Category: Jenayah

  • Suspek tikam polis ketika operasi dadah ditahan

    Suspek tikam polis ketika operasi dadah ditahan

    SEORANG suspek yang melarikan diri selepas dipercayai menikam anggota polis dalam kejadian 10 Julai lalu ditahan kelmarin.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, individu berusia 30-an itu ditahan kira-kira 1 tengah hari di sekitar Johor Bahru.

    “Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif methamphetamine,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini, menurut Berita Harian.

    Beliau berkata, suspek direman hingga esok dan polis akan memohon perintah sambung reman bagi meneruskan siasatan.

    Terdahulu dilaporkan seorang anggota polis parah selepas ditikam seorang lelaki dalam operasi membanteras dadah di sekitar Johor Bahru.

    Konstabel berusia 22 tahun itu mengalami luka dalaman di rusuk kiri akibat ditikam pisau dalam kejadian ketika Ops Tapis Khas.

    Mangsa ditikam apabila berlaku pergelutan ketika pegawai penguat kuasa dan polis melakukan pemeriksaan terhadap tiga individu. Suspek kemudian melarikan diri.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas anggota polis.

  • SPRM tahan tiga individu termasuk penguat kuasa seludup warga asing

    SPRM tahan tiga individu termasuk penguat kuasa seludup warga asing

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan tiga individu termasuk anggota penguat kuasa kerana terlibat dalam kegiatan penyeludupan warga asing di negeri itu.

    Ketiga-tiga suspek berusia antara 35 hingga 50-an itu ditahan selepas diminta hadir ke Pejabat SPRM Sabah pada pukul 6 petang semalam.

    Menurut sumber, anggota penguat kuasa terbabit disyaki menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM12,000.

    Suspek yang bertugas di Tawau dipercayai bersubahat dengan dua lelaki sebagai orang tengah bagi melepaskan warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

    Difahamkan, warga Indonesia terbabit dipercayai keluar dari Tawau untuk ke Kuala Lumpur tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Tawau.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

    “Semua suspek akan ditahan selama 24 jam bagi tujuan siasatan lanjut. Kes akan disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” katanya lapor Sinar Harian.

    Sebelum itu, tangkapan terbabit dilakukan dengan kerjasama dengan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

  • Ketua Pemuda UMNO nafi rasuah pelajar

    Ketua Pemuda UMNO nafi rasuah pelajar

    KETUA Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh menafikan dakwaan kononnya beliau telah menyogok pelajar dengan memberikan wang ketika menyertai program bersama pelajar Tingkatan Enam di Hulu Terengganu, Rabu lalu.

    Katanya, wang dalam sampul tertera gambar dan namanya itu diberikan sebagai hadiah kepada peserta program yang mengakui telah mengikut akaun TikTok miliknya.

    “Saya buka TikTok, saya tengok ada empat orang follow (ikuti) saya, jadi saya bagi empat yang terawal follow saya tu dengan niat sedekah kepada mereka.

    “Bila nak bagi (duit) takkanlah nak hulur macam tu je. Mestilah ada sampul dan kebetulan ketika itu hanya sampul itu sahaja saya ada dan sampul itu jugalah yang saya guna untuk bagi sumbangan kepada semua orang,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Terdahulu Dr. Muhamad Akmal mengadakan pertemuan bersama pelajar pada Majlis Penutup Program Motivasi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Terengganu dan Icon Talk di Kuala Berang, Hulu Terengganu.

    Beliau berkata, apa yang dilakukan itu tidak mempunyai sebarang niat untuk meraih undi apatah lagi program yang dijalankan itu adalah program anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dihadiri pelajar.

    Bagaimanapun katanya, apa yang berlaku itu akan dijadikan sebagai iktibar kerana menyebabkan ia ditularkan di media sosial.

    “Kalau rasuah tu yang ada ‘sumpah’ semua. Itu rasuah, sumpah kena undi parti A atau parti B,” katanya.

    Rabu lalu tular di media sosial dakwaan mengatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu telah mengagihkan wang kepada peserta program bagi tujuan meraih sokongan dan undi kepada BN pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos depan.

  • HTAR siasat kematian kanak-kanak 10 tahun

    HTAR siasat kematian kanak-kanak 10 tahun

    HOSPITAL Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang akan menjalankan siasatan berhubung kematian seorang kanak-kanak berusia 10 tahun ketika mendapatkan rawatan di hospital berkenaan, baru-baru ini.

    Pengarahnya Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata pihaknya merujuk kepada video yang tular menerusi aplikasi TikTok berkaitan perkara tersebut.

    Beliau berkata kanak-kanak itu hadir ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR bersama bapanya pada 9 Julai lepas.

    “Keadaan pesakit (kanak-kanak) semasa di HTAR dalam keadaan lemah. Pesakit telah diberikan rawatan yang sewajarnya oleh pakar perubatan kecemasan, namun, pesakit tidak dapat diselamatkan.

    “Punca kematian masih dalam siasatan Jabatan Perubatan Forensik HTAR,” katanya dalam kenyataan.

