Category: Jenayah

  • Tiga beradik ketakutan jadi mangsa along Singapura

    Tiga beradik ketakutan jadi mangsa along Singapura

    POLIS Johor Bahru Selatan (JBS) memburu anggota along yang membaling molotov cocktail di sebuah rumah di Taman Bukit Jaya, Ulu Tiram di Johor Bahru, 21 Disember lalu.

    Ketua Polis Daerah JBS, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api.

    “Polis masih menjalankan siasat lanjut untuk mengesan suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Media pada 31 Disember lalu melaporkan tiga beradik menjadi mangsa along atau ceti haram selepas adik ipar lelaki mereka berhutang dengan ceti haram di Singapura.

    Kejadian berlaku pada pukul 2.30 pagi, 21 Disember lalu di kediaman keluarga mangsa di taman berkenaan.

    Mangsa, Cheong Yew Lan, 52, mendapati seorang lelaki tidak dikenali membaling botol api dipercayai molotov cocktail di halaman rumah mengakibatkan pagar rumahnya selain sebahagian bahagian belakang kereta terdapat kesan kebakaran.

    Sementara itu, Yew Lan berkata, keluarganya sudah memberikan semua maklumat berkaitan kepada pihak polis agar siasatan dapat dilakukan

    Menurutnya, selepas kejadian, keluarganya tidak menerima sebarang panggilan telefon daripada sindiket ceti haram berkenaan.

    “Apapun kami masih bimbang dengan keselamatan keluarga hingga teragak-agak untuk menjawab telefon daripada individu tidak dikenali.

    “Kami berharap pihak polis dapat memberkas individu berkenaan dan mengambil sesuai,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Pelajar jadi mangsa scammer, duit pusaka ibu RM22,000 lesap

    Pelajar jadi mangsa scammer, duit pusaka ibu RM22,000 lesap

    SEORANG pelajar perempuan 19 tahun kehilangan RM22,300 wang pusaka ibunya selepas terpedaya tawaran untung lumayan skim pelaburan tidak wujud menerusi Telegram.

    Ketua Polis Pahang, Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pelajar Tingkatan 6 itu dikatakan melayari laman sosial Facebook pada 14 Disember lalu.

    “Selepas dimasukkan ke dalam Telegram, suspek memaklumkan mangsa akan menerima pulangan lumayan dalam tempoh tiga jam sahaja.

    “Mangsa memindahkan wang RM1,000 ke akaun suspek dan diberikan identiti (ID) serta kata laluan laman sesawang laman web pelaburan itu,” katanya menurut Berita Harian.

    Beliau berkata, dalam akaun itu, mangsa mendapati pulangan sebanyak RM16,000 tetapi suspek meminta beberapa bayaran sebelum mangsa dapat mengeluarkan wang itu sehingga mengalami kerugian RM22,300.

    Siasatan mendapati katanya, sumber kewangan mangsa adalah daripada wang simpanan yang juga wang pusaka arwah ibunya.

    Ramli menasihatkan orang ramai tidak mudah percaya dengan pelaburan yang dijanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.

    “Sekiranya ingin membuat pelaburan boleh membuat semakan atau mendapatkan maklumat daripada polis, Bank Negara (BNM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebagai langkah pencegahan daripada menjadi mangsa pelaburan tidak wujud,” katanya.

  • 19 kes penipuan RMMJ pada 2022, Datuk didakwa sebagai dalang

    19 kes penipuan RMMJ pada 2022, Datuk didakwa sebagai dalang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG individu bergelar Datuk dikatakan terlibat dalam 16 kes penipuan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) yang dilaporkan dari Mei hingga Oktober tahun lalu melibatkan kerugian RM122,000.

    Pengaruh Datuk berkenaan digunakan dipercayai untuk meyakinkan kononnya sebagai individu berpengaruh yang boleh mendapatkan RMMJ.

