Category: Jenayah

  • Bayi empat bulan koma dipercayai didera

    Bayi empat bulan koma dipercayai didera

    SEORANG bayi lelaki berusia empat bulan koma dipercayai akibat didera pengasuh di sebuah pusat jagaan kanak-kanak berdaftar di Batu Buruk di Kuala Terengganu, Rabu lepas.

    Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata mangsa koma selepas mengalami kecederaan serius termasuk pendarahan otak dan retak pada tempurung kepala.

    Beliau berkata pihaknya menerima laporan daripada bapa mangsa yang mendapati bayinya dalam keadaan lemah dan kesakitan selepas diambil daripada pusat jagaan itu pada hari sama.

    Katanya bapa mangsa yang bekerja sebagai pegawai perubatan membawa anaknya ke hospital untuk pemeriksaan dan mendapati terdapat darah beku dalam kepala mangsa.

    Susulan kejadian itu, polis menahan tiga wanita berusia 22 hingga 33 tahun yang bekerja sebagai pengasuh di pusat jagaan tersebut, semalam.

    “Ketiga-tiga suspek telah dipanggil sebelum ini untuk memberi keterangan. Tetapi masing-masing menafikan kejadian tersebut.

    “Bagaimanapun polis mendapati keterangan mereka agak meragukan. Justeru rampasan ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dilakukan untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu di sini, hari ini.

    Rohaimi berkata hasil pemeriksaan rakaman CCTV mendapati selain dipukul di kepala, suspek juga telah menggoncang serta menghempas tubuh mangsa yang baru sahaja tiga hari didaftarkan di pusat jagaan kanak-kanak berkenaan.

    “Mangsa masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya,” katanya dan ketiga-tiga suspek dibawa ke mahkamah untuk direman hari ini. – BERNAMA

  • Kanak-kanak perempuan dipercayai mangsa dera ibu diselamatkan

    Kanak-kanak perempuan dipercayai mangsa dera ibu diselamatkan

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di Bukit Gambir, Georgetown berjaya diselamatkan selepas lebih setahun menahan derita dipercayai akibat didera ibunya sendiri.

    Kanak-kanak malang yang tinggal di sebuah rumah flat itu diselamatkan selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A Kumaresan membuat laporan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pulau Pinang, hari ini.

    Menurut Kumaresan, pihaknya sebelum itu menerima maklumat berhubung kejadian menimpa kanak-kanak itu daripada jiran berdekatan.

    Katanya, dia kemudian membuat laporan kepada JKM sebelum ke rumah mangsa kira-kira pukul 3 petang.

    “Sebaik saya dan pegawai JKM tiba, didapati mangsa ditinggalkan bersama dua abangnya berusia 14 dan 12 tahun manakala ibunya pula keluar bekerja sementara bapa mereka yang bekerja sebagai pemandu lori hanya pulang sekali sekala.

    “Ketika ditanya, kanak-kanak terbabit mengaku sering dipukul ibu sekiranya tidak melakukan kerja rumah selain kerap meminta pertolongan daripada jiran, ” katanya, lapor Harian Metro.

    Mengulas lanjut Kumaresan berkata, difahamkan menurut jiran, mangsa terdahulu tinggal bersama ibu saudara sebelum diambil semula ibu kandung sejak lebih setahun lalu.

    Katanya, sejak itu jiran mereka sering mendengar mangsa menangis dan melihat dipukul oleh ibunya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

    “Jiran juga pernah menegur ibu mangsa mengenai perbuatan itu namun wanita itu bertindak memarahi semula jiran berkenaan.

    “Difahamkan mangsa juga pernah melarikan diri dari rumah sebelum ditemukan oleh orang ramai dan dihantar ke balai polis berhampiran.

    “Kanak-kanak itu kemudian diserah kepada ibu saudaranya yang tinggal di flat yang sama sebelum ibu kandung mengambilnya semula,” katanya lagi.

    Menurut Kumaresan, kedua-dua abangnya juga mengaku turut memukul kanak-kanak itu kerana tidak membuat kerja rumah malah mangsa turut ditinggal sendirian sekiranya tidak dihantar ke sekolah.

