Category: Jenayah

  • Lelaki bertelekung curi barang jemaah wanita ketika solat dicekup

    Lelaki bertelekung curi barang jemaah wanita ketika solat dicekup

    SEORANG lelaki yang tular mengenakan telekung sebelum mencuri barang jemaah wanita ketika solat di masjid sekitar Seksyen 18, di Shah Alam diberkas polis, tengah malam tadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, tangkapan ke atas suspek lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an itu susulan laporan dibuat oleh mangsa.

    Katanya, polis menerima dua laporan polis mengenai kes kecurian barangan milik jemaah wanita ketika menunaikan solat di masjid sekitar kawasan Seksyen 18, pada 20 Disember lalu.

    “Kejadian pertama dilaporkan pada 3.41 petang oleh seorang wanita berusia 60 tahun yang menunaikan solat subuh di Masjid Al-Azahariah, Seksyen 18, Shah Alam.

    “Sementara, kes kedua dilaporkan pada 10.47 malam oleh wanita berusia 58 tahun yang menunaikan solat isyak di Masjid Al-Hidayah, Seksyen 18. Kerugian bagi kedua-dua kejadian dianggarkan RM3,500,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Mengulas lanjut, Mohd Iqbal berkata, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedua-dua tempat kejadian mendapati suspek adalah individu sama.

    Katanya, suspek menggunakan modus operandi sama iaitu memakai telekung masuk ke ruangan jemaah wanita seterusnya mengambil barang berharga milik jemaah yang sedang solat.

    “Kira-kira 12.05 tengah malam (23 Disember) polis berjaya menangkap suspek yang berasal dari Padang Jawa di kawasan Seksyen 18.

    “Hasil pemeriksaan terhadap suspek, polis menemui dan merampas dua buah telefon bimbit yang dicuri semasa kejadian. Suspek ditangkap untuk siasatan lanjut,” katanya.

    Katanya, semakan ke atas rekod jenayah lampau mendapati suspek mempunyai satu rekod kes penyalahgunaan dadah dan empat rekod kes jenayah.

    “Suspek ditahan reman selama empat hari dari bermula hari ini sehingga 26 Disember untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Piala Dunia: 690 ‘bookie’ ditahan, 530 kertas siasatan dibuka

    Piala Dunia: 690 ‘bookie’ ditahan, 530 kertas siasatan dibuka

    POLIS menahan 690 individu kerana disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian dan pertaruhan berkaitan kejohanan bola sepak Piala Dunia Qatar 2022 sepanjang Op Saga IX yang bermula 19 Nov hingga Rabu lepas.

    Setiausaha Polis Diraja Malaysia Datuk Noorsiah Saaduddin berkata kesemua tangkapan membabitkan ‘bookie’ atau ‘punter’ dan disiasat di bawah Akta Pertaruhan 1953 dan Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

    Sepanjang tempoh sama, beliau berkata sebanyak 530 kertas siasatan dibuka dan daripada jumlah itu 202 kertas siasatan berjaya dituduh dengan 87 telah disabitkan dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah, manakala 328 kertas siasatan masih dalam tindakan.

    Menurutnya Selangor merekodkan jumlah tertinggi tangkapan iaitu 179 individu diikuti Kuala Lumpur (142), Johor (59), Negeri Sembilan (57), Sarawak (54), Pulau Pinang (43), Sabah (41), Kedah (32), Melaka (27), Pahang (18), Perak (17), Terengganu (11), Perlis (enam) dan Kelantan (empat).

    Beliau berkata hasil rampasan antaranya meliputi nilai had kredit dalam perisian sebanyak RM22.3 juta, wang tunai RM518,563, telefon bimbit (817), kad sim (386 keping), komputer (74) dan komputer riba (47).

    “PDRM berharap masyarakat dapat menyalurkan maklumat berkaitan perjudian yang berlaku di sekeliling mereka melalui hotline perjudian di talian 016-5773477,” katanya dalam kenyataan hari ini. – BERNAMA

    PDRM, pertaruhan, judi, bola sepak

  • Maritim Malaysia rampas 107 set bubu naga

    Maritim Malaysia rampas 107 set bubu naga

    Oleh BADLISHAH MAT

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah merampas 107 set bubu kambang atau bubu naga dalam satu operasi khas yang dilakukan di empat lokasi sepanjang perairan Yan, semalam.

    107 set bubu kambang atau bubu naga dirampas dalam satu operasi khas yang dilakukan Maritim Malaysia di empat lokasi sepanjang perairan Yan, semalam.

    Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, operasi khas membanteras bubu naga ini dilaksanakan berikutan terdapat rungutan dan aduan yang diterima pihak Maritim Malaysia.

