Category: Jenayah

  • Dua kakitangan SUK Pahang ditahan ‘jual’ pingat kebesaran

    Dua kakitangan SUK Pahang ditahan ‘jual’ pingat kebesaran

    DUA kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang ditahan dipercayai menyalahgunakan nombor pengenalan pekerjaan bagi memasukkan senarai nama individu yang ditawarkan gelaran ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’ secara tidak sah.

    Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, suspek yang berusia 36 tahun dan 30 tahun itu bekerja sebagai pembantu operasi dan pembantu tadbir di pejabat yang sama.

    “Kedua-dua suspek didakwa mengakses laman Sistem Pengurusan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang bagi tujuan mendaftar nama-nama individu yang tidak sah sebagai penerima pingat.

    “Siasatan lanjut mendapati bahawa kedua-dua subjek ini telah menyalahgunakan nombor pengenalan atau ID Number mereka yang dibekalkan untuk memasukkan akses ke dalam laman Sistem Pengurusan Darjah Kebesaran Pingat Negeri Pahang dan membuat pengubahsuaian tanpa kuasa kandungan laman sistem itu. Ini bermakna, (ubah suai dilakukan) tanpa apa-apa kuasa daripada pihak atasan,” jelas Ramli.

    Perkara tersebut terbongkar selepas seorang kakitangan dari pejabat yang sama menerima panggilan telefon pada 12 Oktober lalu daripada pihak Bahagian Istiadat, Pejabat Perdana Menteri bagi mengesahkan butiran seorang individu yang ingin memasukkan namanya ke dalam sistem rekod pingat dan darjah kebesaran.

    Hasil semakan mendapati berlaku pertindihan rekod apabila nama individu tersebut tiada dalam senarai induk di Pejabat Bahagian Istiadat dan Pengurusan Majlis Rasmi SUK Pahang.

    Tambah beliau, hasil semakan mendapati terdapat 29 nama individu dan butiran peribadi individu telah dimasukkan ke dalam sistem tersebut bagi tujuan menerima Darjah Kebesaran Negeri Pahang membawa gelaran Datuk dan Datuk Seri.

    Menurutnya lagi, bayaran sekitar RM80,000 hingga RM150,000 ditetapkan bagi individu yang ingin mendapatkan gelaran terbabit.

    Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 (akta 568) manakala kedua-dua suspek dituduh di bawah Seksyen 5(1) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5(4) akta yang sama.

    Kedua-dua mereka akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan esok lapor Astro Awani.

  • ‘Mangsa dipukul, dicucuh objek panas seluruh badan’

    ‘Mangsa dipukul, dicucuh objek panas seluruh badan’

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KANAK-KANAK lelaki berusia empat tahun yang maut akibat didera mengalami kecederaan di seluruh badan dipercayai akibat dipukul termasuk dicucuh dengan objek panas.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, susulan itu pihaknya mengesahkan berlaku penderaan ke atas mangsa sebelum meninggal dunia ketika menerima di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru semalam.

    “Mangsa mengalami kecederaan serius di seluruh badan dari kepala hingga kaki selain terdapat kesan kecederaan lama dan baru,” katanya ditemui pemberita di HSI, hari ini.

    Kamarul Zaman mengulas insiden kanak-kanak terbabit yang meninggal dunia akibat didera kakak kandungnya, abang iparnya dan rakan-rakan-rakan pasangan tersebut di sebuah rumah di Senggarang, Batu Pahat, Jumaat lalu.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil siasatan awal, mangsa yang merupakan anak bongsu daripada 11 beradik itu dijaga kakak kandungnya, 19, dan sudah berkahwin dengan lelaki berusia 37 tahun selepas ibu bapa mereka masuk penjara.

    Katanya, polis turut merampas barang yang disyaki digunakan untuk mendera mangsa antaranya antaranya batang besi 29 inci, penyangkut baju, jaring penutup kipas serta cadar dan sarung bantal.

    Warta Rakyat sebelum ini melaporkan kanak-kanak malang itu yang dirawat di HSI sejak Jumaat lalu meninggal dunia pada pukul 6.40 petang semalam.

    Pada awalnya kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, namun polis mengklasifikasikan semula kes akibat kematian mangsa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Menurut Kamarul Zaman, berikutan itu Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat menahan lima individu berusia 15 hingga 37 tahun di sekitar Senggarang antara pukul 12 tengah hari sehingga 9.45 malam pada Sabtu lalu.