    Katanya, kanak-kanak terbabit pada masa ini diserah kepada JKM mengikut prosedur pihak berkenaan.

    “Difahamkan pada masa ini mangsa dibawa ke rumah perlindungan sementara menanti siasatan JKM dan laporan polis juga akan dibuat pihak berkenaan.

    “Saya turut meminta pihak JKM membawa kanak-kanak terbabit bagi dilakukan pemeriksaan kesihatan kerana mangsa mendakwa sakit di bahagian kepala dan mengalami bengkak selain terdapat kesan lebam di badannya.

    “Mangsa adalah murid pintar dan mendapat 5A 3B dalam peperiksaan di sekolah justeru, diharap masyarakat prihatin dapat melapor segera jika ada berlaku kejadian serupa dalam kawasan kejiranan,” katanya.

  • Enam lelaki diberkas gaduh di pusat beli-belah

    Enam lelaki diberkas gaduh di pusat beli-belah

    GARA-gara bergaduh di tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di Miri, Sarawak hingga tular di media sosial, polis daerah itu memberkas enam lelaki bagi membantu siasatan kes berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Anak Chabu berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu kira-kira pukul 11 pagi semalam.

    Menurutnya, bertindak atas laporan itu, polis membuat tangkapan ke atas enam individu tempatan berusia 19 hingga 34 tahun kerana dipercayai terbabit dalam pergaduhan berkenaan.

    “Kes ini disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan, iaitu merusuh dengan senjata dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Hari ini, tular video kejadian itu di Facebook menunjukkan beberapa individu bergaduh di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Miri, dengan seorang daripada individu itu dirakam memecahkan cermin sebuah kenderaan menggunakan senjata.

    Dalam pada itu, Alexson Naga menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

    Katanya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi pegawai penyiasat Ramping Jimbai di talian 085-433222.

  • Lelaki Myanmar maut, sepupu ditahan cuba larikan diri

    Lelaki Myanmar maut, sepupu ditahan cuba larikan diri

    POLIS menahan seorang lelaki warganegara Myanmar selepas disyaki terlibat dalam kejadian bunuh membabitkan rakan senegaranya, semalam.

    Lelaki berusia 21 tahun itu yang juga merupakan sepupu kepada mangsa, ditahan pada hari sama tidak jauh dari tempat kejadian semasa cubaan melarikan diri.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd. Ghani, pihaknya menerima panggilan pada pukul 3 pagi daripada seorang penternak haiwan memaklumkan kejadian tersebut.

    “Majikan tersebut memberitahu pekerjanya, rakyat Myanmar berusia 26 tahun telah meninggal dunia di sebuah kandang ternakan di Selaru, Dangi di Kuala Pilah.

    “Hasil siasatan mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala akibat dipukul dengan menggunakan alat tumpul,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Ujarnya, pihak forensik Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan telah menjumpai sebatang kayu yang padan dengan luka kecederaan pada kepala mangsa termasuk lain-lain bukti di lokasi kejadian.

    “Bertindak atas maklumat kes tersebut, pihak polis telah membuat tangkapan terhadap seorang lelaki Myanmar di tepi jalan Selaru, Dangi kurang satu jam selepas laporan diterima,” katanya.

    Beliau berkata, turut dirampas adalah beg galas yang berisi pakaian, telefon bimbit dan botol arak.

    “Tangkapan telah mendapat perintah tahanan reman bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama tujuh hari dan siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Astro Awani.

    Dalam pada itu, Amran berkata, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan atau menghubungi talian hotline IPD Kuala Pilah 06-48429999.

  • Misi hantar ‘pakej’ gagal, penghantar ganja ditahan

    Misi hantar ‘pakej’ gagal, penghantar ganja ditahan

    BARU sebulan bekerja sebagai penghantar dadah, seorang lelaki berusia 22 tahun ditahan dalam serbuan di Johor Bahru, 9.40 malam kelmarin.

