeriksaan lanjut mendapati salah seorang anggota beragama Islam dikesan positif minum minuman keras, manakala seorang lagi anggota positif dadah jenis ganja.

    “Seorang wanita warga Indonesia turut ditahan bersama enam anggota dalam bilik karaoke di pusat hiburan berkenaan,” katanya.

  • Murid digigit guru kurang selera makan, emosi tidak stabil

    Murid digigit guru kurang selera makan, emosi tidak stabil

    IBU kepada murid dipercayai digigit oleh seorang guru di bibir melahirkan rasa bimbang melihat situasi terkini anak lelakinya yang mengalami emosi tidak stabil dan kurang selera makan.

    Wanita berkenaan yang tidak mahu dikenali mendakwa, anak lelakinya yang berusia enam tahun itu juga sering mengamuk, berguling-guling serta merasa takut dan tidak mahu ke sekolah.

    “Sebagai ibu, saya bimbang melihat keadaan anak selepas kejadian yang berlaku Khamis lalu.

    “Kebiasaannya dia seorang yang ceria. Saya telah berjumpa pihak pentadbiran sekolah dan akan mengambil tindakan undang-undang di atas apa yang berlaku,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

    Bagaimanapun ibu kepada empat anak itu tidak berhasrat memindahkan anak ketiganya ke sekolah lain tetapi berharap pihak pentadbiran dapat menukar guru berkenaan yang berusia 40-an tersebut ke tempat lain.

    “Sebagai ibu bapa, saya tidak kisah jika anak dirotan atau apa sahaja asalkan untuk mendidik.

    “Tindakan guru lelaki itu dipercayai menggigit dan menarik bibir anaknya sukar diterima apabila memikirkan risiko penyakit berjangkit yang boleh disebabkan oleh air liur,” katanya lapor Sinar Harian.

    Kelmarin, tular dalam Facebook hantaran daripada ibu berkenaan.

    Media semalam melaporkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian murid trauma dan terganggu emosi kerana digigit seorang guru lelaki di sebuah sekolah di Pantai Timur, selepas tular sejak kelmarin.

    Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, pihaknya memandang serius dakwaan itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya jika terbukti berlaku.

  • Polis parah ditikam dengan pisau dalam operasi dadah

    Polis parah ditikam dengan pisau dalam operasi dadah

    OLeh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG anggota polis cedera parah selepas ditikam seorang lelaki yang ditahan dalam operasi membenteras dadah di Jalan Ungku Puan di bandar raya ini pukul 2.30 pagi tadi.

    Anggota polis berpangkat konstabel dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan berusia 22 tahun itu mengalami kecederaan luka dalaman di bahagian rusuk sebelah kiri akibat ditikam dengan sebilah pisau.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan menerima maklumat kejadian tersebut pada pukul 3.20 pagi.

    “Mangsa ditikam seorang lelaki semasa menjalankan tugas Ops Tapis Khas di sekitar Johor Bahru.

    “Kejadian berlaku semasa pihak polis memeriksa tiga individu di kawasan tempat letak kereta berbayar di Jalan Ungku Puan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk rawatan dan kini berada dalam keadaan stabil.

    Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa operasi itu yang disertai seorang pegawai dan lima anggota polis termasuk mangsa sedang membuat pemeriksaan terhadap tiga individu yang disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

    “Semasa pegawai dan anggota polis melakukan pemeriksaan terhadap dua individu, suspek tiba-tiba cuba melarikan diri sebelum berlaku pergelutan sehingga mangsa ditikam suspek. Suspek berjaya melarikan diri.

    “Pihak polis tidak sempat merekodkan sebarang maklumat suspek. Polis kini giat memburu lelaki warga tempatan berpakaian baju lengan panjang hitam, berselipar, memakai ‘snowcap’ hitam dan memakai pelitup muka warna hitam,” katanya.

    Ujar beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.

    Tambahnya, kes juga disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung terus menerusi talian hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323 atau pegawai penyiasat kes Inspektor Noor Azlinda Mohd Khalid 017-2765250.

  • Dadah sintetik dijual serendah RM18 di web gelap

    Dadah sintetik dijual serendah RM18 di web gelap

    DADAH jenis sintetik kini dijual pada harga serendah RM18 melalui laman web gelap serta aplikasi Telegram dan WhatsApp, dedah Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon hari ini.

