SEORANG remaja lelaki bawah umur berusia 16 tahun ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) selepas didapati mengambil minuman keras dalam Ops Bersepadu Tahun Baharu di sebuah pusat hiburan di Persiaran Gurney, Georgetown, Pulau Pinang malam tadi.
Remaja berkenaan merupakan antara 11 lelaki beragama Islam yang berusia sehingga 38 tahun yang ditahan ketika minum minuman keras dalam operasi yang dijalankan kira-kira pukul 11.45 malam.
Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAIPP, Mohd. Azizon Noordin berkata, remaja berkenaan memberi alasan kali pertama berkunjung ke pusat hiburan itu selepas diajak rakan-rakannya.
“Hasil ujian saringan yang dijalankan mendapati semua individu terbabit berada di bawah pengaruh alkohol.
“Mereka yang ditahan kebanyakannya bekerja dalam sektor perkilangan dan kesihatan telah dibawa ke Jabatan Pemeriksaan JHEAIPP untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu awal pagi tadi.
Mengulas lanjut, Mohd. Azizon berkata, salah seorang daripada individu yang ditahan turut membawa teman wanita warga Indonesia berumur lingkungan 20-an yang didakwa adalah tunangnya untuk meraikan tahun baharu bersama di premis terbabit.
Bagaimanapun ujar beliau, wanita terbabit tidak ditahan memandangkan dia bukan beragama Islam.
“Pihak JHEAIPP akan memghubungi waris individu yang ditahan bagi tujuan ikat jamin dan kes disiasat mengikut Seksyen 19 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996,” katanya.