Category: Jenayah

  • Polis tahan tiga lelaki disyaki samun, curi kereta bersenjatakan parang

    Polis tahan tiga lelaki disyaki samun, curi kereta bersenjatakan parang

    POLIS berjaya menahan tiga lelaki dipercayai terlibat kes samun bersenjatakan parang dan mencuri kereta Perodua Myvi berhampiran sebuah pangsapuri di Petaling Jaya, Kuala Lumpur, Khamis lepas.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt Ku Mashariman Ku Mahmood berkata dua daripadanya berusia 32 tahun manakala seorang lagi 39 tahun dengan kesemuanya ditahan berasingan di sebuah hotel di Bandar Sunway dan pangsapuri di Puchong, antara 6 hingga 7 pagi semalam.

    “Polis berjaya menemukan semula kereta yang dilarikan suspek di Seksyen 27, Shah Alam,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau berkata dalam kejadian pada 2.05 pagi itu, seorang lelaki berusia 25 tahun telah didekati suspek yang menaiki dua motosikal sebelum seorang daripada mereka melarikan kenderaan mangsa.

    Ku Mashariman berkata mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan manakala kesemua suspek didapati mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, katanya.

  • Tanah runtuh Batang Kali: Penjawat awam ditahan disyaki curi barangan milik mangsa

    Tanah runtuh Batang Kali: Penjawat awam ditahan disyaki curi barangan milik mangsa

    POLIS menahan seorang penjawat awam yang dipercayai mencuri barangan milik mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali pada 16 Dis lepas.

    Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk S. Sasikala Devi berkata suspek berumur 27 tahun itu ditahan di sekitar Lembah Klang, semalam, dan polis akan membuat permohonan reman hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

    Dalam persidangan media di Kuala Lumpur hari ini beliau berkata susulan penahanan itu, polis turut merampas barangan yang dipercayai milik mangsa kejadian tanah runtuh berkenaan.

    Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah memaklumkan pihaknya mengesan satu hantaran di Facebook dipercayai daripada salah seorang ahli keluarga mangsa, yang mendakwa terdapat individu tidak bertanggungjawab menggunakan kad Touch ‘n Go milik mangsa.

    Tragedi tanah runtuh pada 2.46 pagi itu mengorbankan 31 nyawa dengan 12 daripadanya adalah kanak-kanak, dan seorang bayi lelaki berusia setahun.

  • Pembelian saham konsesi Menara KL, dua pengarah kanan syarikat direman empat hari

    Pembelian saham konsesi Menara KL, dua pengarah kanan syarikat direman empat hari

    DUA pengarah kanan syarikat bergelar Datuk direman empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan berhubung isu pembelian saham dan pengambilalihan konsesi pengurusan Menara Kuala Lumpur (Menara KL).

    Perintah reman sehingga 10 Jan itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya di Putrajaya.

    Semalam, sumber SPRM dilapor berkata kedua-dua individu berusia 49 dan 59 tahun itu merupakan orang tengah yang mengurus urusan suapan dan seorang pengarah urusan syarikat yang dikatakan mengambil alih saham syarikat pengurusan Menara KL, ditahan di Ibu Pejabat SPRM ketika hadir memberi keterangan.

    Menurutnya pemilihan syarikat terbabit disyaki melibatkan permintaan wang rasuah berjumlah ratusan ribu dan seutas jam tangan mewah sebagai hadiah kepada ‘orang atasan’ bagi membantu pengambilalihan tersebut.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki yang mengesahkan tangkapan itu berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

    Sebelum ini, tular di media sosial isu berhubung pengambilalihan pengurusan Menara KL melalui pegangan saham penuh daripada Telekom Malaysia (TM) melalui anak syarikatnya, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd kepada syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd sehingga menimbulkan persoalan orang ramai terhadap keputusan itu.

  • ‘Suspek bunuh guna bom buatan sendiri dan mangsa adalah rakan sekampung’

    ‘Suspek bunuh guna bom buatan sendiri dan mangsa adalah rakan sekampung’

    KES letupan yang mengorbankan seorang pelayan restoran dekat Pandan Indah, Ampang, pada 29 Disember lalu, dipercayai berpunca daripada masalah peribadi di antara mangsa dan suspek.

    Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi, berkata mangsa dan kedua-dua suspek yang berumur 33 dan 30 tahun merupakan kenalan sejak dari kampung di Kedah, dengan si suami bekerja sebagai seorang kontraktor, manakala isterinya seorang suri rumah.

    Bagaimanapun Sasikala enggan mengulas lanjut apabila ditanya sama ada kejadian itu bermotifkan cemburu.

    “Setakat ini polis telah pun selesai mengambil keterangan seramai 36 saksi bagi membantu siasatan kes dan setakat ini tiada tangkapan susulan dibuat. Proses soal siasat terhadap pasangan suami isteri ini masih dijalankan.

    “Serbuan juga telah dilakukan di rumah mereka di Serdang, Kedah pada Khamis lepas dan polis berjaya merampas beberapa barang kes antaranya pisau pemotong kertas dan mercun bola yang dipercayai digunakan sebagai bahan letupan,” katanya pada sidang media d Kuala Lumpur, hari ini.

    Kedua-dua supek ditahan pada Rabu lepas bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    Pada masa yang sama, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan kes berkenaan.

    Pada 29 Disember lepas, seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun maut akibat kecederaan parah pada bahagian badan dan tangan selepas bungkusan yang ditinggalkan di atas bonet keretanya meletup.

  • Budak sembur cat tin pada kereta dicari polis

    Budak sembur cat tin pada kereta dicari polis

    POLIS Pulau Pinang sedang mengesan seorang kanak-kanak yang disyaki melakukan perbuatan vandalisme dengan menyembur cat tin pada beberapa buah kereta di Jalan Tingkat Kenari 5, Bayan Lepas, semalam.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, kanak-kanak tersebut dipercayai menyembur cat tin pada kenderaan dengan menulis perkataan tidak senonoh.

    “Pada 6 Januari (semalam) terkesan satu posting yang dimuat naik dalam akaun Facebook ‘inforoadblock’ berhubung dakwaan seorang kanak-kanak yang dipercayai melakukan perbuatan vandalism dengan menyembur cat tin pada kenderaan dengan menulis perkataan tidak senonoh.

    “Kejadian tersebut berlaku di Jalan Tingkat Kenari 5, Bayan Lepas pada 6 Januari (semalam) dan terdapat lima laporan polis berhubung isu sama,” katanya dalam kenyataan di media sosial Facebook hari ini.

    Sebelum ini, tular di media sosial mengenai beberapa buah kereta yang disembur cat berwarna hitam dengan perkataan tidak senonoh.

    Seorang kanak-kanak disyaki melakukan perbuatan vandalisme dengan menyembur cat tin pada beberapa buah kereta di Jalan Tingkat Kenari 5, Bayan Lepas, semalam

    Kamarul Rizal berkata, siasatan awal polis mendapati perbuatan itu disyaki dilakukan seorang suspek kanak-kanak antara pukul 2 hingga 2.30 petang.

    “Menurut salah seorang pemilik kenderaan, ini merupakan kejadian pertama sepanjang tempoh tiga tahun dia tinggal di situ.

    “‘Pemilik kenderaan menyedari kejadian ini apabila ingin kembali ke rumah setelah pulang dari kerja di kilang berdekatan pada pukul 5 petang dan dia terus membuat laporan polis berhubung kes ini,” katanya.

    Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

    “Usaha untuk mengesan suspek masih diteruskan, sekiranya orang awam mempunyai maklumat mereka boleh berhubung dengan pegawai penyiasat jenayah, Wan Muhammad Syamim Wan Azmi di talian 04-8662222,” katanya.

  • Imigresen bongkar kegiatan keluarkan kad pelarian tidak sah

    Imigresen bongkar kegiatan keluarkan kad pelarian tidak sah

    JABATAN Imigresen membongkar satu kegiatan pengeluaran kad pelarian kepada etnik Chin dari Myanmar yang didalangi sebuah pertubuhan tidak berdaftar hasil serbuan di kawasan flat di Jalan Imbi fi Kuala Lumpur, tengah malam tadi.

    Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata pertubuhan berkenaan beroperasi di sebuah rumah flat di kawasan berkenaan sejak 2009 berdasarkan kepada papan tanda dan dokumen yang dirampas.

    Beliau berkata pertubuhan berkenaan mengeluarkan kad yang tidak diiktiraf kerajaan menggunakan mesin sendiri di pejabat mereka dan mengenakan bayaran keahlian RM500 seorang serta pelbagai bayaran lain.

