Category: Jenayah

  • Suami tampar isteri semata-mata berbalah mengenai kereta

    Suami tampar isteri semata-mata berbalah mengenai kereta

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG isteri terpaksa menanggung aib apabila ditampar suaminya di depan sebuah kilang dekat Sungai Petani, Kedah semata-mata kerana perbalahan akibat penggunaan kereta.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 3 petang semalam dengan turut disaksikan anak sulung mereka.

    Menurutnya, pertengkaran itu dipercayai berlaku akibat perebutan pasangan tersebut mengenai kereta dimiliki mangsa yang berusia 44 tahun.

    “Setelah mereka bertengkar, mangsa mendakwa ditampar suaminya berusia 45 tahun di depan kilang tersebut. Selain itu, suaminya juga didakwa turut membuat ugutan terhadap wanita tersebut.

    “Berikutan itu wanita berkenaan mendakwa merasa sakit di pipi kiri namun tiada kesan lebam padanya dan sudah pun mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani,” katanya.

    Difahamkan pasangan tersebut sudah berkahwin selama 25 tahun dan mempunyai tiga anak.

    Tambahnya, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan.

  • Polis siasat dakwaan kamera intip dalam bilik persalinan butik pakaian

    Polis siasat dakwaan kamera intip dalam bilik persalinan butik pakaian

    POLIS menyiasat laporan mengenai penyebaran video yang didakwa daripada kamera rahsia yang disembunyikan di dalam bilik persalinan wanita di sebuah butik pakaian berjenama di Kuala Lumpur.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya menerima satu laporan polis mengenai kejadian tersebut pada Isnin lalu.

    “Polis juga mengesan video yang dimuat naik dalam Twitter memaparkan rakaman daripada kamera yang disembunyikan di bilik persalinan butik pakaian berkenaan. Video itu kemudiannya dipadamkan.

    “Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti tarikh dan lokasi kejadian itu berlaku. Perbuatan terbabit adalah suatu kesalahan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Noor Dellhan berkata, polis menasihati orang ramai supaya tidak melakukan perkara yang melanggar undang-undang.

    “Mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Fikri Abdul Manan di talian 013-4149917 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya, lapor FMT.

    Sebelum inj, beberapa pengguna Twitter melahirkan kebimbangan mengenai kemungkinan video yang dirakam di bilik persalinan itu dijual dalam talian.

    Butik pakaian tersebut juga dilaporkan sudah membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

  • Pemilik syarikat percetakan direman bantu siasatan tuntutan palsu RM100,000

    Pemilik syarikat percetakan direman bantu siasatan tuntutan palsu RM100,000

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PEMILIK syarikat percetakan direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 17 Januari ini bagi membantu siasatan kerana mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM100,000, dua tahun lalu

    Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret, Norkhalida Farhana Abu Bakar selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini.

    Suspek sampai pekarangan mahkamah pada pukul 9 pagi tadi lengkap berpakaian reman SPRM berwarna jingga dengan tangan bergari.

    Malam tadi sumber memaklumkan suspek lelaki berusia 53 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor Bahru kira-kira pukul 5 petang semalam selepas hadir memberikan keterangan.

    Difahamkan, pada 2021, suspek telah mengemukakan tuntutan palsu kepada sebuah sekolah menengah di sebuah daerah di Johor berkaitan pembekalan cetakan modul pembelajaran untuk kegunaan pelajar-pelajarnya, sedangkan pembekalan tersebut tidak dilaksanakan.

  • Polis buru dua lelaki terlibat dalam kejadian gaduh sehingga sebabkan kematian di Kapar

    Polis buru dua lelaki terlibat dalam kejadian gaduh sehingga sebabkan kematian di Kapar

    POLIS kini memburu dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian pergaduhan sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki di Taman Intan, Kapar, semalam.

    Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada pukul 2.04 pagi.

    Beliau berkata, pengadu mendakwa berlaku pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki di lokasi kejadian.

    “Sepasukan anggota Ronda Cegah Jenayah tiba di lokasi kejadian dan mendapati seorang lelaki India terbaring di atas jalan.

    “Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

    Jelasnya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada pergaduhan dua kumpulan remaja dan mangsa telah ditetak dengan menggunakan senjata tajam.

    “Polis telah mengenal pasti dua suspek utama berbangsa India berumur 20-an dan usaha mengesan suspek kini dijalankan,” ujarnya, lapor Utusan TV.

    Kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Hanis di talian 019-9099763.

  • Kastam Sabah rampas lebih 6 kg dadah bernilai RM200,000

    Kastam Sabah rampas lebih 6 kg dadah bernilai RM200,000

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan dua lelaki dan merampas 6.156 kilogram dadah jenis methamphetamine bernilai RM221,616 di pusat penyerahan dan penerimaan bungkusan pos di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

    Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah Mohd Nasir Deraman berkata pemeriksaan menerusi mesin pengimbas JKDM di Pos Aviation Lapangan Terbang Kota Kinabalu pada 30 Dis lepas menemukan tiga bungkusan yang meragukan disyaki mengandungi dadah.

