Category: Jenayah

  • Polis tahan lelaki disyaki ancam bunuh Agong

    Polis tahan lelaki disyaki ancam bunuh Agong

    SEORANG lelaki yang dipercayai membuat hantaran berbaur ancaman bunuh terhadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah ditahan polis.

    Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi hari ini mengesahkan penahanan tersebut.

    Tanpa mendedahkan butiran lanjut, Arjunaidi berkata pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media dalam masa terdekat berhubung kes berkenaan.

    Semalam, tular menerusi media sosial tangkap layar Instagram Story dipercayai milik seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang mempersoalkan kewibawaan dan mengancam keselamatan Seri Paduka Baginda.

    Tindakan lelaki berkenaan mengundang kemarahan orang awam dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan ke atasnya. – BERNAMA

  • 3 lelaki ditahan bergaduh ketika mabuk

    3 lelaki ditahan bergaduh ketika mabuk

    TIGA lelaki warga tempatan ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam pergaduhan di sebuah premis hiburan di Love Lane, Pulau Pinang Ahad lalu.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung insiden pergaduhan itu daripada orang awam kira-kira pukul 3.05 pagi.

    Sebaik sahaja menerima maklumat itu katanya, sekumpulan anggota dari Balai Polis Central bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati berlaku pergaduhan di situ.

    “Polis kemudian menahan tiga lelaki warga tempatan di lokasi kejadian dan suspek bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan semasa tangkapan dilakukan.

    “Kesemua suspek juga disyaki berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian,’ katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sebelum ini, tular di media sosial video kejadian pergaduhan membabitkan suspek-suspek tersebut di premis hiburan berkenaan.

    Menurut Soffian, suspek yang ditahan berusia 29 hingga 31 tahun dan semakan mendapati kesemua tangkapan tiada rekod jenayah lampau, namun salah seorang daripada mereka positif dadah.

    Ujarnya, mereka yang berasal dari Pulau Pinang dan Selangor direman tiga hari sehingga semalam dan telah diberi jaminan polis.

    Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.

    “Kertas siasatan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk mendapatkan arahan pertuduhan terhadap kesemua suspek,” katanya.

  • Ibu terkejut anak berusia 14 tahun lahirkan anak

    Ibu terkejut anak berusia 14 tahun lahirkan anak

    SEORANG ibu terkejut apabila mendapati anaknya yang berusia 14 tahun sarat mengandung selepas dibawa ke hospital selepas remaja berkenaan mengadu sukar membuang air besar, semalam.

    Dalam kejadian 4.30 petang itu, remaja terbabit yang juga pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah dibawa ibunya ke Hospital Baling namun wanita berusia 40-an itu terkejut apabila doktor memberitahu anaknya mengandung dan bakal melahirkan anak.

    Selepas dua jam dimasukkan ke hospital, doktor memaklumkan kepada ibunya yang remaja perempuan terbabit disahkan selamat melahirkan bayi perempuan cukup sifat.

    Menurut sumber, ibu pelajar berkenaan yang masih terkejut dengan keadaan itu kemudian membuat laporan polis kerana mengesyaki yang anaknya menjadi mangsa rogol sehingga hamil dan melahirkan anak.

    “Hasil keterangan yang diambil, wanita terbabit memberitahu anaknya mengadu tidak boleh membuang air besar sebelum dia melihat darah turun di kaki remaja terbabit ketika berada di rumah mereka.

    “Wanita itu juga mendakwa dia sebelum ini menyedari perubahan bentuk fizikal badan anaknya itu sejak tiga bulan lalu namun remaja berkenaan menafikan dia hamil dan hanya memberitahu berat badannya naik,” katanya lapor BH.

    Sumber berkata, ketika kejadian wanita terbabit juga ada mendakwa yang dia melihat cecair jernih atas tilam di ruang tamu tempat tidur anaknya namun remaja itu memberitahu yang dia terkencing.

    “Bagaimanapun, wanita terbabit yang bimbang selepas melihat darah yang meleleh di paha anaknya terus membawa remaja berkenaan ke hospital.

    “Ketika tiba di hospital ibu pelajar itu baru mengetahui yang anaknya sudah sarat dan selamat melahirkan bayi perempuan,” katanya.

    Menurut sumber, susulan daripada laporan polis itu polis mengambil keterangan daripada pelajar berkenaan dan dia mendakwa ada melakukan hubungan seks dengan dua lelaki berusia 20-an yang juga tinggal di kampung sama dengannya.

