Category: Jenayah

  • 5 anggota polis direman bantu siasatan kes rasuah

    5 anggota polis direman bantu siasatan kes rasuah

    SERAMAI lima anggota polis masing-masing berpangkat Sarjan, Koperal dan Lans Koperal direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi membantu siasatan bersabit dua kes rasuah.

    Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab di Mahkamah Majistret George Town, Pulau Pinang hari ini selepas dipohon pegawai penyiasat SPRM.

    Dalam kes pertama, seramai empat anggota polis berpangkat Koperal dan Lans Koperal direman selama lima hari bermula hari ini kerana disyaki menerima dan meminta rasuah daripada seorang lelaki sebanyak RM1,000.

    Menurut sumber, keempat-empat anggota polis itu yang terdiri daripada Koperal berusia 31 tahun serta tiga lagi berpangkat Lans Koperal berusia antara 26 hingga 33 tahun bertugas di Balai Polis Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan (SPS).

    Jelas sumber itu, anggota polis berkenaan telah menahan seorang lelaki di sekitar kawasan parkir kereta Pangsapuri Sungai Bakap, 3 Julai lalu, kira-kira pukul 2 pagi.

    Ujarnya, salah seorang anggota itu telah meminta wang rasuah berjumlah RM1,000 daripada seorang individu sebagai balasan untuk tidak diambil tindakan berhubung rekod kesalahan jenayah lampau beliau berkaitan ujian saringan air kencing melibatkan dadah.

    “Anggota polis tersebut telah bersetuju untuk menerima wang rasuah itu semalam. Lanjutan aduan itu, satu Operasi Perangkap telah dijalankan oleh SPRM Pulau Pinang semalam,” katanya hari ini.

    Sumber itu berkata, keempat-empat suspek ditahan kerana terlibat bersama serta hadir menerima wang perangkap dan berada di lokasi ketika wang perangkap ditemui.

    Dalam kes berasingan, seorang anggota polis berpangkat Sarjan berusia 30 tahun turut direman selama empat hari bagi membantu siasatan membabitkan kes rasuah.

    Sumber berkata, kira-kira pukul 4.30 petang pada 11 Julai lalu, seorang orang awam telah berjumpa dengan suspek yang merupakan Pegawai Penyiasat bagi kes melibatkan adiknya di Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.

    ”Dalam bilik tersebut, suspek telah meminta wang rasuah sebanyak RM2,500 sebagai balasan untuk menyelesaikan kes ujian saringan air kencing adik kepada pengadu yang sedang disiasat oleh suspek,” katanya.

    Tambahnya, suspek telah meminta wang rasuah tersebut diserahkan kepadanya kelmarin dan lanjutan aduan tersebut, satu operasi perangkap telah dilaksanakan semalam dan suspek telah ditahan bersama wang perangkap.

    Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

  • 7,548 kes Love Scam, kerugian RM382 juta, wanita paling ramai jadi mangsa

    7,548 kes Love Scam, kerugian RM382 juta, wanita paling ramai jadi mangsa

    SEBANYAK 7,548 kes Love Scam direkodkan sejak 2018 hingga Jun tahun ini, membabitkan kerugian lebih RM382 juta dengan kira-kira 7,200 individu dilapor menjadi mangsa.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata daripada jumlah mangsa itu, sebanyak 82 peratus atau 6,251 mangsa adalah wanita.

    “Bakinya iaitu 1,297 kes mangsa lelaki, ia mungkin lebih daripada itu tetapi tidak dilaporkan, manakala rata-rata golongan wanita yang menjadi mangsa love scam ini adalah ibu tunggal dan bujang,” katanya lapor BERNAMA.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media pelancaran trailer Filem Kesedaran Anti-Scam ‘Oppa’ terbitan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Dream Film Sdn Bhd di Kuala Lumpuri, hari ini.

    Filem yang dijangka menemui penonton pada hujung tahun ini, diterbitkan dalam usaha menyebarkan pengetahuan kepada orang ramai berkenaan modus operandi penipuan dalam talian, selain meningkatkan kesedaran masyarakat bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

    Sementara itu, Ramli berkata, JSJK menerima 16 laporan polis berkenaan penipuan perkhidmatan menunaikan wang bantuan eBelia Rahmah.