    Katanya, empat lokasi rampasan bubu naga terbabit adalah di sekitar 0.4 batu nautika hingga 0.8 batu nautika merangkumi sekitar Kuala Sedaka hingga ke perairan Kuala Sala.

    “Semasa rondaan dilakukan, anggota bot ronda Maritim Malaysia menemukan pelampung penanda dan pancang yang mencurigakan dipasang pada setiap bubu naga berukuran lebih kurang 10 meter panjang di beberapa lokasi.

    “Kesemua bubu naga dianggarkan bernilai RM12,840 itu dirampas dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk disiasat mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Noor Azreyanti, pihaknya melihat penggunaan bubu naga perlu dicegah bermula dengan penjualan di darat oleh jabatan berkaitan kerana ianya dijual dengan harga yang murah.

    “Ini sekali gus tidak akan memberi kesan ke atas rampasan-rampasan yang dibuat memandangkan penggunanya masih boleh membeli di pasaran.

    “Nelayan juga diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan,” katanya.

    Tegas beliau, Zon Maritim Kuala Kedah tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dalam kawasan perairan negara dan sentiasa komited meneruskan operasi serta rondaan di sepanjang kawasan tanggungjawab bagi mengekang aktiviti haram di laut.

    Katanya, semua pihak juga dialu-alukan membuat aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut yang boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

  • Warga emas antara 7 individu ditahan jadi keldai akaun

    Warga emas antara 7 individu ditahan jadi keldai akaun

    SEORANG warga emas berusia 61 tahun antara tujuh individu ditahan polis Pulau Pinang selepas dipercayai menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan.

    Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kesemua mereka ditahan dalam beberapa siri serbuan di beberapa negeri antara Selasa lalu hingga semalam.

    Tambahnya, suspek warga emas itu ditahan bersama seorang lagi suspek lelaki selepas disyaki menjadi keldai akaun sindiket dalam urusan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan keuntungan dan penyamaran sebagai pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis.

    Katanya, turut ditahan ialah empat suspek lelaki dan seorang wanita kerana disyaki menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan melibatkan penipuan tawaran kerja sambilan serta pinjaman wang tidak wujud dalam talian.

    ”Kesemua suspek yang berusia antara 27 hingga 61 tahun itu ditahan di sekitar Perak, Kuala Lumpur dan Selangor melibatkan kes-kes yang dilaporkan pada 2019, 2021 dan 2022.

    ”Jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa ialah antara RM1,330 sehingga RM19,200,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah kenyataan itu, kesemua mereka direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Dalam pada itu katanya, polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat sindiket penipuan antaranya jual beli di laman sosial, pinjaman tidak wujud, pelaburan tidak wujud, tawaran pekerjaan luar negara dan Macau Scam.

    Sementara itu, dalam kes berasingan, polis Pulau Pinang turut berjaya menumpaskan sindiket memproses dan menjual air ketum selepas menahan 11 lelaki berusia 22 hingga 40 tahun dalam serbuan di sekitar Batu Maung, dekat sini semalam.

    Menurut kenyataan IPD Barat Daya, sindiket itu dipercayai memproses air ketum di sebuah rumah sebelum menjualnya kepada pembeli tetutama pelanggan tetap dengan harga RM5 setiap bungkus.

    “Dalam serbuan itu, polis merampas sebanyak 70 bungkus plastik lutsinar dipercayai berisi air ketum dan pelbagai peralatan untuk memproses air tersebut.

    ”Sindiket ini dipercayai mampu mengaut keuntungan ribuan ringgit setiap bulan,” katanya.

  • Wanita curi gelang emas bernilai RM15,000 demi langsai hutang kereta teman lelaki

    Wanita curi gelang emas bernilai RM15,000 demi langsai hutang kereta teman lelaki

    ALASAN melangsaikan hutang kereta milik teman lelakinya, menyebabkan seorang gadis berusia 22 tahun, dicekup polis selepas terlibat bersama lelaki itu melarikan seutas gelang tangan emas dari sebuah premis di bandar Port Dickson.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson, Aidi Sham Mohamed, berkata pembantu jualan kedai emas terbabit membuat laporan pada jam 1 tengah hari pada 7 Disember lalu.

    “Dalam laporannya, pembantu jualan berusia 39 tahun di kedai emas itu, menyatakan pada pukul 11.38 pagi hari sama, mangsa didatangi pasangan terbabit meminta untuk melihat seutas gelang emas kononnya mahu membelinya.

    “Secara tiba-tiba, suspek bertindak melarikan diri bersama gelang emas bernilai kira-kira RM15,000 yang sedang dilihatnya dengan menaiki sebuah Perodua Alza,” katanya dalam satu kenyataan media di Port Dickson, Negeri Sembilan.

    Aidi Sham berkata, susulan aduan dan maklumat yang diterima, polis membuat tangkapan seorang wanita di sebuah pangsapuri dekat Rawang, Selangor pada 16 Disember.