    Katanya, kelima-lima individu berkenaan ditahan reman selama tujuh hari bermula 25 hingga 31 Disember ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    Mereka yang ditahan melibatkan dua lelaki dan tiga wanita termasuk kakak kandung kanak-kanak berkenaan bersama suaminya.

  • Abang pukul adik hanya kerana tersalah tukar siaran TV

    Abang pukul adik hanya kerana tersalah tukar siaran TV

    SEORANG abang tergamak memukul adik lelakinya hingga cedera hanya kerana mangsa tersalah menukar siaran televisyen dalam kejadian di sebuah rumah di Pangsapuri Intan, Taman Bukit Permai di Ampang, semalam.

    Malah, suspek turut menampar muka adiknya sebelum mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan jenayah terhadap adiknya.

    Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, kejadian berlaku kira-kira pukul 4 petang ketika dua beradik itu sedang menonton televisyen bersama.

    Katanya, abang suspek kemudian menyuruh mangsa menukar siaran televisyen tetapi dia tersalah menekan siaran dan perkara itu menyebabkan abangnya berang.

    “Suspek kemudian menumbuk dada, rusuk kanan dan mulut mangsa sehingga cedera. Suspek turut menampar muka mangsa selain membuat ugutan jenayah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Berikutan itu, mangsa yang berusia 23 tahun dan bekerja sebagai penjual burger dimasukkan ke hospital untuk rawatan sebelum satu laporan berkaitan kejadian itu dibuat kepada pihak polis.

    “Suspek, seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun ditahan sepasukan anggota polis di kediamannya, di Pangsapuri Intan, kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi untuk siasatan.

    “Semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau termasuk satu kes curi kenderaan pada 2014 dan siasatan mendapati suspek kerap bergaduh dengan adiknya kerana sikapnya yang panas baran,” katanya lapor Berita Harian.

    Tambah Mohamad Farouk, suspek kini direman empat hari hingga 30 Disember ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (mendatangkan ketakutan) dan Seksyen 323 kanun sama (sengaja mendatangkan kecederaan).

  • Polis tahan dua lelaki terbabit kejadian samun kedai serbaneka

    Polis tahan dua lelaki terbabit kejadian samun kedai serbaneka

    TIDAK sampai 24 jam selepas menerima laporan mengenai kes samun bersenjatakan parang di sebuah kedai serbaneka di Sungai Sumun, Bagan Datuk, kelmarin, polis berjaya menahan dua lelaki yang disyaki terbabit di sebuah taman perumahan di Teluk Intan awal pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata kedua-dua suspek yang berusia lingkungan 30-an itu ditahan pada pukul 1 pagi semalam selepas polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia 28 tahun yang bekerja di kedai serbaneka berkenaan.

    “Suspek cuba menyamun wang tunai namun gagal, dan hanya sempat melarikan sebuah telefon bimbit milik wanita berkenaan yang bernilai RM500,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kedua-dua suspek direman selama lima hari bagi membantu siasatan.

    “Kes ini berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang daripada tempoh 24 jam dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan cadangan pertuduhan,” katanya.

  • Lelaki ditahan tularkan semula mesej provokasi kaum

    Lelaki ditahan tularkan semula mesej provokasi kaum

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesan penularan semula satu imej tangkap layar komen berbaur perkauman melalui pelbagai platform media sosial termasuk Facebook dan WhatsApp, semalam.

    Menurut Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Saaduddin, komen provokasi tersebut dimuat naik pada Ogos 2019 oleh pemilik akaun Facebook ‘Nazrul Nazari’ sebelum ia ditularkan semula.

    “Ekoran daripada itu, seorang lelaki berusia 33 tahun ditahan pada April lalu dan didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan atas kesalahan memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam.

    “Dia juga didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Noorsiah dalam pada itu menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan semula komen itu secara provokasi kerana perbuatan terbabit boleh menggugat ketenteraman serta keharmonian kaum di negara ini.

    “Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu sengaja mendatangkan khianat awam melalui isu yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum,” katanya.