    Menurut Dr Zulkarnain, pihaknya bersimpati dengan perkara dilalui keluarga Allahyarham dan akan berhubung dengan pihak keluarga untuk perbincangan lebih lanjut mengenai kes itu.

  • SPRM tahan tujuh ahli sindiket kurangkan duti kereta mewah

    SPRM tahan tujuh ahli sindiket kurangkan duti kereta mewah

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tujuh individu kerana disyaki terlibat dalam sindiket mengurangkan duti kereta mewah secara tidak sah.

    Sumber memberitahu Sinar Harian berkata, perbuatan penyelewengan itu menyebabkan negara mengalami ketirisan cukai kastam sebanyak RM33 juta.

    “Semua suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 60-an telah ditahan di pejabat SPRM Kedah antara pukul 5 petang hingga 10.30 malam semalam ketika hadir memberi keterangan.

    “Suspek-suspek berkenaan yang merupakan ejen kastam dipercayai bersubahat bersama pemilik kereta.

    “Mereka yang terlibat mengemukakan dokumen atau maklumat palsu bagi tujuan mendapatkan pengurangan penilaian duti kastam, sedangkan kenderaan tersebut tidak layak menerimanya,” katanya hari ini.

    Susulan penahanan tersebut, Majistret Nurshahida Abdul Rahim telah membenarkan kesemua suspek direman selama empat hari.

    Penahanan bermula Jumaat sehingga 17 Julai, setelah SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Alor Setar pagi ini.

    Ekoran penahanan itu, sumber memaklumkan, Bahagian Operasi Khas SPRM turut membuat serbuan di beberapa premis perniagaan, pejabat agensi kerajaan serta kediaman di sekitar Lembah Klang, Kedah, Johor, Perak serta Sabah.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Tan Kang Sai ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

  • Polis rekod keterangan Guan Eng, Abdul Hadi isu 3R-KPN

    Polis rekod keterangan Guan Eng, Abdul Hadi isu 3R-KPN

    KETUA Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan polis sudah merekod keterangan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkaitan isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja).

    “Proses merekod keterangan dua ahli politik itu dibuat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

    “Keterangan Guan Eng dirakam di Pulau Pinang hari ini manakala Abdul Hadi pada semalam di pejabatnya di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

    “Kertas siasatan kedua-dua ahli politik ini sedang dilengkapkan sebelum dihantar ke pejabat Peguam Negara selewat-lewatnya Isnin ini,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Semalam, Razarudin dalam sidang media memberitahu pihaknya membuka 61 kertas siasatan berkaitan isu 3R sejak 27 Mac lalu.

    Kertas siasatan berkaitan isu 3R dibuka membabitkan ahli politik, bekas ahli politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

    Ahad lalu, polis mengesahkan menjalankan siasatan terhadap Abdul Hadi berkaitan kenyataan yang mendakwa DAP mahu mengekalkan pengertian Islam dalam Perlembagaan Persekutuan berdasarkan tafsiran penjajah yang menjunjung liberalisme dan kebebasan diamalkan negara Barat.

    Kenyataan tersebut dipercayai dilakukan melalui hantaran dalam Facebook Abdul Hadi dimuat naik pada 8 Julai lalu turut diulas serta diterbitkan oleh portal berita New Straits Times.

    Guan Eng pula disiasat kerana dakwaannya ‘gelombang hijau’ bakal musnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang.

  • Empat lelaki ditahan miliki 1,000 pil Yaba, air ketum

    Empat lelaki ditahan miliki 1,000 pil Yaba, air ketum

    POLIS menahan empat lelaki tempatan berumur antara 25 hingga 32 tahun dan merampas 1,000 biji pil Yaba berserta air ketum di sebuah tempat memproses ayam dekat Felda Chiku 1, Gua Musang, Selasa lalu.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata dalam serbuan pada kira-kira pukul 10.30 malam itu, polis turut menemukan 1,000 biji pil Yaba anggaran berat 100 gram dan lapan bungkus plastik dan sebotol plastik berisi air ketum dengan berat keseluruhan 2.7 liter.

    “Nilai keseluruhan barang rampasan dianggarkan berjumlah RM11,100 manakala ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Choon berkata kesemua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah itu direman tujuh hari bermula 12 Julai lepas.

    Sik berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. 

  • Dakwaan wanita jadi mangsa gangguan seksual disiasat

    Dakwaan wanita jadi mangsa gangguan seksual disiasat

    POLIS menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang wanita yang menerima gangguan secara seksual menerusi hantaran tular dimuat naik mangsa semalam.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenden M. Hussin Zolkifly berkata, siasatan mendapati laporan berkaitan kejadian tersebut telah dibuat mangsa pada 2018 lalu.

    Beliau berkata, siasatan dijalankan berkaitan dakwaan berkaitan mangsa yang diganggu secara seksual menerusi media sosial Instagram.

    “Mangsa memuat naik berkaitan kejadian yang dihadapinya itu menerusi media sosial,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Menurutnya, kes tersebut telah direklasifikasikan semula untuk satu siasatan lanjut dijalankan.