    Ketua Polis daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, hasil pemeriksaan ke atas suspek merampas dadah dipercayai ganja seberat 2.15 kilogram yang dianggarkan bernilai RM5,000.

    Menurut laporan Harian Metro, beliau berkata wang tunai berjumlah RM1,100 dan motosikal turut dirampas.

    “Suspek sebelum ini pernah menghantar ganja seberat 1 kg dan mendapat upah RM200 untuk kerja itu. Kali kedua suspek diberi tugasan untuk menghantar 2.15 kg dadah tetapi berjaya ditahan.

    “Hasil ujian saringan awal air kencing yang dilakukan mendapati suspek negatif sebarang jenis dadah.

    “Suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah dibawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan di Johor Bahru, hari ini.

    Tambah Raub, suspek direman tujuh hari sehingga 15 Januari depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Bekas pengerusi NGO bergelar Datuk antara ditahan SPRM

    Bekas pengerusi NGO bergelar Datuk antara ditahan SPRM

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang bekas pengerusi dan seorang bekas bendahari sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu kepada sebuah jabatan kerajaan berjumlah lebih RM11,000, dua tahun lepas.

    Menurut sumber, bekas pengerusi NGO yang bergelar Datuk itu berumur 47 tahun, manakala bekas bendaharinya pula berumur 43 tahun.

    “Kedua-dua lelaki itu ditahan di pejabat SPRM Johor di Johor Bahru i antara pukul 8.30 malam hingga 9.30 malam tadi selepas hadir memberi keterangan.

    “Difahamkan, kira-kira penghujung Jan 2021, mereka mengemukakan tuntutan palsu kepada sebuah jabatan kerajaan yang berpusat di daerah Johor Bahru, bagi kerja-kerja pembekalan dalam melaksanakan program rawatan dan pemulihan, sedangkan pembekalan itu tidak dilaksanakan,” menurut sumber.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi, mengesahkan kedua-dua penahanan itu.

    “Kedua-dua lelaki terbabit akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini bagi mendapatkan permohonan reman,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

  • KPN minta mangsa ustazah kontroversi buat laporan polis

    KPN minta mangsa ustazah kontroversi buat laporan polis

    KETUA Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani meminta individu yang menjadi mangsa penipuan ustazah kontroversi yang memperalatkan perubatan sunah agar tampil membuat laporan polis.

    Menurut beliau, mana-mana individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan ustazah terbabit dinasihatkan tampil membuat laporan polis.

    Katanya, jika ada laporan polis yang dibuat, polis akan meneliti dan menjalankan siasatan.

    “Jadi saya minta mereka yang menjadi mangsa penipuan itu dan mengalami kerugian diminta membuat laporan polis.

    “Siasatan secara telus akan dijalankan berkaitan laporan polis yang diterima,”katanya hari ini, lapor Harian Metro.

    Harian Metro hari ini melaporkan Khidmat Guam sedang mengumpul dan meneliti bukti berkaitan seorang ustazah yang didakwa memanipulasi perubatan sunah untuk kepentingan diri.

    Pengarah Advokasinya Mahmud Jumaat berkata, berdasarkan pertemuan dengan pengadu sebelum ini, pihaknya mendapati wujud unsur penipuan dilakukan wanita yang sering mengundang kontroversi itu termasuk ugutan dan transaksi wang dalam jumlah yang besar.

    Hanya dengan melihat gambar lidah dan tubuh ketika sesi rawatan mampu mengenal pasti tahap penyakit seseorang sama ada kronik atau sebaliknya, selain kononnya boleh berubat secara jarak jauh dengan hanya mengikut arahan.

    Itu doktrin pelik yang dilakukan seorang ustazah apabila mendakwa mampu merawat penyakit pengikutnya secara sunah tanpa perlu pergi ke hospital serta menerima rawatan perubatan moden yang dianggapnya beracun dan menyimpang daripada ajaran Islam.