  • 11 nelayan asing ditahan ceroboh perairan negara

    11 nelayan asing ditahan ceroboh perairan negara

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan seramai 11 warga asing bersama sebuah bot nelayan tempatan dan sebuah bot nelayan Indonesia dalam operasi berasingan di perairan negeri ini pada 22 dan 24 Disember lalu.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, kesemua warga asing itu didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri serta permit bekerja yang sah.

    Menurut beliau, dalam operasi pertama, kapal ronda Maritim Malaysia menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C di kedudukan 25 kilometer dari barat Pulau Kendi pukul 4.17 petang, 22 Disember lalu.

    Jelasnya, hasil pemeriksaan mendapati, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Pulau Pangkor, Perak itu dikendalikan lima nelayan warga asing iaitu tiga warga Myanmar dan dua warga Thailand berumur antara 19 hingga 52 tahun.

    “Mereka didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta permit bekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, dalam operasi berasingan, sebuah bot nelayan Indonesia ditahan pada kedudukan 96 kilometer dari Pulau Kendi pukul 12.10 tengah hari, 24 Disember lalu dalam rondaan Op Tanjung.

    Jelasnya, hasil pemeriksaan ke atas bot nelayan asing yang berpangkalan di Belawan, Indonesia itu mendapati ia dikendalikan enam kru warga Indonesia berumur antara 24 hingga 42 tahun.

    “Kesemua mereka juga didapati gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia,” katanya.

    Tambahnya, kesemua nelayan warga asing itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu menangkap ikan di perairan negara tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

    Ujar beliau, kedua-dua bot serta kesemua kru ditahan dan dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

    Dalam pada itu, beliau menegaskan, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dan mengingatkan semua komuniti nelayan tempatan termasuk pemilik bot mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan perairan negara sentiasa terkawal dari isu pencerobohan bot nelayan asing.

    “Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya.

  • Kaji tambah baik Sosma, bukan hapus- bekas KPN

    Kaji tambah baik Sosma, bukan hapus- bekas KPN

    BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan mahu kerajaan mengkaji untuk menambah baik peruntukan dalam Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma sedia ada dan bukan menghapuskan akta itu.

    “Sosma tak sama dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Kalau ISA, mereka ditahan 60 hari tanpa bicara mahkamah. Berbeza dengan Sosma yang memberi kuasa kepada pihak polis untuk menahan seseorang selama 28 hari bagi menjalankan siasatan,” katanya.

    Menurut beliau, individu tersebut akan dibebaskan kemudian sekiranya tiada pertuduhan mahkamah daripada polis.

    “Jadi, saya menganggap Sosma perlu dikekalkan, ‘review’ (semakan) untuk baiki semula, bukan untuk hapuskan,” katanya selepas Majlis Perasmian Pusat Pengumpulan Bantuan Banjir di Dewan Al-Mukhlisin, Alam Damai, lapor Free Malaysia Today (FMT), hari ini.

  • Pencuri kasut, selipar di Batu Pahat tumpas

    Pencuri kasut, selipar di Batu Pahat tumpas

    POLIS Daerah Batu Pahat, berjaya merampas kasut serta selipar pelbagai jenama bernilai RM7,000 yang dipercayai merupakan barangan curi, susulan penahanan seorang lelaki di Sri Gading, Batu Pahat, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan sekitar 4 pagi, dengan bantuan tiga pengawal keselamatan di kawasan perumahan berkenaan.

    “Ketika ditahan, polis turut merampas 12 pasang kasut di dalam kenderaan dipandu lelaki tersebut yang turut dipercayai merupakan kenderaan yang baru dicurinya.

    “Sejak awal tahun, IPD Batu Pahat telah menerima 21 laporan kehilangan kasut yang berlaku di sekitar daerah ini, khususnya di kawasan Yong Peng yang menimbulkan kegelisahan masyarakat.

    “IPD Batu Pahat telah meningkatkan rondaan taman-taman perumahan serta meminta penduduk segera menghubungi pihak polis jika ada yang mencurigakan,” katanya hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beliau menjelaskan, tindakan susulan yang dibuat telah berjaya merampas 125 pasang kasut dan 24 selipar pelbagai jenama di rumah suspek di Jalan Labis, Yong Peng.

    “Siasatan awal juga mendapati saspek menjual kasut dan selipar yang dicurinya di pasar tani di kawasan Parit Yaani, Batu Pahat,” kata beliau.