    “Setelah intipan dilakukan selama beberapa hari pada 3 Jan lepas, kira-kira pukul 12.35 tengah hari, pasukan serbuan telah menahan dua suspek lelaki yang mahu menuntut salah satu daripada bungkusan berkenaan di pusat penyerahan dan penerimaan bungkusan pos Kota Kinabalu.

    “Hasil pemeriksaan terhadap bungkusan berkenaan telah menemui dadah dipercayai jenis methamphetamine dengan berat kasar 3.085 kilogram dengan nilai pasaran bagi dadah tersebut dianggarkan berjumlah RM 111,060,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu hari ini.

    Beliau berkata dua lelaki masing-masing berumur 28 dan 30 tahun itu telah ditahan dan direman untuk siasatan lanjut.

    Mohd Nasir berkata pemeriksaan terhadap dua lagi bungkusan mencurigakan yang belum dituntut menemukan 3.071 kilogram dadah jenis methamphetamine bernilai RM110,556.

    “Kini kita sedang mengesan suspek yang terlibat dalam kes ini,” katanya dan kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

  • Ops Bas Pekerja; 7 van kilang disita di Pulau Pinang

    Ops Bas Pekerja; 7 van kilang disita di Pulau Pinang

    JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang menyita sebanyak tujuh buah van kilang dalam Ops Bas Pekerja di sekitar kawasan Perindustrian Batu Kawan dan Bandar Cassia, semalam.

    JPJ Pulau Pinang dalam satu kenyataan hari ini berkata, operasi itu dilakukan dengan memberi tumpuan terhadap kenderaan perkhidmatan awam (KPA) khususnya bas dan van pekerja yang membawa operator pengeluaran di kawasan berkenaan.

    Katanya, daripada tujuh kenderaan yang disita, tiga daripadanya didapati dipandu oleh warga asing manakala sebuah kenderaan lagi dikesan berstatus lupus dan ‘scrap’.

    Operasi dilakukan dengan memberi tumpuan terhadap kenderaan perkhidmatan awam (KPA) khususnya bas dan van pekerja yang membawa operator pengeluaran

    Tambahnya, kesalahan lain yang dikesan dalam operasi itu ialah tiada lesen memandu (biasa) dan tiada lesen memandu Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans.

    “Turut dikesan ialah tindakan menyalahgunakan LKM iaitu menggunakan van persendirian untuk membawa penumpang.

    “Selain itu, terdapat juga beberapa kesalahan teknikal seperti tayar haus berlebihan, lampu isyarat dan brek tidak berfungsi serta tidak menyelenggarakan kenderaan dengan baik,” demikian menurut kenyataan itu.

    Turut dikesan ialah tindakan menyalahgunakan LKM iaitu menggunakan van persendirian untuk membawa penumpang.

    Tambah kenyataan tersebut, seramai 10 warga asing turut ditahan oleh Jabatan Imigresen negeri yang turut serta dalam operasi terbabit.

    Dalam pada itu, JPJ Pulau Pinang menasihatkan pemandu dan pengusaha KPA supaya mematuhi peraturan dan undang-undang yang dikuatkuasakan semasa menjalankan perkhidmatan.

    “Selain itu, mereka juga perlu memastikan kenderaan tersebut juga berada dalam keadaan baik dan selamat kerana keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama,” katanya.

  • Pengarah, pemilik syarikat direman empat hari bantu siasatan tuntutan palsu RM20.3 juta

    Pengarah, pemilik syarikat direman empat hari bantu siasatan tuntutan palsu RM20.3 juta

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DUA lelaki yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam berkaitan kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM20.3 juta pada 2015, direman selama empat hari bermula hari ini.

    Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret, Nurshahida Abdul Rahim di Kompleks Mahkamah Alor Setar, hari ini.

    Kedua-dua mereka yang merupakan pengarah dan pemilik syarikat berbeza yang masing-masing berumur 51 dan 52 tahun tiba di Mahkamah dengan menaiki kenderaan SPRM kira-kira pukul 10 pagi.

    Malam tadi sumber memaklumkan kepada Warta Rakyat bahawa kedua-kedua mereka ditahan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu berkaitan insentif pembayaran penternakan lembu tenusu di bawah program projek permulaan (EPP) 13 Kluster Tenusu, Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) bernilai RM20.3 juta pada 2015.

    Pengarah syarikat berkenaan berusia 51 tahun terlebih dulu ditahdan di Pejabat SPRM Kedah kira-kira pukul 1 tengah hari.

    Pemilik syarikat berusia 52 tahun itu pula ditahan di kawasan rehat dan rawat (R&R) Simpang Renggam, Johor kira-kira pukul 3 petang.

    Perintah tahanan reman terhadap mereka dikeluarkan Majistret, Nurshahida Abdul Rahim di Kompleks Mahkamah Alor Setar, hari ini.

    Difahamkan pada 2015, beberapa syarikat disyaki bersubahat mengemukakan tuntutan palsu berkaitan insentif pembayaran projek tersebut kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar tanpa membuat sebarang pembekalan.

