Category: Jenayah

  • Penganggur ditemukan mati di depan rumah dengan kesan cedera

    Penganggur ditemukan mati di depan rumah dengan kesan cedera

    SEORANG penganggur yang dalam status orang pengawasan polis, ditemukan mati di hadapan rumahnya di Taman Klebang Putra, Chemor di Ipoh malam tadi. 

    Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata anggota Balai Polis Chemor bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira 11.30 malam dan mendapati satu mayat lelaki di luar rumah teres satu tingkat yang didiami mangsa dan isterinya.

    “Siasatan awal mendapati mangsa yang berumur 37 tahun merupakan seorang penganggur yang telah melarikan diri daripada pengawasan polis Parit Buntar.

    “Temu bual bersama adik ipar lelaki mangsa yang baru sahaja menumpang di rumahnya selama seminggu memaklumkan bahawa pada masa kejadian, beliau terdengar ada orang mengetuk pintu rumah dan mengatakan lelaki itu kena langgar. 

    “Saksi membuka pintu dan ternampak sebuah motosikal yang tidak dikenal pasti model dan nombor pendaftaran telah melarikan diri dari tempat kejadian. Kemudian saksi ternampak mangsa berada di hadapan rumah dalam keadaan terlantar dan tercungap-cungap. Mangsa juga tidak mengatakan apa-apa kepadanya (sebelum meninggal dunia),” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau berkata pemeriksaan lanjut oleh pasukan siasatan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun mendapati terdapat kesan kecederaan pada telinga, tangan, kaki dan badan mangsa.

    “Ada kemungkinan si mati merupakan mangsa kemalangan. Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut ke atas si mati diperlukan untuk menentukan punca kematian,” kata Mohd Yusri dan menambah bedah siasat akan dijalankan di hospital itu hari ini. – BERNAMA

  • Padah gurauan ada bom di lapangan terbang, wanita Indonesia ditahan polis

    Padah gurauan ada bom di lapangan terbang, wanita Indonesia ditahan polis

    SEORANG wanita Indonesia menerima padah selepas bergurau keterlaluan dengan menyebut ada bom di dalam begnya ketika pemeriksaan beg dijalankan di kaunter daftar masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

    Wanita berusia 33 tahun itu ditahan polis dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang semalam ketika dia mahu menaiki penerbangan ke Medan, Indonesia.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, wanita berkenaan yang bekerja sebagai operator kilang di Ipoh, Perak menyebut dengan lantang ada bom di dalam begnya sehingga didengari kakitangan di kaunter.

    ”Perkataan ada bom itu turut didengari orang lain yang sedang menunggu untuk mendaftar masuk penerbangan di lapangan terbang tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, semasa kejadian wanita itu bersama dua rakannya dijadualkan menaiki penerbangan ke Medan, Indonesia pukul 5.30 petang.

    “Wanita itu kini direman selama dua hari sehingga esok dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.

  • Mayat lelaki ditemukan dengan tangan, kaki terikat

    Mayat lelaki ditemukan dengan tangan, kaki terikat

    SATU mayat lelaki warga tempatan ditemukan dalam keadaan tangan dan kakinya berikat di tepi Jalan Bestari Jaya – Rawang menghala ke Bestari Jaya, dekat Gombak, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata mayat yang identitinya belum dikenal pasti itu ditemukan seorang lelaki tempatan yang kemudian menghubungi Balai Polis Rawang pada 11.40 pagi. 

    Beliau berkata bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak termasuk pasukan forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan.

    “Hasil siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berumur lingkungan 40-an. Bagaimanapun, tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai pada mayat berkenaan.

    Pemeriksaan pada tubuh si mati yang tangan dan kakinya diikat dengan tali nilon menemukan kesan kecederaan dan luka yang parah di bahagian atas kepala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Zainal Mohamed berkata mayat ditemukan berpakaian lengkap dengan  baju-t berwarna “maroon” dan berseluar pendek berwarna hitam jenama H&G.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh dan suspek yang terlibat serta motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya sambil menambah mayat dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

    Beliau berkata orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian terbabit diminta menghubungi pegawai penyiasat ASP R Kolanthaivelu di talian 03-61262222 atau 019-2579232. – BERNAMA

  • Geng Harrier Putih aktif curi kenderaan lumpuh

    Geng Harrier Putih aktif curi kenderaan lumpuh

    TAKTIK empat lelaki yang menjadi penjual buah dengan bergerak sekitar Lembah Klang untuk memantau keadaan sebelum mencuri kenderaan akhirnya terbongkar, selepas ditahan polis dalam dua serbuan berasingan di Seri Kembangan dan Setapak, Kuala Lumpur pada Sabtu lepas. 