    “Sejak hebahan media mengenai kes ini (sebelum ini 14 kes) hanya dua laporan kes baharu diterima dan selepas itu tiada. Ini hasil keberkesanan laporan berita yang dikeluarkan pihak media. Jadi, masyarakat terutama golongan pelajar cakna dan menyedari hal ini. Mereka berhati-hati,” katanya.

    Sehubungan itu, katanya, bagi memastikan usaha dan mesej kesedaran dapat disampaikan kepada masyarakat, Ramli berkata JSJK mempelbagaikan aktiviti pencegahan antaranya, program sembang santai, ceramah dan pameran di sekolah, rumah ibadat, universiti dan seumpamanya.

  • Berang dituduh ambil dadah, suami disyaki bakar isteri

    Berang dituduh ambil dadah, suami disyaki bakar isteri

    SEORANG lelaki sanggup membakar isterinya hingga mati hanya kerana tidak berpuas hati dituduh mengambil dadah dalam kejadian di Kampung Bharu, Manjung, Isnin lalu.

    Ketua Polis Manjung, Superitendan Mohamed Nordin Abdullah berkata, suspek berusia 28 tahun berjaya diberkas semalam di sebuah restoran di Lumut selepas menerima laporan kejadian.

    “Kes itu dilaporkan sendiri kakak suspek yang menyatakan adiknya bertindak membakar mangsa.

    “Mangsa berusia 33 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Seri Manjung, hari ini, pada 12.20 tengah hari,” katanya dalam kenyataan.

    Menurutnya, suspek direman tujuh hari sehingga 18 Julai bagi siasatan lanjut.

    “Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman mati,” ujarnya, lapor FMT.

  • Polis keluarkan 1,082 saman lalu lintas, halang laluan OKU

    Polis keluarkan 1,082 saman lalu lintas, halang laluan OKU

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengambil langkah proaktif dengan mengeluarkan 1,082 saman kepada pemilik kenderaan yang menghalang lalu lintas dan laluan pejalan kaki serta meletak kenderaan secara haram.

    Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, saman itu dikeluarkan polis sepanjang Op Hormat Undang-Undang Polis Kuala Lumpur di sekitar Brickfields bermula 3 Julai hingga semalam.

    Menurut Mohd. Shuhaily, saman tertinggi yang dikeluarkan adalah halangan lalu lintas iaitu sebanyak 1,061 saman, diikuti larangan letak kenderaan (18) dan tiga kesalahan menghalang laluan OKU.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain GAMBAR: Warta Rakyat

    “Apabila kita (polis) menjalankan operasi dan mengeluarkan saman itu, ia membuka minda masyarakat di Kuala Lumpur bahawa di dalam kesibukan kita mencari nafkah setiap hari ada juga golongan kurang upaya yang turut mencari nafkah.

    “Jadi, kita yang sempurna ini haruslah menghormati mereka dan mempunyai sikap bertanggungjawab,” katanya dalam Program Menyantuni OKU Penglihatan di sekitar Brickfields, hari ini.

    Dalam pada itu, Mohd Shuhaily bersama beberapa pegawai PDRM turut mengambil kesempatan untuk menguji sendiri laluan pejalan kaki dalam keadaan mata ditutup di sekitar Jalan Thambipillay dekat Brickfields.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain (kiri) menutup mata ketika berjalan bagi menyelami sendiri cabaran sebagai OKU penglihatan ketika mengadakan program Santuni Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan bersama Polis di sekitar Brickfields, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Tinjauan itu dilakukan Mohd Shuhaily bersama Pemangku Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji, bersama pegawai kanan lain menggunakan tongkat dan berjalan melalui laluan ‘tactiles’ yang digunakan OKU penglihatan.

    “Apa yang saya dapati ketika tinjauan ini, masih ada pihak mementingkan diri sendiri apabila menghalang laluan yang dikhaskan kepada golongan OKU ini secara meletakkan kenderaan di situ.

    “Cuba bayangkan apabila motosikal dalam keadaan ekzos yang masih panas, diletakkan di tempat laluan orang buta dan ini akan menyebabkan mereka mengalami kecederaan walaupun kenderaan itu diletakkan untuk seketika, namun ia menyebabkan kesukaran kepada OKU penglihatan.

    “Bayangkan, sekiranya keadaan ini dialami ahli keluarga, saudara kita sendiri yang mungkin terdiri dari golongan OKU penglihatan, adakah kita masih sanggup menghalang kemudahan yang disediakan kepada mereka,” katanya, lapor Utusan TV.