    Beliau berkata bekalan dadah sintetik seperti pil kuda, syabu dan ekstasi itu kemudiannya dihantar kepada pelanggan melalui perkhidmatan kiriman cepat atau orang persendirian.

    “Daripada pergi kepada tokan, mereka (penagih dadah) boleh order pesanan dan ia dihantar terus ke rumah,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) Bilangan 1 Tahun 2023 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.

    Sutekno berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh AADK, penagih dadah membelanjakan RM50 bagi mendapatkan bekalan dadah setiap tiga hari dan jumlah itu meningkat mengikut tahap ketagihan.

    “Dadah ini ikut keaslian atau ketulenan, ada yang murah iaitu serendah RM18 termasuk penghantaran ada direkodkan,” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata kerajaan sedang giat merangka Rang Undang-Undang Akta Penyalahgunaan Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) bagi menggantikan Akta Penagih Dadah 1984.

    Sutekno turut memaklumkan bahawa JKMD hari ini bersetuju supaya AADK melaksanakan Kempen Satu Juta Ahli Skuad Antidadah untuk menggiatkan program dan aktiviti gaya hidup sihat.

    Beliau berkata skuad tersebut berperanan sebagai agen perubahan kepada keluarga dalam penyampaian mesej “pencegahan dadah bermula di rumah”.

    Ahmad Zahid selepas mempengerusikan JKMD hari ini berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan AADK diberi tempoh tiga bulan untuk mengkoordinasi usaha merangka inisiatif atau program efektif bagi membendung masalah dadah.

  • Polis rampas dadah bernilai RM7.4 juta dalam dua operasi di Lembah Klang

    Polis rampas dadah bernilai RM7.4 juta dalam dua operasi di Lembah Klang

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) berjaya merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM7.4 juta dalam dua operasi yang dilakukan di sekitar Lembah Klang.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Seri Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, seorang lelaki warga tempatan berusia 44 tahun berjaya ditahan dalam serbuan pertama yang dilakukan pada 5 Julai lalu.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din (kanan) bersama Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menunjukkan pelbagai jenis dadah bernilai RM7.4 juta yang dirampas selepas berjaya menahan tiga suspek yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah sekitar lembah klang ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Jelas beliau, lelaki tersebut dipercayai terlibat dengan aktiviti dadah bagi pasaran tempatan.

    “Hasil serbuan yang dilakukan, JSJN telah merampas dadah yang dianggarkan bernilai RM1.62 juta.

    “Dadah yang dirampas itu adalah jenis methamphetamine seberat 46.4 kilogram (kg) dan ketamin seberat 1.5 kg,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Sebahagian daripada dadah bernilai RM7.4 juta yang dirampas selepas polis berjaya menahan tiga suspek yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah sekitar lembah klang ketika Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Mengulas lanjut, Mohd. Kamarudin berkata, serbuan kedua yang dijalankan pada 6 Julai, dua lelaki warga tempatan masing-masing berusia 38 dan 47 tahun berjaya ditahan pihak polis.

    Katanya, dalam serbuan tersebut, polis berjaya merampas dadah yang dianggarkan bernilai RM5.8 juta.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Jelas beliau, dadah yang dirampas adalah methamphetamine seberat 169.4 kg dan pil yaba seberat 4.8 kg.

    “Jumlah keseluruhan rampasan dadah dalam kedua-dua operasi ini adalah methamphetamine seberat 215.7 kg, ketamin seberat 1.5 kg dan pil yaba seberat 4.8 kg.

    Sebahagian daripada dadah bernilai RM7.4 juta yang dirampas selepas polis berjaya menahan tiga suspek yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah sekitar lembah klang ketika Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Jumlah keseluruhan rampasan dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh seramai lebih sejuta orang penagih,” katanya, lapor Utusan TV.

  • Isu roboh kuil: 50 laporan polis dibuat PN, desak Guan Eng minta maaf

    Isu roboh kuil: 50 laporan polis dibuat PN, desak Guan Eng minta maaf

    PEMUDA Perikatan Nasional (PN) menuntut Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, memohon maaf secara terbuka dan membela diri dengan membuat laporan polis berhubung isu perkauman yang dilontarkan dalam media sosial baru-baru ini.

