Category: Jenayah

  • Maritim Malaysia rampas 30 set bubu naga di perairan Penaga

    Maritim Malaysia rampas 30 set bubu naga di perairan Penaga

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang merampas sebanyak 30 set bubu naga di dua lokasi pada kedudukan kira-kira 0.8 batu nautika barat daya pantai Teluk Malas, Penaga, Georgetown pukul 4.40 hingga 5.30 petang semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, melalui rutin rondaan Op Pertiwi yang dilakukan bot ronda Maritim Pulau Pinang petang semalam, pihaknya mengesan pelampung penanda yang mencurigakan di dua lokasi dan berjaya menemukan 30 set bubu naga yang dipasang individu tidak bertanggungjawab.

    Menurut beliau, kesemua bubu naga dengan anggaran nilaiRM 3,600 itu dirampas dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban, dekat Georgetown untuk tindakan lanjut.

    Semua bubu naga dengan anggaran nilaiRM 3,600 itu dirampas dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban, dekat Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.

    “Bubu naga ini diharamkan penggunaannya di laut kerana sifatnya yang tidak selektif dan merosakkan ekosistem marin serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah Abd. Razak, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

    Dalam pada itu, beliau mengingatkan komuniti nelayan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan.

    Tambahnya, sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.

  • Motosikal curi, nombor pendaftaran pula milik ketua pengarah

    Motosikal curi, nombor pendaftaran pula milik ketua pengarah

    TINDAKAN dua lelaki menunggang motosikal curi menggunakan nombor pendaftaran palsu gagal mengaburi pihak berkuasa apabila ditahan di sekatan jalan raya di Jalan Titiwangsa Off Jalan Pahang di sini pada Ahad.

    Lebih malang apabila nombor pendaftaran palsu digunakan untuk mengaburi mata pihak berkuasa itu merupakan milik seorang ketua pengarah salah satu badan penguat kuasa.

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dalam satu hantaran Facebook memaklumkan, kedua-dua suspek terbabit ditahan dalam Op Motosikal Pelbagai Kesalahan sekitar jam 11.30 pagi.

    “Telah tahan dua lelaki tempatan yang menunggang dan membonceng motosikal jenis Honda C-100 berwarna hitam dalam keadaan mencurigakan.

    “Motosikal tersebut juga masih dilaporkan hilang bersangkut repot di Balai Polis Chow Kit pada 17 Ogos 2022,” menurut hantaran terbabit pada Ahad.

    JSPT Kuala Lumpur memaklumkan, kedua-dua suspek yang berusia 46 dan 39 tahun terbabit ditahan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan motosikal berkenaan telah disita lapor Sinar Harian.

  • Lelaki ditahan ‘tercuri’ motosikal polis

    Lelaki ditahan ‘tercuri’ motosikal polis

    SEORANG lelaki ditahan kerana mencuri motosikal anggota polis yang diletakkan di tempat letak kenderaan Hospital Ampang kelmarin.

    Dalam kejadian 6.30 petang itu, anggota polis yang sedang bertugas di pondok polis Hospital Ampang dimaklumkan orang awam yang melihat tindakan mencurigakan seorang lelaki menolak sebuah motosikal.

    Ketua Polis Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak berkata, anggota polis terbabit kemudian bertanya suspek berusia 34 tahun itu mengapa cuba mengalih motosikal berkenaan.

    “Bagaimanapun suspek gagal memberi alasan munasabah dan disyaki ingin mencurinya.

    “Polis kemudian merampas motosikal itu dan menahan suspek untuk tindakan lanjut,” katanya lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, ujian saringan air kencing ke atas suspek yang mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah itu didapati positif dadah.

    “Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • 4 individu ditahan, 8 kertas siasatan dibuka berkaitan PRU-15 – PDRM

    4 individu ditahan, 8 kertas siasatan dibuka berkaitan PRU-15 – PDRM

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menahan empat individu iaitu seorang di Selangor dan tiga di Sarawak kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), semalam.

    Pengarah Operasi PRU15 PDRM Datuk Seri Hazani Ghazali yang juga Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman dalam kenyataan hari ini berkata PDRM juga telah membuka lapan kertas siasatan berkaitan PRU15.

    Ia melibatkan siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan (KK) kerana fitnah, Seksyen 447 KK kerana menceroboh, Seksyen 506 KK melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 147 KK kerana merusuh.

    Selain itu adalah Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKMM), Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam (PPPA) 2016, Seksyen 24(B)(10) Akta Pilihan Raya 1955 dan Seksyen 24(A)(2) Akta Pilihan Raya 1954.

    Hazani berkata antara yang dibuka kertas siasatan itu adalah dua di Selangor mengikut Seksyen 500 KK, Seksyen 447 KK, Seksyen 233 AKMM 1998 dan Seksyen 143(1) PPPA 2016, satu di Pulau Pinang mengikut Seksyen 24(B)(10) Akta Pilihan Raya 1955 dan satu di Pahang di bawah Seksyen 506 KK.