    “Mangsa mendakwa dia ada melakukan hubungan seks dengan rela sebanyak tiga kali bersama dua lelaki terbabit sejak Februari lalu selepas mengenali mereka melalui rakan perempuan di sekolahnya.

    “Remaja itu bagaimanapun mendakwa dia mengesyaki anak yang dilahirkan itu adalah hasil hubungan seorang daripada lelaki terbabit kerana mendakwa mereka kerap melakukan hubungan seks selepas itu,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Shamsudin Mamat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit namun enggan mengulas lanjut mengenainya kerana siasatan masih dijalankan.

    “Setakat ini, kita masih mengesan suspek bagi membantu siasatan berhubung kes terbabit,” katanya.

  • PRU-15: Polis tahan tiga lelaki edar risalah kempen di Pangkalan Lumut

    PRU-15: Polis tahan tiga lelaki edar risalah kempen di Pangkalan Lumut

    TIGA lelaki tempatan ditahan kerana dipercayai mengedarkan risalah kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Pangkalan Lumut dekat Ipoh, semalam. 

    Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya menerima laporan daripada Pasukan Rondaan Provos Tentera Laut (Protela) sejurus pasukan itu melakukan tangkapan. 

    “Tiga individu terbabit mengedarkan risalah sebuah parti politik di Blok A8 Rumah Keluarga Tentera Laut Diraja Malaysia (RKTLDM) yang telah diwartakan sebagai kawasan larangan. 

    “Mereka yang ditahan berumur antara 19 hingga 33 tahun dan pihak polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 24B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Menurutnya perlaksanaan kempen telah dikecualikan di kawasan-kawasan yang diwartakan sebagai kawasan larangan sepertimana yang dinyatakan dalam Akta 298, Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.

    “Mana-mana individu yang gagal mematuhi perkara ini boleh dikenakan penjara atau denda sepertimana yang dinyatakan dalam Seksyen 7 akta yang sama.

    “Kami nasihatkan supaya semua parti yang bertanding agar mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa sepanjang perlaksanaan tempoh berkempen PRU15,” katanya.

    Parlimen Lumut mempunyai 8,327 pengundi awal yang terdiri daripada anggota tentera dan pasangan dan daripada jumlah itu seramai 787 orang adalah pengundi pos.

    Sebanyak tiga sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pangkalan TLDM, Sekolah kebangsaan (SK) Pangkalan TLDM dan SK Pangkalan TLDM 2 dijadikan pusat mengundi dengan 18 saluran disediakan untuk mengundi semalam.

  • Maritim Malaysia Pulau Pinang lancar operasi carilamat dua kru bot dipercayai hilang

    Maritim Malaysia Pulau Pinang lancar operasi carilamat dua kru bot dipercayai hilang

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (cari) bagi menjejaki dua kru bot yang mana bot mereka dijumpai hanyut tanpa kru berhampiran perairan sangkar ikan Batu Maung, Georgetown, Pulau Pinang pagi tadi.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan dari nelayan tempatan berhubung penemuan bot hanyut tanpa kru berhampiran sangkar ikan itu pukul 8.20 pagi.

    Sehubungan itu katanya, Bot KILAT 26 telah diatur gerak ke lokasi kejadian bagi mengesan bot tersebut.

    “Sebaik sahaja tiba di lokasi, bot dengan nombor pendaftaran PPS 7216 dijumpai berada di salah sebuah sangkar ikan Batu Maung dan dibawa oleh nelayan berhampiran bagi menggelakkan bot terus hanyut ke lokasi lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati bot itu dinaiki seorang lelaki, M. Gunalan, 46, dari Bukit Tambun berdasarkan dokumen pengenalan diri yang dijumpai di atas bot.

    Sehubungan itu katanya, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi telah dimaklumkan berhubug penemuan bot tanpa kru tersebut dan operasi carilamat telah diaktifkan pukul 9 pagi.

    “Hasil maklumat yang diterima dari pihak polis Bukit Tambun, isteri mangsa turut membuat laporan polis berhubung kehilangan suaminya yang keluar ke laut bersama rakannnya, V. Muraley, 53, pukul 5 pagi tadi,” katanya.

    Tambah beliau, isteri mangsa membuat laporan selepas mendapat maklumat daripada komuniti nelayan yang mana bot dinaiki suaminya dijumpai hanyut tanpa kru.