    Timbalan Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kenyataan dibuat bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu berhubung meroboh kuil adalah satu perbuatan yang cukup berbentuk perkauman, melampau serta prejudis terhadap kepimpinan PN terutama di Kedah.

    “Sebagai bekas Ketua Menteri, Guan Eng, pastinya tahu tugas-tugas penjawat awam termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ia bukan campur tangan politik atau arahan politik.

    “Guan Eng sewajarnya memahami garis kuasa dan bidang kuasa yang diperuntukkan dalam menguruskan negeri masing-masing.

    “Apa yang dinyatakan oleh Guan Eng dalam Bahasa Mandarin ketika majlis politik di Pulau Pinang, adalah sangat berbahaya kepada hubungan baik sesama kaum dan agama di negara ini.

    Timbalan Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap Lim Guang Eng atas kenyataan yang mempunyai unsur rasis dan fitnah kepada Perikatan Nasional di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Saya tidak faham kenapa Guan Eng sanggup meracuni pemikiran pengundi Cina dan menakutkan mereka dengan Gelombang Hijau dan untuk itu, kami menuntut Guan Eng memohon maaf secara terbuka kepada PN dan seluruh umat Islam berhubung kenyataan yang telah dibuat itu,” katanya.

    Beliau memberitahu demikian dalam sidang media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

    Wan Ahmad Fayhsal berkata, sebanyak 50 laporan polis dibuat PN di seluruh negara terhadap Guan Eng berkaitan isu terbabit.

    “Sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh mengambil tindakan susulan, ekoran laporan yang telah dibuat di seluruh negara.

    “Pemuda PN turut meminta Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, mengotakan janjinya bahawa mana-mana pihak atau individu yang bermain dengan isu 3R iaitu kaum, agama dan raja di media sosial, dia akan menghantar kereta polis di hadapan rumah mereka,” katanya.

    Beliau yang juga Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), berkata, Pemuda PN ingin melihat Guan Eng hadir ke balai polis untuk memberi keterangan dan penjelasan berhubung perkara ini.

    Diminta mengulas bahawa Guan Eng menyatakan kenyataan itu telah disalah tafsir oleh beberapa media, Wan Ahmad Fayhsal berkata, Ahli Parlimen Bagan itu boleh membuat laporan polis dan membela dirinya.

    “Sekiranya Guan Eng berasakan dia tidak bersalah dan laporan media tidak benar, dia boleh bertindak menyaman media terbabit.

    “Guan Eng perlu membuat laporan polis dan menjelaskan segalanya, sekali gus membela dirinya. Kita Pemuda PN boleh ‘tutup buku’ sekiranya dia tampil memohon maaf secara terbuka demi keharmonian dan perpaduan kaum di negara ini,” katanya, lapor Berita Harian.

    Guan Eng sebelum ini menolak dakwaan beliau sengaja membangkitkan isu 3R ketika menyentuh berkenaan perobohan tokong Budha atau Cina dalam ucapan pada satu program di Jelutong, Pulau Pinang.

  • PN Perak gesa Guan Eng disiasat di bawah SOSMA

    PN Perak gesa Guan Eng disiasat di bawah SOSMA

    PERIKATAN Nasional (PN) Perak menggesa Lim Guan Eng disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) berikutan kenyataan biadapnya yang menyentuh isu berkaitan agama, Raja dan kaum.

    Ketua Pemuda PN Perak, Mohd. Hafez Sabri berkata, kenyataan Pengerusi DAP itu yang mendakwa gelombang hijau bakal memusnahkan tokong dan bukan Islam berdepan pelbagai sekatan merupakan satu provokasi melampau dan berunsur fitnah.

    Malah katanya, tindakan Guan Eng itu juga disifatkan sebagai terdesak bukan sahaja untuk menjatuhkan pihak lawan malah menakutkan kaum bukan Melayu terhadap Pas dan PN.

    “Kami mengecam penuh kenyataan yang dikeluarkan oleh Guan Eng di mana PN akan memusnahkan tokong jika berjaya memerintah Pulau Pinang.

    “Kenyataan yang dikeluarkan Pengerusi DAP itu bercanggah dengan kenyataan pemimpin Kerajaan Perpaduan yang kononnya lantang dalam isu yang menyentuh agama, Raja dan kaum,” katanya dalam sidang akhbar selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh hari ini.