    Malah, dengan hanya menyentuh dan memeriksa tubuh pengikutnya, ustazah terbabit mendakwa mampu mengenal pasti penyakit dihadapi mereka sebelum mempromosikan ubat sunnah dengan jualan harga tidak masuk akal.

    Bagaimanapun, dek kerana taasub menyebabkan ada pengikut sanggup berhabis ribuan ringgit untuk membeli ubat-ubatan didakwa mengikut sunnah berkenaan.

    Difahamkan, pengikut wanita terbabit yang menyertai kumpulan aplikasi Telegram bagi mempromosi perubatan sunnah kini mencecah 3,000 orang dan ada dalam kalangan mereka bergelar doktor, guru dan sebagainya.

  • Pensyarah rugi RM1.3 juta diperdaya ‘Inspektor Ku’

    Pensyarah rugi RM1.3 juta diperdaya ‘Inspektor Ku’

    SEORANG pensyarah sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) kerugian RM1.3 juta selepas dikatakan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram dan dadah oleh individu bergelar ‘Inspektor Ku’

    Wanita berusia 41 tahun itu mendakwa pegawai polis berkenaan menawarkan untuk membantu dan mengarahkannya membuka akaun bank baharu bagi menyelesaikan kes dihadapinya itu sebelum individu berkenaan berjaya memindahkan semua wang mangsa.

    Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, pihaknya menerima laporan polis daripada mangsa semalam, selepas wanita itu menyemak akaun banknya pada awal bulan ini dan mendapati semua wang dari akaunnya itu sudah dipindahkan.

    “Pada mulanya, mangsa menerima panggilan telefon daripada seseorang yang memperkenalkan diri dari Kementerian Kesihatan (KKM) yang mendakwa mangsa terbabit dalam pemalsuan laporan Covid-19 di Sabah.

    “Mangsa menafikan dakwaan itu dan kemudian panggilan telefon terus disambungkan kepada individu yang kononnya adalah pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bernama ‘Inspektor Ku’.

    “Mangsa memaklumkan, ‘Inspektor Ku’ pula memberitahu dia terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram dan dadah,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini, lapor Harian Metro.

    Kamarul Zaman berkata, apabila mangsa menafikan dakwaan itu, ‘scammer’ (penipu) itu kemudian mengarahkannya membuka akaun bank baharu dan meminta wanita terbabit menyerahkan kata laluan perbankan dalam talian serta mendaftarkan nombor telefon yang diberikan mereka (scammer).

    Katanya, mangsa kemudian mengikut arahan scammer untuk memindahkan semua wang ke dalam akaun baharu itu sebagai alasan untuk simpanan selamat sementara kesnya disiasat.

    “Antara 17 Oktober 2022 sehingga 25 November 2022, mangsa memindahkan wang berjumlah RM1.3 juta ke akaun baharu itu.

    “Mangsa sedar ditipu apabila wang dalam akaun miliknya terdapat transaksi pemindahan ke beberapa akaun lain yang tidak dikenali sebelum membuat laporan polis,” jelasnya.

    Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, terdapat satu lagi kes membabitkan sindiket penipuan apabila seorang lelaki berusia 49 tahun menjadi mangsa penipuan wakil penjual bagi sebuah syarikat secara dalam talian di daerah ini, baru-baru ini.

    “Mangsa ditipu oleh syarikat berkenaan yang menjanjikan keuntungan mudah dengan melaburkan sejumlah wang. Mangsa pada mulanya melabur wang sebanyak RM800 dan mendapat keuntungan sebanyak RM2,100.

    “Disebabkan terpedaya dengan keuntungan mudah yang diperoleh itu, mangsa seterusnya melabur sebanyak RM85,000. Kemudiannya, mangsa menyedari dirinya ditipu selepas tidak mendapat sebarang pulangan,” katanya.

    Pada masa sama, Kamarul Zaman mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila menerima panggilan yang mendakwa terbabit dalam aktiviti jenayah.

    “Polis tidak akan berpeluk tubuh dan kita menyarankan orang ramai memuat naik aplikasi Whoscall yang membolehkan kita mengesan panggilan daripada scammer,” katanya.