    Hazani berkata bagi permit ceramah pula, PDRM telah mengeluarkan sebanyak 289 permit iaitu 52 permit di Perak, Johor (47), Selangor (32), Kedah (29), Sabah (28), Sarawak (22), Pulau Pinang (18), Negeri Sembilan (15), Pahang dan Melaka masing-masing (14), Terengganu (tujuh), Kelantan (enam), Perlis (tiga) dan Kuala Lumpur (dua).

    “Sebanyak 19 ceramah tidak berpermit dikesan, dengan di Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 11 kes, Perak (lima), Pahang (satu), dan Terengganu (dua),” katanya.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 Nov sebagai hari pengundian bagi PRU15 manakala pengundian awal pada 15 Nov. – BERNAMA

  • PDRM gerak pasukan Op Cantas Khas pantau perjalanan PRU-15

    PDRM gerak pasukan Op Cantas Khas pantau perjalanan PRU-15

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengatur gerak pasukan Op Cantas Khas untuk menjalankan risikan, pemantauan dan mengambil tindakan terhadap pihak yang cuba melakukan kekacauan sepanjang proses Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata pasukan itu turut bertindak mengawal tingkah laku dan gerak kerja pihak terlibat dengan gangsterisme yang cuba mengambil kesempatan sepanjang tempoh PRU15 diadakan.

    Selain itu, pihaknya menempatkan pegawai PDRM dalam Pasukan Pemantau Kesalahan Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memastikan setiap pihak melakukan kempen mengikut garis panduan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    “PDRM bersama SPR serta agensi lain yang berkaitan juga akan melakukan pemantauan setiap masa dalam memastikan proses berkempen dan pengundian dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata seramai 80,000 pegawai dan anggota seluruh negara diaturgerak untuk penugasan PRU15 bagi memastikan tahap keselamatan terjamin dan memberi keyakinan kepada orang ramai untuk keluar mengundi secara selamat.

    Acryl Sani turut menasihatkan parti-parti politik untuk berkempen secara beretika dan matang serta tidak menyentuh isu sensitif seperti agama dan perkauman.

    “Pihak yang terlibat secara langsung dalam proses pilihan raya seperti calon dan pengurus kempen harus memikul tanggungjawab dalam mengendali dan menguruskan sentimen penyokong masing-masing agar tidak berlaku insiden seperti di Tenom, Sabah.

    “Kejadian berkenaan merupakan contoh bagaimana situasi penyokong yang tidak dikawal boleh mengakibatkan kemudaratan yang seharusnya tidak berulang kembali kerana (ia) merupakan ancaman kepada tahap keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

    Beliau berkata, pihaknya turut mengenal pasti kesalahan lazim yang berlaku ketika berkempen iaitu mengoyak poster, mengeluarkan kata-kata atau perbuatan yang berbaur hasutan, bergaduh, demonstrasi, kesalahan melalui medium Internet dan tohmahan.

    Acryl Sani berkata selain tindakan di bawah Akta Kanun Keseksaan, PDRM juga akan menggunakan undang-undang dan peraturan-peraturan yang berkait secara langsung dengan pilihan raya.

    “Tindakan itu adalah Akta Pilihan Raya 1958, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 dan Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003,” katanya.

    “PDRM sentiasa komited dalam memastikan situasi keselamatan terkawal sepanjang tempoh berkempen, hari mengundi dan pasca PRU…kita berharap proses demokrasi pada kali ini berjalan dengan lancar dan aman tanpa insiden-insiden yang tidak diingini,” katanya. – BERNAMA

  • PDRM sahkan insiden kekecohan di pusat penamaan calon di Tenom

    PDRM sahkan insiden kekecohan di pusat penamaan calon di Tenom

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan berlaku insiden kekecohan di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Dewan DSP Antanom, Tenom di Sabah.

    Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata beliau sedang menunggu laporan terperinci daripada Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah, berhubung perkara berkenaan.

    “Betul saya sedang tunggu laporan daripada PJP (Pesuruhjaya Polis) Sabah,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Terdahulu tular di media sosial sebuah kejadian rusuhan berlaku di Dewan DSP Antanom, Parlimen Tenom.

    Kejadian difahamkan berlaku ekoran penyokong Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (KDM) berang apabila borang pencalonan Datuk Peter Anthony dari parti itu, ditolak Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) yang bertugas.

    FMT melaporkan, difahamkan, pencalonan Peter ditolak pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana beliau pernah didapati bersalah oleh mahkamah.

    Keadaan itu menyebabkan penyokongnya cuba memasuki pusat pencalonan.

    Mei lalu, Peter dijatuhkan hukuman penjara dan denda RM50,000, tetapi beliau masih merayu sabitan itu.

  • Inspektor polis direman 5 hari disyaki terima, minta rasuah RM10,000

    Inspektor polis direman 5 hari disyaki terima, minta rasuah RM10,000

    SEORANG pegawai polis berpangkat Inspektor direman selama lima hari di Mahkamah Majistret George Town, Pulau Pinang hari ini kerana disyaki menerima dan meminta rasuah sebanyak RM10,000.

    Perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 32 tahun itu dikeluarkan Majistret Mohamad Azlan Basri selepas dipohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Difahamkan Inspektor polis itu bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di salah sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Pulau Pinang.

    Suspek ditahan SPRM di Jalan Sungai Tiram, Bayan Lepas kira-kira pukul 12.05 malam tadi.

    Menurut sumber SPRM, suspek disyaki meminta dan menerima rasuah sebanyak RM10,000 bagi melepaskan dua individu iaitu pengadu yang telah ditangkap di atas kesalahan menjual air ketum.

    “Suspek disyaki meminta wang rasuah tersebut daripada individu berkenaan menerusi panggilan telefon.

    “Suspek meminta RM20,000 daripada individu berkenaan, namun hanya memperoleh RM10,000,” katanya.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

  • Pencuri tertidur sebelum ditangkap tauke kedai makan

    Pencuri tertidur sebelum ditangkap tauke kedai makan

    NIAT seorang lelaki untuk mencuri di sebuah kedai makan terbantut selepas ditangkap oleh pemilik ketika tertidur semasa melakukan jenayah itu.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian berlaku di Johan Setia, Klang, 8.30 pagi kelmarin.

    Katanya, suspek tertidur selepas terlebih dos dadah yang diambil sebelum bertindak masuk ke dalam kedai.

    “Pengadu seorang peniaga mendapati pintu belakang kedai telah diumpul dan menemui suspek dalam keadaan terbaring.

    “Pengadu kemudian telah menahan suspek dan menghubungi Bilik Gerakan, Ibu Pejabat Polis Klang Selatan untuk bantuan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Ujarnya, hasil semakan suspek berusia 23 tahun memiliki pelbagai rekod lampau atas kesalahaan jenayah dan dadah.

    “Suspek ditemui dalam keadaan cedera di kepala, muka dan badan dipercayai telah dipukul oleh orang awam.

    “Suspek telah dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang bagi pemeriksaan lanjut,” katanya lapor Utusan TV.

    Hasil siasatan mendapati semasa kejadian, suspek masuk melalui pintu bahagian belakang kedai dengan cara mengumpil mengunakan tangan.

    Cha Hoong Fong berkata, suspek telah dituduh dibawah seksyen 453 Kanun Keseksaan di Mahkamah Klang, semalam.

  • Budak lelaki 7 tahun diliwat abang tiri

    Budak lelaki 7 tahun diliwat abang tiri

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dipercayai diliwat oleh abang tirinya yang berusia 17 tahun di Karak.

    Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada Ahad lalu.

    Katanya, laporan dibuat bapa mangsa yang berusia 34 tahun berkenaan kejadian terhadap anak lelakinya itu yang dipercayai diliwat oleh abang tiri mangsa.

    “Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong telah membuat tangkapan terhadap suspek.

    “Suspek direman selama tujuh hari sehingga Ahad ini,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Astro Awani hari ini.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

    “Pihak polis juga ingin menasihati orang ramai khususnya ibu bapa atau penjaga agar sentiasa memantau anak-anak bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku,” ujarnya.

  • Joli sebahagian wang rompakan RM180,000 sebelum ditahan polis

    Joli sebahagian wang rompakan RM180,000 sebelum ditahan polis

    SEMPAT joli sebahagian hasil rompakan berjumlah RM180,000 dengan membeli sebuah kereta Honda Civic; dua buah motosikal masing-masing Yamaha Y15ZR dan Honda Vario; empat buah telefon bimbit; sebuah televisyen; satu set bilik tidur dan dua buah mesin basuh.

    Namun kegembiraan tiga sekeluarga termasuk dua beradik warga tempatan itu tidak berpanjangan selepas mereka ditahan polis kerana disyaki memecah masuk sebuah gudang alat permainan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang kira-kira tiga bulan lalu.

    Lebih malang, barangkali kerana tamak dan cuba memecah masuk gudang sama kali kedua, perbuatan mereka itu dikesan oleh pemilik gudang tersebut.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, pemilik itu kemudian membuat laporan polis pada 24 Oktober lalu dan bertindak daripada laporan itu, polis menahan dua daripada suspek berkenaan iaitu adik-beradik masing-masing berusia 30 dan 25 tahun di sebuah rumah.

    Menurut beliau, ketika ditahan polis turut merampas pelbagai barangan termasuk pakaian, pedang samurai, laptop, beg silang, telefon bimbit, pemutar skru, kekunci Allen dan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15.

    “Seorang lagi suspek iaitu isteri kepada suspek utama yang mengandung lapan bulan turut ditahan.

    “Kita turut merampas tiga bentuk cincin, dua utas rantai tangan, seutas jam tangan pintar serta 12 helai resit pembelian serta resit gadaian emas daripada suspek,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Mengulas lanjut, Cheng San berkata, polis percaya penahanan kesemua suspek itu berjaya menyelesaikan dua kes pecah gudang dan kedai di sekitar Seberang Perai Tengah yang dilaporkan pada Julai dan Oktober lalu.

    “Kesemua suspek kini direman sehingga Isnin depan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda jika sabit kesalahan,” katanya.