    “Suspek berusia 22 tahun itu mengaku mencuri gelang tangan terbabit untuk melangsaikan hutang kereta milik teman lelakinya,” katanya.

    Aidi Sham berkata, hasil tangkapan itu, polis merampas gelang tangan emas dilarikan suspek yang sudah dipajak kepada sebuah kedai di Bandar Seremban.

    “Suspek wanita itu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dipenjara satu hari dan denda RM7,000 oleh Mahkamah Port Dickson selepas mengaku bersalah terhadap perbuatan itu.

    “Polis masih mengesan seorang suspek masih bebas dipercayai teman lelaki kepada wanita itu,” katanya lapor Satu Berita.

    Susulan kejadian itu juga, polis sedang mengesan Muhammad Haikal Izhar (Haikal), berusia 20 tahun dengan alamat terakhir di 924, Lorong 3/2C, Taman Nusari Bayu, Bandar Sri Sendayan, Labu, Negeri Sembilan.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Mohd Hazizi Abas di talian 019-3471916 atau 06-647 2344.

  • 14 ajaran sesat dikenal pasti masih aktif di Selangor

    14 ajaran sesat dikenal pasti masih aktif di Selangor

    MAJLIS Agama Islam Selangor (MAIS) bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sentiasa memantau ketat 14 ajaran sesat yang dikenal pasti masih aktif di negeri ini.

    Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, antaranya adalah ajaran Millah Abraham@ Ibrahim, Al-Arqam@Rufaqa’, Qadiani@Ahmadiah dan fahaman Syiah.

    Beliau berkata, orang ramai yang curiga atau keliru mengenai sesuatu ajaran, perlu segera merujuk kepada MAIS dan mereka juga boleh menghubungi Bahagian Penguatkuasaan JAIS untuk tindakan lanjut.

    “Selain itu, saya nasihatkan kepada sesiapa yang mengetahui atau mendapat makluman mengenai ajaran-ajaran ini dan (ia) dibuat secara rahsia sulit serta… dilaksanakan di tempat yang sukar untuk dihubungi, kebiasaannya ia adalah ajaran sesat,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK) 2022 di Auditorium Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, hari ini.

    Abdul Aziz berkata, orang ramai juga boleh merujuk kepada 97 PIBK yang berdaftar di bawah MAIS jika mempunyai kesangsian tentang mana-mana ajaran.

    Semalam, media melaporkan kumpulan ajaran sesat Millah Abraham yang dikesan kewujudannya beberapa tahun lepas dipercayai kembali aktif, susulan beberapa pengikut termasuk seorang selebriti lelaki mendedahkan pernah terjebak dengan kumpulan berkenaan.

  • Jenayah rogol remaja bawah umur di Pulau Pinang membimbangkan

    Jenayah rogol remaja bawah umur di Pulau Pinang membimbangkan

    SEBANYAK 77 kes jenayah rogol daripada 96 kes yang dilaporkan di Pulau Pinang antara Julai 2021 hingga November tahun ini adalah melibatkan remaja bawah umur atau juvana.

    Statistik itu menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain, adalah sesuatu yang agak membimbangkan apatah lagi kebanyakan kes melibatkan pesalah juvana tersebut membabitkan individu yang dikenali mangsa.

    “Kebanyakan jenayah rogol ini didapati dilakukan oleh suspek yang dikenali mangsa yang mana ini secara tidak langsung memberi gambaran faktor seks bebas terlalu berleluasa dalam kalangan mereka yang di bawah umur ketika ini,” katanya.

    Mohd. Shuhaily berkata demikian kepada pemberita selepas sesi townhall anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang yang bertajuk ‘Remaja dan Jenayah : Isu dan Cabaran’ di Dewan Budaya di Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini.

    Selain beliau, turut menjadi ahli panel dalam program tersebut ialah pakar motivasi, Mohamed Hanafiah Malek; Prof. Madya Dr. Abdul Rashid Mohamad dari Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa USM serta Datuk Dr. P. Sudramoothy selaku moderator program.

    Menurut Mohd. Shuhaily, demografi yang terlibat dengan jenayah rogol itu juga menunjukkan mereka terdiri daripada remaja daripada kelompok B40.

    “Apa yang kita bimbangkan ialah bagaimana dengan nasib mangsa, stigma masyarakat dan apa jalan penyelesaian kepada isu ini.

    “Kita bimbang apabila remaja yang terlibat menjadikan hal ini satu perkara yang biasa bagi mereka dan lama-kelamaaan mereka bangga dengan jumlah lelaki yang mereka kenali pula,” katanya.

    Tambah Mohd. Shuhaily, secara keseluruhan juga statistik jenayah terutama melibatkan pesalah juvana di Pulau Pinang juga agak membimbangkan yang mana seramai 1,251 orang ditahan sejak Julai tahun lalu hingga November tahun ini.