    Menurut Hafez, tindakan tegas perlu diambil terhadap Ahli Parlimen Bagan itu berikutan kenyataan beliau boleh mencetuskan api perkauman dan perbalahan antara kaum.

    Katanya, ucapan Guan Eng juga tersasar jauh dan jelas merupakan satu agenda jahat untuk menakut-nakutkan orang bukan Melayu.

    “Gambaran yang diberikan juga adalah salah sedangkan negara kita ada peraturan dan undang-undang. Sebagai rakyat Malaysia, kita sangat sensitif apabila ada pihak yang cuba membangkitkan api perkauman seperti itu.

    “Siasatan segera perlu dijalankan walaupun Guan Eng cuba ‘spin’ semula kenyataanya. Guan Eng patut dikenakan tindakan SOSMA disebabkan kenyataan melampaunya itu,” katanya lapor Utusan Malaysia.

    Sebelum ini, sebuah portal berita tempatan yang memetik laporan akhbar Bahasa Mandarin melaporkan yang Guan Eng memberi amaran terhadap pengundi Pulau Pinang supaya mereka menyekat kemasukan ‘gelombang hijau’ di negeri tersebut.

    Bekas Menteri Kewangan itu dikatakan mendakwa ‘gelombang hijau’ akan mengakibatkan tokong Buddha dimusnahkan dan orang bukan Islam berdepan pelbagai sekatan.

    Walau bagaimanapun, Guan Eng berkata, kenyataannya sengaja diputarbelit bagi menggambarkan sentimen perkauman.

  • Jurutera putih mata, rugi RM11,530 beli konsert tiket Taylor Swift

    Jurutera putih mata, rugi RM11,530 beli konsert tiket Taylor Swift

    SEORANG jurutera terpaksa berputih mata selepas rugi RM11,530 diperdaya sindiket penipuan dalam talian yang kononnya ada menjual konsert penyanyi terkenal Amerika Syarikat, Taylor Swift.

    Pesuruhjaya Polis Sarawak Mohd Azman Ahmad Sapri berkata lelaki berusia dalam lingkungan 50-an itu membeli tiga tiket selepas melihat iklan penjualannya di laman e-dagang, Carousell.

    “Mangsa kemudian membuat pembayaran di sebuah bank di bandar raya Kuching dengan memasukkan tiga kali transaksi pembayaran kepada akaun bank yang diberikan suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor FMT.

    Bagaimanapun, beliau berkata setelah transaksi pembayaran dilakukan, suspek terus tidak dapat dihubungi dan mangsa yang menyedari dirinya ditipu membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

    Swift yang dalam jelajah antarabangsa dikenali ‘The Eras Tour’ akan mengadakan konsert di Singapura pada 2 hingga 4 Mac 2024.

  • PN buat laporan polis, dakwa Guan Eng ‘racun minda’ pengundi Cina

    PN buat laporan polis, dakwa Guan Eng ‘racun minda’ pengundi Cina

    PERIKATAN Nasional (PN) hari ini membuat laporan polis terhadap Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkenaan dakwaan gabungan itu akan merobohkan tokong Buddha di Pulau Pinang, jika menang dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

    Antara yang hadir semasa laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur adalah Timbalan Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

    Wan Ahmad Fayhsal mendakwa, Lim mengambil kesempatan atas sentimen kaum dan ‘meracuni minda’ pengundi Cina menjelang PRN, lapo Malaysiakini.

    Timbalan Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal mengadakan sidang media selepas membuat laporan polis terhadap Lim Guang Eng atas kenyataan yang mempunyai unsur rasis dan fitnah kepada Perikatan Nasional di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Pada Jumaat lalu, Lim membuat ucapan dalam acara sempena Jelajah Raja Naga Putih Tian Fu Gong di Jelutong, Pulau Pinang.

    Laporan MalaysiaNow yang menterjemahkan laporan China Press memetiknya sebagai berkata, Gelombang Hijau akan menyebabkan tokong dirobohkan, namun penyembahan terhadap tuhan dan Buddha akan terus dilindungi jika kerajaan semasa Pulau Pinang dikekalkan selepas PRN.

    Lim kemudian menafikan laporan itu dan berkata ucapannya merujuk kepada kes sebuah kuil Hindu berusia lebih 70 tahun di Kedah yang dirobohkan pada Julai 2020.

    China Press turut mengeluarkan penjelasan dan transkrip yang mencerminkan penafian Lim.