    Ketua Polis Daerah Serdang ACP A. Anbalagan berkata keempat-empat suspek berusia antara 41 dan 59 tahun, yang dikenali sebagai Geng Harrier Putih itu ditahan selepas pihaknya menerima maklumat kejadian curi kenderaan di tepi jalan Bandar Kinrara 3/1, Puchong, Selangor, pada hari sama tangkapan dibuat. 

    “Siasatan mendapati kesemua suspek berselindung sebalik pekerjaan mereka iaitu menjual buah menggunakan kenderaan seperti kereta dan van sekitar Lembah Klang untuk mencuri kenderaan yang diparkir di kawasan stesen Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan perumahan. 

    Anggota polis menunjukkan peralatan untuk mencuri kenderaan yang berjaya dirampas selepas menahan suspek yang terlibat dalam kegiatan curi kenderaan yang dikenali sebagai ‘Geng Harrier Putih’ ketika Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Geng ini akan menggunakan kereta jenis Harrier berwarna putih milik seorang daripada suspek untuk melakukan aktiviti curi kenderaan pada waktu pagi dengan menyasarkan pelbagai jenis kereta mengikut permintaan pembeli yang dipercayai dalam kalangan pemilik bengkel kenderaan di luar kawasan Lembah Klang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini, hari ini.

    Siasatan lanjut mendapati setiap suspek memperoleh RM1,500 hingga RM2,000 bagi setiap kereta yang berjaya dicuri.

    Anbalagan berkata hasil semakan kesemua suspek dipercayai terbabit dalam 15 kes curi kenderaan yang direkodkan pada tahun ini di Serdang, Kajang, Brickfields, Cheras dan Subang Jaya dan tiga daripadanya mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau melibatkan kes curi kenderaan dan dadah.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan (kiri) menunjukkan sebahagian kenderaan yang berjaya dirampas selepas menahan suspek yang terlibat dalam kegiatan curi kenderaan yang dikenali sebagai ‘Geng Harrier Putih’ ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Polis kini sedang mengesan seorang lagi lelaki yang disyaki dalang dalam kes tersebut, dipercayai turut mempunyai kaitan keluarga dengan seorang daripada suspek yang ditahan,” katanya.

    Kesemua mereka direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. 

    Sementara itu dalam kes berasingan, polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita warga asing dalam satu serbuan di sebuah pangsapuri di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan dekat sini pada Rabu lepas, selepas disyaki memiliki 33.56 gram dadah jenis syabu dan sepucuk pistol jenis revolver. 

    Katanya, suspek yang berusia lingkungan 27 hingga 60 tahun itu dipercayai mengedar dadah sekitar Serdang dan membeli pistol tersebut daripada seorang lelaki dipercayai dari negara jiran dengan harga RM800 pada 2019 untuk melindungi diri. 

    Sepucuk pistol yang berjaya dirampas selepas polis menahan empat suspek bersama peluru dan dadah ketika Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Semakan mendapati wanita warga asing itu merupakan teman wanita seorang daripada suspek, tidak memiliki pasport dan telah berada di dalam negara ini sejak tiga tahun lepas. 

    “Tiga lelaki yang ditahan turut mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah dan kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine serta amphetamine hasil saringan ujian air kencing,” katanya. 

    Semua suspek direman tujuh hari sehingga 4 Jan 2023 untuk siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 dan Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA

  • Empat ditahan jual dadah, miliki senjata api

    Empat ditahan jual dadah, miliki senjata api

    POLIS menahan empat penagih dadah yang menjual bahan terlarang itu secara kecil-kecilan dalam satu serbuan di sebuah pangsapuri di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan di Serdang, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, ketika serbuan, polis menemui dadah dan sepucuk pistol revolver jenis Smith & Wesson bersama tujuh butir peluru hidup.