    Jelas beliau, mereka yang ditahan itu berusia 10 hingga 19 tahun dan terdiri daripada 86 peratus lelaki iaitu 1,078 orang manakala selebihnya perempuan.

    “Statistik pelaku jenayah yang ditahan di dalam lokap adalah seramai 392 orang terdiri daripada 377 lelaki (96 peratus) dan 15 perempuan (empat peratus),” katanya.

  • 4 nelayan Indonesia ceroboh perairan negara ditahan  

    4 nelayan Indonesia ceroboh perairan negara ditahan  

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan bot nelayan asing Indonesia pukul 11 pagi semalam selepas didapati menceroboh perairan negara.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, kapal ronda Maritim Malaysia mengesan bot nelayan asing Indonesia itu di kedudukan 26 batu nautika barat Pulau Kendi ketika melaksanakan rondaan Op Tanjung.

    Ujar beliau, pemeriksaan ke atas bot nelayan asing Indonesia itu mendapati, bot terbabit berpangkalan di Pantai Labu, Sumatera Utara dan dikendalikan empat kru warga Indonesia berumur antara 35 hingga 50 tahun.
     
    “Kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia.

    “Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
     
    Menurut beliau, bot serta kru ditahan termasuk hasil laut dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.
     
    Dalam pada itu Abd. Razak menegaskan, Maritim Malaysia akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal dari sebarang pencerobohan bot nelayan asing yang cuba mencuri hasil laut di perairan Malaysia.

    “Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999,” katanya.

  • 22 kotak ginseng dikirim melalui pos dari China dirampas

    22 kotak ginseng dikirim melalui pos dari China dirampas

    JABATAN Pemeriksaan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang merampas sebanyak 22 kotak ginseng yang dihantar melalui pos dari China dalam pemeriksaan di sebuah pejabat pos di Simpang Ampat, Nibong Tebal.

    Pengarah Maqis Pulau Pinang, Muhammad Ikram Abd. Talib berkata, pemeriksaan pada Rabu lalu itu hasil kerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

    Menurut beliau, pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan ginseng seberat 28 kilogram (kg) itu milik warganegara tempatan yang dibeli secara online dari negara China.

    “Kesemua ginseng yang dianggarkan bernilai RM3,600 itu dibawa masuk bagi kegunaan sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambahnya, perbuatan mengimport ginseng tanpa permit import Maqis yang sah adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3), akta yang sama.

    Jika sabit kesalahan, tambahnya, individu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

    Tegas beliau, pihaknya akan sentiasa mengambil langkah proaktif bagi isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.

    “Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara,” katanya.

  • Bot nelayan tempatan dan Indonesia bersama 11 PATI ditahan

    Bot nelayan tempatan dan Indonesia bersama 11 PATI ditahan

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan dan sebuah bot nelayan asing Indonesia di perairan negeri itu dalam dua operasi berasingan, Jumaat lalu.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, kapal ronda Maritim Malaysia melakukan penahanan pertama melibatkan sebuah bot nelayan tempatan kelas C di kedudukan 71 batu nautika barat Pulau Kendi pada pukul 1.50 tengah hari.

    Tambah beliau, penahanan kedua iaitu sebuah bot nelayan asing Indonesia pula dilakukan di kedudukan 19.8 batu nautika bart daya Pulau Kendi pukul 7.20 petang ketika melaksanakan rondaan Op Tanjung.

    Ujarnya, hasil pemeriksaan mendapati, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Hutan Melintang, Perak itu dikendalikan enam Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Myanmar berusia antara 35 hingga 50 tahun yang didapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri serta permit bekerja.

    “Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah beliau, hasil pemeriksaan ke atas bot nelayan asing Indonesia pula mendapati, bot terbabit berpangkalan di Tanjung Balai, Indonesia dan dikendalikan oleh lima kru warga negara itu berumur antara 13 hingga 30 tahun.

    Jelasnya, kesemua mereka juga gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia.

    Bot nelayan tempatan itu dikendalikan enam PATI warga Myanmar berusia antara 35 hingga 50 tahun yang didapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri serta permit bekerja

    “Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya.

    Tambah beliau, kedua-dua bot serta kesemua kru itu ditahan termasuk hasil laut dibawa di Jeti Limbongan Batu Maung untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.

    Dalam pada itu ujarnya, Maritim Malaysia menegaskan kepada semua terutama komuniti nelayan tempatan termasuk pemilik bot agar mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak akan berkompromi dengan mereka yang sengaja melanggar undang-undang Persekutuan sedia ada serta memastikan perairan negara sentiasa terkawal dari isu pencerobohan bot nelayan asing.
     
    “Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999,” katanya.