    “Bot itu kemudiannya ditunda oleh bot KILAT 26 ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan mengutamakan langkah-langkah keselamatan ketika melakukan apa jua aktiviti semasa berada di laut.

    “Orang awam juga diminta melaporkan sebarang penemuan dan kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya.

  • 6,914 al-Quran, buku dikenakan larangan dirampas

    6,914 al-Quran, buku dikenakan larangan dirampas

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEBANYAK 6,914 naskhah al-Quran tanpa kelulusan serta bahan penerbitan yang dikenakan perintah larangan dirampas Kementerian Dalam Negeri (KDN) dari sebuah premis di Pendang, Kedah, Ahad lalu.

    Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yusoff berkata, rampasan tersebut dibuat menerusi satu serbuan dalam Ops Naskhah yang dijalankan kira-kira pukul 11 pagi kelmarin.

    Katanya, seorang lelaki tempatan berusia 40-an yang disyaki merupakan pengedar bahan tersebut telah diambil keterangan.

    “Rampasan melibatkan sebanyak 2,874 unit al-Quran, 4,024 bahan al-Quran dan 16 unit bahan penerbitan berbentuk buku yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM563,370.

    “Dalam serbuan itu, kami berjaya merampas al-Quran yang tidak memiliki kelulusan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ) serta buku yang dikenakan perintah larangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Difahamkan premis tersebut dijadikan sebagai tempat jualan serta stor penyimpanan al-Quran serta buku tersebut.

    Tambahnya, kebanyakan al-Quran dan buku-buku yang dirampas itu datangnya dari Indonesia dengan harga jualan mencecah RM500 senaskhah.

    Selain itu katanya, pemeriksaan dijalankan mendapati lelaki terbabit menyimpan atau menyembunyikan bahan-bahan bacaan tersebut dalam kotak.

    “Suspek dipercayai hanya akan mengeluarkan bahan bacaan tersebut apabila hendak menjualnya,” katanya.

    Difahamkan rampasan dilakukan itu merupakan yang terbesar dilakukan pada tahun ini.

    “Ketika ini kes tersebut masih disiasat mengikut Seksyen 8(1) dan 14(1) Akta Pencetakan Teks al-Quran 1986 serta Seksyen 7(1) dan 8(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,” katanya.

  • Kastam tahan wanita seludup kokain RM1.34 juta di KLIA

    Kastam tahan wanita seludup kokain RM1.34 juta di KLIA

    CUBAAN seorang wanita menyeludup masuk kokain hitam seberat 6.7kg bernilai RM1.34 juta gagal apabila ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 6 Nov lepas.

    Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Sazali Mohamad, berkata keldai dadah berusia 39 tahun itu ditahan pada 4 petang dan hasil pemeriksaan menemukan dua kepingan getah berwarna hitam tersembunyi dalam dua bagasi.

    “Modus operandi sindiket adalah mencampurkan kokain biasa dengan bahan kimia lain dengan menggunakan teknik suntikan acuan,” katanya kepada pemberita di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM di Nilai, hari ini.

    Katanya teknik itu menghasilkan kepingan getah hitam untuk dijadikan pelapik dalam bagasi manakala campuran bahan kimia itu bagi meneutralkan bau kokain supaya tidak dapat dikesan pihak berkuasa dan anjing pengesan.

    Sazali berkata modus operandi itu pertama kali dikesan pihaknya dan suspek yang menaiki penerbangan dari Dubai juga pertama kali masuk ke negara ini.

    Beliau berkata, suspek menerima upah kira-kira USD500 (RM2,293) bagi membawa masuk dadah tersebut.

    Dalam kes berasingan Sazali berkata seorang jurusolek warga tempatan, 26, ditahan menyeludup rokok elektronik (vape) dan cecair vape mengandungi ganja menerusi perkhidmatan kurier di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 10 Nov lepas.

    Beliau berkata, bungkusan itu diikrar sebagai barangan solekan, namun berisi 50 vape, 50 cecair vape yang mengandungi minyak ganja, serta ganja seberat 850 gram bernilai RM15,000.

    Selain itu, Sazali berkata JKDM turut menyita sebuah kotak mengandungi 400 mangkuk besi yang telah diubah suai untuk menyembunyikan peket lut sinar mengandungi methamphetamine seberat 6.3kg bernilai RM230,000 di kargo KLIA pada 8 Nov.