    “Pistol dan peluru ditemui dalam poket seluar suspek pertama yang juga dalang kumpulan berkenaan manakala dadah seberat 33.55 gram (g) ditemui di atas meja biliknya.

    “Modus operandi yang dijalankan suspek adalah menjalankan perniagaan dadah di sekitar kawasan daerah Serdang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang hari ini.

    Anbalagan berkata, suspek pertama seorang lelaki berusia 42 tahun yang berasal dari Selangor mempunyai pelbagai rekod kesalahan narkotik dan merupakan individu dikehendaki di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    Katanya, suspek berkenaan mengaku membeli pistol dan peluru daripada seorang lelaki dipercayai dari negara jiran dengan harga RM800 pada 2019.

    Suspek juga katanya, memaklumkan pistol berkenaan dibeli untuk melindungi dirinya.

    “Siasatan lanjut dan ujian balistik sedang dijalankan bagi mengenal pasti sekiranya senjata api berkenaan terbabit dalam sebarang kes jenayah lain sebelum ini,” jelasnya.

    Beliau berkata, semakan terhadap suspek kedua dan ketiga yang merupakan lelaki tempatan berusia 60 dan 32 tahun mendapati kedua-duanya mempunyai beberapa rekod kesalahan dadah.

    “Suspek keempat seorang wanita warga China berusia 27 tahun yang juga teman wanita suspek pertama didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

    “Kesemua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 dan Seksyen 309A (2) ADB 1952,” ujar beliau, lapor Sinar Harian.

  • Polis tunggu laporan forensik bahan letupan

    Polis tunggu laporan forensik bahan letupan

    POLIS sedang menunggu laporan forensik bagi mengenal pasti isi kandungan bahan letupan yang digunakan hingga menyebabkan seorang pelayan sebuah restoran di Pandan Indah, Ampang dekat sini, maut malam tadi.

    Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S. Sasikala Devi berkata setakat ini siasatan kes itu sedang dijalankan merangkumi semua aspek.

    “Kami masih mengesan suspek yang terlibat,” katanya kepada media selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Selangor di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

    Mengulas dakwaan sebuah hantaran yang tular di media sosial, mendakwa bahan letupan itu merupakan buatan sendiri, Sasikala berkata perkara itu juga sedang disiasat. 

    Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun maut selepas bungkusan yang ditinggalkan di atas bonet keretanya meletup malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata pihaknya menerima panggilan orang awam memaklumkan ada bunyi letupan di tempat kejadian yang berlaku pada 8.55 malam. – BERNAMA

  • Lelaki rogol anak tiri sejak tahun lalu ditahan

    Lelaki rogol anak tiri sejak tahun lalu ditahan

    POLIS menahan seorang lelaki selepas disyaki merogol anak tirinya yang berusia 13 tahun di Batu Kikir, Jempol semalam.

    Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, suspek berusia 34 tahun ditahan pada pukul 5 petang semalam.

    Menurutnya, polis menerima laporan mangsa yang mendakwa dirogol suspek pada pukul 10 malam 10 Disember lalu.

    “Ketika itu mangsa berada di rumah di Batu Kikir dan sedang tidur di ruang tamu sebelum dirogol suspek.

    “Selepas kejadian itu mangsa menceritakan kejadian kepada kakaknya sebelum membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian.

    Chang Hook berkata, mangsa turut mendakwa mula dirogol suspek sejak tahun 2021 dan kali terakhir pada 10 Disember lalu.

    Katanya, suspek direman selama tujuh hari sehingga 5 Januari depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan.

    “Mangsa ketika ini diletakkan dibawah jagaan neneknya sementara pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat ( JKM ) mendapat kelulusan bagi permohonan perlindungan interim (IPO) terhadapnya.

  • SPRM ‘lawat’ Kementerian Komunikasi isu jual Menara KL

    SPRM ‘lawat’ Kementerian Komunikasi isu jual Menara KL

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berkunjung ke pejabat Kementerian Komunikasi dan Digital di Putrajaya.

    Lawatan itu difahamkan susulan tindakan Telekom Malaysia (TM) melepaskan kawalan Menara Kuala Lumpur, lokasi tumpuan pelancong yang menguntungkan, kepada sebuah syarikat yang kurang dikenali.