  • Polis Kelantan rampas RM1.4j dadah ketamin, tahan 4 orang termasuk pelajar sekolah

    Polis Kelantan rampas RM1.4j dadah ketamin, tahan 4 orang termasuk pelajar sekolah

    DADAH jenis ketamin bernilai RM1.4 juta dirampas polis menerusi sekatan jalan yang dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Kampung Laloh, Kuala Krai, pagi kelmarin.

    Rampasan dadah pukul 8 pagi itu, polis turut menahan empat lelaki berusia 16 hingga 30 tahun termasuk seorang pelajar sekolah menerusi serbuan berasingan sejak kelmarin sehingga semalam.

    Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, pada pukul 8 pagi kelmarin, sepasukan penguatkuasa JPJ mengadakan sekatan jalan raya di lokasi berkenaan.

    “Pihak JPJ mendapati sebuah kereta Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan apabila berhenti secara mengejut sekitar 200 meter daripada sekatan jalan raya sebelum dua lelaki melarikan diri.

    “Hasil pemeriksaan terhadap kereta berkenaan menemui bungkusan berwarna putih yang diletakkan dalam but kereta disyaki dadah.

    “Pihak JPJ kemudiannya memaklumkan kepada polis Kuala Krai dan kita mendapati dua guni putih dan satu beg pakaian beroda yang di dalamnya terdapat debu putih iaitu dadah jenis ketamin seberat 25.5 kilogram dengan anggaran nilai RM1.4 juta,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

    Muhamad Zaki berkata, susulan rampasan berkenaan pihaknya melakukan empat serbuan berasingan di Pasir Mas sejak kelmarin sehingga semalam.

    “Hasil serbuan berkenaan kita berjaya menahan empat lelaki berusia 16 hingga 30 tahun termasuk seorang pelajar.

    “Kita percaya bekalan dadah ini dibawa dari negara jiran dan dalam perjalanan untuk di bawa ke Lembah Klang.

    “Siasatan lanjut masih dilakukan berhubung peranan keempat-empat suspek berkenaan memandangkan kebanyakannya masih muda. Malah, kereta yang digunakan juga adalah kereta yang disewa,” katanya.

    Beliau berkata, kesemua suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod lampau dan mereka ditahan reman sehingga Sabtu ini.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kenderaan Perodua Myvi turut disita untuk pemeriksaan lanjut,” tambahnya, lapor Berita Harian.

  • Mayat remaja separuh bogel, leher dijerut, tangan diikat dalam longkang

    Mayat remaja separuh bogel, leher dijerut, tangan diikat dalam longkang

    MAYAT seorang remaja perempuan berusia 16 tahun disyaki dibunuh ditemukan dalam keadaan separuh bogel dalam longkang berhampiran sebuah ladang kelapa sawit dekat Brantian, di Tawau, Rabu lalu.

    Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat itu daripada pengurus ladang terbabit pada jam 2.45 petang.

    “Siasatan awal polis di tempat kejadian mendapati mayat perempuan terbabit ditemukan orang awam dalam keadaan separuh bogel dengan leher dijerut serta tangan mangsa diikat.

    “Terdapat juga beberapa kecederaan pada tubuh mangsa iaitu koyakan pada bahagian kepala sebelah kiri dipercayai disebabkan objek keras selain tangan dan leher diikat menggunakan pita pelekat berwarna hitam.

    “Mayat remaja itu kemudiannya di bawa ke Hospital Tawau untuk bedah siasat dan pihak polis masih menunggu hasil laporan terbabit bagi mengetahui punca kematian termasuk sama ada mangsa dirogol atau tidak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Mengulas lanjut, Jasmin berkata susulan laporan dan maklumat yang diterima pihaknya berjaya menahan seorang suspek remaja lelaki berumur 14 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

    Katanya, hasil siasatan mendapati suspek dan mangsa adalah anak pekerja ladang warga asing dan tinggal di kawasan kejiranan yang sama.

    “Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan dan suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 5 sehingga 11 Januari.

    “Setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya, lapor Harian Metro.