    “Berdasarkan resit-resit bayaran yang dirampas dianggarkan seramai 1,000 orang etnik Chin telah menjadi anggota pertubuhan ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas operasi selama dua jam itu yang berakhir pada 2.30 pagi tadi.

    Menurut Khairul Dzaimee kad memaparkan bahawa pemegang merupakan pelarian etnik Chin yang sedang menunggu kebenaran untuk ke negara ketiga.

    Khairul Dzaimee berkata pihaknya akan mengesan dalang pertubuhan berkenaan dan percaya ia didalangi individu daripada etnik berkenaan.

    “Barangan yang dirampas pada operasi ini akan dirujuk kepada agensi-agensi lain di bawah Kementerian Dalam Negeri seperti Jabatan Pendaftar Pertubuhan,” katanya.

    Mengulas mengenai operasi tengah malam tadi, Khairul Dzaimee berkata seramai 1,051 warga asing dari Bangladesh, Pakistan, Nepal, Myanmar, Indonesia dan India diperiksa.

    Beliau berkata 544 daripadanya yang berusia lingkungan setahun hingga 68 tahun ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan imigresen seperti tiada dokumen perjalanan, dokumen perjalanan tamat tempoh dan salah guna pas lawatan sosial.

    Turut ditahan 30 kanak-kanak etnik Chin berusia antara setahun dan 10 tahun.

    Menurutnya semua yang ditahan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil dan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

    “Seramai 115 anggota dan pegawai Jabatan Imigresen dibantu 43 anggota lain-lain jabatan seperti Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Pertahanan Awam terlibat dalam operasi ini,” katanya.

  • Isu Menara KL: SPRM tahan dua datuk

    Isu Menara KL: SPRM tahan dua datuk

    DUA pengarah kanan syarikat bergelar ‘Datuk’ ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan pembelian saham dan isu pengambilalihan pengurusan Menara Kuala Lumpur (Menara KL).

    Kedua-dua mereka berusia antara 49 dan 59 tahun ditahan petang tadi di Ibu Pejabat SPRM.

    Memetik laporan Berita Harian (BH), difahamkan, seorang yang ditahan ialah pengarah urusan syarikat yang didakwa terbabit mengambil alih saham Syarikat Menara KL.

    Seorang lagi pula ialah ahli perniagaan yang dipercayai menjadi ‘orang tengah’ dalam urusan pengambilalihan syarikat itu.

    Menurut sumber kepada BH, siasatan mendapati antara habuan yang diperolehi permintaan wang rasuah ratusan ribu dan seutas jam tangan mewah.

    Itu dikatakan hadiah kepada ‘orang atasan’ untuk membantu pengambilalihan itu.

    BH difahamkan, beberapa saksi termasuk pegawai kanan Telekom Malaysia (TM), Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Kementerian Komunikasi dan Digital, serta syarikat tertentu sudah diambil kenyataan bagi membantu siasatan.

    Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes disiasat mengikut seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

    Beliau enggan mengulas lanjut dan menasihati semua pihak agar tidak menimbulkan spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan SPRM.

    BH sebelum ini melaporkan, SPRM sudah memulakan siasatan berhubung isu pengambilalihan pengurusan Menara KL, yang didedahkan di media sosial.

    Isu pengambilalihan pengurusan Menara KL tular di media sosial apabila orang ramai mempersoal keputusan TM melalui anak syarikatnya, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd memindahkan pemilikan penuh mereka kepada syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd pada Oktober lalu.

    Satu akaun Twitter dikenali sebagai @FreeMsian mendakwa Menara KL yang menjana pendapatan RM66 juta pada 2019 dengan untung bersih RM25 juta itu sebagai ‘cash cow’ dan pemindahan saham itu tidak dihebahkan kepada umum.

  • CEO disyaki dalang agih projek runding terus kerajaan PN RM92.5b direman

    CEO disyaki dalang agih projek runding terus kerajaan PN RM92.5b direman

    SEORANG ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat swasta ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki menjadi “orang tengah” dalam pengagihan projek kerajaan bawah Pakej Rangsangan Ekonomi sepanjang 2020 hingga 2022.

    Suspek lelaki berusia 42 tahun itu ditahan malam tadi ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Putrajaya bagi membantu siasatan.

    Menurut sumber, CEO itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini dan direman lima hari bermula hari ini hingga 10 Jan.