    Malaysiakini yang memetik sumber, SPRM mendapatkan dokumen berkaitan pemindahan saham dalam Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) kepada Hydroshoppe Sdn Bhd.

    “Beberapa pegawai kementerian juga ditemu bual,” kata sumber yang enggan identitinya didedahkan.

    Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas kementerian dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkaitan perkara itu.

    SPRM semalam memulakan siasatan terhadap isu penjualan 10 juta unit saham TM dalam Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, syarikat yang menguruskan Menara KL.

    SPRM menyiasat jika wujud unsur rasuah dalam penjualan 100 peratus sahamnya itu pada Oktober lalu.

    Minggu ini, isu penjualan saham itu didedahkan dan dipertikai di media sosial kerana syarikat itu sangat menguntungkan dan pembelinya yang tidak dikenali.

    TM memberi alasan mahu menumpukan kepada perniagaan teras iaitu perkhidmatan telekomunikasi.

    Menteri bertanggungjawab sebelum ini, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau tiada kena mengena dengan pemindahan saham itu kerana syarikat tersenarai awam dan tidak memerlukan kebenaran menteri untuk berbuat demikian.

  • 50 lelaki, wanita Islam ditahan minum arak di kelab malam

    50 lelaki, wanita Islam ditahan minum arak di kelab malam

    SERAMAI 50 individu beragama islam ditahan kerana minum minuman keras dalam serbuan di sembilan kelab malam di sekitar Kuala Lumpur malam tadi.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), operasi itu dijalankan dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Jabatan Pendaftaran Negara(JPN), Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) serta Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

    Pemeriksaan terhadap warga tempatan serta warga asing di sembilan premis berkenaan membawa kepada penahanan 26 lelaki dan 24 wanita oleh pihak Jawi

    “Operasi bersepadu dijalankan di sekitar Taman Shamelin, Taman Maluri, Jalan Metro Pudu, Jalan Imbi dan Jalan Bukit Bintang di Kuala Lumpur bermula pukul 11.00 malam tadi dan berakhir pada pukul 3.30 pagi tadi.

    “Hasil pemeriksaan terhadap pengunjung yang terdiri daripada warga tempatan serta warga asing di sembilan premis berkenaan membawa kepada penahanan 26 lelaki dan 24 wanita oleh pihak Jawi,” menurut kenyataan berkenaan, hari ini.

    DBKL memberitahu, kesemua individu berkenaan ditahan berhubung kesalahan berkaitan minum arak dan diberikan Surat Perintah Hadir (SPH) ke Bahagian Penguatkuasaan Jawi mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan.

    Seorang individu ditahan selepas ujian urin didapati positif. Foto Facebook DBKL

    Sementara itu, seorang individu ditahan AADK di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas ujian urin didapati positif.

    “DBKL turut membuat tindakan penutupan (sealed) serta merta terhadap empat (4) buah premis di bawah Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Seksyen 17, Akta Hiburan 1992 termasuk membuka 3 kertas siasatan di bawah Seksyen 4(1)(a) dan 4(1)(b).

    “Sebanyak tiga notis kompaun dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred Perniagaan Dan Perindustrian (WPKL) 2016 (melantik pembantu tanpa kebenaran) dan UUK Iklan (WPKL) 1982 (pamer iklan tanpa kebenaran),” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Pegawai perubatan ditahan cabul pesakit wanita

    Pegawai perubatan ditahan cabul pesakit wanita

    POLIS menahan seorang pegawai perubatan kerana mencabul seorang wanita ketika menjalani pemeriksaan di sebuah pusat perubatan di Kuching, semalam.

    Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa, polis menerima laporan yang dibuat wanita tempatan berusia 34 tahun berhubung kejadian pukul 6.09 petang.

    “Kejadian dipercayai berlaku jam 11.30 pagi, suspek mengambil kesempatan mencabul kehormatan mangsa ketika menjalankan prosedur pemeriksaan secara bersendirian dalam bilik rawatan.

    “Bertindak atas maklumat, anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menahan lelaki warga tempatan berusia 28 tahun yang juga pegawai perubatan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

    Jelasnya, jika disabitkan kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman terbabit.

    “Polis menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian bagi memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan,” katanya lapor Harian Metro.