    Bagaimanapun kegiatan tersebut terbongkar selepas empat mangsa menyedari ditipu sebelum membuat laporan polis.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sepanjang tempoh tersebut 19 kes dilaporkan dan setakat ini tiga kes sudah dituduh di mahkamah Johor Bahru pada awal Disember lalu membabitkan seorang lelaki berusia 55 tahun.

    Beliau berkata, bagaimanapun lelaki berkenaan tidak mengaku bersalah dan kes berkenaan akan disebut semula pada 15 Januari ini

    “Semua mangsa sebelum ini hanya disedari ditipu selepas mereka tidak mendapat maklum balas berkenaan rumah yang dijanjikan.

    “Mangsa juga mendapati nama mereka tidak tersenarai atau didaftarkan selepas melakukan semakan dengan pihak perumahan dan kerajaan tempatan.

    “Susulan daripada siasatan yang dijalankan, pada Oktober 2022 pihak polis telah mengenal pasti lelaki berkenaan yang menjalankan aktiviti tawaran RMMJ sebelum berjaya dituduh di mahkamah bulan lalu,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

    Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor mendedahkan kes penipuan itu membabitkan empat mangsa yang membuat aduan di pejabat Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ).

    Susulan itu Mohd. Jafni meminta Kamarul Zaman membuat siasatan segera kerana pihaknya masih menerima laporan kes berkenaan pada bulan lalu.

    Kamarul Zaman berkata, siasatan mendapati suspek telah menggunakan satu ejen untuk berurusan dan membuat tawaran RMMJ kepada mangsa.

    “Menurut mangsa, tawaran diterima daripada ejen yang mereka kenali dan mendakwa boleh mendapatkan RMMJ daripada seorang individu lain yang menggunakan gelaran ‘Dato’ menerusi konsep ‘rent to own’.

    “Konsep itu menawarkan bayaran balik bulanan serendah RM1,000 sahaja bagi rumah-rumah yang berharga melebihi RM500,000,” ujar beliau.

    Jelasnya, mangsa yang tertarik dengan tawaran tersebut akan dikenakan bayaran deposit RM3,000 hingga RM10,000 bagi sebuah rumah untuk tujuan proses dan kelulusan pihak berkuasa.

    Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai agar lebih berhati-hati semasa menjalankan urusan jual beli terutama menawarkan harga yang murah dan sukar dipercayai.

    Orang ramai juga katanya, digesa untuk membuat semakan bagi mendapatkan pengesahan daripada agensi berkaitan berkenaan tawaran yang diterima sebelum mempercayai tawaran tersebut dan melakukan sebarang pembayaran.

  • Jurulatih tampar pemain bola tampar wanita:KPM mohon saksi tampil

    Jurulatih tampar pemain bola tampar wanita:KPM mohon saksi tampil

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan menyiasat dan tidak akan berkompromi terhadap tindakan individu dipercayai jurulatih yang menampar pemain bola tampar perempuan dalam video tular dalam media sosial, baru-baru ini.

    Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam siasatan perkara berkenaan dan laporan penuh akan menyusul nanti.

    “KPM mohon saksi untuk tampil beri keterangan. Tekad mewujudkan sekolah selamat untuk semua murid akan sentiasa menjadi keutamaan,” katanya menerusi ciapan dalam Twitter, semalam.

    Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan beliau sudah berbincang dengan Fadhlina mengenai perkara berkenaan.

    “Ini (kejadian tampar) adalah salah. Kami (bersama Fadhlina) sedang mendapatkan lebih maklumat mengenai perkara ini,” katanya dalam ciapan di Twitter, hari ini, lapor Harian Metro.

    Sebelum ini, media melaporkan satu video memaparkan individu dipercayai jurulatih sebuah pasukan bola tampar menampar pemain tular di media sosial, baru-baru ini.

    Kejadian itu dipercayai berlaku ketika Kejohanan Bola Tampar Remaja bawah 14 tahun (B-14) 2022 bagi kategori perempuan pada 16 Disember lalu.

    Difahamkan perlawanan penentuan tempat ketiga itu membabitkan pasukan Melaka menentang Johor di sebuah sekolah di Johor.

