Category: Jenayah

  • Seludup PATI:Dua pegawai Imigresen ditahan

    Seludup PATI:Dua pegawai Imigresen ditahan

    DUA dua pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ditahan kerana disyaki terlibat dengan sindiket penyeludupan migran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di Sepang, Jumaat lalu.

    Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pegawai yang bertugas di kaunter kemasukan berkenaan akan menurunkan cap masuk kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) terbabit dengan bayaran sekitar RM1,000 ke RM2,000 setiap seorang.

    “Dalam operasi terbabit, seramai lima PATI berumur antara 31 tahun hingga 49 tahun telah berjaya ditahan. Mereka disenarai hitamkan atas rekod kesalahan lampau.

    “Tangkapan terdiri daripada dua perempuan warga Indonesia yang baru sahaja tiba dan seorang lelaki Indonesia yang berperanan sebagai ejen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Khairul Dzaimee berkata, operasi berkenaan dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Imigresen Putrajaya susulan maklumat awam berkenaan kemasukan PATI yang telah disenaraihitamkan.

    Katanya, ejen sindiket yang bersubahat bersama pegawai imigresen di kaunter ketibaan klia2 berkenaan akan mengatur perjalanan PATI terbabit.

    “Sejurus tiba di klia2, PATI berkenaan akan dijemput oleh ejen untuk dibawa ke destinasi yang dituju untuk tujuan bekerja secara tidak sah,” jelas beliau.

    Tambahnya, pegawai di kaunter berkenaan turut tidak merekodkan kemasukan kesemua PATI terbabit ke dalam sistem rekod Imigresen.

    Katanya, kesemua PATI berkenaan ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 manakala kedua-dua pegawai Imigresen dan ejen sindiket disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

    “Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut.

    “Dua orang pegawai imigresen yang terlibat ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • Lelaki terjun Sungai Kedah elak dicekup polis dikhuatiri lemas

    Lelaki terjun Sungai Kedah elak dicekup polis dikhuatiri lemas

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TINDAKAN dua daripada tiga lelaki cuba melarikan diri daripada ditahan polis dengan terjun ke Sungai Kedah, memakan diri apabila seorang daripada mereka terkapai-kapai sebelum hilang dari pandangan dan dikhuatiri lemas.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 1 tengah hari tadi setelah mereka menyedari kehadiran pihak polis di lokasi tersebut iaitu di Taman Limau Manis, Alor Mengkudu dekat Alor Setar.

    “Sebaik menyedari kehadiran pihak polis, ketiga-tiga mereka cuba melarikan diri namun seorang daripadanya yang berusia 20-an berjaya diberkas.

    “Dua lagi individu cuba melarikan diri dengan terjun ke Sungai Kedah. Seorang daripada mereka iaitu lelaki berusia 30-an dapat berenang ke seberang dan melarikan diri.

    “Namun seorang lagi individu berusia 45 tahun dikhuatiri lemas. Susulan itu, pihak bomba dipanggil untuk melaksanakan kerja mencari dan menyelamat,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

    Tambahnya, pihak polis hadir ke lokasi tersebut untuk melaksanakan ‘Ops Tapis’ setelah mendapat maklumat menyatakan akan berlaku penghantaran dadah di lokasi tersebut dari Pendang.

    “Kalangan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Alor Setar kemudiannya membuat pemantauan terhadap sebuah kereta Proton wira dan sebaik kehadiran polis disedari, ketiga-tiga mereka terus cuba melarikan diri,” katanya.

    Sementara itu Komander Operasi Kanan Bertugas, Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba II, Mohd. Firdaus Daud berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada polis kira-kira pukul 1.07 tengah hari.

    “Seramai lapan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja tiba di lokasi kejadian untuk melaksanakan tugas mencari dan menyelamat. Bantuan bot turut diterima dari BBP Alor Setar, Jalan Raja dan polis.

    “Operasi tersebut turut melibatkan aktiviti selaman oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari BBP Jitra,” katanya.

  • Nelayan ditahan bersama dadah

    Nelayan ditahan bersama dadah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG nelayan ditahan polis bersama dadah jenis heroin dan syabu di tepi jalan Kampung Bukit Malut, Langkawi, awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, suspek yang merupakan seorang lelaki berusia 36 tahun ditahan kira-kira pukul 12.15 pagi tadi.

    “Pemeriksaan dijalankan mendapati terdapat enam peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat kira-kira 197.47 gram.

    “Selain itu terdapat 4 peket plastik lutsinar dan satu keratan tiub straw berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 36.39 gram,” katanya.

    Tambahnya, suspek telah dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Langkawi untuk siasatan lanjut.