    Katanya, SPRM membuka beberapa kertas siasatan terhadap sekurang-kurangnya lima individu yang dipercayai menjadi dalang atau orang tengah kepada beberapa syarikat untuk memperoleh projek bernilai antara RM50 juta hingga RM500 juta secara runding terus.

    “Hampir 90 peratus projek yang diberikan secara runding terus masih belum dilaksanakan kerana tiada pengeluaran surat setuju terima lagi.

    “Justeru, SPRM akan memfokuskan kepada siasatan terhadap baki 10 peratus projek yang sedang berjalan membabitkan perkembangan projek antara 10 peratus hingga 20 peratus,” katanya.

    Pada 9 Dis lalu, SPRM berkata fokus siasatan berhubung dakwaan salah guna dana Pakej Rangsangan Ekonomi ketika Covid-19 akan tertumpu kepada RM92.5 bilion, iaitu jumlah dibelanjakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

    SPRM berkata, hanya RM92.5 bilion melibatkan dana kerajaan daripada peruntukan dianggarkan berjumlah RM530 bilion yang dibelanjakan pada 2020 dan 2021 berkaitan pengurusan Covid-19.

    Berdasarkan jumlah itu, RM92.5 bilion melibatkan dana kerajaan manakala RM437.5 bilion bukan daripada kerajaan.

    Dalam pada itu, sumber berkata suspek yang ditahan dipercayai menerima rasuah bagi menghubungkan antara kontraktor dan “pihak atasan”.

    Katanya, beberapa kontraktor yang disoal siasat mengaku bersetuju membayar komisen sebanyak 3 hingga 5 peratus dan dimasukkan ke dalam akaun sebuah parti politik konon untuk tujuan pembiayaan politik.

    Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

  • Penghantar makanan antara 2 ‘tokan’ dadah ditahan polis

    Penghantar makanan antara 2 ‘tokan’ dadah ditahan polis

    SEORANG penghantar makanan merupakan antara dua lelaki berusia 22 dan 25 tahun yang ditahan polis daerah Seberang Perai Utara (SPU), Pulau Pinang selepas disyaki menjadi ‘tokan’ dadah.

    Mereka ditahan dalam serbuan di sebuah restoran di Jalan Raja Uda, Butterworth, kelmarin yang mana polis turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM104,879 dalam operasi itu.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, ketika serbuan pukul 5.30 petang itu, kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 22 dan 25 tahun itu dipercayai sedang menunggu pembeli untuk mendapatkan bekalan dadah yang dijual mereka.

    Ujarnya, susulan penahanan suspek, polis merampas sebanyak 88 bungkus heroin seberat 4,995 gram bernilai RM66,933; ganja seberat 1,009 gram (RM2,522) dan 984 gram syabu (RM35,424) yang disimpan di dalam sebuah kereta di belakang restoran berkenaan.

    “Kedua-dua suspek dipercayai terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah itu sejak bulan lalu dan masing-masing mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah.

    “Kesemua dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh seramai 34,940 penagih jika terlepas ke pasaran,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah (IPD) SPU, Bukit Mertajam hari ini.

    Menurut Mohd. Radzi, dalam operasi itu, polis turut merampas sebuah kereta Toyota Vios bernilai RM90,000 yang digunakan suspek yang dipercayai kenderaan curi susulan laporan kehilangan kenderaan yang dilaporkan di Johor kira-kira tiga tahun lalu.

    Jelasnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek turut direman sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan.

    “Ketika ini, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk untuk mengesan rangkaian sindiket pengedaran dadah tersebut termasuk pembekal yang dipercayai tinggal di bahagian pulau (George Town),” katanya.

  • Tuntutan palsu: SPRM tahan kakitangan GLC bantu siasatan

    Tuntutan palsu: SPRM tahan kakitangan GLC bantu siasatan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang kakitangan di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerana mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM10,000.

    Menurut sumber, suspek wanita yang berusia 39 tahun itu ditahan pada pukul 10 pagi tadi selepas hadir memberi keterangan.

    Difahamkan, pada 2017 hingga 2019, suspek telah mengemukakan tuntutan palsu kepada GLC terbabit berkaitan pelaksanaan program di sebuah daerah di Johor, sedangkan program tersebut tidak dilaksanakan sepenuhnya.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. Suspek kemudiannya dilepaskan dengan jaminan SPRM,” ujar beliau.