    Berdasarkan video yang disiarkan secara langsung di Facebook itu, individu dipercayai jurulatih pasukan Melaka dilihat menampar dua pemain yang menyebabkan kehilangan mata sebelum tempoh rehat permainan.

  • Polis siasat video tular lelaki bawa pistol bergaduh dengan penarik kereta

    Polis siasat video tular lelaki bawa pistol bergaduh dengan penarik kereta

    POLIS membuka kertas siasatan kes seorang lelaki yang didakwa membawa sepucuk pistol ketika bertengkar dengan sekumpulan ejen penarik kereta di kawasan parkir Taman Jambu, Jalan Sin Onn, Tawau, pukul 2.30 petang Jumaat lalu.

    Insiden tersebut tular dalam media sosial sejak kelmarin dan laporan polis sudah dibuat kedua-dua pihak terbabit.

    Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati berlaku pertengkaran dan salah faham di antara ejen penarik kereta dan seorang lelaki merupakan ahli perniagaan berkenaan kereta yang didakwa milik isterinya.

    “Kedua-dua pihak sudah membuat laporan polis dan rakaman percakapan telah diambil daripada kedua-dua mereka.

    “Semakan juga mendapati ahli perniagaan itu mempunyai lesen pemilikan senjata api,” kata Jasmin, lapor Astro Awani, hari ini.

    Menurutnya, polis akan mengemukakan hasil siasatan kes kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

    Jasmin memberitahu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

    “Polis juga mengingatkan masyarakat supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kes berkenaan,” katanya.

  • Polis siasat dakwaan individu guna barang mangsa tanah runtuh

    Polis siasat dakwaan individu guna barang mangsa tanah runtuh

    POLIS menyiasat dakwaan bahawa terdapat individu tidak bertanggungjawab yang menggunakan kad Touch N Go milik mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali.

    Dakwaan tersebut tular menerusi satu hantaran dipercayai dimuat naik oleh ahli keluarga mangsa tragedi tersebut.

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, dua laporan polis diterima berkaitan perkara tersebut.

    “Laporan polis diterima pada pukul 2.47 petang berkaitan penggunaan kad Touch N Go milik mangsa tragedi tanah runtuh itu dan kertas siasatan dibuka bagi menyiasat kes tersebut.

    “Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

    Beliau meminta orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian.

    “Jangan menularkan sebarang perkara yang belum dipastikan kesahihan dan merujuk kepada polis atau pihak berkuasa bagi mendapatkan maklumat tepat.

    “Ahli keluarga mangsa juga dinasihatkan agar menghubungi polis sekiranya mempunyai isu berkaitan kehilangan barang milik mangsa,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Pada 16 Disember lalu, seramai 92 mangsa terlibat dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Genting- Batang Kali di Hulu Selangor.

    Seramai 61 daripada mereka terselamat, manakala 31 terkorban, membabitkan 18 individu dewasa dan 13 kanak-kanak.

    Operasi SAR melibatkan seramai 80 anggota meliputi 27 daripada JBPM, 25 Angkatan Tentera Malaysia (ATM), lapan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan tiga Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

    Selain itu 10 anjing pengesan dan sembilan jengkaut turut digerakkan dalam operasi SAR ini untuk mengesan mangsa terakhir tragedi tanah runtuh itu.

  • Pelajar tingkatan empat ditahan berkhalwat

    Pelajar tingkatan empat ditahan berkhalwat

    PELAJAR tingkatan empat ditahan selepas disyaki berkhalwat bersama seorang remaja perempuan berusia 18 tahun dalam sebuah hotel bajet di Kota Bharu, pagi tadi.

    Pelajar berkenaan ditahan pada pukul 4 pagi menerusi Operasi Ambang 2023 oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah (BPUS) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK).

    Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAHEAIK, Mohd Fadzuli Mohd. Zain berkata, remaja berkenaan memberi alasan keluar untuk menyambut tahun baru 2023.