    “Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Terkejut jumpa mayat bayi baru lahir dalam parit

    Terkejut jumpa mayat bayi baru lahir dalam parit

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENDUDUK Kampung Melayu Pandan di Johor Bahru gempar selepas satu mayat bayi perempuan baru dipercayai baru dilahirkan ditemukan terapung-apung dalam parit di kampung itu, semalam.

    Mayat bayi berkenaan ditemukan seorang wanita tempatan berusia 33 tahun selepas melihat satu objek dalam air parit sebelum menyedarinya objek itu adalah seorang bayi.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintendan Dr. Mohd. Roslan Mohd. Tahir berkata, wanita itu memaklumkan pihak polis berkenaan penemuan mayat bayi tersebut pada pukul 11.50 pagi semalam.

    “Pihak polis juga mengesan satu rakaman video berdurasi 39 saat berkenaan penemuan mayat bayi berkenaan dipercayai baru dilahirkan.

    ‘Bertindak atas maklumat, pada pukul 1 hingga 1.30 petang semalam, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam membuat tangkapan sepasang kekasih.

    “Polis menahan lelaki berusia 28 tahun dan wanita terbabit yang berusia 27 tahun di kawasan Kampung Melayu Pandan. Mereka bekerja sebagai operator kilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pihaknya merampas sehelai t-shirt unggu dan sehelai kain sarung warna hijau yang mempunyai kesan tompokan disyaki darah selain dua telefon bimbit dan 42 biji pil melibatkan empat jenis ubat.

    Mohd Roslan memberitahu, polis masih menyiasat punca kematian selain mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

    Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

    “Kedua-dua suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari mulai hari ini sehingga 15 Disember,” katanya.

  • Lelaki ditahan seleweng 2,000 liter minyak diesel subsisi

    Lelaki ditahan seleweng 2,000 liter minyak diesel subsisi

    SEORANG lelaki yang dipercayai menjalankan kegiatan menyeleweng minyak diesel subsidi ditahan bersama lori dan bahan api membabitkan nilai keseluruhan RM75,817.20 di sebuah stesen minyak di Jalan Hooi Soo, Nibong Tebal, semalam.

    Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang S.Jegan berkata hasil pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan, pihaknya berjaya menjejaki sebuah lori tiga tan yang mencurigakan sebelum menyerbu stesen minyak itu pada 1.30 pagi.

    “Semasa serbuan itu, seorang lelaki berusia 40-an yang juga pemandu lori sedang mengisi minyak diesel di situ dan pemeriksaan mendapati terdapat satu unit tangki besi tambahan berkapasiti 4,000 liter yang telah diubah suai, ditempatkan di belakang kenderaan tersebut dengan ditutupi kain kanvas.

    “Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kira-kira 2,000 liter minyak diesel di dalam tangki besi tersebut dan dipercayai suspek membeli bahan api tersebut di beberapa lokasi sekitar Nibong Tebal dan Jawi dengan harga susbsidi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya berdasarkan siasatan awal, suspek menjalankan aktiviti berkenaan secara sendirian dan akan menjual diesel tersebut kepada pihak industri dengan harga lebih mahal sekali gus mampu mengaut keuntungan ribuan ringgit setiap bulan.

    “Dalam serbuan itu, kami merampas 2,000 liter diesel, lori, tangki besi, motor pum dan hos pam yang kesemuanya bernilai RM75,817.20,” katanya menambah suspek yang juga pemilik lori ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

  • Polis tembak mati dua penjenayah, dipercayai anggota kumpulan samun terancang

    Polis tembak mati dua penjenayah, dipercayai anggota kumpulan samun terancang

    Oleh RIZQI ZABIDI

    POLIS menembak mati dua penjenayah termasuk seorang ‘mastermind’ sebuah kumpulan samun terancang, dalam kejadian berbalas tembak di Jalan Jeniang menuju ke Kalai di Gurun, Kedah, malam kelmarin.

    Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11 malam kelmarin menyebabkan kedua-dua penjenayah berkenaan yang berusia 60-an dan 40-an, maut di lokasi kejadian.

    Dalam kejadian itu katanya, seorang anggota polis juga hampir cedera akibat ditembak penjenayah tersebut, namun diselamatkan oleh baju kalis peluru dipakainya.

    “Ketika melakukan rondaan di kawasan tersebut, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen  (IPK) Kedah telah terserempak dengan sebuah kereta jenis Proton Iswara berwarna kelabu yang berada dalam keadaan mencurigakan. Kereta tersebut diarahkan berhenti untuk diperiksa namun pemandunya tidak mengendahkan arahan dan memecut laju.

    “Pihak polis kemudiannya memintas kenderaan itu namun apabila pemeriksaan hendak dijalankan, suspek telah melepaskan tembakan yang mengenai seorang anggota kami yang memakai baju kalis peluru. Susulan itu, berlaku kejadian tembak-menembak hingga keadaan tiba-tiba senyap.