  • SPRM tahan bekas pegawai khas menteri minta sogokan lulus surat warganegara

    SPRM tahan bekas pegawai khas menteri minta sogokan lulus surat warganegara

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas pegawai khas menteri kerana disyaki meminta rasuah RM25,000 sebagai dorongan untuk mendapatkan surat kelulusan bagi permohonan taraf kewarganegaraan.

    Sumber memberitahu, penjawat awam berusia 40-an itu yang berkhidmat dengan menteri pada 2019 ditahan kira-kira pukul 5 petang semalam di ibu pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan.

    Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan perintah tahanan reman selama tiga hari sehingga 14 Julai ini, di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

    Menurut sumber, suspek meminta wang sogokan daripada seorang lelaki tempatan yang membuat permohonan taraf kewarganegaraan untuk anak kandungnya.

    “Pada bulan Jun lalu, suspek telah menghubungi individu terlibat yang memohon taraf kewarganegaraan bagi anaknya sejak 2015.

    “Suspek memaklumkan bahawa surat kelulusan permohonan taraf warganegara sudah ada padanya namun meminta pengadu untuk membayar wang sejumlah RM25,000 sebelum menyerahkan surat kelulusan tersebut,” kata sumber itu, lapor Astro Awani.

    Tambah sumber, penahanan suspek dibuat hasil pendedahan dan gesaan Perdana Menteri agar SPRM menyiasat lanjut berhubung amalan rasuah oleh segelintir pegawai di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

    Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi hari ini mengesahkan penahanan lelaki
    berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

    Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan menerima maklumat ada unsur salah guna kuasa di JPN apabila proses untuk mendapatkan sijil warganegara dikenakan bayaran tertentu.

  • Menteri: Polis tahan sekutu Jho Low, Jasmine Loo

    Menteri: Polis tahan sekutu Jho Low, Jasmine Loo

    POLIS telah menahwan Jasmine Loo Ai Swan, iaitu sekutu kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho yang didakwa terlibat dalam skandal 1MDB.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Loo ditahan pada Jumaat lalu.

    [Berita lanjut menyusul]

  • SPRM kesan lelaki bergelar ‘Datuk’

    SPRM kesan lelaki bergelar ‘Datuk’

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya sedang mengesan seorang lelaki tempatan bergelar Datuk bagi membantu siasatan kes SPRM di Kuala Lumpur.

    SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan lelaki berkenaan dikenali sebagai Datuk Justin Lim Hwa Tat yang berumur 47 tahun.

    “Justin Lim mempunyai alamat terakhir di No. 54, Jalan SS 22/27 Damansara Jaya, 47400 Petaling Jaya, Selangor,” menurut kenyataan itu.

    Sehubungan itu, SPRM meminta orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lelaki terbabit agar menghubungi pegawai penyiasat, Freddick Makiun menerusi talian 03-88700480 atau 014-8595925 atau e-mel kepada [email protected].

  • Bapa ditahan selepas dipercayai rogol 2 anak usia 12, 15 sehingga hamil

    Bapa ditahan selepas dipercayai rogol 2 anak usia 12, 15 sehingga hamil

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS menahan seorang bapa selepas dipercayai merogol dua anaknya, yang berusia 12 dan 15 tahun di rumah mereka di Jeram, Muar.

    Lelaki berusia 53 tahun itu ditahan semalam di rumahnya yang dipercayai melakukan perbuatan itu sejak 2017 dengan kejadian terakhir dikatakan berlaku awal bulan ini.

    Difahamkan suspek didakwa merogol seorang mangsa sejak berusia sembilan tahun dan perbuatan berkenaan dikatakan kerap kali berlaku di rumah mereka.

    Sepanjang tempoh berkenaan, dua beradik itu sering dijadikan hamba seks bapa mereka.

    Mangsa tidak berani menceritakan kejadian terbabit kepada sesiapa sehingga perbuatan bapanya itu terbongkar pada Isnin, selepas mangsa berusia 15 tahun mengadu sakit dada sebelum menjalani pemeriksaan di hospital.

    Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, hasil pemeriksaan pegawai perubatan di hospital terbabit mendapati mangsa sebenarnya sedang hamil.

    “Berikutan itu satu laporan polis dibuat dan suspek ditangkap semalam untuk siasatan lanjut.