    Beliau berkata, jabatan itu juga mematahkan cubaan menyeludup keluar dadah jenis methamphetamine yang disorok dalam sembilan peket teh herba Cina seberat 9kg bernilai RM324,000 di kargo KLIA pada 23 Okt kira-kira 6 petang.

    Katanya, kedua-dua sindiket itu menggunakan maklumat pengeksport palsu dan JKDM sedang giat mengesan suspek terlibat.

    Semua kes disiasat bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Tiga lelaki ditahan rompak stesen minyak guna pistol mainan

    Tiga lelaki ditahan rompak stesen minyak guna pistol mainan

    POLIS menahan tiga lelaki selepas melakukan rompakan secara berkumpulan di sebuah stesen minyak di Kodiang, Kubang Pasu, pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, sebaik pihaknya menerima laporan kejadian jam 4.15 pagi, operasi khas mengesan suspek dilakukan sekitar daerah itu.

    “Dua suspek masuk ke dalam stesen minyak terbabit dan meluru ke arah jurupam lalu mengacukan senjata dipercayai pistol mainan.

    “Jurupam berusia lingkungan 20-an itu dalam ketakutan mengikut arahan suspek supaya menyerahkan wang.

    “Selepas berjaya mengambil wang berjumlah RM2,700, suspek melarikan diri dengan memecut laju kereta Proton Satria biru yang dipandu seorang lagi rakan suspek yang menunggu di dalam kereta,” katanya memetik laporan Astro Awani hari ini.

    Rodzi berkata, selepas berjaya mengesan keberadaan suspek, polis berjaya menahan ketiga-tiga mereka di sekitar Jitra dan Changlun jam 1 hingga 3 petang hari yang sama.

    Katanya, polis merampas sebuah kereta, tiga unit telefon bimbit dan pakaian dipakai suspek untuk tindakan lanjut.

    Jelasnya, hasil ujian saringan air kencing ketiga-tiga suspek berusia 22 hingga 27 tahun itu mendapati kesemua mereka positif dadah jenis Methamphetamine.

    Menurut Rodzi, hasil semakan polis juga mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau penyalahgunaan dadah.

    “Polis sedang mengesan seorang lagi suspek bersenjata yang masih bebas dipercayai dalang kejadian rompakan itu,” katanya.

    Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 395 / 397 Kanun Keseksaan.

  • Penganggur ditahan rogol anak tiri usia 12 tahun

    Penganggur ditahan rogol anak tiri usia 12 tahun

    SEORANG penganggur ditahan bagi membantu siasatan kes rogol anak tiri yang berusia 12 tahun di Maran semalam.

    Suspek yang berusia 30 tahun ditahan di kedai makan di daerah tersebut pada pukul 3.45 petang.

    Difahamkan, perbuatan suspek terbongkar selepas mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibu saudaranya, yang kemudian membuat laporan polis pada Jumaat.

    Suspek dikatakan sudah beberapa kali melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap mangsa.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.

    “Suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Harian Metro, hari ini.

  • Jika ada nombor telefon, data bocor bukan dari SPR, kata Hamzah

    Jika ada nombor telefon, data bocor bukan dari SPR, kata Hamzah

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) akan menyiasat dakwaan kebocoran data 800,000 pengundi yang dikatakan data dimiliki Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin bagaimanapun berkata, siasatan hanya akan dibuat jika ada laporan polis dibuat.

    “Sekiranya data tersebut mengandungi maklumat nombor telefon ia bukan daripada data SPR.

    “Kalau ada nombor telefon bermakna bukan SPR yang punya. Kalau SPR hanya nama dan nombor kad pengenalan sahaja.

    “Itu tak betul, itu mesti ada orang yang menipu semata-mata untuk mencari keuntungan. Apabila ada laporan polis kita akan buat siasatan.

    “Setakat ini belum ada lagi yang mengaku menerima benda-benda seperti ini,” katanya kepada media selepas menghadiri program ceramah Perikatan Nasional (PN) di Arau, hari ini, lapor Malaysiakini.

    Terdahulu dilaporkan kebocoran data yang pertama kali dilaporkan pada April lalu sekali lagi mendapat perhatian ketika kempen PRU ke-15 memasuki minggu kedua.

    Data itu membabitkan maklumat pengundi merujuk kepada pangkalan data SPR yang dilaporkan mengandungi 800,000 gambar pengundi dan MyKad mereka.

    SPR mengumpul gambar-gambar ini sebagai sebahagian daripada laman web Daftar MySPR yang dilancarkan pada 2019.