    “Apabila pemeriksaan dijalankan, didapati dua suspek dalam kereta itu telah meninggal dunia. Pemeriksaan dijalankan kemudiannya menemukan beberapa barangan antaranya dua pucuk pistol jenis Revolver .38, sebilah parang, pedang, kuku kambing, playar, pemutar skru, tiga topeng ski, dua beg galas dan sepasang jaket dipercayai digunakan untuk tujuan samun dan pecah rumah,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Kedah, hari ini.

    Tambahnya, semakan lanjut mendapati suspek yang berusia 60-an memiliki lebih 60 rekod lampau terdiri daripada 17 kes samun, dua kes dadah, 20 kes jenayah harta benda, tiga kes Akta Bahan Kakisan/Senjata terlarang, empat kes Akta Pencegahan Jenayah serta dua kes-kes lain.

    “Suspek warga emas itu juga merupakan individu dikehendaki bagi kes samun berkumpulan dan bersenjata. Difahamkan, dia baru saja bebas di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1957 (POCA).

    “Suspek berusia 40-an itu pula tidak memiliki rekod lampau namun dia disyaki merupakan pembekal maklumat terhadap kumpulan tersebut,” katanya.

    Tambahnya, polis percaya masih ada saki-baki anggota kumpulan itu yang masih bebas kerana beberapa kes dipercayai melibatkan mereka sebelum ini, turut disertai oleh beberapa individu lagi.

    “Sasaran kumpulan ini adalah golongan berusia atau berpencen yang memiliki banyak wang. Siasatan awal menunjukkan mereka akan terlebih dulu meneliti kekuatan pemilik rumah dengan ada sesetengah kes, seramai lima atau enam penyamun akan turut serta melakukan jenayah tersebut.

    “Maka kami percaya, bukan hanya mereka berdua sahaja yang terlibat dalam kes tersebut. Suspek berusia 40-an yang ditembak mati itu tiada rekod lampau namun dia disyaki menjadi pemberi maklumat mengenai perkara-perkara yang perlu diketahui oleh kumpulan itu sebelum melakukan samun,” katanya.

    Dengan tumpasnya kedua-dua individu berkenaan, pihak polis percaya telah berjaya menyelesaikan antara 16 hingga 20 kes jenayah termasuk melibatkan kes-kes yang disiasat oleh IPK Pulau Pinang dan Perlis.

    “Siasatan awal menunjukkan mereka ini telah bergerak aktif sejak Mac atau April tahun ini.  

    “Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960,” katanya.

  • Polis Sarawak rampas dadah hampir RM12 juta sejak Januari

    Polis Sarawak rampas dadah hampir RM12 juta sejak Januari

    POLIS merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM11.9 juta di Sarawak dalam tempoh 1 Januari hingga 8 Disember lalu.

    Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata, kejayaan itu melibatkan hasil tangkapan terhadap seramai 8,717 individu yang terbabit dalam pelbagai kesalahan dadah.

    “Hasil tangkapan itu dalam tempoh Januari hingga 8 Disember itu juga, pihak polis menyita harta bernilai RM3.4 juta.

    “Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak terus komited membanteras habis-habisan kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah bagi memastikan masyarakat negeri ini kekal selamat, aman dan sejahtera,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media Ops Tapis Khas SeMalaysia Siri7/2022 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di Kuching, hari ini.

    Mengenai Ops Tapis Khas SeMalaysia yang diadakan pada 6 hingga 8 Disember lalu, Mohd. Azman berkata, sebanyak 154 serbuan dan pemeriksaan dijalankan di kawasan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), kawasan perkampungan serta lokasi dikenalpasti aktif pengedaran dadah.

    “Seramai 240 individu yang berusia antara 17 hingga 70 tahun ditahan dalam serbuan itu dengan 10 daripadanya adalah wanita.

    “Antara kesalahan yang dikesan ialah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 seramai lima orang, Seksyen 39A(1) ADV 1952 (26 orang), Seksyen 12(2) ADB 1952 (62 orang) dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 (147 orang),” katanya lapor Harian Metro.

    Menurutnya lagi, pelbagai jenis dadah yang bernilai RM39,058 dirampas dengan kawasan Padawan mencatat nilai tertinggi iaitu RM20,699 diikuti Miri sebanyak RM5,973.50 dan Bintulu sebanyak RM3,690.

  • Wanita dikurung, dipaksa lakukan seks

    Wanita dikurung, dipaksa lakukan seks

    SEORANG lelaki dan dua wanita warga Tanzania ditahan polis selepas dipercayai memperdagangkan rakan senegara mereka untuk tujuan eksploitasi seks.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, mangsa ke Malaysia selepas dijanjikan pekerjaan di sebuah pusat kecantikan.