    “Suspek direman seminggu bermula semalam. Polis sedang merekodkan keterangan mangsa untuk melengkapkan siasatan,” katanya ketika dihubungi.

    Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan maksimum 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

  • Polis sahkan ada tahanan lolos di lokap IPD Dang Wangi

    Polis sahkan ada tahanan lolos di lokap IPD Dang Wangi

    POLIS mengesahkan seorang tahanan telah meloloskan diri dari lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di Kuala Lumpur, semalam.

    Tanpa mendedahkan butiran lanjut, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata ketika kejadian, pihak polis dalam proses membawanya ke mahkamah untuk proses pertuduhan.

    Beliau berkata kejadian berkenaan berlaku pada pukul 9.40 pagi dan polis telah melancarkan Op Cari bagi mengesan tahanan berkenaan.

    “Dalam 1.50 tengah hari (hari yang sama), kami dapat mengesan dan menahan semula tahanan berkenaan (dan bawanya semula ke balai),” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

    Beliau berkata polis juga telah membuka kertas siasatan terhadap enam anggota polis yang sedang bertugas ketika kejadian dan tindakan susulan akan diambil ke atas mereka.

    Mohd Shuhaily berkata siasatan sedang dijalankan bagi mengetahui sama ada timbul kelalaian daripada anggota bertugas atau suspek berkenaan mempunyai kepakaran tersendiri dalam meloloskan diri.

    Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata Op Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur mencatatkan lebih 26,000 saman dikeluarkan setakat Ahad lepas.

    Beliau berkata kesalahan halangan lalu lintas direkodkan paling tinggi dengan 18,931 saman diikuti lain-lain kesalahan (3,217) dan kesalahan kenderaan di laluan pejalan kaki sebanyak 1,931 saman.

    Menurutnya, sebanyak 86 individu turut ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah dan trafik serta sebanyak 99 kenderaan telah disita.

    “Yang menjadi kebimbangan saya ketika ini ialah kehadiran warga asing yang menunggang motosikal tanpa lesen. Ada dokumen tapi tiada lesen,” katanya.

    Mengulas mengenai pemilikan motosikal, Mohd Shuhaily berkata rata-rata mereka menyewa daripada warga tempatan dan diberi oleh majikan.

    Beliau berkata, operasi itu mendapat respons yang positif dan kebanyakan pengguna jalan raya di ibu negara memohon agar operasi ini dipanjangkan berbanding tempohnya hanya sebulan.

  • Gesa siasat rumah Anwar didakwa milik ‘tauke misteri’

    Gesa siasat rumah Anwar didakwa milik ‘tauke misteri’

    AHLI Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin hari ini menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pemilikan kediaman peribadinya di Kajang, Selangor.

    Badrul yang lebih dikenali sebagai Chegubard mendakwa, rumah di Sungai Long yang didiami Anwar adalah milik tauke Cina yang penuh misteri.

    Chegubard berkongsi dokumen yang didakwa ditandatangani oleh setiausaha sulit kepada Anwar yang mengesahkan banglo itu dimiliki oleh individu yang dikatakan ahli perniagaan.

    Dalam sidang media yang diadakan selepas membuat laporan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya, Badrul turut membangkitkan isu Anwar menggunakan beberapa kereta mewah yang didakwa bukan milik Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

    “Ini termasuk kereta Jaguar yang didakwa dimiliki oleh Yayasan Aman Berhad, yang Anwar adalah pengasas dan penasihatnya, dan sebuah BMW yang didakwa dimiliki oleh ahli perniagaan lain dari Selangor.

    “Sudah menjadi kebiasaan bagi Anwar untuk bergerak dengan kereta mewah, walaupun sebelum menjadi perdana menteri.

    “Bagaimanapun, tiada rekod mana-mana kereta dalam senarai asetnya yang diisytiharkan,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

    Katanya, Anwar sepatutnya berhenti bercakap mengenai ketelusan jika pada masa sama menggunakan premis dan kereta yang bukan miliknya.

    “Jadi persoalannya, jangan sembang soal ketelusanlah Anwar. Kau duduk pun rumah tauke Cina yang penuh misteri,” dakwa Badrul.

    Selain itu, Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Negeri Sembilan itu juga mempertikaikan sebidang tanah di Port Dickson, yang dibeli Anwar pada harga RM1 juta tahun lepas.

    Malaysiakini telah menghubungi Pejabat Perdana Menteri untuk mendapatkan ulasan.