    Sumber itu menambah, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 18, Akta SPRM 2009.

    “Ketika ini SPRM sedang giat mengesan saksi dan mengambil keterangan individu dipercayai terlibat.

    “Siasatan masih diteruskan bagi mengesan lain-lain individu yang mungkin terlibat dalam kes tersebut,” katanya.

    Sementara itu Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua individu berkenaan namun enggan mengulas lanjut.

  • Dua lelaki ditahan SPRM bantu siasatan tuntutan palsu RM20.3 juta

    Dua lelaki ditahan SPRM bantu siasatan tuntutan palsu RM20.3 juta

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lelaki terdiri daripada pengarah dan pemilik dua syarikat berbeza bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu berkaitan insentif pembayaran penternakan lembu tenusu di bawah program projek permulaan (EPP) 13 Kluster Tenusu, Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) bernilai RM20.3 juta pada 2015.

    Menurut sumber, kedua-dua lelaki berusia 51 dan 52 tahun itu ditahan di dua lokasi berbeza hari ini.

    Katanya, pengarah syarikat berkenaan berusia 51 tahun terlebih dulu ditahan di Pejabat SPRM Kedah kira-kira pukul 1 tengah hari.

    “Pemilik syarikat berusia 52 tahun itu pula ditahan di kawasan rehat dan rawat (R&R) Simpang Renggam, Johor kira-kira pukul 3 petang.

    “Kedua-dua mereka akan dibawa ke Mahkamah Alor Setar pagi esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman,” katanya kepada Warta Rakyat, hari ini.

    Difahamkan pada 2015, beberapa syarikat disyaki bersubahat mengemukakan tuntutan palsu berkaitan insentif pembayaran projek tersebut kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar tanpa membuat sebarang pembekalan.

    Sumber itu menambah, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 18, Akta SPRM 2009.

    “Ketika ini SPRM sedang giat mengesan saksi dan mengambil keterangan individu dipercayai terlibat.

    “Siasatan masih diteruskan bagi mengesan lain-lain individu yang mungkin terlibat dalam kes tersebut,” katanya.

  • Pengarah syarikat disyaki jadi proksi dapatkan projek GLC lebih RM1j direman

    Pengarah syarikat disyaki jadi proksi dapatkan projek GLC lebih RM1j direman

    SEORANG pengarah syarikat swasta dipercayai menjadi proksi untuk mendapatkan projek daripada sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berjumlah lebih RM1 juta ringgit, empat tahun lepas (2019), direman empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan.

    Perintah reman terhadap lelaki berusia 47 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Johor Bahru R. Salini selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan pagi tadi.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Menurut sumber lelaki itu ditahan di Pejabat SPRM Johor pada 11.35 malam tadi selepas hadir memberikan keterangan. 

    Difahamkan, beliau dipercayai menjadi proksi kepada seorang pengarah GLC dalam mendapatkan kontrak-kontrak daripada GLC berkenaan.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan Ibu Pejabat SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit. – BERNAMA

  • Lagi warga asing ceroboh Puncak Menara Merdeka 118

    Lagi warga asing ceroboh Puncak Menara Merdeka 118

    SELEPAS diceroboh pasangan dari Rusia, puncak menara tertinggi di Malaysia yang masih dalam pembinaan, Merdeka 118, sekali lagi menjadi sasaran pencerobohan warga asing.

    Terbaharu puncak menara terbabit diceroboh kumpulan pencipta kandungan YouTube, Driftershoots, yang berkongsi video ‘pencerobohan’ mereka yang didakwa dilakukan pada 30 Disember lalu bagi menarik perhatian peminat.

    Dalam rakaman selama 7 minit 18 saat itu memaparkan kumpulan terbabit, terdiri daripada sekurang-kurangnya empat individu, termasuk dua daripada mereka dikaburkan muka, menyelinap ke tapak bangunan itu dengan memakai jaket seperti pekerja binaan.

    Mereka kemudian memotong jaring keselamatan yang digunakan untuk menutup laluan masuk ke puncak menara, sebelum memanjat bangunan itu menuju ke puncak.

    Video itu juga memuatkan adegan mereka “meraikan” kejayaan selepas menawan Menara 118 di bilik hotel mereka.

    Dalam penerangan video itu, kumpulan itu berkata bahawa pendakian berkenaan “memakan masa, sukar dan penuh dengan cabaran.”

    “Beberapa percubaan telah berakhir dengan ada individu dipenjarakan, jadi kami sedar yang kami berdepan risiko besar.

    “Ini berakhir dengan jayanya. Ia adalah satu hadiah untuk mengakhiri tahun 2022 dengan menunjukkan rakaman tersebut,” dakwa kumpulan itu. lapor Berita Harian.

    Mereka mendakwa tindakan memanjat menara itu hanyalah ‘luahan artistik kebebasan yang dilakukan demi cinta”, dan bukan untuk menggalakkan sesiapa meniru semula tindakan yang dipaparkan.

    Bulan lalu, pasangan Rusia Angela Nikolau dan Ivan Beerkus, menceroboh dan menawan puncak menara kedua tertinggi di dunia itu.