    “Namun setibanya di Malaysia, mangsa dikurung dan dipaksa untuk memberikan perkhidmatan seks.

    “Tidak tahan dengan penyeksaan itu, pada Rabu lalu, mangsa bertindak melarikan diri dari sebuah kondominium di Ampang Ukay, Ampang Jaya, dan membuat laporan polis untuk mendapatkan dokumen perjalanan termasuk pasport yang masih dipegang suspek bagi membolehkan mangsa pulang ke negara asal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohamad Farouk berkata, bertindak atas laporan itu, polis melakukan serbuan pada pukul 12.45 tengah malam di sebuah apartmen di Jalan Tun Razak, Ampang Jaya semalam.

    Dalam serbuan itu katanya, polis menahan seorang lelaki Nigeria serta dua wanita Tanzania termasuk suspek utama, dan kesemua mereka dipercayai memasuki Malaysia menggunakan visa pelajar.

    Beliau memberitahu, hasil pemeriksaan telefon pintar suspek-suspek itu, polis menemui gambar dan pasport pengadu pada suspek utama.

    Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kesemua suspek yang berusia 28 hingga 37 tahun itu tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

    Namun demikian katanya, hanya suspek lelaki yang memiliki pasport ketika ditahan manakala dua suspek wanita gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

    “Ujian saringan awal dadah yang dijalankan ke atas kesemua suspek mendapati dua suspek wanita positif dadah,” tambahnya, lapor Astro Awani.

    Kesemua suspek ditahan reman tujuh hari sehingga 15 Disember ini.

    Kes itu katanya disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum tiga tahun dan maksimum 20 tahun serta boleh dikenakan denda.

  • Kes pecah amanah KRM: Polis tunggu dokumen bank

    Kes pecah amanah KRM: Polis tunggu dokumen bank

    POLIS sedang menunggu dokumen daripada pihak bank bagi membantu siasatan membabitkan dakwaan kes pecah amanah disyaki berlaku dalam pengendalian akaun bank Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM).

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata: “Dokumen tersebut dijangka diterima dalam masa terdekat.”

    “Kita akan meneliti dokumen serta cek dan transaksi dalam akaun tersebut bagi mengenal pasti jumlah kerugian yang sebenar,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Pada Rabu, media melaporkan seramai tiga individu telah dipanggil untuk membantu siasatan.

    Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah amanah.

    Pada Isnin, media melaporkan kegiatan pecah amanah itu disyaki dilakukan oleh seorang kakitangan KRM yang setakat ini gagal dihubungi dan dikesan.

    KRM dalam satu kenyataan menyebut, kakitangan terbabit telah memalsukan tandatangan Presiden dan Bendahari Kehormat KRM bagi memasukkan nama beliau sebagai salah seorang penandatangan cek.

    Individu terlibat kemudiannya didakwa telah memalsukan tandatangan untuk membuat pengeluaran wang tunai dari bank.

    KRM bagaimanapun masih menyiasat jumlah kerugian sebenar dan akan membantu polis membuat siasatan serta mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.

  • Politik Dana judi: Pemuda Pas Kedah minta polis siasat Anwar

    Politik Dana judi: Pemuda Pas Kedah minta polis siasat Anwar

    PEMUDA Pas Kedah meminta siasatan dilakukaen terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung fitnah kononnya Perikatan Nasional (PN) menggunakan dana judi untuk membiayai kempen politik pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Ketua Pemuda Pas Kedah merangkap Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid berkata, dakwaan Anwar yang dibuat ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet adalah cubaan menimbulkan persepsi buruk terhadap blok politik itu.

    “Tuduhan PN menerima dana daripada perjudian berkenaan bukan sahaja tidak wajar, malah tidak berasas dan bersifat fitnah semata-mata.

    “Pas telah meminta supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan bukti dan sehingga ke hari ini tidak ada bukti diberikan beliau.

    “Jadi, saya membuat laporan polis supaya beliau disiasat mengikut Seksyen 499 Kanun Keseksaan kerana telah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap kami, ahli Parlimen PN,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Setar malam tadi.

    Nurul Amin berkata, sebagai calon bertanding pada pilihan raya itu menafikan sekeras-kerasnya bahawa dana yang diterima ni adalah dana daripada syarikat judi.

    “Jadi kami minta pihak berkuasa seperti polis untuk menyiasat Perdana Menteri kerana telah melakukan jenayah fitnah dan diharapkan pihak berkuasa mengambil tindakan dengan membuka kertas siasatan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sementara itu, Nurul Amin menyifatkan tuduhan dilemparkan tidak sepatutnya dilakukan seorang pemimpin yang bergelar Perdana Menteri dengan menyerang pihak lawan pada satu sidang akhbar untuk menimbulkan persepsi tidak berasas.