    Katanya, siasatan mendapati lelaki berkenaan merupakan suspek yang dikehendaki di IPD Alor Gajah atas kesalahan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 dan mempunyai lima rekod jenayah.

    Bagaimanapun, ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki berkenaan didapati negatif dadah, katanya.

    Ismail memberitahu, suspek telah direman selama empat hari sehingga Rabu dan kes disiasat bawah Seksyen 457 serta 379 Kanun Keseksaan.

    Sementara itu, pihaknya percaya penangkapan suspek telah berjaya membantu menyelesaikan kes-kes kecurian kasut dan selipar di daerah Batu Pahat.

  • Tahfiz diceroboh, pengetua cedera dipukul

    Tahfiz diceroboh, pengetua cedera dipukul

    SEORANG pendakwah terkenal yang juga pengetua sebuah maahad tahfiz di Kampung Sri Kinta, Ipoh mengalami kecederaan selepas dipukul dalam kejadian pada petang kelmarin.

    Difahamkan, kejadian tersebut berlaku selepas mangsa bertemu dengan waris seorang remaja yang dipercayai telah menceroboh masuk ke dalam maahad tahfiz berkenaan.

    Pengerusi Persatuan Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Perak (Pematap), Datuk Mohd. Azlan Suhaimi berkata, pihaknya memandang serius kes pencerobohan yang berlaku serta kes pukul sehingga mendatangkan kecederaan.

    “Kami difahamkan satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian tersebut malah laporan perubatan juga telah diberikan pihak hospital mengenai kecederaan dialami oleh mangsa,” katanya dalam satu kenyataan yang di Facebook Pematap semalam.

    Pihaknya menerima makluman mengenai tahfiz tersebut yang telah diceroboh oleh beberapa orang luar untuk bermain bola pada petang kelmarin dan difahamkan pencerobohan tersebut bukanlah kali pertama.

    Susulan tersebut katanya, mangsa telah ke rumah salah seorang yang terlibat untuk menasihati dan memberi teguran sebelum dimaki hamun, diserang, ditumbuk, dihalau, ditolak serta dipukul sehingga mendatangkan kecederaan.

    Dalam pada itu, Mohd. Azlan berharap pihak berkuasa bertindak sewajarnya kerana ia membahayakan pihak maahad tahfiz berkenaan.

    Katanya, tindakan tegas perlu dilaksanakan supaya perkara seumpama itu tidak lagi berulang pada masa akan datang lapor Sinar Harian.

  • Kanak-kanak empat tahun mati dipercayai didera

    Kanak-kanak empat tahun mati dipercayai didera

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia, semalam selepas dipercayai menjadi mangsa dera di Senggarang, Batu Pahat, Jumaat lalu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menerima satu laporan polis daripada seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun yang memaklumkan mangsa pengsan di rumahnya dan dibawa ke klinik untuk rawatan pada pukul 6.45 petang.

    “Bertindak atas maklumat, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat telah menahan lima warga tempatan, dua lelaki dan tiga wanita berusia 15 hingga 37 tahun antara jam 12 tengah hari hingga 9.45 malam Sabtu.

    “Kita percaya mereka terbabit dalam kejadian mendera mangsa sehingga mati.

    “Hasil siasatan awal, mangsa ini dijaga oleh kakak kandungnya selepas ibu bapa mereka dimasukkan ke dalam penjara akibat kesalahan dadah, namun kemudian mangsa diserahkan kepada rakan kakaknya untuk dijaga,” katanya dalam kenyataan media, tengah malam tadi.

    Beliau berkata, polis turut merampas barang yang disyaki digunakan untuk mendera mangsa antaranya pengecas telefon bimbit, sarung bantal, cadar, batang besi berukuran 29 inci, penyangkut baju, jaring penutup kipas dan batang besi penongkat motosikal.

    Katanya, mangsa yang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, sejak Jumaat lalu disahkan meninggal dunia petang semalam.

    “Pada awalnya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, namun pihak polis mengklasifikasikan semula kes ini akibat kematian mangsa iaitu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya lapor BH Online.

    Kamarul Zaman berkata, semua suspek iaitu kakak kandung mangsa, rakan kakaknya dan pengadu kini direman tujuh hari bermula kelmarin sehingga 31 Disember ini.