    “Ketika operasi, remaja terbabit disyaki duduk berdua-duaan di bilik hotel dalam keadaan yang mencurigakan.

    “Pasangan berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 50 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 kerana kesalahan khalwat yang menimbulkan syak dan bertentangan dengan hukum syarak.

    “Jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya,” katanya, hari ini.

    Beliau berkata, pada operasi sama bermula 4 petang dan berakhir 4.30 pagi itu, seramai 11 wanita diberi notis kehadiran khidmat nasihat kerana berkelakuan tidak sopan, manakala satu kes diberi amaran keras.

    Menurutnya, fokus utama operasi adalah untuk memantau dan menyedarkan masyarakat berkenaan kesalahan syariah.

    “Kita menasihatkan kepada semua supaya tidak melakukan kesalahan syariah termasuk kemungkaran dan sentiasa menjaga diri.

    “Selain itu, pihak kita juga mengedarkan risalah berkaitan kesalahan syariah kepada orang awam termasuk di pasar raya dan tempat tumpuan ramai untuk memberi kesedaran kepada masyarakat,” katanya lapor Harian Metro.

  • Waspada iklan tawar lesen memandu tanpa perlu ke kelas,ujian memandu

    Waspada iklan tawar lesen memandu tanpa perlu ke kelas,ujian memandu

    JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) mengingatkan orang ramai agar berwaspada dan tidak terpengaruh dengan iklan dalam media sosial yang kononnya menawarkan lesen memandu tanpa perlu menghadiri kelas dan ujian memandu.

    Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim berkata pihaknya telah mengesan tawaran iklan itu yang turut menggunakan gambar profil ‘China doll’ bagi menarik perhatian pengguna media sosial yang diuarkan-uarkan secara terbuka di platform berkenaan.

    “Sindiket ini mengaut keuntungan dengan memperdaya mangsa dan kemudiannya melarikan diri dengan duit yang dibayar kepada mereka.

    “Niat tawaran iklan ini adalah tidak baik kerana mengelirukan rakyat bahawa boleh dapat lesen tanpa perlu hadir ke sekolah memandu. JPJ menafikan sekeras-kerasnya perkara ini,” katanya pada sidang media Operasi Sepadu Ambang Tahun Baharu di Plaza Tol Gombak di Gimbak awal pagi tadi.

    Beliau berkata JPJ akan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mengesan sindiket itu melalui pautan yang dikongsikan.

    “Sindiket berkenaan telah menyedari bahawa mereka dipantau pihak berkuasa maka mereka (sindiket) yang terlibat sering menukarkan pautan setiap empat hingga enam bulan.

    “Kami akan berusaha mendapatkan individu yang bertanggungjawab menipu pengguna media sosial dengan taktik ini dan tindakan selanjutnya akan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKD,” katanya.

    Sementara itu mengulas mengenai operasi sepadu itu, Zailani berkata sebanyak 3,481 saman kesalahan jalan raya dikeluarkan dalam operasi bermula dari 9 malam hingga 12 tengah malam yang dilaksanakan serentak di seluruh negara.

    Menurutnya, JPJ mengeluarkan lebih 30 peratus saman daripada 12,234 jumlah kenderaan diperiksa dalam operasi itu yang memfokuskan kepada pemeriksaan lesen memandu, cukai jalan, insurans kenderaan dan kenderaan klon.

    “Selain itu, kami turut menyita 69 kenderaan terdiri daripada 56 motosikal, 12 kereta dan satu kenderaan lain di seluruh negara setakat 12 tengah malam tadi,” katanya dan menambah lebih 200 anggota pelbagai agensi penguat kuasa terlibat antaranya PDRM, Jabatan Imigresen, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Jabatan Alam Sekitar.

  • Pelajar rugi RM57,488 terjerat pekerjaan tidak wujud

    Pelajar rugi RM57,488 terjerat pekerjaan tidak wujud

    SEORANG pelajar lelaki mengalami kerugian RM57,488 selepas terpedaya dengan tawaran kerja sambilan secara dalam talian.

    Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, berdasarkan laporan, mangsa berusia 19 tahun menyertai satu iklan dalam media sosial Instagram pada 19 Disember lalu.

    “Mangsa dikehendaki melaburkan modal terlebih dahulu dan dijanjikan pulangan daripada pelaburan terbabit.

    “Mangsa berurusan melalui aplikasi WhatsApp dan Telegram dalam melaksanakan tugasan yang diberikan oleh suspek sehingga melakukan lima pindahan wang ke lima akaun bank yang berlainan.

    “Siasatan mendapati mangsa menggunakan wang simpanan selain meminjam daripada rakan dan menggunakan wang persaraan ayahnya yang juga pesara guru,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam kes terbabit, Ramli menasihati masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui laman media sosial tanpa usul periksa yang jelas.

    “Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya lapor BH.

  • Polis keluar 372 saman, sita 10 motosikal dalam operasi ambang tahun baharu di ibu negara

    Polis keluar 372 saman, sita 10 motosikal dalam operasi ambang tahun baharu di ibu negara

    JABATAN Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur  mengeluarkan 372 saman pelbagai kesalahan jalan raya dalam Operasi Khas Malam Ambang Tahun Baharu 2023 di 26 lokasi sekatan jalan raya (SJR) di seluruh ibu negara awal pagi tadi.

    Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata ia merupakan hasil pemeriksaan yang dibuat ke atas 841 buah kenderaan yang terlibat di kesemua lokasi SJR.

    “Sebahagian besar pemeriksaan malam ini dibuat ke atas kenderaan jenis motosikal iaitu sebanyak 619, diikuti kereta (171), van (19) dan jeep (32). Seramai 848 individu pula telah diperiksa dalam operasi berkenaan, dan 10 motosikal disita kerana ubah suai struktur kenderaan,” katanya.

    Beliau berkata selain itu 12 individu berumur dalam lingkungan 15 hingga 21 tahun ditahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang secara melulu dan melakukan aksi berbahaya.

    Bercakap kepada media ketika ditemui di satu lokasi sekatan jalan raya Operasi Khas Ambang Tahun Baharu di Jalan Loke Yew, di Kuala Lumpur, awal pagi ini Yahaya berkata Operasi Khas itu disertai 30 pegawai kanan dan 200 anggota.

    Sementara itu di PULAU PINANG, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Fisol Salleh berkata polis mengeluarkan 475 saman dalam operasi sempena Ambang Tahun Baharu yang bermula sejak pukul 9 malam tadi.

    “Operasi bersepadu pula dijalankan bermula petang Jumaat lagi bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan  Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang di seluruh negeri dan sebanyak 450 saman pelbagai kesalahan dikeluarkan sepanjang tempoh itu.

    “Dalam operasi itu juga, kami menyita 33 buah motosikal kerana pelbagai kesalahan terutama motosikal yang diubah suai secara berlebihan dan tanpa kebenaran, manakala dalam operasi malam tadi 475 saman pelbagai kesalahan dikeluarkan,” katanya ketika ditemui semasa meninjau Op Motosikal di lorong motosikal Jambatan Pulau Pinang.

    Di KOTA BHARU, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan Mohd Misuari Abdullah berkata pihaknya telah memeriksa 420 kenderaan dalam Op Khas Ambang Tahun Baharu, yang menyaksikan 251 notis saman pelbagai kesalahan dikeluarkan.

    Bercakap kepada pemberita ketika ditemui semasa mengikuti Op Khas Ambang Tahun Baharu 2023 di Jalan Padang Enggang, di sini semalam, beliau berkata sepanjang 2022, sebanyak 187,424 buah kenderaan telah diperiksa dengan 31,031 telah dikenakan tindakan.

    Menurutnya dalam tempoh itu juga 71,025 notis saman dikeluarkan, manakala 245 kenderaan disita kerana pelbagai kesalahan.