    “Kertas siasatan telah dibuka bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia (AKMM) 1998,” katanya lapor Sinar Harian.

    Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan menyebarkan apa-apa juga bahan di mana-mana platform bagi mengelakkan sebarang spekulasi sehingga menjejaskan siasatan pihak polis.

    Semalam, seorang wanita memuat naik hantaran menerusi laman sosial menyatakan dirinya menjadi mangsa gangguan seksual di Instagram.

  • Kes simbah asid: Warga emas menangis teresak-esak di mahkamah

    Kes simbah asid: Warga emas menangis teresak-esak di mahkamah

    SEORANG wanita menangis teresak-esak ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang hari ini berhubung kes menyimbah asid kepada sepasang suami isteri, minggu lalu.

    Warga emas berkenaan yang tiba pada pukul 9 pagi, dengan memakai jubah biru, diiringi anggota polis dibawa ke mahkamah.

    Pada Khamis, Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Noor Arifin Mohamad Nasir berkata, suspek berusia lingkungan 60-an akan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.

    Seorang wanita warga emas didakwa atas kesalahan mencederakan sepasang suami isteri dengan menyimbah asid ketika berada didalam lif yang tular di media sosial minggu lalu ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Minggu lalu, Sinar Harian melaporkan, sepasang suami isteri yang juga pengusaha kedai roti naan menempuh detik cemas apabila disimbah asid semasa memasuki lif di Pangsapuri Laksamana Jaya, Batu Caves, Gombak.

    Kejadian tersebut berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di bangunan pangsapuri terbabit.

    Ia kemudiannya tular dalam media sosial, memaparkan seorang individu berdiri berhampiran mangsa, semasa menunggu lif sebelum bertindak menyimbah cecair dipercayai asid.

    Mangsa iaitu seorang wanita tempatan berusia 60 tahun dan suaminya warganegara Pakistan telah menerima rawatan di Hospital Selayang.

    Enam hari selepas kejadian, seorang wanita warga emas ditahan bagi membantu siasatan kes itu.

  • Pecah rumah:  ‘Geng Eddy’ tumpas, 5 termasuk bekas pemain bola sepak ditahan

    Pecah rumah:  ‘Geng Eddy’ tumpas, 5 termasuk bekas pemain bola sepak ditahan

    ‘GENG Eddy’ yang dianggotai lima lelaki termasuk seorang bekas pemain bola sepak, yang aktif dalam kegiatan pecah rumah di siang hari tumpas, selepas ke semua mereka ditahan, Isnin lepas (3 Julai).

    Ketua Polis Daerah Pontian Supt Mohammad Shofee Tayib berkata dengan penangkapan lima lelaki berusia 24 hingga 34 tahun itu, pihaknya telah berjaya menyelesaikan 13 kes di daerah Pontian, Batu Pahat, Tangkak dan Muar.

    Beliau berkata geng berkenaan dipercayai mula aktif semenjak Mei lepas, dengan menjadikan rumah yang kosong pada siang hari sekitar pukul 2 hingga 3 petang setelah pemiliknya keluar bekerja, sebagai sasaran mereka.

    “Mereka akan mengumpil pintu pagar dan tingkap sebelum masuk ke dalam rumah dan mencuri barangan berharga seperti barang kemas, wang tunai, jam dan beg berjenama. Sebelum tangkapan dilakukan, kesemua dipercayai sedang memecah masuk sebuah rumah di Sanglang, Benut, yang kemudiannya disedari pemilik seterusnya dikejar sebelum kereta yang dinaiki suspek terbabas berhampiran lokasi,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, hari ini, lapor Bernama.

    Mohammad Shofee berkata dua daripada suspek berjaya ditahan setelah kereta terbabas, namun tiga yang lain berjaya melarikan diri dan kemudiannya ditahan di dua lokasi berbeza di sekitar Forest City, Iskandar Puteri dan Johor Bahru, pada hari yang sama.

    “Kesemua rampasan dalam kes ini adalah RM350,000, selain kesemua yang ditahan positif dadah dan mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah. Mereka direman sehingga 17 Julai dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Dalam kes berasingan, beliau berkata pihaknya berjaya menahan 26 orang pendatang asing termasuk seorang tekong darat, tiga tekong laut dan seorang penjaga rumah penampungan, dipercayai sedang cuba keluar daripada negara menerusi jalan tidak diwartakan.

    Beliau berkata kesemua mereka ditahan antara pukul 6 petang (10 Julai) sehingga 7 pagi (11 Julai) di Sungai Buntu, di sini.

    “Tangkapan ini melibatkan 19 lelaki, enam perempuan dan seorang bayi lelaki berusia setahun, selain turut merampas dua kereta, sebuah bot, 12 telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM1,800. Kegiatan penyeludupan migran ini dipercayai aktif sejak Jun lepas, di mana setiap mereka yang mahu keluar dari negara ini daripada jalan yang tidak diwartakan, perlu membuat bayaran antara RM2,000 hingga RM3,700 seorang,” katanya.

    Kesemua mereka direman sehingga 6 Ogos depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 26A, 26F dan 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.